Kenali Diri

My photo
Johor Bahru, Johor, Malaysia
SYAFIQ ZULAKIFLI adalah graduan Universiti Al-Azhar, Kaherah,Mesir. Berasal dari negeri Johor Darul Takzim. B.A (Hons)Syariah, Al-Azhar (2009) Editor PTS Publication & Distributor Sdn Bhd(2010) Eksekutif Penyelidikan Editorial TVAlhijrah(2012)Penerbit Rancangan IKIMfm (Mulai 1 Mac 2012) Sebarang pertanyaan emelkan ke syafiqzulakifli @ gmail.com atau hubungi +6017 7346 946

Thursday, September 27, 2007

Bicara Sastera 2

Hari ini saya melawat Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan di Larkin Perdana, Johor Bahru. Di sana, saya dapatkan dua buah antologi yang sudah lama saya cari. Antologi 'Anak Laut' dan 'Kerusi'. Anda tentunya akan pelik dengan saya. Mengapa saya harus memilih antologi ini? Jika berbicara lanjut, akan menyakitkan hati pembaca sahaja lantas saya akan diukur sebagai seorang yang sukar menerima pendapat orang lain.

Berbicara tentang pendapat, saya percaya ramai dikalangan para penulis adalah mereka yang berada di dalam kelas "pengkritik". Benar! Sebagai penulis yang baik, tidak boleh tidak unsur ini wajar muncul pada setiap individu. Jika tidak, penulis tidak mampu untuk mengkritik karya sendiri dan memberikan pendapat peribadi terhadap karya walhal inilah perkara yang utama sebagai seorang penulis.

Lewat pengkaryaan penulis-penulis mapan, saya akui ramai di antara mereka berpegang teguh pada prinsip saya. Penulis adalah pemikir. (Kredit untuk blog saudara Mohd Zaki M Noor) Justeru, wajarlah saya berterus terang bahawa penulisan mewajibkan kita menjadi seorang yang banyak berfikir.

Saya harus berbalik kepada bicara asal. Dua buah antologi itu tadi seharusnya dibaca ketika di bangku sekolah. Antologi Anak Laut perlu dikhatamkan lewat Tingkatan 4 dan antologi Kerusi ketika Tingkatan 5. Namun, secara peribadi kedua-dua buah antologi ini telah saya khatami beberapa tahun yang lalu dan menurut sahaja kehendak kementerian demi peperiksaan SPM.

Orang Arab akan mengatakan "tiada zauk" untuk membaca. Perasaan tidak wujud. Ketika itu saya juga tidak mengenali Salmi Manja, Nisah Haron, Faisal Tehrani, Shaharom Hussain lewat karya-karya mereka di dalam antologi tersebut.

Benarlah kata Fahd Razy (seorang penulis muda di Ireland) bahawa, ketika beliau menghadiri Minggu Penulis Remaja (MPR) ketika berusia 16 tahun, beliau tidak merasakan "zauk" tersebut. Lantas, menganggap bahawa sastera ini adalah Kompenan Sastera (KOMSAS). Kesusasteraan Melayu yang sebenar-benarnya tidak wujud malah ia sebuah potret yang membosankan.

Sebagai penulis yang mahu menjadi prolifik dan tidak sahaja menghasilkan karya-karya klise, membaca bahan yang bermutu juga adalah faktor utama. Justeru, tidak hairanlah saya jarang-jarang dapat mengkhatamkan novel ataupun karya yang dibukukan oleh penulis-penulis popular tanah air.

Mengapa saya harus jadi seorang sasterawan? Anda sebagai seorang pemikir.

Mahasiswa Al-Azhar Di Dalam Pasaran

Ruangan Dari Kampus ke Kampus, Februari dan Oktober 2007

Februari 2007 yang lalu, wajah saya terpampang di dalam Majalah Fokus SPM. Sebagai mahasiswa di perantauan ketika itu, saya harus berbangga dengan pencapaian dan hasil kerja saya. Kredit untuk editor majalah yang telah mengeposkan majalah tersebut beberapa minggu yang lalu.

Bulan ini (Oktober 2007) seorang lagi mahasiswa Al-Azhar muncul di pasaran. Beliau adalah saudara Hamzah Kamaruddin (pelajar cawangan Tanta). Kak Shahriza Sidin selaku editor majalah telah pun menghubungi saya beberapa minggu yang lalu mengesahkan penerbitan artikel tersebut.

Tahniah! Sebagai seorang wartawan, adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk meneruskan kelangsungan mencari idea mengisi ruang-ruang kosong di dalam majalah. Ruangan Dari Kampus ke Kampus yang diwujudkan di dalam majalah tersebut memberikan sesuatu pengiktirafan kepada sebahagian besar pelajar-pelajar di perantauan. Tahniah buat semua!

Di sini juga, saya mengajak para pembaca untuk mendekati para editor yang berada di Malaysia. Hargailah tugas mereka dan sayangilah anugerah yang mereka ada. Sehingga kini, beberapa orang editor Majalah Karangkraf telah pun saya kenali. Alhamdulillah. Sebagai penulis, tanggungjawab untuk mempromosikan editor sendiri adalah yang terbaik.

Buat Ustaz Akhmal Ali, (UPP BKPJM) apa perancangan saudara untuk Suara Kampus Johor (SUKEJ)? Saya harus mengatakan bahawa suara kampus adalah lidah suara mahasiswa. Pena kita harus berubah! Jangan hanya berkata-kata kosong.


Wednesday, September 26, 2007

Bicara Sastera


Apabila berbicara tentang sastera, ramai yang akan berpaling. Lantas, mereka akan menutup sahaja blog ini lalu mencapai pautan laman yang lain. Kes-kes sebegini adalah makanan harian bagi penggemar sastera. Dewan Bahasa dan Pustaka selaku penggerak setia kepada kegiatan sastera pun kekadang mati akal dengan pihak sastera sendiri.

Ketandusan pemikir-pemikir Islam yang bersikap prolifik sudah lenyap. Malah, terbaharu hanyalah wujud fenomena menulis untuk mendapatkan pasaran semata-mata. Fakta ini sememangnya benar. Ini diakui oleh beberapa orang penulis berpengalaman sama ada mereka berada di dalam genre cerpen, puisi ataupun novel.

Sejak kewujudan Pembelajaran dan Pengajaran Berasaskan Kompenan Sastera (KOMSAS) diperingkat sekolah, pelbagai pihak merungut. Sebagai orang yang pernah menduduki peperiksaan SPM KOMSAS, pengalaman ini saya rasai. Benar! Ramai tidak berminat dengan sastera malah mengganggap sastera hanya bahan picisan harian atau eceran yang mudah di dapatkan di mana-mana sahaja. Namun, pandangan ini sebenarnya silap.

Pembaca karya sastera (peringkat sekolah) seharusnya dibantu oleh pembimbing peringkat sastera juga. Sebagai contoh, jika pelajar berada di sekolah, tidak menjadi masalah kepada DBP cawangan masing-masing untuk turun padang bersama-sama dengan guru bahasa Melayu di sekolah mengadakan aktiviti. Malah, saya akui perkara ini jarang-jarang berlaku di peringkat sekolah. Saya juga tidak menolak bahawa rata-rata guru bahasa Melayu sebenarnya tidak berminat dengan matapelajaran sastera. Mereka merungut hanya dengan mengatakan bahawa sastera terlalu sukar, bahasanya terlalu puitis, tidak faham dan bermacam-macam lagi.

Sebagai contoh, lihat karya di bawah ini :-

Menyusur Jejak

Menyusur jejak
dari Bukit Siguntang Mahameru
hingga ke Kampung Baru
mengimbas langkah
dari bawah pohon melaka
hingga ke Dewan Merdeka.

Anakku, kutiplah

surat-surat yang bertaburan
sebelum ia terpadam.


Karya Zurinah Hassan - dalam Kumpulan Puisi (Salasiah)

Ada yang sedang menggeleng membaca kerana tidak memahami walau sepatah kata. Atau mereka menganggap bahawa inilah bahasa puitis yang tidak bermakna. Anda silap! Anda membaca karya seorang penulis mapan, Zurinah Hassan yang merupakan pemenang Anugerah S.E.A Write 2004. Justeru, dimana silap sastera?

Saya tidak mampu menyebut di mana silapnya. Besar kemungkinan, ini terjadi kerana salah kita. Kita sebenarnya yang terlalu lokek dengan ilmu sastera lantas mendakwa bahawa sastera adalah terlalu lemah.

Mudah saya pamerkan beberapa perkara. Dari senarai nama-nama berikut, tidak salah rasanya anda membuat kesimpulan berapa ramai dikalangan mereka yang anda kenali.

1. A Samad Said
2. Nisah Haji Haron
3. Faisal Tehrani
4. Shamsuddin Othman
5. Zaharah Nawawi
6. Azizi Hj Abdullah
7. Abdul Ghafar Ibrahim
8. Salmiah Ismail
9. S. Othman Kelantan
10. Usman Awang
11. Shahnon Ahmad
12. Arenawati
13. Shaharom Hussein
14. Zurinah Hassan
15. Anwar Ridhwan

Jika lebih daripada 10 orang yang anda kenali, anda seorang penggemar sastera.

Monday, September 24, 2007

Kem Ihya Ramadan - Siri 1

Kumpulan 5 - Bersama Ustaz Syafiq

Kenangan Yang Terindah... Wah! Seronoknya Ustaz Halim ya!

Ustaz Firdaus mesra bangat!

Yang mana satu Erra Fazira?

Kak Aini, jangan nangis la.. Abang Musa cover macho!

Ai!! Mandur ke semua ni?

Ustaz Firdauz Noh bersama kumpulan 3

khusyuknya mendengar Kuliah Subuh

Fasilitator sempat lagi membaca surat khabar?


ULU TIRAM - Selesai sudah Kem Ihya' Ramadan siri pertama yang dianjurkan oleh Yayasan Bandaraya Johor Bahru (YBJB). Penglibatan hampir 80 orang peserta bersama-sama dengan 20 orang mentor dan fasilitator adalah suatu kenangan yang terindah yang tidak dapat dilupakan.

Terima kasih kepada En Norazlan Samudi yang telah menjemput kami mahasiswa Al-Azhar untuk turut serta di dalam program tersebut. Program yang bertujuan membimbing pelajar-pelajar yayasan ini, memberi pendedahan khusus terhadap teknik solat, asas Islam dan pembentukan nilai sahsiah. Ini antara lain membuka minda pelajar-pelajar kelas pertengahan yang dibimbing oleh pihak YBJB tidak ketinggalan daripada jatidiri sebagai seorang pelajar Islam.

Kesempatan bersama-sama dengan peserta yang terdiri daripada pendidikan menengah ini adalah sesuatu yang bernilai. Pengalaman, suka, duka, hilai dan tawa adalah kenangan yang terindah semasa kami bersama-sama mereka.

Insya-Allah, pada kesempatan minggu mendatang, kita akan bersua untuk siri kedua melibatkan pelajar-pelajar pendidikan rendah pula. Terima kasih kepada kementerian yang telah membantu menjayakan program ini.

Thursday, September 20, 2007

Seputar Minggu Ini


i
Seandainya saya terlewat menghantar beberapa warkah ini, saya mohon maaf. Namun, inilah kudrat yang ada pada diri saya. Sebagai seorang hamba Allah yang lemah, saya akui akan kelemahan itu. Namun, saya akan berusaha untuk buat yang lebih baik.

Seputar bicara minggu ini memang banyak. Lebih-lebih lagi taklifan telah berkurang. Saya tidak lagi duduk di hadapan anak-anak murid di sekolah, tetapi masih lagi sarat dengan aktiviti peribadi. Jumaat lepas, saya berkunjung ke Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan. Sudah setahun saya tidak kunjunginya. Peluang berada di negara sendiri ini saya manfaatkan untuk ke sana. Alhamdulillah, Pusat Dokumentasi Melayu Shaharom Hussien yang telah dirasmikan lewat sebulan yang lalu, dapat juga saya masuk.

Meninjau beberapa lagi kemudahan yang ada banyak memberikan pendedahan kepada saya tentang negeri Johor amnya. Kesempatan ini juga, saya dapatkan dua buah buku yang saya cari beberapa minggu yang lalu. Sebagai anak Johor, tidak salah rasanya kita mengkaji sejarah negeri sendiri secara bersungguh-sungguh. Benar! Ramai tidak berminat dengan sejarah. Kerana, ada yang mengatakan sejarah kekadang menjadi palsu. Saya akui segalanya. Namun, bukanlah semua sejarah itu palsu.

Setelah saya selidiki, ada beberapa elemen yang dianggap benar, tetapi fakta telah berubah. Kita tidak dapat nafikan segalanya. Selagi coretan peristiwa itu dilakar oleh manusia, seharusnya ada yang menokok nambahnya. Tetapi, sebagai seorang Islam kita juga harus percaya dan yakin bahawa rentetan peristiwa yang tidak pernah palsu adalah al-Quran yang merupakan mukjizat Rasulullah s.a.w.

ii
Saya tidak mahu lagi berceloteh. Minggu ini, saya dapat khatamkan tiga buah novel. Bermula dengan dua novel sejarah yang saya wara-warakan beberapa hari lepas dalam blog ini, dan semalam dapat saya langsaikan novel Justeru Impian di Jaring, karya Zaid Akhtar yang memenangi tempat ketiga HSKU 2006. Tahniah buat abang Yazid.

Suatu novel kreatif. Banyak pengajaran yang saya peroleh. Benar! Saya tidak suka membaca novel cinta atau lebih mudah kita kenal dengan novel popular. Lambakan ketara pada hari ini. Maka, tidak hairanlah mengapa jarang penggiat novel popular seperti Ahadiat Akashah, jarang-jarang mendapat penganugerahan di dalam hadiah sastera atau sayembara. Mudah saya kelaskan, novel popular hanyalah suatu novel cerita klise dan cinta semata-mata. Tidak pula bagi novel karya kesusasteraan, penuh mesej dan pengajaran daripada pengarang.

Saya tidak wajar mengomel panjang berkaitan novel popular atau sebagainya, kerana saya yakin pembaca blog saya bukanlah 100% penggemar sastera. Justeru, mereka yang telah berada di dalam kelompok pemikiran saya lebih arif tentang hal ini.

Hari ini saya nak bongkarkan satu rahsia. Tapi, ini adalah rahsia peribadi. Ntah! Rasa tidak mahu dilontarkan saja. Mengapa saya terlalu rajin membaca novel? Saya kurang pasti jawapannya. Namun, sebagai seorang penulis, perkara pokok yang perlu difahami adalah membaca. Jika kita tidak membaca, bermimpilah kita untuk menulis dengan baik. Garapan bahasa yang baik, menjadikan kesan pembacaan kita akan terhasil apabila menulis.

Saya gemar membaca karya Abang Faisal Tehrani (Mohd Faizal Musa). Penulisannya memberi kesan mendalam kepada saya. Banyak input fakta yang dapat saya kumpul. Namun, beberapa orang lagi penulis mapan tidak jauh bezanya. Rata-ratanya, saya memilih pemenang HSKU untuk menjadi idola. Mereka telah lahirkan pelbagai karya bermutu. Bukan hanya karya semberono tetapi ada nilai yang baik daripada hasil penulisan mereka.

iii
Rupa-rupanya saya akui penat mengarang. Berceloteh juga suatu perkara yang penat. Namun, saya gagahi juga untuk menulis.

Petang tadi, saya telah membetulkan kamera digital saya di Plaza Angsana. Alhamdulillah, segalanya beres.

Tahniah buat sahabat-sahabat di Mesir yang telah memasang siaran langsung Pengajian Syeikh Nuruddin dari Dewan Ibnu Sina, Rumah Johor, Kaherah. Tahniah sekali lagi. Walaupun terasa rugi tidak dapat bersama-sama kalian, tetapi sekurang-kurangnya saya menumpang gembira.

Esok dan dua harinya saya akan ke Tiram Indah Village. Program Kem Ibadah Ramadan di sana. Saya akan bertemu dengan adik-adik tingkatan 3,4 dan 5. Jumpa lagi, insya-Allah.

iv
Saya baru memulakan novel baru. "Ikan Fugu, Lukisan dan Jimson" - karya Faisal Tehrani yang saya beli petang tadi di Plaza Angsana, Johor Bahru.

Monday, September 17, 2007

Novel Sejarah Saya


Izinkan saya merangkum beberapa catan di dalam blog ini. Walaupun ada yang menemplak di atas kelemahan saya terhadap blo sendiri, saya faham sekadar manusia biasa. Lemah.

Alhamdulillah, sudah seminggu lebih pakej Nama Beta Sultan Alauddin (NBSA) tiba di rumah saya. Terima kasih kepada Ujana Ilmu yang telah menghantarnya dalam keadaan segera.

Langsai sudah saya menekuni kedua-dua novel karya Faisal Tehrani. Walaupun mengakui Surat-Surat Perempuan Johor (SSPJ) sepatutnya saya khatamkan pada tahun lalu, namun itu tidak menjadi permasalahannya.

Saya mulakan SSPJ dahulu. Setelah saya membacanya dari mula hingga ke babak surat terakhir, barulah saya tahu, mengapa FT mendapat tempat ketiga bagi sayembara tersebut. Benar! Menulis cerita dan bahan sejarah bukannya mudah. Lebih-lebih lagi fokus perlu diberikan kepada sejarah negeri Johor.

Sejarah Johor banyak ragam dan rencamnya. Jika tersalah tafsir, sejarah benar akan bertukar menjadi sejarah palsu. Benar! Saya telah membaca beberapa buah buku sejarah. Ada benarnya dan ada yang palsu.

NBSA adalah karya FT yang tidak memasuki mana-mana sayembara atau pertandingan. Justeru, tidak hairanlah jika pembaca lebih seronok membacanya. Mengapa tidak? Kisah Sultan Alauddin (Raja Husain) diceritakan satu-persatu dengan beberapa nilai pada setiap babakan.
Walaupun novelnya hanya 144 muka surat, tetapi intinya amat puas kepada pembaca (saya).

Saya tidak gemar untuk mendalamkan intisari novel tersebut. Namun, jika kalian mahu dapatkannya, saya amat mengesyorkan. Saya tertarik dengan mukadimah FT yang mencadangkan agar karya ini dijadikan bahan bacaan pelajar sekolah. Walaupun ia karya sejarah, tetapi tidaklah seberat SSPJ yang memerlukan pemahaman dan pemerhatian yang mendalam.

Thursday, September 13, 2007

Saman - Bukan Saman bin Esa

Hari ini saya sedang berbincang. Berbincang dengan peguam saya. Dia seorang peguam bela yang dikatakan terkenal di Malaysia. Saya (plaintif) sedang berbincang dengan beliau berkaitan satu kes yang sedang berlaku. Saya namakan pihak XXX sebagai (defenden). Saya tidak perlu sebutkan siapa pihak yang terlibat.

Yang penting, ia merupakan pihak NGO dan orang perseorangan. Kes ini akan difailkan di mahkamah sivil kerana melibatkan kes-kes umum. Ia langsung tidak kena-mengena dengan kes syariah.

Namun, saya berdoa agar kes ini akan berjalan dengan baik dan kemenangan pada pihak saya. Doa daripada kalian amatlah diharapkan.

Mengikut prosedur yang telah dibincangkan, saya akan saman sebanyak RM 1,000,000 kerana kes ini melibatkan maruah. Pihak yang terlibat juga kini berada di Mesir!

SELAMAT TINGGAL SEMUA


SMK BBU

Ini adalah suatu catatan ringkas saya dan catatan terakhir saya di SMK Bandar Baru UDA. 17 Julai hingga 12 September. Genap 60 hari saya menjadi "Kumpulan Guru Simpanan Kebangsaan". Menggantikan guru bersalin (Puan Siti Maseriyani) yang mengajar Pendidikan Islam di sekolah tersebut.

Sebetulnya, saya dijadualkan akan menyambung kontrak lagi dua bulan kerana seorang lagi guru bersalin. Namun, Pejabat Pelajaran Daerah mengatakan "tiada lagi peruntukan". Saya lega seketika.

Beberapa hari sebelum tamat mengajar, saya telah memberitahu bahawa saya ingin duduk bebas selepas tarikh tersebut. Pertama, kerana Ramadan. Kedua, kerana saya perlu membuat persiapan untuk pulang ke Mesir. Seawalnya, saya tidak mahu pulang ke Mesir. Tapi, ada yang mendesak. Saya rela untuk pulang walau hanya 3 madah sahaja untuk sesi ini.

Hari terakhir di SMK Bandar Baru UDA, banyak memberikan saya latihan untuk terus hidup dan berdiri sendiri selepas ini. Alhamdulillah, gaji bulan Julai dan Ogos pun dah terima. Boleh belanja sakan untuk Ramadan dan Syawal ini. Jangan marah!

Apapun, terima kasih kepada semua yang banyak membantu saya sepanjang saya menjadi guru di sekolah. Pertama, ayah saya kerana bersusah payah menempatkan saya di sekolah. Kedua, pegawai PPD (kawan ayah saya) yang beria-ia mahukan saya mengajar di sana. Ketiga, buat guru-guru SMK BBU terutama Pengetua dan Penyelia Petangnya. Keempat, kepada semua anak-anak murid yang saya amat sayangi dan tidak boleh lupa "cubit nikmat" yang saya berikan kepada mereka tanda sayang. Kepada orang-orang perseorangan yang tidak mampu saya sebutkan satu persatu. Terima kasih di atas hadiah daripada pihak kalian semua.

Coretan ini, saya lakarkan semasa saya tinggal seorang di sekolah. (Jam 7.00 malam ketika sekolah telah kosong.)

SELAMAT TINGGAL SEMUA
(dedikasi untuk pelajar SMKBBU)

rupa-rupanya sudah berakhir
perjalanan aku ke kelasnya
2B1 hingga 2B4
dan 2C3 itu.

hitung, hitung, hitung
sudah kosong rupanya
perlu pulang kembali semula
yang sedang menunggu di sana.

anak-anakku
apa yang engkau dapat dua bulan?
apa yang engkau kutip dua bulan?
apa yang engkau dengar dua bulan?
faham!

aku lihat engkau geleng lagi
sengsaramu masih menggunung
apa sudah jadi
aku rupa-rupanya bingung.

Maafkan aku sebagai guru.

Syafiq Zulakifli
SMK Bandar Baru UDA, Johor Bahru.

Ar-Rahman, Ar-Rahim Murka

Selamat Menyambut Ramadan Al-Mubarak kata sebahagian orang. Tidak salah bersahut "Ramadan Kareem". Namun, apakah erti Ramadan sebenar. Beberapa hari sebelum nyawa saya tamat di sekolah, saya tanyakan beberapa orang anak-anak saya,

"Apa erti Ramadan pada awak?"

"Tidak makan dan tidak minum."

Itu sahaja otak mereka dapat mencerna jawapan. Seikhlasnya, saya bukan pandai ceramah di dalam kelas, tetapi boleh dikatakan tiap-tiap hari saya menjadi penceramah tetap, hingga ada yang mengesyorkan saya membuka kelas tambahan pada waktu malam. Ini suatu yang lucu.

Mungkin para pelajar tidak pernah bertemu dengan guru seperti saya. Boleh bercakap tanpa henti. Lebih-lebih lagi apabila masa peruntukan di dalam kelas mencecah satu jam sepuluh minit. Saya ketawa kecil. Ada pelajar yang berani berterus- terang, "ustaz tak penat ke bercakap je dari tadi?"

Ini jiwa saya. Jika mikrofon kata orang-orang berjawatan. Tetapi, itu bukan saya yang pinta. Anugerah daripada Allah s.w.t. Saya berlatih untuk bercakap apa yang saya tahu. Dan, inilah hasilnya.

Ringkas cerita, ada keperluan lain yang lebih utama saya harus jelaskan. Rumah saya bergoncang pagi tadi. Pagi 1 Ramadan. Saya rasakan sendiri perkara tersebut. Wah! Sungguh menggerunkan. Tapi, dalam hati berdetik. Apa salahnya jika sudah ajal di sini.

Entahlah. Ini sebuah lakaran dan omongan kosong. Sejujurnya, saya masih panik lagi. Tapi, jika pergi pun, biarlah pergi bersama keluarga. Gegaran di Barat Sumatera amat merisaukan. Lebih-lebih lagi, jaraknya dengan bandar Johor Bahru tidak sejauh mana. Hanya lebih kurang 700km. Terlalu hampir bagi saya. Jika ditakdirkan ini adalah karya saya yang terakhir, saya minta maaf pada semua yang pernah kenal saya sebagai Syafiq.

Saya banyak salah pada kalian. Saya banyak dosa pada kalian. Namun, saya tak pernah rasa puas menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah Allah. Cukuplah saya di sini membawa hati yang amat merelakan.

Kesimpulan yang saya dapat lakukan, Allah sedang murka. Mungkin kerana mereka yang jahil tentang agama. Atau, mereka yang sengaja tidak mahu belajar tentang agama dan sebagainya. Beringatlah!

Proses Penciptaan


Dua bulan ini, saya latih diri saya untuk bertatih. Saya masih belum pandai berjalan dengan sempurna. Kesempatan di Malaysia juga, saya gunakan dengan sebaik mungkin. Merantau ke sana-sini, walaupun tidak jauh mana.

Benar! Saya masih di dalam proses penciptaan. Sebulan yang lalu, saya telah langsaikan beberapa agenda penulisan di Dewan Bahasa dan Pustaka, dan hampir seminggu yang lalu, saya telah selesaikan tugas mewakili anak-anak Johor di Mesir.

Ini cerita benar. Kalau diberi dacing pada saya, lantas dacing itu akan condong ke negeri Johor. Ini bermakna, tugas saya lebih memihak kepada negeri berbanding peringkat kebangsaan. Sebagai salah seorang pemimpin peringkat kebangsaan (pusat) saya rasa tidak adil pada diri. Atau, mungkin mudah saya anggap bahawa, Johor adalah negeri saya dan mudah untuk saya bergerak.

Atau, ada mereka yang mungkin mengatakan itu alasan saya tidak bergerak ke mana-mana. Sejujurnya, bukanlah saya ini tidak rajin di dalam bertindak. Tetapi, ripuh tugas tiada siapa yang dapat ketahui.

Namun, apa jua masalah yang melanda itu adalah sebuah latihan buat diri kita. Doakan semuanya selamat.

Mencipta puisi dan cerpen bukan sesuatu yang mudah. Apa lagi, otak saya sekarang hanya tertumpu pada sebuah novel. Doakan ada sebuah hasil.


Ramadan Ku


Terima Kasih kepada Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir yang melahirkan kad ucapan kecil. Setidak-tidaknya, saya di Malaysia juga boleh mengambilnya sebagai bahan koleksi. Mencari bahan tempelan paling mudah, sebab itu saya hanya menempel sahaja.

Selamat Menyambut Ramadan Al-Mubarak



Sunday, September 09, 2007

Tujuh Surat Kemaafan


Ada beberapa insan yang saya perlu minta maaf secara jujur. Bukan kerana saya telah bercium dengan seseorang seperti Asyraf Sinclar bersama Bunga Cinta Lestari yang sedang hangat dibualkan kisah jujurnya sekarang ini. Namun, saya ingin mohon keampunan kepada beberapa orang yang tidak perlu saya sebutkan nama mereka.

Pertama, kepada sahabat saya "A" kerana telah membuat cereka palsu kepada beliau. "Saya telah terlanjur." Tidak! Sejujurnya, saya masih belum lagi terlanjur dalam gerak kerja saya sehingga hari ini. Saya punya fikiran yang waras. Saya juga ada maruah diri dan harga sebuah pemikiran.

Kedua, kepada guru saya. Bukan saya minta ditaklifkan sebegini. Ini taklifan paling berat. Taklifan di saat insan sedang bergelumang dengan dosa dan noda. Ini kafarrah buat diri saya. Namun, tidak salah kalau saya katakan saya sebagai manusia biasa. Tidak lari daripada melakukan kesilapan. Ya!

Ketiga, kepada sahabat saya juga "P". Saya bukan pinta ini semua. Itupun kerana terpaksa. Melangsaikan hutang-hutang pekerjaan yang sarat pada bebanan ini. Entah! Kebuntuan membelenggu diri saya. Inikah dugaan yang paling berat. Berat kaki melangkah pergi. Namun, saya perlu ada rasa takut akan soalan akhirat nanti.

Keempat, kepada adik saya "I". Bukan niat saya memarahi kamu. Bukan pula saya ingin membebel yang tidak tentu pasal. Bukankah adik tahu, saya tidak suka adik buat masalah di sekolah. Ini baru satu! Kalau lepas ni, kena buang? Siapa susah? Saya leteri kerana rasa tanggungjawab sebagai seorang abang. Saya punya jatidiri untuk hidup. Kalau saya boleh cemerlang hingga ke saat ini, kenapa tidak untuk adik? Saya tidak mahu adik berfoya-foya. Belajar faham!

Kelima, kepada anak saya "N". Saya minta maaf kerana terpaksa berterus-terang. Ayah tidak suka ada anak-anak ayah bergelar penyanyi. Ayah tahu, itu lagu asli atau keroncong. Tetapi mengapa tidak pilih jalan lain. Ayah tidak mahu lagi suara "N" berada di udara hingga mencapai riang tawa anak-anak khinzir di tapak konsert. Tolonglah. Ayah rasa gambar yang ayah rakam buat "N", mahu sahaja ayah jualkan pada majalah-majalah. Nak tunjuk anak ayah terlalu dangkal dalam berfikir.

Keenam, kepada isteri saya "A". Maafkan abang sayang, kerana abang perlukan berehat. Ini adalah surat terakhir abang. Wassalam.

Ketujuh, kepada-Mu Ya Allah! Aku mohon taubat setinggi-tinggi taubat andai inilah masa dan saat yang paling terakhir dapat aku hidup mengenal-Mu. Ramadan kian hadir dan bertamu lagi. Syukur atas segala nikmat yang Engkau berikan. Tak dapat kubalasi walau sepincing pun. Kesalahan dan kebodohan lamaku itu, tidak dapat ku bendung lagi. Namun, aku tahu kau Maha Mendengar akan sesuatu permintaanku. Maafkanlah aku, moga taubatku diterima oleh-Mu.


Tuesday, September 04, 2007

Halalkah Makanan Kita?


"Tiap-tiap hari kita makan makanan haram rupanya."

Itulah kesimpulan yang dapat saya tafsirkan selepas menghadiri "Forum Kepenggunaan Islam" di Masjid Jamek Bandar Baru UDA, tiga hari yang lalu. Forum yang dihadiri seramai dua orang ahli panel ini sudah cukup untuk membuktikan bahawa negara Malaysia khasnya mendaulatkan sistem makanan secara haram.

Bukanlah pengharamannya menjadi bualan, tetapi teknik pengelolaan, pengendalian, 'pembungkusan sehinggalah kepada pemasaran harus diperhatikan. Menurut Dato' Dr. Maamor (Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia) realiti masyarakat hari ini terlalu bobrok untuk berfikir. Mereka tidak ambil peduli terhadap pemakanan mereka juga kepada anak-anak mereka. Oleh itu, tidak hairanlah mengapa anak-anak hari ini tidak tahu malu seperti "khinzir".

Sikap mendedahkan sini-sana, menayangkan atas bawah adalah antara sikap "muka tembok" si khinzir. Namun, simbolik atau kiasan ini memang tepat kepada anak-anak remaja hari ini yang sememangnya hampir kurang malu terhadap perbuatan mereka.

Baru-baru ini juga, saya telah menegur sekumpulan pelajar yang makan, makanan yang bertulisan cina lantas mereka menjawab, "Ala cikgu, makan je la...buat apa kita nak was-was."

Nah. Realiti yang saya campakkan buat pembaca sekalian. Masalah remaja dan ibu bapa hari ini semakin ketara. Namun, di manakah suara pihak kerajaan untuk menyatakan hasrat ini semua? Sama-sama kita fikirkan.

Panel :

Dato' Dr. Maamor bin Osman
(Setiausaha Agung, Persatuan Pengguna Islam Malaysia)

Ustaz Haji Mohd Fahmi bin Samad
(Penolong Pengarah Unit Pemakanan Halal, Bahagian Penyelidikan JAJ)

Pengerusi Forum:

Ustaz Mohd Yusree bin Ikhsan
(Pendakwah, Jabatan Agama Johor)

Saturday, September 01, 2007

Jika Negara Sudah Merdeka

Semalam, teriakan MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA! menghiasi ruang angkasa di bumi Malaysia. Saya juga kurang pasti, adakah keadaan di Mesir (tempat yang saya belajar) pun begitu juga. Tiba-tiba saya teringatkan sahabat saya yang terperingkuk di dalam penjara kerana telah dituduh membunuh rakan senegara pada awal Jun yang lalu. Apa erti merdeka 50 tahun kepadanya?

Lelah menyaksikan pada raut wajah airmata yang bertaburan kerana menyambut kemerdekaan. Beberapa hari sebelum tibanya Ulang Tahun Kemerdekaan Negara yang ke-50, saya bertanyakan kepada anak-anak saya, apa erti merdeka pada awak semua? Mereka bangun lalu bingkas menyatakan "Bebas!"

Itulah jawapan anak-anak yang belum tahu menilai erti merdeka. Yang mahu disumbatkan di dalam tengkolok mereka bebas, bebas, dan bebas. Apakah dunia ini kekal selama-lamanya untuk bebas sampai kiamat? Atau apakah kita menetap di negara merdeka ini kerana kita rasa kita sudah bebas?

Secara peribadi, negara masih mentah mengenal erti merdeka. Apa salahnya saya berpendirian sebegini? Sekurang-kurangnya ada juga yang dapat membuka mata menyaksikan fenomena Malaysia yang dahulunya Tanah Melayu merayakan hari kebesaran negara ini.

Kemerdekaan negara pada tahun ini juga saya raikan dengan membuat beberapa kajian terhadap perjuangan kemerdekaan yang dibawakan 50 tahun yang lalu. Bukan apa, selepas menghadapi peperiksaan Sejarah SPM, lima tahun yang lalu, saya tidak pernah terfikir tentang negara lantas hanya menggangguk-angguk terhadap sejarah itu dan ini. Namun, selepas membuat beberapa kajian, inilah hasilnya.

1. Jika negara sudah merdeka, mengapa Undang-Undang Lord Ried ini digunakan di negara yang sudah merdeka?

2. Jika negara sudah merdeka, berjayalah orang-orang British memecahbelahkan agama Islam.

3. Jika negara sudah merdeka, mengapa orang-orang Melayu masih melayu?

4. Jika negara sudah merdeka, mengapa anak-anak pasca merdeka ini terlolong-lolong dalam kesamaran?

5. Jika negara sudah merdeka, mengapa jasa Tunku Abdul Rahman sahaja dilaungkan menuntut kemerdekaan?

5. Jika negara sudah merdeka, apa buktinya?

Cukuplah apa yang saya fikirkan buat sekadar ini. Rupa-rupanya ada lagi fakta palsu terhadap kemerdekaan negara. Tapi, semasa belajar dulu-dulu, saya tidak tahu bahawa fakta itu telah ditipu dan diperbodohkan kepada saya yang bergelar pelajar.

Duhai hati yang kecil, fahamilah diri ini.

(Gambar sekadar hiasan)