Kenali Diri

My photo
Johor Bahru, Johor, Malaysia
SYAFIQ ZULAKIFLI adalah graduan Universiti Al-Azhar, Kaherah,Mesir. Berasal dari negeri Johor Darul Takzim. B.A (Hons)Syariah, Al-Azhar (2009) Editor PTS Publication & Distributor Sdn Bhd(2010) Eksekutif Penyelidikan Editorial TVAlhijrah(2012)Penerbit Rancangan IKIMfm (Mulai 1 Mac 2012) Sebarang pertanyaan emelkan ke syafiqzulakifli @ gmail.com atau hubungi +6017 7346 946

Saturday, March 17, 2012

Siapa Syafiq Zulakifli



SYAFIQ ZULAKIFLI dilahirkan pada 8 Ogos 1985 di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Bandar UDA , Johor Bahru dari 1992 hingga 1997.

Pendidikan peringkat menengahnya di Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor, Kluang bermula 1998 hingga 2002.

Atas kesedaran meneruskan pengajian di dalam bidang agama, beliau meneruskan pengajian ke Maahd Johor, bagi Tingkatan 6. Atas perolehan keputusan yang memberangsangkan dalam Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) pada tahun 2003 dengan mendapat pangkat MUMTAZ (Cemerlang) dan penerima Anugerah Khas Tokoh Maahad Johor 2003, beliau meneruskan pengajian ke Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir pada Oktober 2004.

Pengajian dari tahun ke tahun di Al-Azhar memungkinkan beliau turut memperkembangkan bakat dan kepimpinan. Melalui bakat seni, beliau menyertai Kem Latihan Penulis (KELAP) sewaktu di Mesir sehingga terpilih sebagai peserta Bengkel Penulisan Karyawan Muda Luar Negara pada tahun 2007 di bawah bimbingan Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia (DBP). Program ini juga atas kerjasama erat di antara DBP dan Grup Karyawan Luar Negara (GKLN).

Dalam bidang kepimpinan, beliau memimpin mahasiswa di bumi Mesir dan menjawat jawatan sebagai Setiausaha Agung, Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM). Atas dasar sentiasa memberi perhatian kepada pergerakan mahasiswa negeri, beliau pernah dilantik sebagai Penasihat Badan Kebajikan Pelajar Johor Mesir (BKPJM).

Sepanjang di Mesir, beliau yang aktif di dalam penulisan kreatif dan sentiasa mendapat perhatian editor pengarang majalah dan akhbar. Bermula daripada penerbitan sebuah artikel di majalah Fokus SPM pada tahun 2007, beliau kerapkali menghiasi akhbar Mingguan Malaysia, Berita Minggu dan Majalah Tunas Cipta DBP bermula tahun 2007.

Atas komitmen yang berpanjangan, beliau pernah mendapat perhatian daripada Grup Karyawan Luar Negara melalui saudara Fahd Razy (puisi) dan mentor beliau, saudara Faisal Tehrani sentiasa membantu di dalam bidang yang sama ini.

Hasilnya, pada tahun 2008 – beliau memenangi Hadiah Saguhati, Sayembara Menulis Cerpen Jawi anjuran Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan mendapat Wang Tunai RM500 beserta sijil penyertaan.

Berkat pengalaman dan kesungguhan sebagai seorang penulis, beliau telah meneruskan pengajian secara non formal dengan mengikuti segala program-program dan seminar bahasa dan penulisan anjuran pihak organisasi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), ASWARA dan lain-lain lagi.

Selepas menamatkan pengajian di bumi Al-Azhar, Kaherah pada tahun 2009, beliau mula berkhidmat sebagai Editor Perolehan di PTS Fortuna Sdn Bhd, sebuah anak syarikat PTS Publications & Distributors Sdn Bhd. (kini PTS Media Group Sdn Bhd).

Atas kepercayaan kepada diri dan bakat yang mendalam di dalam pengacaraan TV, beliau telah mula berkhidmat di TVAlhijrah sebagai Eksekutif Penyelidikan Editorial bermula Oktober 2010 di samping memandu rancangan ‘Assalamualaikum’ terbitan TVAlhijrah buat kali pertama. Dalam sejarah penyiaran rancangan Assalamualaikum, beliau adalah insan pertama yang terbit sebagai pengacara rancangan tersebut bersama Amalina Faisal, seorang graduan Universiti Yarmouk, Jordan.

Selepas beberapa bulan berkhidmat di TVAlhijrah, beliau diberi kepercayaan mewakili TVAlhijrah untuk ke Misi Bantuan Kemanusiaan Gaza (Flotilla II) di Greece. Pengalaman sepanjang 12 hari itu amat bermakna bagi beliau kerana menjadi wartawan muda (25 tahun) untuk berada dalam misi yang amat penting tersebut membantu saudara seislam di Gaza, Palestin. Biarpun, Flotilla I merupakan misi menggerunkan tatkala 9 orang terbunuh, namun beliau tetap cekal bertekad meneruskan misi.

September 2011 hingga November 2011 merupakan pengalaman bermakna kepada beliau kerana mewakili TVAlhijrah ke Kembara Bumi Suci di Mekah Al-Mukaramah menunaikan haji serta membuat liputan musim Haji 1432H.

Awal 2012 merakam satu kejutan apabila beliau membuat keputusan meletakkan jawatan sebagai Eksekutif Penyelidikan Editorial TVAlhijrah. Biarpun begitu, beliau terus mencerap pemikiran untuk terus berada di sayap hadapan dan beliau menerima tawaran daripada Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) sebagai Penerbit Rancangan Radio IKIMfm yang sudah sepuluh tahun beroperasi.

Atas tanggungjawab yang diberikan, kini beliau bertugas di sebuah penyiaran Islam di Malaysia di dalam bidang radio.

Apa juga yang difikirkan, beliau adalah seorang anak muda yang cekal mahukan anak bangsa sendiri berjaya dan Islam ditegakkan di Malaysia.


1 comment:

ummu said...

assalamulaikum Tuan haji
selamat maju jaya ye.
gembira dapat bertemu saudara masa kanival mahabbah tempoh hari.teruskan perjuangan Tuan Haji.