Kenali Diri

My photo
Johor Bahru, Johor, Malaysia
SYAFIQ ZULAKIFLI adalah graduan Universiti Al-Azhar, Kaherah,Mesir. Berasal dari negeri Johor Darul Takzim. B.A (Hons)Syariah, Al-Azhar (2009) Editor PTS Publication & Distributor Sdn Bhd(2010) Eksekutif Penyelidikan Editorial TVAlhijrah(2012)Penerbit Rancangan IKIMfm (Mulai 1 Mac 2012) Sebarang pertanyaan emelkan ke syafiqzulakifli @ gmail.com atau hubungi +6017 7346 946

Friday, August 27, 2010

Gelak Terguling-guling

Ingin mengetahui warga kerja PTS yang sebenarnya, semuanya ada di bawah ini. Hanya 15 minit sahaja, Tuan-Tuan dapat mengenali sejumlah lebih 120 orang kakitangan di bawah pentadbiran PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Ucapan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN.

BP PMRAM pun boleh buat juga...Kami di Malaysia mahu melihatnya.




Thursday, August 26, 2010

KLIA Mencatat Beberapa Peristiwa


KALI terakhir saya menjejakkan kaki ke KLIA adalah pada 13 September tahun lalu. Setelah hampir setahun - 25 Ogos yang lalu peluang itu datang kembali.

Ada beberapa peristiwa yang dapat saya catatkan di dalam kamus peribadi. Pertama, bertemu dengan teman-teman dari Mesir iaitu Ustaz Syed Aisam, Ustaz Zainureen, Ustaz Rafis, Ustaz Abdul Hadi (teman-teman dari Perlis) - yang menghantar rombongan mahasiswa baru Perlis ke Mesir.

Aduhai, KLIA banyak mendewasakan saya sebenarnya. Malam itu juga, penerbangan yang Anas naiki adalah penerbangan yang sama saya naiki sewaktu mula-mula tiba di Mesir. Saya masih inagt lagi, waktu itu penerbangan Qatar Airways jam 2.55 pagi.

Jadual penerbangan itu masih sama lagi selepas hampir enam tahun saya merasainya pada 24 Oktober 2004.

KLIA juga di antara lapangan terbang saya mulakan permusafiran dan menamatkan permusafiran. Di sini juga tempat saya mengenal 'departure' dan 'arrival'.

Malam penerbangan Anas itu adalah malam yang banyak saya pelajari. Masih terus bergentayangan situasi yang berlaku apabila Anas tidak dapat membawa bagasinya naik setelah barangnya lebih dari muatan.

Saya secara peribadi berperah otak juga bagi memastikan barang Anas itu semuanya akan dapat sampai Kaherah.

Terperanjat juga apabila pihak pengurusan lapangan terbang memberitahu bahawa jumlah bayaran yang perlu dibayar hampir RM 900++ setelah dua orang teman yang lain, sudah menyelesaikan pengiraan barang.

Namun, alhamdulillah semuanya dapat disempurnakan dengan baik.

Tambahan :

Anas - waktu akan datang nanti kita jumpa FT ok?


Setelah Setahun Bergelar Graduan Al-Azhar


Gambar di atas adalah gambar terakhir sebelum saya bertolak meninggalkan bumi Mesir. Gambar ini juga yang menjadi saksi bahawa saya meninggalkan teman-teman seperjuangan di dalam PMRAM walaupun hati saya bertambah berat untuk pulang ketika itu.

Namun, atas dasar tanggungjawab dan perlu meneruskan kehidupan bersama usia yang semakin dewasa, saya gagahkan diri untuk meninggalkan tebing permusafiran.

Hari ini, setelah bergelar graduan Al-Azhar selama hampir setahun, banyak perkara yang saya pelajari. Banyak perhitungan yang saya dapat belajar. Banyak juga muhasabah yang saya berulang kali fikirkan.

Dua malam sudah, saya menghantar seorang sahabat (Che Mohd Nor Anas) pulang ke Kaherah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah (KLIA). Bisik saya, sudah hampir setahun rupa-rupanya saya tidak berpeluang ke KLIA ini. Aduhai, rindunya pada keluar masuk bagasi. Rindu juga pada letak duduk boarding pass. Semuanya itu tiba-tiba bergentayangan di dalam nubari.

Tiba-tiba ada satu bisikan jahat dalam diri, "Untungnya teman-teman yang banyak kali mengulang tahun. Boleh ulang alik pulang ke Kaherah."

Sebenarnya penghijrahan itu banyak kebaikannya. Saya masih ingat lagi, ketika musafir saya pulang semula ke Mesir (setelah pulang bercuti), banyak perkara baru yang dapat saya mulakan. Biarpun bukan semua yang terbaik pada saya, namun sekurang-kurangnya perkara itu adalah jejak pembaharuan kepada diri.

Setelah setahun ini, entah apa yang sebenarnya dapat saya sumbangkan. Saya akui, sebagai manusia biasa saya juga banyak kekurangan. Banyak perkara yang perlu dimuhasabahkan. Banyak juga kelompongan yang masih belum ditutupi.

Biarpun jarak ke Kaherah berbatu-batu memisahkan, saya gagah mengatakan bahawa 'akan ku temui semula dirimu Kaherah.'


DUA HARI lalu, saya berbuka puasa dengan Tuan Abdul Latip Talib; pengarang novel-novel sejarah Islam. Beliau amat berharap dapat singgah ke Kota Kaherah. Insya-Allah, jika ada peluang dan ruang, kami akan tiba ke sana membawa misi sejarah.

Tuan Abdul Latip Talib akan naik pentas pada 18 September 2010 ini di Johor Bahru menerima Hadiah Sayembara Menulis Novel Sejarah Negeri Johor anjuran Yayasan Warisan Johor.



Sunday, August 22, 2010

Siapakah Puan Ainon Mohd?


Untuk mengenali siapakah Puan Ainon Mohd, saudara boleh membacanya di sini.

Sekiranya, saudara tidak mahu menekannya, boleh sahaja baca di bawah ini.

Beliau ada Pengerusi Kumpulan Syarikat PTS.

Ainon Mohd merupakan pemegang ijazah sarjana muda dalam bidang linguistik dari Universiti Malaya dan ijazah sarjana dalam bidang yang sama dari Leeds University. Beliau juga pernah mengikuti kursus kedoktoran dalam bidang psikologi di Universiti Putra Malaysia dan merupakan pemegang Diploma Penterjemahan dan Interpretasi dari Universiti Malaya.

Memulakan kerjaya di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan telah berkhidmat di DBP dari tahun 1973 hingga tahun 1988. Sepanjang berkhidmat di DBP, beliau telah memegang pelbagai portfolio termasuk Pegawai Penyelidik Bahasa dan Sastera, Ketua Unit Terjemahan Sastera, Ketua Unit Penyelidikan Bahasa dan terakhir sekali sebagai Ketua Bahagian Terjemahan.

Selain daripada itu, beliau juga pernah menjadi pensyarah sambilan di Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Pada tahun 1988, beliau telah menubuhkan syarikatnya sendiri, PTS Consultants Sdn Bhd (‘holding company’ kepada PTS Publications & Distributors Sdn Bhd) dan memulakan perkhidmatan konsultansi dan kejurulatihan dalam bidang kreativiti. Antara yang pernah menjadi pelanggan beliau termasuklah Bank Negara Malaysia, Shell, ESSO, BP, Amway, Malayan Banking, Perwira - Habib Bank, Telekom, Kementerian Pertahanan, Badan Pencegah Rasuah dan banyak lagi.

Selain itu, syarikat beliau juga terlibat dalam pembangunan perisian penyemak ejaan dan tatabahasa bersama MIMOS dan Microsoft Corp.

Beliau telah menghasilkan lebih daripada 30 buah buku di dalam bidang terjemahan, komunikasi, pemikiran lateral dan kreativiti bersama dengan suami beliau, Profesor Abdullah Hassan yang kini merupakan pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris dan merupakan tokoh yang amat dikenali dalam bidang bahasa melayu dan sering dipanggil membentangkan kertas kerja berkaitan bahasa melayu di serata dunia. Antara buku hasil tulisan beliau sendiri dan juga hasil tulisan bersama suami beliau yang terkenal termasuklah Mendorong Kreativiti Kanak-kanak, Pemikiran Lateral, Teori & Teknik Terjemahan, Psikologi Kejayaan, Belajar Berfikir, Teori Motivasi Di Tempat Kerja, Teori & Teknik Kepimpinan, Komunikasi Di Tempat Kerja, Guru Sebagai Pendorong Dalam Darjah dan pelbagai siri kamus bahasa melayu yang merupakan rujukan utama para pelajar dan guru-guru di sekolah.

Atas keyakinan dan iltizam yang tinggi untuk melihat bahasa melayu berkembang sebagai bahasa ilmu dan bangsa melayu dapat bersaing dalam dunia globalisasi ini, maka pada tahun 2000, beliau telah mengambil keputusan untuk menubuhkan PTS Publications & Distributors yang mengkhusus dalam penerbitan dan pengedaran buku-buku ilmu berbahasa melayu yang ditulis oleh para ilmuwan dan cendiakawan melayu.

Kini, selain menyelia kerja-kerja di bahagian editorial, beliau juga terlibat secara aktif dan proaktif dalam memberi konsultansi, latihan dan bimbingan bagi menjayakan projek PTS dengan Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad (ITNMB) bagi menterjemah pelbagai buku bahasa asing yang bermutu tinggi untuk bacaan dan rujukan rakyat Malaysia yang berbahasa Melayu.

Selain menjadi rujukan pelbagai pihak dalam bidang terjemahan, komunikasi, motivasi, kerja-kerja sosial dan kaunseling di mana rumah beliau sendiri dijadikan pusat latihan dan program latihan fasilitator untuk program-program motivasi dan kerja-kerja sosial, beliau juga sering dipanggil untuk memberi ceramah dan bimbingan motivasi di pelbagai jabatan kerajaan dan swasta.

Selain daripada itu, beliau juga terlibat dalam banyak kerja sosial dan kebajikan terutamanya dalam menjaga kebajikan kaum orang Asli di Janda Baik, Pahang di mana beliau sering dijadikan tempat aduan. Rumah beliau kini dijadikan pusat pengumpulan pelbagai sumbangan untuk kaum orang asli Janda Baik.


Ogos


LOGO ILMAM (Ikatan Lepasan Mahasiswa Al-Azhar Mesir) tiada kaitan dengan entri ini. Namun, beberapa hari lalu saya berbual dengan mantan Timbalan Setiausaha Agung PMRAM yang kini merupakan Penasihat PMRAM, Ustaz Abdul Malik Abdul Karim berkenaan perhimpunan besar-besaran mantan kepimpinan PMRAM.

Ya. Percaturannya, ramai kepimpinan PMRAM yang kini sudah berada di Malaysia. Ada juga yang pulang bercuti termasuk tiga orang mantan Presiden PMRAM yang terkini iaitu semenjak tahun 2006-2009.

Tentu meriah apabila 'kepala-kepala besar' ini disatukan. Tentu banyak perancangan yang akan disusun nanti untuk menyambut PMRAM yang berusia 80 tahun.

Jika mantan dapat berhimpun, ini bermakna usia 80 tahun PMRAM tidak sia-sia. Kita juga mampu meletakkannya sebagai salah satu program semi MEGA kepada ulangtahun PMRAM.

2
Ogos ini, setelah hampir setahun saya pulang; saya telah membuat keputusan. Ya. Moga-moga diberikan rezeki oleh Allah Taala. Saya akan menyambung pengajian dan pendidikan di peringkat Ijazah Sarjana. Tetapi, kemungkinan percaturannya berbeza dari kebiasaan. Saya menumpukan bidang Linguistik dan Bahasa.

Fikir saya, kita perlu memperbanyakkan tokoh bahasa lagi di negara kita Malaysia. Barangkali PTS juga memerlukan tokoh wibawa. Tentu juga satu masa apabila Akademi Latihan Penulis @ Penerbitan mampu dijadikan sebuah universiti; tentu sudah ada yang mengisinya.

Selagi hayat dua orang tokoh penting bahasa, iaitu Prof (E) Dr Abdullah Hassan dan Puan Ainon Mohd. masih ada, tentu juga 'tokoh rujukan' ini mampu membantu menyelesaikan pendidikan saya di dalam bidang Linguistik.

Tambahan :

Bulan Oktober nanti pelbagai seminar antarabangsa linguistik akan diadakan. Mohon maklumkan kepada saya, sekiranya Tuan-Tuan ada bertemu dengan program-program yang lain juga.

Apa itu fonetik, semantik, fonologi? Hanya orang linguistik yang memahaminya...:)


Monday, August 16, 2010

Macam-macam hal (2)


Di Malaysia, dua buah pengedar buku terbesar di Malaysia adalah POPULAR dan MPH. Masing-masing mempunyai cawangan di setiap negeri, malah ada juga yang membuka cawangan di daerah-daerah besar dan kecil.

Rata-rata pembaca buku dan peminat tegar buku akan bertemu dengan dua kedai buku terbesar di Malaysia ini.

Plaza Angsana di Johor Bahru pada peringkat awalnya membuka dua buah kedai buku terbesar ini. Walaubagaimanapun, Kedai Buku Badan Cemerlang telah menendang kedua-dua kedai buku ini disebabkan Badan Cemerlang menjual buku-buku bahasa Melayu.

Oleh sebab itu, Badan Cemerlang mampu berdiri kukuh pada hari ini disebabkan pengunjung Plaza Angsana majoritinya adalah orang Melayu.

2

Kebelakangan ini, ada pengedar terbesar ini yang sedang main jentik-jentik bersama PTS. Ada pengedar terbesar ini yang memaksa PTS memberikan diskaun yang tidak masuk akal kepada PTS.

Aduh! Terperanjat juga PTS mendengar simbol dan nombor diskaun itu. Mahu tidak mahu, sebagai penerbit, PTS perlu memastikan buku-buku dijual di kedai-kedai buku.

Di antara kaedahnya adalah :

1. Memaksa PTS tidak menumpu pengedaran kepada pengedar terbesar itu.

2. Memaksa peminat-peminat buku PTS supaya menekan pengedar-pengedar itu supaya menjual buku-buku PTS dalam kedai buku mereka.



Friday, August 13, 2010

12+13=25

...Saat puasa terakhir bersama junior di Mesir...
(Malam itu, Ustaz Rasul pulang ke Malaysia)

SUDAH LAMA tidak masuk kelas matematik. Oleh sebab kantuk tidak menyebelahi, setelah jam di dinding menunjukkan angka 3, saya segera menulis satu perkara yang sejak malam tadi berlegar-legar di atas kepala.

Malam tadi saya mendengar ceramah haraki yang disampaikan oleh Ketua Pemuda PAS Negeri Kedah, Ustaz Ahmad bin Yahya. Sungguh saya gemar orang 'Kedah' berucap. Ada slanga yang susah hendak dijumpai oleh mana-mana penceramah.

Namun, bukan intipati ceramah itu yang ingin saya bicarakan tetapi lebih daripada itu saya terlalu berfikir panjang.

Ya! Tentang angka 12 dan 13.

Sepanjang dua belas tahun semenjak kelahiran, saya tinggal bersama ibu dan bapa. Kemudian, sejak menginjak ke angka 13 hingga 25 ini, saya tidak lagi tinggal sebumbung dengan mereka.

Bermula 12 Januari 1998, setelah saya diperkenalkan dengan SMA Kerajaan Johor Kluang selama 5 tahun, kemudian berpindah ke Maahad Johor, Johor Bahru selama 1 tahun. Kemudian berbaki 5 tahun di Mesir sebelum 1 tahun menetap di Kuala Lumpur @ Selangor.

Wah! Satu perjalanan yang panjang rupa-rupanya. Jikalau saya mengarang autobiografi barangkali sudah tiba di puncaknya.

Tiba-tiba ada resah di dalam diri. Ada rasa bersalah semenjak pulang dari Mesir. Mengapa saya tidak pulang dan berkhidmat di negeri sendiri? Mengapa saya tidak melunaskan tanggungjawab di negeri peribadi.

Mahu dibilang bahawa negeri Johor tiada peluang pekerjaan, amat-amat mustahil. Malah, saya fikir boleh sahaja saya berkhidmat di mana-mana sektor pekerjaan.

Lebih kurang seminggu yang lalu, saya bertukar pandangan dengan seorang senior saya di dalam kantung YM.

Saya beritahu beliau bahawa, saya tidak mahu jadi guru. Saya sudah ralit bersama pelajar peringkat bawah. Saya mahu berkhidmat di Politeknik atau Kolej Komuniti sahaja (mendidik pelajar kelas tinggi). Beliau pula memaklumkan bahawa ada dua buah MRSM akan di buka di negeri Johor.

Aduh! Saya belum berfikir untuk berkhidmat sebagai guru disebabkan saya sudah ralit menjadi guru. (walaupun sambilan)

Dan, sementelah setahun ini saya mahu cari jalan baru. Jalan yang akan membawa saya ke lorong yang lebih terang-benderang. Lorong kehidupan yang banyak ragamnya.

Barangkali saya adalah orang 'terpelajar'. Justeru, saya perlu sambung belajar. Perlu membawa segulung lagi ijazah baru.

Saya pernah bercita-cita membawa diri ke Oxford sehingga dua minggu lalu saya bertemu dengan seorang pensyarah (PhD) yang kini berada di United Kingdom dan memaklumkan bahawa ada tawaran dibuka untuk ke sana. Aduh! Saya mati akal sekali lagi.

Saya hubungi pihak pengurusan di Malaysia dan bertanyakan tentang hal ehwal itu. Ya! Benar. Ada pengajian di sana. Namun, yang lebih utama adalah penguasaan Bahasa Inggeris sebagai salah satu medium utama. Saya muncung semula....

Hari ini, setelah 25 tahun 1 minggu ini, saya mahu kembali kepada asal!

Apa jalan terbaik?

Wednesday, August 11, 2010

Terima Kasih Buat Teman





PERTEMUAN dan perpisahan itu adat. Kata-kata itu saya simpan dalam kotak ingatan. Setelah kami terpisah hampir setahun, (ketika saya menamatkan pengajian tahun lalu) akhirnya kami dipertemukan semula.

Kami dipertemukan dalam suasana damai. Kami dipertemukan dalam satu suasana yang kami tidak jangkakan. Berkat takdir dan ketentuan tarikh 8 Ogos kami bertemu.

Sungguh indah pertemuan itu. Biarpun hanya kami berempat tetapi bagai kami berlima belas (merujuk kepada kepimpinan PMRAM yang sentiasa ada 15 orang)

Tidak dirancang akan pertemuan itu. Saya hanya dimaklumkan beberapa hari sahaja. Walaupun begitu, insya-Allah seperti yang bakal direncanakan adalah perhimpunan besar-besaran kepimpinan PMRAM yang akan diadakan selepas hari raya nanti.

Insya-Allah dan doa sahaja dipanjatkan kepada Allah Taala agar misi dan cita-cita tersebut tercapai. Terima kasih kepada teman-teman yang memeriahkan hari lahir saya tahun ini.

Tambahan :

Bulan Ogos ini banyak peristiwa yang menarik dan bermakna dalam diri.

Hari Sabtu ini (14 Ogos) saya dijemput mempengerusikan Majlis Berbuka Puasa anjuran Islamic Relief Organization bersama anak-anak yatim di Kuala Lumpur.



Friday, August 06, 2010

Pengacara Karnival Belia




Pengacara Karnival Belia 2010
Perasmian oleh Exco Kerajaan Negeri Selangor

Hal Ehwal Editor

PERNAH BERGADUH?

Saya fikir saudara sekalian pernah bergaduh. Tentu. Waktu pejabat juga adalah waktu bergaduh. Namun, yang menyeronokkan adalah pergaduhan sesama editor adalah berkenaan dengan hal ehwal bahasa dan tatabahasa.

Si A menyatakan ayat ini betul. Si B menyatakan ayat itu salah. Masing-masing membawa idea masing-masing.

Wah....para karyawan PTS memang suka berdebat isu bahasa. Saya sangat suka dengan sikap masing-masing yang mahu pembangunan diri terhadap bahasa.

Sebenarnya tidak apa yang digaduhkan tetapi editor akan berdebat dalam keilmuan, saudara pula?

Tambahan :

Hujung minggu ini saya sibuk walaupun 8 Ogos akan tiba. Saya perlu menyelesaikan beberapa perkara penting terutamanya menjadi pengacara majlis bagi Majlis Hi-Tea dan Majlis Ihtifal Sekolah PASTI Gombak.

Selepas ini saya mahu buka tawaran kepada tuan-tuan untuk menjemput saya menjadi pengerusi dalam apa-apa acara.


Wednesday, August 04, 2010

Mahu Pulang Ke Jalan Asal

SUDAH masuk bulan Ogos. Ini bermakna sudah hampir setahun saya pulang ke Malaysia dan hampir setahun juga saya berkhidmat di PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Saya mahu kembali pulang ke jalan asal. Jalan yang membawa saya sampai ke destinasi ini. Saya mahu kembali mengarang sebuah cerpen, novel, dan puisi untuk dicurah kepada masyarakat.

Saya sudah jarang-jarang ke Dewan Bahasa dan Pustaka kerana 'position' hari ini memaksa saya menundakan hasrat itu.

Namun, apabila Pengurus Jabatan Jualan, Encik Zaharin Zain sudah memaklumkan bahawa Sasterawan Negara, A. Samad Said akan berhijrah ke PTS, saya jadi semangat kembali. Mahu duduk di dalam dunia saya yang asal.

Ini Bukan Dunia Saya! Membaca dan mengurus karya sains yang bukan aliran saya. Sudah banyak kali isu ini saya suarakan bersama-sama teman seperjuangan. Namun, saya ketahui bahawa mereka mahu meletakkan saya sebagai posisi kedua pentadbiran, maka saya masih kekal di sini- ya- menguruskan buku-buku sains.

Sebab itulah, saya mahu pulang dan kembali ke jalan asal.

Menghitung hari...menghitung hari...menjelang 8 Ogos...

Sunday, August 01, 2010

KARIB dan KEKAL



SAYA tidak pasti mahu meletakkan poster yang mana satu. Oleh itu, saya naikkan kedua-dua buah poster ini.

PMRAM adalah jantung hati saya, sementara AMAL adalah nadi kedua saya. Kedua-dua program ini berjalan hampir serentak.

Jikalau dahulu saya berkhidmat untuk PMRAM, kini saya berkhidmat untuk Kelab Belia AMAL Gombak.

Ke mana lagi selepas ini ya...

KAVER AKHBAR


ADA BEBERAPA SEBAB mengapa kita perlu mengisi kaver akhbar. Saya tidak berniat pun untuk mencari populariti walaupun saya sudah dimaklumkan bahawa berita saya ini akan diletakkan di muka hadapan akhbar.

Minggu ini mesej bertalu-talu masuk dalam telefon bimbit saya. Ada teman di negeri Johor, penulis sastera terkenal di Malaysia dan beberapa orang teman yang ternampak akhbar Mingguan Warta Perdana di seluruh Malaysia.

Saya memberitahu seorang teman bahawa saya tidak hairan apabila saya menjadi kaver akhbar kerana saya juga pernah masuk dalam akhbar Berita Harian (gaya bercakap ala-ala orang korporat besar).

Fikir saya, cerita yang dijual untuk kaver ini juga hanyalah sebuah cerita polos bagi mensensasikan akhbar.

Saya sebenarnya hanya menurut kehendak wartawan sahaja apabila ditanyakan beberapa soalan untuk ditemuramah bagi siaran akhbar ini.

Pada hemat saya, menjadi kaver akhbar tabloid tidak sama menjadi kaver akhbar perdana.

Tiada untung apa-apapun....