Langkau ke kandungan utama

Kembara Sastera : Konstantinople


Konstantinople akan ditakluki oleh tentera Islam. Rajanya adalah sebaik- baik raja dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera. 

Barangkali hadith Rasulullah inilah menjadi asbab 140 peserta memilih Kembara Ibrah Konstantinople, Back To The Future yang dipimpin oleh Ust Syaari Ab Rahman pada 23 Mei hingga 2 Jun lalu yang dianjurkan oleh IKIMfm dengan kerjasama Raudah Mawaadah Travel n Tours Sdn Bhd.

Alhamdulillah, tepat jam 11:30 malam, penerbangan menerusi Turkish Airlines meninggalkan tanah air dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Ataturk, Istanbul pada 5:08 pagi, Ahad 24 Mei 2015.

Biarpun nampak keletihan, semangat peserta tidak pudar sama sekali untuk menjejaki ibrah di sebalik pembukaan kota Konstantinople.

Pengembaraan kali ini turut disertai oleh Datuk Nik Mustapha Nik Hassan,Ketua Pengarah IKIM dan Dr Nik Roskiman Abd Samad selaku Pengarah Pusat Media IKIM.

Perjalanan yang mengambil masa 30 minit untuk tiba di Turquhouse Hotel, tempat kami menginap disusuli dengan pemandangan indah kota Istanbul memuncakkan lagi perasaan kami untuk menelusuri kisah bersejarah ini.



Pasukan Jejak Uthmaniah yang diketuai oleh Saudara Said Imadudden, penuntut di bumi Turki turut membantu rombongan kembara kali ini.

Mengingati pesanan pembimbing kami, bermusafirlah sebagai pengembara muslim, bukan pelancong asing, buka pintu hati dahulu sebelum membuka kamera untuk selfie adalah keramat bicara yang tidak pernah hilang daripada ingatan kami.

Dengan keluasan lebih daripada 780,580 km kaki persegi, Negara Turki dipimpin oleh Ahmet Davutoglu selaku Perdana Menteri.

Nama, Recep Tayyeb Ergodan pula tidak pernah luput sejak memandu negara Turki sebagai Presiden yang ingin mengembalikan daulah Islamiah diruntuh di bumi itu.

Kami akan kongsikan kepada kalian perjalanan yang sarat dengan ilmu ini.

--------


Kembara Ibrah Konstantinople terus meninggalkan bumi Istanbul dan bergerak ke bandar Bursa pada hari yang sama. 

Merentasi Selat Marmara dengan menggunakan feri bot, kami dapat merasai gelora armada laut yang menjadikannya sebagai satu lokasi untuk bertempur. Namun, kisah ini akan kami hidangkan selepas ini ketika berada di Semenanjung Emas nanti melihat armada Rome dan armada Mehmet AlFatih beraksi di tengah-tengah Golden Horn itu.

Saat bertapak di bumi Bursa, kami memilih Kampung Cumalikizik sebagai lokasi pertama. 

Kerajaan Turki sangat menjaga khazanah sejarah. Oleh itu, perkampungan cumalikizik ini mengingatkan anak-anak muda Turki tentang asal usul mereka yang bermula di sini.

Selain itu, ketelitian masyarakat Uthmaniah pada zaman itu menjelaskan lagi dengan pembinaan rumah-rumah mereka dan laluan air dari puncak bukit yang turun ke bawah dengan sekata, melalui batu yang disusun rapi dan kemas.

Tidak ketinggalan di luar perkampungan ini, perkuburan orang-orang Uthmaniah dibina bagi mengingatkan masyarakat kampung setiap kali mereka keluar masuk melalui jalan itulah, kematian menjadi ingatan mereka.

Selepas puas meneguk air asli dari bukit di perkampungan itu, kami meneruskan kembara untuk menikmati juadah. 

Kemudian, melewati senja sebelum tibanya Maghrib, Hotel Artic di Bursa yang terletak berhadapan dengan Ulu Camii kami tiba dengan selamat.


Malam pertama kami di Bursa bukanlah waktu untuk berehat tetapi Tarian Sufi di OsmanGhazi Belediyesi kami lawati. Biarpun kami tidak ke Konya, cukuplah menonton anak muda yang berpusing tanpa henti selama 30 minit dengan aturan dan disiplin. Dikatakan juga bahawa mereka memakai pakaian serba putih sebagai lambang kain kafan serta topi coklat tinggi itu pula lambang batu nisan yang mengiringi kehidupan di alam barzakh.

Kami tutup musafir kerohanian pada malam pertama untuk berehat setelah puas mengharungi perjalanan yang amat panjang.

Hari kedua, 25 Mei 2015.

Seawal pagi selepas Subuh, masjid yang siap dibina pada 1399 tempat kami berhimpun. Diriwayatkan bahawa apabila Sultan Beyazid 1 melihat sejumlah musuh lebih ramai dalam peperangan Nicopolis, baginda bernazar kepada Allah, bahawa sekiranya tentera Islam menang, baginda akan membina 20 buah masjid. 

Atas sebab kemenanganlah, maka dibina masjid ini dengan dua puluh buah kubah sebagai ganti 20 masjid yang dinazarkan itu atas nasihat ulama. 

Namun, bukanlah sekadar dua puluh kubah sahaja yang harus difikirkan tetapi lihatlah pada seni khat yang dibina di dalamnya, mengapa agaknya ayat  والله من وراىهم محيط dan بل هو قران مجيد في لوح محفوظ dipilih untuk diukirkan dipintu kiri dan kanan masjid? 

Tengahari pula, kami meneruskan kembara ke Maqam Osman Ghazi dan Orkhan Ghazi.

Pemerintahan kerajaan Turki Uthmaniah bermula pada 1284 hingga 1324 yang dipimpin oleh Osman Ghazi, manakala Orkhan Ghazi pula meneruskan empayar pemerintahan sehingga tahun 1362. 

Dua nama tokoh itu tidak harus diketepikan dalam sejarah empayar pemerintahan kerajaan Turki Uthmaniah kerana mereka yang telah melorongkan perjalanan untuk menakluki Kota Konstantinople.



Musafir kami diteruskan ke Yesil Camii. Yesil Camii juga dikenali sebagai masjid Hijau. Masjid ini diperintahkan binaannya oleh Sultan Mehmet 1 Celebi pada tahun 1419 dan siap dua tahun selepas itu.

Baginda Sultan diberi darjah kehormat dengan gelaran Celebi yang membawa maksud kehormatan, kesucian dan kesatriaan. Istimewanya kuburnya juga telah dibina sendiri sebelum baginda meninggal dunia.

Kembara Ibrah kemudian meninggalkan bandar Bursa dan meneruskan perjalanan ke Iznik.

Iznik  ditawan oleh Sultan Orkhan Ghazi pada 1331 dari kerajaan Byzantium. Dalam sela waktu yang singkat ia menjadi sebuah pusat bandar yang berkembang selari dengan empayar Uthmaniyah. 

Aya Sofya Orhan Camii di bandar Iznik pernah menjadi gereja besar di Iznik sebelum dijadikan masjid dan dikenali sebagai Masjid Orhan.

Selain itu, atas sebab kualiti tanah yang bagus dan lokasi yang strategik dibandar Iznik, bandar ini juga menjadi pusat pengeluaran emas dan perak sejak zaman pemerintahan Rom lagi.

Iznik juga tidak ketinggalan menjadi pusat pengeluaran seramik berkualiti yang terkenal di benua Eropah.

Melewati hampir tenggelamnya matahari, kami meninggalkan bandar Iznik dan merentasi kembali Selat Marmara untuk tiba di bumi Istanbul.

------------------


Hari ketiga, 26 Mei 2015 

Kembara Ibrah Konstanstinople meneruskan perjalanan hari ketiga di bandar Edirne. Perjalanan mengambil masa lebih kurang tiga jam sebelum kami tiba di bandar Edirne.

Lokasi pertama setibanya di sana adalah di Bayezit Kulliyesi Saglik Muzesi. 

Di pusat kuliah perubatan ini menjadi jawapan betapa kerajaan Uthmaniah menjadi pengasas sistem perubatan yang dipelopori melalui ketokohan Ibn Sina. Ilmu-ilmu asas dalam perubatan seperti membetulkan kedudukan tulang belakang, penggunaan picagari telah diperkenalkan sejak zaman Uthmaniah lagi dan digunakan sehingga hari ini.

Selain daripada itu, muzik sebagai terapi kepada pesakit mental dipertontonkan di sini. Bukan itu sahaja, bunyi air yang mengalir juga menampakkan lagi ritual ilmu perubatan yang luar biasa ini.

Kami seterusnya berkunjung ke Selimiye Camii yang juga terletak berhampiran di Ulu Camii Edirne. Struktur binaan yang mengkagumkan di Selimiye Camii juga mengisyaratkan tentang ketelitian sultan Ottoman untuk membina syiar Islam. Dikatakan juga menara Selimiye Camii ini merupakan menara paling tertinggi.

Di hadapan Ulu Camii Edirne juga dibinanya arca Mimar Sinan. Selain daripada itu di dalam Ulu Camii juga terdapatnya serpihan batu hajarul aswad yang diletakkan oleh Sultan Salim I sebagai daya penarik umat Islam ke Edirne.

Kami diberi peluang berziarah di bazar berhampiran Ulu Camii sebelum bertolak pulang ke Istanbul pada sebelah malam.

Ulasan

Collection berkata…
Constantine is a historical place for islam. Hadith Sahih en français

Catatan popular daripada blog ini

Kubu Kota Kaherah struktur terhebat tamadun Islam

Susunan ZUNAIDAH ZAINON KUBU Kota (Citadel) adalah monumen terhebat dari zaman pertengahan yang telah mencipta panorama menarik di seluruh bandar Kaherah, Mesir sejak 700 tahun lalu. Selain menjadi tarikan pelancong dari seluruh pelosok dunia, binaan Kubu Kota adalah struktur terhebat dalam sejarah keagungan tamadun Islam. Gabenor Hatim Ibn Hartama dipercayai membina astaka Dome of the Wind pada tahun 810. Kemudiannya, pada 1176, Salah ad-Din (turut dikenali sebagai Saladin) iaitu pemerintah Abbasiah (1171-1193) menukar fungsinya daripada kawasan peranginan kepada kubu pertahanan dan melindungi kawasan tersebut daripada serangan tentera Kristian dalam Perang Salib. Menurut cerita legenda, Salah ad-Din memilih lokasi tersebut untuk mendapatkan udara segar. Ini disebabkan kebanyakan daging yang disalai telah menimbulkan bau yang kurang enak di seluruh bandar kecuali kawasan di sekitar kubu kota. Bagaimanapun, lokasi tersebut amat strategik dan mampu berfungsi sebagai benteng pertahanan.

SAMBUNG BELAJAR KE MESIR

NOTA KEMASUKAN SESI 2020/2021 ============================= UPDATE INFO TERKINI Pengalaman yang selalu membuatkan seseorang cinta untuk menimba pelbagai ilmu. Pengalaman melihat kawan-kawan yang berjaya dilahirkan melalui kampus pengajian di bumi Mesir juga merupakan satu pengalaman yang tidak mampu dijual beli. Tinggalkan pengalaman saya yang telah menuntut di Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir pada tahun 2004-2009. Itu adalah suatu pengalaman yang amat-amat bernilai dan berharga.  Keputusan STAM/SPM 2019 telah keluar. Alhamdulillah. Ramailah di antara kita sedang membuat pilihan untuk memilih sama ada menyambung pengajian ke dalam negara atau memilih ke luar negara. Alhamdulillah, kurniaan Allah SWT kepada saya, tahun 2016 lalu saya telah berpeluang menjejakkan kaki ke bumi Mesir melihat sistem pendidikan terbaharu di Mesir. Banyaklah pembaharuan dan kemajuan di Mesir berbanding pengalaman lampau pada tahun 2009 sewaktu berada di bumi Mesir. Kali ini sa

Perintis Diploma Pengurusan Dakwah

 Di antara mahasiswa Diploma Pengurusan Dakwah yang telah menuntut di Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI)