Langkau ke kandungan utama

Hari Raya Korban Di Kaherah : Sambutan dan Implikasi

Penulis di Zaqaziq - merasmikan program SHAHADAH 08.

Di hadapan Masjid Musa Ibnu Nusair pada 10 Zulhijjah 1429H
selepas Solat Sunat Aidiladha

10 Zuhijjah yang lalu, hari raya korban atau mudahnya disebut Hari Raya Haji disambut serentak seluruh negara; begitu juga dengan negara Mesir – setelah anak bulan Zulhijjah tepat mengenai kedudukannya.

Saya tidak menyambut secara besar-besaran. Namun, apabila datang jemputan; saya menerima undangan daripada pihak jawatankuasa untuk berprogram di bandar Zaqaziq dan Tanta.

Di rumah, sehingga catatan ini ditulis; saya menjadi kebuntuan apabila ‘belambak’ daging-daging korban memenuhi ruang peti sejuk. Dari atas ke bawah, yang saya lihat adalah daging sahaja. Ada unta, kambing, lembu. Saya bertanya pada diri, "tiap-tiap harilah saya akan makan daging sehingga daging ini habis."

Dahulu, semasa kecil saya menjadi pelik mengapa hari raya ini dinamakan hari raya korban, hari raya haji, dan hari raya aidil adha. Tiga buah nama diletakkan di dalam satu hari. Tetapi, apabila sudah menginjak dewasa ketahuilah saya bahawa nama-nama itu mempunyai nilai dan makna tersendiri.

Justeru, apakah pengajaran dan iktibar terbesar yang kita mampu ambil daripadanya?

Adakah hanya merasakan keperitan Saidina Ibrahim a.s. yang diperintahkan Allah untuk menyembelih anaknya Saidina Ismail a.s.? Mengikut pemahaman dan akal logik mungkin kita boleh jadi kurang siuman tatkala Allah Taala memerintahkan Nabi Ibrahim untuk menyembelih anak kandungnya sendiri. Sanggupkah kita selaku anak, apabila ayah kita berkata, "Farid, aku mahu sembelih engkau!" Lantas dengan mudah kita menjawab, "Lakukanlah apa yang diperintahkan."

Ini pengorbanan yang terbesar yang diberikan ke atas dua orang saudara (ayah-anak) apabila datangnya perintah Allah untuk menyembelih anak sendiri. (Rujuk Surah As-Shaffat ayat 102-108)

[Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: "Hai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!" Ia menjawab: "Hai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar".] – Surah As-Shaffat ayat 102.

Wah! Pengorbanan ini adalah pengorbanan yang paling besar ditunjukkan oleh Saidina Ibrahim dan Saidina Ismail. Namun, atas dasar perintah Allah Taala, maka terlaksanalah penyembelihan tersebut sehingga Allah gantikan anak itu dengan seekor kibas (kambing biri-biri).

Ini adalah sebuah kisah pengorbanan yang paling terbesar – ditunjukkan kepada kita selaku hamba-Nya untuk taat akan perintah Allah Taala. Oleh yang demikian, apabila kita menyebut dan mengulang cerita sejarah ini, tidak boleh tidak kita seharusnya bertanya kepada diri kita sendiri, apakah pengorbanan yang telah aku lakukan sepanjang hidup di dunia ini?

Pernahkah kita memberikan secupak beras kepada saudara se-Islam kita yang kelaparan? Pernahkah kita berkorban membela agama Allah sehingga mati segala kaum musyrik dan kafir pada hari ini? Apakah jasa yang telah kita lakukan?

Adakah hanya dengan berenang merentasi lautan, menaiki angkasa lepas, menaiki Gunung Everest sehingga ke puncaknya kita sudah digelar berkorban? Untuk apa itu semua? Dunia semata-mata. Nama semata-mata. Pangkat Datuk dan Datin sahaja. Tidak lebih daripada itu. Barangkali ini adalah serpihan daripada beberapa motivasi yang kita boleh renungkan.

Jika hari ini tiada satu pengorbanan yang kita lakukan, fikirkanlah jalan terbaik untuk menghadapi hari Akhirat yang lebih dahsyat habuannya kepada kita nanti. Ini hanyalah sebuah catatan keinsafan yang lahir daripada lubuk hati.

Bilakah lagi kita semua satu hati
Bilakah lagi keamanan kan dikecapi
Bilakah lagi Islam kan dijulang tinggi
Bangunlah wahai ummah kita satu hati
Marilah bersama bersatu berjihad
Menentang kezaliman
Oh insan sedarlah pembalasan Tuhan pasti akan datang
Jangan takut
Berjuanglah untuk keamanan

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kosa Kata Pada Hari Ini

Sudah lama tidak bersua untuk berkongsi makalah atau bahan berunsur sastera. Justeru, hari ini saya ingin berkongsi dengan kalian beberapa kosa kata baru yang wajar digunakan oleh kita sama ada di dalam penulisan kita seharian atau sebagainya. 1. Adar : bertandang (bertandang, bermalam di rumah orang) Contoh ayat – Aiman dan Akram selalu ber adar ke rumah bapa saudaranya pada hari Ahad. 2. Atip : susun (susun, atur) Contoh ayat – Ustaz Hairul meminta agar semua badan pengurus PMRAM meng atip baju-baju yang berserakan di dalam almari besi itu. 3. Banjar : baris (baris, jajar, deret) Contoh ayat – Izzat, Ifwat dan Izmir berdiri se banjar di dalam perbarisan kawad kaki sempena Hari Sukan di sekolahnya. 4. Enigma : kebingungan (menjadi bingung atau kebingungan) – disebabkan oleh sesuatu hal atau seseorang) Contoh ayat – Pegawai itu berada di dalam situasi enigma setelah diminta untuk berundur daripada tugasnya di dalam masa 24 jam. 5. Suang ...

ZIKRAYAT EPISOD 6

ZIKRAYAT EPISOD 6 (Zikrayat ialah sebuah program menceritakan insan penting sepanjang kerjaya saya di Kuala Lumpur) Nama penyampai dan penerbit radio IKIM Faiz Hj Othman amat sinonim kepada pendengar radio. Faiz lebih muda daripada saya. Tetapi beliau berkhidmat setahun lebih awal daripada saya di IKIM. Antara insan yang paling banyak menyimpan rahsia sepanjang hampir 6-7 tahun saya di IKIM. Apa sahaja perjalanan hidup saya di Kuala Lumpur memang boleh dikatakan beliau amat tahu. Faiz anak kelahiran Kelantan. Mendapat pendidikan di Universiti Utara Malaysia, kini tinggal di Hulu Langat, Selangor. Beliau juga merupakan orang pertama yang ketahui saya tidak menyambung perkhidmatan (saya tidak mahu tandatangan surat sambung) Pada pagi Anugerah Nasyid 2019, dalam kekalutan itulah saya memaklumkan bahawa saya sudah bawa semua barang ke Johor Bahru. Terperanjat beliau. Saya beritahu, saya perlu ke Mekah dan buat istikharah terakhir sebelum buat keputusan balik ke negeri asal...

2024 : Membuka Tirai

SEJARAH KOLEJ UNIVERSITI ISLAM JOHOR SULTAN IBRAHIM (KUIJSI) Idea untuk menubuhkan sebuah institusi yang akan menjadi kesinambungan dan seterusnya menjadi era baru kepada pendidikan agama Islam di Negeri Johor Darul Takzim tercetus pada awal tahun 1997 apabila sekumpulan guru-guru kanan Maahad Johor; iaitu Ustaz Khudzairi bin Hj Jabar, selaku Pengetua, Datin Rohana binti Mohd Yassin, Penolong Kanan I, dan Ustaz Mohamed Salleh bin Sanwan, Penolong Kanan II pada ketika itu mendapat maklumat bahawa Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman telah menandatangani satu Perjanjian Persefahaman dengan Universiti Al-Azhar Al-Syarif. Hasil dari perjanjian tersebut, Kerajaan Negeri Kedah telah menubuhkan sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) dengan nama INSANIAH yang menjalankan programprogram berkembar dengan Universiti AlAzhar dalam bidang-bidang Syariah Islamiah, Usuluddin dan Bahasa Arab dengan graduangraduan dari INSANIAH akan menyambung pengajian mereka di Universiti Al-Azhar di tahun akhir. Ma...