Kenali Diri

My photo
Johor Bahru, Johor, Malaysia
SYAFIQ ZULAKIFLI adalah graduan Universiti Al-Azhar, Kaherah,Mesir. Berasal dari negeri Johor Darul Takzim. B.A (Hons)Syariah, Al-Azhar (2009) Editor PTS Publication & Distributor Sdn Bhd(2010) Eksekutif Penyelidikan Editorial TVAlhijrah(2012)Penerbit Rancangan IKIMfm (Mulai 1 Mac 2012) Sebarang pertanyaan emelkan ke syafiqzulakifli @ gmail.com atau hubungi +6017 7346 946

Tuesday, June 26, 2007

Rencana

MAHASISWA PERLU AKTIF BERPERSATUAN

Kes pembunuhan mahasiswa Universiti Al-Azhar cawangan Mansurah, Mesir Mohammad bin Ishak,22 merupakan suatu yang amat tragis. Lebih-lebih lagi ia merupakan peristiwa yang melibatkan mahasiswa senegara. Pelbagai andaian dibuat oleh pihak-pihak yang terbabit untuk menentukan motif dan punca sebenar pembunuhan tersebut.

Rentetan daripada peristiwa tersebut, mahasiswa seharusnya sedar bahawa kepentingan berada di dalam kelompok berpersatuan amatlah penting. Sikap menyendiri, hidup bebas tanpa bimbingan, kurang melibatkan diri di dalam aktiviti berpersatuan merupakan punca utama mahasiswa kita terjerumus ke dalam masalah-masalah sosial ini.

Sebagai mahasiswa, aktiviti kemasyarakatan seperti menghadiri seminar, program-program ilmiah, diskusi kitab dan buku, serta bermacam- macam lagi aktiviti yang sihat haruslah diberi penekanan. Oleh yang demikian, wajarlah pihak Kementerian Pengajian Tinggi mengenakan syarat kepada mahasiswa yang ingin menyambung pengajian mereka di peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) supaya aktif di dalam aktiviti kokurikulum semenjak daripada pendidikan di peringkat sekolah lagi.

Kebanyakan mahasiswa pada hari ini memberikan pelbagai alasan agar mereka tidak aktif di dalam kampus. Ada yang ingin hidup menyendiri tanpa terikat dengan bebanan tugas sebagai seorang pemimpin dan takut menjalankan amanah yang besar daripada Allah s.w.t. Tanggapan-tanggapan negatif ini perlu dikikis agar suatu masa nanti golongan mahasiswa yang merupakan generasi awal belia ini tidak kekok apabila berada di dalam kelompok masyarakat.

Pihak persatuan pula tidak seharusnya menafikan bakat dan kebolehan seseorang mahasiswa untuk berada di dalam aktiviti berpersatuan. Mereka -mereka yang bermasalah, kurang bercampur dengan rakan sebaya perlulah dibimbing dan diberi latihan sama ada ianya berbentuk teori ataupun amali. Sikap terpinggir dan disisihkan tidak akan wujud apabila golongan mahasiswa ini aktif bersama-sama di dalam berpersatuan.Usahlah berprasangka di dalam membentuk suatu komuniti yang cemerlang. Sikap-sikap yang sedemikian itu akan lebih memburukkan lagi keadaan.

Syafiq bin Zulakifli
Mahasiswa
Universiti Al-Azhar, Kaherah

No comments: