BERAT mata memandang, berat lagi bahu memikul. Begitulah ketetapan dan suratan yang telah ditentukan Tuhan. Lebih kurang 100 jam lagi saya akan meninggalkan kota bersejarah ini. Ya. Kaherah. Tempat berhimpun siswa dan siswi bagi meneruskan kesinambungan dan perintis ulama zaman silam bagi membuktikan bahawa pengajian dan kekuatan keilmuan dalam jatidiri seorang hamba adalah roh utama dalam jiwa.
Perjalanan yang melangkaui hampir lima tahun ini merupakan pengalaman berharga. Suka duka dan gelak ketawa saya bersama rakan-rakan dalam PMRAM adalah rencah kehidupan sebagai seorang mahasiswa.
Kritikan dan teguran saya kepada mana-mana pihak sama ada KBMK dan JPMK sebenarnya adalah semata-mata bagi menyedarkan insan yang sedang tertidur. Dalam penulisan-penulisan yang lepas saya banyak mengkritik golongan yang 'tertutup' sifatnya termasuk akhawat kita yang masih terbelenggu dengan gelombang suara-suara lama. Akhirnya mereka membuka minda dan mentafsirkan kalam saya. Terima kasih.
Sejujur mana juga yang anda tafsirkan, sebenarnya anda adalah sebahagian daripada hidup saya. Saya melihat dari jauh perkembangan minda golongan azhari yang semakin hari semakin bercambah keterbukaannya di samping kekuatan spiritual mandiri individu.
Walaupun saya masih belum selesa melihat perkara ini berada maju di tengah-tengah khalayak di samping melihat perpaduan di dalam segenap dunia mahasiswa tetapi sekurang-kurangnya saya sudah mula meninjau perkembangan dan perjalanan roh seorang pelajar Al-Azhar yang ingin mara ke hadapan.
Biar apa juga yang dilemparkan, saya adalah sebahagian daripada mahasiswanya. Yang mengetahui susur galur kesusahan menghadap dunia permukiman di tanah gersang ini.
Saya terlalu berterima kasih kepada Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang telah mengizinkan saya meneruskan pengajian ke sini. Ya. Mengikut catatan diari kehidupan saya, susur galur hidup sudah sampai ke puncaknya.
Seharusnya saya mengucapkan terima kasih kepada PMRAM yang membesarkan dengan warna seorang mahasiswa liberal pada awalnya. Akhirnya saya mampu tunduk mengaku bahawa saya adalah hamba Tuhan seperti kalian yang memerlukan bimbingan dan sokongan.
Terima kasih kepada guru-guru saya yang mengajar erti kedewasaan dan mendidik bahawa kita perlu berfikiran di luar kotak. Semua itu sudah saya alami. Apa yang lebih utama, ada satu medan yang bakal ditempuhi selepas ini dan pastinya ujian lebih besar akan dihadapi.
Yang paling teristimewa adalah saudara saya, Adlan yang banyak memberi. Teman-teman yang lain Ustaz Malik yang banyak berkongsi rahsia peribadi, Ustaz Nik yang mengisi kekosongan saya sepanjang saya berada di rumah Badan Pengurus ini. Juga, Ustaz Mu'izz selaku teladan utama bagi saya berhujah dengannya pada saat ini.
Ustaz Shahrizan yang membonceng saya ke mesyuarat perancang setiap kali. Ustaz Azrul yang mampu menutup mata ketakutan kala melihat dokumentari yang menyeramkan. Ustaz Zuhaili yang paling bermakna dalam diri kerana hilai tawa suatu ketika dulu terpaksa saya simpan buat sekian kali. Juga, Ustaz Azlan Alias yang mengisi ruang berteman dalam saat nafas terakhir ini.
Siapa lagi?
Ustaz Hairul Nizam Mat Husain seorang tokoh yang saya kagumi sehingga hari ini. Banyak memberikan jasa, menyumbangkan rindu dan melafazkan kasih sayang sebagai seorang abang yang tahu bahawa adik-adiknya perlu dibekalkan dengan wacana keintelektualan Islam. Yang terlalu mengharapkan bahawa saya menjadi sebahagian daripada pengisi kemenangan Islam.
Siapalah saya yang tidak mampu melafazkan ucapan terima kasih yang berpanjangan kepada semua pihak yang mengenali ataupun tidak sepanjang berada di bumi Mesir ini. Buat yang terasa hati dengan penulisan saya sebelum-sebelum ini, mohon diampunkan.
Buat adik-adik Matrikulasi Al-Azhar yang barangkali belum meredhai penulisan saya tatkala isu matrikulasi dibahaskan sehingga pelbagai teguran yang saya terima atas dasar mereka melihat bahawa dunia Al-Azhar perlu diwarnai oleh sejuta umat yang dahagakan ilmu.
Semuanya adalah tona kehidupan yang bagi saya adalah sebahagian daripada cabarang sebagai seorang penulis dan pendaie. Barangkali saya juga akan terpenjara selepas ini di Malaysia dengan penulisan saya yang lebih mesra dan memahami jiwa sebagai seorang pembaca.
Ucapan yang berterusan ini juga disandarkan buat semua Hal Ehwal Wanita Islam PMRAM yang telah banyak saya dera. Pekikan saya terhadap wanita Islam hari ini yang mati-mati saya pertahankan semata-mata bagi mengembalikan roh wanita sebagai sebahagian daripada pejuang Islam.
Maafkan juga kerana saya terlalu mengharapkan yang lengkap daripada kalian sedangkan kalian hanya sebatang pensel kecil yang perlu diasah setiap hari.
Siapa lagi yang perlu saya ucapkan, saya tidak dapat mengingati saat ini.
Apa yang lebih utama adalah Saudara Mohd Faizal Sabhon aka ezo yang puas melayan karenah saya sebagai seorang penulis yang hanya mendatangkan konflik dan perselisihan faham. Buat terakhirnya, 'Faizal, aku tak kan masuk UMNO sebagaimana yang kau harapkan!'.
Kaherah.
Ulasan
Ada apa dengan UMNO?