Kenali Diri

My photo
Johor Bahru, Johor, Malaysia
SYAFIQ ZULAKIFLI adalah graduan Universiti Al-Azhar, Kaherah,Mesir. Berasal dari negeri Johor Darul Takzim. B.A (Hons)Syariah, Al-Azhar (2009) Editor PTS Publication & Distributor Sdn Bhd(2010) Eksekutif Penyelidikan Editorial TVAlhijrah(2012)Penerbit Rancangan IKIMfm (Mulai 1 Mac 2012) Sebarang pertanyaan emelkan ke syafiqzulakifli @ gmail.com atau hubungi +6017 7346 946

Sunday, January 29, 2012

Saya dan Cerita-Cerita


Waktu ini saya jadi penerbit rancangan Assalamualaikum

SAYA MULAKAN penulisan ini dengan menyatakan saya gila pada awal Januari ini. Saya separuh gila memikirkan masa hadapan saya. Malah saya telah melakukan pelbagai pentafsiran dan keputusan yang kekadang tidak menjamin kebahagiaan langsung terhadap diri saya.

Betapa saya kegalauan dalam kehidupan yang penuh dengan pancaroba ini.

(2)

Bulan Januari ini, biarpun saya menggila tetapi saya berpuas hati kerana kegilaan saya hampir menjadi. Saya cukup berpuas hati kerana jaringan hubungan diplomasi antarabangsa dapat saya lakukan dengan sebaiknya. Saya seharusnya bertemu dengan Chairman PTS bagi mendalami ilmu jaringan sosial yang disebut networking kerana beliau adalah pakarnya. Namun, keripuhan masing-masing menyebabkan ada ruang terganggu. Namun, saya yakin akan berada di landasan yang tepat dan berstrategi, insya-Allah.

Siapa insan penting atas pertemuan sepanjang Januari ini?

1. Bidang jaringan pengacaraan. Aznil Nawawi, Suhaimi Sulaiman, Dang Suria - ASTRO RIA

2. Bidang politik pengantarabangsaan. Hasbullah (Pembantu Khas Dato' Ahmad Zaki), Dr Juanda Jaya (Mufti Perlis), Izwan Azir TV3, Nazri Kahar AWANI, Imam Muda Azhar OASIS.

3. Bidang kerjaya. Datuk Nik Mustapha Nik Hassan, Prof Datin Dr Azizan, Encik Nik Roskiman (IKIM)

Cukuplah beberapa nama yang saya kongsikan.

Dalam dunia yang kian mencabar dan usia saya yang sudah meningkat, saya harus banyak lakukan perubahan. 2009 telah saya tinggalkan dengan khazanah sejarah sebagai seorang mahasiswa Al-Azhar yang berpolemik. Justeru, apa lagi yang harus saya lakukan selepas 2 tahun lima bulan saya berada di Malaysia.

Saya merancang kehidupan saya dengan pemikiran yang kadang-kadang boleh jadi silap dan kadang-kadang boleh jadi tepat. Justeru, atas perhubungan dan jaringan sosial yang luas, saya memerlukan kuasa saya berada di seluruh dunia.

Saya belajar semua ini daripada pemikiran Tun Dr Mahathir Mohamad. Mengapa tidak, saya melihat Tun telah mencipta pelbagai pembaharuan dalam kehidupan. Saya berbangga kerana menjadi generasi muda lepasan Al-Azhar yang amat penting pada hari ini.

Itulah mesej penting saya maklumkan kepada Dr Juanda Jaya selaku Mufti Perlis. Saya maklumkan kepada beliau bahawa saya perlu berada di dalam organisasi tertinggi kerajaan satu masa nanti. Saya mahu membentuk acuan Al-Azhar yang mentadbir. Itu juga yang saya maklumkan kepada Datuk Nik Mustapha selaku Ketua Pengarah IKIM. Walaupun saya dicabar dengan pelbagai soalan, tetapi saya yakin apa yang saya lakukan.

Dalam sisi yang berbeza, saya ke Institut Islam Hadhari di UKM bertemu dengan Prof Ismail Ibrahim. Saya berbangga kerana Prof Ismail mencipta nama dan tempat tersendiri sebagai graduan Al-Azhar dan menjadi pemikir utama kepada pentadbiran negara pada zaman beliau.

Setuju atau tidak, tetapi amat penting bahawa saya perlu berada di pentas tertinggi negara. Barangkali jalannya mudah atau tidak. Itu sahaja. Sebab itu, kerja-kerja berada di tempat dan strategi yang tepat sedang saya lakukan. Pasti, sekurang-kurangnya umur 30 tahun saya sudah mampu mencipta ruang dan tempatnya.

Johor Corporation. Saya pernah bekerja di Johor Corporation selama 1/2 hari. Oh, bahagian undang-undang yang meletakkan saya di tempat ini. Biarpun setengah hari, saya telah berkenalan dengan Kumpulan Wakaf Annur Berhad (KWANB) dan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG). Waktu itu, saya masih ingat lagi apabila diminta menguruskan undang-undang perjanjian bagi syarikat berhad KWANB dan MPPG.

Hari ini, seorang daripada kenalan saya sudah berada di dalam Majlis Tertinggi di Johor Corporation. Beliau akan menjaga KPJ dan KULIM Berhad. Wow!

Saya tidak pernah mengharapkan saya berada di dalam Johor Corporation. Tetapi, barangkali 10 tahun akan datang, saya bersedia berada di dalam pentadbiran Johor Corporation di sana. Amin.

Apapun, perjalanan ini tidak sempurna tanpa ilmu yang mantap di dalam dada.

Tambahan :

Sedang menguruskan Dr Jumaah Amin selaku Naib Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin... Ada orang minta saya meletup di negara ini. Insya-Allah, 2012 naga akan meletup. Mungkinkah saya adalah Adam Adli baru?



Thursday, January 26, 2012

Ikat Kontrak Bersama Inteam


RAMAI dan kebanyakan orang kenal dengan kumpulan nasyid Inteam. Insya-Allah, jika tiada aral melintang, saya akan mengikat kontrak bersama kumpulan nasyid Inteam mulai bulan Februari ini.

Usah terperanjat jika saya mengatakan bahawa saya sebenarnya sudah bersedia berhadapan dengan dunia bebas dalam masa terdekat ini. Realitinya, saya mahu berlari sendiri tanpa ada apa-apa ikatan.

Apa yang akan berlaku dari hari ke hari saya akan menunggu dan terus menunggu. Apabila kita mengikat kontrak dengan mana-mana pihak, kita akan mendapat 'gaji tetap' sebagai upah kontrak yang dilakukan.

Saya fikir, dengan tujuan ini saya akan lebih bersedia untuk menguruskan syarikat sendiri tanpa bantuan mana-mana pihak.

Setiap hari saya memikirkan benda baru dalam hidup. Ya, bisnes membuatkan saya berfikir lebih laju. Dengan bisnes juga menyebabkan saya tinggalkan dunia tidur saya dengan banyak. Saya sudah peruntukkan seawal Subuh saya dengan berfikir dan bertindak. Malam saya dengan berfikir dan bertindak.

Terima kasih kepada Tuhan yang membenarkan pemikiran saya sebegini.

Tambahan :

Saya bukan ikat kontrak sebagai seorang penyanyi ya....:)


Tuesday, January 24, 2012

AWAL FEBRUARI : Ada berita mengejutkan!

Tinggal lagi tujuh hari masuk bulan Februari. Awalan kata, ada sesuatu yang akan menggemparkan banyak pihak termasuk pembaca blog saya pada 1 Februari tersebut.

Saya telah bertemu dengan mentor untuk mendapatkan nasihat dalam dunia kehidupan saya. Oh, saya berbangga atas nasihat dan pandangan yang diaturkan untuk saya membina keputusan.

Malah, saya menganggap beliau telah membuka pemikiran yang realistik kepada saya. Seawal pengumuman nanti pada 1 Februari, pasti ramai akan menyaksikan saya berposisi dalam stesen televisyen baru.

Ah! Usah pelik dengan apa yang bakal berlaku pada 1 Februari nanti. Semuanya akan terjawab pada hari tersebut.



Thursday, January 19, 2012

PENGUMUMAN 2012 : Oxford Centre for Islamic Studies Menolak Permohonan Saya



Barangkali sesuatu yang memeranjatkan apabila saya mengumumkan perkara ini. Namun, untuk pengetahuan, saya telah membuat permohonan untuk menduduki Oxford Centre for Islamic Studies, UK disebabkan perancangan untuk mendirikan rumahtangga dengan salah seorang pelajar di Universiti Leeds.

Selepas sahaja saya berkenalan dengan salah seorang mahasiswi Universiti Leeds tersebut, saya mengambil keputusan menyambung pengajian di sana supaya memudahkan urusan rumah tangga selepas perkahwinan itu berlangsung.

Akhirnya, percintaan kami terpaksa dibatalkan disebabkan pelajar itu mohon berundur kerana 'tidak sanggup menghadapi kehidupan saya sebagai seorang petugas penyiaran'. Barangkali kesibukan saya menyebabkan pelajar itu terpaksa membuat pertimbangan menolak. Ada hikmah yang tersembunyi pastinya.

Dan, hari ini saya mendapat surat melalui emel daripada pihak pentadbiran universiti menyatakan perkara berikut :


Dear Mr Zulakifli, (memang orang UK tulis name of family)

Visiting Fellowship Programme 2012-2013

I am writing with reference to your application for our 2012-2013 Visiting Fellowship Programme. Each year we have considerable competition for the two Visiting Fellowships we are able to offer.

Given the strong field, final choices have not been easy to make. I regret to inform you that, on this occasion, it has not been possible to offer you one of these Fellowships.

I wish to take this opportunity to thank you for your interest in the Oxford Centre for Islamic Studies.

Yours sincerely,
Katie Mertens (MS)
Academic Administrator


__________________________________________________
Oxford Centre for Islamic Studies, George Street, Oxford OX1 2AR
Tel: +44 1865 278738; Fax: +44 1865 248942
Web: www.oxcis.ac.uk
__________________________________________________
A Recognized Independent Centre of the University of Oxford



Fikir saya, ini semua adalah hikmah yang tersembunyi...

Nantikan pengumuman yang lebih memeranjatkan selepas ini....

CLIFFHANGER


Wednesday, January 18, 2012

TUHAN, KAU MELORONGKAN JALAN INI



JUJURNYA, saya baru sahaja pulang dari menghadiri temuduga di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) beberapa hari yang lalu.

Entah mengapa, selepas 15 bulan berkhidmat di TVAlhijrah; saya mahu memilih jalan baru dalam hidup. Kecewa? Barangkali ya dan barangkali tidak. Tiada jawapan yang sahih dapat dilakarkan buat masa ini. Apa yang saya mampu catatkan adalah, “Tuhan, kau melorongkan aku jalan kebaikan yang suci. Aku hanya mengikut keputusan Engkau.”

Saya yakin dan percaya bahawa apa yang ditetapkan dalam perjalanan hidup saya ini adalah sesuatu yang pasti. Sama ada baik atau buruknya. Malah, saya menganggap percaturan dan perjalanan hidup saya memang ditentukan oleh Allah Yang Maha Berkuasa.

Mengimbas kembali perjalanan hidup saya, siapa sangka saya memegang keaslian Ijazah Sarjana Muda Syariah, Universiti Al-Azhar, Mesir. Saya suka berkongsi rahsia bahawa; saya mempunyai sebuah buku yang saya tulis semenjak tingkatan empat lagi. Buku itu sehingga kini masih wujud. Catatan tertinggi buku tersebut adalah ‘Yang Berhormat Prof. Dato Dr Haji Syafiq Zulakifli’

Saya berfikir bahawa dalam usia saya seawal 26 tahun ini salah satu dari pingat tersebut saya sudah peroleh iaitu ‘Haji’. Alangkah bertuahnya saya. Dari satu sisi yang lain, nilai-nilai di atas barangkali seolah-olah membongkak diri, namun saya memandang ini semua adalah kerja-kerja Tuhan yang mengizinkan. Jika saya terlepas atau tidak mampu menggapai- ia adalah kelemahan diri saya sendiri dan saya reda.

Mengimbas kembali dan detik saya sebagai seorang graduan Al-Azhar, dalam sela perjalanan panjang itu, saya tiba-tiba cenderung menjadi seorang penulis. Sejujurnya, seawal dunia penulisan saya adalah kerana keterpaksaan dan dipaksa. Oleh itu, saya memilih jalan untuk memaksa diri belajar daripada orang lain.

Daripada KEM LATIHAN PENULIS (KELAP) yang diadakan itulah, saya menjadi seorang penulis yang entah apa-apa sehingga hari ini.

Saya melayan kehidupan dan ragam penulis lama, kini dan terkini. Waktu itulah saya dapat berkenalan dengan insan ternama seperti Dato A Samad Said, Allahyarham Azizi Abdullah, Allahyarham S Othman Kelantan, Puan Ainon Mohd, Faisal Tehrani, Nisah Haron, Mawar Shafei, Siti Jasmina Ibrahim, Zaharah Nawawi, Salmiah Ismail, Zaiton Hussein, Azizah Supardi, Dr Anwar Ridwan, SM Zakir, Shamsuddin Othman, Fahd Razy dan ramai lagi. Nama-nama besar ini saya kenal dalam masa yang terlalu singkat. Ya, terlalu singkat sekitar 2-3 tahun.

Saya mengucap kesyukuran kerana keterpaksaan itulah, saya mengenal erti buku dan membaca. Ah! Lihat sahaja keputusan SPM saya yang hampir hancur atas sebab saya seorang insan yang malas membaca. Saya tidak suka membaca buku. Ya, dan barangkali sewaktu umur menjangkau 21 tahun, saya baru mengenal dunia buku kerana ramai orang bilang, “Mahu jadi penulis perlu banyak membaca.”

Dan, saya berfikir-fikir, kini saya baru berusia lima tahun dalam dunia membaca. Sebab itu, pembacaan saya cetek dan tidak luas. Kini, saya amat menyesal juga kerana lima tahun ini saya hanya menghabiskan masa membaca novel sastera yang mempunyai nilai sastera namun tidak mempunyai wacana ilmu.

Oleh sebab itu, saya akan melakukan keputusan-keputusan baru dengan meninggalkan seketika buku sastera dan beralih ke dunia pengajian akademik dan ilmiah. Itu yang hampir pasti!

(2)

Sepanjang perjalanan inilah saya meranum dunia sastera sehingga insan yang dahulu saya mahu mencarinya; Zainal Rashid Ahmad kini merupakan Pengurus Besar saya merangkap bos saya.

Saya teringat lagi waktu itu – saya membeli majalah Tunas Cipta dan melihat seorang insan yang dapat mengisi satu ruang segmen. Sepanjang dua muka surat tulisan wartawan itu. Saya terfikir, siapa sebenarnya Zainal Rashid Ahmad ini? Alangkah terperanjatnya, kuasa Allah menentukan segalanya apabila beliau adalah bos saya tatkala usia saya 26 tahun.

Indah bukan kuasa Allah. Namun, berat mata memandang berat lagi bahu memikul apabila saya mendengar khabar tidak sihat bahawa kami akan berpisah. Jujur, saya masih lagi mahukan jerit pekiknya, saya masih lagi mahukan airmata kekesalannya.

Aduhai, masih ingat lagi tatkala saya menjalankan tanggungjawab ke bumi Mekah baru-baru ini saya mendapat jerit pekik dari seorang bos. Saya tidak menyangka bahawa biarpun dari jauh saya berada nun jauh di luar Negara – saya mendapat pekikan itu. Barangkali itulah kenangan hidup yang tidak akan berakhir di dalam hidup saya. Noktah.

(3)

Siapa saya agak-agaknya lima tahun mendatang? Saya fikir, saya mungkin akan di ‘gilai’ sewaktu usia saya menjangkau 30-an. Ada kemungkinan juga saya akan digam dan dipenjara ketika saya berumur sedemikian rupa. Perkara-perkara ini menjadi pemikiran saya.

Dan, saya tidak mahu menyalahkan takdir, bahawa dalam usia 30 itu saya akan memegang gelaran Yang Berhormat! Itu kemungkinan yang hampir pasti dan tidak pasti.

Saya menjangkakan lorong-lorong hidup saya ini adalah peraturan bertulis daripada Allah Taala. Saya menjangkakan lorong-lorong kehidupan saya ini merupakan hadiah yang Allah anugerahkan.

Oleh sebab itu, tidak wajar saya membelakangkan Allah dalam setiap perkara. Saya tidak wajar menafikan kewujudan Allah – biarkan kekadang Allah sengaja saya ‘hilangkan’ tatkala saya sedang melakukan maksiat. Astagfirullah…

Ah! Saya menjerit dalam hati mengatakan, saya adalah penulis murahan kepada Allah!


Friday, January 13, 2012

Bisnes : Belajar Target

APABILA membuka apa-apa syarikat, letakkan matlamat jangka panjang dan jangka pendek. Oleh kerana syarikat saya masih baru bermula, segala perancangan sepanjang suku pertama tahun 2012 ini hanya berjalan sekitar 30% perjalanannya.

Apapun, dalam satu sisi berbeza, saya menyasarkan perolehan untung kasar yang perlu dicapai tahun ini adalah RM 200,000.00 dengan jumlah pendapatan masuk dan bekerja di bawah urus tadbir syarikat adalah RM 500,000.00. Doakan segala apa yang dirancang pada tahun ini mencapai sasarannya.

Sekiranya target ini tidak dicapai pada akhir tahun 2012, SZAC mencapai perolehan GAGAL!

(Syarikat saya menyasarkan pengiraan nilai enam angka kerana melibatkan sektor penerbitan, penyiaran dan perdagangan antarabangsa melalui kebudayaan)




Friday, January 06, 2012

Setiap Perjalanan Itu Ada Baik Buruknya...

Tn Haji Bukhari Che Muda, CEO TVALHIJRAH yang banyak bertaruh keringat kerana saya

SETIAP PERJALANAN ITU ada baik dan buruknya. Saya tidak meletakkan harapan yang tinggi kepada sesiapa. Namun, saya perlukan pemikiran saya dibina. Saya memerlukan saya dibimbing.

Ramai orang menganggap saya manusia suci. Sedangkan, saya bukanlah orang yang suci itu. Saya memerlukan jaringan yang amat luas di dalam pengurusan dan pentadbiran diri sendiri. Saya mahukan kerjaya saya dibina atas rasa tanggungjawab yang suci juga. Saya bukan seorang hipokrit di dalam dunia kerjaya.

Empat belas bulan berada di sebuah stesen televisyen pertama Islam negara; saya rasa tidak apa yang mampu saya banggakan. Saya adalah insan kerdil semata-mata. Saya polos di dalam perjalanan ini dan saya fikir saya bukanlah orang yang memberi apa-apa di dalam industri penyiaran Islam.

Saya tidak gemar hal tetek bengkek yang berlaku dalam industri Islam. Saya mahu orang mengenal Islam bukan sekadar Islam pada perkataan. Orang berbangga kerana sebuah stesen televisyen Islam tetapi atas kertas kerja dan proposal sahaja.

Mohon maaf jika saya mengungkapkan bahawa kerana dunia penyiaran ini juga saya 'terpaksa' bergadai nyawa meninggalkan teman-teman dan pengaruh saya di dalam dunia sastera saya. Saya terpaksa mengorbankan jiwa saya untuk teman-teman seangkatan. Saya penat dan lelah. Saya letih.

Saya sayang sebuah industri penyiaran Islam. Saya sayang akan sebuah pengurusan Islam. Namun, saya tidak mampu berlari dengan lebih laju kerana saya di'bungkus' semata-mata kekalahan saya dalam tradisi bertugas.

Mudahnya manusia membungkus kekalahan seseorang sedangkan saya seharusnya dibimbing dan diasuh. Saya seharusnya disayangi kerana saya seorang insan yang menyayangi.

Betapa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Saya ingin bebas dan saya pasti setiap perjalanan itu ada baik buruknya.

Ini semua kerja Allah. Itulah ungkapan yang saya jalurkan dan kuduskan kepada Ilahi tatkala mewakili TV Alhijrah ke Mekah Al Mukaramah.

Saya akan melakukan kejutan tidak lama lagi!



Thursday, January 05, 2012

Kejutan-Kejutan 2012



SAUDARA pernah bukan menonton Aznil Hj Nawawi membuat kejutan di dalam rancangannya Akademi Fantasia di Astro Ria. Namun, apakah saudara pernah menonton kejutan-kejutan yang dilakukan oleh saya sendiri.

Oh pasti saudara pernah melihat saya melakukan kejutan-kejutan drastik semasa saya berada di Mesir lagi tatkala pembongkaran hal tetek bengek yang berlaku di dalam industri persatuan kita di Mesir.

Kejutan yang lain barangkali saudara secara jelas melihat saya terjun ke dalam bidang yang songsang dengan sistem pendidikan saya. Saya menganut di dalam jurusan Syariah, malah saya memilih paksi penerbitan dan penyiaran di dalam kerjaya.

Semua ini sebenarnya adalah kejutan-kejutan yang tidak pernah tergambar di dalam pemikiran saya. Saya berbangga kerana saya keluar dari kepompong tidak sihat itu.

Saudara juga mendapat tahu bahawa saya membuat kejutan pada awal tahun ini dengan memperkenalkan kejutan istimewa apabila syarikat saya SZAC telah dirasmikan apabila logo diumumkan secara rasminya.

Namun, apakah kejutan-kejutan 2012 yang akan berlaku? Nantikan pengumuman dari semasa ke semasa.

Masa tidak menunggu kita. Saya tidak melakukan kejutan pada tahun 2011 sehingga saya tidak mendapat apa-apa di dalam hidup! Argh! Failed...

1. Kejutan mestilah bersifat positif.

2. Kejutan mestilah bersifat membina diri.

3. Kejutan mestilah bersifat realistik.

Wednesday, January 04, 2012

Pembukaan Kembara Mencari Haji Mabrur

Sekiranya perjalanan ini dibukukan, mungkin inilah mukadimahnya....

KEMBARA MENCARI HAJI MABRUR

Syafiq Zulakifli

Jika ada orang bertanya kepada saya, apakah wujud keseronokkan sewaktu menjejakkan kaki ke Tanah Suci; jawapan saya adalah – “Saudara perlu pergi dan berada sendiri di tempat Rasulullah – penghulu sekalian Nabi dan berusahalah untuk menjadi tetamu Allah.”

Betapa benar bahawa saya tidak dapat menceritakan secara panjang lebar apa yang saya rasai kerana bagi mereka yang sudah tiba di Kota Suci ini – tentu tidak sama dengan apa yang digambarkan berdasarkan pemahaman dan pembacaan saudara di dalam kitab dan buku.

Saya juga mengalami hal ehwal yang sama. Sesekali ilmu Haji yang dipelajari di dalam kitab feqah tidak sama dengan pengalaman praktikal yang dihadapi. Teori hanya sebagai sebuah teori.

Datangkanlah saya buku “Travelog Haji : Mengubah Sempadan Iman” karangan Prof Kamil Ibrahim sekalipun, ia langsung tidak sama dengan apa yang dilalui sepanjang lebih lima puluh lima hari berada di sana.

Lalu – saya berkira-kira untuk berkongsi hal ehwal pengalaman kerana bagi saya setiap orang pasti melalui pengalaman berbeza. Saya mulakan cerita sebegini.

Mekah barangkali tidak sama dengan Madinah. Dua kota yang berbeza. Barangkali siapa yang menjejakkan kaki ke Madinah terlebih dahulu – mereka akan kecewa tatkala tiba di Mekah kerana apa yang diimpikan tidak dapat dicapai.

Apabila bicara tentang haji – pasti kita mengetahui bahawa Tabung Haji adalah pihak pengurusan yang bertanggungjawab mengatur semua jemaah Malaysia di sana. Dari sisi yang berbeza ; saya melihat betapa wajarlah pengurusan TH diiktiraf oleh pihak Arab Saudi kerana pembangunan dan pencapaian yang telah dilakukan semenjak menguruskan jemaah dari awal (apabila tiba) sehingga berakhir musim haji.

Namun, terdetik hati saya menyatakan – jika saudara mempunyai kewangan yang lebih eloklah mengesyorkan ayah dan bonda untuk memilih mengikuti perjalanan melalui PAKEJ yang disediakan oleh TH. Biarpun mahal tetapi nikmat ibadah dapat dirasai.

Sebagai wartawan yang diberi tanggungjawab untuk membuat laporan – pasti banyak perkara yang telah dipelajari dan dapat dikumpul bersama-sama. Saya mulakan perjalanan di Kota Madinah terlebih dahulu.

Pengalaman di Bukit Uhud. Saya bukan pengkaji sejarah yang tegar. Namun, setelah beberapa kali tiba di kawasan ini – saya jadi syahdu. Oh, betapa syuhada Uhud banyak dimakamkan di sini. Antaranya Saidina Hamzah, Masab bin Umair, Abdullah Al-Jahshi, dan Hanzalah bin Amir.

Masjid Quba ada cerita tersendiri. Begitu juga dengan masjid Qiblatain.

Apakala berada di Masjid Nabawi – hanya Allah sahaja yang tahu betapa kami mudah menghadapi Raudhah. Masuk ke Raudhah di dalam keadaan selesa.

Sebelah masjid Nabawi, terletaknya Baqi’ (tempat perkuburan)

Dalam sebuah hadis, Rasulullah menyatakan;

Siapa yang mampu menutup usia di Madinah, maka hendaklah di meninggal di sana, karena aku memberi syafa`at pada orang yang meninggal di sana” HR. Tirmizi no.3917 & Ahmad jilid I hal.74

Mereka yang berada di situ adalah Aisyah, Saudah, Siti Zainab . Manakala anak Rasulullah yang dimakamkan disitu adalah Siti Ummu Kaltsum, Siti Ruqayyah serta Fatimah.

Air zam zam adalah minuman harian.

Di Mekah atau Madinah, minuman ini sentiasa tidak lari daripada perjalanan saya dan teman-teman.

Singgah ke Mekah ada pelbagai cerita lagi. Lebih sebulan berada di Mekah, setiap hari saya melihat pelbagai ragam dan keadaan terutama para jemaah Malaysia yang setiap hari berkunjung ke kota suci tersebut.

Di Mekah, saya sempat singgah ke tempat pelaksanaan Haji (Arafah – Mina – Muzdalifah dan jamarat) Juga, sempat juga memanjat Jabal Nur yang adanya Gua Hira’ di puncaknya. Hebatnya tempat di mana ayat pertama di dalam Al-Quran ini turun.

Cuaca –hanya Allah sahaja yang tahu. Panas yang lebih membahang daripada negara sendiri.

Meniti hari demi hari – saat kemuncak tiba. Pelaksanaan haji akan bermula. Ia bermula pada 8 Zulhijjah sehari sebelum berada di Padang Arafah. Betapa langit Arafah tidak sama dengan langit Malaysia.

Ada hari yang kami sasar.

Ada hari yang kami lewah dan hilang begitu sahaja kerana kepenatan.

Ada juga peristiwa yang tidak dapat diceritakan di sini.

Sekian, wassalam.

TVAlhijrah, Disember 2010

Sunday, January 01, 2012

Pengumuman LOGO SZ Art & Consultancy

Assalamuaikum wrb

Sukacita dimaklumkan mulai 1 Januari 2012, pelancaran dan pengumuman logo rasmi bagi Syafiq Zulakifli Art & Consultancy. Logo ini mempunyai ciri-ciri falsafah mendalam di dalam organisasi SZAC.

Ciri pertama : KUNCI

Ciri kedua : KERUSI TEMPAT ORANG DUDUK

Ciri ketiga : BULATAN TIDAK LENGKAP

Ciri keempat : HURUF (Shin) DALAM JAWI

Dengan logo ini juga, diumumkan bahawa SZAC akan beroperasi secara rasminya mulai 2012 beralamat cawangan khas di Taman Setapak Jaya Baru, Kuala Lumpur.

Terima kasih dan kredit kepada Mohd Faiz Abidin kerana menghasilkan logo ini.