Kenali Diri

My photo
Johor Bahru, Johor, Malaysia
SYAFIQ ZULAKIFLI adalah graduan Universiti Al-Azhar, Kaherah,Mesir. Berasal dari negeri Johor Darul Takzim. B.A (Hons)Syariah, Al-Azhar (2009) Editor PTS Publication & Distributor Sdn Bhd(2010) Eksekutif Penyelidikan Editorial TVAlhijrah(2012)Penerbit Rancangan IKIMfm (Mulai 1 Mac 2012) Sebarang pertanyaan emelkan ke syafiqzulakifli @ gmail.com atau hubungi +6017 7346 946

Wednesday, March 21, 2012

Kita Hanya Menguji Bakat Sendiri

SEDARI awal, semasa saya ingin menghadiri temuduga ke Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) ayah saya mentah-mentah menolak keputusan untuk meninggalkan TVAlhijrah. Saya sedikit terduga dengan perintah dan barangkali arahan ayah melalui pesanan di laman sosial Facebook.

Oleh sebab saya mempunyai pendirian dan mengetahui apa dan mengapa tindakan tersebut dilakukan, ayah merelakan keputusan yang saya lakukan.

Saya redha dan menerima kehendak dan keputusan yang ditetapkan. Saya menghadiri temuduga dan masih berkira-kira sama ada mahu terima atau menolak tawaran temuduga ini.

Sejujurnya, Tuhan lebih berhak menentukan setiap apa yang berlaku terhadap saya. Saya berfikir panjang dan risau tindakan saya ini tidak menepati kebanggaan ayah mahu saya berada di TVAlhijrah.

Saya tertampar juga apabila ayah memaklumkan bahawa beliau hampir tidak percaya saya akan ke dunia akademik. Ya, mungkin itu telahan awal. Tetapi, saya melaluinya dan saya tahu ke mana jalan dan perjalanan hidup saya dilorongkan.

Saya faham benar niat ayah yang ingin saya terus tetap berada di sebuah stesen televisyen. Pasrah seketika.

Perjalanan saya ke IKIM sebenarnya hanya Allah sahaja yang tahu. Saya memohon menyertai IKIM selepas sahaja tiba dari Mekah bulan Disember tahun yang lalu. Saya masih ingat lagi, selepas sahaja pulang dari Mekah pada akhir bulan November yang lepas, saya mewakili TVAlhijrah bersama pengurus saya di Hotel Concorde, Shah Alam sempena Bengkel SKMM.

Waktu itulah, saya bertemu salah seorang pegawai di IKIM memaklumkan bahawa kerusi Penerbit Rancangan perlu diisi tetapi memerlukan orang yang benar-benar layak.

Pada awal perkiraan saya, saya perlu kerusi ini. Itu yang saya fikirkan pada awalnya. Beberapa hari selepas itu, saya terlantar dan sehari sebelum masuk ke hospital, saya membuat keputusan memohon ke IKIM biarpun hakikatnya permohonan jawatan itu telah DITUTUP!

Dalam keadaan sakit yang melarat dan terlantar itu, saya mohon agar setiap tindakan saya Allah yang tentukan dan aturkan. Saya berdoa di atas katil hospital bahawa jika ini yang lebih terbaik, Allah redhakanlah saya berhijrah...

Pada waktu itu, fikir saya doa orang yang sakit Allah cepat makbulkan. Beramai-ramailah kawan-kawan TVAlhijrah melawat saya di hospital sedangkan dalam hati saya berkata, "Tahukah mereka saya akan meninggalkan TVAlhijrah."

Air mata saya mengalir. Saya lihat Pengurus Besar saya melawat saya. Dalam hati saya berkata, "Kamu seorang Pengurus Besar yang baik... Hanya Allah sahaja yang akan membalas setiap apa yang kamu lakukan. Terima kasih kerana melawat saya." Setiap kali saya masuk ke hospital, beliau akan hadir menziarahi.

Jeda.

Saya berfikir panjang ketika itu. Dalam hati saya berkata, "Moga-moga saya tidak bertuah untuk memegang kerusi Penerbit di IKIM"

Namun, beberapa bulan mendatang - peristiwa demi peristiwa berlaku. Biarpun saya banyak kali mendengar fitnah terhadap diri sendiri bahawa saya keluar TVAlhijrah kerana begini-begini-begitu, saya biarkan sahaja. Hanya Allah yang mengetahui, mengapa saya tekad melepaskan jawatan lebih awal sebelum tawaran diterima. Fikir saya, saya mahu berehat bergaji. Itu pemikiran asal saya.

Biarpun dalam pertemuan pertama bersama CEO TVAlhijrah dan HR saya tidak dibenarkan melepaskan jawatan, namun saya merayu untuk dilepaskan kerana saya fikir, ada kebaikan jika saya berhijrah.

Apapun, saya berharap IKIM adalah tempat terakhir saya dalam bidang penyiaran. Ada kemungkinan juga saya tidak lama berada dalam penyiaran radio di IKIM dan saya akan bergerak ke dunia akademik.


Hakikatnya, IKIM mengajar saya tentang dunia akademik. Saya berpeluang membuka kitab dan boleh membaca buku setelah merasakan saya terlalu ripuh sebelum ini. Saya tidak menyalahkan takdir dan hanya berpandangan, saya hanya menguji sahaja bakat sendiri.


Jika ada peluang saya menulis kertas kerja dan makalah di IKIM dan wajar dibincangkan melalui pusat-pusatnya di sini, hal ini adalah lebih baik.


Realitinya, saya melihat IKIM bukanlah dunia penyiaran sebagai terasnya. Inilah dunia akademik yang lebih tersusun berdasarkan felo dan pensyarah yang mengisi perjawatan di sini. Terima kasih Allah kerana merezekikan saya bekerja bersama tokoh-tokoh akademik di sini.


Moga-moga dimakbulkan Tuhan segalanya...


Saturday, March 17, 2012

Siapa Syafiq Zulakifli



SYAFIQ ZULAKIFLI dilahirkan pada 8 Ogos 1985 di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Bandar UDA , Johor Bahru dari 1992 hingga 1997.

Pendidikan peringkat menengahnya di Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor, Kluang bermula 1998 hingga 2002.

Atas kesedaran meneruskan pengajian di dalam bidang agama, beliau meneruskan pengajian ke Maahd Johor, bagi Tingkatan 6. Atas perolehan keputusan yang memberangsangkan dalam Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) pada tahun 2003 dengan mendapat pangkat MUMTAZ (Cemerlang) dan penerima Anugerah Khas Tokoh Maahad Johor 2003, beliau meneruskan pengajian ke Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir pada Oktober 2004.

Pengajian dari tahun ke tahun di Al-Azhar memungkinkan beliau turut memperkembangkan bakat dan kepimpinan. Melalui bakat seni, beliau menyertai Kem Latihan Penulis (KELAP) sewaktu di Mesir sehingga terpilih sebagai peserta Bengkel Penulisan Karyawan Muda Luar Negara pada tahun 2007 di bawah bimbingan Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia (DBP). Program ini juga atas kerjasama erat di antara DBP dan Grup Karyawan Luar Negara (GKLN).

Dalam bidang kepimpinan, beliau memimpin mahasiswa di bumi Mesir dan menjawat jawatan sebagai Setiausaha Agung, Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM). Atas dasar sentiasa memberi perhatian kepada pergerakan mahasiswa negeri, beliau pernah dilantik sebagai Penasihat Badan Kebajikan Pelajar Johor Mesir (BKPJM).

Sepanjang di Mesir, beliau yang aktif di dalam penulisan kreatif dan sentiasa mendapat perhatian editor pengarang majalah dan akhbar. Bermula daripada penerbitan sebuah artikel di majalah Fokus SPM pada tahun 2007, beliau kerapkali menghiasi akhbar Mingguan Malaysia, Berita Minggu dan Majalah Tunas Cipta DBP bermula tahun 2007.

Atas komitmen yang berpanjangan, beliau pernah mendapat perhatian daripada Grup Karyawan Luar Negara melalui saudara Fahd Razy (puisi) dan mentor beliau, saudara Faisal Tehrani sentiasa membantu di dalam bidang yang sama ini.

Hasilnya, pada tahun 2008 – beliau memenangi Hadiah Saguhati, Sayembara Menulis Cerpen Jawi anjuran Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan mendapat Wang Tunai RM500 beserta sijil penyertaan.

Berkat pengalaman dan kesungguhan sebagai seorang penulis, beliau telah meneruskan pengajian secara non formal dengan mengikuti segala program-program dan seminar bahasa dan penulisan anjuran pihak organisasi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), ASWARA dan lain-lain lagi.

Selepas menamatkan pengajian di bumi Al-Azhar, Kaherah pada tahun 2009, beliau mula berkhidmat sebagai Editor Perolehan di PTS Fortuna Sdn Bhd, sebuah anak syarikat PTS Publications & Distributors Sdn Bhd. (kini PTS Media Group Sdn Bhd).

Atas kepercayaan kepada diri dan bakat yang mendalam di dalam pengacaraan TV, beliau telah mula berkhidmat di TVAlhijrah sebagai Eksekutif Penyelidikan Editorial bermula Oktober 2010 di samping memandu rancangan ‘Assalamualaikum’ terbitan TVAlhijrah buat kali pertama. Dalam sejarah penyiaran rancangan Assalamualaikum, beliau adalah insan pertama yang terbit sebagai pengacara rancangan tersebut bersama Amalina Faisal, seorang graduan Universiti Yarmouk, Jordan.

Selepas beberapa bulan berkhidmat di TVAlhijrah, beliau diberi kepercayaan mewakili TVAlhijrah untuk ke Misi Bantuan Kemanusiaan Gaza (Flotilla II) di Greece. Pengalaman sepanjang 12 hari itu amat bermakna bagi beliau kerana menjadi wartawan muda (25 tahun) untuk berada dalam misi yang amat penting tersebut membantu saudara seislam di Gaza, Palestin. Biarpun, Flotilla I merupakan misi menggerunkan tatkala 9 orang terbunuh, namun beliau tetap cekal bertekad meneruskan misi.

September 2011 hingga November 2011 merupakan pengalaman bermakna kepada beliau kerana mewakili TVAlhijrah ke Kembara Bumi Suci di Mekah Al-Mukaramah menunaikan haji serta membuat liputan musim Haji 1432H.

Awal 2012 merakam satu kejutan apabila beliau membuat keputusan meletakkan jawatan sebagai Eksekutif Penyelidikan Editorial TVAlhijrah. Biarpun begitu, beliau terus mencerap pemikiran untuk terus berada di sayap hadapan dan beliau menerima tawaran daripada Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) sebagai Penerbit Rancangan Radio IKIMfm yang sudah sepuluh tahun beroperasi.

Atas tanggungjawab yang diberikan, kini beliau bertugas di sebuah penyiaran Islam di Malaysia di dalam bidang radio.

Apa juga yang difikirkan, beliau adalah seorang anak muda yang cekal mahukan anak bangsa sendiri berjaya dan Islam ditegakkan di Malaysia.


Thursday, March 15, 2012

Saya dan Kerjaya

SAYA amat gemar membaca buku biografi tokoh. Entah mengapa, berilah saya buku apapun, tetapi buku biografi atau autobiografi tokoh banyak mengajar saya tentang erti kejayaan dan kematangan.

Seingat saya, kali pertama saya memulakan untuk membaca buku biografi Datuk A Samad Said. Beliau adalah Sasterawan Negara. Hari ini, saya banyak membaca buku autobiografi tokoh politik dan tokoh akademik.

Terakhir, saya membaca buku Prof Dr Ismail Ibrahim yang pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Mengapa saya dan kita wajar membaca buku biografi tokoh?

Buku-buku ini sebenarnya mengajar kita menjadi seseorang yang dewasa. Berfikiran dewasa, malah menjadi seorang yang luar biasa. Kita mengumpul segenap pemikiran daripada penulisan tersebut, lantas daripadanya kita dapat mengenalpasti dari mana kejayaan yang dicipta oleh tokoh-tokoh tersebut.

Apapun, saya dan apa juga kerjaya yang pernah saya lalui adalah pengalaman penting sebagai seorang individu.

Itulah perjalanan saya dan juga kerjaya saya.


Friday, March 09, 2012

Setelah Seminggu Bersama...

Penyampai IKIMfm akan ke Sabah pada bulan hadapan...

SEMINGGU berada di dalam kampus institusi, ia amat berbeza sama sekali. Malah, ucapan awal dan mukadimah ini menjadi saksi bahawa - inilah dunia yang saya cari selama ini.

Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) adalah pusat pendidikan dan pemahaman Islam. Oleh sebab itu, saya anggap kemasukan saya ke IKIM bukanlah kerana radio semata-mata malah lebih jauh daripada itu kerana saya berkhidmat di dalam sebuah kampus pendidikan universiti.

Jauh saya meninggalkan dunia penyiaran sebenarnya tidak tepat. Tetapi, IKIM memberi pelbagai kelebihan kepada saya.

Pertama, pengurusan dan pentadbiran yang cekap serta bersistem. Saya belum pernah bertemu lagi sistem yang dilakukan kepada kakitangan di sebuah agensi kerajaan seperti ini. (Sebenarnya ini institusi pertama kerajaan saya masuk)

Tetapi, saya telah meletakkan harapan yang jelas bahawa IKIM sebuah institusi pemikiran dan pendidikan yang terbaik.

Saya tidak lagi berhadapan dengan kehidupan "hu ha hu ha hu ha..." Maksud saya, di sini majoriti adalah orang akademik. Mereka berfikiran intelek. Mereka mengkaji, banyak membaca, banyak menyelidik. Oleh hal yang demikian, mereka ada tingkatan kehidupan sendiri.

Apabila masuk ke dalam pusat penyiaran radio di IKIM, barulah saya ketahui - mengapa radio ditubuhkan. Penubuhan radio bukan semata-mata kerana 'hu ha hu ha' yang saya maksudkan. Tetapi kerana keilmuan dan kefahaman Islam.

IKIM sebenarnya memberi sesuatu yang saya nantikan lebih dua tahun yang lalu. IKIM mengajar saya bahawa, mengapa kita sebagai manusia kena belajar dan membaca. Di kiri dan kanan saya adalah felo penyelidik. Mereka mengkaji dan belajar setiap hari. Saya pula mengumpul tempias itu bersama. Seronok bukan kepalang kerana sistem IKIM adalah sistem kelas pertama.

Satu masa nanti, apabila penyiaran radio sudah berkembang - pasti IKIM akan berlari ke dalam dunia televisyen. Pada saya, IKIM sudah ada branding tersendiri, namun bagaimana kewajaran untuk sistem ini berkembang dengan baik.

Saya berbangga selama 20 tahun penubuhan IKIM, matlamat perkembangannya terus wujud. Saya melihat sepuluh tahun pertama, zaman kepimpinan Prof Dato Dr Ismail Ibrahim adalah perkembangan yang baik. Kini, teraju utama Datuk Nik Mustapha Nik Hassan pasti akan melakukan banyak perubahan terutama aspek ekonomi kerana beliau merupakan pakar di dalam bidangnya.

Apapun, tahniah kerana IKIM menjanjikan apa yang saya inginkan selama ini. Pendidikan dan penyiaran...