Langkau ke kandungan utama

12+13=25

...Saat puasa terakhir bersama junior di Mesir...
(Malam itu, Ustaz Rasul pulang ke Malaysia)

SUDAH LAMA tidak masuk kelas matematik. Oleh sebab kantuk tidak menyebelahi, setelah jam di dinding menunjukkan angka 3, saya segera menulis satu perkara yang sejak malam tadi berlegar-legar di atas kepala.

Malam tadi saya mendengar ceramah haraki yang disampaikan oleh Ketua Pemuda PAS Negeri Kedah, Ustaz Ahmad bin Yahya. Sungguh saya gemar orang 'Kedah' berucap. Ada slanga yang susah hendak dijumpai oleh mana-mana penceramah.

Namun, bukan intipati ceramah itu yang ingin saya bicarakan tetapi lebih daripada itu saya terlalu berfikir panjang.

Ya! Tentang angka 12 dan 13.

Sepanjang dua belas tahun semenjak kelahiran, saya tinggal bersama ibu dan bapa. Kemudian, sejak menginjak ke angka 13 hingga 25 ini, saya tidak lagi tinggal sebumbung dengan mereka.

Bermula 12 Januari 1998, setelah saya diperkenalkan dengan SMA Kerajaan Johor Kluang selama 5 tahun, kemudian berpindah ke Maahad Johor, Johor Bahru selama 1 tahun. Kemudian berbaki 5 tahun di Mesir sebelum 1 tahun menetap di Kuala Lumpur @ Selangor.

Wah! Satu perjalanan yang panjang rupa-rupanya. Jikalau saya mengarang autobiografi barangkali sudah tiba di puncaknya.

Tiba-tiba ada resah di dalam diri. Ada rasa bersalah semenjak pulang dari Mesir. Mengapa saya tidak pulang dan berkhidmat di negeri sendiri? Mengapa saya tidak melunaskan tanggungjawab di negeri peribadi.

Mahu dibilang bahawa negeri Johor tiada peluang pekerjaan, amat-amat mustahil. Malah, saya fikir boleh sahaja saya berkhidmat di mana-mana sektor pekerjaan.

Lebih kurang seminggu yang lalu, saya bertukar pandangan dengan seorang senior saya di dalam kantung YM.

Saya beritahu beliau bahawa, saya tidak mahu jadi guru. Saya sudah ralit bersama pelajar peringkat bawah. Saya mahu berkhidmat di Politeknik atau Kolej Komuniti sahaja (mendidik pelajar kelas tinggi). Beliau pula memaklumkan bahawa ada dua buah MRSM akan di buka di negeri Johor.

Aduh! Saya belum berfikir untuk berkhidmat sebagai guru disebabkan saya sudah ralit menjadi guru. (walaupun sambilan)

Dan, sementelah setahun ini saya mahu cari jalan baru. Jalan yang akan membawa saya ke lorong yang lebih terang-benderang. Lorong kehidupan yang banyak ragamnya.

Barangkali saya adalah orang 'terpelajar'. Justeru, saya perlu sambung belajar. Perlu membawa segulung lagi ijazah baru.

Saya pernah bercita-cita membawa diri ke Oxford sehingga dua minggu lalu saya bertemu dengan seorang pensyarah (PhD) yang kini berada di United Kingdom dan memaklumkan bahawa ada tawaran dibuka untuk ke sana. Aduh! Saya mati akal sekali lagi.

Saya hubungi pihak pengurusan di Malaysia dan bertanyakan tentang hal ehwal itu. Ya! Benar. Ada pengajian di sana. Namun, yang lebih utama adalah penguasaan Bahasa Inggeris sebagai salah satu medium utama. Saya muncung semula....

Hari ini, setelah 25 tahun 1 minggu ini, saya mahu kembali kepada asal!

Apa jalan terbaik?

Ulasan

Husna Adnan berkata…
Jalan terbaik adalah lakukan apa yang kita seronok lakukan. (^_^) Memaksa diri lakukan perkara yang kita tidak suka akan mematikan motivasi hidup dan juga kadang-kadang, mengaburkan jiwa yang cantik.
Scene-R berkata…
Jalan yang terbaik adalah memohon kepada Allah untuk mengarahkan kita ke jalan yang terbaik.Lakukan istikharah..:-)Moga berjaya dunia dan akhirat.

Catatan popular daripada blog ini

ZIKRAYAT EPISOD 6

ZIKRAYAT EPISOD 6 (Zikrayat ialah sebuah program menceritakan insan penting sepanjang kerjaya saya di Kuala Lumpur) Nama penyampai dan penerbit radio IKIM Faiz Hj Othman amat sinonim kepada pendengar radio. Faiz lebih muda daripada saya. Tetapi beliau berkhidmat setahun lebih awal daripada saya di IKIM. Antara insan yang paling banyak menyimpan rahsia sepanjang hampir 6-7 tahun saya di IKIM. Apa sahaja perjalanan hidup saya di Kuala Lumpur memang boleh dikatakan beliau amat tahu. Faiz anak kelahiran Kelantan. Mendapat pendidikan di Universiti Utara Malaysia, kini tinggal di Hulu Langat, Selangor. Beliau juga merupakan orang pertama yang ketahui saya tidak menyambung perkhidmatan (saya tidak mahu tandatangan surat sambung) Pada pagi Anugerah Nasyid 2019, dalam kekalutan itulah saya memaklumkan bahawa saya sudah bawa semua barang ke Johor Bahru. Terperanjat beliau. Saya beritahu, saya perlu ke Mekah dan buat istikharah terakhir sebelum buat keputusan balik ke negeri asal...

2024 : Membuka Tirai

SEJARAH KOLEJ UNIVERSITI ISLAM JOHOR SULTAN IBRAHIM (KUIJSI) Idea untuk menubuhkan sebuah institusi yang akan menjadi kesinambungan dan seterusnya menjadi era baru kepada pendidikan agama Islam di Negeri Johor Darul Takzim tercetus pada awal tahun 1997 apabila sekumpulan guru-guru kanan Maahad Johor; iaitu Ustaz Khudzairi bin Hj Jabar, selaku Pengetua, Datin Rohana binti Mohd Yassin, Penolong Kanan I, dan Ustaz Mohamed Salleh bin Sanwan, Penolong Kanan II pada ketika itu mendapat maklumat bahawa Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman telah menandatangani satu Perjanjian Persefahaman dengan Universiti Al-Azhar Al-Syarif. Hasil dari perjanjian tersebut, Kerajaan Negeri Kedah telah menubuhkan sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) dengan nama INSANIAH yang menjalankan programprogram berkembar dengan Universiti AlAzhar dalam bidang-bidang Syariah Islamiah, Usuluddin dan Bahasa Arab dengan graduangraduan dari INSANIAH akan menyambung pengajian mereka di Universiti Al-Azhar di tahun akhir. Ma...

Anugerah Sastera dan Penerbitan Buku

CATATAN ANUGERAH SASTERA Saya catatkan beberapa keputusan yang pernah saya memenangi sejak tahun 2007 hingga 2020 di dalam bidang kesusasteraan. 1. Hadiah Penghargaan - Sayembara Menulis Cerpen Jawi, Perpustakaan Negara Malaysia (2007) berjudul 'Sebuah Rahsia Merdeka' sempena 50 tahun Kemerdekaan Negara. 2. Hadiah Penghargaan - Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (2012), Cerpen 'Bukan yatim Gaza' 3. Hadiah Sastera Darul Takzim-IX (2013), Cerpen 'Bukan yatim Gaza' 4. Hadiah Sastera Darul Takzim-IX (2013), Puisi 'Tafakur di Makam Imam Syafie II' 5. Hadiah Penghargaan - Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (2014), Puisi 'Dari Mimbar Shinjuku' 6. Hadiah Sastera Perdana Malaysia (2014), Puisi 'Dari Mimbar Shinjuku' 7. Mewakili Malaysia ke Bengkel 'Majlis Sastera Asia Tenggara' (MASTERA) - 2017, kategori Puisi di Bogor, Indonesia. 8. Hadiah Sastera Darul Takzim ke-11 (2019), Puisi 'Dari Mimbar Masjidilharam'  PENERBITAN BUKU  1. Kumpulan P...