Langkau ke kandungan utama

Penulis Baru Wajib Baca


Konflik editor dengan penulis

Oleh: RAZALI ENDUN

Isu penulis menghantar karya kreatif mereka kepada lebih daripada sebuah penerbitan bukanlah perkara baru. Begitu juga dengan isu ciplak sesebuah karya oleh penulis yang tidak bertanggungjawab. Begitupun ini tidaklah parah dan peratusan golongan yang melakukannya amat kecil. Namun begitu sekiranya wabak ini tidak dibendung, dikhuatiri akan menular dan mungkin akan menjadi fenomena pada masa akan datang.

Tidak lama dulu ada editor dengan nada marah-marah dalam kolum menyalahkan para penulis yang dianggap rakus dan tidak bertanggungjawab.

Bagaimanapun amat tidak adil sekiranya kita menjatuhkan hukuman pada satu pihak sahaja sedangkan kita cuba menutup kesilapan pihak yang lagi satu. Kedua-dua pihak mesti rasional dalam menangani masalah ini dengan pandangan terbuka dan positif.

Konflik antara penulis dengan editor sastera media cetak juga bukan isu baru. Ia pernah dibangkitkan sekitar penghujung alaf lalu di mana pernah disyorkan oleh salah seorang penulis supaya editor mempunyai sedikit usaha untuk memaklumkan kepada penulis penerimaan karya-karya mereka dan sama ada akan disiarkan atau tidak. Dengan yang demikian penulis akan mengetahui kedudukan karyanya di media yang dihantarnya dan terpulang pula kepada penulis itu sama ada mahu menghantar kepada media yang lain pula.

Apabila tidak diketahui sama ada karyanya akan disiarkan atau tidak, sementelah pula disimpan terlalu lama tanpa apa-apa maklumat, sudah pasti penulis itu berasa bosan dan mengambil tindakan menghantar karyanya ke penerbitan yang lain. Kalau perkara ini berlaku, adakah penulis itu bersalah atau editor yang memeram karya-karya mereka yang harus dipersalahkan?

Subjektif

Menilai karya sastera merupakan sesuatu yang subjektif. Setiap seorang berbeza penilaian mereka. Ia boleh dilihat dan dinilai dari pelbagai sudut. Karya kreatif bukan statik sifatnya. Ia mempunyai roh yang boleh disentuh dan dikembangkan dari pelbagai aspek. Justeru itu, tiada sesiapa pun termasuk editor boleh mendabik dada bahawa penilaian yang dibuat itu sesuatu yang sempurna sifatnya. Maka oleh kerana itulah sesebuah karya menurut penilaian editor sebuah penerbitan tidak bermutu, dianggap pula bermutu oleh editor yang lain, lalu karya itu disiarkan.

Golongan penulis juga perlu memahami masalah yang dihadapi oleh para editor. Mereka juga tidak boleh dipersalahkan kerana ‘memeram’ karya-karya penulis. Ada penulis yang menghantar karya mereka secara semberono sahaja. Ada pula yang mengirim berbelas-belas sajak siap dijilid bagaikan manuskrip novel. Apabila diteliti ada di antara sajak-sajak itu sudah pun diterbitkan dalam beberapa media cetak lima atau sepuluh tahun lalu.

Justeru kerana itu karya-karya yang kurang kesalahan dan kesilapan tatacara penulisan biasanya mendapat tumpuan editor kerana menjimatkan masa. Ini kerana editor menerima beratus-ratus karya baik sajak mahupun cerpen setiap minggu. Untuk menapis dan memilihnya bukanlah mudah.

Dalam proses pemilihan, editor juga terpaksa memilih karya-karya yang menepati polisi syarikatnya. Selain itu kesesuaian masa penyiaran seperti musim perayaan, tahun baru dan bulan kemerdekaan, sudah pasti karya -karya yang mempunyai tema-tema yang berkaitan akan disiarkan terlebih dahulu pada musim-musim begini.

Golongan penulis telah maklum, mutakhir ini rata-rata golongan editor sastera di media cetak terdiri daripada generasi muda dan mereka yang tidak pernah menulis sebuah karya pun dalam bidang itu. Timbul pula masalah sampingan iaitu ada golongan penulis mempertikaikan keupayaan editor-editor sastera ini menyerap aspirasi penulis ketika menilai karya-karya mereka. Tentu sekali perspektif editor-editor seperti ini jauh tersimpang daripada editor-editor yang pernah dan turut sama mencebur secara aktif dalam dunia penulisan kreatif.

Sedekad yang lalu, boleh dikatakan semua editor yang mengendalikan ruangan sastera terdiri daripada penulis atau sasterawan. Nama-nama seperti Nora, A. Samad Said, Dino S.S., Rahim Abdullah, Sutung Omar R.S., Usman Awang, Keris Mas, Mohamad Noor Azam, Kemala (sekadar menyebut beberapa nama), merupakan penulis dan sasterawan yang mengendalikan ruangan sastera ini. Ramai penulis terutama penulis muda mendapat bimbingan daripada mereka, bukan cemuhan.

Oleh kerana ramai editor sastera dewasa ini terdiri daripada generasi muda, maka penulis veteran semacam rasa terpinggir hari demi hari dari arena penulisan kreatif ini. Cita rasa dan aspirasi editor-editor ini tidak serasi dengan aspirasi penulis-penulis veteran. Editor-editor ini mahukan sesuatu yang baharu, yang bersifat eksperimental sedangkan penulis-penulis veteran masih terkongkong dengan gaya konvensional. Sebab itulah ada editor yang berasa serba salah dan semacam terpaksa menyiarkan tulisan penulis-penulis veteran ini. Apa pun, karya-karya yang berbentuk konvensional ada nilainya tersendiri dan ia sesuatu yang sentimental dan fundamental sifatnya yang mendasari estetika pengkaryaan kreatif.

***************************************************************
Sebelum karya siap, ini di antara hasil kerja saya

Sekiranya anda merupakan penulis baru, anda digalakkan membaca keratan rencana ini. Kerana, ini di antara masalah yang seringkali timbul di kalangan penulis-penulis muda. Biasalah, nak menetas segera, jadi hasilnya juga segera.

Memikirkan hal ini, saya sendirian amat gerun sekiranya saya sendiri cenderung menulis ke arah perkara yang salah. Namun, secara peribadi, hasil kerja buat yang saya lakukan adalah semata-mata untuk mencari keredaan-Nya.

Menulis merupakan sebuah amanah. Oleh itu, saya perlu amanah pada diri untuk belajar dan berlatih dengan warasnya.

Karya saya di Berita Minggu, 20 April 2008. Karya puisi berjudul "Sebuah Pengharapan II".




Ulasan

Amermeftah berkata…
Ust Syafiq suka genre puisis atau cerpen?
Tarbus Merah berkata…
kedua-duanya saya minat. Tetapi di dalam ruang-ruang panjang ini, saya lebih selesa menulis puisi

Catatan popular daripada blog ini

Kubu Kota Kaherah struktur terhebat tamadun Islam

Susunan ZUNAIDAH ZAINON KUBU Kota (Citadel) adalah monumen terhebat dari zaman pertengahan yang telah mencipta panorama menarik di seluruh bandar Kaherah, Mesir sejak 700 tahun lalu. Selain menjadi tarikan pelancong dari seluruh pelosok dunia, binaan Kubu Kota adalah struktur terhebat dalam sejarah keagungan tamadun Islam. Gabenor Hatim Ibn Hartama dipercayai membina astaka Dome of the Wind pada tahun 810. Kemudiannya, pada 1176, Salah ad-Din (turut dikenali sebagai Saladin) iaitu pemerintah Abbasiah (1171-1193) menukar fungsinya daripada kawasan peranginan kepada kubu pertahanan dan melindungi kawasan tersebut daripada serangan tentera Kristian dalam Perang Salib. Menurut cerita legenda, Salah ad-Din memilih lokasi tersebut untuk mendapatkan udara segar. Ini disebabkan kebanyakan daging yang disalai telah menimbulkan bau yang kurang enak di seluruh bandar kecuali kawasan di sekitar kubu kota. Bagaimanapun, lokasi tersebut amat strategik dan mampu berfungsi sebagai benteng pertahanan.

SAMBUNG BELAJAR KE MESIR

NOTA KEMASUKAN SESI 2020/2021 ============================= UPDATE INFO TERKINI Pengalaman yang selalu membuatkan seseorang cinta untuk menimba pelbagai ilmu. Pengalaman melihat kawan-kawan yang berjaya dilahirkan melalui kampus pengajian di bumi Mesir juga merupakan satu pengalaman yang tidak mampu dijual beli. Tinggalkan pengalaman saya yang telah menuntut di Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir pada tahun 2004-2009. Itu adalah suatu pengalaman yang amat-amat bernilai dan berharga.  Keputusan STAM/SPM 2019 telah keluar. Alhamdulillah. Ramailah di antara kita sedang membuat pilihan untuk memilih sama ada menyambung pengajian ke dalam negara atau memilih ke luar negara. Alhamdulillah, kurniaan Allah SWT kepada saya, tahun 2016 lalu saya telah berpeluang menjejakkan kaki ke bumi Mesir melihat sistem pendidikan terbaharu di Mesir. Banyaklah pembaharuan dan kemajuan di Mesir berbanding pengalaman lampau pada tahun 2009 sewaktu berada di bumi Mesir. Kali ini sa

Perintis Diploma Pengurusan Dakwah

 Di antara mahasiswa Diploma Pengurusan Dakwah yang telah menuntut di Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI)