Kenali Diri

My photo
Johor Bahru, Johor, Malaysia
SYAFIQ ZULAKIFLI adalah graduan Universiti Al-Azhar, Kaherah,Mesir. Berasal dari negeri Johor Darul Takzim. B.A (Hons)Syariah, Al-Azhar (2009) Editor PTS Publication & Distributor Sdn Bhd(2010) Eksekutif Penyelidikan Editorial TVAlhijrah(2012)Penerbit Rancangan IKIMfm (Mulai 1 Mac 2012) Sebarang pertanyaan emelkan ke syafiqzulakifli @ gmail.com atau hubungi +6017 7346 946

Friday, May 30, 2008

STARS CENTRE : Pusat Maksiat Kaherah


Berapa kali anda pernah ke sini? Mungkin singgah ke Spinney untuk membeli barang-barang keperluan atau perkakas dapur. Mungkin juga mahu berbelanja sakan untuk menghilangkan rasa keboringan. Ada kemungkinan juga, saya anggap anda beraya di sini semata-mata untuk membuang masa yang ada. Itu semua jawapan terletak pada anda.

Saya juga pernah ke sini. Lalu di hadapan Stars Centre terus masuk ke dalamnya. Terletak 10 kilometer daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah, juga 2 minit daripada Hotel Intercontinental, Kaherah, tentunya bukanlah suatu tempat yang biasa. Jika tidak berisi poket kanan atau kiri anda, usah jejakkan kaki ke sini. (macam ayat-ayat belagak je?)

Bukan itu yang saya mahu maksudkan. Sebetulnya, ke mana langkah kaki kita bertapak, di situlah amalan kita akan dicatat. Justeru, apakah kita menyelusuri kawasan ini semata-mata ingin mendapat kepuasan atau hanya menganggap keseronokan itu bakal dibalas dengan maksiat semata-mata.

Boleh saya katakan, Stars Centre sama sahaja dengan Causeway Point di Singapura atau Alamanda, Putrajaya. Sama! Mungkin juga Kuala Lumpur City Centre. Tetapi anehnya, Stars Centre bukanlah tempat peleseran anak-anak muda remaja Mesir untuk menikmati kepuasan dengan melepak-lepak bersama rakan-rakan. Sedang mahasiswa Malaysia terus berasak-asak memenuhi ruang legar ini dan menghabiskan wang saku semata-mata ingin bebas.

Saya kira bukan semua daripada anda meladeninya. Kalaupun benar, hanya kebetulan sahaja . Ataupun jika fakta ini ada kebenarannya, mungkin hanya 10% daripada anda yang puas kerananya. Mungkin kita harus belajar lagi dan lagi.

Tidak salah singgah ke sana, tetapi ada sebab dan musababnya. Usah membawa dulang kosong ke sana dan pulang dengan dulang berisi. Bahaya sungguh!





Tuesday, May 27, 2008

Perangai Pembangkang : Boikot Memboikot

Tahun ini, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan di mana pula ya?


Tentunya kenyataan ini sudah lama saya pendamkan. Sejak awal lagi, apabila pihak pembangkang (PAS, PKR, DAP) bekerja keras semata-mata mahukan memboikot Akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia saya sudah duduk tidak menentu.

"KUALA LUMPUR, 27 Mei (Hrkh) - Pakatan Rakyat hari ini melancarkan kempen memboikot akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia yang didakwa menyiarkan laporan berbaur perkauman dan berat sebelah."
Ini di antara kenyataan yang diperkatakan oleh pihak pembangkang. Pertama, konon-kononnya akhbar tersebut masih lagi menulis laporan berbaur perkauman dan berat sebelah.

Ya! Saya tidak pernah menafikan perkara tersebut. Namun, jika itulah permasalahannya, mengapa sahaja perkara ini tidak dibawa kepada pihak yang bertanggungjawab. Duduk berbincang dengan pihak yang terlibat langsung sahaja menjelaskan begini dan begini.

Tetapi, tamparan ini sememangnya besar kepada mereka yang di dalam kelompok sastera. Saya tidak menafikan hampir 80% daripada orang sastera juga menyertai pembangkang tetapi jika akhbar ini harus diboikot, ianya langsung tidak wajar.

Sebabnya, tidak lain dan tidak bukan, Akhbar Mingguan Malaysia sahaja yang menyediakan ruang untuk menulis kepada penggiat sastera sehingga kita diiktiraf di dalam Hadiah Sastera Kumpulan Utusan. Tahun ini, siapa pula yang akan membawa pulang wang tunai RM 6,000.00 untuk kategori Novel Remaja dan RM 2,500.00 untuk kategori Cerpen dan Cerpen Remaja manakala RM 1,000.00 untuk Puisi.

Tahun lalu, Zaid Akhtar membawa pulang "Justeru Impian Di Jaring" dengan harga RM 3,000.00. Katakan pada saya, medium apa yang anda sediakan untuk sama-sama bergiat aktif di dalam sastera (khusus kepada pembangkang la)

Ada kebenaran jika anda berkata bahawa Exxon-Mobbil merupakan penaja utama kepada Hadiah Sastera Kumpulan Utusan ini, tetapi siapa yang menganjurkannya jika bukan Utusan Malaysia.

Ha! Jawab dan jawab.

Oleh sebab itu juga, saya kira apabila PMRAM membawa isu boikot-memboikot ini, PMRAM juga dikatakan sekatil dengan mereka-mereka.



Monday, May 26, 2008

Memerah Idea

Mungkin idea ini sukar ingin dicapai di Mesir. Hanya terdapat di Malaysia.
(Kenapa kasut kami sama?)


Usai peperiksaan bertulis Ahad lalu, saya kini sedang memerah-merah idea yang baik untuk dibawa ke dalam mesyuarat Badan Pengurus PMRAM yang saya jangka seawal-awalnya akan diadakan pada 20 Jun ini.

Makanya, saya juga sedang berfikir-fikir jikalau ada ruang-ruang kosong untuk saya kemukakan idea saya untuk kepentingan PMRAM khususnya program-program sewaktu cuti musim panas ini.

Justeru, saya perturunkan di antara idea saya. Ingat! Ini idea saya, bukan idea yang akan PMRAM laksanakan.

Pertama, Hari Keluarga Kepimpinan PMRAM, BKAN dan DPM. Wah! Ayat prejudis. Tentu sahaja, ada ahli memberontak. PMRAM hanya membuat program untuk kepimpinan sahaja dan ahli-ahli tidak disuapkan dengan program-program.

Kedua, Temasya Sukan PMRAM dan Perubatan. Ya! Idea ini sudah lama saya peram baik-baik. Hanya menanti ada pihak yang mampu untuk bekerjasama dan membantu. Tentunya saya ingin melihat atlit-atlit kita bersaing di dalam acara padang. Larian 100 meter. Larian 200 meter. Larian 4 X 100 meter.

Ketiga, Malam Baca Puisi. Ada juga yang berani berkata, saya terlalu taksub mazhab. Maksudnya taksub majis sastera. Ini bukan majlis sastera. Tetapi majlis melihat bakat teman-teman Timur Tengah. Semua teman-teman kita punya bakat. Dan, hanya bakat itu dicurahkan hanya sementara sahaja di dalam program-program umum seperti Sambutan Hari Kemerdekaan.

Keempat, Perhimpunan Blog Mahasiswa Mesir. Sudah tentu, saya sebagai pengendali Azharian Topblog teringin mengadakan program makan-makan dan bincang karya dalam blog. Delima penulisan yang kekadang bermusim dan sebagainya. Bukan seorang sahaja mahasiswa Al-Azhar yang ada blog. Malah, hampir ada 200 orang ke atas yang mendaftarkan diri mereka di dalam ruangan siber. Tidak kira apa mesej yang anda bawa. Namun, saya kira hampir keseluruhan juga yang mengekalkan tema dakwah dan mutu agama di samping saya hanyalah seorang penulis yang menggarap isu-isu bahasa dan sastera.

Kelima, Seminar Perbandingan Perundangan Islam Malaysia-Mesir. Sudah lama angan-angan ini saya simpan. Saya mahukan pihak Jabatan Pengajian Malaysia (DMS) mengadakan program Diploma Kehakiman dan Perundangan di sana. Tentunya hampir 50% mahasiswa kita yang menjurus di dalam bidang syariah berminat dengan program ini. Dan, saya terdetik juga mengkaji bahan-bahan perundangan untuk kepentingan orang Islam khususnya.

Keenam, Sehari Bersama Kepimpinan PMRAM. Perancangan ini juga saya mahu ia dilaksanakan dengan jayanya. Semua badan-badan dan unit dalam PMRAM harus dipromosikan. Ambil contoh, Nasyid Al-Wadi, Kem Latihan Penulis PMRAM, Mini Pavilion, HISBAH, Unit Mutazawijin Iskandariah dan lain-lain. Ini semua harus diperkenalkan kepada ahli untuk semua ahli PMRAM tahu akan kewujudannya.

Ini idea saya. Tentunya anda ada idea lebih baik. Dan, saya berkira-kira juga ingin melaksanakannya kerana siapa di antara kalian yang berlumba-lumba untuk membantu. Ingat! Hari ini kita menolong orang, esok lusa kita dibantu orang.

Bukankah ini semua tugas perancang untuk merancang program? Tidak! Ini tugas kita bersama. Mereka juga insan seperti kita yang memerlukan idea yang baik. Ada di antara kalian juga yang mahukan ianya terlaksana dengan jayanya. Namun, bagaimana keadilan kita?




Tanpa Tajuk


Bagaimana saya harus memulakan penulisan pasca selepas imtihan ini. Ya! Imtihan dunia yang mengajar erti kesungguhan, ketabahan, pengharapan dan kelangsungan hidup yang tidak berkesudahan.

Kekadang, saya ingin juga mencari masa-masa yang terluang ini dengan berfalsafah tinggi. Tetapi saya bukan orang falsafah. Dan, saya tidak mampu bergelumang dengan cinta falsafah yang dayus.

Begini.

Apa yang harus dilakukan ya. Buntu.


Saturday, May 24, 2008

Koleksi Puisi


Ku Sambut Cinta Di Mansurah

Akan terhidangkah kunjungan ini
dengan peluh-peluh ketakwaan
dan rembesan sekeping
taklifan yang merempuh
dua kota terindah.

Kota itu- Kaherah Mansurah
menjanjikan peristiwa
yang menggadaikan sebongkah jenazah permusafiran
bangkit dalam resah yang berpanjangan
saat luka-luka mencari ubatan lalu menghakis
setiap satu perjalanan yang menyesakkan.

Terapung sudah kedatangan ini
untuk menyambut sebuah cinta di Mansurah.

Syafiq Zulakifli
Kaherah - Mansurah
13 Mac 2008

Puisi ini dideklamasikan di Mansurah ketika kunjung hormat Badan Pengurus PMRAM sesi 2007 di sana.

Aku Mahu Keadilan

Layanlah aku
seperti sup panas dari kuali
yang baru mendidih
dengan api dingin membesarkan Tuhan.

Petang-petang begini
langit dan matahari berkejar-kejaran
kerana mendakwa tiada beza antara dua.

Ajarkanlah diriku tidak lemah dengan kutukan
yang menghujum
dengan kesat menggunung
dengan calar tertanggung.

Aku mampu bersabar
keranamu.

Syafiq Zulakifli
Ismailia, 1.45 pm
29 Februari 2008

Friday, May 23, 2008

Dunia Pengacaraan : Satu Catatan Peribadi


Saya mula-mula menjadi pengacara majlis ketika berusia 14 tahun. Ketika itu, saya baharu mengenal untuk memegang mikrofon. Tidak sangka semenjak waktu itulah saya sudah berlatih berkomunikasi dengan audien.

Selepas setahun, saya mewakili sekolah untuk ke pertandingan syarahan, pidato dan pelbagai pertandingan yang melibatkan seni bercakap.

Antara majlis-majlis yang pernah saya dijemput untuk mempengerusikan adalah Majlis Anugerah Cemerlang, Majlis Perasmian Sekolah dan lain-lain.

Catatan yang paling saya ingat ketika mengacarakan majlis yang dihadiri oleh Yang Berhormat Brig. (Jen) Dato' Seri Abdul Hamid Zainal Abidin selaku Pengerusi Majlis Amanah Rakyat. Waktu itu tetamu yang hadir adalah wakil-wakil dan Naib Canselor Universiti Putra Malaysia.

Ketika itu saya paling jadi orang yang ketakutan, diminta mengacarakan majlis di dalam keadaan kelam kabut. Waktu itu saya diminta menjadi 'bidan terjun' dan saya sememangnya tidak bersedia untuk mengacarakan majlis yang sebegitu besar.

Namun, Allah sahaja yang Maha Membantu waktu itu. Alhamdulillah, majlis berjalan dengan sempurna.

Ya! Saya mampu mengacarakan majlis rasmi sahaja. Sedang begitu pun, untuk mengacarakan majlis tidak rasmi seperti Macam-Macam Aznil, Akademi Fantasia apatah lagi program-program pelik tidak mampu untuk saya lakukan.

Tambahan : Sedang layari internet, saya terjumpa Show Producer milik pakcik saya sendiri di Singapura. Sememangnya beliau adalah salah seorang pengacara di sana. Tentunya pengalaman beliau lebih banyak daripada saya.


Thursday, May 22, 2008

Nak Jadi Kerajaan Atau Pembangkang?

-seorang insan di hadapan komputer-

Di dalam satu program anjuran Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM), beberapa tahun yang lalu, saya pernah ditanya, siapakah idola anda?

Lantas, dengan berani yang menyatakan, Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri Malaysia Keempat. Pada waktu itu, Tun sudah pun meletakkan jawatannya dan menyerahkan jawatannya kepada Pak Lah.

Peserta kedua ditanya oleh fasilitator, siapakah idola anda? Dengan takaburnya dia menjawab, "Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat".

Tiba-tiba saya berfikir panjang. Adakah saya salah membuat perhitungan? Atau haramkah saya menjadikan Tun sebagai idola saya?

Persoalan ini hampir-hampir menewaskan pemikiran saya ketika itu. Mahu sahaja saya keluar daripada program PMRAM pada waktu itu kerana saya anggap hampir 90% peserta tidak sealiran dengan saya.

Hari ini, Tun bukan lagi ahli UMNO, namun ini tidak bermakna saya juga anti-UMNO. Itu keputusan Tun. Lantak apa saya. Saya ada pendirian bahawa, idola saya tetap Tun Mahathir. Biarlah saya dihina oleh pemimpin korupsi A atau pemimpin poyo B, saya tetap saya.

Politik Malaysia ini adalah politik paling banyak adegan dan babak-babak drama telenovela. Ada tangisan, ada gelak ketawa, ada maki-hamun, ada macam-macam lagi. Aduh! Mungkin anda yang sukakan politik itu, mahu cari glamour, mahu makan duit rakyat, mahu itu dan ini.

Sedang saya, seorang mahasiswa terpelajar yang masih memikirkan bahawa mencegah kemungkaran dan menyeru kebaikan adalah lebih utama daripada yang lain-lain. Biarpun kita jadi kerajaan atau pembangkang yang penting kita adalah seorang Islam yang tahu mendaulatkan agamanya.

Dan, sebab itulah kita harus membuat pilihan, bukan cakap main hentam sahaja. Fikir!



Tuesday, May 20, 2008

Emel Dari Bonda

Seorang Guru Bernama Zaharah

Emel ini diterima oleh sebahagian besar penulis-penulis yang pernah berbengkel dengan bonda Zaharah Nawawi sepanjang tahun lalu (2007).

Saudara,

Sekali lagi akhbar hujung minggu berskala besar (arus perdana) iaitu Mingguan Malaysia dan Berita Minggu ditawan oleh dua penulis baru yang lahir daripada bengkel anjuran Bahagian Pengembangan Sastera Kebangsaan (BPSK) DBP pada 2007.

Zawan Baba yang nama sebenarnya Mohd. Nazwan Hafeez Hashim berjaya menakluki Mingguan Malaysia keluaran 18 Mei 2008 dengan cerpennya berjudul Cahaya Dari Batu. Nazwan ialah peserta bengkel Penulisan Cerpen Penulis Muda (1) yang diadakan pada 15-17 Jun 2007 di Hotel Radius International Kuala Lumpur.

Selain itu, Syafiq Zulakifli dengan cerpen Hadiah Untuk Ustaz disiarkan di Berita Minggu keluaran Ahad 18 Mei 2008. Syafiq menyertai bengkel Penulis Musim Panas Karyawan Muda Luar negara yang diadakan dari 06-08 Ogos 2007 di Hotel Mandarin Court Kuala Lumpur.

Seorang lagi wajar dikalungkan bunga tahniah ialah Ibnu Ahmad Al-Kurauwi (nama sebenar Azman Ahmad). Ibnu Ahmad peserta bengkel Kepezi (Kelab Penulis Zaharah Nawawi) 2004 kali ini menakluki akhbar bertulisan jawi Utusan Melayu Mingguan keluaran Isnin 19 Mei 2008 dengan cerpen berjudul Al-Kisah Jabal Thur si Ayah.

Tahniah Nazwan, Syafiq dan Ibnu Ahmad Al-Kurauwi. Bukan mudah seorang penulis baru mendapat tempat siaran terus di media arus perdana. Selalunya(kebanyakannya) merangkak dari media-media kecil yang lain. Kebolehan serta bakat juga kesungguhan andalah yang membawa anda melambung sebegitu tinggi. Jangan sia-siakan bakat yang ada.

Tahniah Ibnu Ahmad Al-Kurauwi. Teruskan menulis tanpa menoleh ke kanan, kiri apatah lagi ke belakang. Jangan pandang ringan kepercayaan yang diberikan ketiga-tiga editor media arus perdana itu. Bertapaklah di sana, bersama saya dan rakan-rakan sebengkel yang terdahulu diberi tempat di media impian ramai itu.

Semoga perjalanan anda ke arah kejayaan semakin mantap.

-Zaharah Nawawi

(Sentiasa mendoakan)

Kembalikan Kegemilangan Tamadun Islam - Najib

Segmen ini juga yang keluar di TV3, pada hari Isnin 19 Mei 2008. (Buletin Utama)

-Saya kira ini adalah berita yang masih lagi tidak ditulis oleh mana-mana akhbar di dalam arus perdana. Oleh kerana saya menghadiri sebagai pendengar, pencatat dan pengulas ini adalah berita utama daripada saya.

Kembalikan Kegemilangan Tamadun Islam - Najib

Oleh : Syafiq Zulakifli

KAHERAH, 18 Mei - Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak meminta agar semua umat Islam khususnya masyarakat pelajar di bumi Mesir mengembalikan kegemilangan tamadun Islam yang telah pupus suatu masa dahulu.

"Kita hendaklah mengembalikan kegemilangan tamadun Islam yang banyak memberikan kesan yang mendalam kepada umat Islam pada hari ini,"katanya.

Beliau berucap di dalam majlis ramah mesra bersama mahasiswa di bumi Mesir yang dihadiri hampir 200 orang mahasiswa di Hotel Intercontinental, Kaherah.

Katanya lagi, sebagai seorang Islam, tuntutan al-Quran yang merakamkan kalimah ulul-albab merupakan sesuatu gambaran bahawa ilmu Islam itu seharusnya mempengaruhi tuntutan akal yang tajam dan sempurna yang perlu dikaji demi memartabatkan Islam di muka bumi ini.

"Kita telah dituntut mendalami ilmu itu daripada buaian hingga ke liang lahad," katanya lagi.

***

Mungkin yang hadir lupa kepada makanan yang anda makan di hotel tersebut. Justeru, saya ingin membentangkan menu yang anda telah santap.

Entree

Marinated Salmon Gravlax with fresh salad & Honey Mustard Vinaigrette

Main Course

Roasted Beef Fillet Flavored Spices
Served With Flan potatoes and Medley of Vegetables

Dessert

Mango Parfait with Red Fruit Carlis

Monday, May 19, 2008

Skrip Drama : Satu Cita-Cita


Selepas bergelumang di dalam dunia seni, saya fikir, mengapa tidak saya membuat sesuatu kepada dunia seni. Mungkin setelah puas menonton drama air mata "Demi Masa" yang skrip dramanya ditulis oleh abang kepada teman saya Asri Jaafar membuatkan hati saya cukup berdebar dan bertanya-tanya, bilakah saya akan menulis skrip drama pula.

Nama Nazli Jaafar (Che Li) adalah satu nama yang akrab dengan dunia seni hari ini. Berkat kesungguhan melahirkan 'Sebuah Ijtihad' pada tahun lalu, disamping 'Demi Masa' pada tahun ini moga hasil kerja beliau dilindungi oleh Allah hendaknya.

Hari ini di dada akhbar terpampang berita berikut yang dikarang oleh saudara Abdul Aziz Itar.

Betapa kita memerlukan karya-karya Islam pada hari ini untuk ditontonkan. Bukan setakat melepaskan batuk ditangga sahaja. Moga usaha murni saya itu nanti akan diberi peluang oleh Allah Taala. Insya-Allah.

RTM tandus skrip drama bermutu
Oleh ABD. AZIZ ITAR

aziz.itar@utusan.com.my

BANYAK pihak yang mungkin kurang menyedari kewujudan Unit Drama TV RTM yang antara lain berperanan menerbitkan drama-drama untuk siaran di RTM1 dan RTM2.


Biarpun telah ditubuhkan sejak 1982, tetapi peranan unit itu dilihat semakin mengecil apabila RTM mula membeli drama-drama swasta pada pertengahan tahun 1980-an.
Sejak saat itu, kebanyakan drama yang disiarkan menerusi dua saluran televisyen (TV) milik kerajaan tersebut lebih banyak didominasi oleh drama-drama terbitan syarikat swasta.

Namun, faktor itu tidak menghalang Unit Drama TV RTM daripada terus menerbitkan drama-drama yang bukan sahaja bermutu tetapi juga mampu untuk menarik ramai penonton.
Selain saingan daripada drama-drama swasta, unit itu juga kini menghadapi masalah kekurangan skrip-skrip yang bermutu dalam usaha mereka untuk mencapai matlamat tersebut.

Penerbit Eksekutif Unit Drama TV RTM, Muhammad Yusoff Osman berkata, bagi mengembalikan semula kegemilangan unit itu pihaknya kini sedang berusaha mendapatkan skrip-skrip bermutu.
Justeru, beliau menyeru supaya lebih ramai penulis skrip tampil ke depan bagi mengemukakan skrip-skrip yang bermutu untuk diolah menjadi sebuah drama di bawah terbitan unit itu.

“Di sini saya meminta supaya para penulis skrip menyumbangkan skrip mereka untuk dinilai di mana kalau ia bermutu kami akan terbitkannya menjadi sebuah drama TV. “Unit Drama TV RTM menyediakan bayaran yang tinggi untuk sesebuah skrip bermutu yang kami beli. Sebagai contohnya, kami membayar RM60 untuk setiap minit drama yang ditayangkan. Untuk sesebuah skrip harganya akan mencecah tidak kurang daripada RM5,000.

“Malah, bayarannya akan dilangsaikan selepas dua minggu daripada tarikh pembelian,” katanya pada pertemuan dengan wakil-wakil media massa di Unit Drama TV RTM, Bangunan Persekutuan, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Muhammad Yusoff mengakui, sejak RTM menswastakan drama-drama siarannya, unit di bawah kendaliannya itu menerima pelbagai kesan termasuklah hilang keunggulannya sebagai penerbit drama TV yang berkaliber.
Perkara itu, katanya antara lain disebabkan berlakunya lambakan drama swasta selain ramai pelakon yang kini lebih memberi memberi tumpuan kepada penerbitan drama syarikat-syarikat produksi swasta.

“Kesan daripada itu juga menyebabkan pasukan penerbitan unit ini menjadi semakin kecil, kekurangan penyunting skrip, penulis dan pelakon. Ramai pelakon mula beralih arah kepada drama-drama swasta. “Apabila kami menawarkan mereka (pelakon) berlakon di bawah drama terbitan kami, mereka bertanya, masih ada lagikah Unit Drama RTM? Kami juga kehilangan ramai penerbit drama yang beralih angin kepada syarikat produksi swasta.

“Sebab itu, usaha kami kini ialah bagaimana untuk mengembalikan zaman kegemilangan drama terbitan unit ini. Salah satu caranya ialah dengan mendapatkan skrip-skrip yang bermutu,” ujarnya.
Unit Drama TV RTM mula menerbitkan drama pertamanya yang berjudul Membilang Bintang pada 28 Disember 1963 terbitan Aziz Wok di mana selepas itu semakin banyak drama bermutu telah diterbitkan.

Drama berjudul Kecoh yang diterbitkan pada 23 April 1983 merupakan drama warna pertama yang diterbitkan oleh unit itu hasil karya Nurhalim Ismail dan diterbitkan oleh Yusof Rashid.
Sejak saat itu Unit Drama TV RTM telah menerbitkan banyak drama bermutu antaranya berjudul Tiga Dara, Potret Pekerti, Jiran, Inspektor Shekar, Opah, Empat Sekawan, PJ, Santan Berlada, Anjang Aki dan Tok Perak.

Menurut Muhammad Yusoff, Unit Drama TV RTM juga akan membayar bayaran tambahan hasil penyelidikan yang telah dibuat oleh penulis skrip dalam usaha untuk menghasilkan sesebuah skrip yang berkualiti tinggi.
“Kami akan membayar kepada sesiapa yang berjaya memberi kami idea yang bernas untuk menghasilkan sesebuah skrip yang bermutu.

Malah, kami juga akan membayar bayaran berpatutan biarpun ia hanyalah sebuah sinopsis drama sahaja,” katanya.
Tambahnya, pada tahun ini Unit Drama TV RTM akan menerbitkan lapan buah drama bagi mengisi slot Panggung RTM yang berkaitan tema-tema tertentu seperti Hari Kemerdekaan, Hari Raya Aidil Fitri dan sebagainya.

Para penulis skrip bolehlah menghantar skrip tulisan mereka untuk dinilai kepada: Unit Drama TV Jabatan Penyiaran Malaysia, Tingkat 5B, Bangunan Persekutuan, Jalan Sultan, 46200 Petaling Jaya, Selangor. Atau hubungi talian 03-7955 4643 untuk pertanyaan lanjut.


Sunday, May 18, 2008

Cerpen Kali Pertama dalam Akhbar


Sebelum menunaikan tanggungjawab menghadapi peperiksaan madah al-Quran petang ini, saya mendapat khabar bahawa cerpen saya terbit di Akhbar Berita Minggu. Tajuknya "Hadiah Untuk Ustaz."

Sila Baca Cerpen di Berita Minggu

Terima kasih sekali lagi kepada editor yang membuat pemilihan karya ini untuk diterbitkan sempena Hari Guru pada tahun ini. Pengalaman sebagai seorang guru pada tahun lalu di SMK Bandar Baru UDA, Johor Bahru menjadikan karya saya ini akrab mencatatkan sebuah pengalaman yang indah.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Terima kasih kepada bonda Zaharah Nawawi yang mengajar saya menulis.

Tambahan : Selamat Hari Lahir buat teman Muhammad Aiman 'Izzat bin Abdullah dan Mohd. Arif bin Abdullah pada hari ini.



Thursday, May 15, 2008

Rangkuman Hal Hari Ibu dan Hari Guru

Oleh : Tarbus Merah (TM)

BAGAI tidak menulis sebuah fakta sejarah sekiranya saya tidak menulis hal berkenaan Hari Ibu. Mungkin ripuh menjalani peperiksaan atau ghairah 'melampau' menatap dua buah karya di media perdana Ahad lalu.

Dari hati yang kecil, saya sendiri sudah menyampaikan amanah sebagai seorang anak menghantar kiriman selamat sejahtera untuk ibu sendiri tatkala menyambut hari Ibu, Ahad yang lalu.

Bagaimana dengan anda? Sudah terlangsaikah hutang-hutang anda dan hak-hak untuk ibu anda? Mungkin juga tidak cukup sambutan berprestij untuk ibu hanya disambut selama sehari sahaja. Memang benar! Tidak sepatutnya ibu hanya dimiliki dan diagungkan semata-mata sehari. Bahkan daripada akal logik yang waras dan adil pun kita terfikir bahawa ibu seharusnya dihadiahkan kemesraan setiap hari, bahkan setiap waktu.

Cerekarama di TV3 yang ditayangkan pada malam hari Ibu tidak akan sama dengan tayangan lagu Syurga Di Telapak Kaki Ibu nyayian Aisyah sewaktu siaran langsung Akademi Fantasia, Minggu ke-8 pada Sabtu lalu. Tetapi drama moral "Demi Masa" yang ditayangkan tersebut banyak manfaatnya.

Mungkin saya tidak dapat buat kesimpulan yang baik untuk drama Demi Masa yang ditayangkan di dalam slot TV3, pada Sabtu lalu, tetapi daripada ringkasan plot cerita yang saya tonton sendiri, betapa penghargaan seharusnya saya perlu anugerahkan kepada seorang ibu lakonan (Sheila Rusly) membesarkan anak walaupun buta sebelah mata.

Keperitan ini harus didokong selepas keenganan anak lakonan (Syafiq Nasweep) menerima keadaan ibu cacat sebegitu rupa. Aduh! Mungkin anda akan bergenang air mata tatkala rangcangan ini disiarkan depan mata anda sendiri, tetapi berapa puaskah anda menghargai ibu anda sekiranya ia benar-benar terjadi.

Sayang. Dunia sekarang sememangnya begini. Ibu bapa hanyalah sebagai alat bantuan hidup. Bahkan untuk meletakkan nilai kasih sayang itu kekadang sudah luntur. Fikirlah.

Hari Guru Sebagai Hadiah Untuk Saya

Saya pernah menyambutnya pada tahun 2004 yang lalu. Tentu seronok bergelar seorang guru lelaki apabila diminta untuk menggubah bunga di dalam satu acara semasa sambutan tersebut. Mungkin 'malu' juga depan anak murid masing-masing selepas guru lelaki yang ada 3 orang sahaja diminta menggubah bunga.

Mungkin berkat melihat ibu pernah menggubah bunga di rumah, langsung sahaja saya mendapat tempat pertama semasa pertandingan tersebut. Dan, saya kira hadiah pertandingan tersebut masih kemas tersimpan di dalam rumah saya. (Kalau tidak silap) Semacam hadiahnya sebuah seterika. Lupa pula.

Ya! Semasa pertandingan, guru-guru perempuan berbisik sendiri menyatakan bahawa saya menggubah mengikut teknik gubahan. Saya tidak pernah mengetahui pun bahawa ada teknik gubahan. Tetapi, selepas saya sendiri melihat cara menggubah bunga seperti itu, maka saya dengan bangganya menggubahnya.

Baik.

Itu satu perkara. Kedua, di dalam masa-masa ini juga teringat kepada mereka-mereka yang pernah bergelar guru saya. Pertama, guru Tadika Kemas Bandar Baru UDA, guru Sek. Keb. Bandar Uda 2, guru Sek. Agama Bandar Baru UDA, guru Sek. Men. Agama Kerajaan Johor,Kluang, guru Sek. Men. Arab Tinggi Maahad Johor, guru mengaji, guru pelajaran, guru tuisyen, guru yang pernah menamakan dirinya guru kepada saya.

Terima kasih kerana membekalkan saya ilmu yang menggunung sehingga saya berlayar ke pelabuhan samudera ini. Saya merentas beberapa benua untuk menghirup air Nil di kota sejarah Mesir ini. Terutama kepada guru Bahasa Melayu saya dan guru Persatuan Bahasa Melayu saya, Cikgu Suhaila Samian yang telah mendidik saya sehingga saya petah berkata-kata pada hari ini. Cikgu Latifah dan Cikgu Rafkah yang sanggup menemani saya mengajar untuk ke pertandingan syarahan dan pidato di sekolah. Juga, Cikgu Suhaila yang pernah menghantar saya ke pertandingan deklamasi puisi sempena Sambutan Hari Kebangsaan pada tahun 2001.

Dan, kredit untuk seorang guru Master, En. Hamsan yang sememangnya saya kagum dengan M.A. Sastera beliau tatkala melakarkan ceritera P. Ramlee.

Aduh. Sungguh besar jasa mereka membantu saya. Kepada semua guru-guru saya juga, tahniah dan syabas untuk anda.

Dan, paling mujarab adalah doa guru-guru saya sehingga tercampak diri saya ke sini.

Bumi Mesir yang kontang dan tandus ini tidak pernah kontang daripada ilmu yang banyak mengajar saya menjadi seorang manusia. Ini berkat mereka-mereka- dan mereka.

Kepada anak-anak murid yang bakal menghadapi PMR tahun ini, belajarlah kerana anda ada modal insan yang hendak digunakan masyarakat pada masa akan datang, usah sia-siakan masa remaja ini dengan melepak sini dan sana.

Selain itu, kredit juga untuk guru-guru saya yang mengajar erti sastera di dalam hidup. Bonda Zaharah Nawawi yang melatih diri ini menulis, bonda Salmiah Ismail yang menjentik semangat saya untuk terus berada di dalam lapangan puisi.


Monday, May 12, 2008

Seminar Pemikiran A Samad Said

Potret ini diambil daripada blog Kak Nasriah

Sumber ini daripada Utusan Malaysia, Khamis yang lalu

PADA 13 hingga 15 Mei ini akan berlangsung Seminar Pemikiran Sasterawan Negara A. Samad Said di Dewan Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur.

Sebanyak 25 kertas kerja oleh sarjana-sarjana tempatan mengenai Sasterawan Negara itu dalam semua genre akan diketengahkan melalui pelbagai teori dan pendekatan.

Di samping itu, Bahagian Teori dan Kritikan DBP yang merupakan pelaksana seminar tersebut akan

memperkenalkan konsep baru dalam penulisan kertas kerja, iaitu memberi peluang kepada penulis generasi muda untuk mengemukakan pandangan tentang A. Samad.

Secara umumnya, seminar tersebut bertujuan membincangkan karya A. Samad dalam pelbagai

genre secara tuntas, selain menggali pemikiran dan proses kreatif sewaktu menghasilkan karya-karya besar beliau.

Ia juga bertujuan mencari dimensi baru dalam pemikiran Sasterawan Negara tersebut untuk dimanfaatkan dalam penghasilan karya kreatif, teori dan kritikan masa kini dan masa akan datang.

Pembentang kertas kerja pada seminar tersebut ialah Prof. Madya Dr. Rosnah Baharuddin, Prof. Rahman Shaari, Prof. Madya Dr. Krishnan Maniam, Prof. Dr. A. Rahman Napiah, Prof. Dr. Teo Kok Seong dan Dr. Shafie Abu Bakar.

Turut membentangkan hasil penyelidikan mengenai A. Samad ialah Dr. Chacho Bulah, Mohamad Nazri Ahmad, Prof. Dr. Kamaruddin M. Said, Dr. Ebil Yusof, Dr. Awang Azman Awang Pawi dan Halim Ali.

Selain itu, seminar turut disertai Azhar Ibrahim, Dr. Muhammad Shaiful Haq Hussain, Prof. Madya Dr. Hanapi Dollah, Prof. Madya Arbak Othman, Dr. Norhayati Abdul Rahman, Samsuddin Othman, Mohamad Shaidan dan Kartini Anwar.

Seminar tersebut merupakan siri tahunan mengenai Sasterawan Negara selepas Syed Othman Kelantan (2004), Keris Mas (2005), Usman Awang (2006) dan Shahnon Ahmad (2007).

Tambahan : Moga-moga ada resolusi daripada DBP sendiri di dalam seminar ini.


Sunday, May 11, 2008

Proses Penciptaan

Oleh : Syafiq Zulakifli

MENULIS ceirta berkenaan proses penciptaan merupakan sesuatu yang amat payah. Bagi saya, ianya sukar untuk ditafsirkan dan difahami dengan sebaiknya. Sebagai seorang pengarang 'puisi' (baca : bukan pengarang cerita kartun) momentum untuk saya melakarkan setiap bait adalah sungguh terhad.

Di mana kekuatan saya? Tentunya pada pengalaman mengejar Nabi Musa di Jabal Musa hampir tiga tahun yang lalu. Wah! Mengejar Nabi Musa. Semacam saya pula yang terus mendakap Nabi Musa tatkala itu.

Justeru, puisi "Sejarah Nabi Musa" yang saya cipta lewat kengerian mengenal pengorbanan tekad Nabi Musa sebagai pesuruh Allah menyelami perit-jerih perjuangan sebagai seorang nabi yang ditugaskan Allah untuk menyebarkan dakwah kepada seluruh kaumnya. Maka dengan jelas, proses penciptaan karya ini tercipta. Hasilnya, pada 11 Mei 2008, Berita Minggu telah memilih karya ini untuk diterbitkan.

SEJARAH NABI MUSA

Lurah terapung damai
menyinari langit Subuh Saint Catherine
hingga tiba waktu menyaksikan
kudrat Tuhan bersatu di bawah cahaya kedamaian
yang tersusun kemas dalam catatan-Nya.

Dataran Sinai mencoretkan sejarah dalam-dalam
saat Musa berbicara dengan Tuhan
sebidang keemasan iman terjual oleh firman-Nya
dan sepelaung ketakwaan bermandi dalam sujud
yang panjang.

Siang malam munajatmu tak terhenti mengharap
keringat basah mencerakinkan malang Firaun
berpaut pada Tuhan yang Maha Esa.

Kedamaian tidak pernah ghaib dengan
sorotan sirah bersahut Asmaul Husna
hingga meniti lurah-lurah keinsafan
dan mendayung nur pengharapan
pada sebuah Hamam yang kudus.

Sudah puas kau menanggung beban
tika menyaksikan umatmu bergelora dendam
hingga genaplah dalil Tuhan
Yang Maha Mendamaikan mencoretkan
sebuah sejarah dalam al-Quran.

SYAFIQ ZULAKIFLI
Kaherah, Mesir.

(c) Berita Minggu, 11 Mei 2008



Puisi kedua saya adalah "Peringatan Kecil Dari Tuhan" yang disiarkan di Mingguan Malaysia.

Terkesan dan terdesak dengan Taufan Nargis yang sedang bergolak di Myanmar, maka saya terangsang untuk menulis satu puisi khusus untuk menggambarkan betapa Allah murka pada bumi Asia Tenggara. Sebabnya, tentunya kita akan dapat menyorot apa yang saya pamerkan di dalam puisi ini. Tentunya ini adalah satu puisi paling baharu yang saya tulis lewat beberapa hari yang sudah.

Apakah yang kita dapat rumuskan daripada kejadian Taufan Nargis di Myanmar? Apakah hanya kita berpeluk tubuh? Atau sedang kita elok dibuai perasan yang melampau.

Saya tidak pandai berhujah bicara. Langsung, saya menulis puisi ini kerana orang-orang Myanmar.

PERINGATAN KECIL DARI TUHAN
(untuk mangsa-mangsa Taufan Nargis, Myanmar)

Derita malang ini
merakam dunia yang degil
saat tenat menanggung beban
insan, haiwan dan ternakan
yang sombong pada Tuhan.

Meskipun telah kau soroti peristiwa lama
saat Aceh lakar cerita derita
tsunami mencurahkan seuncang kehidupan
dan Bangkahulu mentalkinkan segugus marah bumi
mengumpan dalam diam.

Sudah puas aku bekalkan;
khasiat satu peringatan
keramat satu perdamaian
zulmat satu penindasan
tanpa dendam persengketaan
kepadamu.

Nargis yang membakar ini
adalah ladang merah buat kami
yang mengerti segeluk panah
keparahan diri.

Tuhan Maha Mengerti
setiap hakikat ketulusan hati
manusiawi dan insani
agar bersatu di bawah cahaya keimanan
aman dan damai.

– SYAFIQ ZULAKIFLI
MUSTAFA NUHAS,
KAHERAH

(c) Mingguan Malaysia, 11 Mei 2008


Hadiah Hari Ibu : Karya Saya Terbit Serentak



Barangkali ingin membezakan saya dan Sasterawan Negara amat jauh. Tetapi, di dalam proses penciptaan, kita seharusnya belajar dan terus belajar. Oleh yang demikian, saya belajar kerana ada satu momentum perasaan yang terbina.

Berkat kesabaran dan ketulusan hati ini, barangkali ini adalah sejarah pertama saya apabila karya puisi saya terbit di dalam dua akhbar utama Malaysia hari ini.

Pertama di Mingguan Malaysia, puisi berjudul "Peringatan Kecil Dari Tuhan" khas untuk mangsa-mangsa Taufan Nargis di Myanmar dan sebuah lagi karya di Berita Minggu "Sejarah Nabi Musa" yang menceritakan kisah Jabal Musa.

Terima kasih sungguh-sungguh saya kepada editor kedua-dua akhbar yang memilih Hari Ibu (11 Mei 2008) untuk menerbitkan kedua-dua karya tersebut.

Saya sememangnya tidak menjangkakan kedua-dua karya akan terbit serentak.

Puisi di Mingguan Malaysia

Puisi di Berita Minggu




Friday, May 09, 2008

Kita Masih Lagi Tidak Berilmu

PENANGAN apakah yang menggugah rasa. Iri hati mungkin. Atau keterpaksaan yang membelenggu diri. Tapi untuk apakah itu semua? Adakah semata-mata cerita derita Myanmar setelah tersepak dengan penampar Taufan Nigris ataupun apa dan apa?

***

KITA sebenarnya tidak punya ilmu. Ya! Ilmu kita terlalu dangkal. Membicarakan soal hukum-hakam apatah lagi. Sedang begitu, kita sudah puas disuapkan dengan pujuk rayu syaitan yang durjana.

Mengumpat. Ertinya kira bercerita tentang orang lain. Yang dasarnya, ilmu kita juga kurang. Kita kurang membaca tentang salafi. Kita juga kurang mengkaji tentang wahabi. Yang kita tahu, kritik-kritik-kritik. Oh! Terlupa, kita bukan ahlinya untuk berbicara soal-soal begini.

Sastera juga mengajar kita menjadi seorang pengkritik. Siapa kata di dalam sastera tiada kritikan. Malah dalam sektor pendidikan sastera atau apa-apa sekalipun hal berkenaan kritikan merupakan sesuatu yang amat utama.

Saya paling 'menyampah' ada mereka yang minat menjadi pengkritik tetap. Ini bermakna, mereka terbelai dengan asuhan Akademi Fantasia yang mengajar orang mengkritik. Ya! Mengkritik kekadang bukan atas dasar ilmu. Bukan juga atas dasar pemikiran. Kitakan ada Rasul. Bukan Rasul yang suka geli-geli. Sini-sana menjaja 'adik' sendiri.

Kita punya Rasulullah (selawat dan salam buat junjungan Besar Mulia dan para sahabatnya) yang diutuskan untuk memberi petunjuk kepada sekalian alam.

Allah berfirman; "Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari kaum kalian juga."

Anda kata syiah salah, wahabi salah, salafi teruk, haram makan babi, dan macam-macam lagi. Ada bukti? Mungkin ada. Tunjukkan. Dalil al-Quran tentunya yang mengharamkan babi. Makan babi itu haram! Tapi, kita boleh bela babi tau! Ternak babi! Dan, jaga macam kawan kita sendiri yang sudah peliharanya. (habislah aku...memang kena shoot punya kes ni)

Tapi, saya tak nak bicarakan itu semua. Yang saya mahu bicara adalah, fikiran kita. Jangan sempit sangat. Janganlah bicara soal-soal furu' sangat. Rehatkan minda anda. Tenangkan jiwa anda yang kusut itu.

Ini apabila orang sibuk cerita tentang Syiah, kita pun sibuk juga cerita.

"Eh! Faisal Tehrani tu syiah ke?"

Erm. Jika anda tanya saya, saya akan jawab; anda tidak mengkaji dan membaca. Jangan suka tuduh-tuduh orang. Ilmu sedangkal tilam murah mahu bicara lanjut tentang masalah-masalah Syiah. (Ni saya cerita tentang saya. Jangan terasa pula ya!)

Dan, sebab itulah saya katakan pada anda, ilmu kita masih lagi cetek.

(2)
Jadilah orang yang baik.

Kita juga suka sangat bicara tentang masalah orang.

"Eh! Kawan kau tu hipokritkan?"

"Ya! Dia memang hipokrit. Tapi, lebih dahsyat daripada kau."

Saya juga suka cakap-cakap lepas pada orang, supaya orang tidak anggap mereka sahaja yang baik. Kerana, untuk menjadi seorang yang baik, tentunya memang sesuatu yang sukar. Apatah lagi kita sering dihidangkan dengan keburukan orang, kejahatan orang, kemaksiatan orang.

Tidak pernahkah kita terfikir, mengapa kita tidak mahu jadi baik seperti orang lain yang mampu lebih baik daripada kita.

Saya cuba kupas pemikiran saya sendiri. Ilmu saya masih cetek tentang agama. Tapi, kalau cerita bab sastera, sampai esok kawan saya cakap tak akan habis kerana pemikiran saya pemikiran sastera.

Anda sudah tetapkan pemikiran anda? Pemikiran anda tentunya pemikiran yang baik-baik. Elok la tu.

Istighfar banyak-banyak selepas menulis artikel ini.


Wednesday, May 07, 2008

ZAKAT : Bagaimana Kita Menguruskannya?

Oleh : typeace

Pertama, saya tidak akan menghantar artikel ini ke Berita Harian mahupun Utusan Malaysia. Cukuplah sekadar ianya dibaca oleh pembaca di dalam blog peribadi. Saya juga takut. Benar! Amat takut untuk menempuh gerbang populariti hari ini yang sarat dengan kebendaan semata-mata.

Mengapa saya berkata demikian, sedia maklum apabila berceritera tentang masalah popular ini, mudah sahaja kita mahu di'hamil'kan. Tetapi, apabila berbicara berkenaan keseriusan kita, aduh, jarang sekali kita mengambil pendekatan bahawa ini sesuatu yang utama.

Di dalam musim-musim ini, barangkali isu zakat seronok dibicarakan. Apatah lagi, pada saat-saat genting (baca : durian runtuh) untuk mendapatkannya. Saya bukan mahu pro mana-mana pihak atau saya mahu membangkang mana-mana pihak. Biarlah saya menjadi seorang pengarang yang meletakkan nilai keadilan.

Seputar isu zakat, manusia seringkali alpa bahawa wang zakat adalah wang kaum Muslimin, bukan wang kita. Benar! Ia wang orang Islam. Makanya, menghargainya sesuatu perkara yang sepatutnya dipertanggungjawabkan adalah amanah yang besar. Suka dinyatakan bahawa ada di kalangan mahasiswa kita (baca : mahasiswa Al-Azhar) yang mendapat zakat daripada kerajaan negeri masing-masing melalui bantuan Baitulmal dan Unit Zakat, Pusat Zakat Negeri. Dan, ada juga yang memperolehnya melalui sistem tuntutan di mana-mana pusat zakat yang berada di Mesir sendiri. Syabas! Sekurang-kurangnya anda seorang yang prihatin untuk mendapatkan bantuan bagi menyara diri anda sendiri.

Tuhan sahaja yang Maha Mengetahui betapa angkuhnya kita apabila menerima wang zakat tersebut. Ya! Barangkali bukan semua daripada anda. Kalau ada pun mungkin tidak ramai. Angkuh maksud saya di sini bukanlah riak melampau, tetapi megah tidak bertempat. Saya misalkan begini.

Seorang daripada kita menerima zakat, lantas wang itu disalurkan kepada pihak-pihak yang tidak sepatutnya wang itu disalurkan. Bagaimana anda memahami kenyataan saya ini? Di Mesir, ada dua kumpulan manusia, pertama disebut Kaum Musa dan kedua dikatakan Kaum Firaun. Siapa kata Kaum Firaun sudah tidak wujud di Mesir. Ada! Malah pelopor kepada gerakan Kaum Firaun ini masih terus aktif. Mereka terlampau taksub kepada kehidupan mereka lantas bermegah-megah dengan mandiri mereka ke arah kejahatan. Lihat betapa angkuhnya mereka membelanjakannya di jalan-jalan songsang. Mereka juga membantu. Siapa kata Kaum Firaun tidak suka membantu. Malah, bantuan mereka untuk meletakkan Islam sebagai agama yang sia-sia.

Sayap kita harus teguh. Amanah kita harus kukuh. Jangan samakan wang zakat yang kita terima dengan wang zakat yang 'mereka' terima. Zakat itu wang amanah. Bukan wang bersiar-siar untuk melakukan perkara-perkara yang buruk.

Tahukah anda? Barangkali saya boleh maklumkan bahawa di Mesir sahaja, hampir 30% mahasiswa kita yang tidak berkewangan. Dan, daripada jumlah yang besar itu kekadang mereka terpaksa memikirkan soal dan tanggungjawab mereka sebagai seorang pelajar. Berapa ramai di antara kita yang berkejar-kejar membantu? Berapa ramai juga di antara kita yang mahu melihat kesusahan mereka ditutup dengan bantuan kita?

Barangkali anda amat mengetahui maksud saya ini. Dan, seringkali saya tertampar untuk melihat semua mahasiswa agama mahu (baca : perlu dan wajar) dibantu secara adil dan saksama. Usah terjerit-jerit hebat jika anda tidak berpeluang memperoleh zakat. Seharusnya anda harus berbangga kerana anda tidak menanggung beban dan amanah yang berat ini.

Saya juga pernah menerima zakat. Setahun yang lalu, artikel yang membawa pengertian yang sama saya telah lampirkan di sini. Tetapi, sejauhmana keberkesanannya kita melaksanakannya?

Fikir dan renungkanlah.


Monday, May 05, 2008

Melengkapkan Kesugulan

Oleh : Ammu Amni

BETAPA benar hati saya tidak lagi seperti kalian. Hati saya sungguh berubah. Saya tidak banyak cabarannya. Jika kalian ada lapan, sembilan, sepuluh, malah lebih daripada itu, saya hanya kendong dua sahaja.

Barangkali saya menangis sendirian. Tidak sama dengan tangisan kalian. Dan, semestinya julat fikir saya harus bersatu. Bersatu menjulang kejayaan. Dan, semestinya saya sudah tertewas dengan keadaan ini semua. Saya telah harungi liku-liku pedih sebagai seorang mahasiswa. Dan, keinginan itu saya lampirkan buat kalian. Jangan buat seperti saya.

Saya akan memulakan gerak tari peperiksaan saya pada 7 Mei ini. Tentunya masanya berbaki sedikit. Sedari itu, saya harapkan doa yang menggunung daripada kalian.

Setelah natijah 'pelik' yang saya harus lalui, saya harus juga tempuh dan melengkapkan kesugulan diri.

Saya galas madah al-Quran dan Fiqh Muqaran buat kali ini. Tentu tidak seronok hanya menelaah bahan yang terlampau sedikit. Sedangkan saya tidak pernah terdidik belajar dengan perolehan madah yang sedikit. Ini tamparan hebat pada saya. Wah! Sungguh saya menahan sebak melihat rakan-rakan berlari meluncur laju daripada saya. Dan, kini saya inginkan kembali masa-masa dan waktu-waktu itu.

Al-Quran 18 Mei 2008
Fiqh Muqaran 25 Mei 2008

Fiqh - JAYYID
Usul Fiqh - MAQBUL
Qadaya Muaasirah - JAYYID
Hadith Ahkam - JAYYID
Bahas - MAQBUL
Al-Quran - ?
Fiqh Muqaran - ?


Fasal Awal

Tafsir Ayat Ahkam - ?
Manhaj Dakwah - MUMTAZ
Bahasa Inggeris - JAYYID JIDDAN

Adab Nusus - JAYYID

Ahwal Syakhsiah - JAYYID

Tentunya saya ingin melengkapkan kejayaan ini.


Saturday, May 03, 2008

Sumpah Berdaulat


Bulan Mei. Ini bulan orang menghabiskan duit. Ya! Benar. Saya yakin dan percaya hampir 40% orang mahasiswa Al-Azhar, Mesir akan menghabiskan duit mereka untuk membeli tiket kapal terbang.

Wah! Tentunya seronok membeli tiket kapal terbang pada mereka yang sudah berisi akaunnya. Lebih-lebih lagi akaun zakat yang baharu dibuka waktu sekarang ini.

Kalau ditanya kepada saya, mahu balik atau tidak, tentunya dengan selamba saya berkata, Ya! Saya mahu pulang. Pulang dengan cita-cita baharu. Tetapi kekadang, apabila sudah mangli pulang, rasa kepingin itu jarang-jarang timbul.

Apabila saya dengar teman-teman akan pulang, saya juga rasa cemburu. Mahu sahaja pulang. Tetapi ada juga teman berseloroh, "Alah, engkau tu bukannya boleh percaya, nanti hilang saja."

Benar! Barangkali saya seorang yang pelik. Kekadang di utara dan kekadang di selatan. Benar! Saya tidak bertempat. Hehehe. Tetapi, jangan samakan saya dengan Yang Maha Kuasa.

Seronok dengar kawan-kawan mahu pulang. Tetapi, apa tujuan kalian pulang? Tentunya jawapan paling selesa dijawab, mahu melepas rindu. Apapun, amanah tetap amanah. Pulang kita bukanlah kepulangan saja-saja. Kepulangan kita tentunya membawa model Al-Azhar hari ini.

Betapa saya mengakui bahawa ramai di kalangan azhari yang pulang ke Malaysia tetapi langsung tidak komited membawa lidah azhari. Sedang saya enak melihat gelagat mahasiswa kita berpeleseran di kedai-kedai kopi membuang masa. Itulah sandiwaranya.

Kepada mereka yang mahu pulang, anda perlu pulang dengan satu sumpah yang tidak ternafi lagi! Membawa risalah yang di bawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Nanti, bawakan juga ole-ole untuk saya.

Tambahan :

Kepada yang akan di 'barrah' selepas peperiksaan ini, ingatlah bahawa rumah anda juga perlu diislah dengan sebaiknya. Jangan tinggalkannya dengan sarang yang tidak bermakna.



Friday, May 02, 2008

Akademi Nasyid vs Akademi Fantasia


Medium terbaharu untuk golongan belia. Akademi Nasyid telah muncul di kaca TV9. Tetapi, artis nasyid juga boleh sertai. Suatu tamparan hebat! Mereka yang tidak sabar-sabar beraksi pasti akan ke meja ujibakat.

Dipetik daripada akhbar Utusan Malaysia, Jumaat 2 Mei 2008

BERSEMPENA sambutan ulang tahun keduanya, TV9 tampil dengan sebuah lagi program realiti televisyen baru berjudul Akademi Nasyid (AN).Sejajar dengan pendekatan kemelayuan dalam kebanyakan program terbitannya serta imej Islamik yang ditonjolkan, TV9 mahu mencungkil bakat-bakat baru dalam genre nasyid yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana stesen televisyen lain.

"Banyak stesen televisyen mencari bakat bagi penyanyi-penyanyi lagu berbentuk pop, rock, balada dan macam-macam lagi. Tapi kami di TV9 ingin memberi peluang dan ruang yang lebih luas kepada genre nasyid.

"Ini kerana ramai beranggapan nasyid ini muzik lama dan sempit tetapi sebenarnya nasyid ini universal," jelas Ketua Pegawai Eksekutif TV9, Bukhari Che Muda pada sidang media program tersebut yang diadakan di Sri Pentas TV3, Bandar Utama, baru-baru ini.

Menyambung perbualannya, Bukhari berkata, AN kelak bakal menampilkan 10 peserta yang akan bertanding dalam akademi tersebut.

Lebih menarik lagi AN menyaksikan persaingan di antara peserta solo dan berkumpulan atas satu pentas.

Menyuarakan perkara tersebut seakan-akan tidak adil kerana peserta solo terpaksa bersaing bersama yang berkumpulan, terang Bukhari: "Tidak berlaku perkara tersebut kerana apa yang kita lakukan ini untuk mendapatkan lebih banyak lagi bakat terbaik dalam bidang nasyid.

"Solo atau berkumpulan masing-masing ada keistimewaan tersendiri jadi yang terbaik pasti akan berjaya menggondol hadiah utama," ujarnya.

Menyentuh formatnya pula terang Penerbit Eksekutif AN, Fadzliniza Zakaria, 50 peratus markahnya ditentukan oleh juri profesional manakala 50 peratus lagi ditentukan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) penonton.

AN bakal bersiaran bermula 21 Jun ini pada setiap Sabtu pukul 8.30 malam dan merupakan sebuah program mingguan yang akan disiarkan secara langsung.

CabaranBercerita lanjut mengenai AN jelas Fadzliniza, setiap minggu pastinya ada cabaran dan tugas yang akan diberikan kepada para peserta.

"Mereka semua akan diberikan tugas atau cabaran pada setiap minggu. Setiap minggu para peserta akan diberi tema untuk dinyanyikan dan tema tersebut merupakan satu cabaran kepada mereka," katanya lagi.

Malah sama seperti program realiti televisyen yang lain, pada setiap minggu pastinya berlaku penyingkiran.

"Hanya pada minggu pertama sahaja tiada penyingkiran, sebab kita mahu mereka membiasakan diri dahulu dalam akademi. Tapi pada minggu kedua dan seterusnya kita sudah mula lakukan penyingkiran," jelasnya.

Memandangkan AN merupakan sebuah program realiti televisyen pastinya tidak akan lari daripada kejutan. Cuma menurut Falzliniza, bagaimana kejutan yang akan ditampilkan dalam AN belum ditentukan lagi.

Sementara itu penonton juga berpeluang untuk menyaksikan diari peserta AN pada setiap Sabtu pukul 12.30 tengah hari.

Uji bakatPenyertaan AN terbuka kepada lelaki dan wanita berumur dari 18 tahun sehingga 35 tahun. Bagi yang berkumpulan penyertaan terhad kepada lima orang dalam satu kumpulan.

Namun AN memberi peluang juga kepada penyanyi-penyanyi nasyid yang sedia ada untuk mencuba nasib menyertai AN.

Anggota kumpulan Rabbani, Raihan, Hijjaz, Yusof Kopratasa antara juri yang terlibat semasa uji bakat tersebut yang akan bermula 3 Mei ini.

Ditanya kepada Bukhari, tidakkah penyertaan daripada para artis kelak akan menutup peluang kepada peserta-peserta baru, jelas Bukhari: "Kita tak tutup peluang kepada bakat-bakat baru. Meskipun kita bagi peluang kepada artis nasyid yang mempunyai album untuk terlibat tapi kita ada syaratnya.

"Jika mereka tampil solo tak mengapa, tapi jika mereka mahu tampil berkumpulan, dalam satu kumpulan kita hanya hadkan kepada lima peserta. Jadi dalam lima orang itu kita hanya benarkan dua peserta sahaja artis yang selebihnya mestilah bakat-bakat baru," jelas beliau.

Menyentuh mengenai hadiah pula kata Bukhari, pemenang bakal membawa pulang wang tunai dan juga kontrak rakaman album.

"Kita masih belum boleh memberitahu jumlah wang tunai yang akan ditawarkan kerana kita masih lagi dalam proses perbincangan. Insya-Allah ia akan diumumkan tidak lama lagi," katanya lagi.


Thursday, May 01, 2008

Karya Dalam DS

Hari ini 1 Mei. Ini bermakna tempoh 'berkabung' saya telah tamat. Dan, mulai hari ini saya berhak untuk menerbitkan karya saya di dalam blog sendiri. Terima kasih kepada editor Dewan Sastera yang telah memilih karya saya "Seorang Anak Murid II" untuk dimuatkan di dalam majalah Dewan Sastera keluaran April yang lalu.

Sungguh. Seperti yang pernah saya wara-warakan sebelum ini, saya menulis karya ini selepas sebulan berada di Mesir. Dan, sebetulnya saya menulis karya ini juga atas dasar rasa tanggungjawab sebagai seorang guru yang mendidik di sebuah sekolah.

Semalam, saya masih lagi berbincang dengan teman-teman. Bagaimana generasi hari ini perlu dibina dengan kekuatan dan daya kemajuan yang tinggi agar mereka bukanlah seorang pelajar yang 'biasa-biasa' di dalam kamus dunia pelajaran.

Kementerian Pelajaran Malaysia seharusnya membimbing, menerapkan unsur-unsur murni di dalam diri setiap pelajar agar nanti akan lahir generasi yang cemerlang dan gemilang pada masa mendatang.


SEORANG ANAK MURID II

Seorang anak murid,
yang lelucon bicaranya dari fajar menjelma
bijak mentafsir setiap perilaku gurunya

menghentam atma yang tersayat daripada tinta sukma

ketika wayu menyanyi girang.


Seorang anak murid,

membonceng keringat,

dengan roman sepinggan senyuman secawan keriuhan

tanpa genggam pedih
menyorot naluri-naluri mesra

ke sebuah sekolah.


Seorang anak murid,

menjamah rezekinya dari pagi hingga tengah hari, saat

muazzin mendayu-dayu menyeru di corong masjid

menggalas peluh dari gurumu yang mengenalkan ilmu

hingga merabak buku.


Seorang anak murid,

petani kecil yang menanggung beban
menyara keluarga tatkala dewasa

mengepung batas fikir adik-adik mereka, gagah

menghenyak membalun diri, terhempas

untuk segulung sijil keraian.


Seorang anak murid,

tidak berharga tanpa doa daripada

guru yang setia.


Masakin Uthman,
Mustafa Nuhas,
Kaherah, Mesir

Januari 2008

(c) Puisi di Dewan Sastera - April 2008