Sabtu, 14 November 2009
DRAMA AIRMATA IRINGI BENGKEL CERPEN PEN
Program Umbara Sastera III anjuran Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) selamat diadakan pada pagi Sabtu lalu. Program yang membariskan tiga orang pemenang Hadiah Sayembara Penulisan Berunsur Islami ke-12 menerusi kategori cerpen itu, dihadiri oleh hampir tiga puluh orang peserta.
Alhamdulillah, selepas Subuh saya memecut ke Negeri Sembilan untuk sama-sama mendengar proses kepengarangan karya pemenang iaitu Puan Nisah Haron (Tempat Pertama), Ustaz Amiza Khusyri (Tempat Ketiga) dan Puan Syarifah Salha (Saguhati). Ketiga-tiga mereka adalah ahli PEN dan merupakan penulis prolifik pada hari ini.
Tepat jam 11.00 pagi, program bedah karya dan bengkel cerpen yang dikendalikan oleh Puan Nisah dan Ustaz Amiza bermula.
Bermula dengan karya seorang penulis muda, Saudari Atriza Umar memperkenalkan cerpennya dan karya itu dibincangkan oleh para peserta.
Menariknya pada sebelah petang, karya Saudari Zalila Isa yang berjudul 'Mak Ngah' dibincangkan.
Saudari Zalila Isa menceritakan bahawa proses kreatif karya ini muncul selepas melihat Mak Ngah beliau merasai keperitan pada saat kematian Pak Ngahnya. Dalam karya tersebut, watak Mak Ngah diceritakan sebagai seorang yang amat menyintai suaminya Pak Ngah sepanjang hidupnya. Ke kanan Mak Ngah, ke kiri Pak Ngah.
Cerpen Mak Ngah mengangkat nilai kasih sayang antara suami isteri yang saling menyintai.
Sedutan cerpen Mak Ngah ;
PAK Ngah diam. Mak Ngah juga sama. Saudara mara yang datang berkunjung berbisik-bisik halus. Ada juga yang terkumat-kamit membaca sesuatu. Mak Ngah pandang Pak Ngah. Begitu juga Pak Ngah. Mak Ngah tunduk dan setitis dua air matanya jatuh.
Dalam komentar Puan Nisah, beliau menyatakan bahawa beliau sebak dan menangis tatkala menatap karya ini. Ustaz Amiza pula menyatakan beliau mengucapkan tahniah kepada Zalila kerana telah melakukan perubahan berbanding dengan karyanya sebelum ini.
Sebelum berakhir bengkel, Puan Mahaya Yassin selaku Ketua Satu PEN mencelah dengan memberi ulasan terhadap karya Mak Ngah. Barangkali teringatkan orang yang hampir dengannya (arwah suami), Puan Mahaya tiba-tiba menahan sebak dan tiba-tiba manik-manik jernih turun melalui pipi.
Kemudian, di akhir pertemuan bengkel tersebut, Saudari Ani yang kini terpaksa menggunakan oksigen untuk hidup menyampaikan ucapan terakhirnya,
"Terima kasih kerana menerima saya sebagai peserta bengkel walaupun saya dalam keadaan begini."
Drama air mata berulang lagi buat kali terakhir mengakhiri bengkel cerpen anjuran PEN itu.
Ahad, 15 November 2009
BERSAMA MASYARAKAT KANAK-KANAK DI GOMBAK
Turun bersama kanak-kanak di Gombak merupakan pengalaman pertama saya bersama adik-adik di peringkat pra-sekolah.
Saya amat terharu dalam usia yang terlalu muda, mereka telah menghafaz Surah Al-Buruj, Surah At-Tariq. Saya fikir, generasi hari ini sudah wajib di hantar ke Pusat Asuhan Islam dan bukan lagi tadika kemas.
Anak-anak sudah wajib dihantar ke PASTI. Baru-baru ini ketika bersama masyarakat di Kampung Serkat, Johor, ada ibu bapa yang memberitahu saya bahawa anak-anak darjah satu dapat dikelaskan pencapaian akademik dan agamanya melalui pembelajaran di peringkat pra-sekolah.
Jika anak itu cemerlang, pasti itu adalah anak yang lahir dari PASTI. Jika anak yang kurang sedikit, pasti itu adalah anak yang lahir dari KEMAS.
Fikir saya, rupa-rupanya kita sudah tiba masa menghantar anak ke sekolah agama!
Ulasan
Kenapa tak ulas cerpen Tok Wajdi Dacing? :D
Semoga ia memberi manfaat. Maksud saya, bengkel yang dihadiri.
Emosi sedang menyeberangi diri. Insya-Allah, selepas ini cerpen dacing itu nanti saya ulas.
Puan Ainon,
Secara peribadi, saya boleh jadi 'gila' kerana berehat.
Kak Zalila,
Karya yang menikam sukma ini harus dijadikan panduan.
Saya fikir, bukan semua perkara boleh diangkat menjadi isu di dalam blog. Ada yang perlu disimpan dan habis di dalam bengkel itu sahaja. Bimbang, kalau-kalau ada peserta yang mungkin tidak selesa untuk datang lagi.
Kerahsiaan di dalam kumpulan penting apabila berbengkel. Mereka yang hadir sebagai peserta telah menyerahkan karya/diri untuk dibedah di dalam bengkel itu, bukannya untuk dicanangkan ke satu dunia.
Cukuplah mereka kehadiran mereka diketahui umum. Harus diingat juga, ada peserta yang tidak mahu diberitahu kepada umum ke mana dia pergi pada suatu hujung minggu yang lalu. Ada peserta yang tidak mahu orang lain tahu dia pergi bengkel penulisan.
Wallahu'alam.