Kenali Diri

My photo
Johor Bahru, Johor, Malaysia
SYAFIQ ZULAKIFLI adalah graduan Universiti Al-Azhar, Kaherah,Mesir. Berasal dari negeri Johor Darul Takzim. B.A (Hons)Syariah, Al-Azhar (2009) Editor PTS Publication & Distributor Sdn Bhd(2010) Eksekutif Penyelidikan Editorial TVAlhijrah(2012)Penerbit Rancangan IKIMfm (Mulai 1 Mac 2012) Sebarang pertanyaan emelkan ke syafiqzulakifli @ gmail.com atau hubungi +6017 7346 946

Tuesday, October 07, 2008

Bagaimana Saya Mula Menulis?


Karya
Ammu Amni

Saya kurang pasti apakah gelaran yang selayaknya diberikan ke atas diri. Barangkali saya tidak layak digelar seorang penulis mahupun pengarang. Malah, tatkala saya mencoretkan nama blog ini sebagai “Bicara Penulis”, saya juga tidak mengetahui sejauhmana layaknya nama itu digunapakai.

Sejujurnya, saya mula menjadi seorang pengarang paksaan. Pertama, atas nama keterpaksaan. Saya dipaksa menjamah medium kewartawanan apabila diminta untuk menyelenggara dan diamanahkan sebagai seorang wartawan Suara Kampus Mahasiswa Edisi Johor (SUKEJ). Dan, barangkali orang pertama yang saya wawancarai adalah seorang tokoh mahasiswa daripada Selangor, Ustaz Ahmad bin Yusof melalui judul wawancara ‘Israeliyat’.

Itu ceritera lama saya kira. Namun, saya tidak menolak bahawa usaha-usaha saya sebelum ini pernah merakamkan penglibatan secara tidak sengaja (baca : tidak langsung) di dalam bidang penulisan sewaktu menjadi Pengerusi Persatuan Bahasa Melayu di SMA Kerajaan Johor, Kluang. Pernah saya mewawancara seorang guru bahasa Melayu (kini Guru Kanan Bahasa) Encik Hamsan Mohamed yang merupakan graduan sarjana di dalam bidang bahasa dan sastera. Selain itu, penglibatan tanpa sengaja juga pernah dirakam tatkala menjadi seorang Ketua Editor Majalah Al-Irsyad, Maahad Johor pada tahun 2003. Itulah detik-detik yang tidak pernah saya lupakan.

Namun, sikap serius itu saya terjemahkan dan benar-benar menjadi selepas diberi kesempatan bersama Saudara A. Ubaidillah Alias, Saudari Syarifah Salha Syed Ahmad, Saudara Mohd Zaki M Noor melalui Kem Latihan Penulis PMRAM. Di sini saya bermula. Di sini saya diperkenalkan dengan majalah Tunas Cipta. Di sini juga saya mengenali Nisah Haji Haron seorang pengarang cerpen ‘Annyss Sophelia’.

Segalanya secara kebetulan. Saya yang mentah ini mula melibatkan diri secara tidak langsung melalui penulisan-penulisan rencana dan coretan peribadi sehinggalah karya pertama mula tersiar di majalah Fokus SPM, Februari 2007.

Tajam minat dan semangat itu saya kumpul sehingga benar-benar padu selepas diberi peluang berguru bersama Puan Zaharah Nawawi, Puan Salmiah Ismail, Puan Nisah Haron dan Saudara Faisal Tehrani menerusi Bengkel Penulisan Karyawan Muda Luar Negara pada Ogos 2007. Peluang itu benar-benar terasa. Dididik di dalam kamar Dewan Bahasa dan Pustaka pada asalnya sehinggalah saya dan teman-teman berhijrah ke Hotel Mandarin Court di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur.

Barangkali itulah mula-mula perjalanan yang benar-benar dirakamkan. Selepas sebulan berbengkel, saya menghasilkan cerpen “Sebuah Rahsia Merdeka” yang memenangi Hadiah Penghargaan Sayembara Penulisan Cerpen Jawi Kemerdekaan ke-50 Negara Malaysia anjuran Perpustakaan Negara Malaysia. Sehingga kini, saya masih merasai kehangatan sebagai seorang pengarang yang telah menjalankan tanggungjawab sebagai seorang pengarang walaupun masih mentah.

Oleh sebab bebanan tugas dan masih bergelar mahasiswa yang menuntut di Perlembahan Nil, saya tidak terus gagah untuk merakam karya sastera yang berat. Ini termasuklah penulisan cerpen yang benar-benar masih tumpul dan jarang-jarang ditulis.

Namun, November 2007 semasa akhir-akhir nyawa saya bergelar seorang guru di SMK Bandar Baru UDA, barulah saya merakamkan cerpen “Hadiah Untuk Ustaz” yang terbit di Berita Minggu pada 18 Mei 2008 yang lalu.

Namun, kesungguhan melayarkan penulisan di dalam bidang cerpen jarang-jarang saya gagahkan. Tetapi, kekangan dan keterbatasan itu saya sudahi dengan penulisan puisi Islam. Sebermula dengan karya “Kubur Kita Lain-Lain di Berita Minggu pada akhir Oktober 2007, karya “Nur Subuh I” di Majalah URTV, “Seorang Anak Murid II” di Ruangan Tunas Cipta, “Sebuah Pengharapan II” dan “Sejarah Nabi Musa” masing-masing di Berita Minggu, dan tidak ketinggalan akhbar arus perdana paling popular Mingguan Malaysia menerusi karya berjudul “Peringatan Kecil Dari Tuhan”, “Senyuman Nakhoda Yang Ditinggalkan” dan “Tafakur Di Mimbar Makam Imam Syafie”.

Setiap karya mempunyai gagasan tersendiri. Saya masih baharu di dalam alam penulisan. Sementelah membaca autobiografi Sasterawan Negara Shahnon Ahmad, saya menyedari bahawa saya terlalu kerdil daripada insan penulis yang lain. Lebih-lebih lagi saya bukan anak angkat DBP dan tidak pernah menyertai Minggu Penulis Remaja (MPR) yang telah melahirkan penulis serba-boleh dan matang.

Siapalah saya dan bagaimana penulisan saya pada masa mendatang?


No comments: