Kenali Diri

My photo
Johor Bahru, Johor, Malaysia
SYAFIQ ZULAKIFLI adalah graduan Universiti Al-Azhar, Kaherah,Mesir. Berasal dari negeri Johor Darul Takzim. B.A (Hons)Syariah, Al-Azhar (2009) Editor PTS Publication & Distributor Sdn Bhd(2010) Eksekutif Penyelidikan Editorial TVAlhijrah(2012)Penerbit Rancangan IKIMfm (Mulai 1 Mac 2012) Sebarang pertanyaan emelkan ke syafiqzulakifli @ gmail.com atau hubungi +6017 7346 946

Sunday, November 25, 2007

UTUSAN MALAYSIA HARI INI

3,000 pelajar Malaysia di Mesir dengar amanat PM hari ini

Daripada MARZUKI YUSOFF


KAHERAH 25 Nov. – Kira-kira 3,000 pelajar Malaysia yang mengikuti pelbagai kursus termasuk dari Universiti Al-Azhar di sini akan mendengar amanat daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi esok.


Duta Besar Malaysia ke Mesir, Datuk Zainal Abidin Abdul Kadir berkata, Perdana Menteri dalam ucapannya pada perasmian Pameran Kerjaya dan Promosi Malaysia yang terbesar pernah diadakan setakat ini dijangka menyentuh beberapa perkara penting terutama yang ada kaitan dengan isu melibatkan para pelajar.


Menurut beliau, lawatan Perdana Menteri kali ini akan menyuntik semangat kepada para pelajar terutama yang mengikuti jurusan agama agar tidak berasa tersisih dari pelbagai peluang yang disediakan oleh kerajaan dan sektor swasta di Malaysia.


‘‘Selain 3,000 pelajar yang akan mendengar amanat Perdana Menteri di Dewan CICC, kira-kira 4,000 lagi pelajar kita di negara ini akan hadir pada pameran kerjaya itu.


‘‘Sebanyak 40 agensi kerajaan, korporat dan bank-bank terkemuka Malaysia akan menyertai pameran atau festival kerjaya tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.


Selain kehadiran Perdana Menteri yang ditemani isteri, Datin Seri Jeanne Abdullah, beberapa menteri Kabinet akan turut serta termasuk Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin; Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md. Zin; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed.


Mengubah


Para pelajar juga mempunyai sesi khas bersama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd. Shafie Apdal.


Zainal Abidin menambah, tujuan kerajaan mengadakan program tersebut adalah bagi mengubah persepsi para pelajar terutama dari jurusan agama bahawa peluang pekerjaan untuk mereka terbuka luas.


‘‘Selama ini para pelajar jurusan agama merasakan mereka hanya layak menjadi guru agama sedangkan peluang pekerjaan untuk mereka sebenarnya lebih luas termasuk berkhidmat di sektor korporat dan bank-bank.


‘‘Pada festival ini, sebanyak 300 peluang pekerjaan segera akan ditawarkan kepada para pelajar itu melalui temuduga terbuka yang diadakan selama program dua hari itu,” jelasnya.


Beliau berkata, seramai 6,000 pelajar Malaysia kini menuntut di Universiti Al-Azhar, manakala selebihnya mengambil jurusan perubatan dari tujuh buah institusi pengajian tinggi lain.


Perdana Menteri dan isteri dijangka tiba ke sini kira-kira pukul 7.10 malam ini (waktu tempatan) dan akan menghadiri jamuan makan malam di kediaman Duta Besar Malaysia di Muhandiseen.


Menurut Zainal Abidin, petang esok Abdullah dijadualkan menemui Perdana Menteri Mesir, Dr. Ahmad Nazif sebelum berlepas pulang ke tanah air kira-kira pukul 11 malam.


–Sumber Utusan Malaysia, Isnin 26 November 2007


No comments: