Kenali Diri

My photo
Johor Bahru, Johor, Malaysia
SYAFIQ ZULAKIFLI adalah graduan Universiti Al-Azhar, Kaherah,Mesir. Berasal dari negeri Johor Darul Takzim. B.A (Hons)Syariah, Al-Azhar (2009) Editor PTS Publication & Distributor Sdn Bhd(2010) Eksekutif Penyelidikan Editorial TVAlhijrah(2012)Penerbit Rancangan IKIMfm (Mulai 1 Mac 2012) Sebarang pertanyaan emelkan ke syafiqzulakifli @ gmail.com atau hubungi +6017 7346 946

Thursday, September 29, 2011

Kembara Mencari Haji Mabrur 3









Semua orang percaya kepada rezeki yang Allah berikan. Ya, begitulah ketetapan hidup dan perjalanan setiap apa yang kita lakukan.

Setelah dua tahun meninggalkan kota bertuah Mesir, kini saya kembali di bumi Arab. Biarpun latar tempatnya hampir tidak sama, tetapi roh dan kehidupan Mesir- Madinah dan Mekah hampir sama.

Panas. Itulah gambar awal yang saya dapat ukirkan. Saat menjejakkan kaki ke bumi Masjidilharam- saya mengalirkan airmata. Terlintas dalam fikiran dan bisik dalam hati -
Ya Allah, Engkau begitu Maha Menyayangi hambaMu ini. Engkau memberi peluang daku menjejakkan kaki ke rumahMu. Saya mengulang bicara yang saya terlalu merindui Kaabah.
Lantas, apabila Kaabah berada di hadapan mata - saya hampir rebah. Saya hampir tidak percaya bahawa ini adalah Kaabah betul dan bukan potret.

Sepanjang perjalanan sebelum menjejakkan kaki ke bumi Mekah Al Mukaramah, saya mengalun talbiah "Labbaikallahummalabaik." Saya merenung pandang jauh. Saya berfikir,
apa akan berlaku sekiranya saya tidak dapat melihat Kaabah di hadapan mata. Ya, saya risau kalau-kalau sepanjang hidup di dunia ini - ada dosa yang belum terampun.
Kalau ada hina sebelum ini - ada ampun yang belum ditebus. Itu yang menjadi pemikiran saya.

Namun, apabila Kaabah berada di hadapan - semacam rasa yang berada di nubari. Saya gagahkan diri.

Terima kasih kepada Izwan Azir (TV3) yang membantu sepanjang perjalanan awal semasa melakukan tawaf. Saya terpisah jauh. Tawaf pertama saya kira sudah berpisah dengan teman-teman yang lain. Saya terpaksa meninggalkan diri keseorangan.
Berlalu tujuh kali tawaf - saya menuju ke Bukit Safa dan Marwah. Ya, alhamdulillah, dapat berjalan sepanjang medan saie di sini.

Selepas solat Subuh, saya bergunting!

Setiap kali solat fardu, saya berpeluang solat di Masjidilharam. Barangkali mahu mencari fadilat dan kelebihan solat di sini yang gandanya lebih dari 100,000 kali pahala solat di masjid biasa.

Setiap waktu saya merenung jauh melihat betapa Allah itu Maha Agung - dan Maha Besar di atas segala ciptaanNya. Hebat Kota Mekah, bumi lahir Nabi Muhammad. Ini bumi Mekah...

(2)
Seharian di Mekah - akhirnya kami berhijrah ke Madinah.

Kami mengunjungi Masjid Nabawi yang terletak di dalamnya Makam Rasulullah. Teman saya bersungguh-sungguh menitiskan airmata tatkala saya membacakan doa kepada Rasulullah SAW.

Ya...amat terasa kehilangan Baginda dan kami berada di sisi Baginda pada waktu ini - namun kami tidak sanggup melihat kehidupan kami yang entah apa-apa sebelum ini.

Saya mengukir senyum tatkala dapat berziarah ke Makam Rasulullah, Makam Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar. Aduh! Betapa saya yang dilahirkan di dalam suasana kehidupan berlatar belakang pengajian Islam pun amat teruja.

Sesekali saya membilang titis doa yang dibaca- berharap moga-moga Allah ampunkan dosa saya yang telah lalu. Amin.



Boleh baca juga di sini
http://www.facebook.com/syafiq.zulakifli?sk=notes#!/note.php?note_id=282084575143342

Thursday, September 22, 2011

Kembara Mencari Haji Mabrur 2

TH

Tinggal dua malam sahaja saya perlu meninggalkan; Malaysia - kota yang membesarkan saya dengan sejarah politik negara tersendiri. Saya mengumpul kekuatan biarpun hampir rebah pada mulanya.

Subuh pagi ini tidak sama dengan Subuh-Subuh yang lain. Suasana berubah. Kelam. Tiada satu cahaya pun masuk ke ruang bilik saya. Putus bekalan elektrik. Allah, ujian Tuhan saya rasa. Ujian yang amat dahsyat...

Setiap kali musibah berlaku, saya akan merenung jauh. Saya fikir - mengapa saya terlalu cepat untuk dihukum Allah. Mengapa terlalu cepat Allah memberi musibah.

Saya tidak kecewa dengan apa yang berlaku malah merakamkan "terima kasih Allah" di atas apa yang berlaku.

Usai menunaikan solat Subuh, saya merapatkan badan ke arah dinding. Berzikir sedalam-dalamnya. Aduhai...betapa saya mula merasakannya lewat pagi ini.

Persoalan demi persoalan singgah di benak fikiran saya. Saya gagahkan diri. Mandi.

Dengan kesihatan yang kurang baik, saya ambil sekeping roti dan sebungkus keropok ala syibsyi sewaktu di Mesir. Teringat pada tokmiah bil batotis, itu yang saya fikirkan.

Lazat. Namun, hanya saya gagah mengambil sekeping roti sahaja. Badan panas. Cuaca di luar tidak menentu. Hujan gerimis.

Sebelum saya bersiap dan memakai pakaian - air mata perlu diseka lagi. Seluruh tubuh jadi tidak menentu...oh betapa berat perjalanan yang harus ditempuh.

Perjalanan yang membawa saya mengenal Tuhan. Betapa perjalanan ini rupa-rupanya ada payah dalam mudah.

Namun, betapa benar; setelah dua tahun saya meninggalkan padang Kaherah - saya kembali ke tanah Arab lagi. Biarpun bukan Mesir - tapi sekurang-kurangnya saya bakal merenung dalam-dalam warga Arab Saudi yang bertutur di dalam bahasa Arab.

Saya berdoa moga-moga permusafiran ini diberkati.

Lazimi zikrullah...Allah...Allah...Allah....


Sunday, September 18, 2011

Kembara Mencari Haji Mabrur 1

Perjalanan semakin hampir...

Saat dan waktu yang dijanjikan bakal memulakan pertemuannya. Saya membilang hari - menjenguk kalau ada-ada dosa yang belum diseka. Mencari kalau-kalau ada singgung tak diterima. Aduh; betapa kerdilnya sebuah perjalanan yang akan bermula ini.

Semalam, 17 September hari pertemuan jemaah yang saya labelkan 1/14 daripada keseluruhan jemaah Malaysia untuk bertamu di tanah haram Mekah. Catatan saya akan bermula di sini. Dari atas - tepi dan hadapan - insyaAllah saya akan catatkan di sini.

Di sini catatan ini bermula...dan di sini catatan ini akan berakhir. Kembara Mencari Haji Mabrur - falsafah yang pasti mencuit hati dan nubari.

Allahuakbar...

Sunday, September 11, 2011

Siapa Kita Sepuluh Tahun Lalu?

Izinkan saya menjejakkan kaki ke bumi ini lagi.


MOGA-MOGA ISTIQAMAH.

Sudah lama juga saya tidak mencatat. Wal hasil, selepas di desak oleh pelbagai pihak yang saya bertemu di pentas Assalamualaikum atau di luar menyatakan hasrat dan membantah peninggalan saya terhadap dunia penulisan; lalu saya bersetuju atas pertikaian tersebut.

Ya, barangkali saya terlalu berfikir panjang sehingga catatan menjadi hanya catatan di bibir semata-mata.

Almaklum, catatan ini saya tulis tatkala bumi New York dijarah sepuluh tahun yang lalu. Ya, hari ini 11 September 2011- sedekad yang lalu genap bangunan WTC yang menjadi mercu tanda New York dimakan dengan lahap oleh tentera yang masih menjadi misteri. Malah, kekejaman ini disandarkan kepada Osama Laden yang telah meninggalkan dunia baru-baru ini.

Sedekad yang lalu, saya berada di Tingkatan Empat; sekolah menengah agama. Tahun itu juga- saya amat berkesibukan kerana mewakili sekolah dalam pelbagai acara dan pertandingan. Ya, tahun yang melayakkan saya mendapat gelaran di peringkat daerah dan negeri.

Semua itu terakam dalam memori. Ya, setelah sepuluh tahun berlalu -apa sumbangan yang mampu saya lakukan? Saya kebodohan saat itu. Saya tidak tahu apa itu WTC dan terpaksa malah memaksa-maksa diri mengenali Pentagon, Bush, dan Osama yang memang mengujakan.

Terasa diri kerdil sangat. Dan, sementelah mendewasa di bumi gersang Al-Azhar, baharulah saya mengerti akan semua ini. Barulah saya tahu bahawa ini rupa-rupanya dunia. Dunia ini lahir dengan sebuah permainan yang dinamakan membaca.

Catatan saya banyak tertinggal tatkala sekolah menengah. Saya amat meninggalkan pengalaman-pengalaman sebagai salah seorang pelajar asrama yang ada kekuatan tanpa bimbingan.

Semua itu, saya dapat rasainya...

Perjalanan mengajar saya sebuah erti. Dan, dalam sedekad ini - malah menjadi tarikh keramat dan sejarah - saya perlu melakukan sesuatu.

Hal ehwal bandar Greece saya sudah tinggalkan hampir dua bulan yang lalu. Dan, kini saya bakal menempuh satu alam baru iaitu alam haji. Membawa diri mengembara di dalam lipatan sejarah hidup sebagai seorang hamba Allah pasti tidak sama membawa diri mengembara sebagai seorang pelajar.

Jika dahulu - saya bergelar pelajar; kali ini pengembaraannya lebih daripada seorang hamba kepada TuhanNya dan juga sebagai seorang wartawan dilokasi.

Dan, paling utama- pada tarikh ini juga- saya masih bergelar seorang suami tanpa isteri. Hahaha...