Langkau ke kandungan utama

Estetika Pantun Dalam Warisnya Kalbu

Sumber : Utusan Malaysia, 23 JUN 2008

PANTUN merupakan elemen penting yang banyak diselitkan dalam perjalanan penceritaan watak-watak dalam novel nukilan Sri Rahayu Mohd. Yusop, 32 yang berjudul Warisnya Kalbu.

Novel itu memenangi hadiah utama Kategori Novel Remaja (berbahasa Melayu) anugerah Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-ExxonMobil 2007 (HSKU 2007) di Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Menurut Sri Rahayu, pantun Melayu lama yang dimuatkan dalam Warisnya Kalbu terbukti telah banyak membantu bagi menghidupkan lagi keunikan jalan cerita novel terbaru tulisannya itu.

“Watak Hassan Basri misalnya, banyak dikaitkan dengan kemunculan pantun-pantun lama yang saya tampilkan di mana ia telah mencetuskan suatu jalan cerita yang ada kesinambungan.

“Kemunculan pantun-pantun lama itu merungkai suatu misteri yang mengaitkan salasilah keturunannya dengan pejuang nasionalis ketika era perang saudara di Pahang pada abad ke-19,” katanya ketika ditemui selepas penyampaian anugerah itu.

Baginya, pantun-pantun lama dijadikan panduan untuk mencipta suatu cerita dan mengkaitkannya dengan watak-watak dalam novel tersebut.

Sri Rahayu mengakui, pantun cukup dekat di hatinya, malah beliau amat menggagumi dunia pantun yang bukan sahaja halus bahasanya tetapi sarat dengan maksud yang tersirat.

Justeru, tidak hairanlah keunikan novel yang kuat dilingkari oleh dunia pantun Melayu klasik yang tidak lapuk dek hujan dan tidak lekang dek panas berjaya menarik perhatian para juri anugerah itu.

“Saya memang meminati dunia pantun, apatah lagi saya sendiri pula memang suka membaca pantun. Pengaruh terhadap pantun terbawa-bawa hinggalah menerusi novel tulisan saya itu.

“Selain itu, pada masa depan saya juga bercadang untuk menterjemahkan pantun Melayu ke dalam bahasa Inggeris supaya ia dapat dikenali serta dikembangkan di peringkat dunia,” ujarnya.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan TESL dari Kolej Pendidikan Dunedin, New Zealand ini mengambil masa hampir setahun bagi menyiapkan Warisnya Kalbu.

Dalam pada itu, beliau tidak menafikan bahawa elemen pantun merupakan frasa elemen sastera lama yang sarat dengan unsur intelektual yang cukup tinggi dihasilkan oleh bangsa Melayu.

“Mungkin panel juri tertarik dengan novel saya kerana kekuatan nilai pantun klasik yang saya tampilkan. Pantun yang diikuti dengan jalan cerita merupakan konsep novel ini,” katanya.

Dengan kemenangan itu, anak kelahiran Tanjong Karang, Selangor, ini menerima hadiah wang tunai RM7,000, sijil penghargaan dan hadiah-hadiah sampingan yang lain. Hadiah disampaikan oleh Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Sebelum ini Sri Rahayu pernah mendapat hadiah tempat pertama HSKU pada 2000 menerusi novel berjudul Bukan Legasi Lalang, tempat ketiga 2002 (Merdekakan Cinta Ratna) dan tempat kedua 2006 (Odisi Tanah Kencana).

Hadir sama pada anugerah kali ke-23 itu ialah Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Hashim Makaruddin, Pengarah Kewangan Subsidiari ExxonMobil Malaysia, Zain Willoughby yang mewakili Pengerusi Subsidiari syarikat itu, Liam M. Mallon.

Tempat kedua Kategori Novel Remaja (berbahasa Melayu) ialah Nisah Haron menerusi novelnya yang berjudul Tawarikh Cinta dan menerima hadiah wang tunai RM4,500.

Sementara tempat ketiga pula dimenangi oleh Ummi Hani Abu Hassan melalui novelnya yang berjudul Baromkeh: Matamu Di Mataku dengan membawa pulang RM3,000.

HSKU 2007 yang pertama kali memperkenalkan Kategori Novel Remaja (bahasa Inggeris) memperlihatkan karya Peace Child oleh Seliong Wau sebagai pemenang pertama Novel Remaja Bahasa Inggeris dengan merangkul RM7,000.

Teoh Choon Ean dengan novelnya berjudul Magic Eyes muncul pemenang tempat kedua dengan membawa pulang RM4,500 dan Sherifah Baharudin menerusi novel Dahlia di tempat ketiga pulang bersama RM3,000.

Tahun ini tiada pemenang bagi kategori Kajian Sastera, tetapi bagi Rencana Sastera ia dimenangi oleh Dr. Mohd. Zariat Abd. Rani dengan artikelnya berjudul Ke Mana Hala Tuju Sastera Melayu? Beliau memenangi hadiah wang tunai RM1,000.

Khairunnasriah Abdul Salam mengungguli kategori Cerpen Remaja dengan judul cerpennya yang bertajuk Banglo Kolonial Di Lot 152 dan menerima RM2,500.

Bagi kategori cerpen pula, Zainal Palit atau Zaen Kasturi merupakan pemenang hadiah utama Kategori Puisi dengan puisinya yang berjudul Denyut Murba merangkul RM3,000.

Antara panel juri HSKU ialah Dr. Hamidah Abdulhamid, Prof. Madya Arbak Othman, Dr. Hashim Ismail, Prof. Madya Cynthia Yolanda Doos, Sibyl Su Soo Chin dan Mohd. Hanafi Ibrahim.

Pada penghujung majlis itu, Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin menerima tajaan daripada ExxonMobil berjumlah RM100,000 yang disampaikan oleh Zain Willoughby.

Ulasan

salam, lihat komen bloggers karyawan lain tentang HSKU di www.celikhuruf.blogspot.com
aliya berkata…
salam,,semoga berjaya selalu

Catatan popular daripada blog ini

Kubu Kota Kaherah struktur terhebat tamadun Islam

Susunan ZUNAIDAH ZAINON KUBU Kota (Citadel) adalah monumen terhebat dari zaman pertengahan yang telah mencipta panorama menarik di seluruh bandar Kaherah, Mesir sejak 700 tahun lalu. Selain menjadi tarikan pelancong dari seluruh pelosok dunia, binaan Kubu Kota adalah struktur terhebat dalam sejarah keagungan tamadun Islam. Gabenor Hatim Ibn Hartama dipercayai membina astaka Dome of the Wind pada tahun 810. Kemudiannya, pada 1176, Salah ad-Din (turut dikenali sebagai Saladin) iaitu pemerintah Abbasiah (1171-1193) menukar fungsinya daripada kawasan peranginan kepada kubu pertahanan dan melindungi kawasan tersebut daripada serangan tentera Kristian dalam Perang Salib. Menurut cerita legenda, Salah ad-Din memilih lokasi tersebut untuk mendapatkan udara segar. Ini disebabkan kebanyakan daging yang disalai telah menimbulkan bau yang kurang enak di seluruh bandar kecuali kawasan di sekitar kubu kota. Bagaimanapun, lokasi tersebut amat strategik dan mampu berfungsi sebagai benteng pertahanan.

SAMBUNG BELAJAR KE MESIR

NOTA KEMASUKAN SESI 2020/2021 ============================= UPDATE INFO TERKINI Pengalaman yang selalu membuatkan seseorang cinta untuk menimba pelbagai ilmu. Pengalaman melihat kawan-kawan yang berjaya dilahirkan melalui kampus pengajian di bumi Mesir juga merupakan satu pengalaman yang tidak mampu dijual beli. Tinggalkan pengalaman saya yang telah menuntut di Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir pada tahun 2004-2009. Itu adalah suatu pengalaman yang amat-amat bernilai dan berharga.  Keputusan STAM/SPM 2019 telah keluar. Alhamdulillah. Ramailah di antara kita sedang membuat pilihan untuk memilih sama ada menyambung pengajian ke dalam negara atau memilih ke luar negara. Alhamdulillah, kurniaan Allah SWT kepada saya, tahun 2016 lalu saya telah berpeluang menjejakkan kaki ke bumi Mesir melihat sistem pendidikan terbaharu di Mesir. Banyaklah pembaharuan dan kemajuan di Mesir berbanding pengalaman lampau pada tahun 2009 sewaktu berada di bumi Mesir. Kali ini sa

Perintis Diploma Pengurusan Dakwah

 Di antara mahasiswa Diploma Pengurusan Dakwah yang telah menuntut di Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI)