Langkau ke kandungan utama

IKLAN - ASWARA (Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan)



Seminar Penulisan Cereka di Aswara

AKADEMI Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) akan menganjurkan Seminar Penulisan Cereka 2007 bertema, Pelestarian Citra Bangsa dalam Karya Cereka Kontemporari.


Seminar akan berlangsung pada 3 hingga 4 November depan di Dewan Kuliah Utama Kampus Aswara, Kuala Lumpur tersebut akan memberi tumpuan kepada aspek penulisan cereka merangkumi karya dalam bentuk fiksyen/naratif, iaitu cerpen dan novel.


Ia merupakan lanjutan daripada Seminar Penulisan Dramatik yang dianjurkan oleh Jabatan Penulisan Aswara pada Disember 2006 yang lalu. Perbincangan seminar akan merangkumi penulisan genre cereka iaitu bidang teori, praktik, penerbitan, kritikan, prinsip, falsafah, pemikiran, teknik dan pendekatan karya.


Ia juga sebagai medium pendedahan kepada peserta dan khalayak sastera tentang pelbagai teori dan teknik penulisan cereka terbaru yang mampu memajukan serta mengembangkan lagi bidang penulisan ini serta industri yang berkaitan (penerbitan) di negara ini.


Fokus utama seminar itu juga adalah menarik minat dan kecenderungan terutamanya kepada genre penulisan cereka, bagi melahirkan lebih ramai penulis baru yang akan menyemarakkan lagi bidang ini.


Para sarjana, peneliti, pengkaji, pemerhati, pendidik, penulis, pengkritik, pelajar dan peminat karya cereka juga dapat menggunakan seminar berkenaan sebagai landasan untuk berbincang serta bertukar-tukar fikiran dan pengalaman.


Matlamat lain ialah menjadikan hasildan rumusan daripada seminar itu sebagai sesuatu yang dapat menyumbang kepada usaha-usaha memantapkan lagi kurikulum serta kaedah pengajaran/pemelajaran penulisan cereka di Aswara.


Sementara itu, sebanyak 12 kertas kerja dalam pelbagai bidang akan dibentangkan dalam empat sesi; Teori, Praktik, Penerbitan dan Kritikan.


Selain itu, dua sesi khas akan menampilkan dua tokoh undangan, yang akan membicarakan sekitar dunia penulisan cereka iaitu Sasterawan Negara Dato' A. Samad Said dan Sasterawan Negara Dr. S. Othman Kelantan.


Para pembentang kertas kerja terdiri daripada para sarjana dalam teori penulisan, peneliti/pengkaji dari institusi pengajian tinggi, para penulis mapan dan penulis muda, para pengkritik serta penerbit karya cereka.


Sesi Teori Penulisan Cereka pada 3 November akan diperkatakan oleh Prof. Datuk Dr. Hashim Awang (Universiti Brunei Darussalam), Prof. Madya Dr. Sohaimi Abdul Aziz (Universiti Sains Malaysia dan Dr. Mawar Shafie (Universiti Kebangsaan Malaysia)


Dalam pada itu sesi Praktik Penulisan Cereka akan menghadirkan Datuk Dr. Anwar Ridhwan, Faisal Tehrani dan Nisah Haron.


Bidang Penerbitan Karya Cereka akan diperkatakan oleh Ainon Muhamad dan masing-masing wakil dari syarikat Alaf 21 serta Jabatan Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).


Bahagian Kritikan Karya Cereka pula akan diperkatakan oleh Mohamad Saleeh Rahamad (Universiti Malaya), Mohd Hanafi Ibrahim (DBP) dan A. Rahim Abdullah (Aswara)


Sempena seminar tersebut, Aswara turut mengadakan Forum bertajuk Menulis Cereka: Ikut Kehendak Khalayak? dengan panel terdiri daripada Azizi Abdullah, S.M. Zakir dan Salina Ibrahim.


Penyertaan seminar tersebut adalah percuma dan terbuka kepada semua sarjana, pensyarah, pendidik, penulis, penerbit, pengkritik, para pelajar Institusi Pengajian Tinggi dan khalayak umum yang meminati bidang penulisan cereka.


Tarikh tutup penyertaan seminar tersebut adalah 26 Oktober ini. Keterangan lanjut, hubungi Mohd Ridzuan Harun di 03 - 2697 5306 atau emel: ridzuan@aswara.edu.my atau layari laman web www.aswara.edu.my.



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kosa Kata Pada Hari Ini

Sudah lama tidak bersua untuk berkongsi makalah atau bahan berunsur sastera. Justeru, hari ini saya ingin berkongsi dengan kalian beberapa kosa kata baru yang wajar digunakan oleh kita sama ada di dalam penulisan kita seharian atau sebagainya. 1. Adar : bertandang (bertandang, bermalam di rumah orang) Contoh ayat – Aiman dan Akram selalu ber adar ke rumah bapa saudaranya pada hari Ahad. 2. Atip : susun (susun, atur) Contoh ayat – Ustaz Hairul meminta agar semua badan pengurus PMRAM meng atip baju-baju yang berserakan di dalam almari besi itu. 3. Banjar : baris (baris, jajar, deret) Contoh ayat – Izzat, Ifwat dan Izmir berdiri se banjar di dalam perbarisan kawad kaki sempena Hari Sukan di sekolahnya. 4. Enigma : kebingungan (menjadi bingung atau kebingungan) – disebabkan oleh sesuatu hal atau seseorang) Contoh ayat – Pegawai itu berada di dalam situasi enigma setelah diminta untuk berundur daripada tugasnya di dalam masa 24 jam. 5. Suang ...

ZIKRAYAT EPISOD 6

ZIKRAYAT EPISOD 6 (Zikrayat ialah sebuah program menceritakan insan penting sepanjang kerjaya saya di Kuala Lumpur) Nama penyampai dan penerbit radio IKIM Faiz Hj Othman amat sinonim kepada pendengar radio. Faiz lebih muda daripada saya. Tetapi beliau berkhidmat setahun lebih awal daripada saya di IKIM. Antara insan yang paling banyak menyimpan rahsia sepanjang hampir 6-7 tahun saya di IKIM. Apa sahaja perjalanan hidup saya di Kuala Lumpur memang boleh dikatakan beliau amat tahu. Faiz anak kelahiran Kelantan. Mendapat pendidikan di Universiti Utara Malaysia, kini tinggal di Hulu Langat, Selangor. Beliau juga merupakan orang pertama yang ketahui saya tidak menyambung perkhidmatan (saya tidak mahu tandatangan surat sambung) Pada pagi Anugerah Nasyid 2019, dalam kekalutan itulah saya memaklumkan bahawa saya sudah bawa semua barang ke Johor Bahru. Terperanjat beliau. Saya beritahu, saya perlu ke Mekah dan buat istikharah terakhir sebelum buat keputusan balik ke negeri asal...

2024 : Membuka Tirai

SEJARAH KOLEJ UNIVERSITI ISLAM JOHOR SULTAN IBRAHIM (KUIJSI) Idea untuk menubuhkan sebuah institusi yang akan menjadi kesinambungan dan seterusnya menjadi era baru kepada pendidikan agama Islam di Negeri Johor Darul Takzim tercetus pada awal tahun 1997 apabila sekumpulan guru-guru kanan Maahad Johor; iaitu Ustaz Khudzairi bin Hj Jabar, selaku Pengetua, Datin Rohana binti Mohd Yassin, Penolong Kanan I, dan Ustaz Mohamed Salleh bin Sanwan, Penolong Kanan II pada ketika itu mendapat maklumat bahawa Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman telah menandatangani satu Perjanjian Persefahaman dengan Universiti Al-Azhar Al-Syarif. Hasil dari perjanjian tersebut, Kerajaan Negeri Kedah telah menubuhkan sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) dengan nama INSANIAH yang menjalankan programprogram berkembar dengan Universiti AlAzhar dalam bidang-bidang Syariah Islamiah, Usuluddin dan Bahasa Arab dengan graduangraduan dari INSANIAH akan menyambung pengajian mereka di Universiti Al-Azhar di tahun akhir. Ma...