Langkau ke kandungan utama

SASTERA : Karya Fiksyen Saya


SAYA paling kecewa apabila karya yang saya tulis tidak diterbitkan oleh mana-mana penerbit. Ya. Saya pernah menghantar ke majalah mahupun akhbar semata-mata mahukan karya saya dibaca oleh orang awam atau setidak-tidaknya dibayar dengan harga RM 150.00 untuk simpanan saya dan belanja sampingan.

Lahir sebagai seorang penulis kecil, saya mengerti kelemahan saya. Malah, saya bukan sehebat penulis yang lahir daripada anak-anak Minggu Penulis Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka. Tetapi, itu semua saya tolak ke tepi. Yang saya perlu fikir adalah, jikalau karya itu dibakulsampahkan oleh pihak editor majalah mahupun akhbar, karya saya mahu juga ditatap oleh pembaca diblog saya ini.

Karya 'Kalau Ummi Ada Disisi' saya tulis ketika peperiksaan bulan Mei yang lalu. Saya faham bahawa menghadap buku selama 24 jam tentu membosankan. Sebab itu saya tulis dalam sela masa yang tidak lama. Sekitar satu jam. Kemudian saya berehat dan menyambungnya pada waktu yang lain sehingga ke akhirnya.

Barangkali karya mentah ini masih baharu untuk dibaca. Tetapi, saya mahu juga berkongsi.

Tambahan : Karya ini sebenarnya saya tulis sempena Hari Ibu (bulan Mei yang lalu).

**********************

CERPEN :
KALAU UMMI ADA DI SISI

Karya Syafiq Zulakifli

SATU

SAYA membuang pandang ke jendela luar rumah. Teman-teman sudah lena dibuai mimpi. Entah mengapa, mata saya belum kantuk sehingga jam dua pagi ini. Saya kerling bintang yang samar-samar. Saya hitung bintang dilangit. Ada lima. Yang lain, tampak berbalam-balam.

Adlan sedang menyiapkan tugasan di dalam kamar. Saya cepat-cepat melihat bulan Kaherah. Hati saya berdetik, bulan ini juga yang menyinar di negara saya Malaysia. Ya. Bulan yang sama. Maha Suci Allah yang menjadikan setiap satu kejadian, ciptaan langit dan bumi, matahari dan bulan dengan kejadian yang tidak terfikir oleh akal yang waras. Saya yang menyelami ilmu pengajian Syariah di Universiti Al-Azhar ini juga tidak tergapai menggambarkan kuasa Tuhan. Subhanallah.

Sudah empat bulan saya tidak menghubungi Ummi. Kali terakhir, selepas peperiksaan semester pertama, akhir Januari lalu. Ummi pesan, kalau pulang bawalah segugus ilmu daripada ladang Imam Syafie. Ummi mahukan saya menjadi Imam Syafie kedua. Itu cita-cita Ummi. Satu kampung sudah riuh anak Hajjah Rohaya akan bergelar tok guru selepas pulang tamat pengajian daripada Mesir. Saya jadi amat takut dan gerun. Gerun untuk mengisi jawatan tok guru itu.

Dingin malam menampar-nampar pipi. Barangkali musim sejuk belum lagi berakhir. Saya pandang jam di dinding. Tiga pagi. Malaysia jam sembilan pagi, getus hati saya. Saya yakin Ummi sudah bangkit dari lena. Saya capai kartu kecil yang bernombor di atas meja. Ia dinamakan kad e-voiz. Salah satu daripada jenis khidmat telekomunikasi menghubungkan saya dengan Ummi melalui talian daripada internet. Saya menekan kekunci komputer riba sehingga talian dapat disambungkan.

“Assalamualaikum…” Saya dengar suara Ummi.

Salam Ummi saya jawab dengan airmata. Entah mengapa, terlalu syahdu mendengar suara Ummi. Tangisan itu cepat-cepat dimatikan.

Sepanjang perbualan, sempat saya menceritakan keadaan teman-teman saya yang lain terutama Adlan yang menjadi teman akrab di rumah. Ummi memulakan perbualan dengan rancak. Macam-macam ceritera yang disampaikan. Ayam kampung dicuri, seekar tanah telah dijual, anak jiran yang cemerlang peperiksaan STAM dan macam-macam lagi.

Saya tidak mahu mengulang soalan yang sama, mengapa tanah dijual. Sebab saya sudah tahu bahawa tanah dijual kerana saya. Mahu menyara saya mempelajari ilmu di Mesir. Setiap kali saya menelefon Ummi, saya tidak pernah dengar Ummi mengeluh kerana tidak punyai wang simpanan. Malah sebelum ini, setiap permintaan saya jarang dihampakan. Pernah hati saya terdetik, mengapa Ummi semudah ini membenarkan permintaan saya. Tetapi, saya tidak terfikir akan pengorbanan yang Ummi berikan pada waktu itu. Saya amat kerdil menilai pengorbanan seorang ibu. Jauh sungguh tahap pengorbanan saya jikalau mahu dibandingkan dengan Ummi.

Ummi pesan, kita orang miskin. Tetapi, Ummi tidak mahu kemiskinan menjadi penghalang kepada kejayaan saya. Ummi bersungguh-sungguh pesan agar saya tidak melupakan tanggungjawab melunaskan amanah sebagai seorang anak dan meraih kejayaan yang cemerlang untuk dibawa pulang kepada masyarakat kelak.

Saya tidak berbual lama hari ini. Ummi kata, dia harus bergegas ke Kuala Lumpur menghadiri jemputan perkahwinan saudara sebelah Abah. Lantas, saya segera meletakkan talian dengan salam yang masih belum ranum dibibir. Sedikit kecewa.

DUA

“LUQMANUL Hakim pernah menasihatkan anaknya agar menjadikan pukulan seorang penjaga (bapa) bagaikan air menyirami tanaman.” Wasiat Luqmanul Hakim seperti yang terakam di dalam Surah Luqman memberi kesan yang mendalam kepada jiwa saya.

Kelas pengajian tasawuf Syeikh Umar setiap hujung minggu di Masjid Saidina Hussien, bandar Kaherah tidak pernah kosong. Mahasiswa dari negara mana sekalipun akan menghadiri kelas beliau. Syeikh Umar amat arif berkenaan ilmu akhlak dan tasawuf.

"Apabila meninggal seseorang itu, maka terputuslah segala amalannya, melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah yang berterusan, ilmu yang memberi manfaat dan anak yang soleh sentiasa mendoakan kebaikan kepada kedua ibu bapanya."

Syeikh Umar membacakan hadith daripada kitab Riyadus Salihin karangan Imam Nawawi. Huraian demi huraian dibentangkan kepada kami. Adlan yang duduk di sisi sesekali mencuit lutut saya. Barangkali menyedarkan saya daripada lamunan. Saya rakam setiap ilmu dalam kotak fikir. Hafaz.

Saya tertampar dengan pengajian kali ini. Fikir saya, berapa banyak kali doa saya bacakan buat Ummi. Saya kesat airmata yang mengalir. Moga-moga ini airmata keinsafan yang bersarang dilubuk hati. Fikiran saya menerawang memecah masuk awan bumi Malaysia. Mungkin teringatkan Ummi di kampung.

“Ummi mana tahu, saya perlukan wang ini segera. Saya malu Ummi. Ustaz dah membebel dah. Kawan-kawan semua dah selesaikan yuran sekolah.” Suara saya sedikit tinggi.

“Kalau ya pun, mengapa banyak sangat. Sampai tiga ratus ringgit.”

“Ummi bagi dulu. Nanti kalau ada lebih saya pulangkan.”

Ummi hulurkan wang tiga ratus ringgit tanpa mengharap penjelasan yang tepat. Saya mencapai wang itu dan beredar meninggalkan teratak rumah usang. Saya harus ke sekolah dengan segera. Saya simpan wang ditangan dengan perasaan gembira. Basikal buruk, saya bonceng dengan laju menuju ke sekolah.

“Berapa kau mahu bayar untuk pendahuluan?” Saya terserempak dengan Azhar dalam perjalanan ke sekolah.

Azhar sememangnya terkenal sebagai seorang pelajar nakal di sekolah. Dia juga yang selalu menjadi mangsa guru disiplin di sekolah. Ada teman-teman yang menasihatkan saya agar tidak berkawan dengan dia. Tetapi, saya tidak pernah hirau akan semua itu. Yang saya tahu, saya perlu menggandakan wang yang ada dikocek. Dia memperkenalkan skim perniagaan berantai piramid. Katanya, ini satu perniagaan kecil-kecilan. Jikalau saya membayar tinggi, tinggilah pulangannya.

Wang yang Ummi beri saya hulurkan pada Azhar. Harapnya berhasil. Itu yang dijanjikan oleh Azhar.

Pilu hati saya mengenangkan peristiwa-peristiwa yang lalu. Maafkan saya Ummi.

Semenjak di bangku sekolah, saya impikan jadi anak orang kaya. Bergaya dengan sebuah telefon bimbit Nokia N70 seperti teman-teman yang lain. Yang paling menyeronokkan, ada teman yang mempunyai play-station di rumah. Fikir saya, duduk di rumah kampung pun perlu itu dan ini. Saya masih ingat, saat Ummi membekalkan saya sebuku roti dan sebutir telur rebus untuk di bawa ke sekolah, saya tempik dengan kata-kata yang amat tragis.

“Kalau tiap-tiap hari makan telur, muka telur lah jawabnya saya ini Ummi…”

Kehidupan sebagai anak orang kampung sememangnya begini. Kais pagi makan pagi. Kais petang makan petang. Saya amat tidak gemar hidup susah seperti ini. Malu dengan kawan-kawan.

Ummi yang bekerja menjual kelapa di tepi jalan kampung amat memalukan saya. Pernah suatu masa, saya diperli oleh kawan-kawan sekelas.

“Ummi tak jual kelapa hari ini?”

Aduh. Terlalu malu buat diri saya. Fikir saya, mana saya mahu letakkan muka saya ini. Hari demi hari kehidupan saya seperti ini. Hidup sebagai orang mewah tidak pernah merasa walau sekali. Kasut, baju, dan seluar yang saya pakai ke sekolah masih lagi seperti tahun-tahun lalu. Lusuh dan koyak.

Kemiskinan membuatkan saya terlalu malu. Malu dengan segala-galanya. Barangkali jika saya hidup mewah, ramai teman yang memilih untuk berkawan dengan saya. Tetapi, kemiskinan inilah yang membuatkan saya jadi seperti ini.

TIGA

“ALLAH menjadikan ramai orang miskin di dunia kerana syurga-Nya amat luas untuk dihuni mereka. Rasulullah SAW bersabda, syurga akan banyak dihuni oleh orang-orang miskin berbanding orang-orang kaya.”

Pengajian kelas Syeikh Umar jarang saya tinggalkan. Syeikh Umar amat menjaga tata tertibnya ketika mengajar. Malah beliau amat marah sekiranya ada di antara anak-anak murid yang bergurau senda ketika sedang menuntut ilmu.

“Adlan, anta cukup beruntung kerana berlatar belakangkan keluarga yang berada.” Saya memulakan perbualan ketika berjalan pulang daripada kelas pengajian.

“Mengapa pula? Ayah ana juga bukan berasal daripada keluarga yang senang. Ayah ana seorang pengembala kambing pada asalnya. Tetapi, selepas bekerja keras, dia menjadi seorang usahawan kampung yang terkenal. Malah, kini dia menjadi pembekal utama di kawasan kampung ana.”

Adlan amat memahami setiap apa yang saya tuturkan. Malah, ketika saya kehabisan wang, dia izinkan saya meminjam wang daripadanya. Setiap masalah yang terpendam, keluhan yang saya hadapi, kemiskinan yang menjadi punca penghalang saya menuntut ilmu di Mesir pada asalnya, adalah cerita yang pernah saya sampaikan kepadanya.

Dia memahami kehidupan saya sebagai seorang anak penjual kelapa di tepi jalan. Katanya, hidup di dunia bukan untuk selama-lamanya. Biarpun apa juga yang dihadapi, usaha, semangat dan doa yang berterusan adalah pembimbing diri ke arah kejayaan.

“Biar kita ditohmah kerana miskin. Tetapi, kita tidak miskin akhlak dan budi bahasa. Kita tidak miskin segala-galanya. Allah menjadikan sesuatu itu ada hikmahnya.”

EMPAT

TIGA ratus orang mahasiswa berkumpul di hadapan Pusat Konvensyen Antarabangsa Al-Azhar, Kaherah. Masing-masing menyarung pakaian ‘abaya’ hitam yang disulam khas sempena Majlis Konvokesyen Graduan Mahasiswa Universiti Al-Azhar.

Saya di antara anak orang miskin yang akan dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Syariah daripada Universiti Al-Azhar. Majlis pengijazahan akan disempurnakan oleh Syeikh Besar Al-Azhar, Syeikh Sayyed Tantawi.

Siapa yang tidak kenal pada Al-Azhar; universiti yang telah mencetak hampir berjuta-juta mahasiswa di bumi peradaban Islam ini. Graduan dan graduanita sudah berpusu-pusu masuk ke dalam ruang dewan besar.

Saya renung wajah Adlan dalam-dalam. Airmata saya mengalir begitu laju. Entah mengapa, saya fikir ini hadiah untuk Ummi. Tetapi, Ummi tidak ada di sini. Ummi jauh berbatu daripada kota Kaherah ini.

“Kalau Ummi ada di sisi tentu seronok bukan?”

Adlan menyuakan soalan kepada saya. Saya angguk. Saya tidak mampu berkata apa-apa. Yang saya fikir, raut wajah Ummi sedang berada di sisi. Dia yang memberi semangat tatkala saya sedang berduka. Dia yang menganugerahkan saya kekuatan ketika jiwa saya dalam derita.

Pernah saya menangis tatkala saya gagal di dalam peperiksaan tahun-tahun yang lalu. Ummi yang banyak memberi motivasi kepada saya. Aduh. Sungguh menyedihkan.

Semenjak kecil sehinggalah hari ini, Ummi yang telah mendidik saya dengan bermacam-macam didikan. Ummi yang ajar saya hormat pada orang tua. Ummi yang mengenalkan saya dengan kalimah-kalimah Tuhan.

Saya amat terasa apabila Ummi tiada di sisi. Kalaulah Ummi ada di sisi tentu menyeronokkan. Anak Ummi yang miskin ini akan bergelar seorang mahasiswa Islam untuk berkhidmat untuk agama dan masyarakat. Dan, tentu Ummi akan menjadi insan yang paling gembira. Itu yang saya fikirkan.

“Ummi, Imam Syafie kedua sudah lahir,” jerit saya dalam hati.



Ulasan

Tanpa Nama berkata…
Salam,

Jangan terlalu kecewa dengan perkara itu, itu sudah jadi asam garam dalam dunia penulisan (ya, saya juga tidak lahir dari perut MPR), hantarkan sahaja karya anda itu ke mana yang patut dan sesuai. Berikan masa dalam 1-2 bulan, kiranya tidak tersiar hantarkan emel kepada editornya bahawa sdr akan menghantarnya ke tempat lain supaya tidak timbul masalah lain pula.

Saya membaca cerpen sdr, saya kira ia satu permulaan yang baik dan sila cuba hantarkan ke tunas cipta untuk permulaan.

Kadangkala, editor melihat dari pelbagai sudut untuk menyiarkan karya kita. Perkara itu perlu dipelajari melalui pengalaman dikit demi dikit. Kalau boleh saya kongsi, cubakan sesuatu yang berlainan, maksudnya berfikir di luar kotak.

Kalau boleh biar saya berikan sedikit komentar untuk cerpen sdr. Cerpen sdr sudah cukup manis pahitnya tapi ia bergerak selapis dan bersifat peribadi. Terlalu mudah untuk ditebak. Dan tentunya mauduk ibu berkorban untuk anak ini sudah terlalu banyak@klise. Dialog juga terlalu biasa, tidak memberi impak yang kuat kepada pembaca.

Sebagai seorang mahasiswa syariah tentu ada isu yang lebih berat untuk disampaikan selain dari ini. Ya, tentunya pengorbanan seorang ibu itu terlalu suci di dalam nubari seorang anak, namun pembaca perlu suatu input yang lebih mencabar minda dan menjana pemikiran mereka. Masih boleh menggarap cerpen sekitar ibu (ya, sempena hari ibu), tapi cubakan suatu yang berbeda sedikit. Lari dari isu yang biasa-biasa ini.

Sdr Syafiq, teruskan usaha menulis dan terus menulis. Selalu saya membaca isu-isu yang sdr tuliskan di dalam entri. Saya kira isu sedemikian juga boleh diangkat untuk dijadikan cerpen, dengan menggunakan kreativiti sdr, garapkan cerpen tersebut dalam bentuk yang lebih taksa dan berlapis sifatnya. Tapi apa pun, ia bergantung kepada sdr untuk mengolahnya.

Akhir kalam, selamat menyambut bulan ramadhan yang penuh mubarak ini. Terus lestari menulis. Moga tekal dalam menghasilkan karya-karya yang lebih menggugah, insya-allah.
Tarbus Merah berkata…
Saudara Serunai Faqir,

Terima kasih di atas komentar dan beberapa pandangan yang diberikan terhadap cerpen saya.

Benar. Banyak lagi perkara yang saya perlu belajar daripada saudara.

Saya amat terharu dengan komentar ini.

:)

Catatan popular daripada blog ini

SAMBUNG BELAJAR KE MESIR

NOTA KEMASUKAN SESI 2020/2021 ============================= UPDATE INFO TERKINI Pengalaman yang selalu membuatkan seseorang cinta untuk menimba pelbagai ilmu. Pengalaman melihat kawan-kawan yang berjaya dilahirkan melalui kampus pengajian di bumi Mesir juga merupakan satu pengalaman yang tidak mampu dijual beli. Tinggalkan pengalaman saya yang telah menuntut di Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir pada tahun 2004-2009. Itu adalah suatu pengalaman yang amat-amat bernilai dan berharga.  Keputusan STAM/SPM 2019 telah keluar. Alhamdulillah. Ramailah di antara kita sedang membuat pilihan untuk memilih sama ada menyambung pengajian ke dalam negara atau memilih ke luar negara. Alhamdulillah, kurniaan Allah SWT kepada saya, tahun 2016 lalu saya telah berpeluang menjejakkan kaki ke bumi Mesir melihat sistem pendidikan terbaharu di Mesir. Banyaklah pembaharuan dan kemajuan di Mesir berbanding pengalaman lampau pada tahun 2009 sewaktu berada di bumi Mesir. Kali ini sa

Kubu Kota Kaherah struktur terhebat tamadun Islam

Susunan ZUNAIDAH ZAINON KUBU Kota (Citadel) adalah monumen terhebat dari zaman pertengahan yang telah mencipta panorama menarik di seluruh bandar Kaherah, Mesir sejak 700 tahun lalu. Selain menjadi tarikan pelancong dari seluruh pelosok dunia, binaan Kubu Kota adalah struktur terhebat dalam sejarah keagungan tamadun Islam. Gabenor Hatim Ibn Hartama dipercayai membina astaka Dome of the Wind pada tahun 810. Kemudiannya, pada 1176, Salah ad-Din (turut dikenali sebagai Saladin) iaitu pemerintah Abbasiah (1171-1193) menukar fungsinya daripada kawasan peranginan kepada kubu pertahanan dan melindungi kawasan tersebut daripada serangan tentera Kristian dalam Perang Salib. Menurut cerita legenda, Salah ad-Din memilih lokasi tersebut untuk mendapatkan udara segar. Ini disebabkan kebanyakan daging yang disalai telah menimbulkan bau yang kurang enak di seluruh bandar kecuali kawasan di sekitar kubu kota. Bagaimanapun, lokasi tersebut amat strategik dan mampu berfungsi sebagai benteng pertahanan.

Perintis Diploma Pengurusan Dakwah

 Di antara mahasiswa Diploma Pengurusan Dakwah yang telah menuntut di Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI)