Hari Khamis yang lalu adalah hari paling banyak berjalan. Ke utara, selatan, timur dan barat. Awal-awal pagi lagi saya bersama Kak Asma Fadila (senior PTS Litera) dan Abang Bahar (penulis dan editor PTS terkenal) ke Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi bagi menghadiri Bengkel Penulisan Kreatif bersama Dr Kamariah Kamaruddin. Terima kasih kepada Encik Fauzul (pengurus besar PTS) yang menghantar saya ke program ini. Bulan depan Saudara Faisal Tehrani pula. Harap-harap saya dapat pergi lagi. Saya ingin merisik Abang Faisal untuk mengarang bersama PTS!
Program selama dua jam tersebut mendedahkan pengalaman berguna Dr Kamariah sebagai salah seorang pengarang hebat di Malaysia. Walaupun secara kasarnya Dr Kamariah bukanlah seorang penulis tegar tetapi sebagai seorang penulis kreatif beliau dapat membahagikan masa di antara dua dunia, penulisan dan akademik.

Sebelah petang, kami bergegas pulang ke Batu Caves kerana PTS mengadakan Rumah Terbukan bersama PTS. Ramai penulis PTS dan rakan perniagaan yang hadir. Buat kali pertama juga saya bertemu dengan Tuan Amin Idris (orang besar motivasi), Tuan Ahmad Fadzli Yusof (motivasi), Ustaz Zambri Zainal Abidin (DJ IKIM), Ustaz Ahmad Awang (penggiat politik), Kak Ain Maisarah (artis PTS), Kak Lily Haslina Nasir (penulis PTS), Saudara Asyraffdini (Jordan), Sammaituha Najwa (Mesir) pun ada, dan ramai lagi warga kerja televisyen yang hadir. Meriah! Memang meriah.
Selepas tamat acara, saya bergegas ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kerana bertemu janji dengan seorang teman yang baru saja menerima Anugerah Mahasiswa Terbaik Fakulti sempena konvokesyen UIA baru-baru ini. Beliau menyerahkan saya semanuskrip buku daftar kemasukan ke peringkat lebih tinggi bagi menyambung pengajian. Terima kasih kepada Faiz kerana bersusah payah mendapatkan borang permohonan kemasukan Ijazah Sarjana untuk saya.
Saya sedang berfikir-fikir mahu lahir sebagai seorang pemegang Ijazah Sarjana daripada universiti yang mana pula.
Sebelah malam pula, saya bersama dengan seorang teman sekolah rendah yang sudah berpindah ke Kuala Lumpur untuk makan bersama di belakang Wangsa Walk.
Tambahan :
Jarak rumah saya ke pejabat PTS di Batu Caves - 10 kilometer
Jarak rumah saya ke UIAM - 8 kilometer
Jarak rumah saya ke pejabat editor di Wangsa Melawati - 300 meter
Ulasan