Langkau ke kandungan utama

Rencana ini disiarkan di akhbar Mingguan Malaysia, 20 Mei 2012

'Jangan Sampai Hilang Segalanya'

MUKADIMAH

CADANGAN supaya Majlis Fatwa Kebangsaan bermuzakarah bagi membincangkan kewajaran parti politik menggunakan perkataan Islam pada nama parti mengundang pelbagai reaksi. Ia merujuk perkataan ‘Islam’ pada nama parti Pas.
Ada pihak berpandangan, ia wajar memandangkan penggunaan perkataan Islam itu boleh mengelirukan umat Islam, terutamanya dalam kalangan penyokong fanatik Pas sendiri. Ada pula berpandangan bahawa ia tidak lebih sekadar gesaan berbaur politik.

Kepada wartawan Mingguan Malaysia, ABDUL MUIN SAPIDIN dan jurugambar ROY ABDUL AZIZ, Mufti Perak, TAN SRI HARUSSANI ZAKARIA berkata, gesaan itu timbul kerana sifat dan falsafah perjuangan Pas itu sendiri yang sudah jauh berubah.

Harussani juga menarik perhatian bahawa UMNO-Pas sebagai parti orang Melayu tidak wajar terus bercakaran terutamanya dalam perkara-perkara yang menyentuh kepentingan agama dan umat Islam di negara ini.

‘‘Mereka (UMNO-Pas) boleh berbeza banyak perkara dalam politik. Tetapi dalam jajaran memelihara yang hak terutamanya yang menyentuh kepentingan agama dan ukhuwah umat Islam, mereka perlu mempunyai pendirian yang sama. Jangan biar kita dibinasakan. Jangan sampai kita hilang segalanya," katanya.

MINGGUAN: Apa pandangan Tan Sri mengenai gesaan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya Majlis Fatwa Kebangsaan bermuzakarah bagi membincangkan kewajaran Pas menggugurkan perkataan Islam daripada nama parti itu?

HARUSSANI: Secara jujur, saya tidak mahu mencampuri soal-soal begini. NGO-NGO ini bolehlah membuat satu cadangan terus kepada Majlis Fatwa Kebangsaan supaya cadangan mereka (pengguguran nama Islam dalam nama parti Pas) dibincangkan. Dalam soal ini, mereka mestilah memberi alasan-alasan munasabah supaya dapat dipertimbangkan perkara ini. Terpulanglah kepada majlis termasuk urus setianya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk buat agenda perbincangan.

Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan pernah memutuskan tidak menghalang penggunaan nama Islam dalam organisasi termasuk parti. Dengan perkembangan akhir-akhir ini, ada saranan supaya ia dikaji semula bagi menjamin kesucian agama Islam. Apa pandangan Tan Sri?

HARUSSANI: Kita tidak pernah menghalang penggunaan nama Islam itu selagi ia tidak menyalahgunakan hukum-hukum Islam atau membuat fatwa yang bukan-bukan. Sekiranya pada satu tahap ia merosakkan Islam itu sendiri, maka kita harus membuat pertimbangan, tidak wajar ia dikekalkan begitu.

Saya tidak memihak mana-mana, tetapi kalau mengambil kira pergolakan-pergolakan yang berlaku sekarang, saya fikir desakan-desakan ini timbul kerana Pas sendiri. Ramai melihat Pas telah terkeluar daripada konsep perlembagaannya sendiri. Kalau dalam undang-undang tubuhnya, jelas ia bermatlamat menubuhkan sebuah kerajaan Islam dan melaksanakan undang-undang Islam. Tapi kita lihat sekarang, matlamat itu sendiri sudah digugurkan, bukan lagi satu keutamaan. (Hukum) hudud pun bukan lagi keutamaan. Bahkan, dicadangkan pula supaya nama Islam itu sendiri dipinda dalam perlembagaan Pas. Kini mahu diangkat konsep addin, ia sudah menjadi terlalu umum pula. Orang mula tertanya-tanya kenapa semua perkara yang mendasari perjuangan Pas ini mahu diubah dan apa yang mendorongnya.

Kita lihat satu persatu perkara yang menjadi keutamaan Pas sebelum ini diketepikan. Hakikatnya, bila kita bercakap soal addin atau Islam sebagai satu cara hidup, maka semua hukum Islam termasuk hudud itu perlu jadi keutamaan.

Maksud Tan Sri, perjuangan Pas sudah terpesong?

HARUSSANI: Orang boleh buat pelbagai interpretasi. Kita lihat di awal penubuhannya dahulu, berlaku perpecahan dengan UMNO kerana tidak setuju mengenai penggabungan UMNO dengan MCA dan MIC, maka Pas keluar sebagai salah satu cabang dalam UMNO. Kedua, mereka kata penggabungan ini adalah bertentangan dengan hukum syarak. Kemudian mereka kata matlamat penubuhan negara Islam tiada dalam agenda parti Perikatan pada masa itu, maka mereka keluar. Bentuk kempen ketika itu, lebih kepada dakwah untuk mengajak kepada usaha berpegang teguh kepada agama Islam dan melaksanakan hukum-hukum Islam.

Namun, akhir-akhir ini, kempen itu tidak lagi dilihat menghala ke arah itu. Ia berubah kepada kempen yang membawa kepada perpecahan sehingga timbul hukum bahawa orang yang sokong parti UMNO akan kafir. Pada satu peringkat, wujud kekecohan kerana orang tidak mahu makan haiwan sembelihan orang UMNO, haram katanya. Begitu juga, berlaku di tempat-tempat tertentu, ayam berpikul-pikul dibuang ke sungai kerana dikatakan tidak halal kerana disembelih oleh orang UMNO atau orang yang menyokong UMNO. Timbul juga perpecahan dari segi sembahyang apabila satu kariah ada dua tempat solat Jumaat. Orang Pas solat di markas, tidak mahu ke masjid. Ini berlaku tetapi tidak disekat oleh pemimpin-pemimpin, seolah-olah ia direstui.

Dalam kempen yang dilakukan pula, penuh dengan maki-hamun, caci-nista, umpat-mengumpat, kutuk-mengutuk sehinggalah melaknat. Ini bukan ajaran Islam. Agama menyeru kita bersatu-padu, berkasih-sayang sesama manusia. Kita tidak boleh berputus hubungan dan itu ditegaskan dalam Islam. Sebab itulah, ketika tiba di Madinah, Rasulullah jadikan perpaduan itu sebagai keutamaan dengan mempersaudarakan orang Ansar dan Muhajirin. Bahkan Allah memberi amaran, sekiranya kita berpecah, bangsa kita akan jadi lemah, mungkin suatu hari nanti kita digantikan dengan bangsa lain. Dalam konteks Malaysia, orang Melayu semakin berpecah, kalau ini terus berlaku kita akan kehilangan segala-galanya. Bukan sahaja hilang kuasa, tapi kita akan hilang negara iaitu negara yang disebut negara Melayu.

Teguran dan kritikan Tan Sri sering mengundang persepsi negatif sehingga ada yang cenderung melabelkan Tan Sri sebagai jurucakap UMNO.

HARUSSANI: Saya tidak memihak ke mana-mana (parti politik). Saya selalu ingatkan diri saya mengenai perkara itu. Saya mahu bercakap mengenai kebenaran. Apa yang benar saya sokong, perkara yang salah tetap saya tegur. Saya biasa jumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan tegur benda yang tidak betul. Bukan menulis surat tetapi saya tegur secara berdepan. Pembangkang juga saya tegur. Bila saya jumpa Perdana Menteri, ada (teguran) yang diikut, ada juga tidak. Walaupun ada yang tidak diikut, tetapi mereka tidak pernah mencaci saya. Malangnya, ada pihak yang tidak boleh ditegur langsung. Jika ditegur, kita dikutuk, dicap pula sebagai ahli parti itu dan parti ini. Orang perlu faham, saya ini penasihat agama, menjadi kewajipan untuk menegur dalam soal memelihara akidah, memelihara syariat dan peradaban Islam. Itu kewajipan saya. Kalau ada yang tidak betul, saya wajib tegur. Soal orang mahu terima atau tidak, itu perkara lain.

Pelik bila kita tegur, mereka maki hamun. Sehingga satu tahap, saya dianggap anjing. Dalam khutbah pun sebut anjing, keluar pula gambar muka saya tapi badan anjing. Jadi inikah yang kita panggil dakwah? Saya tidak marah, buatlah apa pun, mengatalah apa pun. Saya semahunya ingin mencontohi ulama tabie, Syeikh Hassan Al Basri yang mana apabila orang memfitnahnya dia bersyukur kerana mendapat pahala percuma. Mereka boleh berkata apa sahaja mengenai saya, tetapi pernahkah mereka berfikir apa pandangan orang lain? Orang akan bertanya beginikah akhlak orang Islam ini?

Bagaimana dengan tindakan Pas menghalalkan perkara yang haram meskipun bercanggah dengan Islam. Misalnya larangan perhimpunan haram Bersih 3.0 yang telah difatwakan haram oleh Majlis Fatwa?

HARUSSANI: Ya, ini pun ada yang marah bila saya tegur mengenai penganjurannya yang pertama dulu sampailah kepada Bersih 3.0. Saya awal-awal lagi mengatakan ia tidak boleh. Pertama, alasan saya ialah tempat yang kita hendak pergi itu kawasan larangan, kepunyaan orang. Kalau kita tidak dibenarkan masuk tetapi kita masuk juga, maka itu menceroboh dan hukumnya haram. Kedua, dikhabarkan ia bagi tujuan kedamaian tetapi kita tengok di situ berlaku jeritan, cacian dan maki-hamun. Ini tidak betul.

Lebih teruk lagi, ada yang menyebut bahawa Saidina Umar Al Khattab pernah berdemonstrasi. Ini satu penghinaan yang cukup besar terhadap sahabat kerana Umar tidak pernah berdemonstrasi. Cuma apabila masuk Islam, dia bertanya kepada Rasulullah adakah Islam ini agama yang benar lalu dijawab ya oleh Rasulullah. Maka Umar berpendapat, jika benar begitu tidak patut umat Islam menyorok. Maka Umar keluar bertakbir menjelaskan mengenai Islam, sebab itu dia digelar al-Farouk. Itu bukan perbuatan tunjuk perasaan, hendak tunjuk perasaan kepada siapa?

Ada juga yang mengatakan isteri Rasulullah menyertai tunjuk perasaan, ini juga sangat menghina. Cuma Allah mengingatkan isteri-isteri Nabi Muhammad bahawa mereka tidak boleh kahwin dengan Rasulullah kalau hendakkan kesenangan. Ini kerana hidup Rasulullah memilih hidup kemiskinan supaya orang miskin akan terpelihara, supaya golongan miskin tidak kecewa kerana seorang rasul yang miskin pun boleh beribadat dan bertakwa kepada Allah. Itulah hikmahnya.

Bila kita membuat tuduhan begitu, kita sudah menghina para sahabat. Bila kita menghina sahabat, maka itu suara syiah. Apakah unsur syiah ini sudah terserap masuk dalam kehidupan kita? Ada juga yang merujuk fatwa Yusuf al-Qardawi tapi kita kena faham tempat beliau lain, suasananya juga lain. Wajar ditanya, adakah dengan (berdemonstrasi) itu boleh selesaikan masalah? Kita tengok di Mesir, adakah pembunuhan berhenti? Begitu juga di Libya, keadaannya menjadi lebih buruk apabila orang Islam berbunuhan sesama sendiri. Ini semua olahan penjajah untuk menjahanamkan Islam, mereka mahu Islam berpecah. Itulah yang sedang berlaku dalam negara kita. Malangnya, ada yang tidak mahu menilai perkara ini secara jujur, orang mahu melihat politik itu lebih daripada segalanya.

Ada sesetengah pihak termasuk kalangan pemimpin pembangkang yang secara terang-terangan memperlekehkan keputusan Majlis Fatwa malah Tan Sri sendiri 'diberi amaran' oleh Mursyidul Am Pas supaya 'tidak campur tangan' dalam soal politik.

HARUSSANI: Kita kena faham, (Majlis Fatwa Kebangsaan) tidak mengeluarkan hukum begitu mudah. Kita tidak boleh sebarangan dalam menghukum. Kalau mengharamkan yang halal, kita jadi kafir. Begitu juga kalau kita menghalalkan yang haram, kita juga jadi kafir. Sebab itu penilaian dibuat berdasarkan perhatian dan juga keadaan. Keputusan kita mesti berdasarkan nas-nas.

Macam saya sebut tadi, orang tidak benarkan kita masuk (Dataran Merdeka), nas sudah kata itu perbuatan menceroboh. Kemudian kita perlu tanya, tunjuk perasaan itu untuk apa? Kalau untuk jatuhkan kerajaan, itu satu pemberontakan dan hukumnya haram untuk memberontak menjatuhkan pemerintahan yang sah dipilih secara demokratik. Jadi di mana kewajaran untuk mengatakan (demonstrasi) ini sah?

Seperkara lagi, kita lihat siapa yang anjur perhimpunan ini. Orang yang anjurkannya ialah orang yang terang-terang anti Islam. Dulu pernah hendak bina Suruhanjaya Antara Agama (IFC) yang jelas tujuannya untuk merendah-rendahkan agama Islam. Kita menentang cadangan ini habis-habisan dan Alhamdulillah, kerajaan tidak benarkan penubuhannya. Lalu mereka jadi kecewa, malah pernah keluarkan kenyataan supaya saya dipecat daripada mufti. Jujurnya, saya tidak hairan kalau dipecat, hendak pecat bukan masalah, tetapi ini kewajipan saya untuk menentang sesuatu yang boleh mencemarkan Islam. Saya tidak boleh biar. Dalam soal ini juga, tidak kiralah dia parti mana atau atas nama Islam sekalipun, jika tidak betul maka saya tetap tegur. Kalau dia betul, atas parti mana pun saya boleh terima, tetapi kalau tidak benar maka kita tidak boleh berdiam.

Jangan kita terlalu taksub. Jangan kita terlalu ikut hawa nafsu sehingga bertuhankan iblis, mengikut ajaran iblis sehingga sanggup berkerat rotan. Bayangkan bagaimana ketika ada orang kafir mencaci orang Islam, tetapi orang Islam yang lain boleh bertakbir? Sepatutnya, jika ada kafir mencaci orang Islam, kita wajib mempertahankan. Tapi bila umat kita dihina, kita seronok pula. Ini sikap yang membawa kepada kehancuran umat. Ia sangat menyedihkan, tetapi itulah yang berlaku dalam masyarakat kita pada masa ini.

Apakah pandangan Tan Sri dengan kecenderungan umat Islam di Malaysia untuk tidak menghormati pandangan ulama bahkan sanggup menghina ulama yang tidak sealiran dengan mereka.

HARUSSANI: Bagi saya, ini amat berat. Ia berlaku kerana mereka dididik cara begitu. Mereka dididik supaya tidak menghormati pandangan orang lain, tidak kiralah ia pandangan ulama atau tidak. Orang tidak setuju pandangan saya itu tidak mengapa kerana yang penting saya lakukan tanggungjawab, orang boleh terima atau tidak adalah soal kedua. Saya juga tidak pernah kata saya ini ulama, tetapi bila ada yang mengutuk ulama tidak kiralah dari mana, bagi saya itu perkara yang sangat berat. Itu bukan lagi dakwah Islam.

Sebenarnya, orang tidak hormat pada ulama kerana ulama juga. Mereka tidak boleh terima pandangan lalu mencemuh, maka wujud bermacam pandangan negatif kepada ulama. Bila orang tidak hormat ulama apa akan jadi kepada masyarakat? Nabi Muhammad SAW sudah beri amaran, kalau golongan ulama sudah tidak dihormati, maka akan hancurlah masyarakat itu.

Ada yang berpendapat, kecelaruan politik ini berpunca daripada sikap serta kecenderungan untuk mempolitikkan segala-galanya sehingga agenda perpaduan ummah bukan lagi jadi satu keutamaan. Komen Tan Sri?

HARUSSANI: Kita perlu jujur menerima hakikat bahawa kita tidak boleh asingkan diri dan hidup kita daripada politik. Begitu juga, tidak boleh asingkan daripada agama, mana boleh kita terkeluar daripada politik, terkeluar daripada agama. Itu ajaran liberal. Islam memang sudah liberal tetapi ia terhad. Liberal dengan erti kata sekadar memenuhi perintah Allah. Kita hanya tunduk pada perintah Allah, orang lain kita tidak peduli melainkan yang dibenarkan syarak. Itulah gambaran liberalnya kita.

Tetapi orang di barat lain. Agama mereka tidak punyai peraturan yang jelas, misalnya dalam soal pemerintahan, mereka mahu bebas daripada kongkongan agama, tidak mahu berpegang kepada agama. Sebab itu kadang-kadang cara hidup mereka lebih teruk daripada binatang. Kita ambil contoh di Amerika Syarikat, berapa negeri yang sudah membenarkan perkahwinan sejenis sama ada lelaki dengan lelaki atau perempuan dengan perempuan. Perangai ini binatang pun tidak suka. Sebab itulah Allah pernah kata manusia itu lebih sesat daripada binatang.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini berkata bahawa pakatan pembangkang akan meminda Perlembagaan Persekutuan yang ketika ini meletakkan Islam sebagai agama rasmi kepada Islam sebagai addin jika menang pilihan raya. Komen Tan Sri?

HARUSSANI: Pertama, kita perlu faham bahawa apa yang terkandung dalam Perlembagaan itu adalah sebahagian daripada wasiat raja-raja Melayu ketika negara ini mahu dimerdekakan. Ketika itu sentimennya cukup berbeza. Wasiat itu antara lain mahu supaya agama Islam diletakkan paling atas, begitu juga dengan bahasa Melayu dan hak-hak keistimewaan orang Melayu. Tapi nampaknya selepas lebih 50 tahun, kita pula (orang Melayu) berantakan sesama sendiri sampai apa yang diwasiatkan itu pun jadi tidak tentu hala.

Kedua, setahu saya, ada parti lain yang lebih awal mahu meminda Perlembagaan negara. Bahkan, sudah ada cadangan mahu gantikan Islam dengan agama lain atau pun tidak mahu sebut langsung pasal agama dalam Perlembagaan. Selain itu, orang juga tertanya-tanya bagaimana Pas mahu menjadikan Islam itu addin jika rakannya (dalam pakatan pembangkang) tidak setuju? Kalau addin ini mahu diangkat, maka hukum-hukum Islam itu mesti dilaksanakan sejajar dengan definisi addin itu sendiri. Dalam soal ini, bagaimana mahu dilakukan jika ada orang kata 'langkah mayat saya dahulu kalau hendak jadikan Malaysia negara Islam'. Malah, DAP berulang kali menegaskan bahawa persefahaman mereka (pakatan pembangkang) tidak pernah menyebut langsung mengenai perkara ini. Jadi addin yang bagaimana dimaksudkan itu?

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

SAMBUNG BELAJAR KE MESIR

NOTA KEMASUKAN SESI 2020/2021 ============================= UPDATE INFO TERKINI Pengalaman yang selalu membuatkan seseorang cinta untuk menimba pelbagai ilmu. Pengalaman melihat kawan-kawan yang berjaya dilahirkan melalui kampus pengajian di bumi Mesir juga merupakan satu pengalaman yang tidak mampu dijual beli. Tinggalkan pengalaman saya yang telah menuntut di Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir pada tahun 2004-2009. Itu adalah suatu pengalaman yang amat-amat bernilai dan berharga.  Keputusan STAM/SPM 2019 telah keluar. Alhamdulillah. Ramailah di antara kita sedang membuat pilihan untuk memilih sama ada menyambung pengajian ke dalam negara atau memilih ke luar negara. Alhamdulillah, kurniaan Allah SWT kepada saya, tahun 2016 lalu saya telah berpeluang menjejakkan kaki ke bumi Mesir melihat sistem pendidikan terbaharu di Mesir. Banyaklah pembaharuan dan kemajuan di Mesir berbanding pengalaman lampau pada tahun 2009 sewaktu berada di bumi Mesir. Kali ini sa

Kubu Kota Kaherah struktur terhebat tamadun Islam

Susunan ZUNAIDAH ZAINON KUBU Kota (Citadel) adalah monumen terhebat dari zaman pertengahan yang telah mencipta panorama menarik di seluruh bandar Kaherah, Mesir sejak 700 tahun lalu. Selain menjadi tarikan pelancong dari seluruh pelosok dunia, binaan Kubu Kota adalah struktur terhebat dalam sejarah keagungan tamadun Islam. Gabenor Hatim Ibn Hartama dipercayai membina astaka Dome of the Wind pada tahun 810. Kemudiannya, pada 1176, Salah ad-Din (turut dikenali sebagai Saladin) iaitu pemerintah Abbasiah (1171-1193) menukar fungsinya daripada kawasan peranginan kepada kubu pertahanan dan melindungi kawasan tersebut daripada serangan tentera Kristian dalam Perang Salib. Menurut cerita legenda, Salah ad-Din memilih lokasi tersebut untuk mendapatkan udara segar. Ini disebabkan kebanyakan daging yang disalai telah menimbulkan bau yang kurang enak di seluruh bandar kecuali kawasan di sekitar kubu kota. Bagaimanapun, lokasi tersebut amat strategik dan mampu berfungsi sebagai benteng pertahanan.

Perintis Diploma Pengurusan Dakwah

 Di antara mahasiswa Diploma Pengurusan Dakwah yang telah menuntut di Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI)