Membongkar Rahsia Penulisan Tuhan Manusia
Oleh : Syafiq Zulakifli
Saya kurang pasti, adakah menjadi salah taakulan yang saya akan bincangkan ini. Mungkin penulis sendiri (Abang Faisal Tehrani) akan marah pada saya. Jika penulis memarahinya, saya akan cepat-cepat minta maaf apabila ketemu dengannya di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) pada hari Sabtu ini.
Saya membaca sambil meneliti karya ambitious abang FT ini. Otak saya mencerna beberapa kesimpulan yang dapat difikirkan menurut kemampuan saya.
Pertama, sedari awal karya “Tuhan Manusia” ini pada asalnya adalah karya yang dihantar sempena Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) 2006 dalam kategori novel remaja. Mengikut tafsiran saya, karya ini bersaing dengan Odisi Tanah Kencana (Siti Rahayu Mohd Yusof) dan Justeru Impian di Jaring (Zaid Akhtar) yang memenangi tempat pada anugerah tersebut.
Kedua, karya ini pada asalnya berjudul “Sebuah Rumah Di Utara.” Sekali baca, tentukan saudara dan saudari akan menjadi pelik mengapa tajuk ini dipilih sedangkan melihat isi kandungnya ianya lebih menyuarakan kisah pluralisme dan murtad. Namun, tentang isu ini saya tidak harus menyentuhnya.
Ketiga, apakah punca karya ini tidak menjadi pilihan juri? Jika dilihat awal, walaupun perjalanan novel ini adalah karya novel remaja kerana “Ali Taqi” adalah seorang remaja, namun pemikiran yang tinggi harus dicerna untuk memahami novel ini. Jika saya bukan daripada aliran agama pun, saya akan ‘lepak’ membaca karya ini. Setelah meneliti novel JIdJ, barulah saya tahu mengapa karya ini terlalu asing pada diri seorang juri. Mungkin juga panel tidak faham apa itu pluralisme (baca : maafkan saya wahai panel juri)
Saya juga harus menyalahkan abang Faisal kerana menulis karya remaja di dalam perkembangan novel dewasa. (baca: tanggapan penulis).
Namun, ini semua adalah rencam biasa di dalam penulisan novel. Ketika panel ingin mengkategorikan hasil penulisan cerpen dan cerpen remaja pun, masalah ini dihadapi.
Semasa peringkat awal saya mengenali dunia penulisan pun, saya kurang pasti apakah perbezaan novel dewasa, novel remaja dan novel kanak-kanak. Walaupun, saya pernah bertanya kepada seseorang yang lebih arif, beliau memberikan respon yang kurang memuaskan hati saya. Hari ini, saya telah membaca bermacam-macam jenis novel di dalam kategori yang berbeza. Alhamdulillah, ini suatu usaha yang baik.
Ulasan
Syafiq yang baik, telahan sdr tidak tepat. Saya belum bersedia untuk berbahagi rahsia dengan sesiapa pun tetapi saya cuma dapat mengatakan ya, telahan itu meleset.
Apa pun terima kasih kerana sudi membaca TM.
Wassalam