Kenali Diri

My photo
Johor Bahru, Johor, Malaysia
SYAFIQ ZULAKIFLI adalah graduan Universiti Al-Azhar, Kaherah,Mesir. Berasal dari negeri Johor Darul Takzim. B.A (Hons)Syariah, Al-Azhar (2009) Editor PTS Publication & Distributor Sdn Bhd(2010) Eksekutif Penyelidikan Editorial TVAlhijrah(2012)Penerbit Rancangan IKIMfm (Mulai 1 Mac 2012) Sebarang pertanyaan emelkan ke syafiqzulakifli @ gmail.com atau hubungi +6017 7346 946

Tuesday, May 29, 2007

Ada Apa Ye Tentang Exam?


"Kenapa soalan yang aku hafal tidak keluar?"

"Tamam ye ko? Mantap sei!"

"Amacam periksa. Ok ke?"

"Entahla ye... macam nak balik Malaysia je..."

Bukankah kalian biasa mendengar dialog-dialog di atas dipersembahkan di cuping telinga kalian? Sudah jemu atau menerimanya sebagai lumrah mahasiswa. Saya tertarik dengan beberapa senario yang berlaku semasa peperiksaan berlangsung. Tidak dinafikan saya juga pernah mengalami situasi yang sama dengan orang lain.

Sikap kecewa, tewas dan hampa sinonim dengan kertas peperiksaan. Bukankah kita telah berusaha? Namun, doa dan tawakal menggunung lebih perlu kerana disitu terletaknya keikhlasan kita dalam menghadapi ujian hidup di dunia ini.

Saya menguntum senyum untuk beberapa madah. Ada juga yang terpaksa mengerut dahi kerana letih dengan usaha yang belum berhasil untuk fasa satu iaitu selepas kertas peperiksaan dijawab. Mengapa tidak dapat menyempurnakan semua soalan dengan baik ye? Itulah getus hati yang sememangnya menguji minda.

Daripada hal lain, saya berfikir, jika baiknya soalan aku tahu lebih awal kan baik. Atau soalan-soalan sasaran ditembak dengan baik lantas jawapan yang dikemukan itu tadi mendatangkan hasil yang amat lumayan. Itu fikir saya sahaja.

Mana Lebih Bagus?

Kalau kalian diberi pilihan untuk menghadapi peperiksaan, soalan bagaimana yang saudara inginkan daripada pensyarah? Adakah (a) soalan yang tidak banyak anak-anaknya atau (b) soalan yang banyak anak-anaknya?

Jika kalian bertanya dengan saya, saya lebih suka seperti soalan (dalam gambar rajah di atas). Ianya tampak banyak sehingga penat jari telunjuk memandu ibu jari untuk menulis. Namun, ianya mendatangkan kebaikan kepada diri sendiri. Mengapa tidak? Soalan yang mempunyai banyak anak-anaknya lebih luas jawapannya untuk ditulis oleh calon. Oleh itu, besarlah harapan kita semua untuk memperoleh markah yang lebih daripada soalan yang terlalu pendek dan kurang anak-anaknya lantas menjerut leher kita apabila sesuatu yang dibaca itu tidak keluar di atas kertas peperiksaan.

Itu analogi ringkas saya. Peperiksaan masih lagi berjalan. Usai saya menglangsaikan kertas Hadis Ahkam, saya pulang ke kamar untuk menyudahkan tugas saya. Dan inilah hasilnya. Baik punya!


Sunday, May 27, 2007

Meracau Dalam Tangis

Minggu ini banyak tugasan saya kurang dapat laksanakan dengan baik. Mungkin sibuk menghadapi imtihan akhir semester tahun yang ketiga saya di perlembahan Nil atau sememangnya sudah tepu otak untuk berfikir akan sesuatu perkara.

Semester ini adalah semester yang paling mencabar minda. Bermula daripada kertas peperiksaan mengulang (takhalluf) serta kertas peperiksaan sebenar tahun tiga, ianya banyak membantutkan luhur hati saya.

Entah ya. Mungkin ada galau yang terus meracau minda. Tidak lupa pada tangan yang meraba-raba mencari jalan keluar selepas ini. Usai itu sahaja, saya akur bahawa saya masih ada banyak lagi madah yang perlu dikhatami.

Wednesday, May 16, 2007

Seteguh Kudrat-Mu Rabbi

Oleh : typeace

Jika anda ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah (LTAK) semalam, pastinya anda akan melihat gelagat seorang mahasiswa Malaysia yang tidak mahu meninggalkan bumi Mesir. Mungkin terlalu sayang atau rasa berat mengucapkan lambaian salam untuk semua pejuang Allah di bumi Mesir atau sekadar berlakon drama di LTAK. Ye lah, untuk membuat aksi semacam itu (lakonan semalam) bukannya mudah.

Saya pernah juga menonton aksi begitu di dalam drama "Penghujung Rindu" yang dilakoni oleh Sofea Jane dan Faizal Hussien satu masa dahulu. Saya beranggapan itu adalah episod drama yang tidak akan dapat lagi dilihat. Tetapi pandangan saya meleset. Drama itu dapat juga dilihat di dalam keadaan realiti apabila saya berada di perkarangan dewan berlepas LTAK.

Usai adegan drama itu, maka terbukulah sebuah memori di dalam lipatan sejarah Ustaz Muhammad bin Arshad selaku mantan badan pengurus PMRAM sesi 2005 dan 2006 yang menjadi 'musyrif' untuk seorang mahasiswa/wi kita pulang ke Malaysia.

Semalam, tiada airmata yang terjatuh di lantai. Suasana hiba walaupun terasa dapat dikawal di dalam keadaan aman. Saya rasa ada juga yang hendak mengalirkan airmata namun terpaksa akur dengan kegagahan pihak majlis pada malam tadi.

Apapun, airmata bukan kayu pengukur sebenar sebuah perpisahan. Apa yang lebih utama, tugas dan peranan yang perlu kita jalankan lebih parah dan lebih dahsyat daripada perpisahan itu. Terima kasih kepada Ustaz Muhammad bin Arshad yang banyak (baca: banyak giler sangat) membantu perjuangan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM). Kami semua mendoakan ustaz agar senantiasa di dalam redha Ilahi. Jangan lupa berkirim sms jika rindu datang bertamu. (hehehe..kes jiwang pulak ni!)

Lagu : Teriring Doa
Penyanyi : Sudirman

Bersama salam ku kirim
Teriring doa dan restu
Sepenuh kasih nan syahdu
Terimalah kasih ku

Sungguh pun jauh terpisah
Dihati dekat selalu
Kekasih usah gelisah...
Tenangkan lah hatimu

( korus )
Biarkan masa beredar
Hari pun berganti minggu
Hadapilah dengan sabar... Oh sayang ku
Kuatkan tekadmu intan
Tempuhi segala rintangan
Pastikan kita bertemu kau dan aku

( ulang korus )

Tuesday, May 15, 2007

Galau Yang Belum Diam

Oleh : tarbus_merah

Sebagai manusia biasa, semestinya kita terpaksa banyak berfikir. Misalnya amat mudah. Mahukan kejayaan di dalam peperiksaan, hendak menukar telefon bimbit baru, teringin menikmati juadah negara sendiri dan lain-lain lagi.


Kaya jadi angan-angan. Bertakhta ingin digapai. Tapi semua itu bukan mudah. Hendak seribu daya, tak nak seribu dalih. Pepatah melayu yang lembut lidah dari bibir. Ringkasnya, dua hari saya merapu mencari maksud diri. Tidak faham lagi sehingga kini. Duduk tidak diam. Tangan meraba-raba meng ‘klik’ tetikus mencari intipati duniawi.


Itu semua seakan-akan sebuah khayalan. Bermula daripada intisari Maahad Tahfiz, meninjau perkembangan dunia seputar, menembusi medan penulisan Azizi Hj Abdullah, itu semua rencam biasa. Tidak salah bukan, kalau kita mengetik deras laman blog Amiza Khusyri Yusof, Nisah Hj Haron, Faisal Tehrani berhari-hari.


Itulah saya. Mungkin terlampau ghairah untuk hidup. Perantauan yang menggamit usia yang terlalu singkat. Tapi mampukah semua itu diukur dengan imtihan yang sedang ditempuh kini. Mungkinkah sudah jelek menyelak lembaran muka surat buku di tangan sendiri. Atau sudah malas menuai ilmu di dalam diri.


Ah!


Jari jemari masih lagi laju menghayunkan langkahnya. Masih tidak boleh berhenti. Maafkan saya. Saudara A.Ubaidillah Alias sudah bertamu di Perlembahan Nil ini. Saya ingin beransur dahulu.


Friday, May 11, 2007

Promosi

Sebuah album berkonsep dari inteam yang bertemakan kehidupan sejak lahir hingga ke saat-saat kematian kini telah berada di pasaran. Album yang memuatkan bacaan Al-Quran oleh Inteam, Zikir dan Doa secara acapella, bacaan madah dan sketsa ini turut memuatkan tujuh buah lagu baru dan lama yang dirakam semula. Album ini turut menampilkan saudara Hisyam Ahmad yang pernah menganggotai Inteam suatu masa dahulu dalam empat buah lagu. Album Inteam kali ini lebih memfokuskan kepada konsep muzik tradisional, walaubagaimanapun turut memuatkan nasyid yang berkonsep pop dan ballad. Dapatkan segera album yang unik ini dengan harga yang sangat berpatutan. !!!

Dapatkan CD lagu terbaru inteam, Nur Insani sekarang!!!

Terdapat juga di Mesir. Hanya di Pejabat PMRAM - LE35.00

Kami Punya Kreadibiti

(Sebuah catatan diari berbentuk cerpen)

Riuh dewan pada malam itu. Ada yang datang dari Shoubra, Tanta, Mansurah. Tidak ketinggalan mereka yang datang dari luar negeri Johor. Ruang legar Asrama Wilayah Pembangunan Iskandar jadi sesak. Sunyi.


“Majlis menjemput dan mempersilakan Dato’ Haji Harman bin Salim diiringi oleh Yang Dipertua Persatuan Anak-Anak Johor Mesir untuk mengambil tempat di atas pentas.” Pengerusi majlis nampak segak pada malam itu. Ada lesung pipit yang masih tersimpan sebelum majlis dimulakan.


Seketika itu, semua hadirin menanti amanat utama daripada tetamu jemputan. Bukan apa, tetamu daripada wakil negara jarang-jarang mengisi kekosongan untuk berucap di ruang pembesar suara asrama itu.


“Peluang ini kita kena gunakan dengan sebaiknya. Catat. Pastikan ada sesuatu yang kita dapat.”


Aizat memandang Dafi dengan panahan tajam. Ada sesuatu maksud yang ingin disampaikan. Mungkin berpesan kepada sahabatnya. Tidak salah.


Seusai Yang Dipertua mewakili pihak persatuan berucap, tetamu jemputan itu diberikan ruang untuk berbicara.


“Majlis menjemput dan mempersilakan Dato’ Haji Harman bin Salim, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor untuk menyampaikan ucapan dan amanat.”


Senyap seketika. Jeda. Dato’ membetulkan pembesar suara yang kurang selesa untuk diucapkan. Semua hadirin nampak bersungguh-sungguh. Maklumlah, ada amanat yang perlu disampaikan.


“Saya mahu para pelajar agar tidak membazirkan masa ketika belajar. Peluang yang saudara dan saudari dapat ke sini perlu dibalas dengan usaha dan belajar bersungguh-sungguh.”


Amanat itu didengar dan dicatat. Sebagai pendengar, bukan mudah untuk menjadi pendengar yang baik. Mungkin tidak semua orang boleh lakukan. Membesarkan telinga yang kecil serta menyimpan memori-memori amanah itu terapit kemas di kotak saku pemikiran.


“Ucapan Dato’ semakin lama semakin berubah. Daripada nada bawah boleh berginjak ke nada tinggi. Mungkin ucapan ini perlu disampaikan dengan lebih baik lagi.” Getus Dafi di dalam hati.


Entah. Ruang dewan dan majlis nampak suram. Ada tamparan diberi.


“Pastikan pulang nanti bawa kecemerlangan yang hakiki. Jangan jadi sampah masyarakat. Orang hantar jauh-jauh belajar. Kitab masih tersimpan di dalam almari besi bilik. Buang sahaja kalau tidak mahu baca.”


Dafi menoleh ke arah Aizat pula kali ini. Wajah tercengang. Seakan-akan amanah yang disampaikan terlampau menyengat. Aizat mengangkat keningnya sedikit. Tanda menerima apa yang didengari.


Usai majlis itu, ruang dewan gamat seketika. Ada yang terus keluar meninggalkan majlis. Ada pula yang ke tandas menunaikan hajat masing-masing.


“Ala. Dato’ boleh la cakap begitu. Dato’ tak duduk ditempat kita.” Perbualan Aizat dan Dafi bermula selepas majlis tamat.


“Kita perlu sedar, sebagai mahasiswa Al-Azhar kita ada kreadibiliti. Kita sudah lakukan yang terbaik. Jangan cepat mengalah. Kita dah banyak buktikan pada negara. Kita orang pandai. Bukan calang-calang orang datang ke sini.” Aizat mula menasihatkan Dafi yang dalam kemarahan.


“Bukan apa. Aku tak fahamlah. Kalau semua orang nak rendahkan martabat kita. Habis tu siapa kita sebenarnya.”


“Asrama terbakar!”


Semua yang berada di dalam dewan meninggalkan dewan serta-merta.


-Tamat-

(Sekadar Berpesan-Pesan Pada Kebenaran)


Wednesday, May 09, 2007

Moral Di Dalam Seni Bina

Apakah ada nilai di sebalik sebuah seni bina bangunan?

Seni bina yang baik diperoleh daripada arkitek yang menarik

Oleh : tarbus_merah


Eugene Johnson di dalam The Encylopedia Americana menjelaskan seni (art) sebagai kemahiran, misalnya seni pertukangan yang membawa erti sebagai kemahiran ukiran dan pertukangan. Dari segi istilah ilmu kebudayaan pula, ia membawa erti sebagai segala sesuatu yang indah. Keindahan yang dapat menggerakkan jiwa, kemesraan, menimbulkan keharuan, ketakjuban, kesenangan, atau sebaliknya. (Tamadun Islam : Mustafa Haji Daud)


Namun, bukanlah itu yang saya ingin pamerkan kepada kalian. Usai saya menonton satu klip dokumentari berkenaan pembinaan Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur (KLCC) ada sesuatu yang ingin saya kongsikan bersama.


Disebalik perancangan yang tersusun oleh arkitek pembinaan bangunan pencakar langit itu tadi, banyak nilai-nilai moral yang boleh kita perolehi. Di antara nilai-nilai tersebut adalah :-

1. Persaingan

Dua orang arkitek yang membina menara berkembar itu, saling menyaingi di dalam membina bangunan pencakar langit itu. Seorang membina bangunan pertama dan seorang lagi gagah membina bangunan kedua. Namun, kecekapan dan kepantasan mereka tidak dapat diukur dengan selaju mana mereka bangunkan, tetapi sekukuh mana bangunan itu berdiri hingga ke hari ini.

2. Sabar

Apabila menemui beberapa permasalahan di dalam membina bangunan itu tadi, sikap sabar telah berjaya diterbitkan oleh arkitek itu tadi. Syabas! Saya meninjau daripada beberapa aspek. Pertama, apabila bangunan yang dibina tidak dapat berdiri kukuh kerana tanah yang kurang sesuai, namun jalan penyelesaian dapat dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Kedua, apabila hujan mula turun dan simen cerucuk belum kering dan dalam keadaan baik, jurutera terpaksa melunaskan satu lagi idea pemikiran dengan tangkas.

3. Bijak dan kreatif.

4. Tidak mudah mengalah.

p/s : Tahniah juga kepada Tun. Banyak juga jasa yang masih belum terbalas.

Tuesday, May 08, 2007

Wang Zakat : Ke mana haluannya?

Oleh : tarbus_merah

Menurut asnaf yang lapan, golongan ibnu sabil (orang-orang musafir) dikategorikan sebagai golongan yang layak menerima zakat bersandarkan firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya sedekah – sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, amil-amil yang mengurusnya, orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan diri, orang-orang yang berhutang, untuk dibelanjakan pada jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan, ialah sebagai satu ketetapan daripada Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (At-Taubah :60)


Namun disebalik penyerahan serta pengagihan wang zakat kepada golongan yang menerimanya, kewujudan segelintir penerima yang tidak menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan sempurna. Ianya termasuklah membazirkan ke arah kemaksiatan, menggunakan wang tersebut untuk membeli keperluan yang tidak sepatutnya dan menjadikan wang zakat sebagai sebuah pemilikan tunggal tanpa menghiraukan golongan-golongan yang lebih rendah pendapatannya daripada si penerima sendiri.


Pernahkah kita terfikir, mengapa Allah s.w.t. meletakkan golongan yang keluar atau bermusafir serta mereka yang dikategorikan sebagai melaksanakan tanggungjawab seperti berjuang di jalan Allah (menuntut ilmu) diberikan kelebihan untuk mendapat zakat?


(Ada satu perenggan mengkritik yang saya terpaksa buang; maksudnya saya tidak gemar ia di baca di khalayak)


Wajarkah kita bermasam muka semata-mata ingin memastikan wang zakat yang kita peroleh tidak boleh dimegah-megahkan? Tanggungjawab dan amanah ini wajar dilaksanakan dengan sebaiknya. Mengapa tidak, kita membantu sahabat-sahabat kita yang di dalam kesusahan. Mengapa tidak juga, kita membantu ke arah menginfakkan wang tersebut ke jalan Allah seperti mewakafkan 2% daripadanya semata-mata untuk mendapatkan pembelian Dana Syaqah Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir.


Inilah dasar pemikiran yang wajar kita fikirkan bersama agar suatu masa nanti kita tidak ditanya di hadapan Allah, ke mana haluan wang zakat kita. Bukan saya ingin membuka pekong di dada. Sekadar berfikir.


typeace : Den pun timo jugo… (dialek Negeri Sembilan)

Saturday, May 05, 2007

Hal Ehwal Peperiksaan

Tekanan! Pernahkah anda menghadapinya?

Peperiksaan merupakan asas kepada sebuah kecemerlangan. Namun, bukanlah hanya menduduki peperiksaan itu tahap keintelektualan seseorang itu diukur. Orang yang tidak bijak (baca: bodoh) pun boleh berjaya dengan cemerlang jika mereka membaca dengan tekun lantas menjawab dengan cermat soalan peperiksaan yang diajukan di dalam peperiksaan. Sedangkan golongan yang menganggap diri mereka pandai kekadang tidak berjaya kerana kealpaan diri mereka di dalam menjawab kertas dan soalan peperiksaan. Justeru, apakah kita akan bermegah dengan sijil dan keputusan yang diperoleh walhal hasil nilai itu hanya sekangkang kera.

Apabila bercerita tentang peperiksaan, semua orang akan berfikir untuk berjaya. Mustahil ada di antara kita yang mengharapkan sebuah kegagalan lantas bermegah untuk menikmati hasil kegagalan. Kejayaan akan datang hasil daripada sebuah usaha yang berterusan. Kegagalan pula akan timbul tanpa ada tanggungjawab yang mendesak di dalam diri. Walaubagaimanapun, senario hari ini menampakkan kita seolah-olah sedang dilanda angan-angan kejayaan kerana keterbatasan yang dijadualkan oleh kita sendiri.

Mengapa saya berkata demikian? Mari kita lihat senario hari ini yang berlaku. Belajar - 2.00 petang hingga 3.00 petang (aik! 1 jam je) Kemudian main game/ melayari internet campur sedikit berangan hingga ke asar. Selalunya, selepas Asar adalah waktu untuk melepaskan rindu dan berbual-bual dengan rakan sebaya sehingga ke Maghrib. Seusai menunaikan solat Maghrib, ruang membaca al-Quran dan mengulangnya ada di sana. Tahniah buat diri kita. Kemudian, selepas waktu Isyak masa kita hanya berbaki 2 jam untuk mentelaah buku. (Baca : itupun tak masuk berangan dan berkhayal.) Waktu paling seronok adalah waktu malam. Rata-rata beranggapan hendak stay (berjaga malam) namun si Hasut lebih baik daripada kita. Lena dibuai mimpi yang kita akan kejar selepas itu. Aduh! tidur lagi aku. Dan angan-angan kita selepas waktu Subuh hendak mengulangkaji kekadang terlepas apabila si mata berkata. "Aku Mengantuk." Dan akhirnya, terlajak hingga ke Zuhur.

Itu senario biasa. Ada di antara kita, (baca: termasuk saya) kekadang menghadapi perkara yang sama. Justeru, siapa yang akan kita persalahkan? Adakah si mata yang tidak dapat berjaga? Atau, si nafsu yang hendak rehat sahaja? Atau, atau, dan atau. Tepuk dada tanya diri.

p/s : Saya juga tidak sehebat anda. Mari sama-sama muhasabah diri.