Kenali Diri

My photo
Johor Bahru, Johor, Malaysia
SYAFIQ ZULAKIFLI adalah graduan Universiti Al-Azhar, Kaherah,Mesir. Berasal dari negeri Johor Darul Takzim. B.A (Hons)Syariah, Al-Azhar (2009) Editor PTS Publication & Distributor Sdn Bhd(2010) Eksekutif Penyelidikan Editorial TVAlhijrah(2012)Penerbit Rancangan IKIMfm (Mulai 1 Mac 2012) Sebarang pertanyaan emelkan ke syafiqzulakifli @ gmail.com atau hubungi +6017 7346 946

Wednesday, October 31, 2007

Membongkar Rahsia Penulisan Tuhan Manusia

Membongkar Rahsia Penulisan Tuhan Manusia

Oleh : Syafiq Zulakifli

Saya kurang pasti, adakah menjadi salah taakulan yang saya akan bincangkan ini. Mungkin penulis sendiri (Abang Faisal Tehrani) akan marah pada saya. Jika penulis memarahinya, saya akan cepat-cepat minta maaf apabila ketemu dengannya di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) pada hari Sabtu ini.

Saya membaca sambil meneliti karya ambitious abang FT ini. Otak saya mencerna beberapa kesimpulan yang dapat difikirkan menurut kemampuan saya.

Pertama, sedari awal karya “Tuhan Manusia” ini pada asalnya adalah karya yang dihantar sempena Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) 2006 dalam kategori novel remaja. Mengikut tafsiran saya, karya ini bersaing dengan Odisi Tanah Kencana (Siti Rahayu Mohd Yusof) dan Justeru Impian di Jaring (Zaid Akhtar) yang memenangi tempat pada anugerah tersebut.

Kedua, karya ini pada asalnya berjudul “Sebuah Rumah Di Utara.” Sekali baca, tentukan saudara dan saudari akan menjadi pelik mengapa tajuk ini dipilih sedangkan melihat isi kandungnya ianya lebih menyuarakan kisah pluralisme dan murtad. Namun, tentang isu ini saya tidak harus menyentuhnya.

Ketiga, apakah punca karya ini tidak menjadi pilihan juri? Jika dilihat awal, walaupun perjalanan novel ini adalah karya novel remaja kerana “Ali Taqi” adalah seorang remaja, namun pemikiran yang tinggi harus dicerna untuk memahami novel ini. Jika saya bukan daripada aliran agama pun, saya akan ‘lepak’ membaca karya ini. Setelah meneliti novel JIdJ, barulah saya tahu mengapa karya ini terlalu asing pada diri seorang juri. Mungkin juga panel tidak faham apa itu pluralisme (baca : maafkan saya wahai panel juri)

Saya juga harus menyalahkan abang Faisal kerana menulis karya remaja di dalam perkembangan novel dewasa. (baca: tanggapan penulis).

Namun, ini semua adalah rencam biasa di dalam penulisan novel. Ketika panel ingin mengkategorikan hasil penulisan cerpen dan cerpen remaja pun, masalah ini dihadapi.

Semasa peringkat awal saya mengenali dunia penulisan pun, saya kurang pasti apakah perbezaan novel dewasa, novel remaja dan novel kanak-kanak. Walaupun, saya pernah bertanya kepada seseorang yang lebih arif, beliau memberikan respon yang kurang memuaskan hati saya. Hari ini, saya telah membaca bermacam-macam jenis novel di dalam kategori yang berbeza. Alhamdulillah, ini suatu usaha yang baik.

Monday, October 29, 2007

Mungkin Salah Kita

Di atas katil yang sudah lama tidak dijamah!

Kalau kita membilang dengan jari, kita boleh kira berapa hari sahaja kita berada di rumah. Dalam seminggu, sehari. Ataupun, dalam seminggu hanya menghirup angin di dalam kamar sendiri.

Hati merundum sedih beberapa ketika. Mungkin kehilangan rakan serumah sejak bulan Julai yang lalu. Namun, peristiwa itu mungkin tidak dirasai kerana saya berada di Malaysia.

Sejak beberapa bulan yang lalu, ketika bertanyakan khabar ahli-ahli bait, keadaan rumah seakan-akan bahagia. Tiada tsunami melanda. Walaupun, saya tidak berada di sana, sekurang-kurangnya saya memahami apa yang berlaku di sana.

Apapun, yang pergi tetap pergi. Yang masih ada, teruskan perjuangan hingga titisan darah terakhir. Saya beranggapan, anda ada sebab mengapa mengundur diri.

Saya tidak marah atau sebagainya. Namun, cukuplah saya sedarkan diri saya. Bahawa, kita tidak dapat menyempurnakan perasaan orang lain dengan sebaiknya. Apa yang kita mampu lakukan kita buat dengan baik.

Hari ini, saya dapat saksikan pelbagai bentuk cabaran dan rintangan yang melanda. Ada yang gagal di dalam peperiksaan. Ada yang terus tercampak di luar kawasan Kaherah. Paling teruk, ada yang sudah futur dalam perjuangan. Meneruskan pelajaran ke IIUM.

Ini semua rencam biasa. Ada hari kita akan bersama. Ada hari pula kita tidak akan bersama. Mungkin hari ini kita lakukan kerana kita ada asbab tersendiri. Tetapi, semua itu pengalaman.

Saya menjentik diri sendiri. Bertanya di dalam hati sambil memujuk diri. Apakah ini salah kita?

Sedari awal, saya sudah tawarkan hati untuk menjadi kepimpinan lagi. Bukan futur, tetapi ingin meneruskan perjuangan peribadi. Salahkah kita?

Saturday, October 27, 2007

Santai Bukan Gedik Santai

I
Ada beberapa ulasan yang perlu saya berikan. Sepatutnya, selepas saya menekuni "Manikam Kalbu" saya harus menjelajah lautan melalui "Bedar Sukma Bisu". Namun hati bergalau. Kurang senang melihat bacaan novel dewasa di hadapan mata.

Mungkin ke"berat"annya menjadikan saya meninggalkannya ke tepi sebentar. Tetapi ia tidak bermakna membuang terus. Sekadar berehat untuk beberapa ketika.

Tidak lama masa yang diambil untuk meladeni Manikam Kalbu. Hanya 11 hari. Itupun, saya mencuri-curi masa ketika di sekolah (tempat saya mengajar).

"Ustaz sedang membaca novel cinta ya."

"Bukan."

Dengan kedua ibu bapa juga saya mengatakan tidak. Ini novel bermoral. Kesan sejarah yang tinggi. Selepas saya membaca Surat-Surat Perempuan Johor dan Nama Beta Sultan Alauddin beberapa bulan yang lalu, inilah fiksyen cereka yang saya baca. Dua unsur yang diterapkan di dalam novel ini seolah-olah pembaca sedang menelaah dua buah novel. Namun, pengarang berjaya meletakkan posisi pembaca untuk menumpukan bidang sejarah yang telah ditinggalkan pada akhir - akhir ini.

Benar! Siapa sahaja yang sanggup menulis cereka sejarah. Abdul Latip Talib pun kekadang terkelu membicarakan novel sejarah. Namun, usaha-usaha penulis ceritera sejarah ini wajar dipuji. Sekurang-kurangnya ada di antara mereka yang membangkitkan semangat sejarah walaupun ada sejarah yang hampir-hampir palsu.

Mengapa saya memilih "Tuhan Manusia" selepas membaca "Manikam Kalbu"? Beberapa orang memperkatakan keberatan novel ini. Namun, selepas saya membaca dua fragmen novel ini, belum nampak di mana beratnya. Mungkin terlalu awal untuk saya mentafsir. Namun, doakan pembacaan saya kian lancar.

II
Beberapa rakan menghubungi saya lewat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Mudahnya, saya menyambutnya dengan ucapan selamat kembali. Namun, saya sedang berfikir sendiri. Bila lagi aku mahu pulang?

Ini bukanlah soalan yang janggal. Namun, boleh dikatakan hampir-hampir setiap hari soalan ini menerjah benak fikiranku. Hanya jawapan yang mampu dinyatakan, sabarlah.

Selepas sedang sibuk di sekolah mempersiapkan persediaan peperiksaan akhir tahun di sekolah, saya juga giat ripuh menghadiri marhaban di rumah-rumah jiran. Keperluan memaksa. Ada pihak yang kurang menyenangi untuk mengetuai program ini. Justeru, sebagai orang Azhar, tanggungjawab ini wajar digalas.

Sementara itu, esok (Ahad) saya akan ke Singapura bagi menghabiskan sisa-sisa ziarah yang masih belum tamat.

p/s : Selamat Kembali ke Mesir untuk Ishaq Hanis, Firdaus Sulaiman, Elyeen Amineen, Saman Esa, Faiz Esa, dan Fendi Abdul Jabar. Jika ada yang tertinggal, maafkan saya.

Thursday, October 25, 2007

Puisi Di Majalah

Alhamdulillah. Karya puisi saya terbit di Majalah FOKUS SPM Keluaran November 2007. Niat hati keluar ke kedai mencari barang. Namun, apabila terserempak dengan majalah ini, saya capainya dan terus membeli. Tidak sangka ada puisi saya di dalamnya.

Untuk pengetahuan, puisi ini saya karang di Malaysia. Namun, ianya adalah sebuah puisi untuk seorang kanak-kanak kecil di tepi pantai Iskandariah. Seingat saya, ketika itu kami (semua Badan Pengurus PMRAM) jaulah ke Iskandariah. Kesempatan itu saya gunakan untuk mengingatkan kembali memori di pantai tersebut.



PUISI


Rezeki Laut Mediterranean

(untuk si kecil di Iskandariah, Mesir)


Lelah menyaksikan

pada raut wajah si kecil

membonceng basikal usangnya

karam entah bila…


Kutebarkan senyuman

buat si kecil

yang merisik kasih

menyuap setitik rezeki

yang paling

teragung…


Si kecil penjual aiskrim

hanya menurut perintah lagi

berdikari seorang diri

pastinya ia anugerah Ilahi.


SYAFIQ BIN ZULAKIFLI

Johor Bahru, Johor.

Majalah FOKUS SPM Keluaran November 2007


Tuesday, October 23, 2007

9! Bukan Antologi Cerpen Tapi 9 Gambar Raya

Izinkan saya berkongsi kegembiraan berhari raya tahun ini bersama ibu bapa dan rakan-rakan. Paling seronok, ada mahasiswa Al-Azhar sendiri pun tidak kenal dengan kawan sekuliah sendiri. Sedih kan? Dalam majlis tak seberapa formal ini, saya ketawa sendiri dalam hati.

Bab menyakat, bagi pada Saman Esa. Bab cerita sastera, Ishaq Hanis jadi mangsa. Tapi paling pelik, ada kawan-kawan kita tidak mengenali rakan sekuliah.

Ini dialognya :-

Si A : Kau belajar kat mana sekarang?

Si B : Aku belajar kat Mesir. Universiti Al-Azhar.

Si A : Ala, cakaplah betul-betul. Belajar mana ni? Sihat ya kau?

Si B : Aku belajar kat Mesir. Sama dengan kau la.

(Setelah hampir 10 kali perbualan yang sama, Si A masih tidak ketahui yang Si B adalah kawan sekuliah di Mesir)

Akhirnya, apabila sudah pecah tembelangnya...semua ketawakan dia. Hampeh! Kawan sendiri pun tak kenal.

Moral : Duduk Mesir, masuk persatuan. Rajin pergi kuliah. Ini, apabila tiba di Malaysia rakan sendiri pun tak kenal. Saya akui yang Si B sememangnya bukanlah insan famous di Mesir. Jarang kita temui beliau di Rumah Johor (bahasa juvenalia) -insan-insan sastera sahaja faham.

Kesempatan ini, saya lampirkan gambar-gambar Syawal 1428H

(ii)
Salam Terakhir. Mungkin pahit untuk ditelan kepada yang mengenali arwah. Namun, semuanya ajal dan maut di tangan yang kuasa. Puisi saya Kubur Kita Lain-Lain terbit pada hari berlakunya tragedi itu. Inna lillahi wainna ilaihi rajiuun.

Yang pergi tetap pergi. Kita perlu tabahkan hati untuk terus hidup.


Hari Raya Ke-8


Hari Raya ke-9

Sudah berpunya ke...


Baik punya mengumpat!!! Mentang-mentang dah habis puasa...

Posing maut! Dah ada awek ke semua ni...


Wah Wah Wah! Bergaya...


Macam sedih je hari raya ni..


Kenapa Kami Di YPJ? Apa yang kami lakukan? Minta biasiswa ke? Hanya jauhari mengenal manikam!!!

Sunday, October 21, 2007

KUBUR KITA LAIN LAIN

Saya kurang pasti mengapa akhbar Berita Harian hari ini (Ahad) tidak mengemaskinikan pangkalan ruangan SU SASTERA. Mungkin berkejar-kejar untuk menghadiri rumah terbuka atau sebagainya. Yang ada, hanyalah cerpen saudara Nasron Sira Rahim berjudul "Pulangnya di bening Syawal.." Namun, sekalung penghargaan buat editor ruangan ini kerana memberi peluang kepada saya tampil mengisi kekosongan ruangan puisi pada minggu ini.


Bagaimana saya menulis KUBUR KITA LAIN - LAIN?

Saya menulis puisi ini ketika di Tiram Indah Village yang terletak di Ulu Tiram. Sebermulanya, pada pagi hari kedua program Ihya Ramadan, Yayasan Bandaraya Johor Bahru saya mencuri-curi masa selepas solat Subuh untuk mengarang.

Fikiran saya tertancap tepat pada wajah peserta ketika menulis. Tajuk "Kuliah Subuh" ketika itu adalah tentang masalah solat, masalah aurat dan masalah-masalah agama kepada semua pelajar dan peserta yang menghadirinya. Justeru, apabila tiba saat penceramah mengatakan, "Kita selalu mendengar orang kata, alah kubur kita lain-lain jadi apa nak risau hidup ini."

Dari situlah bermula beberapa coretan karya yang saya bina. Seingat saya, tiga buah puisi saya karang pada pagi itu. Namun, hanya satu yang terdetik untuk dihantar ke arus perdana.


PUISI


KUBUR KITA LAIN-LAIN


Kubur kita lain-lain,

itu sebab

kita alpa.


Kubur kita lain-lain,

itu sebab

kita tidak rasa berdosa.


Kubur kita lain-lain,

itu sebab

kita hanya ghairah sentiasa.


Kubur kita lain-lain,

itu sebab

kita tidak hairan hukum Allah semua.


Mudahnya kita,

kubur kitakan…

lain-lain.


SYAFIQ BIN ZULAKIFLI

Tiram Indah Village

Ulu Tiram, Johor.



p/s : Kredit untuk Ustaz Ishaq Hanis Ismail yang memaklumkan melalui SMS ketika saya berada di Singapura.



Anda Mahu Jadi Pemimpin Hebat?

Kepimpinan Mahasiswa Mesir seharusnya lebih matang

Isu perdebatan mahasiswa ini tidak akan habis jika dibincangkan. Ada sahaja mulut-mulut liar akan bersuara. Kami produk A lebih baik daripada produk B. Ah! Produk A tu, berangan nak memerintah tetapi cakap tak serupa bikin! Ini adalah senario yang benar-benar berlaku di sekitar kampus.

Teringat saya kepada forum Bicara Siswa yang diadakan di Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah suatu masa dahulu. Tahun 2005. Perbincangan yang menghangatkan. Melihatkan beberapa orang pemimpin persatuan berhujah di atas pentas saya terkelu seketika. Wah! Hebat hujah mereka namun mengapa sebegini pemikiran mereka. Pemikiran yang hampir-hampir kurang matang sebagai seorang mahasiswa.

Sebagai insan yang pernah diamanahkan memegang jawatan di dalam organisasi kepimpinan, rencam fenomena ini sudah lali di dalam diri.

Si X lebih suka makan garam daripada gula. Si Y lebih suka masukkan dawai kokot di dalam stapler daripada melihat ianya telah sedia ada di dalam kantungnya. Aneh sungguh!

Pendirian saya cuma satu. Jika ingin jadi mahasiswa, jadi mahasiswa yang hebat. Pertama, hebat dari segi pemikiran. Kedua, hebat dari segi pendidikan. Ketiga, hebat dari segi pentadbiran. Jika anda cukup tiga perkara ini, anda adalah seorang pemimpin yang matang.

Mauduk utama di dalam proses pendidikan adalah belajar. Ilmu, ilmu dan ilmu. Beberapa tahun lalu di sekolah menengah guru saya mengingatkan, "Terima kasih daun keladi, study, study, study, Assalamualaikum." Itu antara dialog beliau sebelum keluar meninggalkan kelas.

Sudah wajar kita berfikiran secara matang. Mencari identiti peribadi. Ke mana lagi kita akan dicampakkan kalau tidak ke alam barzakh suatu masa nanti. Ke mana lagi kita akan diperhitungkan jika tidak ke padang mahsyar nanti. Itu semua Allah Taala telah aturkan. Sebagai seorang mahasiswa terpelajar, berfikirlah secara rasional. Ini pendapat peribadi. Anda bagaimana?

(ii)

Pada kesempatan ini, saya mengucapkan Selamat Pengantin Baru kepada Ustaz Musa bin Musni atas majlis pernikahan yang telah berlangsung semalam di Kota Tinggi. Mabruklah Musa!

Maaf tidak dapat menghadiri majlis kerana sibuk dengan tugas-tugas luar.

Aktiviti Peribadi

21 Oktober
-berada di Singapura

22 Oktober
-sekolah kembali

Thursday, October 18, 2007

IKLAN - ASWARA (Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan)



Seminar Penulisan Cereka di Aswara

AKADEMI Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) akan menganjurkan Seminar Penulisan Cereka 2007 bertema, Pelestarian Citra Bangsa dalam Karya Cereka Kontemporari.


Seminar akan berlangsung pada 3 hingga 4 November depan di Dewan Kuliah Utama Kampus Aswara, Kuala Lumpur tersebut akan memberi tumpuan kepada aspek penulisan cereka merangkumi karya dalam bentuk fiksyen/naratif, iaitu cerpen dan novel.


Ia merupakan lanjutan daripada Seminar Penulisan Dramatik yang dianjurkan oleh Jabatan Penulisan Aswara pada Disember 2006 yang lalu. Perbincangan seminar akan merangkumi penulisan genre cereka iaitu bidang teori, praktik, penerbitan, kritikan, prinsip, falsafah, pemikiran, teknik dan pendekatan karya.


Ia juga sebagai medium pendedahan kepada peserta dan khalayak sastera tentang pelbagai teori dan teknik penulisan cereka terbaru yang mampu memajukan serta mengembangkan lagi bidang penulisan ini serta industri yang berkaitan (penerbitan) di negara ini.


Fokus utama seminar itu juga adalah menarik minat dan kecenderungan terutamanya kepada genre penulisan cereka, bagi melahirkan lebih ramai penulis baru yang akan menyemarakkan lagi bidang ini.


Para sarjana, peneliti, pengkaji, pemerhati, pendidik, penulis, pengkritik, pelajar dan peminat karya cereka juga dapat menggunakan seminar berkenaan sebagai landasan untuk berbincang serta bertukar-tukar fikiran dan pengalaman.


Matlamat lain ialah menjadikan hasildan rumusan daripada seminar itu sebagai sesuatu yang dapat menyumbang kepada usaha-usaha memantapkan lagi kurikulum serta kaedah pengajaran/pemelajaran penulisan cereka di Aswara.


Sementara itu, sebanyak 12 kertas kerja dalam pelbagai bidang akan dibentangkan dalam empat sesi; Teori, Praktik, Penerbitan dan Kritikan.


Selain itu, dua sesi khas akan menampilkan dua tokoh undangan, yang akan membicarakan sekitar dunia penulisan cereka iaitu Sasterawan Negara Dato' A. Samad Said dan Sasterawan Negara Dr. S. Othman Kelantan.


Para pembentang kertas kerja terdiri daripada para sarjana dalam teori penulisan, peneliti/pengkaji dari institusi pengajian tinggi, para penulis mapan dan penulis muda, para pengkritik serta penerbit karya cereka.


Sesi Teori Penulisan Cereka pada 3 November akan diperkatakan oleh Prof. Datuk Dr. Hashim Awang (Universiti Brunei Darussalam), Prof. Madya Dr. Sohaimi Abdul Aziz (Universiti Sains Malaysia dan Dr. Mawar Shafie (Universiti Kebangsaan Malaysia)


Dalam pada itu sesi Praktik Penulisan Cereka akan menghadirkan Datuk Dr. Anwar Ridhwan, Faisal Tehrani dan Nisah Haron.


Bidang Penerbitan Karya Cereka akan diperkatakan oleh Ainon Muhamad dan masing-masing wakil dari syarikat Alaf 21 serta Jabatan Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).


Bahagian Kritikan Karya Cereka pula akan diperkatakan oleh Mohamad Saleeh Rahamad (Universiti Malaya), Mohd Hanafi Ibrahim (DBP) dan A. Rahim Abdullah (Aswara)


Sempena seminar tersebut, Aswara turut mengadakan Forum bertajuk Menulis Cereka: Ikut Kehendak Khalayak? dengan panel terdiri daripada Azizi Abdullah, S.M. Zakir dan Salina Ibrahim.


Penyertaan seminar tersebut adalah percuma dan terbuka kepada semua sarjana, pensyarah, pendidik, penulis, penerbit, pengkritik, para pelajar Institusi Pengajian Tinggi dan khalayak umum yang meminati bidang penulisan cereka.


Tarikh tutup penyertaan seminar tersebut adalah 26 Oktober ini. Keterangan lanjut, hubungi Mohd Ridzuan Harun di 03 - 2697 5306 atau emel: ridzuan@aswara.edu.my atau layari laman web www.aswara.edu.my.



Wednesday, October 17, 2007

Pulanglah

Sukma saya berbisik untuk pulang. Tetapi, ada sahaja yang mula menghalang. Pertama, tiket kapal terbang yang telah menetapkan tarikhnya untuk pulang. Sebetulnya, bukanlah tarikh itu yang saya pinta. Mungkin broker yang menguruskan tiket saya terlalu terperanjat dengan saya lantas menguruskan tiket saya di dalam keadaan tergesa-gesa. Hasilnya, tiket saya diletakkan tarikh bermacam-macam.

Untuk menukar tarikh penerbangan amat payah. Beberapa minggu lalu, makcik saya sendiri telah berurusan dengan Singapore Airlines tetapi masih gagal menukarnya. Alasan mereka, tempat dah penuh. Tunggu waiting list sahaja. Saya berkerut sendiri.

Di sebalik kekecohan tiket yang entah tiada kesudahan, saya dihantar bertalu-talu pesanan ringkas daripada anak-anak murid supaya tidak meninggalkan Malaysia. (baca : ada orang masih sayang). Ada yang menyatakan, ustaz dah lupa dengan kami bila jumpa kawan ustaz di Mesir. Ada pula yang mengatakan, sedih bila ustaz tak ada.

Apa jasa saya pada mereka? Entah! Mungkin ada pada sebahagian daripada mereka. Benar! Ada di antara mereka yang saya ajak keluar ke bazar Ramadan bersama, ada pula yang selalu berkirim sms menyatakan hal peribadi masing-masing dan bermacam-macam lagi. Tetapi yang ditinggalkan tetap akan tertinggal. Serta, yang menanti akan terus menanti. Hati bergalau. Rasa bersalah pada diri. Namun, saya tetap akan pulang. Tapi bukan dalam masa terdekat ini. Mengikut tarikh penerbangan yang telah dirancang.

Pada kesempatan ini, saya belum terlewat mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua sahabat-sahabat yang mengenal diri saya ini. Terima kasih atas segalanya. Maaf atas salah silap yang pernah saya lakukan.

Untuk mereka yang jauh... saya meminati Aishah dengan lagu-lagunya. Beberapa bulan lalu saya bertemu dengan beliau di Plaza Angsana, Johor Bahru.

Aishah
Pulanglah

( ...Sayang
Di hari yang mulia ini
Ku pohon keampunan
Hanya satu yang ku pinta
Pulanglah... )

Termenung ku sendiri
Memendam rindu tidak menentu
Kasih suci murni yang kita bina
Hapus hancur oleh kata fitnah

Di pagi hari raya
Hati sayu mengenang dirimu
Mudahnya kau menggantikan diriku
Seolah cintaku tak berharga

( korus )
Apakah suratan
Aidilfitri satu titik akhir
Sekian lama bercinta
Kau tiada di hari mulia

Keampunan ku pohon
Sekiranya aku yang berdosa
Pulanglah ku merindui mu sayang
Ku menanti dengan hati rela ( jiwa raga )

( ulang dari korus )

Pulanglah kepangkuan ku oh... sayang
Ku menunggu mu di hari raya


Pesanan : Jangan sedih buat, Ustaz Hairul, Ustaz Hadi, Ustaz Hud, Ustaz Alang, Ustaz Rafzan, Ustaz Kenny, Ustaz Muiiz, Ustaz Juzaili, Ustaz Rasul, Ustaz Yo, dan Ustaz Nazrul. Antum semua nak apa?

Tuesday, October 16, 2007

DUA BENUA

Jalan-jalan raya kota Iskandariah, Mesir

Benua Afrika tidak sama dengan benua Asia. Lain sememangnya lain betul. Hari raya juga semestinya berbeza. Mungkin ada yang sama. Sama di antara kedua-dua benua. Tetapi itu dari segi geografinya. Bagaimana pula dengan sistem pendidikannya?

Malaysia- sebuah negara yang membangun dan pesat dengan sistem pendidikan berkualiti. Maka tidak hairanlah berapa ramai graduan Malaysia yang lahir daripada institusi pengajian tinggi awam dan swasta lebih hebat berbanding graduan daripada benua Afrika ini.

Kenyataan ini mungkin saya tidak dapat nafikan apabila saya sendiri membaca akhbar Utusan Malaysia bertarikh 16 Oktober, "Gagal Bahasa Arab Lanjut Pengajian 7 Tahun." Semestinya culaan ini benar-benar tepat dikenakan untuk warga azhari.

Memang benar! Kenyataan ini dikeluarkan sendiri oleh Prof. Madya Dr. Fakhrudin Abdul Mukti yang ditemui baru-baru ini di Putrajaya.

Kesiankan warga azhari. Mudah sahaja dicemuh di media. Paling merunsingkan apabila kenyataan seramai 300 orang pelajar daripada 600 orang tahun 4 (tahun akhir) gagal di dalam peperiksaan baru-baru ini.

Sungguh mendukacitakan. Di mana maruah kami? Mudah sahaja dihujum secara kasar oleh wartawan tanah air. Namun, secara peribadi saya tidak menafikan perkara ini benar-benar terjadi. Di Al-Azhar, sistemnya berbeza. Justeru, usah samakan sistem pengajian di Mesir dengan sistem pengajian di Malaysia.

Wahai azhari, usah menoleh lagi ke belakang. Melahirkan mahasiswa gemilang dan cemerlang bukan mudah. Namun dengan penuh tanggungjawab, belajarlah. Sedari itu, beberapa hari yang lalu ayah saya juga berceloteh tentang keadaan anaknya.

"Kau ni asyik baca buku sastera je?"

"Apa salahnya jadi ULTRA?" Hati berbisik.


Glosari
ULTRA - ulama sastera.


Lumrah

Mungkin tidak sama berhari raya di perantauan dan di Malaysia. Ada suka dan ada yang duka. Suka kerana dapat berhari raya bersama saudara mara yang rapat. Mungkin juga duka kerana terkenangkan orang yang sudah tidak lagi ada di sisi.

Lumrah. Sebagai seorang insan yang mengenal erti kehidupan, hidup mati adalah ketentuan Allah. Namun, yang pergi tetap pergi. Kepada mereka yang telah ditimpa musibah untuk 1428H ini moga-moga dikuatkan hati-hati mereka untuk bersabar.

Sementelah beberapa hari menyambut hari raya di perantauan, tiada yang manis-manis boleh diceritakan. Tanggapan saya mudah. Saya bukan anak orang kampung yang banyak ceriteranya. Saya juga bukan punya keluarga besar yang boleh menghimpunkan saudara-mara dari seluruh pelusuk bumi. Dengan keadaan sakit tidak menentu ini, jarang-jarang dapat menikmati kepuasan hari raya.

Longlai kaki melangkah. Sepanjang hari raya ini, saya belum dapat lagi meneguk air manisan. Tekak masih sakit. Ulsur kata mak saya. Tonsel kata makcik saya. Yang mana satu betul, saya kurang pasti. Tapi, ini lumrah hidup. Nikmat sihat ditarik sementara. Moga-moga akan beroleh sembuh esok atau lusa.

Semalam, saya yakin dan percaya Malam Gema Aidilfitri di Asrama Pelajar Johor bergema lagi. Terbayang di benak saya bahawa suasana hiruk-pikuk melanda di Dewan Ibnu Sina, Rumah Johor. Adat orang beraya, jika tidak bergembira memang tidak sah. Manusia mahu sahaja berhibur, namun tidak salah jika batas dijaga dengan cermat.

Mungkin beberapa ketika, ada yang tidak gemar memandang perlakuan sebegini. Terjerit-jerit sana dan sini. Tapi itukan lumrah.

Sunday, October 14, 2007

Kesian Tidak Beraya di Malaysia

Mungkin inilah tajuk yang mampu untuk mengusik pandang beberapa orang sahabat di tanah arab Mesir. Serasa saya, ada juga yang akan marah dan terusik hiba apabila perkataan ini muncul di laman Yahoo Mesengger saya. Pada bulan yang mulia ini, kemaafan sahaja mohon diampunkan ya.

Menarik! Tentunya beberapa peristiwa menarik yang boleh kita kongsikan. Apa tidaknya, malam raya seperti yang saya janjikan saya akan menyerang Plaza Angsana, Johor Bahru. Bukan beratus orang membanjiri plaza tersebut malah boleh dikatakan beribu. Walhal, apabila saya melihat jam di tangan yang hampir ke 11.00 malam, berpusu-pusu kenderaan yang dari mana arahnya datang berkunjung ke sana.

Hati berdetik. Inilah malam raya rupanya. Seronok? Mungkin lebih selesa saya katakan perasaan itu hadir namun kurang gembira tatkala diri sendiri yang meragam. Saya perlu kuarantinkan diri kerana tidak bermaya. Hanya segelas air putih mampu saya telan ketika tekak meragam pada malam raya. Walau jalan dalam letih dan kurang bermaya, namun ingin juga memaksa diri menikmati keseronokan pada malam raya ini.Suasana di Plaza Angsana pada malam raya

ii
Blog ini sudah penat merakamkan jurnal peribadi. Ada yang mengatakan bahawa ianya amat penting. Mengapa? Sebagai laman bahan cerita ianya wajar dicontohi. Lihat sepuluh tahun nanti, apabila saya meningkat dewasa tanpa segan silu saya mampu dapatkan perjalanan kehidupan saya melalui laman peribadi. Benarlah kalau A. Samad Said berjaya merakamkan Warkah Eropahnya dalam sebuah buku tebal. Namun, mungkin juga jurnal ini tiada salah menggantikannya.

iii
Jika tidak keberatan saya mahu saja teruskan cerita saya ini. 1 Syawal yang dirai semalam sememangnya tiada perubahan yang ketara. Ianya seakan-akan filem komedi yang diulang tayang semula seperti filem Seniman Bujang Lapok dan sebagainya. Ianya bukanlah suatu yang asing bagi saya walaupun telah tiga tahun tidak beraya di Malaysia. Kemungkinan juga hari raya ini tidak sama dengan hari raya sebelum-sebelum ini. Yang bujang telah beristeri, yang beribu bapa sudah beryatim. Pelikkan!

Setelah hari raya menjadi suatu yang lazim, saya memelikkannya dengan membuat perubahan. Ya! Akhirnya saya telah berjaya mengerat beberapa helai akhbar Singapura berkisar sastera. Jika akhbar Mingguan Malaysia atau Berita Minggu memuatkan ruangan SU Sastera dan Sudut Sastera tetapi bagi Berita Minggu di Singapura ruangan Pena menjadi taruhan. Wah! Sungguh adil saya pada diri sendiri. Mencipta sesuatu yang belum mampu orang lakukan.

Alhamdulillah, berkat kesabaran dapat juga saya kumpul ruangan tersebut bermula 1 Julai hingga akhbar minggu lalu. Ada sesuatu yang menarik minat saya ketika mendapatkan beberapa keratan tersebut. Antaranya karya yang diterbitkan adalah karya pemenang sayembara sempena ulang tahun ke-50 akhbar tersebut. Mungkin ada keistimewaan yang belum dinikmati oleh karya warga tempatan.

Untuk mengikuti kisah 1 Syawal saya...nantikan catatan akan datang

Thursday, October 11, 2007

Salam Lebaran 1428H

Lebih kurang 24 jam lagi, Hari Raya Aidilfitri 1428H akan disambut dengan meriah. Benar! Saya sendiri yang mendengar Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengisytiharkan di kaca televisyen tepat jam 8.00 malam tadi. Namun, kegembiraan itu sedikit tercalar apabila saya kurang sihat untuk beberapa ketika. Tidak senang untuk duduk di atas kerusi sofa yang baru dicuci dan tidak pula selesa baring di atas katil peribadi yang belum dikemas lagi.

Saya terpaku sendiri. Doa dipohon agar kesihatan saya berkekalan sehingga 1 Syawal nanti. Tidak sabar memakai pakaian serba merah pada tahun ini. Mungkin sudah menjadi trend, pakaian ber'tema' adalah suatu yang tidak boleh dipisahkan tatkala hari raya. Dulu, masa kecil-kecil jika kami sekeluarga tidak jalan sedondon, bukan namanya hari raya. Tapi, sudah menginjak dewasa, trend itu kami sudah tidak pakai. Namun, tema harus dikekalkan. Warnanya tetap serupa. Merah dipilih pada tahun ini.

Apapun warna yang menjadi pilihan, biarlah saya berhari raya sekadarnya. Tidak mahu berangan-angan untuk mengisi kocek yang sebenarnya masih wajar diisi. Kita sudah berkerjaya kata sebahagian rakan-rakan saya di Malaysia. Namun, jika ada yang menghulur mengapa harus kita menolak? Sekurang-kurangnya dapat mengisi perjalanan dan persiapan saya untuk pulang ke bumi Mesir nanti. Setakat ini, beberapa perancangan telah pun dibuat untuk membelanjakan wang itu tadi. Sejujurnya, saya ingin menunaikan fardu Haji yang merupakan rukun Islam ke-5 akhir tahun nanti. Jika ada rezeki, insya-Allah kita akan bertemu di rumah Allah (Masjidil Haram). Moga-moga doa malam 30 Ramadan ini diberkati Allah s.w.t.

Ketika berfikir dan berangan tentang kemeriahan hari raya, saya sebetulnya tidak pernah menikmati suasana hari raya di kampung seperti insan lain. Semenjak dari lahir, saya menyambut satu Syawal di Boon Lay Avenue, Jurong, Singapura. Perjalanannya tidaklah mengambil masa yang lama. Selepas bermaafan di hari raya ketika 1 Syawal di rumah, kami sekeluarga biasanya akan bergegas ke Singapura tepat jam 10.00 pagi. Dan, apabila tiba di rumah nenek di Singapura terus saya akan mencari ruang untuk tidur sehingga malam kerana kebiasaannya hari raya pertama adalah hari tidur semata-mata. (macam di Mesir saja)

Benar! Saya tidak berjalan ke mana-mana. Menunggu warga sanak-saudara datang ke rumah nenek saya sahaja. Dan, saya akan menyambutnya di tepi pintu atau hanya berkurung di dalam bilik sahaja. Mungkin suasana ini pelik pada sebahagian orang. Namun, inilah suasana saya ketika berhari raya di Singapura.

Dan, tahun ini saya merasai bahawa trend itu masih sama. Tiada yang akan membezakan suasananya. Cuma mungkin jika dahulu pakcik ramai yang masih bujang, namun kini kebanyakannya sudah berumah tangga. Ini suasana biasa yang saya tempuhi. Mungkin kalian lebih hebat menyambut hari raya.

Suasana di Mesir bagaimana ya? Adakah semeriah dahulu atau tidak? Moga-moga kemeriahannya berkekalan. Masjid Musa An-Nusair yang menjadi medan utama berkumpul semua ahli PMRAM untuk bersolat hari raya di sana semestinya lebih meriah dari tahun-tahun sudah. Buat yang mengenali saya, Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.

Di sebelah anda adalah suasana hari raya di hadapan bazar Geylang Serai berhadapan Joo Chiat Complex, Singapura.

Bila tiba hari raya
Semua insan bergembira
Tetapi bagiku hanyalah kesedihan
Yang menyelubungi hidup...

Hati Menjadi Terharu


Beberapa hari ini saya murung sendiri. Mungkin teringatkan kawan-kawan di Mesir atau seronok sendiri untuk berhari raya di negara peribadi. Tika lagu-lagu kehangatan hari raya berkumandang, airmata jatuh berlinang. Entah! Kurang pasti teringat pada siapa. Tinggal dua hari lagi berpuasa. Ini bermakna, Ramadan akan berakhir. Bila lagi waktu Ramadan akan kutemui?

Malam tadi, malam 29 Ramadan. Tepat jam 9.21 malam (waktu Malaysia) saya menyaksikan sendiri angkasawan negara menaiki Soyuz ke angkasa lepas dan akan tiba di ISS beberapa jam lagi dari sekarang. Seronok betul saya lihat Dr. Muzaphar Shukor di dalam roket tersebut. Namun, ada riak macam gerun ja...

Namun, inilah Malaysia dapat lahirkan. Anak angkasawan Islam yang mampu berada dipuncaknya. Apa-apa pun tahniah buat Tun Dr. Mahathir bin Mohamad, bekas Perdana Menteri Malaysia yang telah berusaha melahirkan seorang wira ini. Syabas!

ii
Ada suatu berita sedih melanda diri. Semalam, selepas pulang dari sekolah saya mendapat satu kad raya yang diselitkan di atas kereta. Riak hati berkata "sapa lah awek nak ngurat aku?" Namun, kad itu saya biarkan saja dalam beg hingga pulang ke rumah. Dalam hati masih terukir bahawa seorang wanita yang "macam best" mengirimkan kad raya tersebut.

Tiba di rumah, saya membuka kad raya tersebut. Alangkah terkejutnya saya apabila mendapati kad tersebut daripada seorang anak murid sendiri. Dia memohon maaf di atas kesalahan dia terhadap saya beberapa bulan lalu.

"Sempena hari yang mulia ini, diharapkan ustaz dapat memaafkan saya dan tidak bermasam muka lagi."

Saya termenung sendiri. Mungkin inilah makna hari raya. Sebagai seorang Islam, kita wajar memaafkan kesalahan orang lain. Benar! Saya memang sentiasa mencukakan muka apabila bertemu dengannya. Mungkin nak tunjuk marah saya padanya.

Apapun, segalanya sudah berakhir. Selamat Hari Raya.

Tuesday, October 09, 2007

Cerita Persiapan Hari RAYA



(i)

Hujung minggu lalu, saya merasai sendiri kesesakan di bandar Singapura. Kemeriahan Aidilfitri secara jelasnya sudah terasa. Bahang dan kehangatannya juga kian memecah sunyi negara kecil itu. Sungguhpun begitu, walau dalam cuaca hujan lebat saya rempuh juga halangan untuk mendapatkan keperluan berhari raya.

Jelas. Inilah fenomena yang sudah sebati dengan jiwa rakyat kita sendiri. Orang Melayu. Mereka fahami bahawa "raya" adalah hari permulaan bagi diri mereka. Entah ya. Mungkin adat ini tidak dapat lagi hilang daripada pandangan mereka.

Gambar-gambar yang saya pamerkan adalah ketika saya berada di Tanjung Katong Complex (Kompleks Membeli belah Tanjung Katong) . Ianya terletak berhampiran Kampung Melayu, Geylang Serai. Sebut sahaja perkataan Geylang, orang Singapura pasti angguk mengerti. Semacam Malaysia, jika sebut sahaja KLCC atau Putrajaya mereka akan mengenalinya.

Begitulah Singapura. Kawasan Geylang kalau tidak sesak barak pada hari perayaan sebegini, bukan Geylang namanya.

Sebelum itu, saya berpusing ke Joo Chiat Complex. Namun, segala jenis pakaian tidak pula hati ini berminat. Mengapa? Pertama, sebab harganya terlampau mahal. Kedua, saya kurang selesa jika mencari pakaian ala-ala lama. Sebagai seorang yang sudah tiga tahun tidak berhari raya di Malaysia, seharusnya pakaian ala artis wajar saya miliki. (apa-apa je dia ni...)

Justeru, akhirnya dapat saya "pau" mak sendiri untuk mendapatkan dua helai set baju raya pada tahun ini.

Benar! Bahangnya kian terasa. Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir Batin.

p/s: Terima kasih kepada mereka yang menghantar kad raya untuk saya. Tak sangka, saya di Malaysia pun masih ada peminat. (hehehe) Maaf, tak sempat nak menghantar.

- typeace sedang memesan "Manikam Kalbu" dan "Bedar Sukma Bisu" karya Faisal Tehrani.
kredit untuk http://tehranifaisal.blogspot.com dan http://www.ujanailmu.com.my

(ii)

Saya berjanji pada diri sendiri untuk turun ke Plaza Angsana pada malam hari raya. Saya kurang pasti mengapa Plaza Angsana, Johor Bahru sesak pada setiap malam. Jalan raya semestinya "jammed" tidak kira masa dan waktu. Tetapi, inilah lumrah bandar-bandar mewah dan maju seperti ini. Kita mendesak hati untuk berada di dalam kawasan mereka, dan akhirnya mereka berjaya menakluk kita untuk memperagakan hari raya.

Hati oh hati. Atau nafsu oh nafsu. Mana sebenarnya yang memberontak? Jawab sendiri.

Dalam dingin subuh hatiku terusik
Kenang rakan taulan di rantauan
Bergema takbir raya menitis airmata
Terbayang suasana di Mesir sana

Rindu hati ini inginku kembali
Pada rakan taulan dan PMRAM
Tetapi aku harus berhari raya ini
Kerana sudah lama tidak raya di sini...

Andai dipisah laut dan pantai...
Aku tetap setia menanti...

Saturday, October 06, 2007

Apa Khabarmu Di Sana?




Sayu...
Hati ini makin sayu...
Rindu... terkenangkan mereka di sana

Wajahmu PMRAM... bermain di mata...
Mengajakku pulang ke sana...
dihari bahagia
Hari Raya...

Hati meruntun rasa sayu apabila membuka lembaran gambar-gambar nostalgia yang lalu. Pejabat PMRAM, rumah sendiri, Masjid Rahmah dan bermacam-macam lagi teringatkan aku tentang Mesir. Lagu hari raya yang berkumandang di celah-celah keripuhan Malaysia ini cukup membangkitkan semangat untuk terus pulang. Tapi bila?
Jangan la bersedih...

Buatmu ahli bait... makan, pakai, tidurmu cukupkah? Murung hati hanya Allah yang tahu. Kesedihan hati sudah makin terasa. Namun.. segalanya bila?

Kepada teman-teman di pejabat, tahun ini kita tidak raya bersama. Namun, hati kecil ini benar-benar berada di dalam pejabat itu. Terima kasih kerana menghubungi saya beberapa hari yang lalu. Moga ikatan kita bersemi selamanya.

Ketupat, rendang,dan kuah lodeh telah terhidang di atas meja... Marilah kita menyantapnya...

Ustaz Hadi telefon aweks yea?

Thursday, October 04, 2007

Cerita Kosong - Adik Sendiri vs Adik Angkat

Apa istimewanya si kecil ini?

Saya tidak mahu ada insan yang berdukacita mendengar khabar saya ini. Lebih-lebih lagi duka saya masih parah pada hari ini. Kecewa sedikit. Walang yang akan terus berpanjangan. (Pesanan ini harus saya tujukan untuk Ustaz Rasul)

Saya mahu tinggalkan itu semua. Minggu ini adalah peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Justeru, tidak hairanlah beberapa kelas di sekolah dicutikan. Walaupun saya tidak pernah merasai cuti ketika di sekolah dulu (kerana saya sekolah berasama penuh). Justeru, inilah peluang saya mampu untuk bermesra dengan beberapa orang pelajar terpilih.

Saya bukanlah ramah sangat dengan beberapa pelajar. Namun, jika ada di antara mereka yang mampu untuk mengeluarkan pendapat dan idea saya rela menjadi pendengar setia. Empat hari saya memulakan kerjaya sebagai seorang guru Pendidikan Islam dan Geografi, rasa bosan melanda diri. Entah! Mungkin sekolah kosong tidak berpenghuni memaksa saya mundar-mandir ke beberapa lokasi di dalam sekolah sendiri.

Kebosanan itu akhirkan dilapisi dengan senyuman tawa riak kecil anak-anak di dalam kelas. Saya menuju ke destinasi kelas "relief" pada jam 4.45 petang. Tingkatan 2c1 sememangnya lengang tidak dihuni oleh pelajar-pelajar lelaki kerana menyempurnakan bacaan tadarus al-Quran di surau sekolah.

Seketika itu, mata saya melarik kepada seorang pelajar lelaki yang hanya tinggal seorang. Tanpa segan silu pelajar itu cuba mendekati saya sambil berbual. Pada awalnya, kami tidaklah seakrab biasa kerana jarang sekali bertemu. Namun, lama-kelamaan ada sahaja cerita-cerita palsu saya rungkaikan bersama.

Muhammad Shafiq merupakan seorang pelajar yang sederhana. Berperwatakan biasa, namun jelas sebagai seorang pelajar pintar. Mendengar peristiwa dan rentetan diari kehidupannya, anak yang tinggal di kawasan rumah setinggan ini bukanlah seorang yang mewah. Namun, berkat keluarga yatim ini, beliau telah menerima Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP). Katanya, wang RM840.00 yang diterimanya sudah cukup banyak baginya dalam tempoh setahun.

Saya tertancap tepat ke arah matanya. Ada riak manja terukir. Beliau menceritakan kehidupan hariannya sebagai anak yatim. Beliau telah kehilangan ayah semenjak berusia 7 tahun lagi. Jauh di sudut hati saya, saya yakin pelajar ini mampu mencipta sejarah hidupnya sebagai pelajar cemerlang suatu hari nanti.

Paling saya ingat, beliau selalunya dijemput ke rumah anak-anak yatim di daerah Johor Bahru dan tidak pula lupa orang-orang UMNO melawat rumahnya saban waktu dan saban hari. Mereka menghulurkan bantuan wang ringgit, pakaian dan beberapa keperluan harian rumah.

Saya tawa kecil. Berfikir sejenak. Mungkin inilah penyebab mengapa UMNO menang di negeri sendiri. Banyak lagi rangkaian cerita yang kami bualkan dalam masa 45 minit. Mungkin inilah kenangan indah sepanjang saya berada di sini.

Moga diberkati hidup pelajar ini dan akan menjadi pelajar cemerlang dunia dan akhirat. Seketika itu, saya terserempak dengannya di bazar Ramadan.


Faisal berdakwah menerusi novel

Ini akhbar asalnya... Dapatkan yang original

Pemenang tiga anugerah utama DBP banyak ketengah isu babitkan ummah

KATA-KATA pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid, supaya pelajarnya jangan semua menjadi ustaz atau ustazah bukan menafikan kepentingan tugas guru agama, tetapi sebagai cabaran supaya Islam dapat dikembangkan dalam bidang lain.

Itulah dirasakan penulis karya sastera Islam, Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali dengan nama pena Faisal Tehrani, yang menganggap kata-kata gurunya sebagai cabaran kerana pandangan umum untuk menyebarkan Islam ialah seseorang perlu berada dalam aliran Islam juga.

"Kini saya faham kenapa beliau berharap supaya kami pelajarnya tidak semua menjadi ustaz dan ustazah saja. Malah, saya bersyukur kerana ramai juga rakan yang tidak berada dalam aliran agama, tetapi masih boleh mengembangkan syiar Islam," katanya.

Justeru katanya, daripada bidang syariah politik, beliau melanjutkan pengajian sarjana dalam jurusan sastera di Universiti Sains Malaysia (USM) dan kini bergiat sepenuh masa sebagai pengarang yang cenderung menghasilkan karya sastera Islam.

Sebenarnya menurut anak kelahiran Kuala Lumpur itu, minat menghasilkan penulisan kreatif bermula sejak di bangku sekolah, tetapi semangat untuk menghasilkan karya lebih rancak selepas mengikuti program anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka.


Bermula dengan Cinta Hari-hari Rusuhan pada 2000, kini beliau sudah menghasilkan 12 novel dan sembilan daripadanya mengandungi unsur Islam yang jelas seperti 1515, Angin Madinah, Bila Tuhan Berbicara, Tuhan Manusia dan Nama Beta Sultan Alauddin.

Di sebalik tajuk novel yang agak berani itu, pemenang tiga anugerah utama Hadiah Sayembara Mengarang Jubli Emas Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang berlangsung Februari lalu, banyak mengetengahkan isu membabitkan ummah.

Faisal berkata, kebanyakan isu diketengahkan adalah konflik atau dilema yang sedang melanda masyarakat Islam di negara ini, juga peristiwa berlaku di luar negara yang sewajarnya menjadi perhatian.

Novel Tuhan Manusia contohnya, menampilkan watak Ali, seorang remaja yang berhadapan dengan dilema apabila abangnya mengambil keputusan keluar daripada Islam selain terpaksa memahami golongan dikenali sebagai penggerak Islam liberal.

Katanya, isu murtad menimbulkan pelbagai reaksi dalam masyarakat dan hasratnya mengangkat persoalan itu bertujuan memberi penjelasan dan menyedarkan pembaca supaya mereka tahu bagaimana hendak berhadapan realiti kehidupan masa kini.

Begitu juga novel Bila Tuhan Berbicara yang diilhamkan daripada episod dalam surah al-Kahf mengenai pemuda yang terperangkap dalam gua, tetapi dikisahkan dalam bentuk futuristik dalam perbincangan separuh ringan.

"Ia kisah tiga watak berbeza, tetapi terpaksa menerima satu sama lain dalam usaha mereka mengatasi masalah dihadapi. Mesej dalam kisah mereka ialah bagaimana berhadapan dengan cabaran dan membina semula tamadun yang hilang.

"Umumnya, ia mengisahkan hari kebangkitan, tetapi saya mudahkan dengan kisah kerana itulah pendekatan saya. Penyampaian novel sastera Islam tidak sama dengan membaca khutbah, tetapi yang membaca akan dapat mesej hendak disampaikan," katanya.

Menyifatkan dirinya sebagai seorang yang sederhana, Faisal sentiasa terbuka kepada kritikan, tetapi katanya, biarlah kritikan itu berasas dan bertujuan untuk meningkatkan kemampuan dirinya menghasilkan karya lebih bagus.

Pernah katanya, karya beliau terpengaruh dengan gaya tulisan Barat dan ini menimbulkan rasa kurang senang di kalangan pembaca setia novelnya hingga mendorong mereka meluahkan ketidakselesaan itu dan mengembalikannya ke landasan yang betul.

Baginya, keprihatinan pembaca membuktikan mereka dapat menerima gaya penulisan serta cara beliau membicarakan sesuatu isu dan segala teguran diterima banyak membantunya memahami kehendak peminat karya sastera Islam.

Lebih membuatkan beliau teruja ialah hasil karangannya bukan saja dibaca peminat novel Melayu daripada pelbagai lapisan serta latar belakang, tetapi turut mendapat tempat di hati peminat bukan Melayu.

Malah, hatinya terus berbunga gembira kerana kisah dipaparkan beliau berjaya meninggalkan kesan kepada pembaca novel hingga ada yang melahirkan hasrat berjihad selepas membaca kisah peperangan membabitkan Palestin dalam novel 1511 Combat.

"Saya juga sebenarnya tidak percaya mereka akan terkesan dengan kisah daripada novel karangan saya, tetapi itulah yang berlaku. Pada pesta buku lalu, ada pembaca wanita datang kepada saya beritahu selepas membaca 1511 Combat, dia rasa macam hendak pergi berjihad ke Palestin.

"Saya sebenarnya menggigil masa dia datang nak minta autograf sebab pakaian dia memang seksi, nampak pusat dan BCG. Tetapi apabila dia berkata begitu, saya fikir, sekurang-kurangnya saya berjaya menimbulkan rasa prihatin dia terhadap nasib saudara di Palestin sana.

"Begitu juga apabila ada pelajar sekolah berbangsa Cina yang datang hendak beli novel, saya beritahu ini novel mengenai Islam. Saya ingat dia tak beli, tetapi emak dia kata, tidak mengapa sebab mereka tahu kerana mereka sudah ada novel saya sebelum ini," katanya.

Faisal berkata, beliau bersyukur kerana usahanya menimbulkan kesedaran mengenai pembangunan umat Islam melalui karya sastera mendapat reaksi positif daripada peminat novel yang rajin menghantar emel serta menampalkan mesej dalam laman blog miliknya.

Katanya, beliau percaya hasil karya baik dari sudut penulisan kreatif, lirik lagu atau skrip drama, jika dimuatkan dengan nilai berunsur ketuhanan dan mengajak kepada kebaikan akan membawa kesan positif.

Sebagai pengarang yang turut bertanggungjawab menggalas misi mengembangkan syiar agama, beliau memang meletakkan harapan tinggi supaya mesej disampaikan dapat membawa perubahan dalam hidup pembaca.

Bagaimanapun, beliau sedar tidak ada apa yang boleh dilakukan jika usaha menyampaikan mesej baik itu tidak diterima pihak lain.

"Memang harapan saya besar. Ketika Adibah Noor menyanyikan lagu Kau Teristimewa, harapan dia tidak akan ada lagi kes adik Nurul Huda, tetapi baru-baru ini kita dikejutkan dengan tragedi menimpa adik Nurin Jazlina Jazimin.

"Saya mencuba, tetapi saya tidak dapat atasi jika perkara yang tidak kita ingini terus berlaku. Secara peribadi, karya sastera Islam tidak bertanggungjawab untuk mengubah, tetapi ada terselit harapan untuk melihat berlaku perubahan," katanya.

Beliau berkata, pengarang sepertinya dan yang sealiran dengannya mengambil peranan mengangkat masalah ummah melalui kemahiran dianugerahkan sebagai tanggungjawab menyampaikan walaupun satu ayat seperti disunnahkan Rasulullah SAW.

Justeru katanya, kepada mereka yang berminat menghasilkan karya sastera Islam supaya menampilkan identiti serta cara olahan tersendiri dan mengambil isu ummah yang belum diketengahkan supaya ilmu akan terus bercambah.

(Petikan daripada akhbar Berita Harian, 4 Oktober 2007)



Monday, October 01, 2007

Kem Ihya Ramadan - Siri 2 Dan GURU!!?













ULU TIRAM - Kem Ihya Ramadan Siri Kedua telah diadakan selama 3 hari 2 malam di Savannah Hill, Ulu Tiram. Para peserta terdiri daripada anak-anak angkat Yayasan Bandaraya Johor Bahru. Terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan program ini. Selesailah sudah program-program di Malaysia, namun sepanjang kehadiran saya ke sini, kepuasan masih belum dapat dirasai.

Selepas pulang dari program ini, saya dikejutkan untuk mendaftarkan diri semula di SMK Bandar Baru UDA, Johor Bahru. Alhamdulillah, mulai 1 Oktober 2007 saya telah memulakan tugas sebagai guru KGSK (orang-orang Jabatan Pelajaran saje faham) di sekolah tersebut.

Demi menabur beberapa lagi sisa bakti yang belum disemai dan dibajai, saya harus lunaskan untuk beberapa minggu sebelum pulang ke bumi Mesir.

P/S : Gambar-Gambar di atas ini adalah Hak Cipta TYPEACE INTERPRISE, justeru kepada mereka yang ingin meng "copy-paste" kan, sila kreditkan maklumat ke dalam blog ini. Tiada salah pengambilan gambar ini namun, kedudukan gambar asli adalah di bawah tanggugan saya. Sekian.