Posts

Showing posts from July, 2008

Pemergian Yang Tidak Dirancang

Image
SN A. Samad Said dan SN S. Othman Kelantan berbincang ketika di ASWARA. Gambar terakhir yang sempat dirakam.

WARGA Sastera Tanah Air menerima pemergian sasterawan negara ke sembilan, Allahyarham S. Othman Kelantan yang menemui ilahi pada hari Khamis, 30 Julai 2008.

Takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarham. Semoga roh beliau dicucuri rahmat. Insya-Allah. Daripada berita yang saya terima sehingga kini, saya tidak pasti apakah penyakit yang dihadapi oleh Allahyarham.

Kali terakhir saya bertemu dengan beliau adalah pada 3 November lalu di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). Saya tidak menyangka bahawa itulah pertemuan kali pertama dan kali terakhir saya dengan Sasterawan Negara yang kesembilan itu.


PROGRAM SASTERA

Image
KEM LATIHAN PENULIS PMRAM akan mengadakan Seminar dan Bengkel Penulisan khusus kepada semua mahasiswa Malaysia yang berada di bumi Mesir ini. Justeru, mereka yang berminat untuk menyertai program ini boleh terus berhubung dengan jawatankuasa yang terlibat.

Insya-Allah, saya akan membentangkan satu slot di dalam program itu nanti.

Daripada Laman Web PMRAM;

Kem Latihan Penulis PMRAM (KELAP) di bawah kelolaan Badan Penerangan dan Penerbitan PMRAM akan mengadakan Seminar dan Bengkel Penulisan kepada semua mahasiswa dan mahasiswi di bumi Mesir. Program ini adalah menggalakkan penglibatan mahasiswa Timur Tengah di dalam mempamerkan bakat-bakat penulisan kreatif.

PMRAM yakin dan percaya dengan program sedemikian, ramai penulis baharu yang dapat dibentuk. Antaranya, Amiza Khusyri Yusof (Negeri Sembilan), Syarifah Salha Syed Ahmad (Negeri Sembilan), Mohd Nazmi Yaakob (Kelantan), Mohd Zaki M Noor (Johor), Sammaituha Najwa (Negeri Sembilan) dan ramai lagi yang sudah menempa nama di persada dunia t…

Setelah Amni Insyirah 1 Tahun

Image
26 JULAI 2008. Amni Insyirah telah genap berusia 1 tahun mengikut Kalendar Masihi. Tetapi, jika disemak mengikut Kalendar Hijri bulan kelahirannya tetap sama. Rejab. Nanti saya kaji ya.

Galau hati keluarga
peluk cium ayahanda
erat tangan kekanda
tuntunlah
walau seperit celaka
yang menanti dikau
di padang bernama mahsyar.

Sudah pedih lidahku
menghukum nafas petani rimba
bahawa segumpal emas dan airmata
tak dijual di kedai biasa.

- Puisi : Sekeping Akal Buat Amni Insyirah-

dimuatkan di dalam Antologi Puisi Bahasa Bumi, 50 Penulis Luar Negara
yang berada dipasaran sekarang.


Pak Long Mulut Murai

Image
Pak Long Mulut Murai ada dengar satu cerita. Tapi tak pasti la soheh ke tidak. Pang Long Mulut Murai harap berita ini soheh.

Sempena dengan tema "Julang Thaqafah Bakti Dicurah", Pak Long Mulut Murai ada dengar bahawa PMRAM (Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir) akan menyalurkan zakat kepada mahasiswa di perlembahan Nil ini.

Sumber memberitahu Pak Long Mulut Murai bahawa proses zakat ini akan diberikan kepada mahasiswa yang layak selepas ditapis oleh satu jawatankuasa temuduga. Ianya terdiri daripada Pemegang Amanah Zakat PMRAM dan lain-lain lagi.

Pak Long Mulut Murai dengar juga; bahawa nilai zakat itu (RM 6,000 setahun) untuk yang layak menerimanya. Kalau Pak Long Mulut Murai dibenarkan untuk isi borang temuduga itu, pasti Pak Long Mulut Murai juga nak turut serta. Tetapi, semacam ada harapan Pak Long Mulut Murai tak layak.

Jadinya sekarang, Pak Long Mulut Murai sedang menunggu masa sahaja pengiklanan dan borang zakat itu dikeluarkan oleh PMRAM.

Tambahan :
Rezeki Tuhan di mana-…

BAKAL TERBIT

Image
BAHASA BUMI
Buku Antologi 50 Penulis Luar Negara

Judul: Bahasa Bumi
Genre: Antologi puisi
Penyelenggara: Ainaa Mardhiah Suhaimi, Syazlin Sazali, Maisarah Shukri
Halaman: 190
Penerbit: GKLN Publishing House
ISBN: 978-983-44127-2-2
Tahun: 2008
Harga: RM15

BAHASA BUMI merupakan naskhah pertama Grup Karyawan Luar Negara yang menghimpunkan sejumlah 50 orang penulis luar negara termasuk Zaid Akhtar, Muhaimin Sulam, Fahd Razy, Hafez Iftiqar, Adibah Abdullah, Siddiq Osman, Ainaa Mardhiah Suhaimi, Syafiq Zulakifli, Alirfan Jindullah, Lailati Mahat dan ramai lagi. Para penulis ini kesemuanya sedang menuntut di pelbagai institut pengajian di seluruh dunia termasuk Sudan, Maghribi, Mesir, Jordan, Jepun, India, Indonesia, Australia, Jerman, Republik Czech, United Kingdom, Ireland, dan Amerika Syarikat. Keseluruhan karya mempamerkan kepelbagaian tema dan teknik, merangkumi sejarah, politik, falsafah, tarbiah dan dakwah, isu-isu semasa dan global, selain kemanusiaan dan kemasyarakatan. Usaha mengumpul 50 penu…

Pemimpin : Yang Mana Satu Jadi Pilihan

Image
SAYA adalah insan yang paling suka mendengar pidato, ceramah, syarahan dan pelbagai macam lagi aktiviti yang menjurus ke arah itu. Bermula daripada peringkat sekolah menengah beberapa tokoh-tokoh pemidato telah saya kunjungi dan lihat sendiri teknik, ruang dan kreatif mereka di dalam berbicara. Sebab itu apabila ada jemputan mendengar pemidato-pemidato ini berucap saya akan menjadi pencatat paling setia. Malah saya pernah terfikir menyalin semula fakta-fakta pemimpin dalam sebuah jurnal yang boleh menempatkan koleksi pemimpin Malaysia.

Secara peribadi, saya pernah menyaksikan beberapa orang tokoh pemimpin berucap. Teknik, gaya, persembahan dan cara yang ditunjukkan adalah sesuatu karisma yang tersendiri. Di antara tokoh yang menjadi kekaguman saya adalah Dato' Seri Anwar Ibrahim yang mampu berucap dengan imej sedar biasa tetapi mampu memberikan pandangan rasmi dengan tepat dan mengenai sasaran.

Hujah yang dibawa adalah suatu yang biasa, tetapi falsafah yang dimainkan adalah tinggi. …

KONGSI KARYA

TAFAKUR DI MAKAM IMAM SYAFIE

Halkumku menggendur
basah melingkari lafaz hamdalah
saat muazzin lakar keramat zikrullah
memandang telapak Rasulullah
terselit dalam kaki lima mihrab
makam Imam Syafie.

Gentingnya waktu itu
saat tasbih yang kami bekal tercabut
dilorong sepi seorang murabbi
tertinggal kalimah satu-persatu
tatkala menyingkap perhentian tandus kegersangan
airmata terjual dengan iman dan amal
dalam sebongkah damai kalbu
wira seorang syahid.

Kota sejarah ini
menyimpan malang Firaun
membongkar rahsia Tuhan
berpaling menjulang tinta Musa mengingatkan
sejarah dalam Al-Quran
Sumaiyyah hilang tangisan
ketika memulang roh dan jasad
menimbang amanah dan kasad.

Izinkan aku membilang hari-hari akhirku
tafakur di mimbar makam
membasuh pekat darah hitam
terkumpul dalam sebongkah ladam
mengetuk pintu kejahilan
menjaram kebongkakkan
hingga akhir malamku terhenti syahadah
yang mentalkinkanku.

SYAFIQ ZULAKIFLI
KAHERAH, MESIR.

(c) Mingguan Malaysia, 13 Julai 2008.

Goyang Inul Batal...Aduh!

Image
TAHNIAH kepada Pegawai Daerah Johor Bahru kerana membatalkan program Konsert Inul di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunus yang dijadualkan pada hujung minggu ini.

Kesedaran pegawai-pegawai kita menunjukkan kematangan kerajaan negeri Johor di dalam setiap tindakan. Harapnya nanti, mereka juga cekap bertindak untuk memberikan peluang-peluang kerjaya kepada mahasiswa Al-Azhar di Mesir khusus untuk orang-orang Melayu-Islam di Johor untuk membantu negeri.

Kita ada kuasa untuk sama-sama membantu menggerakkan kemajuan tanah air kita sendiri. Justeru, kenapa perlu berjidal dalam perkara-perkara remeh.

Kita bangga punya seorang Menteri Besar, YAB Dato' Abdul Ghani bin Othman di atas keprihatinannya memperkembang kemajuan infrastruktur negeri Johor dan memberikan peluang untuk kita orang-orang agama belajar Islam dengan sempurna.

Jika ini gerak gaya mereka, kita juga akan jadi orang mereka.


********************

Peminat kempunan saksikan goyang gerudi Inul
Sumber : Utusan Online

JOHOR BAHRU 17 Julai – …

Bukan Semua Baju Perlu Lipat

Image
SEMENJAK tahun 2005, Pertandingan Melipat Baju sempena Hari Keluarga Negeri Johor saya ikuti. Tetapi, apabila pulang bercuti ke Malaysia, dua tahun berturut-turut (2006, 2007) peluang saya menyertai terbantut.

Peluang untuk menyertai pertandingan tersebut pada tahun 2008 juga hampir gagal apabila saya datang lewat ke program di samping melihat bakat-bakat baharu bertanding, semestinya saya ingin mengundur diri. Tetapi, apabila ada peluang mahu meraikan teman-teman, seronok juga menyertainya.

Walaupun demikian, pada tahun ini baju dan kain yang saya perolehi jelas-jelas tidak sama dengan pakaian yang saya terima pada tahun 2005. Pertama, kebanyakan kain tersebut licin (termasuklah t-shirt). Oleh yang demikian, saya beranggapan keadilan itu mungkin tidak berpihak kepada saya sementelah saya berfikir bahawa ada beberapa pakaian yang tidak menepati kehendak saya.

Cerewet kan saya ni?

Ketika melipat, saya merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Ini termasuklah teknik yang tidak digunakan dengan…

PI3M

Image
Gambar Hiasan - My Sister

Orang falsafah apabila bertutur tentunya gayanya tidak akan sama dengan orang biasa. Tetapi, bukan semua orang falsafah sebegitu.

Entah di mana akal fikiran saya berfungsi dengan ligatnya tatkala memilih Asrama Pelajar Johor untuk menjadi destinasi pilihan pada hari semalam.

Sempena Hari Keluarga Johor, pihak penganjur telah menyusun program "Dari Hati Ke Hati" bagi mengutarakan beberapa perbincangan tentang hal keadaan rumah tangga. Program sebegini jarang-jarang ditemui dan dihadam dengan baik oleh mahasiswa Al-Azhar. Namun, Badan Kebajikan Pelajar Johor Mesir (BKPJM) telah mengambil inisiatif untuk mengadakan program ini khusus membina pemikiran mahasiswa yang sudah berangan-angan menempuh alam perkahwinan.

Dua tahun yang lalu, BKPJM telah berjaya mengadakan Kursus Pra Perkahwinan Islam bersama Jabatan Agama Johor. Justeru, kepada mereka yang sudah menghadiri kursus tentu semangat mereka itu tidak sama seperti semangat insan yang tidak menghadirinya.…

Amanah Yang Tertinggal

Image
Mungkinkah buku ini yang menjadikan perhubungan kita semakin akrab?

KETIKA menyertai Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) pada awalnya, pemikiran saya tidak pernah lari daripada membantu. Tetapi sejauhmana bantuan itu dapat diberikan seadilnya.

Pertama, saya harus memohon ampun dan maaf kepada kerajaan negeri Johor khusus Badan Kebajikan Pelajar Johor di Mesir kerana tugas saya sememangnya tidak dapat diberikan secara adil. Mungkin ada insan yang memberikan alasan semata-mata kononnya sibuk sahaja. Tetapi itu realiti yang berlaku.

Saya benar-benar ingin menguruskan jemputan menghadiri pertemuan dengan teman-teman di Asrama Pelajar Johor, Hayyu Thamin untuk Hari Keluarga Johor sepanjang 15 hingga 19 Julai ini, tetapi saya kurang pasti berapa lama saya boleh bersama-sama kalian.

Bermula daripada 15 Julai, takwim pada waktu pagi telah diisi dengan acara baharu. Tentu saya berlapang pada sesi petang dan malam tetapi apa yang merisaukan adalah tugasan yang 'amat genting' perl…

Karya Di Mingguan Malaysia - HARI INI

Image
SIAPA kata saya masih tidak menulis lagi. Dalam keripuhan yang melanda, diselangi beberapa tugas yang menyeluruhi atma ini, saya gagahkan diri untuk mengarang. Dan, dalam beberapa hal jua pun, saya terus menulis untuk beberapa majalah dan akhbar.

Namun, ada pihak yang mendesak-desak saya menulis sesuatu yang lain. Tetapi, kegagahan saya masih lagi kurang disamping beberapa perkara yang sepatutnya dilakukan tidak dapat disempurnakan.

Kepada angkatan sasterawan adabuna, insya-Allah saya akan bersama kalian 15 Julai ini. Namun, saya tidak pasti sejauhmana saya boleh berlama-lama dengan kalian. Beberapa tips pendedahan menulis puisi saya akan berikan disamping tambahan mengulas karya cerpen yang saya kira teman-teman lain lebih arif.

Sekadar berkongsi ilmu dengan teman-teman dan bagaimana karya kita boleh tembus media. Insya-Allah. Itupun saya kira amat terhad pendengarnya disebabkan mereka yang layak menjadi pendengar adalah insan yang terpilih sahaja. Walaupun saya hampir tidak bersetuju d…

SAYEMBARA PENULISAN 2008

SEPANJANG tahun 2008 ini, pelbagai Sayembara Penulisan Novel diadakan oleh agensi-agensi kerajaan mahupun swasta. Justeru kepada teman-teman yang ada kelapangan untuk menulis dan mengarang, tidak salah bukan mengisi masa anda dengan menulis.

Antara sayembara yang masih dibuka penyertaan adalah seperti berikut :-

1) Sayembara Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (Novel Remaja)
Hadiah Pertama : RM 7,000.00
Tarikh Tutup : 31 Disember 2008

2) Sayembara Novel Hadiah Sako Utusan
Hadiah Pertama : RM 30,000.00
Tarikh tutup : 31 Disember 2008

3) Sayembara Novel Fiksyen Sains dan Teknologi (Utusan)
Hadiah Pertama : RM 15,000.00
Tarikh tutup : 30 November 2008

4) Sayembara Novel MAIDAM - DBP Wilayah Timur
Hadiah Pertama : RM 7,000.00
Tarikh tutup : 31 Ogos 2008

Daripada sejumlah pertandingan sayembara ini, anda akan menyertai yang mana satu ya? Orang-orang baharu semacam saya belum layak lagi untuk mengarang novel. Perlukan kerahan tenaga dan pemikiran yang banyak.

Jika ada lagi sayembara boleh kongsi-kongsi.


MELAYU : Pandangan Peribadi

Image
TUN Dr. Mahathir Mohamad pernah menukilkan sajak berjudul 'Melayu Mudah Lupa' di Perhimpunan Agong Am-No tahun 2001. Jika anda tidak pernah membacanya; saya perturunkan di sini.

MELAYU MUDAH LUPA

Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya dipijak
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya retak
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya teriak
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya haprak
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya kelas dua
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya hina
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya sengketa
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya derita
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya kerdil
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya terpencil
Melayu mudah lupa
Tiada daulat
Tiada maruah
Tiada bebas
Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Sejarah bangsanya yang lena
Tanah lahirnya yang merekah berdarah
Ingatlah
Ingatlah
Ingatlah
Wahai bangsaku
Jangan mudah lupa lagi
Kerana perjuanganmu belum selesai...

Sajak ini untuk siapa agaknya? Untuk orang Melayu atau untuk orang Am-No? Tentunya anda ada pandangan peribadi terhadap sajak ini. N…

Mandul

Image
BERMULA 1 JULAI, pemikiran saya jadi amat mandul. Niat saya ingin menulis beberapa karya juga terencat dengan beberapa siri-siri program yang tidak putus menjelma.

Pagi-petang-malam. Saya perlu tunaikan hasrat beberapa penerbit buku yang ingin mendapatkan manuskrip karya saya. Tentu juga amanah untuk beberapa sektor penerbitan majalah dan akhbar tempatan harus juga diisi.

Segalanya perlu bermula dengan mencatat di atas sebuah helaian kertas comot kemudian dilakar di atas kertas bersih agar plot-watak-perwatakan berjalan dengan baik.

Dalam beberapa simpanan penulisan, saya ada hampir 10 buah karya cerpen dan novel yang masih tertinggal di perjalanan. Saya kurang pasti kenapa saya terbantut dan mandul untuk menyudahkan idea itu di dalam kantung laman.

Hari ini, saya perlu menyegerakan tugas yang diberikan oleh teman sesastera untuk mengetuai antologi ketiga mahasiswa Mesir. Tentunya juga, saya sedang menunggu penerbitan antologi puisi daripada GKLN yang sudah hampir terbit. Terima kasih kep…

BONGKAR KES

Image
Saya sudah ralit menjadi bahan 'kontroversi' kata sesetengah mahasiswa dan teman-teman seangkatan. Walhal, itu bukanlah impian saya. Sedang begitupun, hari ini saya akan bongkar lagi beberapa kes selepas artikel berjudul GALERI ULUL ALBAB : Pusat Judi Mahasiswa Al-Azhar di Mesir.

Barangkali pembaca jadi 'berang' apabila kalimah 'judi' digunakan. Ya! Saya akui akan kebenarannya. Tetapi, saya berpandangan begini. Saya menulis dalam gaya bahasa sastera. Justeru, anda tidak boleh menyalahkan saya.

Saya menerima pesanan ringkas sepanjang seminggu daripada 'Z'. Boleh dikira hampir setiap hari 'Z' cuba-cuba bertindak liar.

Namun, apabila saya menyuakan pesanan ringkas yang diterima kepada teman-teman, mereka menggelakkan pesanan tersebut lantas berkata; 'Z' sudah gila dan semacam budak-budak sekolah.

Saya yakin dengan kebenaran. Saya juga yakin dengan Allah. Tuhan itu satu. Yang duduk di atas pasti akan tenggelam. Yang bermegah-megah pasti akan di…

Program Sastera

Image
HARI DISKUSI PENULISAN ISLAMI 2008
bertemakan Pelestarian Citra Islami menerusi Karya Puisi Kontemporari.

Saudara dan saudari yang berminat di dalam membicarakan ilmu sastera puisi bolehlah menyertainya.

Program akan diadakan di Kedutaan Besar Malaysia Maghribi (Morocco). Namun, pihak penganjur akan mengadakan talian maya (conference-online) bagi mereka yang ingin mengikutinya. Butiran program adalah seperti berikut :

Hari : SABTU (5 JULAI 2008)
Waktu : Jam 12.00 tengahari (waktu Mesir)

Terima kasih kepada Saudari Ainaa Mardhiah (Morocco), selaku teman-teman daripada Grup Karyawan Luar Negara kerana memaklumkannya.

Sumber : http://gkln.blogspot.com

Jadi Penulis Sekatan

SUSAH lah jadi penulis sekatan. Tulis A tak boleh. Tulis B tak boleh. Kenapa ya orang-orang tidak selesa dengan kenyataan saya ini. Kenyataan palsu?

Tidak!!!


Selamat Hari Lahir Abah

Image
Setahun sudah berlalu. Mengikut catatan peribadi saya, hari ini adalah tarikh kepulangan saya ke Malaysia setahun yang lalu. Sudah setahun?

Benar. Amat membenarkan. Tentunya banyak onak duri yang saya telah tempuhi selama setahun yang lalu. Dan, daripada itu juga beberapa hasil telah terbit di media. Oh Tuhan, betapa indahnya saat-saat itu, kau berikan aku bernafas meniti hari-hari mendatang.

Banyak kenangan jika mahu dirungkaikan pada 1 Julai ini. Tetapi, biarlah disimpan sebagai satu cerita.

Sorotan lalu mengajar kita erti dewasa. Waktu itu kita belajar erti perjuangan sebenar. Menempuh segala cabaran dan rintangan. Tahun 2008 cabaran cukup berbeza. Apatah lagi tahun 'honeymoon' buat saya. Galas yang dikendung tentunya banyak memberi impak yang besar pada diri sendiri.

Namun, 1 Julai juga banyak memori indah yang belum sesuai dibukakan.

Seingat saya, 1 Julai juga hari kelahiran Ustaz Abdul Fattah bin Jaafar, mantan Setiausaha Agung PMRAM sesi 2006. Tentunya selepas Ustaz Fattah m…