Kenali Diri

My photo
Johor Bahru, Johor, Malaysia
SYAFIQ ZULAKIFLI adalah graduan Universiti Al-Azhar, Kaherah,Mesir. Berasal dari negeri Johor Darul Takzim. B.A (Hons)Syariah, Al-Azhar (2009) Editor PTS Publication & Distributor Sdn Bhd(2010) Eksekutif Penyelidikan Editorial TVAlhijrah(2012)Penerbit Rancangan IKIMfm (Mulai 1 Mac 2012) Sebarang pertanyaan emelkan ke syafiqzulakifli @ gmail.com atau hubungi +6017 7346 946

Wednesday, January 18, 2012

TUHAN, KAU MELORONGKAN JALAN INI



JUJURNYA, saya baru sahaja pulang dari menghadiri temuduga di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) beberapa hari yang lalu.

Entah mengapa, selepas 15 bulan berkhidmat di TVAlhijrah; saya mahu memilih jalan baru dalam hidup. Kecewa? Barangkali ya dan barangkali tidak. Tiada jawapan yang sahih dapat dilakarkan buat masa ini. Apa yang saya mampu catatkan adalah, “Tuhan, kau melorongkan aku jalan kebaikan yang suci. Aku hanya mengikut keputusan Engkau.”

Saya yakin dan percaya bahawa apa yang ditetapkan dalam perjalanan hidup saya ini adalah sesuatu yang pasti. Sama ada baik atau buruknya. Malah, saya menganggap percaturan dan perjalanan hidup saya memang ditentukan oleh Allah Yang Maha Berkuasa.

Mengimbas kembali perjalanan hidup saya, siapa sangka saya memegang keaslian Ijazah Sarjana Muda Syariah, Universiti Al-Azhar, Mesir. Saya suka berkongsi rahsia bahawa; saya mempunyai sebuah buku yang saya tulis semenjak tingkatan empat lagi. Buku itu sehingga kini masih wujud. Catatan tertinggi buku tersebut adalah ‘Yang Berhormat Prof. Dato Dr Haji Syafiq Zulakifli’

Saya berfikir bahawa dalam usia saya seawal 26 tahun ini salah satu dari pingat tersebut saya sudah peroleh iaitu ‘Haji’. Alangkah bertuahnya saya. Dari satu sisi yang lain, nilai-nilai di atas barangkali seolah-olah membongkak diri, namun saya memandang ini semua adalah kerja-kerja Tuhan yang mengizinkan. Jika saya terlepas atau tidak mampu menggapai- ia adalah kelemahan diri saya sendiri dan saya reda.

Mengimbas kembali dan detik saya sebagai seorang graduan Al-Azhar, dalam sela perjalanan panjang itu, saya tiba-tiba cenderung menjadi seorang penulis. Sejujurnya, seawal dunia penulisan saya adalah kerana keterpaksaan dan dipaksa. Oleh itu, saya memilih jalan untuk memaksa diri belajar daripada orang lain.

Daripada KEM LATIHAN PENULIS (KELAP) yang diadakan itulah, saya menjadi seorang penulis yang entah apa-apa sehingga hari ini.

Saya melayan kehidupan dan ragam penulis lama, kini dan terkini. Waktu itulah saya dapat berkenalan dengan insan ternama seperti Dato A Samad Said, Allahyarham Azizi Abdullah, Allahyarham S Othman Kelantan, Puan Ainon Mohd, Faisal Tehrani, Nisah Haron, Mawar Shafei, Siti Jasmina Ibrahim, Zaharah Nawawi, Salmiah Ismail, Zaiton Hussein, Azizah Supardi, Dr Anwar Ridwan, SM Zakir, Shamsuddin Othman, Fahd Razy dan ramai lagi. Nama-nama besar ini saya kenal dalam masa yang terlalu singkat. Ya, terlalu singkat sekitar 2-3 tahun.

Saya mengucap kesyukuran kerana keterpaksaan itulah, saya mengenal erti buku dan membaca. Ah! Lihat sahaja keputusan SPM saya yang hampir hancur atas sebab saya seorang insan yang malas membaca. Saya tidak suka membaca buku. Ya, dan barangkali sewaktu umur menjangkau 21 tahun, saya baru mengenal dunia buku kerana ramai orang bilang, “Mahu jadi penulis perlu banyak membaca.”

Dan, saya berfikir-fikir, kini saya baru berusia lima tahun dalam dunia membaca. Sebab itu, pembacaan saya cetek dan tidak luas. Kini, saya amat menyesal juga kerana lima tahun ini saya hanya menghabiskan masa membaca novel sastera yang mempunyai nilai sastera namun tidak mempunyai wacana ilmu.

Oleh sebab itu, saya akan melakukan keputusan-keputusan baru dengan meninggalkan seketika buku sastera dan beralih ke dunia pengajian akademik dan ilmiah. Itu yang hampir pasti!

(2)

Sepanjang perjalanan inilah saya meranum dunia sastera sehingga insan yang dahulu saya mahu mencarinya; Zainal Rashid Ahmad kini merupakan Pengurus Besar saya merangkap bos saya.

Saya teringat lagi waktu itu – saya membeli majalah Tunas Cipta dan melihat seorang insan yang dapat mengisi satu ruang segmen. Sepanjang dua muka surat tulisan wartawan itu. Saya terfikir, siapa sebenarnya Zainal Rashid Ahmad ini? Alangkah terperanjatnya, kuasa Allah menentukan segalanya apabila beliau adalah bos saya tatkala usia saya 26 tahun.

Indah bukan kuasa Allah. Namun, berat mata memandang berat lagi bahu memikul apabila saya mendengar khabar tidak sihat bahawa kami akan berpisah. Jujur, saya masih lagi mahukan jerit pekiknya, saya masih lagi mahukan airmata kekesalannya.

Aduhai, masih ingat lagi tatkala saya menjalankan tanggungjawab ke bumi Mekah baru-baru ini saya mendapat jerit pekik dari seorang bos. Saya tidak menyangka bahawa biarpun dari jauh saya berada nun jauh di luar Negara – saya mendapat pekikan itu. Barangkali itulah kenangan hidup yang tidak akan berakhir di dalam hidup saya. Noktah.

(3)

Siapa saya agak-agaknya lima tahun mendatang? Saya fikir, saya mungkin akan di ‘gilai’ sewaktu usia saya menjangkau 30-an. Ada kemungkinan juga saya akan digam dan dipenjara ketika saya berumur sedemikian rupa. Perkara-perkara ini menjadi pemikiran saya.

Dan, saya tidak mahu menyalahkan takdir, bahawa dalam usia 30 itu saya akan memegang gelaran Yang Berhormat! Itu kemungkinan yang hampir pasti dan tidak pasti.

Saya menjangkakan lorong-lorong hidup saya ini adalah peraturan bertulis daripada Allah Taala. Saya menjangkakan lorong-lorong kehidupan saya ini merupakan hadiah yang Allah anugerahkan.

Oleh sebab itu, tidak wajar saya membelakangkan Allah dalam setiap perkara. Saya tidak wajar menafikan kewujudan Allah – biarkan kekadang Allah sengaja saya ‘hilangkan’ tatkala saya sedang melakukan maksiat. Astagfirullah…

Ah! Saya menjerit dalam hati mengatakan, saya adalah penulis murahan kepada Allah!


3 comments:

MKriza said...

Salam perkenalan saudara.

Saya juga mengkagumi Zainal Rashid Ahmad. penulisannya saya kira lain dari yang lain. Pengalamannya usah ditanyalah... banyak dan berwarna-warni. Hidup saudara juga pelbagai warna perjalanan. Ketika usia muda inilah, saudara perlu mencuba pelbagai perkara.
Saya doakan tuan berjaya dalam apa juga bidang.

Mr Syafiq said...

Terima kasih di atas doa saudara. Hanya Allah akan membalas setiap kebajikan tersebut.

Saya doa juga saudara mampu menjadi insan luar biasa itu

Mr Syafiq said...
This comment has been removed by the author.