Kenali Diri

My photo
Johor Bahru, Johor, Malaysia
SYAFIQ ZULAKIFLI adalah graduan Universiti Al-Azhar, Kaherah,Mesir. Berasal dari negeri Johor Darul Takzim. B.A (Hons)Syariah, Al-Azhar (2009) Editor PTS Publication & Distributor Sdn Bhd(2010) Eksekutif Penyelidikan Editorial TVAlhijrah(2012)Penerbit Rancangan IKIMfm (Mulai 1 Mac 2012) Sebarang pertanyaan emelkan ke syafiqzulakifli @ gmail.com atau hubungi +6017 7346 946

Sunday, January 31, 2010

Sirih Pulang Ke Gagang - SMAKJ


SUDAH dinamakan jodoh barangkali. Saya kembali semula ke Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor, Kluang pada tahun 2010 ini.

Kenangan 1998-2002 tidak akan dilupakan. Kenangan saya pernah hampir digantung sekolah tetapi 'tidak jadi' kerana saya telah banyak mengharumkan nama sekolah. (Rahsia yang baru hari ini dibongkarkan)

Kenangan saya dibuli oleh senior. Kenangan saya membuli junior sehingga saya dipanggil menghadap guru disiplin. Kenangan saya bertemu dengan ibu bapa pelajar kerana tidak berpuas hati dengan saya.

Paling saya kenang adalah sewaktu saya ingin mewakili sekolah di dalam satu acara tetapi tiada siapa yang hiraukan saya.

Semua itu adalah sejarah dan kenangan yang pastinya sesuatu yang indah. Seorang budak asrama yang masih terkenangkan zaman asramanya dahulu.

Dahulu, saya tidak pernah masuk bilik warden. Mahu memijaknya tidak sekali. Tetapi, hari ini disebabkan warden-warden asrama adalah kawan-kawan saya, (ex-Al-Azhar) maka saya menginap di dalam rumah warden itu.

Saya ke sini kerana menunaikan tanggungjawab sebagai seorang penceramah dan trainer. Seronok melihat adik-adik di sini sehingga puisi di bawah ini saya karangkan...

PUISI

(1)
Adikku,
bukankah tadi engkau mengeluh kerana kepenatan
engkau kata kami sudah bosan
kami tidak program seperti ini
kami sudah dewasa
mengapa kami diajar jerit-jerit
mengapa kami disuruh ke sana - ke mari
mengapa kami disuruh itu dan ini
mengapa kami perlu bekejar ke sana ke ke mari

Adikku
bukankah tadi engkau bilang,
apa makna pertemuan ini
apakah kami mahu disumbat-sumbat lagi
apakah kami ini seorang pelajar jahil
apakah kami telah dipilih sebagai pelajar SMAKJ
mengapa kami mahu diajar-ajarlagi.

Adikku
bukankah tadi engkau katakan
bila program ini mahu berakhir
bila program ini akan ditutup
kami tidak mahu lagi
kami mahu pulang
kawan-kawan kami semua pulang
kawan-kawan kami semua sedang enak makan bersama keluarga
kawan-kawan kami semua sedang bersuka ria di bandar
tempat kami selalu lawati malam-malam hari.

Adikku
tahukah engkau
engkau tidak layak duduk di sini
di sekolah mewah ini
di sekolah yang bernama Sekolah Menengah Agama
di sekolah yang guru-gurunya bukan daripada kalangan guru-guru biasa
di sekolah yang senior-seniornya cemerlang di persada dunia

Adikku
tahukah engkau
engkau tidak layak duduk di sini
di sekolah yang mengajar erti kedewasaan
engkau malas
engkau selalu kata pada guru-guru
engkau katakan cikgu itu sial - bodoh - gila

Adikku
engkau mengaku engkau berada di sekolah agama
engkau mengaku engkau terpilih ke sekolah agama
engkau mengaku yang engkau layak ke sekolah ini
tetapi engkau tidak layak sebenarnya duduk di sini
engkau bukan budak sekolah ini sebenarnya
engkau tahu cakap babi- pukimak- bodoh

betulkan??
betulkan??
betulkan??

Engkau mengakulah adik-adikku
berapa banyak dosa kepada guru sekolah ini yang engkau telah lakukan
berapa banyak dosa kepada ibu bapa di rumah yang engkau telah lakukan
engkau kata pada dirimu

aku maki semua orang tetapi aku berjaya pada hari ini.

Benar adik- adikku

Engkau sebenarnya tidak malu kerana menumpang kasih di sekolah agama
Engkau sebenarnya tidak malu berpakaian watak pelajar agama
tetapi akhlakmu...bukan akhlak pelajar sekolah agama
tetapi tingkah lakumu...bukan sebagaimana watak pelajar sekolah agama
tetapi perangaimu....

aduh..!!!! Memalukan..

Adikku,

Berapa banyak kali engkau qiam di surau sekolah itu
berapa banyak kali engkau fikirkan masa depanmu
berapa banyak kali engkau letakkan jadual harianmu

Engkau tidak layak adikku berada di sini...

Layakkah kau berada di sini?

(2)
Adik-adik yang disayangi
abang tahu engkau bukan orang seperti itu
engkau baik orangnya
engkau mulia akhlaknya
engkau mentaati guru setiap masa
engkau terpilih ke sini di atas ketentuan Allah.

Percayalah adik yang kusayangi
setiap sesuatu pilihan itu ada kelebihannya
setiap sesuatu pilihan itu ada kekuatannya
engkau perlu gunakan
engkau perlu rasakan bahawa engkau terpilih ke sini kerana pilihan-NYa.

Adik-adik yang disayangi
Hari sekolah nanti
engkau katakan kepada gurumu
'cikgu, kalau saya ada buat salah dengan cikgu, cikgu maafkan saya ya...
cikgu, kalau saya ada terkata di belakang cikgu, cikgu maafkan saya ya...
cikgu, kalau saya tidak layak menjadi anak murid cikgu, maafkan saya ya...

Engkau berani katakan begitu?

Engkau berani?

Pecahkanlah egomu wahai adik-adikku
Musnahkan tembok rasa benci wahai adik-adikku

Kembalilah ke dunia asalmu dahulu,
waktu engkau masih suci tanpa dosa dan noda
waktu engkau mula-mula masuk ke sekolah ini
waktu mula-mula engkau kagum keran engkau terpilih di sini.

Percayalah adik-adikku,
maaf yang engkau ucapkan nanti...
akan teringat oleh guru-gurumu itu hingga mereka mati nanti
akan teringat oleh guru-gurumu itu ketika engkau sedang nazak
barulah guru-gurumu akan berkata...
itulah murid yang telah aku ampunkan dosanya hingga mati.

Adik-adikku yang disayangi
engkau bangkitlah
engkau letakkan kepada dirimu
bahawa engkau akan jadi pelajar cemerlang
bahawa namamu akan menjadi salah seorang pelajar mithali sekolah ini
bahawa namamu akan mengharumkan nama ibu bapamu
bahawa namamu akan disebut untuk menerima anugerah khas
engkaulah orang itu.

Adik-adikku yang disayangi
ibu dan ayahmu sedang buat apa agaknya di rumah
bukankah mereka sedang mengira duit belanja untuk engkau
bukankah mereka sedang mengira duit untuk beri kepadamu nanti
bukankah mereka sedang mengira hutang-hutang mereka yang belum selesai
tetapi kerana engkau
mereka korbankan di celah-celah untuk memberikanmu walau sedikit.

Adik-adikku yang disayangi
engkau terpilih adikku
engkau insan terpilih adikku
engkau adalah hamba yang terpilih
percayakah engkau?

Lafazkanlah alhamdulillah dalam hatimu
lafazkanlah subhanallah dalam jiwamu
lafazkanlah syukur kepada Allah dalam kalbumu itu...

Engkau adalah pilihannya...
engkau adalah teristimewa...


Friday, January 29, 2010

PMRAM Sebagai Buah Hati Saya

Menyampaikan amanat terakhir di dalam kenderaan menuju ke lapangan terbang


Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) adalah buah hati cinta pertama saya ketika di Mesir. Saya pernah merajuk dengan PMRAM, saya selalu menangis di dalam program PMRAM, saya pernah gembira dengan PMRAM dan saya pernah mengalami kesusahan sewaktu berada di dalam kepimpinan PMRAM.

Indah sebenarnya warna-warna perjuangan ini. Orang menghina-orang mengkritik-orang membenci- itu semua adalah suatu warna-warni saya fikir.

Ingatkah kita dengan Aduka Taruna? Pernah berlaku ke atas diri saya berkenaan kes Aduka Taruna ini pada satu masa dahulu. Saya dikritik hebat-hebat kerana menghina salah sebuah kepimpinan anak negeri kita di Mesir.

Itu semua satu cabaran. Itu semua satu pengalaman yang saya fikir tidak mampu ditimba daripada kesusahan.

Ada suka duka yang saya paling ingat. Saya dan Ustaz Hairul Nizam sentiasa akan berbual tentang PMRAM sepanjang kami berada di dalam teksi. Ada idea-idea baharu yang dicadangkan untuk memperteguhkan PMRAM. Ada cerita-cerita baru tentang PMRAM dan lain-lain lagi.

Saya percaya bahawa perjuangan ini WAJIB menempuh cabaran. Dr Yusof Al-Qaradawi juga pernah dipenjara. Syed Qutub juga menghadapi perkara yang sama.

Ulama memang akan dihina dan dicaci-maki. Benar! Itu semua adalah asam-garam barangkali. Keyakinan itulah yang membuatkan saya tidak gentar dengan apa-apa yang menimpa ke atas diri saya. Ramai orang berkata, saya terlampau berani. Tetapi saya berfikir, mengapa saya perlu takut dengan apa yang ada pada diri saya sendiri.

Saya berani menghadapi cabaran mengkritik pihak-pihak tertentu. Saya berani meluahkan ketidakpuasan hati. Semuanya itu kerana saya fikir, saya harus membetulkan kesilapan yang berlaku. Saya perlu menyatakan ada ruang yang perlu saya perdebatkan.

PMRAM yang mengajar saya, mengapa kita perlu jadi orang berthaqafah. Sebab itu, saya paling seronok apabila usrah mingguan berjalan. Mana ada perbincangan basa-basi. Malah saya fikir, setiap kali usrah berlangsung sebenarnya adalah 15 orang ulama sedang bersidang di dalam Majlis Fatwa Kebangsaan untuk membincangkan hal ehwal Islam.

Kami di dalam PMRAM ada pakar di dalam bidang masing-masing. Masing-masing mengeluarkan pandangan dan masing-masing memberikan idea. Semua itu berjalan dengan seiring.

Pada akhir pernafasan yang ada ini, terima kasih kepada pimpinan PMRAM sesi 2009 yang dapat bersama-sama saya sepanjang saya menjawat jawatan sebagai Penasihat PMRAM dan saya terpaksa meninggalkan kalian lebih awal sebelum muktamar sanawi yang dicadang akan berlangsung pada akhir Mac nanti.

Semoga kepimpinan akan datang di bawah pentadbiran Ustaz Shahrizan Mohd Hazime akan sentiasa di dalam rahmat-Nya. Amin.





Tuesday, January 26, 2010

Pegawai Tadbir Diplomatik Perlu Tadbir MSD Kaherah

Saya menerima laporan bahawa terdapat penyalahgunaan kuasa oleh pihak Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (MSD) terhadap pentadbiran yang sedang berjalan pada waktu ini.

Sumber memberitahu sikap tidak profesional sesetengah pegawai masih lagi wujud sehingga hari ini. Sejak berada di Mesir, saya sudah melihat bahawa organisasi MSD Kaherah yang dikawal tadbir oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia mempunyai karenah biokrasi tersendiri.

Sebagai contoh, urusan penterjemahan sijil saya yang sengaja tidak mahu dilakukan serta diuruskan oleh pegawai-pegawai kita di MSD.

Saya yakin dan percaya bahawa usaha-usaha ini bukanlah tindakan Prof Madya Dr Jamil Hashim selaku Pengarah MSD. Tetapi, ada kuasa-kuasa baharu yang bertindak melangkaui bidang tugas mereka yang sepatutnya dilakukan.

Secara logiknya, Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) dikatakan tidak berhak ke atas pentadbiran dan pengurusan pelajar di Mesir.

Saya akui akan kebenaran itu. Namun, dari satu sisi yang lain saya berpandangan bahawa kuasa-kuasa yang ada pada seorang Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) yang dihantar ke Mesir seharusnya diberikan peranan yang sewajarnya.

Kita amat bimbang bahawa terdapat kuasa politik yang digunakan di dalam pentadbiran MSD sehingga menjadikan MSD terpaksa menjalankan tanggungjawab mereka atas dasar pentadbiran politik itu.

Mengapa pentadbiran MSD Kaherah tidak dipilih di kalangan Pegawai Tadbir Diplomatik yang lebih profesional di dalam menjalankan tanggungjawab mereka?

Mengapa hanya kabel besar sebagai seorang guru yang cemerlang (konon-kononnya) kemudian diserap ke dalam Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia atau Kementerian Pelajaran Malaysia dan terus dihantar ke Mesir sebagai 'pengintip' dan 'pengacau' perjalanan mahasiswa kita di Mesir.

Mahasiswa dan mahasiswi yang mempunyai sebarang masalah dengan pentadbiran JPMK (MSD) di Kaherah sama ada ketika berurusan atau sebagainya bolehlah emelkan kepada saya di alamat e-mel seperti yang tertera di sebelah.

Saya akan memanjangkan laporan itu kepada menteri yang bertanggungjawab dan wartawan akhbar bagi membuat liputan penting hal ehwal keadaan mahasiswa dan pegawai MSD kita di Mesir.

Tambahan :

1. Saya menerima pelbagai laporan berkenaan hal ehwal JPMK. Kita sedang memerhatikan bangunan baru yang dijangka akan didirikan di bangunan ARMA.

2. Akhbar terbaru untuk rakyat Malaysia hari ini adalah erapakatan.com yang berinfomatif.


Saturday, January 23, 2010

Makam Diraja Johor

Makam ayahanda Sultan Iskandar

Di luar Makam Diraja Johor



Makam Almarhum Sultan Iskandar Ibn Almarhum Sultan Ismail
Sultan Johor yang ke-4


AMPUN TUANKU, SEMBAH PATIK HARAP DIAMPUN,

Segala dukacita patik khabarkan buat Duli Yang Maha Mulia Almarhum Sultan Iskandar yang mangkat pada hari Jumaat, 22 Januari 2010.

Patik berdoa, moga roh Almarhum ditempatkan di kalangan hamba yang bertakwa.

Ampun tuanku.

****

SAYA singgah ke Makam Diraja Johor selepas penyempurnaan majlis pengkebumian yang penuh Istiadat pada siang hari Sabtu, 23 Januari 2010.

Ruang legar makam masih sugul dengan orang ramai khusus rakyat negeri Johor mempersembahkan sembah dukacita di atas kemangkatan baginda Sultan.

Demi menyerapkan nilai kesultanan dan sejarah tokoh-tokoh sejarah, saya sedang membaca Saasatul Ibaad dan Ketupat Cinta hasil karya Faisal Tehrani.


Sultan Johor Mangkat

Gambar ihsan Utusan Malaysia

PENGUMUMAN dibuat oleh YAB Menteri Besar Johor, jam 11.20 malam selepas mendapat perkenan pihak istana bagi mengumumkan kemangkatan Almarhum Sultan Johor pada jam 7.15 malam di Hospital Pakar Puteri, Johor Bahru.

Baginda akan dimakamkan di perkarangan Makam Mahmoodiah (belakang Maahad Johor) selepas permasyhuran Sultan Johor yang baru pada hari ini.

(Catatan ini ditulis di Johor Bahru)


Friday, January 22, 2010

FT Bicara Soal Pemasaran

SEMALAM di Radio 24 BERNAMA, Faisal Tehrani diberi peluang berbicara selama 30 minit di dalam ruangan 'Kerusi Panas'. Barangkali soalan yang dikemukakan kepada FT tidaklah terlalu panas.

Walaubagaimanapun, saya amat bersetuju dengan pandangan FT yang membicarakan bahawa penerbit tidak menjalankan tanggungjawab terhadap karya sastera.

Saya percaya bahawa bukan masalah karya sastera tetapi semua buku. Ada penerbit yang hanya menjual buku-buku mereka di kedai-kedai indie; malahan barangkali juga buku hanya dijual di dalam stor kilang penerbit masing-masing.

Saya kurang pasti ingin menyalahkan pihak yang mana. Jika dilabelkan kepada penerbit, persoalannya, mengapa penulis dengan sengaja memilih jalan yang salah menerbitkan buku mereka dengan penerbit yang tidak menjalankan tanggungjawab mereka.

Namun, dari satu sisi yang lain, terfikir juga masalah penerbit yang dengan sengaja tidak mahu menerbitkan buku dan karya-karya sastera.

Barangkali ada penerbit yang memberikan alasan bahawa karya sastera sukar dijual. Karya sastera hanya dibaca oleh sasterawan.

Fikir saya bahawa karya sastera bukan perlu dijadikan persoalan untuk dijual tetapi bagaimana karya itu dibeli oleh generasi yang faham sejarah.

Tambahan :

Hikayat Melayu kita barangkali sudah tenggelam ekoran tiada pihak ingin menerbitkannya.


Thursday, January 21, 2010

Merindui Musim Sejuk Kaherah


SAYA berulang-ulang kali memandang ke langit. Luas. Jauh mahu dicapai. Barangkali tidak terdaya untuk ditafsirkan.

Saya melihat lagi langit. Kali ini dengan mata hati. Aduh! Betapa langit ini tidak sama dengan langit semalam. Betapa langit ini bukan langit yang saya lihat sewaktu di Mesir.

Saya menekur ke bumi. Memerhatikan dataran tar yang hitam pekat. Sesekali cat putih belang-belang melintasi.

Mana dataran padang pasir seperti dahulu? Mana debu sahara yang kelam-kelam jauh meninggalkan diri.

Aduh.

Kali ini saya melihat air di dalam tasik. Tasik ini airnya tidak sejernih Sungai Nil yang mengalir laju. Tasik ini bukan mewakili tasik Cleopatra di bumi sahara di bandar Siwa.

Betapa semua itu lain dari yang lain.

Saya membuka pili air. Wow! Pili air ini sama seperti air ketika saya di Asrama Pelajar Johor, Rabaah. Betapa sejuk air ini sama seperti air di dalam pejabat PMRAM. Betapa sejuk air ini sama seperti di Masjid Imam Syafie di kota Saidatina Aisyah.

Saya mampir ke hadapan dan saya melihat ini Genting Highlands di Malaysia.


PTS Di Dalam Akhbar

Godam: 'Moleknya duduk semeja, berbincang empat mata'
Bersama Salbiah Ani
dahiyah@nstp.com.my

KELEMAHAN pemasaran buku dan majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebenarnya sudah lama dibincangkan di kalangan orang bahasa dan sastera negara ini, tetapi hanya kini berani diperkatakan secara terbuka termasuk mereka yang berkepentingan dalam industri percetakan.

Kemelut yang sejak sekian lama cuba disorokkan daripada pengetahuan umum apalagi media massa, kini sudah semakin membusung dan ‘nanah’ yang terkumpul hanya menanti masa untuk pecah sehingga jalan penyelesaian perlu segera dicari bagi mengelakkan perniagaan buku dan majalah badan terbabit daripada terus tersungkur!

Rungutan berhubung perkara ini bukan saja penulis terima daripada orang luar, tetapi juga orang dalam DBP dan Dawama; pendek kata daripada kakitangan bawahan sehingga pengurusan serta jelas mempamerkan ia bukan bertujuan menuding jari, sebaliknya mahukan penyelesaian segera!

Penswastaan Bahagian Pemasaran dan Percetakan DBP dengan kajian terperinci oleh Unit Perancangan Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri (JPM), berkuat kuasa 1 September 2002 dan mengikut perjanjian dipersetujui kedua-dua pihak, akan berlangsung selama 12 tahun.

Sehingga kini, sudah tujuh tahun empat bulan Bahagian Pemasaran dan Percetakan DBP diswastakan dan dikenali sebagai Dawama Sdn Bhd dengan pemegang saham utamanya ialah Lokman Che Harun, Kamaruzzaman Muda, Datuk Ghani Ngah dan Datuk Azhar Hashim.

Di sebalik segala macam permasalahan yang timbul ekoran penswastaan Bahagian Pemasaran dan Percetakan DBP, badan berkanun terbabit boleh tersenyum lebar tahun ini apabila dapat mengelakkan peristiwa hitam, buku teks lewat sampai ke sekolah rendah mahupun menengah daripada berulang!

Khabarnya Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abd Aziz, turun padang bagi mengelakkan perkara itu dalam usahanya memberi citra baru kepada badan berkanun di bawah jagaannya dan bagi menyelamatkan wang milik DBP daripada terbazir membayar denda tidak perlu, jika penyerahan buku teks tidak mengikut jadual ditetapkan!

Risikan penulis menunjukkan sejak penswastaan Bahagian Pemasaran dan Percetakan DBP, badan berkanun terbabit tidak berpuas hati dari segi nisbah agihan perkongsian perniagaan dengan sesetengah mengatakan 20:80 (DBP-Dawama) dan ada juga yang mendakwa 30:70 (DBP-Dawama).

Pecahan nisbah itu dianggap hanya menguntungkan Dawama dan meletakkan DBP pada perkongsian yang merugikan tanpa menafikan sesetengah buku terbitannya sukar dijual, tetapi keuntungan hasil jualan buku teks pasti dapat menampung kelemahan aspek terbabit, di samping DBP terpaksa menanggung kos jabatan editorial sepenuhnya!

Hakikat DBP membayar royalti penuh kepada pengarang sebaik buku diterbitkan dan sebelum ia berada di pasaran atau dengan kata lain belum tentu dapat dijual, turut tidak disenangi badan berkanun terbabit, di samping kaedah pemasaran yang terlalu bergantung kepada pengedar buku DBP, memburukkan lagi keadaan.

Aspek promosi buku terbitan DBP yang seperti ‘kura-kura’ oleh ‘adik angkatnya’ mengeruhkan lagi hubungan kedua-dua pihak dan khabarnya daripada lebih 700 judul yang disediakan DBP pada tahun lalu, hanya separuh daripada jumlah itu berjaya dicetak menyebabkan emarahan pengurusan badan berkanun terbabit berpanjangan.

Suatu hakikat yang tidak dapat ditolak bahawa buku terbitan DBP sememangnya tidak akan ditemui di rangkaian kedai buku popular seperti MPH, Popular, Kinokuniya dan Borders yang menjadi kunjungan utama ulat buku, meskipun difahamkan sejumlah kecil majalah terbitan DBP kini boleh dibeli di rangkaian kedai 24 Jam Seven Eleven.

Banyak juga rungutan diterima yang mendakwa bahawa penswastaan Bahagian Pemasaran dan Percetakan DBP menyebabkan banyak syarikat percetakan Bumiputera gulung tikar kerana perniagaan dibolot satu pihak, berbanding ketika DBP bergerak sebagai badan berkuasa penuh!

Penulis difahamkan DBP sudah muak dengan tuduhan pihaknya lembap dalam menerbitkan karya yang dihantar pengarang sehingga ada Sasterawan Negara (SN) merajuk dengan DBP bukan saja dari segi bayaran royalti, tetapi juga dengan bertindak meminta hak cipta mereka dipulangkan!

Hendaknya DBP mahupun Dawama melihat rungutan dan cadangan beberapa pihak agar perkara terbabit diselesaikan segera sebagai suatu teguran membina kerana ia bertujuan melancarkan perjalanan memartabat serta memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi mahupun ilmu di negara ini yang berada pada kedudukan telur di hujung tanduk.

Jika penerbit baru seperti PTS Publication and Distribution Sdn Bhd dan KarnaDya Solution Sdn Bhd, pemain baru dalam industri buku menunjukkan kemampuan berkembang dalam jangka masa pendek, tentunya kemelut DBP-Dawama tidak menunjukkan tiada jalan pulang untuk kembali berdaya saing.

Hendaknya Lembaga Pengelola DBP dan Kementerian Pelajaran memberi perhatian kepada kemelut ini bagi mencari jalan penyelesaian segera kerana baik pengarang mahupun pembaca semakin tak sabar dengan situasi terbabit ekoran ia turut membabitkan wang hasil daripada cukai pendapatan rakyat dan mereka tidak mahu melihat buku melangit di gudang!

Wednesday, January 20, 2010

Gambar Sekitar HSPM 2006/07


Faisal Tehrani menerima anugerah karya buku (novel) dan eceran

Nisah Haji Haron menerima anugerah karya eceran

Dato' A Samad Said juga menerima karya eceran


KEPUTUSAN PENUH HSPM 2006/2007

KATEGORI BUKU (RM10,000)

1. Novel: Bedar Sukma Bisu, Faisal Tehrani
2. Kumpulan Cerpen: Mekar Sakura di Mimbar Cinta, Ilham Hamdani
3. Kumpulan Puisi: Kristal di Laut Bulan, Siti Zaleha Hashim
4. Kumpulan Drama: Hikayat Qaziq, Siti Jasmina Ibrahim
5. Kumpulan Esei dan Kritikan Sastera: Drama Melayu Tradisional, Moden dan Pasca Moden, Mana Sikana
6. Biografi/Autobiografi: Dalam Ribuan Mimpi Gelisah: Memoir Said Zahari, Said Zahari

KATEGORI BUKU (RM5,000)

Buku Remaja

1. Novel Remaja: Manikam Kalbu, Faisal Tehrani
2. Kumpulan Cerpen Remaja: TIADA
3. Kumpulan Puisi Remaja: TIADA
4. Kumpulan Drama Remaja: TIADA

Buku Kanak-kanak

1. Novel Kanak-kanak: Azrul Wira Anak Laut, Hassan Omar
2. Kumpulan Cerpen Kanak-kanak: TIADA
3. Kumpulan Puisi Kanak-kanak: TIADA
4. Kumpulan Drama Kanak-kanak: TIADA

KATEGORI ECERAN (RM1,000)

Genre Puisi

1. Diamnya Malam, Nahmar Jamil
2. Sumpah Setia Tanjung Piai, Nisah Haji Haron
3. Catatan Panjang tentang Suami Skizo, Isteri Skizofrenia, Wanita Skizofrenik, Zaiton Ajamain
4. Hujung dan Pangkal, Abizai
5. Malam Rosiah, A Samad Said
6. Mereka yang Mendaki Maqam Percintaan, As-Shuhaimi (Suhaimi Haji Muhammad)
7. Pohon Bahasa Perkasa, Raja Rajeswary Seetha Raman
8. Terlalu, Shapiai Mohd Ramly
9. Sang Pelakon, Nimoiz TY
10. Wanita dan Laut, Mahaya Mohd Yassin

Genre Cerpen

1. Cinta Puncak Sagarmatha, Rozais al-Anamy
2. Jerebu dalam Blog Mak Andeh, Fudzail
3. Pusaka Cendana, Nisah Haji Haron
4. Hadiah untuk Cikgu, Jais Sahok
5. Syair Asahab Mel, Siti Zaleha Hashim
6. Che Soleh Rial, A Rahman CM
7. Namaku Madam Sara, Muhd Mansur Abdullah
8. Bila Bulan Muncul, Asmidar Alias
9. Nilai Cinta Kami, Azizi Haji Abdullah
10. Lintah, Anwar Ridhwan

Genre Esei/Kritikan/Kajian Sastera

1. Citra Subaltern, Comprador dan Ambivalence dalam Novel-novel Jong Chian Lai: Analisis Studi Budaya, Mohamad Saleeh Rahamad
2. Cabaran dan Kesetian dalam Karya Adaptasi, A Wahab Hamzah
3. Pengabaian Ilmu dalam Karya Sastera, Faisal Tehrani
4. Kaedah Baharu Feminisme dalam Kritikan Sastera, Siti Hajar Che Man
5. Peranan Ulama dalam Menasihati Pemerintah Negeri berdasarkan Manuskrip Hukum Maksiat di Kelantan, Jelani Harun

Genre Drama: TIADA


Tuesday, January 19, 2010

Hadiah Sastera Perdana Malaysia Iktiraf Karya Sastera

Saya berkesempatan bersama-sama dengan penulis-penulis karya sastera Malaysia di dalam majlis penyampaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia yang diadakan di Hotel Legend, Kuala Lumpur semalam.

Penulis lama (otai) dan penulis baru (freshy) masing-masing tetap mengungguli anugerah dan hadiah sastera tersebut. Masing-masing membawa pulang wang tunai yang ditawarkan. Faisal Tehrani juga memintas Sasterawan Negara A. Samad Said apabila membawa pulang wang tunai RM 16,000.00 melalui dua buah karya yang pernah dinobatkan pemenang dan sebuah lagi karya eceran genre esei.

Sesungguhnya, sebagai pemain genre sastera saya mengucapkan terima kasih kepada pihak yang bertanggungjawab kerana masih lagi mengiktiraf karya sastera tempatan. Walaupun dijentik oleh YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada malam tadi kerana sikap DBP melewahkan program ini yang sepatutnya diadakan setiap tahun, sekurang-kurangnya DBP tidak akan lagi melewahkan bagi HSPM 2008/09 yang dijangka akan ditutup penyertaannya pada 31 Mac 2010 ini.

Saya mendoakan karya-karya terbaik Faisal Tehrani dijadikan teks KOMSAS terutamanya Manikam Kalbu yang sememangnya menikam kalbu saya ketika membacanya.

(Gambar tidak dapat di muat naik)


Kumpulan Cerpen PTS Bawa Pulang RM 10,000


Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2007/08 yang diadakan di Hotel Legend, Kuala Lumpur membawa tuah kepada Ilham Hamdani apabila karya beliau Mekar Sakura di Mimbar Cinta memenangi kategori kumpulan cerpen.

Beliau membawa pulang wang tunai RM 10,000, sijil dan hadiah iringan.

PTS Publications & Distributor Sdn. Bhd. mengucapkan tahniah kepada Saudara Ilham Hamdani di atas kemenangan ini.

Karya diterbitkan oleh PTS Millenia Sdn. Bhd.

Tambahan :
Kumpulan cerpen wajar diterbitkan dengan gaya dan ciri persembahan baru.




Sunday, January 17, 2010

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur

Gambar ihsan blog Sifu PTS

PESTA BUKU ANTARABANGSA KAHERAH akan berlangsung akhir bulan Januari ini selama dua minggu.

Teman-teman yang masih menuntut di Mesir pastinya tidak melepaskan peluang mengunjungi pesta buku tersebut. Saya pernah menghabiskan LE 1500.00 (RM 1000.00) untuk membeli kitab-kitab rujukan semasa di dalam pesta buku tersebut.

Penerbit dan booth pilihan pastinya DARUS SALAM. Walaupun Maktabah DARUS SALAM boleh sahaja dilawat di hadapan rumah (ketika di Kaherah) saya memilih untuk memborong di maktabah yang sama.

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) akan berlangsung pada 19-26 Mac 2010. Sejujurnya, ini adalah kali pertama pesta buku yang saya bakal sertai.

Gambar di atas adalah booth PTS ketika PBAKL tahun yang lalu. Tahun ini, saya difahamkan PTS menyewa 15 buah booth untuk ruang jualan dan pameran.

Saya ditugaskan mengetuai Jawatankuasa Siaraya yang bertindak membuat hebahan, pengumuman, menjadi pengerusi majlis / DJ sepanjang pesta buku berlangsung.

Insya-Allah, jikalau tiada halangan yang bertandang dan saya masih bernafas, jumpa saya di booth PTS sepanjang dua minggu berlangsung.


Saturday, January 16, 2010

Filem Ketika Cinta Bertasbih 2 Meriah


SEJUJURNYA filem Ketika Cinta Bertasbih 2 meninggalkan kesan yang mendalam terhadap jiwa. Mengakui bagaimana babak demi babak di susun sehingga membuka jendela bahawa percintaan itu lahir daripada hati yang tulus yang murni. Barangkali filem ini dilabelkan sebagai karya pop-Islami dan sejujurnya saya langsung tidak meletakkan dan menyandarkan apa-apa juga kepada cerita ini.

Biarlah pop Islamikah, pop corn kah, atau apa sahaja jenis pop tetapi filem ini sekurang-kurangnya menggambarkan kepada kita bahawa resepi hidup sebagai seorang Islam. Bagaimana perceraian menurut agama dan bagaimana takdir itu dilihat daripada satu paparan yang jelas lagi terpesona.

Saya sedang mengarang sebuah novel pop Islami yang akan diterbitkan oleh PTS Litera. Semalam, sewaktu Tuan Fauzul Naim membaca sinopsisnya, beliau katakan kepada saya; "Syafiq ini cerita sebenar awak?" Saya hanya tersenyum dan mengatakan, ini bukan cerita saya.

Pengalaman saya ingin menulis novel ini, saya perlu buka lagu Ketika Cinta Bertasbih dahulu sebelum terus meluncur laju menulis manuskripnya. Barangkali orang kata : feeling...

Mengikut perancangan produksi, novel ini akan terbit bulan Jun nanti. Sama-sama menunggu....:)


PTS Fortuna Untuk Genre Lelaki

TAHUN 2010 adalah tahun revolusi besar untuk salah satu syarikat di PTS Fortuna. Semasa saya menyertainya awal Oktober lalu, jumlah pentadbirnya hanya dua orang. Hari ini, pentadbir PTS Fortuna sudah berkembang seramai empat orang termasuklah Tuan Nazri M Annuar yang sudah mula bercuti mulai 15 Januari 2010.

PTS Fortuna diwujudkan bagi melahirkan produk-produk sastera jantan atau buku-buku jantan tegar.

Saya dan Tuan Zaki Zainol ditugaskan memantau unit dewasa dan Tuan Faizal Mukhtar dan Cik Aznurliza Ngainon (Ain) ditugaskan memantau unit kanak-kanak dan terjemahan.

Oleh sebab unit kanak-kanak memerlukan ilustrasi yang banyak, saya perlu mengimport artis grafik dari luar negara.

Saya sudah berbisik-bisik dengan Tuan Nasrul Lagendaseni yang kini di Mesir dan Tuan Mior Khabir Zikri juga dari Mesir tetapi kini sudah berada di Malaysia, untuk menjadi ilustrator khas kepada unit saya.

Lukisan di atas adalah lukisan Tuan Nasrul Lagendaseni yang menjadi milik mutlak beliau. Saya sudah berfikir-fikir untuk memperkenalkan siri baru untuk kanak-kanak khas untuk PTS Fortuna.



Friday, January 15, 2010

Pertemuan bersama Penulis Puaka Niyang Rapik


AWAL-AWAL PAGI saya bangun untuk menonton Faisal Tehrani (FT) di MHI, TV3. Beliau membicarakan novel Manikam Kalbu yang memenangi Hadiah Pertama, Sayembara Novel Jubli Emas DBP. Novel yang sama juga telah menerima Anugerah Buku Negara Malaysia akhir Disember lalu.

Isnin ini pula, novel yang sama akan memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia yang akan diadakan di Hotel Legend, Kuala Lumpur.

Insya-Allah, pada malam tersebut saya akan berada di Hotel Legend bagi anugerah Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM). Terima kasih kepada DBP kerana mengizinkan saya berada di dalam majlis tersebut.


Puan Siti Jasmina Ibrahim (kiri) dan Dr Mawar Shafei

JAM 9.30 pagi - dengan niat ingin bertemu dengan Puan Siti Jasmina Ibrahim (Kak Jas), saya segera ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Niat saya adalah semata-mata mendengar pengalaman dan cerita menarik daripada seorang penulis muda ini.

Kali pertama bertemu dengan Kak Jas, semasa kami sama-sama menjadi urusetia program Pertemuan Penyair Nusantara ke-3 di DBP. Namun, saya tidak menyangka bahawa Kak Jas adalah penulis skrip Puaka Niyang Rapik yang disiarkan di TV3.

Apabila Dr Mawar Shafei memperkenalkan Kak Jas dan menyandarkan bahawa Kak Jas merupakan penulis skrip drama Puaka Niyang Rapik, tiba-tiba tidak keruan saya mendengarnya.

Tahulah saya waktu itu bahawa saya sedang bersama penulis skrip drama seram itu. Kak Jas cerita tentang suka-duka sebagai penulis skrip drama dan hidup sebagai seorang penulis sepenuh masa.

Saya gembira berdampingan dengan penulis-penulis yang bergadar besar di dalam mencorakkan sastera negara.

Akhir pertemuan, sempat saya berbicara berkenaan novel-novel baru Kak Jas yang perlu ditulis dan diterbitkan oleh PTS.


Bagaimana Menghasilkan Karya Yang Baik?

RAMAI bertanya kepada saya, bagaimana ingin menghasilkan karya yang baik. Setiap tahun, masa berganti masa. Waktu bertukar waktu dan segalanya berubah.

Dahulu, ramai orang mengatakan karya yang baik adalah disebabkan penulisan itu baik. Ya. Saya mengakui kebenarannya.

Pasca 2010, saya berpandangan bahawa karya yang baik adalah disebabkan bahasa yang baik, kualiti cerita yang baik, nilai dan pengajaran di dalam sesebuah karya itu besar dan watak yang dipersembahkan adalah watak yang benar-benar unggul dan berkualiti.

Ada satu lagi sebab, mengapa karya dinilaikan baik dan sempurna. Perkara itu adalah disebabkan kualiti ilmu yang membantu di dalam karya juga dianggap terbaik.

Lihat novel besar di bawah ini :

1. Manikam Kalbu karya Faisal Tehrani membicarakan persoalan busana Melayu.

2. Justeru Impian di Jaring karya Zaid Akhtar membicarakan persoalan sukan badminton.

3. VT karya Hilal Asyraf membicarakan persoalan sukan bola tampar.

Sebagai seorang pengarang, pastinya kita ingin menghasilkan karya yang terbaik. Namun, apa resepinya?


Wednesday, January 13, 2010

10 Tahun PTS


Jikalau tuan-tuan dan puan-puan ke kedai buku, logo pada buku keluaran PTS pada tahun ini adalah seperti di atas.

Jikalau tuan-tuan dan puan-puan teringin untuk memakai logo ini pada buku tuan-tuan sekalian, jangan lupa hantarkan manuskrip hebat itu pada tahun ini.

Tahun 2011 nanti, logo ini sudah tiada lagi.

Tambahan :
PTS sudah sepuluh tahun mendewasakan diri di khalayak. Anda bagaimana?


Tuesday, January 12, 2010

Mantan BP PMRAM Kena 'Tangkap Basah'

KELAM-KABUT 1Malaysia apabila Mak Bedah dengar berita ini. Bagai tidak percaya perkara yang berlaku. Mak Bedah mula-mula dengar-dengar daripada jauh saja. Tapi, perkara yang Mak Bedah dengar ini jadi kenyataan.

Mantan BP PMRAM kena 'tangkap basah' di dalam sebuah bilik penginapan (hotel) di salah satu negeri.

"Syafiq, aku geram betul dengan pencegah maksiat ini. Pintu bilik aku diketuk jam 1 pagi. Geram betul. Aku nak terajang saja orang tu..." Terang kawan Mak Bedah tersebut.

Mak Bedah gelak besar apabila mendengar berita itu. Mana tidaknya, kawan Mak Bedah itu sudah berkahwin beberapa bulan lalu. Namun, disebabkan isteri beliau sambung belajar, beliau terpaksa berhujung minggu berhampiran dengan kediaman (asrama tempat tinggal) isterinya.

Beliau membawa isterinya ke sebuah hotel berhampiran kampus dan tidur di sana.

Moral :

Lain kali apabila sudah kahwin, jangan suka pisah-pisah. Nanti merana. Kenyataan ini dibuat untuk dua orang pemimpin PMRAM yang kini sedang duda di Mesir dan isteri beliau di Malaysia.

Mohon maaf zahir batin.




Monday, January 11, 2010

Dua Buah Filem


MINGGU lalu, saya berpuas-puasan menonton dua buah filem. Pertama, filem Mualaf karya Yasmin Ahmad dan sebuah lagi filem aksi iaitu Merantau Warrior.

Jika ingin diletakkan taraf markah, saya tidak pasti mahu beri berapa markah kepada pengarah filem ini.

Tetapi, jika mahu dibebelkan, nanti saya akan bebelkan sehingga sakit telinga orang yang mendengarnya malah mungkin boleh menjadi kontroversi terhadap bebelan saya itu nanti.

Muallaf tidaklah sebaik yang saya sangka. Awal-awal lagi saya sudah letakkan bahawa ini filem tauhu sumbat.

Jika hendak mengajar dakwah kepada orang bukan Islam, ini bukan cereka yang diminta. Ini hanya filem tauhu sumbat yang sebenarnya tidak akan memberikan apa-apa keistimewaan kepada penontonnya.

Aduhai, saya tidak gemar menjadi seorang pengkritik panas kerana risau penonton yang gemar menonton filem ini akan baling telur tembelang kepada saya.


Saturday, January 09, 2010

Adaptasi Skrip Drama ke Novel


BEBERAPA minggu lalu, saya berbisik-bisik dengan penulis skrip drama Nur Kasih yang meletup di TV3 untuk diadaptasi skrip drama tersebut kepada novel.

Alhamdulillah, hari ini daripada lampu merah sudah bertukar kepada warna kuning. Saya telah mendapat maklum balas positif. Hanya satu langkah menunggu lampu hijau daripada Tuan Frank yang merupakan pemilik penuh Filmscape Sdn. Bhd. (FSB) untuk mengizinkan drama ini dinovelkan.

Jika beliau bersetuju, novel tersebut saya sendiri akan menjadi pengarangnya dan bakal diterbitkan oleh PTS Publications. Doakan segalanya berjalan dengan lancar.


Pengalaman Bertugas


GAMBAR di atas adalah pejabat di Jabatan Undang-Undang, Johor Corporation. Saya pernah masuk pejabat Johor Corporation dan bertugas di bawah Jabatan Undang-Undang pada tahun 2007 semasa cuti semester.

Gambar ini saya ambil dari meja saya yang terletak di belakang Kak Azizah. Alangkah terperanjat saya apabila ditempatkan di jabatan ini kerana saya tidak mengetahui selok-belok berkenaan undang-undang.

Namun, apabila tanggungjawab itu diamanahkan, saya lakukan sahaja.

KFC Holdings Sdn. Bhd. adalah anak syarikat di bawah Johor Corporation. Sebelum pulang dari Mesir, saya pernah ditawarkan untuk menjadi salah seorang pengurus kepada anak-anak syarikat yang berada di bawah pentadbiran KFC ini, namun saya memilih jalan selamat untuk menjadikan PTS Publication & Distributors Sdn. Bhd. sebagai pilihan utama.

Mengapa PTS?

Saya ada satu prinsip bahawa hidup ini untuk berjuang. Perjuangan menegakkan kalimah Allah. Perjuangan untuk menjadi seorang manusia yang luar biasa. Dasar perjuangan PTS jelas. Kita mahukan anak-anak cemerlang dengan membaca buku-buku ilmu.

Kita mahukan anak-anak terus belajar dengan membaca buku-buku kita. Ilmu datang secara automatik apabila ramai yang membaca buku kita.

Kali pertama saya mengenali PTS pada tahun 2006. Waktu itu, saya sudah berada di tahun 2 di Universiti Al-Azhar. Teknik Menulis berdasarkan Surah Yusof telah saya khatami satu dan persatu.

Hari ini, selepas hampir empat bulan saya berkhidmat untuk PTS, saya fikir pilihan saya sudah betul. Posisi saya sudah tepat. Walaupun ada tawaran-tawaran yang mendatang termasuklah ada yang mengajak saya mengisi borang berkhidmat untuk sektor kerajaan, saya tolak ke tepi.

Jika mereka sandarkan jumlah gaji, saya berkata kepada mereka bahawa jumlah gaji saya sekarang pun lebih tinggi dari mereka yang bekerja kerajaan kerana saya melakukan kerja-kerja freelancer dan menyampaikan kuliah di beberapa surau dan masjid sekitar negeri Selangor. (Maaf, barangkali ini ayat ambitious. Tetapi saya ingin menyatakan bahawa bukan kerajaan sahaja yang memberikan peluang hidup kepada kita)

PTS tidak masuk kontrak kerajaan. Satu sen wang kerajaan juga tidak ada kami sangkutkan. Jikalau wujud sekalipun, barangkali kontraktor UMNO yang terpaksa memilih buku PTS untuk dijual kepada kerajaan.

Oleh itu, PTS berjuang dan berusaha dengan kejayaan tekal yang ada pada hari ini. Saya telah nampak bahawa inilah syarikat perjuangan dan syarikat yang menguruskan dunia perjuangan yang terbesar iaitu perjuangan bahasa dan agama.

Dunia PTS adalah satu dunia baharu kepada saya. Oleh sebab itu, fikir saya bahawa calon yang ditawarkan bekerja juga sebenarnya ada ciri-ciri orang berjuang.


Thursday, January 07, 2010

Penggunaan Nama Allah Menurut Pengkaji Bahasa


HAMPIR seminggu isu keputusan mahkamah membuat keputusan terhadap penerbitan sebuah akhbar Herald - The Catholic Weekly diperbahaskan oleh semua pihak.

Apabila hakim mengumumkan tidak menjadi masalah apabila menggunakan kalimah 'Allah' dalam penerbitan Herald, kelam-kabut 1Malaysia.

Saya ingin membahaskan perkara tersebut dalam sudut dan pandangan pengkaji bahasa.

Di dalam bahasa Melayu, biasanya pelajaran yang pertama kita pelajari adalah kata nama am dan kata nama khas.

Jika kita mengatakan batu, maka terfikir kepada kita bahawa batu itu satu nama yang umum. Tetapi apabila kita menyandarkan kepada Batu Caves, barangkali ia bukan lagi satu nama yang umum malah telah menyandarkan bahawa Batu Caves itu adalah khusus dan tentunya hanya yang layak diberikan gelaran Batu Caves adalah sekitar kawasan Batu Caves.

Begitu juga jika kita mengatakan kereta. Kereta adalah satu benda umum dan boleh sahaja kita mengatakan bahawa kereta A, kereta B dan sebagainya. Tetapi apabila kita mengatakan bahawa kereta Proton Persona, kereta Perodua VIVA, maka tentunya ia disandarkan kepada jenis kereta tersebut.

Di dalam isu kalimah Allah yang dibahaskan, kalimah atau perkataan Allah adalah satu nama yang Khas yang hanya layak bagi-Nya. Tidak boleh dikongsi oleh sesiapa pun.

Contoh begini. Nama saya Syafiq. Syafiq maknanya penyayang. Bolehkah teman-teman memanggil saya dengan nama Penyayang? Pelik bukan? Ataupun, saya akan mengatakan saudara 'gila' kerana memanggil saya dengan nama Penyayang.

Tuhan itu umum. Tetapi, Allah itu khusus bagi-Nya. Tiada siapa yang layak menggunakan namanya selain Dia Yang Maha Berkuasa.

Nama Khas tidak boleh dikongsi-kongsi. Hanya digunakan untuk Dia sahaja. Oleh hal yang demikian, permainan senda gurau Yahudi ini hanya untuk memporak-perandakan Islam sahaja dan mencabar kreadibiliti agama Islam di muka bumi ini.

Tambahan :

1. Saya mengambil masa seminggu membuat kesimpulan daripada isu ini malah terpaksa berfikir menurut pandangan seorang pengkaji bahasa. Oleh kerana bahasa Melayu ini pelbagai rencam dan maknanya, saya perlu mengajar perkara yang tepat.

Wednesday, January 06, 2010

Silibus KOMSAS

PENGAJARAN SISTEM KOMPONEN SASTERA (KOMSAS) mula diperkenalkan di sekolah-sekolah menengah mulai tahun 2000. Saya merasai pendidikan tersebut di dalam matapelajaran bahasa Melayu sejak tingkatan 4.

Generasi hari ini bertuah pula kerana dimandikan dengan dunia KOMSAS semenjak Tingkatan 1 lagi.

Buku teks KOMSAS akan diubah mulai tahun 2010 ini. Saya ucapkan tahniah kepada teman-teman seangkatan (teman-teman rapat dalam dunia sastera) kerana karya mereka terpilih untuk dimuatkan di dalam antologi KOMSAS dan silibus bagi tahun ini.

Tambahan :

Apabila karya terpilih untuk dimuatkan di dalam antologi tersebut, makin bertambah kaya lah teman-teman kita kerana mendapat satu projek kerajaan.

Karya Novel Istana Menanti tulisan Abdul Latip Talib juga terpilih sebagai silibus KOMSAS tahun ini.


Tuesday, January 05, 2010

Mengapa BMT?

Gambar hiasan
(Gotong-royong sekolah PASTI sebelum persekolahan dibuka semalam)


Semasa Tingkatan 1 hingga 3, saya mempelajari matapelajaran Bahasa Arab Komunikasi (BAK). Kemudian, beralih kepada matapelajaran Bahasa Arab Tinggi (BAT) semasa di tingkatan 4 dan 5.

Apa yang membezakan matapelajaran BAK dan BAT? BAK mengajar struktur tatabahasa melalui komunikasi. Bahasa Arab diterjemahkan dengan mudah melalui kaedah nahu melalui percakapan harian.

Apabila telah sampai satu tempoh pengajian, ia akan berubah kepada BAT iaitu nilai sastera dan ilmu yang dihantar melalui ilmu bahasa Arab.

BAT mengajar tentang sastera dalam bahasa Arab. Mengajar balaghah (perumpaan) dan adab nusus (syair dan sebagainya- sastera).

PTS Publications & Distributor Sdn. Bhd. mengajar kaedah menulis bahasa Melayu Tinggi. Mengapa perlu bahasa Melayu Tinggi?

Oleh kerana bahasa juga adalah salah satu peradaban di dalam komunikasi dan sastera, ia terangkum di dalam aspek penting untuk dihasilkan.

Al-Quran sebagai syariat Allah Taala diturunkan di dalam bahasa Arab Tinggi. Tiada satu pun kalimah yang bernilai bahasa Arab Komunikasi atau disebut bahasa Arab Rendah di dalamnya.

Justeru, apabila bahasa Melayu Tinggi (BMT) ini dipamerkan oleh PTS, ramai yang bertanya, ke mana akan duduknya bahasa itu nanti. Tetapi mengapa Al-Quran yang menggunakan bahasa Arab Tinggi tidak pernah jemu dibaca walaupun kitab yang sama dibaca sehingga meninggal dunia.

Contoh bahasa Melayu Rendah :

Dah lama ke dia berkenalan sampai nak berkahwin?

Contoh bahasa Melayu Tinggi :

Apakah perkenalan di antara mereka sudah lama sehingga hendak mendirikan rumah tangga?


Monday, January 04, 2010

Cerpen PANAS di Mingguan Malaysia

Faisal Tehrani membuka gelanggang sastera Mingguan Malaysia dengan cerpennya berjudul 'Tunggu Ana di Karbala'.

Boleh klik di sini

Tambahan :

Propaganda yang cuba mengaitkan Faisal Tehrani dengan syiah perlu diperhalusi oleh pembaca melalui karya ini.


Sunday, January 03, 2010

Ustaz Hidayatus Saufi Menemui Ilahi




AWAL SUBUH saya mendapat mesej ringkas daripada teman-teman memaklumkan bahawa sahabat kita Ustaz Hidayatus Saufi menemui Ilahi setelah seminggu bertarung dengan keracunan makanan yang dialaminya.

Beliau telah bertolak dari Mesir ke Malaysia pada 29 Disember 2009 yang lalu dan segera dihantar ke Hospital Mersing di Johor. Namun, atas dasar kritikal yang telah dialami, Allahyarham telah dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru dan dimasukkan ke wad kecemasan (ICU).

Menurut sumber yang sahih dan laporan doktor, Allahyarham disyaki telah makan ikan beracun yang dibeli di salah sebuah kedai di Mesir. Ikan tersebut menjadi sebab dan punca utama, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada awal pagi waktu Malaysia di HSA, Johor Bahru.

Masalah makanan yang dijual di kedai atau gerai awam di Mesir perlu diberi perhatian yang serius. Pembelian tokmiah, isy, sish-tawook, kebab, ikan, ayam, daging atau apa sahaja makanan yang terdapat di sana perlu diberi perhatian serius. Bakteria, racun atau apa sahaja jenis makanan perlu dipilih secara sihat.

Dahulu, ketika PMRAM menguasai pentadbiran ARMA di Mesir, bantuan subsidi diberikan kepada penduduk ARMA. Namun, hari ini apabila pentadbiran telah bertukar kepada MSD, mengapa tiada subsidi makanan diberikan kepada penduduk ARMA malah harga mahal terus menjadi trend jualan kepada mahasiswa.

Marilah sama-sama kita berdoa agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Amin.

Tambahan :

1. Saya bersama Ustaz Ridwan Roslan bertolak dari Batu Caves ke Mersing pada jam 8 pagi. Kami tiba di Tanah Perkuburan Mersing pada jam 12 tengah hari.

2. Bentuk perjalanan adalah seperti berikut : Batu Caves - PLUS Utara Selatan- Negeri Sembilan - Melaka - Tangkak - Ayer Hitam - Kluang - Felda Nitar- Mersing - Endau- Rompin - Kuantan - Temerloh- Lebuhraya Karak - Genting Highlands - Gombak - Batu Caves.

3. Penulis adalah jurugambar dan tiada dalam gambar di atas.

4. Allahyarham pernah diberi amanah di dalam program-program besar PMRAM termasuklah menjadi pengacara, add-hock dan pembantu kanan BKPJM.

5. Ayat- ayat terakhir yang dirakam di dalam facebook beliau : "Kita bertemu di penghujung rindu."



Saturday, January 02, 2010

Hari Keluarga PAS Gombak

Tapak kem

Ustaz Syarhan Humaizi, Ketua Pemuda PAS Gombak



CUTI TAHUN BARU, 1 Januari 2010 telah dimanfaatkan oleh semua kepimpinan PAS Kawasan Gombak untuk menyambut Hari Keluarga bersama.

Program santai dan berhujung minggu di tepian sungai sambil makan makanan panggang (BBQ) adalah pembuka acara dan gelanggang kepimpinan Gombak bagi tahun 2010.

Program telah diadakan di kawasan perkhemahan Laman Nur Bestari P1 di Ulu Yam, Selangor.

Walaupun tempoh acara tidak lama (sekitar 4 jam) tetapi ukhuwah yang dijalin bersama rakan sefikrah tetap diteruskan. PAS bukan sekadar parti tetapi gerakan Islam yang memacu pentadbiran negara Islam umumnya.

Tambahan :

Pada sebelah malam, saya diundang menyampaikan kuliah Maghrib di Masjid Jamek Kg. Nakhoda, Batu Caves, Selangor.

Sempena kedatangan tahun baru, input yang disampaikan adalah berkenaan dengan Niat dan Azam Tahun Baru.


Friday, January 01, 2010

Wajah 2009


Wajah
wajah
wajah
wajah
wajah
wajah
wajah
2009.

Ini wajah 2009
wajah editor
wajah penulis
wajah pengarang
wajah pemberontak
wajah...wajah...dan wajah.

2010 : Corat-coret Hari Pertama

SUDAH tiba tahun kedua puluh lima saya di dalam hidup. Malam tadi, sambutan malam baru yang 'gamat dan goyah' di bandaraya Kuala Lumpur mencerminkan bahawa sikap rakyat Malaysia masih belum lagi berhijrah.

Saya tidak ke Dataran Merdeka pada malam tahun baru. Tidak pula ke KLCC atau ke Menara Kuala Lumpur. Saya berada di Rumah PENA yang terletak di Jalan Dewan Bahasa.

Program Genta Puisi ASWARA-PENA III 2009 menghimpunkan sejumlah penyair baru dan lama untuk menyampaikan puisi sinis, puisi politik, puisi suara kemanusiaan dan puisi masyarakat.

SN A. Samad Said juga turun bersama-sama memeriahkan majlis. Ahmad Fedtri Yahya (TV3) juga turut hadir menyampaikan puisi.

Saya mengakrabi pertemuan bersama Saudara Zarif Hassan, tutor di Fakulti Pendidikan dalam bidang Pendidikan Kesusasteraan Melayu.

Banyak perkara yang sempat kami bincangkan bersama. Isu-isu hal ehwal sastera yang semakin gamat dan riuh.

Tambahan :

Gambar di atas adalah sewaktu saya ke Singapura ketika cuti Krismas minggu lalu.

"Tuan Nazri saya juga mengembara seperti Tuan."