Kenali Diri

My photo
Johor Bahru, Johor, Malaysia
SYAFIQ ZULAKIFLI adalah graduan Universiti Al-Azhar, Kaherah,Mesir. Berasal dari negeri Johor Darul Takzim. B.A (Hons)Syariah, Al-Azhar (2009) Editor PTS Publication & Distributor Sdn Bhd(2010) Eksekutif Penyelidikan Editorial TVAlhijrah(2012)Penerbit Rancangan IKIMfm (Mulai 1 Mac 2012) Sebarang pertanyaan emelkan ke syafiqzulakifli @ gmail.com atau hubungi +6017 7346 946

Thursday, May 18, 2006

Menggilap BAKAT Diri

Oleh: DR. SIDEK BABA

SETIAP remaja dilahirkan dengan bakat dan kebolehan. Bakat dan kebolehan perlu digilap secara berterusan supaya ia memberi guna kepada diri dan orang lain. Bakat remaja jangan dibiarkan terpendam dan terbenam. Bakat remaja harus diserlahkan supaya proses pencerdasan boleh berlaku. Bakat remaja adalah ibarat benih. Benih yang baik dan berkualiti apabila disemai dan ditanam di tanah yang subur dan dijaga dengan baik, ia akan tumbuh, membiak dan menghasilkan bunga dan buah yang berkualiti dan memberi guna kepada orang lain.

Bakat remaja juga begitu. Allah tidak kurniakan seseorang remaja dengan bakat yang sama, kecenderungan yang serupa dan minat yang sealiran. Bakat yang ada pada remaja harus dikenalpasti. Proses pendidikan dan pengilmuan boleh memandu dan mengenalpasti bakat yang ada para remaja. Pada satu tahap umur remaja, cita-cita mula dibina, minat dan kecenderungan terhadap sesuatu bidang mula kelihatan. Walaupun di peringkat ini remaja masih belum tetap hatinya untuk menjurus bidang-bidang tertentu tetapi kuntum-kuntum bakat dan minat sudah mula terserlah.

Bagi remaja, dengan bakat saja tidak memadai untuk memacu diri ke arah kejayaan. Begitu juga minat saja tidak cukup untuk mencapai sesuatu cita-cita. Bakat yang disertai dengan minat menjadi simbiosis atau gandingan yang penting supaya cita-cita ke arah kecemerlangan dapat disempurnakan. Bakat adalah ibarat sumber, minat ibarat bahan bakar. Menyalanya lampu atau pelita kerana ia ada sumber iaitu minyak. Terangnya cahaya bakaran hasil adanya sumbu atau lampu. Apabila cahaya menerangi sekitar sifat bakat dan ilmu adalah memberi guna kepada yang lain.

Ada ketikanya bakat remaja akan terbenam dan terbantut di peringkat awal lagi. Remaja mungkin tidak mempunyai peluang untuk meningkatkan ilmu dan pendidikan. Benih yang terbenam dan terbantut dalam membesar pun tidak menjadi. Benih yang bantut tidak akan subur malah yang tumbuh pun hasilnya tidak seberapa. Ada ketikanya bakat remaja tercantas di peringkat pertengahan. Oleh kerana desakan hidup atau dirosakkan oleh pengaruh persekitaran menyebabkan bakat tidak berkembang dan akhirnya bantut di tengah jalan.

Para remaja yang terlibat dalam amalan salah guna dadah, para remaja yang terjebak dengan musibah AIDS/HIV dan jenayah, para remaja yang terperangkap dengan pergaulan yang lepas bebas biasanya akan cepat mengalami kebantutan bakat. Bakatnya akan beransur-ansur pupus dan kalau subur pun ibarat segan mati tak mahu. Perhatian dan tumpuan hidupnya lebih meraikan kehendak naluri dan dorongan nafsu-nafsi. Bercita-cita tinggi tidak lagi berkembang. Keinginan menjadi orang cemerlang tidak akan berlaku. Pada saat penanggungan ketagihan dadah dan penderitaan AIDS/HIV atau berada di lokap-penjara dan Pusat Serenti harapan untuk kembali amat tipis. Bakatnya sudah lebur. Ibarat nasi sudah menjadi bubur dan untuk kembali kepada fitrah semakin kabur.

Oleh itu menggilap bakat remaja hendaklah bermula sejak awal lagi. Pada saat naluri berkembang, kecenderungan mula menguntum, penggilapan harus dilakukan. Ia harus bermula di tahap keluarga iaitu peranan ibu bapa mengenal pasti dan membantu menggilap bakat anak-anak dengan kemahiran keibubapaan yang mereka ada.

Penggilapan itu diikuti oleh pihak sekolah iaitu guru-guru yang dapat mengenal pasti bakat dan kebolehan pelajar-pelajarnya. Apabila keputusan peperiksaan diperoleh para remaja boleh menyalurkan pencapaian yang diterima dengan bakat dan minat yang ada.

Biasanya para remaja yang sedang belajar amat perlu dikenali minat dan bakat mereka. Walau sebaik mana pun kelulusan yang diterima sekiranya bakat dan minat tidak diambil kira, para remaja kadang-kadang terjebak di dua persimpangan sama ada meraikan bakat yang ada dan dalam masa yang sama cuba menyesuaikan diri dengan jurusan yang ditawarkan. Selalunya para remaja yang cemerlang pendidikannya adalah di kalangan yang mampu menggilap bakatnya dan dalam masa yang sama selari dengan minatnya untuk maju dan berjaya dalam bidang-bidang tertentu.

Cabaran dalam dunia pembangunan modal insan kini memerlukan para remaja melakukan penggilapan bakat yang berbentuk multi-dimensi dan multi-disiplin. Multi-dimensi bermaksud bahawa jenis cabaran yang dihadapi oleh generasi hidup banyak memberikan fokus tentang aspek sains, teknologi dan keterampilan.

Dalam masa yang sama para remaja harus memiliki dimensi nilai, etika dan akhlak yang tinggi kerana jenis cabaran yang ada pada masa depan tidak saja berkisar kepada isu yang bercorak akademik tetapi ia juga berputar sekitar isu-isu kemanusiaan, etika, nilai dan moral.

Faktor-faktor ini sekiranya dapat diintegrasikan bakal melahirkan remaja yang holistik ilmu dan pemikirannya sekali gus memiliki kekuatan nilai dan etika untuk berdepan dengan cabaran yang lebih rumit.

Dengan multi-disiplin, para remaja tidak harus menumpu hanya kepada bidang sains dan teknologi tetapi melupakan aspek falsafah, ilmu-ilmu kemanusiaan dan juga ilmu-ilmu pengurusan. Di kalangan remaja yang menjurus bidang keagamaan dan ilmu kemanusiaan, aspek sains dan juga teknologi juga harus diberikan perhatian supaya pendekatan multi-disiplin membolehkan remaja memahami keperluan perubahan dan dalam masa yang sama tidak melupakan faktor-faktor asasi yang memberikan pedoman kepada remaja untuk menjadi warganegara yang baik sekali gus menjadi manusia yang baik.

Penggilapan bakat dan minat di kalangan remaja Islam harus dilihat sebagai suatu jihad ataupun perjuangan. Kekuatan yang ada pada negara maju adalah pembangunan modal insannya. Sebagai remaja Islam yang terpanggil untuk menyumbang ke arah pembangunan umatnya, mereka memerlukan ilmu dan keterampilan untuk mengelak kesan globalisasi yang menjadikan kita hanya pengguna kepada tamadun Barat.

Sebagai generasi penerus Islam, Allah mengurniakan kepada diri remaja bakat dan kebolehan yang kalau tidak pun sama dengan orang lain, mungkin melebihi.

Kekuatan bakat yang ada pada manusia seperti Ibn Sina (pakar perubatan), Ibn Nafis (pakar bahasa dan ilmu perputaran darah), al-Khawarizmi (pakar matematik), Al-Zahrawi (pakar bedah), Ibn Haitam (pakar Mata) dan ramai lagi adalah disebabkan keyakinan mereka menguasai ilmu pelbagai dimensi dan multi-disiplin.

Ia menghasilkan ilmuan berjiwa ulama dan ulama yang wataknya profesional kerana mereka tahu bakat dan minat yang terdapat dalam diri dan menggilapnya sehingga terserlah menjadi butir-butir bintang yang sifatnya menerangi.

*PROF. DR. SIDEK BABA ialah pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak.

No comments: