Kenali Diri

My photo
Johor Bahru, Johor, Malaysia
SYAFIQ ZULAKIFLI adalah graduan Universiti Al-Azhar, Kaherah,Mesir. Berasal dari negeri Johor Darul Takzim. B.A (Hons)Syariah, Al-Azhar (2009) Editor PTS Publication & Distributor Sdn Bhd(2010) Eksekutif Penyelidikan Editorial TVAlhijrah(2012)Penerbit Rancangan IKIMfm (Mulai 1 Mac 2012) Sebarang pertanyaan emelkan ke syafiqzulakifli @ gmail.com atau hubungi +6017 7346 946

Monday, December 29, 2008

BANDAR GAZA : Kita Jua Harus Tahu


SUMBER : Utusan Online


GAZA TERUS BERMANDI DARAH

BANDAR GAZA 29 Dis. – Jet-jet pejuang Israel mengebom kedudukan Hamas di Genting Gaza buat hari ketiga berturut-turut hari ini menyebabkan tujuh orang terbunuh, termasuk kanak-kanak.

Antara mangsa yang terkorban awal hari ini ialah empat kanak-kanak perempuan berusia antara setahun hingga 12 tahun daripada sebuah keluarga.

Mereka terbunuh dalam serangan udara ke atas sebuah masjid dekat rumah mereka di pekan Jabaliya, utara Gaza, manakala dua budak lelaki terbunuh dalam satu serangan di bandar Rafah, selatan wilayah ini.

Jet-jet pejuang Israel mensasarkan rumah Komander Kanan sayap bersenjata Hamas, Briged Izz el-Deen al-Qassam, Maher Zaqout, tetapi beliau terselamat kerana tidak berada di rumah itu ketika serangan tersebut.

Rejim Yahudi itu terus memekakkan telinga terhadap desakan dunia supaya rejim zionis itu menghentikan keganasan di semenanjung itu.

Sewaktu kereta kebal dan meriam Israel berkumpul di sempadan Gaza sebagai persiapan untuk melancarkan serangan darat, pesawat perang melancarkan puluhan serangan di wilayah yang padat dengan penduduk di wilayah itu, awal hari ini.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon mengulangi gesaannya supaya keganasan itu dihentikan segera dan mendesak Israel membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan ke wilayah yang mengalami sekatan sejak Hamas menguasai wilayah itu pada Jun 2007.

“Beliau sekali lagi mendesak supaya segala tindakan keganasan dihentikan segera,” kata jurucakap Ki-moon.

Operasi ‘Cast Lead’ tentera Israel yang dilancarkan kelmarin telah pun membunuh 310 rakyat Palestin termasuk puluhan penduduk awam dan mencederakan lebih 1,400 lagi, menurut pasukan perubatan Gaza.

Hamas membidas masyarakat antarabangsa kerana tidak mengambil tindakan tegas untuk menghentikan keganasan Israel itu.

“Israel melakukan holocaust, sementara dunia hanya memerhati dan tidak berbuat apa-apa untuk menghentikannya,” kata jurucakap Hamas, Fawzi Barhum.

Sementara itu, para pemimpin dunia terus mengutuk serangan Israel di Genting Gaza.

Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono menyifatkan apa yang berlaku di Genting Gaza sebagai satu ironi kerana serangan dan pembunuhan penduduk Palestin dilakukan di ambang umat Islam menyambut ketibaan Maal Hijrah.
Naib Perdana Menteri China, Li Kegiang turut mengecam serangan Israel itu.

Beliau berkata, China terkejut dan sangat khuatir dengan operasi ketenteraan di Genting Gaza yang telah mengorbankan banyak jiwa dan ramai yang cedera.

– AFP

Imtihan

JADUAL peperiksaan semester pertama bagi Fakulti Syariah dan Undang-Undang tahun empat telah keluar. Oleh yang demikian, sukalah dinyatakan bahawa 'blog' ini bakal bersawang dalam beberapa masa yang terhampir.

Berikut adalah jadual bagi Syariah Tahun 4, Kaherah.

10 Januari 2009
TAFSIR AYAT AHKAM (*kertas Tahun 3)

15 Januari 2009
TAFSIR AYAT AHKAM

19 Januari 2009
BAHASA ARAB (ADAB NUSUS DAN BALAGHAH)

22 Januari 2009
BAHASA INGGERIS

26 Januari 2009
BAHAS QAWAID FEQH

29 Januari 2009
QAWAID FEQH

Doakan dimudahkan untuk menghadapi peperiksaan bagi kertas-kertas tersebut.


Wednesday, December 24, 2008

Diari Ringkas Sebelum Peperiksaan

1. Peperiksaan sudah hampir tetapi jadual belum lagi keluar. Tertekan.
2. Ada enam kertas peperiksaan saya akan duduki. Doakan.
3. Kucing sudah mati. Sedih dan kesian.

19 Disember 2008
Kematian menyayat hati. Kucing telah mati dilanggar Pajero. Yang tinggal hanyalah anak.

20 Disember 2008
Ziarah Makam Imam Syafie
Mengkuburkan kucing yang telah mati
Ziarah Makam-Makam Ulama
Lawatan ke Al-Azhar Park
Mengelilingi Sungai Nil
Santap di Pusat Membeli Belah, Stars City

22 Disember 2008 - 23 Disember 2008

Perjalanan ke Pelabuhan Safaga selama 7 jam untuk mengambil jemaah haji PMRAM. Alhamdulillah semuanya selamat seperti sediakala.

Kaherah - Safaga - Kaherah.

Catatan ini catatan ringkas kerana saya tidak sempat upload gambar.

CERPEN : TUAN, INI UNTUK KAMU

CERPEN TERBAHARU
TUAN, INI UNTUK KAMU

Oleh Syafiq Zulakifli
(http://typeace.blogspot.com)

INI tugas saya. Mencatat, menulis dan mempromosikan hasil tulisan di dalam akhbar Al-Ahram. Semenjak diterima masuk ke dalam dunia kewartawanan, saya tidak pernah kecewa dengan tugas seperti ini. Pagi; keluar seawal Subuh untuk mendapatkan berita-berita panas dan sensasi kiranya dan dimuatkan di dalam akhbar syarikat milik Tuan Fareed pada keesokkan harinya. Malam pula pulang selewat jam satu pagi ke rumah. Tentu teman serumah sudah mengerti tugas saya seperti ini sehari-hari.

Sebagai sebuah pengarang akhbar ‘panas’ di bandar Kaherah, liputan saya semestinya tidak harus sama dengan liputan yang dikendalikan dan diterbitkan oleh akhbar-akhbar lain. Itu harapan daripada Tuan Fareed sendiri. Beliau mahukan berita yang lain daripada yang lain. Cerewet.

“Mohamed Eidil, berita panas apa hari ini?”

“Belum ada lagi Tuan.”

Setiap hari Tuan Fareed, ketua pengarang kanan akhbar Al-Ahram akan bertanyakan kepada saya akan berita apa yang bakal dimuatkan di muka hadapan nanti.

Saya cepat-cepat mencapai buku nota kecil dan pena yang tidak tersusun kemas di atas meja pejabat. Hari ini saya ditugaskan menghadiri sidang akhbar dua orang pemimpin kanan dunia. Seorang wakil daripada negara Iraq dan seorang lagi pemimpin kanan Amerika Syarikat.

Barangkali semenjak kehadiran kedua-dua pemimpin utama negara itu ke sini, saya langsung tidak berpeluang untuk duduk mencatat di hadapan mereka. Tetapi, selepas ruang ini ditugaskan kepada saya, segera saya mengambil tanggungjawab tersebut.

Deringan muzik lagu Biladi nyanyian Amir Diab berkumandang. Saya mendapatkan telefon bimbit yang tersimpan di dalam saku kecil seluar. “Tuan Fareed, saya di dalam perjalanan ke bangunan Opera House.”

“Baik! Segera!” Itu sahaja kalam yang sempat diucapkan oleh bos saya pagi itu.

Sewaktu tiba di lobi Opera House, saya menjeling-jeling ke arah segerombolan pasukan wartawan yang sudah bersiap-siap di luar. Segera saya memberi salam dan bertanya, “Sudah bermula majlis?” “Belum.”

Fahamlah saya bahawa pemimpin-pemimpin utama tersebut masih lagi belum tiba di perkarangan dewan ketika itu. Langsung saya terus sahaja berpusing-pusing mengitari seluruh kawasan Opera House itu. Barangkali bangunan ini juga boleh dijadikan tajuk-tajuk rencana yang boleh saya muatkan di dalam akhbar pojok saya itu nanti.

Kurang lima belas minit kemudian, siren polis bergema memenuhi ruang udara bangunan. Saya melihat ramai orang berpusu-pusu menuju ke dalam Dewan Utama Al-Husaini untuk mendengar sidang akhbar itu. Cepat-cepat saya menuju ke dalam ruang dewan itu. Takut nanti sesak dengan wartawan-wartawan yang lain.

Dewan berhawa dingin dengan suhu seakan-akan bawah daripada sepuluh darjah celcius menjamah-jamah kulit saya. Sejuk. Mujurlah saya memakai ves tebal hari ini.

Saya mencapai sebuah kerusi di hadapan. Yang duduk di sebelah adalah seorang wartawan muda daripada akhbar senegara saya kira. Di hadapan saya ramai lagi wartawan yang entah daripada negara mana pun saya tidak ketahui.

“Dari akhbar mana?”

“Al-Baghdadi.” Jawabnya ringkas.

Tahulah saya bahawa orang yang duduk di sebelah adalah seorang wartawan daripada negara pemimpin yang akan menyampaikan sidang akhbar itu sebentar lagi. Saya tiba-tiba menjadi peramah. Yang sempat saya tanya, sudah berapa lama menjadi wartawan? Sudah berapa lama menjadi penulis? Dan, bermacam-macam lagi soalan yang terpacul daripada mulut saya.

Entah di mana silap pertanyaan saya, ada beberapa soalan yang tidak dijawab. Saya pun tiba-tiba tersipu-sipu malu mendiamkan diri.

Di hadapan saya, masuk dua orang pemimpin utama negara. Pengerusi memperkenalkan kedua-dua orang tokoh. Di sebelah kanan, Perdana Menteri Iraq yang merupakan ketua kerajaan kepada wartawan yang berada di sebelah saya ini. Dan, seorang lagi; seorang pemimpin utama dunia yang terkenal iaitu Setiausaha Negara Amerika Syarikat. Semua yang sedang duduk di dalam dewan tersebut memberi tepukan gemuruh kepada kedua-dua pemimpin itu tatkala mereka memasuki ruang dewan tersebut.

Pengerusi majlis yang berbahasa Inggeris itu mempersilakan Perdana Menteri Iraq menyampaikan amanat dan ucapannya. Selepas mengucapkan salam dan memberikan ucapan pendahuluan, beliau mengungkapkan dengan nada marah bahawa negara Iraq kini sudah kecewa dengan sikap dunia Islam yang langsung tidak pernah memahami keperitan dan penderitaan. Bermandikan darah, berselimutkan daging-daging manusia yang entah bila akan tamat pun, tidak diketahui.

Saya terkejut dengan kenyataan tersebut. Dengan pantas, saya segera mencatat. Sesekali, saya teringatkan peristiwa-peristiwa benar yang berlaku ke atas dunia-dunia Islam. Afghanistan, Iran, Palestin dan bermacam-macam lagi peristiwa pedih yang pernah di alami oleh mereka, tiba-tiba saya mengingati semula akan peristiwa itu. Pernah satu masa, saya mencatat sebuah makalah tentang penderitaan rakyat Palestin yang inginkan kebebasan, kedamaian apatah lagi pembangunan seperti negara-negara maju yang lain.

Perdana Menteri itu berkata lagi, terpulanglah kepada Amerika Syarikat untuk membuat apa-apa lagi selepas ini. Yang mereka tahu hanyalah, berdoa kepada Allah, agar satu masa nanti orang-orang Yahudi ini akan kembali mempasak sebuah janji untuk berdamai dan bersatu tanpa persengketaan lagi.

Ada senyum kecil yang tergantung di sebalik riak wajah Setiausaha Negara Amerika Syarikat itu. Ketahuilah benar bahawa ada harapan yang besar seharusnya dikembalikan nanti semasa beliau akan mengambil bahagian untuk berucap.

Sesekali, Perdana Menteri Iraq itu menitis airmata. Ada kekecewaan yang terpamer dan membekas dingin di dalam jiwa dan sanubari. Saya masih gagah memegang sebuah pena dengan buku catatan yang sudah dipenuhi lebih daripada tiga muka surat.

Saya tiba-tiba teringat kepada Yasser yang ditemuramah minggu lalu. Seorang anak muda yang bekerja di bandar Kaherah berasal daripada Palestin. Saya bertemu dengannya tatkala melihat dia mundar-mandir di seberang Sungai Nil menghala ke bandar Tahrir.

“Aku masuk melalui sempadan Gaza. Mujurlah aku masih boleh menapak sehingga ke bandar ini. Aku amat takut sebenarnya, tetapi apakan daya, di sana tiada lagi kehidupan yang terbaik buat diriku. Yang aku dengar hanya bunyi das tembakan yang memecahkan gegendang telinga ini sahaja. Aku amat takut!”

Katanya lagi, “Beberapa minggu kami bergelap kerana bekalan elektrik terputus. Itu semua gara-gara Yahudi laknatullah yang tidak pernah senang dengan kehidupan kami ini.”

Saya memegang erat tangannya. Saya masih lagi setia mendengar luahan ceritanya itu. Dia masih lagi mahu terus bersuara dan bersuara.

“Semenjak Israel menjajah Palestin semenjak tahun 1967, mereka berusaha menghalang kami daripada melakukan apa-apa sahaja. Mereka menghalang kami mendapatkan air, mereka membuat kami bagai sampah yang paling jijik di atas muka bumi ini. Ini bukan tanah mereka. Ini tanah Allah!” Jeritnya dalam hati.

Saya menyangka dia amat marah dengan kehidupannya yang diperlaku seperti anjing liar di perbatasan. Saya mengerti akan darah dendam yang terbuku di dalam hatinya.

Tiba-tiba saya mendengar tepukan gemuruh yang amat kuat. Oh! Benarlah kini tiba giliran pemimpin yang hadir mewakili negara Amerika Syarikat itu akan berucap pula.

Saya cepat-cepat menyudahkan catatan-catatan yang masih tertinggal. Muka baru. Lembar buku catatan ditujukan ke muka yang baru. Kali ini saya akan mencatat beberapa kalam yang akan diucapkan oleh pemimpin itu.

Beberapa kali pemimpin itu mendapat tepukan yang gemuruh. Saya memasang telinga dalam-dalam. Segera saya mencatat. Entah di mana eloknya tutur bahasa dan kalamnya juga saya tidak mengerti. Yang saya fikir, pemimpin ini hanyalah seorang yang riak dan ego semata-mata meraih kegembiraan dan kepuasan sebagai seorang pemimpin yang terhandal konon-kononnya di dalam dunia ini dan mampu melakukan apa sahaja kehendak dan keinginannya.

Saya memegang pena dengan kuat. Kali ini saya cukup terasa apa yang telah dilakukan ke atas Yasser dan teman-teman. Kali ini saya cukup bengang dengan perkara yang telah terjadi kepada Palestin, Iraq, Afghanistan dan negara-negara Islam sendiri. Negara saya sendiri Mesir pernah berkali-kali diratah. Namun, mujurlah Tuhan masih memelihara.

Tanggapan saya, Amerika dan Israel amat takut menjadi Firaun kedua di bumi Mesir ini. Dan, barangkali juga puak Ikhwan Muslimin, sebuah gerakan politik Islam di bumi Mesir ini amat ditakuti oleh bangsa-banga seperti Amerika dan Israel itu. Mengapa tidak, setiap kali usai menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Azhar, puak-puak ini juga yang melaungkan kalimah jihad untuk menentang Amerika dan Israel. Yang saya pasti, mereka bercita-cita mahukan Yahudi ditarah dengan adil dan saksama sebagaimana kejamnya mereka terhadap dunia Islam.

Tidak silap saya, ketika membuat liputan baru-baru ini di dalam Universiti Al-Azhar, Kaherah; salah sebuah universiti tertua di dunia, saya telah melihat betapa bendera Israel dan Amerika yang dilakar di atas jalan tar universiti tersebut telah dipijak-pijak oleh sebahagian besar mahasiswa yang setiap kali akan memasuki perkarangan universiti itu. Sungguh benar, umat Islam semuanya amat berang dengan tingkah laku kejam pemimpin negara itu.

Saya memerhatikan lagi pemimpin itu berucap dengan pena yang masih berdiri di tangan kanan. Setiap bicaranya saya catat dengan sesekali darah panas menyelinap di dalam diri. Wartawan Baghdad yang duduk di sebelah lebih-lebih lagi memberikan tumpuan yang tidak sepicing pun boleh menggugurkan kalimah dan patah huruf yang diucapkan oleh pemimpin itu.

Saya melihat udara sejuk yang berkedap di dalam dewan itu tiba-tiba membahang. Entah mengapa bahang itu meresap di dalam diri. Saya memerhatikan pemimpin itu dengan mata yang tajam. Kasut yang saya sedang pakai saya tanggalkan. Dengan genggaman yang kuat, saya lempar kasut yang saya pakai itu mengenai pemimpin yang sedang berucap dengan mulut saya mengungkap kata, “Tuan, ini untuk kamu.”

Kasut itu sempat dielak oleh pemimpin itu. Saya amat tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku. Marah makin menjadi-jadi. Tiba-tiba suasana dewan hingar seketika. Tanpa mengambil masa yang panjang saya menanggalkan sebuah lagi kasut saya di sebelah kiri lantas melemparkannya dengan jeritan di mulut, “Ini adalah daripada balu-balu, anak yatim dan mereka yang terbunuh selama ini. Kau memang jahat!”

Saya menjadi geram yang amat. Saya meninggalkan dewan secara tiba-tiba dan keluar melulu ke arah pintu utama. Yang sempat saya lihat, saya dikepung oleh pihak-pihak berkuasa yang tidak kenali.

Saya cuba mempertahankan apa yang dilakukan. Mereka dengan kejam mengheret ke sebuah bilik kedap yang tidak berpenghuni. Entah di mana saya tidak ingat. Mereka marahkan saya. Berulang-ulang kali mereka tanyakan mengapa saya bertindak sebegitu kejam.

Dengan perasaan dendam yang amat, saya katakan bahawa saya tidak kejam. Mereka lagi kejam. Mereka menghancurkan dunia Islam dan mereka sepatutnya dihukum.

Entah berapa kali saya ditampar pun, saya tidak ingat. Sakit yang amat. Saya jerit sekuat-kuatnya. Sakit! Sakit! Sakit!

Tuan Fareed berdiri di hadapan saya. Saya memerhatikan kawasan sekeliling. Komputer pejabat masih berada di atas meja pejabat.

“Mohamed Eidil, sudah pergi buat liputan atau belum hari ini?”

Saya yang tersipu-sipu malu menghalakan perjalanan saya seperti biasa untuk membuat liputan seperti hari-hari yang lain.


Tuesday, December 16, 2008

Catatan Sebelum Peperiksaan (Musim Sejuk)

Percutian yang panjang. Air ini bukan milik saya. Sengaja melaram!

Apabila masa 24 jam kita gunakan dengan sebaiknya, di situ pelbagai kelebihan kita akan dapat. Pertama, dapat menunaikan amanah selaku hamba-Nya dengan sebaik-baiknya. Kedua, dapat belajar dan membaca buku dengan tekun dan berwawasan. Ketiga, dapat membahagikan masa untuk bersantai dan berceritera dengan rakan-rakan lama di alam maya.

Berbicara berkenaan rakan-rakan lama, tentu banyak boleh diceritakan. Tahun ini rupanya saya sudah 10 tahun mengenali kawan-kawan saya di Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor, Kluang. Semenjak tahun 1998 (semasa tingkatan 1), dan kini sudah pun penghujung tahun 2008.
Masing-masing sudah berkerjaya. Pertama, ada yang sudah duduk di pentadbiran kerajaan.

Kedua, ada yang sudah duduk di bilik berhawa dingin pusat-pusat pentadbiran swasta. Ketiga, ada yang sudah bekerja di bank-bank dan macam-macam lagi. Ketika bersembang dengan kawan-kawan; dan sesekali bercerita dengan bekas anak murid sekolah (yang pernah saya didik) banyak yang saya peroleh.

Pertama, apabila bercerita soal hala tuju kehidupan pada masa akan datang. Sebanyak-banyak saya mengungkapkan bahawa saya mahu menjadi seorang editor, seorang pakar bahasa, seorang penulis dan bermacam-macam lagi. Sungguh menjadi taajub kepada kawan-kawan.
Seorang mahasiswa yang akan bergraduan sebagai mahasiswa Universiti Al-Azhar, Mesir berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah, yang hanya dibayangi sebagai seorang ustaz sahaja lantas menyatakan akan menjadi seorang yang di luar bidang pendidikan.

Benar! Barangkali istilah lepasan Al-Azhar sebagai seorang ustaz sudah tidak perlu diulang-ulang lagi. Metod sudah berubah. Dunia kini juga sudah berubah. Apa salahnya orang-orang semacam kami ini berada di dalam lapangan lain pula.

Sebab itu, apabila kawan-kawan ada yang menyatakan peluang dan ruang untuk berkhidmat di Malaysia semacam ada halangan, saya menafikannya. Saya juga menyetujui apa yang diperkatakan oleh TYT Datuk Duta, Datuk Zainal Abidin Ab Kadir dengan menyatakan bahawa, mahasiswa kita di Mesir tidak ada halangan sebenarnya ketika pulang ke Malaysia. Yang penting, mahu tidak mahu sahaja.

Jika mereka meletakkan diri ke tempat yang baik, maka baiklah mereka. Ada juga teman-teman yang sudah tamat belajar mengatakan, aku mahu masuk j-Qaf sahaja. Malas hendak kerja berat-berat. Mengajar setengah hari sahaja. Kemudian, boleh rehat dan macam-macam sahaja. Gaji sama sahaja.

Itu mungkin pemikiran yang mereka ada. Sedangkan pada saya julat kehidupan kita masih lagi boleh dikembangkan kepada bermacam-macam kerjaya. Itu pandangan saya. Maaf jika ada yang tidak mempersetujui.

Kemudian, di dalam bicara saya dengan teman-teman, saya mengatakan bahawa ada satu kekurangan yang dihadapi oleh warga dan mahasiswa kita di Mesir. Perkara tersebut adalah penguasaan bahasa. Ya! Barangkali perkara ini sudah lama disedari dan masih tidak pulih sehingga hari ini. Mungkin masalah ini akan pulih apabila ada pihak-pihak yang bersungguh-sungguh ‘membayar’ mahasiswa kita untuk terus masuk ke kelas-kelas swasta yang membolehkan mereka untuk terus hidup selesa mempelajari bahasa dengan sebaiknya.

Kemudian, apabila bercerita dengan seorang bekas anak murid dia menyatakan kepada saya, “Ustaz, 18 haribulan ini, kelas saya akan buat pesta di satu tempat. Nak tahu tak?” Saya pun dengan segera menjawab di mana? “Angsana?” Tidak jawabnya. Malah Danga Bay (Teluk Danga).

Dengan melulu saya menjawab, budak-budak zaman sekarang tidak tempat lain mahu mengadakan reunion. Asyik di tempat-tempat maksiat sahaja. Barangkali juga kita sudah sampai waktu dan ketika untuk membina satu acuan pemikiran bahawa tempat perhimpunan bersama teman-teman diadakan di masjid-masjid dan surau-surau. Ataupun mungkin berhimpun di kawasan-kawasan yang boleh kita sumbangkan tenaga kepada kawan-kawan se-akidah kita.

Itu pandangan saya.

Apa yang boleh saya beri semasa di dunia ini selain daripada amal yang boleh dimanfaatkan oleh semua orang. Barangkali kita juga harus tahu, apabila matinya anak adam itu hilanglah segalanya kecuali tiga perkara, dan salah satunya adalah ilmu yang bermanfaat.

Sedari itu saya faham bahawa, banyak lagi yang saya harus lakukan.

Thursday, December 11, 2008

Hari Raya Korban Di Kaherah : Sambutan dan Implikasi

Penulis di Zaqaziq - merasmikan program SHAHADAH 08.

Di hadapan Masjid Musa Ibnu Nusair pada 10 Zulhijjah 1429H
selepas Solat Sunat Aidiladha

10 Zuhijjah yang lalu, hari raya korban atau mudahnya disebut Hari Raya Haji disambut serentak seluruh negara; begitu juga dengan negara Mesir – setelah anak bulan Zulhijjah tepat mengenai kedudukannya.

Saya tidak menyambut secara besar-besaran. Namun, apabila datang jemputan; saya menerima undangan daripada pihak jawatankuasa untuk berprogram di bandar Zaqaziq dan Tanta.

Di rumah, sehingga catatan ini ditulis; saya menjadi kebuntuan apabila ‘belambak’ daging-daging korban memenuhi ruang peti sejuk. Dari atas ke bawah, yang saya lihat adalah daging sahaja. Ada unta, kambing, lembu. Saya bertanya pada diri, "tiap-tiap harilah saya akan makan daging sehingga daging ini habis."

Dahulu, semasa kecil saya menjadi pelik mengapa hari raya ini dinamakan hari raya korban, hari raya haji, dan hari raya aidil adha. Tiga buah nama diletakkan di dalam satu hari. Tetapi, apabila sudah menginjak dewasa ketahuilah saya bahawa nama-nama itu mempunyai nilai dan makna tersendiri.

Justeru, apakah pengajaran dan iktibar terbesar yang kita mampu ambil daripadanya?

Adakah hanya merasakan keperitan Saidina Ibrahim a.s. yang diperintahkan Allah untuk menyembelih anaknya Saidina Ismail a.s.? Mengikut pemahaman dan akal logik mungkin kita boleh jadi kurang siuman tatkala Allah Taala memerintahkan Nabi Ibrahim untuk menyembelih anak kandungnya sendiri. Sanggupkah kita selaku anak, apabila ayah kita berkata, "Farid, aku mahu sembelih engkau!" Lantas dengan mudah kita menjawab, "Lakukanlah apa yang diperintahkan."

Ini pengorbanan yang terbesar yang diberikan ke atas dua orang saudara (ayah-anak) apabila datangnya perintah Allah untuk menyembelih anak sendiri. (Rujuk Surah As-Shaffat ayat 102-108)

[Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: "Hai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!" Ia menjawab: "Hai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar".] – Surah As-Shaffat ayat 102.

Wah! Pengorbanan ini adalah pengorbanan yang paling besar ditunjukkan oleh Saidina Ibrahim dan Saidina Ismail. Namun, atas dasar perintah Allah Taala, maka terlaksanalah penyembelihan tersebut sehingga Allah gantikan anak itu dengan seekor kibas (kambing biri-biri).

Ini adalah sebuah kisah pengorbanan yang paling terbesar – ditunjukkan kepada kita selaku hamba-Nya untuk taat akan perintah Allah Taala. Oleh yang demikian, apabila kita menyebut dan mengulang cerita sejarah ini, tidak boleh tidak kita seharusnya bertanya kepada diri kita sendiri, apakah pengorbanan yang telah aku lakukan sepanjang hidup di dunia ini?

Pernahkah kita memberikan secupak beras kepada saudara se-Islam kita yang kelaparan? Pernahkah kita berkorban membela agama Allah sehingga mati segala kaum musyrik dan kafir pada hari ini? Apakah jasa yang telah kita lakukan?

Adakah hanya dengan berenang merentasi lautan, menaiki angkasa lepas, menaiki Gunung Everest sehingga ke puncaknya kita sudah digelar berkorban? Untuk apa itu semua? Dunia semata-mata. Nama semata-mata. Pangkat Datuk dan Datin sahaja. Tidak lebih daripada itu. Barangkali ini adalah serpihan daripada beberapa motivasi yang kita boleh renungkan.

Jika hari ini tiada satu pengorbanan yang kita lakukan, fikirkanlah jalan terbaik untuk menghadapi hari Akhirat yang lebih dahsyat habuannya kepada kita nanti. Ini hanyalah sebuah catatan keinsafan yang lahir daripada lubuk hati.

Bilakah lagi kita semua satu hati
Bilakah lagi keamanan kan dikecapi
Bilakah lagi Islam kan dijulang tinggi
Bangunlah wahai ummah kita satu hati
Marilah bersama bersatu berjihad
Menentang kezaliman
Oh insan sedarlah pembalasan Tuhan pasti akan datang
Jangan takut
Berjuanglah untuk keamanan

Dosa-Dosa Peperiksaan : Catatan Luka Seorang Mahasiswa Tahun Empat

Tahun ini adalah tahun keajaiban buat diri sendiri. Entah. Barangkali catatan luka ini tidak harus dikemudi di dalam blog peribadi. Takut dijadikan fitnah ke atas diri sendiri lantas ada beberapa perkara yang tidak disedari mengundang sebak dalam diri.

Begini saya mulakan.

Entah dimana silapnya, saya kurang pasti bahawa Disember sudah berkunjung. Ini bermakna semakin hampir waktu yang dinamakan peperiksaan. Ya! Peperiksaan. Untuk apa periksa? Jawapan yang paling mudah diterima akal adalah untuk lulus periksa.

Memang benar kenyataan ini. Dapatkan segulung ijazah untuk pulang daripada mandala pendidikan ini. Siapa yang tidak mahu berjaya bukan? Siapa yang tidak mahu berdiri di atas pentas konvokesyen menerima segulung ijazah daripada Syeikh Al-Azhar.

Tetapi bagaimana ingin berjaya? Jawapan yang mudah juga, ambil buku, Baca! Hafal!

Ya. Sebenarnya saya terpenjara di dalam dua benua. Dunia ini dinamakan ‘dunia buntu’ dan ‘dunia kosong’. Entah dimana silapnya juga saya tidak ketahui.
Barangkali sudah tidak ada masa lagi. Ada sesuatu yang perlu dilakukan.

Baca! Baca! Baca! Kalau tidak faham? zzzzzzzzzzz

Kembalikan roh semangat dahulu Tuhan!

Thursday, December 04, 2008

Renungan : Saya Bukan Anak Dato'



Saya bukan anak Dato', sebab itu saya jarang sekali tidur di dalam hotel-hotel mewah. Seingat saya, kali terakhir saya tidur pun di Hotel Mandarin Court, Kuala Lumpur tahun lalu sempena program Bengkel Penulisan Karyawan Muda Luar Negara anjuran DBP.

Pernah satu masa, saya dibawa oleh keluarga di Palace of The Golden Horses Hotel di Seri Kembangan, Kuala Lumpur berhampiran Mines Wonderland, Sungai Besi. Entah berapa tahun yang sudah saya tidak mampu untuk kembalikan nostalgia itu.

Itu kisah dahulu. Kisah saya diheret oleh keluarga untuk sama-sama menyertai percutian. Mungkin kini sudah dewasa, peluang untuk saya pula yang menyewa dan membawa kedua-dua orang tua menikmati hidup di sana. Beberapa tahun kebelakangan ini, lebih-lebih lagi selepas duduk di Mesir peluang itu jarang-jarang saya menemukannya.

Beberapa hari yang lalu, saya dibawa ke Hotel Fairmont, Cairo bersama seorang teman. Jikalau mahu dihitung, hotel ini saya gambarkan seperti Palace of The Golden Horses Hotel di Malaysia. Aduh! Sungguh mewah. Hanya yang berpendapatan sahaja mampu memilikinya.

Apabila saya tanyakan, berapa harga sebilik, dikatakannya pada saya hanya USD 350 sahaja sehari semalam.

Wah! Ini bilik atau tempat untuk menghabiskan duit.

Saya bukan mahu ceritakan yang kita perlu hidup di dalam keadaan mewah. Bukan juga niat saya mahu bercerita tentang perlunya kita hidup di hotel, tetapi kita perlu fikir bahawa mengapa kita hidup bermacam-macam latar.

Ada orang yang berkemampuan, ada orang yang langsung tidak pernah menjamah ruang lobi hotel. Dan, paling dahsyat adalah yang tidak pernah tahu bahawa hotel itu wujud.

Peluang berkunjung ke hotel tersebut pun sempena dengan program Gerak Usahawan Mesir yang menempatkan delegasi dan semua agensi yang terlibat. Fikir saya, berapa banyak wang kerajaan disalurkan untuk kediaman tersebut?

GERAK USAHAWAN MESIR : Tercapaikah objektif?

Penulis di hadapan CICC

Teman penulis yang bersama di CICC (Saudara Adlan Mokhtaruddin)

Di tengah (Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi)

Dari kiri : Adlan, Muizz, Khairul Anuar, Prof. Dr. Fauzi (KPT), Penulis, Hj Ibrahim (KPT), dan Dr. Jamil (Pengarah MSD Cairo)


GERAK USAHAWAN MESIR 2008 : Tercapaikah Objektif?
Catatan Kembara
Syafiq Zulakifli

Lebih daripada 15 buah agensi terlibat di dalam Gerak Usahawan Mesir 2008 yang diadakan di Cairo International Conference Centre (CICC). Dewan besar yang mampu memuatkan hampir 4,000 orang mahasiswa ini sekali lagi dikunjungi oleh agensi kerajaan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia bersama-sama Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

Pada tanggapan saya, tahun lalu, Middle East Career Carnival (MECC) atau dalam bahasa ibundanya Karnival Kerjaya Timur Tengah yang diadakan di tempat yang sama lebih meriah. Ini kerana program tersebut dihadiri oleh Perdana Menteri Malaysia sendiri, YAB Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi.

Ini diakui sendiri oleh Sekretariat Penganjur kepada Gerak Usahawan Mesir ini kerana menyandarkan bahawa program ini hanyalah dirasmikan oleh YB Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato’ Saifuddin Abdullah.

Mengapa hal ini terjadi?

Desas desus yang diterima daripada beberapa pihak menyatakan bahawa program yang diadakan ini ‘tidak cocok masa’ atau boleh sahaja disandarkan bahawa rata-rata mahasiswa kita kurang berminat di dalam sektor usahawan.

Kajian Pengesanan Graduan IPTA 2006 sahaja membuktikan bahawa hanya lima peratus sahaja graduan yang telah menamatkan pengajian mereka di peringkat ijazah pertama berkecimpung di dalam medan usahawan ini.

Selama dua hari saya menempatkan diri di dalam program ini. Lebih daripada 20 buah tapak pameran disediakan untuk para pengunjung menikmati kemudahan dan bertukar-tukar pandangan dengan sekretariat. Di antara mereka yang terlibat adalah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi sendiri, KPT, Majlis Amanah Rakyat (MARA),Giat MARA, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, SME Bank, Perbadanan Nasional Berhad, Yayasan TEKUN Nasional, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Multimedia Development Corporation Sdn Bhd, Time Engineering Berhad dan bermacam-macam lagi.

Selain daripada itu, muncul usahawan-usahawan bumiputera yang dibawa bersama di dalam pameran tersebut. Di antaranya, syarikat berdasarkan produk kecantikan, produk pelancongan, produk makanan dan minuman, produk telekomunikasi, produk pendidikan, produk konsultansi, dan produk berasaskan keperluan peribadi.

Semua usahawan-usahawan yang hadir telah memberikan pendedahan kepada pengunjung berkenaan pengalaman dan perkongsian hidup menjadi usahawan sehingga bagaimana sestuatu produk yang masih ‘baharu’ dapat dipasarkan dengan segera.

Hasil daripada pemerhatian ini, ada beberapa perkara yang saya mampu buat kesimpulan :-

Pertama : Hanya 10% mahasiswa Malaysia di bumi Mesir berminat menceburi bidang usahawan (berdasarkan pemerhatian yang dilihat kerana hanya lebih kurang 1,000 orang sahaja yang menghadiri meja perasmian)

Kedua : Pengiklanan dan promosi program tidak dijalankan dengan sempurna kerana terdapat pihak-pihak yang ‘mengkesampingkan’ program ini. (Hasil pemerhatian daripada program bersama YB Timbalan Menteri di Dataran Hayyu Asyir hanya 50 orang sahaja mendengar YB Dato’ berucap)

Ketiga : Pelajar lebih sibuk menumpukan kerja mereka di rumah atau kelas-kelas tutorial di asrama kerana peperiksaan akan menjelma tidak lama lagi.

Keempat : Tiada ‘momentum’ khas yang boleh dilakukan untuk menarik minat mahasiswa menyertai program ini.

Kelima : Minda mahasiswa kita sudah berubah selepas perubahan pasca pilihanraya ke dua belas baru-baru ini.

Keenam : Agenda ‘Ketuanan Melayu’ yang kaitkan (ingin membantu bumiputera menceburi bidang keusahawanan) tidak lagi releven digunakan kerana hidup bukan untuk orang Melayu tetapi untuk Islam (walaupun saya di antara orang lantang memperjuangkan bahasa Melayu)
Diari 2 Disember 2008

Saya bersama-sama kepimpinan PMRAM dijemput bertukar-tukar pandangan (majlis mesyuarat tertutup) dengan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia sempena kedatangan mereka ke bumi Mesir di dalam program Gerak Usahawan Mesir 2008.

Pelbagai agenda yang diperbincangkan bersama pihak KPT. Di antaranya, isu pendidikan mahasiswa, isu melahirkan modal insan, isu keselamatan mahasiswa kita di Mesir dan bermacam-macam lagi.

Terima kasih kepada KPT yang sudi bertemu dengan kami.