Langkau ke kandungan utama

Seputar Minggu Ini


i
Seandainya saya terlewat menghantar beberapa warkah ini, saya mohon maaf. Namun, inilah kudrat yang ada pada diri saya. Sebagai seorang hamba Allah yang lemah, saya akui akan kelemahan itu. Namun, saya akan berusaha untuk buat yang lebih baik.

Seputar bicara minggu ini memang banyak. Lebih-lebih lagi taklifan telah berkurang. Saya tidak lagi duduk di hadapan anak-anak murid di sekolah, tetapi masih lagi sarat dengan aktiviti peribadi. Jumaat lepas, saya berkunjung ke Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan. Sudah setahun saya tidak kunjunginya. Peluang berada di negara sendiri ini saya manfaatkan untuk ke sana. Alhamdulillah, Pusat Dokumentasi Melayu Shaharom Hussien yang telah dirasmikan lewat sebulan yang lalu, dapat juga saya masuk.

Meninjau beberapa lagi kemudahan yang ada banyak memberikan pendedahan kepada saya tentang negeri Johor amnya. Kesempatan ini juga, saya dapatkan dua buah buku yang saya cari beberapa minggu yang lalu. Sebagai anak Johor, tidak salah rasanya kita mengkaji sejarah negeri sendiri secara bersungguh-sungguh. Benar! Ramai tidak berminat dengan sejarah. Kerana, ada yang mengatakan sejarah kekadang menjadi palsu. Saya akui segalanya. Namun, bukanlah semua sejarah itu palsu.

Setelah saya selidiki, ada beberapa elemen yang dianggap benar, tetapi fakta telah berubah. Kita tidak dapat nafikan segalanya. Selagi coretan peristiwa itu dilakar oleh manusia, seharusnya ada yang menokok nambahnya. Tetapi, sebagai seorang Islam kita juga harus percaya dan yakin bahawa rentetan peristiwa yang tidak pernah palsu adalah al-Quran yang merupakan mukjizat Rasulullah s.a.w.

ii
Saya tidak mahu lagi berceloteh. Minggu ini, saya dapat khatamkan tiga buah novel. Bermula dengan dua novel sejarah yang saya wara-warakan beberapa hari lepas dalam blog ini, dan semalam dapat saya langsaikan novel Justeru Impian di Jaring, karya Zaid Akhtar yang memenangi tempat ketiga HSKU 2006. Tahniah buat abang Yazid.

Suatu novel kreatif. Banyak pengajaran yang saya peroleh. Benar! Saya tidak suka membaca novel cinta atau lebih mudah kita kenal dengan novel popular. Lambakan ketara pada hari ini. Maka, tidak hairanlah mengapa jarang penggiat novel popular seperti Ahadiat Akashah, jarang-jarang mendapat penganugerahan di dalam hadiah sastera atau sayembara. Mudah saya kelaskan, novel popular hanyalah suatu novel cerita klise dan cinta semata-mata. Tidak pula bagi novel karya kesusasteraan, penuh mesej dan pengajaran daripada pengarang.

Saya tidak wajar mengomel panjang berkaitan novel popular atau sebagainya, kerana saya yakin pembaca blog saya bukanlah 100% penggemar sastera. Justeru, mereka yang telah berada di dalam kelompok pemikiran saya lebih arif tentang hal ini.

Hari ini saya nak bongkarkan satu rahsia. Tapi, ini adalah rahsia peribadi. Ntah! Rasa tidak mahu dilontarkan saja. Mengapa saya terlalu rajin membaca novel? Saya kurang pasti jawapannya. Namun, sebagai seorang penulis, perkara pokok yang perlu difahami adalah membaca. Jika kita tidak membaca, bermimpilah kita untuk menulis dengan baik. Garapan bahasa yang baik, menjadikan kesan pembacaan kita akan terhasil apabila menulis.

Saya gemar membaca karya Abang Faisal Tehrani (Mohd Faizal Musa). Penulisannya memberi kesan mendalam kepada saya. Banyak input fakta yang dapat saya kumpul. Namun, beberapa orang lagi penulis mapan tidak jauh bezanya. Rata-ratanya, saya memilih pemenang HSKU untuk menjadi idola. Mereka telah lahirkan pelbagai karya bermutu. Bukan hanya karya semberono tetapi ada nilai yang baik daripada hasil penulisan mereka.

iii
Rupa-rupanya saya akui penat mengarang. Berceloteh juga suatu perkara yang penat. Namun, saya gagahi juga untuk menulis.

Petang tadi, saya telah membetulkan kamera digital saya di Plaza Angsana. Alhamdulillah, segalanya beres.

Tahniah buat sahabat-sahabat di Mesir yang telah memasang siaran langsung Pengajian Syeikh Nuruddin dari Dewan Ibnu Sina, Rumah Johor, Kaherah. Tahniah sekali lagi. Walaupun terasa rugi tidak dapat bersama-sama kalian, tetapi sekurang-kurangnya saya menumpang gembira.

Esok dan dua harinya saya akan ke Tiram Indah Village. Program Kem Ibadah Ramadan di sana. Saya akan bertemu dengan adik-adik tingkatan 3,4 dan 5. Jumpa lagi, insya-Allah.

iv
Saya baru memulakan novel baru. "Ikan Fugu, Lukisan dan Jimson" - karya Faisal Tehrani yang saya beli petang tadi di Plaza Angsana, Johor Bahru.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kosa Kata Pada Hari Ini

Sudah lama tidak bersua untuk berkongsi makalah atau bahan berunsur sastera. Justeru, hari ini saya ingin berkongsi dengan kalian beberapa kosa kata baru yang wajar digunakan oleh kita sama ada di dalam penulisan kita seharian atau sebagainya. 1. Adar : bertandang (bertandang, bermalam di rumah orang) Contoh ayat – Aiman dan Akram selalu ber adar ke rumah bapa saudaranya pada hari Ahad. 2. Atip : susun (susun, atur) Contoh ayat – Ustaz Hairul meminta agar semua badan pengurus PMRAM meng atip baju-baju yang berserakan di dalam almari besi itu. 3. Banjar : baris (baris, jajar, deret) Contoh ayat – Izzat, Ifwat dan Izmir berdiri se banjar di dalam perbarisan kawad kaki sempena Hari Sukan di sekolahnya. 4. Enigma : kebingungan (menjadi bingung atau kebingungan) – disebabkan oleh sesuatu hal atau seseorang) Contoh ayat – Pegawai itu berada di dalam situasi enigma setelah diminta untuk berundur daripada tugasnya di dalam masa 24 jam. 5. Suang ...

ZIKRAYAT EPISOD 6

ZIKRAYAT EPISOD 6 (Zikrayat ialah sebuah program menceritakan insan penting sepanjang kerjaya saya di Kuala Lumpur) Nama penyampai dan penerbit radio IKIM Faiz Hj Othman amat sinonim kepada pendengar radio. Faiz lebih muda daripada saya. Tetapi beliau berkhidmat setahun lebih awal daripada saya di IKIM. Antara insan yang paling banyak menyimpan rahsia sepanjang hampir 6-7 tahun saya di IKIM. Apa sahaja perjalanan hidup saya di Kuala Lumpur memang boleh dikatakan beliau amat tahu. Faiz anak kelahiran Kelantan. Mendapat pendidikan di Universiti Utara Malaysia, kini tinggal di Hulu Langat, Selangor. Beliau juga merupakan orang pertama yang ketahui saya tidak menyambung perkhidmatan (saya tidak mahu tandatangan surat sambung) Pada pagi Anugerah Nasyid 2019, dalam kekalutan itulah saya memaklumkan bahawa saya sudah bawa semua barang ke Johor Bahru. Terperanjat beliau. Saya beritahu, saya perlu ke Mekah dan buat istikharah terakhir sebelum buat keputusan balik ke negeri asal...

2024 : Membuka Tirai

SEJARAH KOLEJ UNIVERSITI ISLAM JOHOR SULTAN IBRAHIM (KUIJSI) Idea untuk menubuhkan sebuah institusi yang akan menjadi kesinambungan dan seterusnya menjadi era baru kepada pendidikan agama Islam di Negeri Johor Darul Takzim tercetus pada awal tahun 1997 apabila sekumpulan guru-guru kanan Maahad Johor; iaitu Ustaz Khudzairi bin Hj Jabar, selaku Pengetua, Datin Rohana binti Mohd Yassin, Penolong Kanan I, dan Ustaz Mohamed Salleh bin Sanwan, Penolong Kanan II pada ketika itu mendapat maklumat bahawa Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman telah menandatangani satu Perjanjian Persefahaman dengan Universiti Al-Azhar Al-Syarif. Hasil dari perjanjian tersebut, Kerajaan Negeri Kedah telah menubuhkan sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) dengan nama INSANIAH yang menjalankan programprogram berkembar dengan Universiti AlAzhar dalam bidang-bidang Syariah Islamiah, Usuluddin dan Bahasa Arab dengan graduangraduan dari INSANIAH akan menyambung pengajian mereka di Universiti Al-Azhar di tahun akhir. Ma...