Kenali Diri

My photo
Johor Bahru, Johor, Malaysia
SYAFIQ ZULAKIFLI adalah graduan Universiti Al-Azhar, Kaherah,Mesir. Berasal dari negeri Johor Darul Takzim. B.A (Hons)Syariah, Al-Azhar (2009) Editor PTS Publication & Distributor Sdn Bhd(2010) Eksekutif Penyelidikan Editorial TVAlhijrah(2012)Penerbit Rancangan IKIMfm (Mulai 1 Mac 2012) Sebarang pertanyaan emelkan ke syafiqzulakifli @ gmail.com atau hubungi +6017 7346 946

Friday, October 30, 2009

Pengharaman PMRAM Semakin Pantas

ISU MAHASISWA MESIR

CERAMAH pembangkang berulang lagi di Dataran Hayyu Asyir, Kaherah, Mesir. Kali ini Ketua Pembangkang Malaysia yang menjadi peneraju tersebut. Segala intipati dan bahan yang disampaikan saya tidak ketahui. Biarkan. Itu bukan masalah saya. Paling penting bagi saya adalah nyawa PMRAM. Ya nyawa PMRAM.

'Kullu Man 'Alaiha Fan'... Setiap sesuatu itu akan binasa. Barangkali kalimah ini amat pedas. Tetapi bagi saya yang pernah hidup di dalam dunia PMRAM, saya merasai detik-detik kekejaman dan kehancuran yang akan dilakukan oleh si penzalim.

Barangkali semangat dan cita-cita gerakan SUARA (sebuah pertubuhan baharu di Mesir) adalah sesuatu yang murni. Tetapi dengan agresifnya program SUARA tersebut, maka lebih agresif puak-puak jahiliyah yang bernama UMNO menghancurkan PMRAM sebagai sebuah persatuan yang mendokong anak-anak Melayu di bumi Mesir.

Tahukah saudara bahawa kerja-kerja jahat menghancurkan PMRAM sedang giat dijalankan. Saya ingin melihat di atas kekuasaan tangan siapa yang akan menghancurkannya. Adakah ditangan Pengarah JPMK hari ini atau kuasa besar negara Malaysia, Perdana Menteri Malaysia sendiri.

Pengharaman PMRAM sudah lama diinginkan oleh pihak musuh. Mereka tidak lena tidur kerana mahasiswa Islam di Mesir sentiasa tidak menyokong puak-puak mereka. Seorang demi seorang 'special branch' diheret ke Mesir semata-mata menjaga politik murahan negara.

Tindakan mengharamkan PMRAM sekarang sedang giat dijalankan. Dahulu, saya diajar oleh seorang ustaz dengan nama 'kualat'. Ya! 'Kualat' telah tersembam ke atas muka JPMK. Apabila bertubi-tubi menuduh PMRAM sebagai agen pembangkang kepada Syeikh Al-Azhar, akhirnya syeikh tersebut tidak menghadiri program 'haprak' mereka.

Lihat. Mereka tidak mengetahui bahawa kuasa Allah lebih besar daripada sehelai surat 'hina' mereka. Itulah tangan mereka. Ya! Tangan kekejaman mereka. Saya tidak akan hairan apabila benar-benar PMRAM diharamkan. Tetapi saya ingin melihat, tangan siapakah yang akan menconteng arang menghancurkan umat Islam dan mereka akan dijeling-jeling di akhirat nanti kerana kecerdikan mereka sendiri!

Johor Bahru

Keluar Dari Kepompong

SEPATUTNYA tiga hari ini saya menghadiri Bengkel Penulisan Puisi di Birotatanegara, Kuala Lumpur. Namun, apabila saya mendapat maklum bahawa program itu bersifat 1Malaysia, saya menolak penyertaan tersebut.

Saya bukan anak 1Malaysia yang disuap-suap dan dibelai-belai ekornya. Saya ada prinsip dan pendirian peribadi.

Maaf kepada pihak yang menjemput saya menyertainya. Walaupun saya faham bahawa bengkel dan bedah karya akan dibimbing oleh Dr Rahman Shaari seorang pakar puisi di Malaysia tetapi lebih penting daripada itu adalah saya bukan manusia yang ditarbiah oleh 1Malaysia.

Wednesday, October 28, 2009

Mana Satu Jadi Pilihan?

Gambar A

Gambar B

Jika saudara adalah orang luar, mana satukah rajah atau gambar yang menunjukkan graduan daripada Universiti Al-Azhar, Mesir.

Adakah GAMBAR A atau GAMBAR B?


Tuesday, October 27, 2009

Peluang Memperkembangkan Bakat

Saudara Ali Bukhari Amir (orang kuat Harakah dan Detik Daily)

Di dalam mesyuarat bersama PENA.
Orang-orang kanan sastera berada di hadapan saya.

Encik Armin Azhari Saleh yang merupakan orang besar
Dewan Bahasa Pustaka di bahagian majalah

Saya bersama pelajar-pelajar di Perpustakaan Tun Raja Uda, Shah Alam


KATA Puan Ainon,
"Bakat dan minat adalah dua perkara yang berbeza."

Saya telah mengkaji di mana bakat saya. Oleh sebab itu, segala hal ehwal yang berlaku di dalam perjalanan hidup saya adalah melalui bakat-bakat itu.

Saya ke kanan, ke kiri semuanya bersama bakat itu.

Proses Kepengarangan


APABILA berbicara berkenaan proses kepengarangan, pastinya kita akan mencari formula masing-masing. Ya, saya juga mempunyai formula tersendiri.

Saya memulakan pelajaran saya dengan mengunyah karya Saudara Faisal Tehrani. Saya pernah membaca Tuhan Manusia, Detektif Indigo, Ikan Fugu Lukisan & Jimson, Manikam Kalbu, Surat-Surat Perempuan Johor, Nama Beta Sultan Alauddin, Advencer Si Peniup Ney dan beberapa karya besar beliau.

Dalam bidang pembacaan karya seni, saya mempelajari aspek yang diperkenalkan oleh beliau.

Biasanya, selepas pulang dari tempat kerja saya akan terus ke kedai buku. Ya, sebagai editor saya mewajibkan diri menyinggah di kedai buku. Saya perlu mengkaji buku pilihan pembaca dan pengunjung kedai tersebut.

Hari ini saya dapat membeli buku 'Karya Nan Indah' hasil pena beliau setelah hampir dua tahun saya hanya melihat dari jauh.

Saya meneliti bagaimana Faisal mampu berada di puncak dalam dekad yang singkat. Ya. Saya mengakui nama Faisal cepat meniti dibibir golongan penulis dalam era 2003 dan ke atas. Barangkali 'hatrick' yang dilakukan beliau dalam Hadiah Sastera Kumpulan Utusan menaikkan nama beliau di persada sastera negara.

Apa yang penting beliau adalah ikon sastera Islam pada hari ini di Malaysia. Apakah akan muncul ikon baharu? Insya-Allah pastinya akan lahir lagi penulis karya sastera yang akan memenuhi tuntutan karya sastera Islam.

Mengapa saya banyak belajar daripada karya Faisal?

Saya mengakui bahawa sudut wacana yang dimainkan oleh Faisal berlegar di sekitar tiga perkara. Sejarah, agama dan politik. Ya, barangkali mereka yang biasa membaca karya baharu beliau iaitu 'Ketupat Cinta' sudah memahami gerak penulisan beliau.

Pastinya tiga aspek utama ini yang memberi nilai tambah kepada karya-karya besar Faisal. Apa juga yang disandarkan kepada beliau, yang penting berkarya kerana menyampaikan sesuatu idealisme.

Tambahan :

Saya sedang mencari kekuatan menulis. Moga-moga kekuatan ini terus terbina dengan sebaiknya.

Adakah Anda Orangnya?

Tahun 2010 adalah tahun perkembangan pesat PTS Publications & Distributions Sdn. Bhd. Oleh itu, banyak tenaga pakar yang diperlukan bagi memenuhi kehendak tersebut.

Mana-mana graduan yang berminat menjadi editor, bolehlah menghantarkan resume kepada syafiq@pts.com.my dan saya akan majukan ke pihak pentadbiran.

Atau sila klik jawatan kosong untuk maklumat lanjut.

Tambahan : Pejabat Editorial akan berpindah ke Dolomite Business Park yang terletak di Batu Caves. Barangkali calon-calon baharu akan memulakan kerja di sana. Insya-Allah.


Monday, October 26, 2009

Sasterawan Negara Ke-10

SAYA mohon maaf kepada Datuk Dr Anwar Ridhwan kerana terlewat mengucapkan tahniah di atas pelantikan sebagai Sasterawan Negara yang ke-10.

Negara sudah mempunyai 10 orang sasterawan negara. Siapa pula yang ke-11 nanti.

***




Sunday, October 25, 2009

Mengapa ISMA Tidak Perlu Wujud Di Mesir


Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) yang ditubuhkan pada tahun 1930 adalah persatuan pelajar Melayu tertua di Mesir. Mengikut catatan sejarah, pada tahun 1923 lagi persatuan anak-anak Melayu ini telah ditubuhkan dan diberi nama Persatuan Anak-Anak Jawa.

Ikatan Muslimin Malaysia Cawangan Mesir (ISMA) baru sahaja beroperasi. Mengapa satu lagi persatuan anak Melayu ini perlu beroperasi?

Bukankah kita sudah ada PMRAM yang menyatukan suara anak-anak Melayu di bumi Mesir? Apakah kelahiran dan kewujudan ISMA hanya mahu memporak perandakan mahasiswa di Mesir.

Ini adalah hiraki mahasiswa. PMRAM sebagai persatuan induk. Badan Kebajikan Anak Negeri dan Dewan Perwakilan Mahasiswa pula sebagai persatuan di peringkat negeri dan cawangan. Bayangkan sistem kerajaan Malaysia. Kita ada Perdana Menteri mentadbir Malaysia dan Menteri Besar mentadbir negeri.

Ada beberapa perkara yang difikirkan perlu diubah pemikiran mahasiswa kita. Jika ISMA mengatakan 'kami juga mahu menyampaikan dakwah', mengapa tidak bersama-sama kukuhkan dan satukan medan dakwah bersama PMRAM? Mengapa perlu diasing-asingkan? Jika ISMA mengatakan PMRAM lemah dari sudut tarbiah, mengapa kalian tidak duduk membantu PMRAM, untuk menjalankan tarbiah?

Pada hemat saya, jikalau kita punya satu semangat persaudaraan, persefahaman, dan tidak inginkan perpecahan; ayuh duduk di dalam satu bumbung. Bekerja bersama-sama dalam satu gerakan. Bukan mewujudkan gerakan mahasiswa baru. Ia adalah semata-mata mencari ruang untuk memimpin. Jika kalian mahu memimpin, mengapa tidak bersama-sama bertanding di dalam pentadbiran PMRAM? Gunakan satu pendekatan baharu.

Atau, ISMA hanyalah semata-mata akan menjadi persatuan suruhan JPMK setelah wakil kerajaan di Mesir itu tidak dapat 'mencipta' satu persatuan yang mampu berdiri bersama mereka.

Saudara, kita bukan kanak-kanak. Kita mahasiswa yang perlukan pemikiran terbuka. PMRAM pula harus membuka jalan agar semua mahasiswa berhimpun di dalam satu bumbung.

Oleh hal yang demikian, istilah tarik dan mencuri mahasiswa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah (untuk menyambut mahasiswa baru) tidak akan wujud lagi sebagaimana yang didakwa sebelum ini.





Saturday, October 24, 2009

Urusan Rasmi Pejabat

DI PTS Publications Sdn. Bhd. semua staf akan diberikan telefon bimbit dan nombor panggilan. Ini memudahkan semua staf mampu menghubungi sesama rakan kerja secara PERCUMA.

Oleh yang demikian, mulai 20 Oktober 2009, mana-mana orang-orang perseorang atau pihak luar yang ingin menghubungi saya melalui urusan pejabat, nombor perhubungan saya adalah seperti berikut :

016 -6614 675

Apabila saudara atau saudari seorang penulis dan ingin menghubungi saya, sila menggunakan talian ini. Rakan-rakan akrab, keluarga dan orang-orang dekat boleh menghubungi talian seperti sediakala. Saya menggunakan dua buah telefon bimbit.


PTS, Editor & Sastera

PTS, Editor dan Sastera. Tahukah saudara bahawa saya tidak tersalah masuk laluan dan kehidupan realiti yang sebenar. Oleh kerana saya memahami pencapaian dan kekuatan saya sebagai seorang graduan, saya adalah insan yang amat bersyukur diberi anugerah ini.

Gambar di atas diambil sempena kad Hari Raya Aidilfitri yang lalu. Pada waktu itu saya masih belum menyertai Kumpulan Syarikat PTS lagi. Tahukah saudara bahawa saya merasakan amat seronok bekerja di bawah syarikat ini. Ya. Saya pernah bertugas sebagai seorang guru kerajaan tetapi ukhuwah bersama rakan sekerja tidak sehebat bekerja di bawah syarikat 'perjuangan' ini.

Kumpulan PTS sudah bergerak pantas. Kini kakitangannya melebihi 70 orang. Semua anggota dan kakitangannya orang Melayu-Islam. Hanya seorang sahaja kakitangan berketurunan India (pembantu am).

Apabila menyebut editor pastinya tidak akan terkeluar daripada dunia penerbitan dan penulisan. Ya, seorang editor menguruskan hal ehwal penulisan dan penerbitan.

Baru-baru ini ketika saya menyertai Sayembara Deklamasi Puisi, seorang pemuda mengatakan, 'Mengapa saudara tidak ke bahagian akhbar?' Saya tidak memberikan apa-apa jawapan, sedang dalam jiwa berkata : 'Saya amat selesa di sini Tuan!'

Ketiga-tiga elemen ini bergerak seiring. PTS, editor dan sastera. Tahukah kalian, saya berada di bawah PTS Fortuna. Saya ingin berkongsi sesuatu tentang PTS. Di bawah pentadbiran editorial, kita ada lima anak syarikat. Setiap satu mempunyai misi dan visi masing-masing.

PTS Millenia menguruskan buku-buku popular dan motivasi.

PTS Islamika menguruskan buku-buku agama.

PTS Professional menguruskan buku-buku bisnes dan pengurusan.

PTS One menguruskan buku-buku untuk kanak-kanak.

PTS Litera menguruskan buku-buku sastera Islam.

PTS Fortuna menguruskan buku-buku sastera jantan.

Saya dan Tuan Nazri M Annuar yang menguruskan PTS Fortuna. Ya, kami berdua sahaja. Barangkali menjalankan tugas berdua tidak sehebat seperti anak-anak syarikat yang lain. Mereka punyai lebih daripada 3 orang editor. Tetapi, itu bukan penghalangnya. Yang paling utama, bekerja!

Saudara sidang pembaca yang budiman,

Hari ini hari pertama saya bermesyuarat. Ya, sudah lebih satu bulan saya tidak menghadiri mesyuarat. Kali terakhir barangkali mesyuarat bersama PMRAM di Mesir.

Jika dahulu saya 'orang besar' dalam mesyuarat, kini saya kembali semula kepada kecil. Orang yang paling kecil, paling muda. Itulah dunia baharu. Saya diberi peluang bersama rakan-rakan daripada Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) untuk menyertai jawatankuasa program Perhimpunan Penyair Nusantara yang akan diadakan pada 20 hingga 22 November nanti.

Program tersebut akan diadakan di Dewan Bahasa & Pustaka. Majlis akan dirasmikan oleh Datuk Haji Termuzi selaku Ketua Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. Majlis penutup pula dijangka akan dirasmikan oleh Datuk Johan Jaafar selaku Pengerusi Lembaga Pengelola DBP. Apabila bekerja dengan orang-orang kanan kerajaan ini, kita juga harus ada pendirian tersendiri.

Teman-teman yang ingin menyertai amatlah digalakkan menghubungi saya dengan kadar segera. Hanya RM 20 sahaja!

Tambahan :

1. Pagi tadi, saya bersama pelajar sekolah di negeri Selangor (Shah Alam) sempena Majlis Baca Cerpen Dr Othman Puteh di Perpustakaan Raja Uda, Shah Alam. Apabila saya memperkenalkan diri dan menyatakan saya daripada Universiti Al-Azhar, semua pelajar bertepuk tangan. (Saya fikir mereka amat kagum dengan mahasiswa Al-Azhar yang terjun ke dalam dunia sastera :)

2. Minggu hadapan saya dijemput oleh Cikgu Shamsuddin Othman (Pensyarah UPM) untuk ke Bengkel Puisi di Biro Tatanegara pula.

3. Orang-orang kanan PENA berada di dalam mesyuarat tersebut. Saya amat kerdil dalam mesyuarat bersama PENA.

4. Hari ini kali pertama saya bertemu dengan Saudara Ali Bukhari Amir di Rumah PENA. Saudara Ali adalah orang kuat Akhbar Harakah.

Thursday, October 22, 2009

Kutub Sittah : PMRAM Perlu Catatkan Dalam Sejarah

Mufti Kerajaan Mesir

PMRAM adalah sebuah khazanah yang perlu dipertahankan. Oleh hal yang demikian, Program Majlis Pembacaan Hadis Sahih Bukhari yang dihadiri oleh Mufti Kerajaan Mesir, Al-Alamah Syeikh Dr Ali Jum'ah semestinya dicatat dalam sejarah PMRAM dan dijadikan panduan kepada generasi PMRAM pada masa akan datang.

Sepanjang saya menjadi Setiausaha Agung PMRAM barangkali hanya 10% sahaja sejarah PMRAM yang sempat saya khatami. Yang lain, tidak dapat saya menyusunnya. Moga-moga Saudara Adlan yang kini menjawat jawatan itu meneruskan perjuangan memahami dasar dan misi PMRAM sebagai sebuah persatuan kebajikan anak-anak Melayu di Mesir.

Tahniah kepada Adlan dan semua tenaga penggerak program. Sepanjang saya menjawat pentadbiran PMRAM, saya amat terharu dengan ahli PMRAM yang komited melaksanakan tugas. Saya dapat merasakan bahawa ahli PMRAM yang bekerja semuanya ikhlas kerana Allah. PMRAM tidak membayar kalian dengan sepuluh sen pun. Berbeza dengan pihak 'itu', ramai yang bekerja dengan mereka kerana ingin selesa bergaji selepas menjalankan tugas.

Tidak mengapa. Itulah perjuangan. Perjuangan bukan dengan harta sebenarnya. Perjuangan lahir daripada keikhlasan diri dan hati. Tahniah.

Sebenarnya jikalau saya mengulang kembali peristiwa silam, teringat lagi. Pada peringkat awal program ini, Saudara Adlan bukanlah sebagai Pengarah Program. Tetapi mesyuarat demi mesyuarat diadakan dan nama Adlan yang menjadi pilihan. Tidak mengapa. Bukan kita taklifkan. Allah yang tentukan pilihannya. Tahniah sekali lagi.

Selepas ini saya tidak lagi akan berbicara berkenaan isu ini. Tujuan saya mengarang pun kerana satu perkara. Mahu membuka mata kuyu pihak pentadbiran JPMK yang bersifat politik dan kepentingan semata-mata. Mahu menyedarkan mereka bahawa bekerja bukan kerana mahu menunjuk siapa yang Maha Hebat. Tetapi mahu mengajak sama-sama kita berubah ke arah kebaikan. Ya! Jika JPMK masih bersifat sedemikian, percayalah sehingga akhirat, kalian adalah pemusnah mahasiswa agama yang diharap-harapkan oleh negara.

Tambahan :

Saya menerima pelbagai laporan memohon agar JPMK membersihkan nama PMRAM yang sudah dicalarkan oleh tangan mereka sendiri.

Meraut Pengalaman Di Panggung Eksperimen, Putrajaya

Otai lama. Ketiga-ketiga mereka akan berentap di peringkat akhir

'Tiada mood penghayatan. Gagal!'

Saudara Amran yang sudah meraih berbagai anugerah di pentas puisi

Tak perlu jerit-jerit...

Meraut Pengalaman Di Panggung Eksperimen, Kompleks Perbadanan Putrajaya

SUDAH lama saya meninggalkan dunia pentas. Barangkali terakhir kali saya menyertai sayembara Puisi ketika di sekolah menengah. Kemudian sepi. Sekali di Maahad Johor. Sekali di Mesir.

Ada juga persembahan-persembahan tidak formal yang dijemput, tetapi saya mengisinya mengikut mood diri.

Hari ini saya berpencak lagi. Tetapi kali ini bukan bersama sebarisan orang muda. Tetapi sebaris dengan otai besar dunia puisi. Orang yang biasa berdiri di pentas kebangsaan menjulang juara. Ada yang menjadi juara puisi merdeka, puisi kebangsaan dan lain-lain. Peserta hampir 40 orang ke semuanya.

Hari ini saya bertemu dengan mereka. Wira yang berpencak di atas pentas puisi. Tahniah kepada yang meraih peluang ke peringkat akhir. Saya faham, sebagai orang baharu saya masih jauh ketinggalan. Jika diletakkan hebat di Mesir, bukan bermakna hebat di Malaysia.

Tetapi, ulasan daripada pengerusi majlis selepas saya mendeklamasikan sajak 'Istana Kemerdekaan' karya Raihani Mohd Said cukup membekas dalam kalbu dan semangat untuk saya teruskan pada hari mendatang.

Beliau berkata, 'Barangkali kita terimbas sejenak suara Allahyarham Sudirman Hj Arshad.' Saya tidak perasan bagaimana vokal Sudirman yang telah saya gunakan. Insya-Allah, ada peluang kita bertemu lagi di pentas puisi pada masa mendatang.

Kakitangan Perbadanan Putrajaya memaklumkan pada saya, tahun hadapan usah lupa menyertai lagi. Insya-Allah rezeki itu ada di mana-mana.

Fikir saya, ini adalah peluang pertama kali. Moga-moga saya akan meneruskan pengalaman ini untuk siri-siri seterusnya.

Tambahan :

Insya-Allah saya akan mendeklamasikan sajak pada 6 November 2009 di Rumah PENA sempena Malam Baca Puisi anjuran PENA (Persatuan Penulis Nasional Malaysia).

Pada malam tersebut kita akan mendengar sajak hasil tulisan Dr Anwar Ridhwan (Sasterawan Negara Yang ke-10)



Wednesday, October 21, 2009

PMRAM Perlu Ucapkan Terima Kasih Kepada JPMK


Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) perlu mengucapkan jutaan terima kasih kepada Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK) kerana berjaya menggagalkan program yang sepatutnya diadakan di Dewan Utama, Al-Azhar Conference Centre (ACC) Kaherah.

PMRAM perlu mengetahui bahawa sekiranya program ini tetap dilaksanakan di ACC, barangkali program ini tidak semeriah yang disangka. Saya melihat daripada komentar Saudara Akhmal Ali di blog Saudara Hairul Nizam. Beliau berkata,

Tahniah buat PMRAM dengan majlis ini. Kalau tiada ujian, rasanya tak rasa manisnya perjuangan. Luruh air mata melihat gambar-gambar program kutub sittah di Asrama Johor.

Kalau di ACC dengan keselesaan maybe biasa sahaja ana lihat. Allah hantar JPMK kat Mesir sebagai ujian kita. Kita terima dengan redha. Mereka halang pun mereka tak dapat apa.

Sebenarnya pada saya, JPMK yang menjadi ancaman kepada PMRAM sebenarnya adalah anugerah besar kepada mahasiswa.

Hidup dalam berjuang wajib ada cabaran dan rintangan. Jika tidak barangkali kita akan duduk selesa. Sebab itu apabila PMRAM menerima cabaran daripada JPMK, sepatutnya kita berbangga kerana masih ramai lagi yang dengki pada kita. Masih ramai lagi yang mahu melihat PMRAM jatuh. Apabila dikenangkan kembali dunia perjuangan yang telah ditarbiah dalam PMRAM, memang mengharukan.

Apa juga yang telah berlaku adalah anugerah yang besar. Tahniah kepada penganjur dan PMRAM. Kita berbangga kerana mempunyai seorang pegawai yang panjang akalnya.

Saya fikir barangkali Dr. Jamil 'hanya menurut perintah' pihak atasan. Oleh hal yang demikian, saya sememangnya merasakan bahawa Dr. Jamil juga tidak lena tidur menerima kritikan daripada pihak atasan. Dr. Jamil sememangnya telah menerima arahan untuk menjatuhkan PMRAM. Oleh kerana itu adalah bentuk arahan, beliau 'terpaksa' laksanakan.

Semua orang terima tekanan. Tetapi tekanan kerana dasar politik adalah amat buruk! Kita kecewa kerana beliau amat gerun dengan 'orang-orang atasan' yang bersifat politik.

Adakah Menteri mahu berbincang dengan 'kami'? Saya minta Dato' Saifuddin Abdullah selaku Timbalan Menteri Pengajian Tinggi berbincang isu ini!



Mufti Kerajaan Mesir Hadir Dalam Program PMRAM

SAYA menulis artikel ini dalam keadaan terharu, syahdu dan amat bersyukur. Setiap kali saya membuka laman blog kutub sittah (http://kutubsittah-pmram.blogspot.com/) bulu roma saya akan meremang malah saya akan menitiskan airmata.

Entah, barangkali keberkatan bersama ulama dan ilmuwan tidak lagi dapat saya rasai. Sedih...

Betapa benar, setiap ketetapan itu telah direncanakan. Saya tidak menyangka Syeikh Dr Ali Jumuah, Mufti Kerajaan Negara Mesir hadir di dalam program PMRAM. Tahukah kalian, di Mesir hanya mempunyai seorang sahaja mufti. Taraf mufti adalah seperti Menteri Kabinet di Malaysia. Malah pengiktirafan mufti kerajaan Mesir adalah setanding dengan pembesar kerajaan Mesir.

Di Malaysia, mufti diramaikan. Setiap negeri mempunyai mufti masing-masing. Pemikiran juga masing-masing. Fatwa pula bermacam-macam.

Saya amat terharu dengan kehadiran Mufti Kerajaan Mesir di dalam program PMRAM. Tahukah saudara betapa sukar hendak mengadakan program ini setelah dihalang oleh Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah. Betapa JPMK tidak mahu melihat mahasiswa Al-Azhar menadah ilmu daripada ulama di Mesir.

Apakah pelik jika program ini dilabel sebagai program pembangkang sedangkan program ini hanya Majlis Pembacaan Hadis Imam Bukhari. Persepsi buruk itu sepatutnya dihilangkan dan dibuang jauh ke tepi.

Tahukah JPMK seramai lebih 6000 mahasiswa di bumi Mesir termasuk mahasiswa pengajian Islam dan perubatan telah mengetahui buruknya perangaimu itu setelah program ulama hendak engkau hancurkan?

Barangkali mahasiswa kita hadir ke dalam program JPMK selepas ini hanyalah kerana ingin mengisi keterpaksaan mereka disebabkan menghormati JPMK.

Tambahan :

1. Saya telah mengajak beberapa orang teman di Malaysia menyusun strategi menggegarkan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dan mohon penjelasan menteri mengapa menghantar pegawai yang paling xxxxx di Mesir.

2. Kita akan memastikan Pengarah JPMK dibawa pulang dengan segera dan barangkali beliau pun sudah rimas duduk di Mesir. (Biasanya pegawai akan rimas selepas setahun berada di Mesir kerana tidak dapat mengganggu PMRAM. Kemudian mereka akan membuat huru-hara.) - Kajian kes saya sepanjang berada di Mesir.



Monday, October 19, 2009

Majlis Pembacaan Hadis Imam Bukhari Diadakan di Asrama Johor?

Mulianya ulama disanjungi, ilmu dihayati...

SAYA amat terperanjat apabila melihat bahawa program Majlis Pembacaan Hadis Imam Bukhari diadakan di Asrama Pelajar Johor, Rabaah, Kaherah, Mesir. Setelah program ini cuba digagalkan oleh pihak Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK), satu inisiatif telah dilakukan oleh pihak pengurusan (add-hock program) untuk mendapatkan tempat baharu.

Tidak terfikirkah kalian betapa buruknya perangai orang-orang kerajaan (Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah) apabila berani menghantar surat kepada Syeikh Al-Azhar agar program ini dibatalkan?

Saya tidak menyangka Asrama Pelajar Johor Rabaah digunakan. Barangkali ucapan tahniah kepada Tuan Haji Hanif yang mengizinkan bangunan tersebut digunakan. Selepas ini, juak-juak UMNO Mesir akan melaporkan kepada kerajaan negeri Johor (terutama orang itu) bahawa Asrama Negeri Johor telah menjalankan majlis ilmu tersebut.

Moga-moga Tuan Haji Hanif tidak akan berdepan dengan cabaran juak-juak ini. UMNO Johor pun tidak ingin melayan karenah mereka.

2
Menurut sumber laman web PMRAM, satu majis dialog akan diadakan bersama mahasiswa bagi menjelaskan mengapa program itu dibatalkan oleh pihak JPMK. Saya tidak fikir Dr. Jamil Hashim berani menghadirinya atau barangkali orang-orang atasan mereka akan berani mengarahkan beliau supaya tidak hadir ke dalam program itu.

Saya mencabar Pengarah JPMK untuk menghadirinya dan kita menantikan program Konvokesyen Mahasiswa Al-Azhar ala UMNO yang akan diadakan dalam beberapa hari lagi. Mari kita lihat betapa kucar-kacir program itu nanti!

Saya teringat lagi tahun lalu, saya dihubungi oleh wakil Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah merayu-rayu untuk menjadi jawatankuasa pelaksana sedangkan program akan berlangsung sekitar 24 jam lagi. Betapa pengurusan JPMK lemah!

Ayuh sama-sama menghadiri konvokesyen UMNO yang lemah ini!



Mengapa Teknik Penulisan Novel Surah Yusof Tidak Diteorikan?

Gambar disalin dari blog Puan Ainon (http://universitipts.com)

SEMALAM saya menghadiri teknik penulisan novel berdasarkan Surah Yusof. Sebagai seorang penganut beragama Islam, kita percaya bahawa Al-Quran adalah sumber rujukan yang paling tertinggi. Ini diikuti oleh hadis, ijma' ulama (pandangan ulama) dan qias sebagai perundangan Islam yang seterusnya selepas Al-Quran.

Puan Ainon Mohd selaku pembimbing bengkel ini memberikan input asas bagaimana penghasilan sesuatu novel menggunakan teknik ini dapat dihasilkan.

Baru-baru ini, Dr Kamariah Kamarudin, seorang pensyarah di Universiti Putra Malaysia telah menghasilkan kertas kerja disertasinya yang berjudul Teori Takmilah (kesempurnaan). Teori ini juga adalah teori sastera Islam.

Dalam dunia sastera, perkembangan teori sememangnya pantas berlaku. Apabila seseorang pensyarah atau ahli akademik menghasilkan teori sastera, ia akan digunakan oleh masyarakat amnya.

Namun, sejauhmana Teknik Surah Yusof ini mampu dijadikan teori sastera? Barangkali Teori Yusofiah perlu diperkenalkan kepada angkatan dunia sastera dan sejauhmana kritikan dan kajian ini bakal dilakukan dengan seadilnya.

Ayuh mengkajinya!

Tambahan :

Saya bercadang menulis satu kertas kerja berkenaan perkara ini.


Saturday, October 17, 2009

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur

Rakan-rakan penulis masing-masing sudah mempunyai karya masing-masing. Barangkali saya juga perlu menjadi seorang penulis prolifik sebelum menjelangnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 yang dijangka berlangsung pada akhir Mac tahun hadapan.

Apakah genre yang terbaik yang patut saya hasilkan? Saya fikir genre fiksyen Islami yang sedang dinantikan pada hari ini perlu diisi dengan sebaiknya. Saya juga sedang berfikir, syarikat penerbitan manakah yang paling tegar mempromosikan karya penulisnya untuk saya menghantar manuskrip tersebut.

Wangsa Melawati


Kemeriahan Rumah Terbuka PTS

Dr Kamariah menceritakan pengalamannya

Kak Asma dan Abang Bahar (PTS Litera)



Hari Khamis yang lalu adalah hari paling banyak berjalan. Ke utara, selatan, timur dan barat. Awal-awal pagi lagi saya bersama Kak Asma Fadila (senior PTS Litera) dan Abang Bahar (penulis dan editor PTS terkenal) ke Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi bagi menghadiri Bengkel Penulisan Kreatif bersama Dr Kamariah Kamaruddin. Terima kasih kepada Encik Fauzul (pengurus besar PTS) yang menghantar saya ke program ini. Bulan depan Saudara Faisal Tehrani pula. Harap-harap saya dapat pergi lagi. Saya ingin merisik Abang Faisal untuk mengarang bersama PTS!

Program selama dua jam tersebut mendedahkan pengalaman berguna Dr Kamariah sebagai salah seorang pengarang hebat di Malaysia. Walaupun secara kasarnya Dr Kamariah bukanlah seorang penulis tegar tetapi sebagai seorang penulis kreatif beliau dapat membahagikan masa di antara dua dunia, penulisan dan akademik.



Sebelah petang, kami bergegas pulang ke Batu Caves kerana PTS mengadakan Rumah Terbukan bersama PTS. Ramai penulis PTS dan rakan perniagaan yang hadir. Buat kali pertama juga saya bertemu dengan Tuan Amin Idris (orang besar motivasi), Tuan Ahmad Fadzli Yusof (motivasi), Ustaz Zambri Zainal Abidin (DJ IKIM), Ustaz Ahmad Awang (penggiat politik), Kak Ain Maisarah (artis PTS), Kak Lily Haslina Nasir (penulis PTS), Saudara Asyraffdini (Jordan), Sammaituha Najwa (Mesir) pun ada, dan ramai lagi warga kerja televisyen yang hadir. Meriah! Memang meriah.

Selepas tamat acara, saya bergegas ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kerana bertemu janji dengan seorang teman yang baru saja menerima Anugerah Mahasiswa Terbaik Fakulti sempena konvokesyen UIA baru-baru ini. Beliau menyerahkan saya semanuskrip buku daftar kemasukan ke peringkat lebih tinggi bagi menyambung pengajian. Terima kasih kepada Faiz kerana bersusah payah mendapatkan borang permohonan kemasukan Ijazah Sarjana untuk saya.

Saya sedang berfikir-fikir mahu lahir sebagai seorang pemegang Ijazah Sarjana daripada universiti yang mana pula.

Sebelah malam pula, saya bersama dengan seorang teman sekolah rendah yang sudah berpindah ke Kuala Lumpur untuk makan bersama di belakang Wangsa Walk.

Tambahan :

Jarak rumah saya ke pejabat PTS di Batu Caves - 10 kilometer

Jarak rumah saya ke UIAM - 8 kilometer

Jarak rumah saya ke pejabat editor di Wangsa Melawati - 300 meter


Thursday, October 15, 2009

Gerakan Suara Rakyat Ditubuhkan Di Mesir


TERCAPAI juga hasrat dan cita-cita satu gerakan yang dinamakan Gerakan Suara Rakyat ini ditubuhkan di Mesir. Tahniah dan syabas.

Gerakan ini adalah semata-mata menyedarkan Nadi UMNO Mesir bahawa Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR @ UMNO) sudah tidak diterima rakyat. Jika UMNO Mesir atau bahasa sanskritnya (nak tiru PMRAM) NUMRAM masih lagi tidak menyedari, saya tidak mampu berbuat apa.

Tahukah juga kalian bahawa PMRAM sebagai persatuan tertua di bumi Mesir (barangkali tertua di Timur Tengah dan Dunia), adalah agen utama yang akan dicop sebagai pemantau dan penyokong kuat kepada gerakan ini.

Biar apapun yang diletakkan dan disandarkan kepada PMRAM, nama PMRAM sudah biasa dilabel sebagai pembangkang. Malah, nama PMRAM akan disebut-sebut di dalam Perhimpunan Agong UMNO. Zakat dan biasiswa kepimpinan PMRAM pula biasanya akan ditarik (untung saya jadi rakyat dan anak jati negeri Johor kerana tidak ditarik zakat).

Selepas wujudnya Gerakan Suara Rakyat di Mesir, persoalan-persoalan ini akan timbul :-

1. Apa pendirian (mauqif) PMRAM dengan penubuhan Gerakan Suara Rakyat?

2. Benarkah Gerakan Suara Rakyat muncul hasil daripada ahli PMRAM? (Ramai yang melihat bahawa ahli gerakan ini juga adalah ahli PMRAM)

3. Apakah seseorang itu akan terlucut keahlian apabila menyertai gerakan ini.

Jika ada persoalan ini timbul khusus di dalam Muktamar Sanawi PMRAM yang akan datang, saya mencadangkan agar kepimpinan tidak melayannya kerana soalan-soalan itu amat klise sifatnya.



Berucap Di Khalayak

Prof. Abdullah sedang berbual dengan salah seorang pembentang dari negara Thailand

Puan Ainon sedang membentangkan kertas kerjanya

PERCAYALAH bahawa tugas sebagai seorang penceramah bukanlah suatu perkara yang mudah. Di dalam Persidangan Antarabangsa Bahasa Melayu Bahasa Dunia, Puan Ainon Mohd. selaku Pengerusi Kumpulan PTS telah menyampaikan kertas kerjanya yang berjudul 'Trend Kontemporari Pasaran Buku Melayu Dalam Negara dan Strategi Menembusi Pasaran Antarabangsa'.

Semasa membentangkan kertas kerjanya, beliau langsung tidak merujuk kertas kerja yang ditulisnya malah mampu berucap (menyampaikan maklumat berdasarkan tajuk) di dalam jangka waktu dan masa yang diberikan dengan sebaiknya.

Apabila seseorang pembentang membaca kertas kerjanya dari muka ke muka, ia dianggap membaca bukan menyampai. Teknik ini yang tidak digemari oleh sebahagian pendengar.

Selesai sahaja pembentangan beliau, saya menerima respon yang terbaik dari pendengar (peserta) apabila menyatakan beliau adalah seorang 'speaker' yang terbaik. Malah, ada pula peserta yang mengucapkan tahniah kepada saya sedangkan pada waktu itu saya masih belum berkhidmat di PTS Publications Sdn. Bhd.

Berucap di khalayak memerlukan teknik yang betul dan gaya tersendiri. Lagak seorang pemidato wanita seperti ini yang diperlukan oleh masyarakat yang lebih mesra pendengar dan mesra khalayak.

Sebab itu, apabila Kumpulan PTS terus mara maju ke hadapan, orang ramai pasti tidak mustahil mempercayainya kerana PTS dipimpin oleh seorang ketua yang amat 'lincah' orangnya.


Wednesday, October 14, 2009

UMNO Ciplak Tagline PMRAM?

UMNO telah menciplak dua daripada empat rukun pembaharuan yang dicipta-cipta olehnya sendiri. Tagline, 'Satu Fikrah Satu Amal' yang digunakan oleh PMRAM telah digunakan oleh UMNO. Oleh yang demikian, apabila Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah menafikan kelahiran PMRAM di bumi Mesir, ini adalah satu perkara yang perlu difikirkan semula.

UMNO Malaysia juga merujuk kepada PMRAM. Apatah lagi JPMK yang seharusnya menjadikan PMRAM sebagai panduan dan matlamat.


Sumber : Berita Harian Online

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menggariskan empat rukun untuk dihayati ahli parti ke arah menjadikan Umno lebih kental, kukuh, segar dan terus relevan dengan keadaan semasa bagi mewakili orang Melayu, Bumiputera dan rakyat keseluruhannya.

Empat rukun itu ialah wahdatul fikr (kesatuan minda), wahdatul qalb (kesatuan hati), wahdatul amal (kesatuan amal) dan wahdatul hadaf (kesatuan matlamat).

UMNO yang menjadikan tagline agama sebagai dasar pembaharuan ini, memungkinkan parti ini semakin tercari-cari identiti sebenar dan roh perjuangan yang sebenar.

Bukankah UMNO ditubuh semata-mata memperjuangkan bangsa. Mengapa tagline dan dasar agama ini yang dipilih?

Barangkali mereka sudah terperosok dan kelemasan di dalam memikirkan perjuangan dan matlamat parti. Kesian...


Tuesday, October 13, 2009

JPMK Hilang Sokongan


SAYA amat kecewa apabila mendapat berita bahawa Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah akan membatalkan Majlis Pembacaan Kutub Sittah anjuran Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM). Apa yang mereka mahukan sebenarnya?

Segala program yang dilakukan oleh PMRAM tidak senang duduk pihak Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah memikirkannya. Jikalau program bersama ulama dan ilmu juga diprotes oleh pihak kerajaan, apa lagi program yang sepatutnya PMRAM lakukan.

Dr. Jamil Hashim selaku Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah seharusnya menyedari akan segala tindak-tanduknya sama ada boleh memecah belahkan orang Melayu-Islam di bumi Mesir atau sekadar tidak memberi kesan kepada umum.

Kita memohon Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia menjawab persoalan ini. Jangan sampai saya mengarang untuk akhbar perdana sehingga terbit dan tersiar!

Tambahan :

1. Satu NGO khas perlu diwujudkan bagi menangani masalah mahasiswa di bumi Mesir. Kedutaan Besar Malaysia Kaherah perlu bekerjasama menyelesaikan masalah JPMK yang tidak lena tidur memporak-perandakan mahasiswa!

Saturday, October 10, 2009

Langkah Panjang

APABILA tinggal di Bandar Metropolitan, kaki saya bergerak jauh. Semalam (Jumaat) saya turun ke gelanggang puisi buat kali pertama. Saudara Amran menyuakan saya sebuah buku puisi lantas meminta saya mendeklamasikannya pada malam itu. Saya menolak pelawaan. :) Fikir saya, insya-Allah pentas puisi bulan November nanti saya akan berdeklamasi pula.

PENA (Persatuan Penulis Nasional Malaysia) mengadakan program santai membaca puisi di Rumah PENA pada setiap bulan. Program ini semata-mata memperakukan bahawa dunia puisi dan sastera tidak akan tenggelam lenyap dan sepi.

Malam tadi kali pertama saya bertemu dengan 'otai' sastera dan puisi Malaysia. Saudara Siso Kopratasa ada, Dr. Arbak Othman ada, Saudara Ramli Daeng Akil ada, Saudara Shukri Abdullah ada, Saudara SM Zakir ada, Saudara Rahimidin Zahari ada, Saudara Khalid Saleh(sutradara Melayu terkenal), Saudara Saifullizan Yahaya (DBP), Saudara Nazmi Yaakub (Berita Harian), Saudara Rozlan Mohamed Noor (Utusan Malaysia), dan tidak ketinggalan Dr. Victor (Russia) yang berkebolehan bertutur di dalam bahasa Melayu turut memeriahkan majlis pada malam tadi.

Tiga orang pegawai polis dari Bukit Aman juga dijemput memeriahkan majlis.

Selepas pulang dari program di Rumah PENA, kami santai bersama penyair dan penggemar puisi di kedai kopi belakang Dewan Bahasa dan Pustaka. Banyak juga cadangan yang bernas yang diutarakan oleh Saudara Lutfi Ishak di samping Saudara Saifullizan Yahya (DBP) yang merupakan otai besar di dalam Jabatan Sastera Tradisional, DBP.

Pengalaman yang sedikit ini menyedarkan saya bahawa saya masih terlalu jauh jika mahu dibandingkan dengan insan yang saya temui pada malam tadi. Selepas ini saya akan menyertai PENA dengan membantu angkatan penulis negara ini yang perlu dibangunkan oleh generasi muda.


Wednesday, October 07, 2009

Minggu Ini


Minggu ini minggu pertama saya di Kuala Lumpur. Banyak perkara yang sedang disusun. Orang-orang kuat persatuan dan kelab telah saya hubungi. Beberapa temujanji akan penuh sempena dengan kedatangan saya ke sini.

Malam ini Anugerah Media Islam Negara akan berlangsung di PICC Putrajaya. Melalui Sungai Besi hanya 7 kilometer sahaja. Insya-Allah, malam nanti Ustaz Nabil akan membuat persembahan (nasyid kumpulan Far-East).

Sebenarnya malam ini pertindanan dua program. Satu lagi hanya di sekitar Kuala Lumpur. Irfan Khairi ada di sana. Tidak mengapa. Krew saya akan membuat liputan di sana nanti.

Malam esok (Khamis) saya akan bertemu dengan orang kuat PULAPI-PRO iaitu salah satu pusat pembangunan untuk mereka yang ingin menjadi pemidato yang hebat.

Hari Jumaat malam Sabtu pula saya akan berada di Rumah Pena sempena dengan Majlis Baca Puisi Aidilfitri di Rumah Pena yang terletak di Jalan Dewan Bahasa. Pastinya Abang Nazmi Yaakub akan berada di sana untuk membuat liputan mewakili Berita Harian.

Tambahan :
Sedang memikirkan judul puisi yang akan dipersembahkan.


Sunday, October 04, 2009

Ke mana bahasa Melayu?


Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) yang pada asalnya dinamakan BBSN. Barangkali terlampau menghidu mulut menteri, semua pihak harus akur. Oktober ini...

RENCANA
Mingguan Malaysia, 4 Oktober 2009

Ke mana bahasa Melayu?

Persidangan Antarabangsa Bahasa Melayu Bahasa Dunia yang berlangsung di Johor Bahru, baru-baru ini menuntut perhatian besar. Resolusi persidangan tersebut antara lain mendesak kerajaan memberi kuasa penguatkuasaan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi memartabatkan bahasa Melayu. Desakan ini bukan perkara baru kerana ia sudah kerap disuarakan. Pada Awang, selagi DBP tidak mempunyai kuasa tersebut, agensi itu dilihat umpama harimau tidak bertaring.

Sedangkan gejala pencemaran dan penyalahgunaan bahasa semakin berleluasa terutama pada papan tanda dan paparan iklan premis perniagaan. Begitu juga dengan penggunaan bahasa rojak secara keterlaluan di televisyen dan radio. Itu belum mengambil kira kegagalan banyak pihak termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mengutamakan bahasa kebangsaan dalam urusan mereka di dalam negara.

Hari ini, jika ada bahasa lain lebih besar saiz paparannya daripada bahasa Melayu, ia tidak lagi dipersoalkan. Malah semakin banyak info produk barangan pengguna biarpun yang dikeluarkan di dalam negara, tidak lagi menggunakan bahasa kebangsaan.

Siapakah yang perlu bertanggungjawab memantau dan memperbetulkan semua ini kalau bukan DBP. Tetapi jika agensi itu tidak diberi kuasa, ia tidak membawa apa-apa makna.

Sementara menanti perubahan serius yang dilakukan oleh kerajaan berhubung hal ini (itu pun jika ada kemahuan politik yang tinggi), Awang amat berharap DBP lebih agresif dan proaktif dalam memainkan peranannya mengembangkan bahasa.

Agensi itu dilihat oleh banyak pihak sebagai lesu. ''Bangunannya lebih gah daripada keberanian dan pencapaiannya untuk melonjak martabat bahasa," kata seorang tokoh akademik. Apa yang beliau cuba sampaikan, DBP tidak lagi lantang memperjuangkan soal bahasa. Kritikan itu mungkin tidak adil dan boleh diperdebatkan. Usaha memartabatkan apatah lagi menyelamatkan bahasa Melayu bukan semata-mata tugas DBP malah semua pihak termasuk pemimpin kerajaan, pembangkang dan sektor swasta.

Awang juga tertanya-tanya ke mana perginya para pejuang bahasa yang sanggup berdemonstrasi dan berterusan membantah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dalam kaitan mempertahankan kedudukan bahasa Melayu secara keseluruhannya.

Selepas PPSMI dimansuhkan, apakah kepada mereka, perjuangan memartabatkan bahasa Melayu sudah selesai? Apakah juga masa depan bahasa Melayu hanya berkaitan pengajaran kedua-dua subjek itu dalam bahasa kebangsaan sahaja?

Sepatutnya kelompok itu yang menjadi benteng hadapan, meneruskan momentum mereka dengan mewujudkan gelombang kesedaran mengenainya.

Ini termasuk menegur Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), menteri-menteri dan pemimpin parti-parti politik terhadap apa sahaja perkara berkaitan kepentingan bahasa. Awang teruja mahu melihat para pejuang dan badan pertubuhan kerajaan (NGO) turun di jalanan atau menyerbu ke mana-mana kementerian, agensi mahupun pejabat swasta membuat bantahan jika perlu.

Sesungguhnya terlalu banyak yang perlu dilakukan bagi memartabatkan bahasa Melayu terutama bagi menjadikannya bahasa komersial yang lebih meluas. Dalam usaha ini tiada siapa boleh berputus asa apatah lagi bagi mencapai matlamat murni mempertahankan bahasa Melayu yang kedudukannya sudah termaktub dalam perlembagaan negara.

Untuk apa kita memperakukan bahasa Melayu mampu berkembang sebagai bahasa dunia, kalau di peringkat dalam negara sendiri kita sudah tidak menampakkan keyakinan. Banyak lagi petunjuk yang membimbangkan di sekeliling kita. Bukankah kita sendiri yang mewujudkan persekitaran yang akhirnya membunuh bahasa Melayu?

Mula Bertugas

DALAM sejarah hidup; ini kali pertama saya bertugas di luar negeri Johor. Kali pertama bertugas sebagai guru agama di Sekolah Agama Bandar Baru UDA, Johor Bahru pada tahun 2004. Kemudian saya pernah bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru UDA, Johor Bahru pada tahun 2007.

Hari ini, selepas menamatkan pengajian saya diberi peluang berkhidmat sebagai editor di PTS Publications and Distribution Sdn. Bhd. sebagai editor yang menguruskan hal ehwal sastera.

Di sini peluang saya berguru dan terlibat dengan PENA (Persatuan Penulis Nasional) lebih baik kerana saya amat kenal dengan tokoh-tokoh penulis dan bahasa yang sama-sama terlibat di dalam PENA.

Barangkali ini satu kekurangan. Saya bukan pemuda yang lahir daripada Minggu Penulis Remaja (MPR-DBP). Tema-teman MPR amat cemerlang potensinya untuk menjadi penulis ternama. Saya bercita-cita untuk menyertainya tahun ini. Namun, apabila difikir-fikirkan semula bahawa program MPR mengambil masa satu minggu; terpaksa saya tinggalkan hasrat itu kerana sudah mula bertugas.

Cita-cita saya satu. Mahu membawa PTS dalam kumpulan yang besar. Fikir saya, pelbagai NGO perlu didedahkan dengan dunia baharu ini. Menulis dan berkarya di samping dunia sastera dan bahasa yang perlu dijiwai oleh setiap anggota. Itu satu perkara penting!

Wangsa Melawati


Thursday, October 01, 2009

ISMA Main Belakang?

SAYA tidak faham apa politik yang dimainkan oleh sebuah persatuan di bumi Mesir pada tahun ini. Barangkali dicium-cium oleh dua jejaka penting yang berada di dalam Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK) menyebabkan persatuan ini sedang bermain drama lakonan yang paling popular pada tahun ini.

Desas-desus yang diterima daripada Mesir bahawa persatuan ini sedang menjalankan sesi culik-menculik yang paling dahsyat di bumi Mesir pada hari ini. Dengan bantuan persatuan yang bakal terkubur tidak lama lagi iaitu Nadi UMNO Mesir, persatuan ini dikatakan sedang mengganas laksana ombak tsunami yang sedang melanda pada hari ini.

Jika mereka tidak selesa dengan bapa persatuan di bumi Mesir, apalah salahnya jika mereka belajar mengapa kita perlu bermain dalam satu jemaah dan tidak mewujudkan perpecahan di kalangan orang Melayu di bumi Mesir.

Tambahan :
Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia diarah membawa pulang dua orang tokoh Jemaah Islah Malaysia yang sedang menyelinap masuk di Kaherah, Mesir.


Rahsia Tidak Menganggur

SEBENARNYA ada satu rahsia bagaimana seorang mahasiswa itu tidak akan menganggur selepas belajar. Apabila ramai teman-teman dan rakan seangkatan memberikan alasan kerjaya; fikir saya itu semua alasan.

Tahukah kalian bahawa kerjaya sebagai editor sudah bermain di minda saya semenjak dua tahun yang lalu. Hidup dalam keseronokkan adalah sesuatu yang mesti dicapai oleh semua insan. Oleh itu, barangkali kita harus menyusun keseronokkan itu bermula hari ini.

Barangkali saya fikir wajar untuk mengarang sebuah buku berjudul 'Rahsia Emas Tidak Menganggur' bagi menceritakan bagaimana sebenarnya seorang mahasiswa yang baru menamatkan pengajian; mampu terjun ke dalam bidang kerjaya dalam masa yang terlalu singkat.