Kenali Diri

My photo
Johor Bahru, Johor, Malaysia
SYAFIQ ZULAKIFLI adalah graduan Universiti Al-Azhar, Kaherah,Mesir. Berasal dari negeri Johor Darul Takzim. B.A (Hons)Syariah, Al-Azhar (2009) Editor PTS Publication & Distributor Sdn Bhd(2010) Eksekutif Penyelidikan Editorial TVAlhijrah(2012)Penerbit Rancangan IKIMfm (Mulai 1 Mac 2012) Sebarang pertanyaan emelkan ke syafiqzulakifli @ gmail.com atau hubungi +6017 7346 946

Sunday, April 09, 2006

Hari Keputeraan Sultan Johor

Sultan Johor lantik Raja Muda
JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Iskandar semalam berkenan mengumumkan pelantikan cucunda baginda, Tunku Ismail Idris Tunku Ibrahim Ismail sebagai Raja Muda Johor, berkuat kuasa serta-merta.

Pemasyhuran putera sulung Tunku Mahkota Johor dan Raja Zarith Sofia itu dibuat Sultan Johor pada majlis Istiadat Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraannya di Istana Besar di sini.

Selepas menganugerahkan darjah dan pingat kebesaran kepada 11 penerima, tanpa menggunakan pembesar suara baginda mengisytiharkan cucunya sebagai Raja Muda Johor.

"Saya umumkan cucu saya sebagai Raja Muda Johor," katanya.

Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Tunku Abu Bakar Tunku Abdul Rahman, dalam kenyataannya berkata, selepas pelantikan ini, Tunku Ismail akan bergelar Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibrahim, Raja Muda Johor, pada semua majlis istiadat dan urusan rasmi kerajaan, mulai semalam.

Berikutan pelantikan itu, Tunku Ismail menjadi pewaris kedua selepas ayahandanya, Tunku Ibrahim Ismail, ke takhta kesultanan Johor.

Sultan Iskandar menjadi Raja Muda Johor pada 1966 sehingga dilantik menjadi sultan pada 1981 dan gelaran itu kosong sehingga semalam.

Sempena Hari Keputeraan Ke-74 Sultan Johor itu, Raja Muda Johor turut dikurniakan nindanya pingat Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Kedua (DKII).

Tunku Ismail, 22, kini berkhidmat sebagai Pegawai Tentera di Rejimen 61 Calvary, Angkatan Tentera India, selepas menjalani latihan ketenteraan sebagai pegawai kadet di Akademi Ketenteraan India (IMA), Dehradun, mulai Julai 2003.
Raja Muda Johor turut mengikut jejak langkah ninda dan bapanya, meminati sukan berkuda dan bermain polo serta pernah dianugerahkan sebagai penunggang kuda terbaik ketika belajar di akademi itu.

Tunku Ismail dikurniakan Pangkat Pertama Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Seri Paduka Mahkota Johor (SPMJ) pada tahun lalu dan Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Ketiga Setia Mahkota Johor (SMJ) pada 2004.

Turut berangkat ke Istiadat Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Johor ialah Sultanah Johor; Tunku Mahkota Johor, Raja Zarith Sofia; Tunku Bendahara Johor, Tunku Abdul Majid Idris, kerabat diraja, exco dan pegawai kerajaan negeri.
Puteri baginda, Tunku Zabedah Sultan Iskandar mengetuai senarai 175 penerima pingat Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati Pangkat Pertama (DKI) sempena majlis itu.

Mufti Johor, Datuk Nooh Gadot pula menjadi penerima tunggal pingat Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Pertama (SPMJ) yang membawa gelaran Datuk.

Empat yang lain dianugerahkan Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Kedua (DPMJ) juga membawa gelaran Datuk. Mereka ialah Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Datuk Abdul Rahman Abdul Hamid; Pengarah KDRM negeri, Datuk Sarmin Md Hussein; Menantu Sultan Johor, Mizan Datuk Yahya dan Penguasa Kebun Bunga Kerajaan Johor, S Chanthrasothy.

Radin Juariah Radin Sudiro antara empat penerima Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Ketiga selain Nor Aini Juffery, Mahmudin Salim dan Mohd Alies Mohd Ayub.

Pengarah Urusan Perisind Holdings Sdn Bhd, Datuk Ibrahim Endan antara 13 penerima Pingat Kerana Lama dan Baik Dalam Pekerjaan (PLP) selain Pengarah Imigresen Tambak Johor, Kamariah Rahmat.

Dua pegawai Pejabat Kewangan negeri, Razman A Rashid dan Mohamad Ali Ibrahim pula antara 132 penerima Pingat Ibrahim Sultan Pangkat Kedua (PIS II).

Seramai 19 penerima pingat Ibrahim Sultan Pangkat Ketiga (PIS III) termasuk kakitangan Majlis Bandaraya Johor Bahru, Zaliha Talib dan Ahmad Othman.
(Sumber : Berita Harian - 9 April 2006)

No comments: