Langkau ke kandungan utama

MAHASISWA AL-AZHAR DIABAI KERAJAAN.

Apa kata Tuan Yang Terutama Datuk Zainal Abidin Abdul Kadir, Duta Besar Malaysia ke Kaherah apabila mahasiswa Al-Azhar diabai oleh pihak kerajaan? Adakah mahasiswa kita akan menjadi pro pembangkang apabila kerajaan mengabaikan tanggungjawabnya?
Adakah mahasiswa kita akan lemah kerana sistem STAM (Sijil Tinggi Agama Malaysia) yang lemah di Malaysia?
Ikuti wawancara bersama Tuan Yang Terutama Datuk Duta.
BOLEH Datuk terangkan butiran lanjut ke arah menjana kecemerlangan mahasiswa dari Malaysia di Universiti Al-Azhar?

Hasrat dasar negara membina intelektual Melayu bertaraf dunia di bawah program modal insan hendaklah mencakupi pelajar Melayu yang mengikuti pengajian di Universiti Al-Azhar yang kini mencecah 6,000 orang. Mereka adalah aset penting negara tetapi jika dinafikan kepentingannya, negara akan kerugian golongan intelektual profesional, penggerak dan pemangkin kepada pembangunan ummah yang sangat berpengaruh. Oleh itu, bagi melahirkan ulama intelektual Islam yang unggul, tetapi pakar dalam bidang Islam dan memenuhi tuntutan semasa, maka mahasiswa Universiti Al-Azhar adalah sasarannya.

Apakah faktor yang menyebabkan Datuk berpandangan demikian?

Pandangan ini bertepatan aspirasi dan hasrat kerajaan melahirkan generasi intelek cemerlang dalam pelbagai bidang khususnya memiliki minda kelas pertama bertaraf antarabangsa seperti diutarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai intelek Ulul Albab. Lagipun, Malaysia sebagai model negara Islam perlu merancang mulai sekarang membentuk ulama muktabar dengan memiliki ilmu pengetahuan luas, berfikiran global dan bertaraf antarabangsa. Selain itu, umat Islam di Malaysia dan dunia akan terdedah cabaran lebih hebat yang memerlukan tokoh agama, ulama cemerlang dan mampu menganalisa serta mengeluarkan penyelesaian bernas melalui pemikiran kreatif, tajdid dan faham tuntutan semasa.

Bagaimana usaha ke arah mencapai impian itu?

Bagi menjayakan hasrat berkenaan ada beberapa kelemahan pelajar Universiti Al-Azhar untuk mencapai cita-cita itu. Sebenarnya, pihak Universiti Al-Azhar tidak senang dengan pelajar Malaysia kerana lemah bahasa Arab yang menyebabkan kualiti pelajar sangat rendah. Berikutan itu, saya memaklumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan menggariskan beberapa cadangan supaya perubahan drastik dilakukan oleh kerajaan kita. Antaranya, memilih pelajar lulus cemerlang termasuk bahasa Arab dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan diberi biasiswa penuh menyambung pelajaran ke universiti berkenaan. Selain itu, mereka juga kurang mahir dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi serta penguasaan bahasa Inggeris. Mereka juga kurang pendedahan dalam bidang personaliti unggul, keilmuwan dan kemahiran profesional seperti keusahawanan, pengurusan, kewangan serta kepemimpinan di samping tidak mendapat sokongan kewangan kerajaan. Bagi menjamin kecemerlangan bahasa Arab, kemahiran dan personaliti unggul, Universiti Al-Azhar mewujudkan program khas dengan kerjasama Kedutaan Besar Malaysia ke Mesir. Pelajar yang menyertai program ini diberi biasiswa dengan dilatih tubi pengukuhan penguasaan bahasa Arab dan ilmu agama. Program matrikulasi itu adalah program khusus dan berasingan. Program ini tidak mengganggu proses kemasukan pelajar Malaysia ke Universiti Al-Azhar bagi program lain.

Setakat ini, bagaimana sambutan terhadap program ini?

Pada sesi pengajian 2008/2009, kita menerima 50 pelajar. Amanah Raya Berhad (ARB) muncul organisasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pertama menaja 20 daripada 50 pelajar dalam bidang pengajian Islam universiti itu. Mereka adalah lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh cemerlang 9A dan 10A peperiksaan itu. Pelajar ini diletakkan berasingan pelajar program lain iaitu kursus matrikulasi (bahasa Arab) selama setahun dan empat tahun lagi sarjana muda. Saya mahu mereka tamat pengajian hingga Doktor Falsafah (PhD). Pelajar berkenaan adalah antara 6,000 calon PhD diperlukan kerajaan dalam tempoh lima tahun akan datang seperti diumumkan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, baru-baru ini.

Jadi, pelajar ini bukan mengikuti pengajian khusus seperti pelajar lain?

Mereka akan belajar semua kursus sama ada Usuluddin, bahasa Arab, Fikah, Hadis dan lain-lainnya. Dengan kata lain, apabila mereka tamat nanti muncul ulama muktabar yang mengetahui semua perkara berbanding sekarang yang khusus kepada bidang tertentu yang apabila ditanya tergagap-gagap menjawab sedangkan ia adalah pelajar Universiti Al-Azhar. Pelajar ini juga didedahkan dengan ilmu kemahiran asas dalam bidang seperti mekanikal, pertukangan, pertanian dan sebagainya. Program ini dikendalikan kerjasama Malaysia melalui Kedutaan Malaysia di Mesir.

Datuk menyatakan penguasaan bahasa Arab pelajar kita lemah, apakah Datuk mendapati sistem pengajaran di negara kita lemah atau sijil yang dikeluarkan khususnya Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) tidak sesuai?

Memang, penguasaan bahasa Arab pelajar kita mendukacitakan kerana diajar guru tidak berkelayakan selain kurang penekanan berbanding bahasa Inggeris. Kerajaan sepatutnya memberi penekanan sama supaya Islam maju seiring peredaran zaman. Mengenai STAM, saya tidak mahu komen kerana kerana ia dilaksanakan Kuala Lumpur, tetapi ternyata lemah.

Apakah Universiti Al-Azhar akan menggantikan peperiksaan lain selepas mendapati STAM tidak berfungsi dengan baik?

Saya difahamkan, Universiti Al-Azhar akan memperkenalkan peperiksaan khas kepada pelajar luar negara termasuk Malaysia sebagai syarat kemasukan ke institusi tertua itu tahun depan. Universiti itu akan mengikuti jejak Univesiti Oxford dan London yang mensyaratkan lulus Ujian Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Asing (TOEFL) sebagai syarat kemasukan ke universiti masing-masing. Sebenarnya, Universiti Al-Azhar tidak berpuas hati pencapaian pelajar kita dalam penguasaan bahasa Arab sehingga memerlukan mereka meneruskan pengajian lebih lama, empat hingga 10 tahun di institusi yang mengeluarkan ramai cendekiawan dan ulama tersohor dunia ini.

Apakah Datuk bersetuju bahawa kerajaan mengabaikan pelajar aliran agama?

Saya bersetuju dan sebenarnya kerajaan mengetepikan mereka. Sepatutnya, kita tak boleh menyalahkan pelajar agama menyertai parti pembangkang apabila mereka pulang ke tanah air. Kita membiarkan mereka seperti ayam kehilangan ibu dan kadang-kala nak makan susah terpaksa minta pada kawan-kawan. Bagaimanapun, saya dan Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Tan Sri Abdul Hamid Othman bernasib baik kerana pembelajaran kami ditaja kerajaan. Saya pun mungkin mengambil pendekatan sama sekiranya diabaikan. Kini, kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) memberi perhatian pelajar yang belajar kedoktoran dan kejuruteraan dengan menyediakan biasiswa sedangkan pelajar agama diabaikan. Siapapun akan memberontak sekiranya dibiar terabai.

Bagaimana perkembangan pelajar perubatan di Universiti Al-Azhar?

Ada kira-kira 8,000 pelajar termasuk 2,000 pelajar perubatan yang mengikuti pengajian di tujuh universiti di sekitar Mesir. Tahun ini saja, seramai 850 pelajar perubatan diambil membabitkan 200 pelajar tajaan JPA, Mara (100) manakala selebihnya persendirian yang datang melalui ejen dilantik. Saya bagi pihak kerajaan Malaysia berterima kasih kepada Universiti Al-Azhar yang menambahkan jumlah pengambilan pelajar perubatan untuk ditempatkan di universiti dan kolej di sekitar Al-Azhar berbanding 20 hingga 30 pelajar sebelum ini. Pertambahan itu selaras kehendak kerajaan seperti diumumkan Datuk Seri Mohamed Khaled yang negara memerlukan 6,000 doktor lapan tahun akan datang. Tahun depan dijangka 1,000 pelajar lagi akan mendaftar untuk program berkenaan.

Ulasan

thaaqhib berkata…
full-package dan nilai tambah..ya!..saya setuju

mahasiswa azahar perlu gali lebih dalam lagi pakej-pakej dan nilai tambah yang boleh memasarkan kita secara lebih efisien (eh betul ke ejaan ni)

1) boleh belajar cara ketrampilan
2) boleh belajar cara komunikasi global intra-fahaman
3) boleh belajar ilmu luaran bidang

dan lain2. ayuh optimis dalam amal dalam menyahut seruan kegemilangan umat!
Ibnu Ali berkata…
Punya tinggi cita-cita kerajaan nak membentuk pelajarpelajar Malaysia di Al Azhar dengan sesempurna mungkin. Boleh katakan semua perkara dikeliling kita nak dimasukkan dalam kepala otak pelajar al azhar.

Ulama yang berkebolehan dari semua aspek, wah hebat sungguh "target" tersebut. Boleh berniaga, bertukang,berkomputer dan berapa "ber-ber" lagi.

Tidak salah dan sangat dihargai dengan apa yang diusahakan, namun jangan dek kerana target tersebut hampir 100% peluang mereka yang mahu melanjutkan ke Mesir terbantut. Bayangkan pada tahun ini hanya 27 orang pelajar Negeri Johor dari beribu-ribu rakyat johor yang dihantar ke Uni Al Azhar.

Aku dimaklumkan permintaan pelajar-pelajar agama sangat tinggi sekarang terutama dalam sektor penradbiran. Tidak kurang juga pendidikan. Bayangkan masa yang diperuntukan oleh kerajaan kepada sek men dan rendah sekitar 3 jam seminggu untuk pendidikan Islam?

Tapi mentaliti lepasan azhar ramai yang mengecewakan setelah pulang ke Malaysia. Terutama yang cemerlang. Kurang melibatkan diri dengan Gerakan Islam. Bayangkan yang memikul tugas sebagai YDP Kawasan ialah buruh kasar setakat SPM, peniaga pasar, jual ayam. Selebihnya berlonggok di sekolah-sekolah dan pejabat agama. Tak kurangnya makan rasuah, makan duit zakat. Itu kenyataan yang berlaku di pejabat-pejabat agama sekarang. Bukan tidak boleh terlibat dengan sektor pendidikan dan pentadbiran. Tapi dibuang langsung aktiviti terlibat dengan gerakan Islam amat mendukacitakan. Terutama terpancul alasan-alasan seperti takde masa, sibuk dan pelbagai alasan yang menjijikkan.

Tidak hairan bila bilangan yang menjadi pendokong gerakan Islam itu terdiri dari golongan yang bukan dari aliran agama, tetapi mempunyai kesedaran tinggi lebih baik dari ustaz-ustazah yang suka sejuk ber"aircond", depan komputer, time masuk kerja dia kerja, time lunch dia lunch, time balik dia balik. Cukup bulan dapat gaji. haha
Unknown berkata…
2 anak dara kak, kak masukkan dalam aliran agama, sudah terdengar makcik mereka berkata, aliran agama ni susah nak dapat kerja. Kak sengih je.

Catatan popular daripada blog ini

Kubu Kota Kaherah struktur terhebat tamadun Islam

Susunan ZUNAIDAH ZAINON KUBU Kota (Citadel) adalah monumen terhebat dari zaman pertengahan yang telah mencipta panorama menarik di seluruh bandar Kaherah, Mesir sejak 700 tahun lalu. Selain menjadi tarikan pelancong dari seluruh pelosok dunia, binaan Kubu Kota adalah struktur terhebat dalam sejarah keagungan tamadun Islam. Gabenor Hatim Ibn Hartama dipercayai membina astaka Dome of the Wind pada tahun 810. Kemudiannya, pada 1176, Salah ad-Din (turut dikenali sebagai Saladin) iaitu pemerintah Abbasiah (1171-1193) menukar fungsinya daripada kawasan peranginan kepada kubu pertahanan dan melindungi kawasan tersebut daripada serangan tentera Kristian dalam Perang Salib. Menurut cerita legenda, Salah ad-Din memilih lokasi tersebut untuk mendapatkan udara segar. Ini disebabkan kebanyakan daging yang disalai telah menimbulkan bau yang kurang enak di seluruh bandar kecuali kawasan di sekitar kubu kota. Bagaimanapun, lokasi tersebut amat strategik dan mampu berfungsi sebagai benteng pertahanan.

SAMBUNG BELAJAR KE MESIR

NOTA KEMASUKAN SESI 2020/2021 ============================= UPDATE INFO TERKINI Pengalaman yang selalu membuatkan seseorang cinta untuk menimba pelbagai ilmu. Pengalaman melihat kawan-kawan yang berjaya dilahirkan melalui kampus pengajian di bumi Mesir juga merupakan satu pengalaman yang tidak mampu dijual beli. Tinggalkan pengalaman saya yang telah menuntut di Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir pada tahun 2004-2009. Itu adalah suatu pengalaman yang amat-amat bernilai dan berharga.  Keputusan STAM/SPM 2019 telah keluar. Alhamdulillah. Ramailah di antara kita sedang membuat pilihan untuk memilih sama ada menyambung pengajian ke dalam negara atau memilih ke luar negara. Alhamdulillah, kurniaan Allah SWT kepada saya, tahun 2016 lalu saya telah berpeluang menjejakkan kaki ke bumi Mesir melihat sistem pendidikan terbaharu di Mesir. Banyaklah pembaharuan dan kemajuan di Mesir berbanding pengalaman lampau pada tahun 2009 sewaktu berada di bumi Mesir. Kali ini sa

Perintis Diploma Pengurusan Dakwah

 Di antara mahasiswa Diploma Pengurusan Dakwah yang telah menuntut di Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI)