Gambar hiasan.
(Bangunan pentadbiran Fakulti Syariah Undang-Undang di Universiti Al-Azhar, Mesir yang sudah tersergam indah dan berhawa dingin)
Karya ini adalah karya kritikan sastera kepada hasil buah tangan mahasiswa Johor yang terbit dalam Suara Kampus Johor Edisi 114 di Mesir.(Bangunan pentadbiran Fakulti Syariah Undang-Undang di Universiti Al-Azhar, Mesir yang sudah tersergam indah dan berhawa dingin)
TAJUK : Teori Penulisan Karya Sastera Kita Lemah!
Oleh : Syafiq Zulakifli
DALAM perkembangan dunia penulisan karya kreatif, empat elemen digunapakai oleh semua pengarang. Pertama, teori penulisan. Pengarang mengenali bagaimana menulis karya, bagaimana meletakkan watak dan perwatakan, sudut pandangan, tema dan persoalan dan sebagainya.
Itu adalah asas kepada sebuah teori penulisan. Kedua, ia disebut sebagai pengalaman penulisan ataupun kreativiti dalam mengarang. Waktu ini adalah paling mustahak kerana pengarang karya kreatif akan mula mengenali diri mereka sebagai seorang pengarang yang mahukan karya mereka di baca oleh umum khalayak. Kalau tidak pun, hanya sekadar praktikal sebagai seorang pengarang.
Perkara yang ketiga adalah penerbitan karya tersebut. Tentunya pengarang akan memastikan karya mereka dibaca oleh khalayak sama ada melalui media cetak atau media massa. Atau, setidak-tidaknya ada ruang teman pengarang membaca karya yang ditulis di dalam komputer peribadi.
Akhirnya, perkara yang paling dibenci oleh pengarang dan kadang-kadang mengundang kontroversi adalah kritikan. Ya! Kritikan adalah sesuatu yang mampu mengundang kontroversi. Bukan sahaja karya anda seorang pengarang baharu tetapi karya penulis mapan dan pengarang seperti sasterawan negara juga menghadapi situasi yang sama.
Oleh yang demikian, ketika saya diberi tugas mengkritik cerpen karya Siti Fatimah Ibrahim berjudul ‘Tanpa Ibu’ yang terbit di dalam Majalah Suara Kampus Edisi Johor keluaran 114, saya menjadi orang yang paling kerdil.
Saya fikir, siapalah saya yang mahu mengkritik karya penulis baharu. Tetapi, saya merasionalkan diri untuk mengajar selepas karya saya pernah dikritik malah dihina oleh Bonda Zaharah Nawawi ketika menghadiri Bengkel Penulisan Karyawan Muda Luar Negara di Dewan Bahasa dan Pustaka pada Ogos 2007.
Sejujurnya seorang penulis baharu pastinya kurang memahami konsep penulisan cerpen. Oleh sebab cerpen adalah sebuah karya cerita pendek yang seharusnya diisi dengan kependekan bahasa dan pemilihan kata yang sinonim dengan rima sebuah karya sastera, seharusnya elemen sastera ini dipertingkatkan oleh pengarang. Perkataan-perkataan yang lewah seharusnya tidak wujud di dalam karya.
Oleh kerana cerpen adalah sebuah karya sastera yang menyampaikan idea, penulis langsung tidak memberikan pemikiran di dalam karya tersebut. Karya tersebut hanya menyampaikan cerita dan tiada gagasan dan ilmu bantu yang boleh digarap oleh pembaca karya tersebut.
Seharusnya pengarang lebih berhati-hati ketika memilih plot demi plot ketika memulakan cerita. Cerita klise dalam karya ‘Tanpa Ibu’ akan merencatkan penghasilan karya yang betul-betul jitu dan mantap bagi pengarang yang lahir daripada bumi Timur Tengah, Al-Azhar.
Kita semak satu persatu perbahasan yang boleh diambil di dalam karya ini. Penulis menyampaikan cerita apabila resah berpanjangan tatkala kehilangan ibu tercinta kerana menghadapi penyakit kanser. Ibu yang dilihat sebagai seorang teman di kala sunyi menjadi redup dan hambar ketika ibu pergi menghadap Ilahi.
Lihat pada ayat ini. “Ibu dah tiada Anis,” tutur ayah. Lirih suaranya kudengar. Aku terus membisu.
Bagi sesetengah pengarang, mereka tidak berhajat kepada lakon layar di dalam cerpen. Maksudnya, mereka tidak menggambarkan bahawa kesedihan telah terpamer di wajah anak yang kehilangan ibu. Walaubagaimanapun, suka diingatkan pergerakan plot sesebuah karya yang berbentuk kecil dan sederhana ini perlu dibantu dengan lakon layar atau situasi yang mampu menggerakkan watak.
Watak seharusnya digambarkan dengan jelas oleh pengarang. Tanpa menggambarkan watak dan perwatakan yang jelas, barangkali mood pembaca hanya akan hilang ketika menyelesaikan rangkap dan baris pertama ketika karya dihasilkan.
Dalam dunia sastera Melayu, pengarang ramai menggunakan teori di dalam mengarang. Lihat sahaja kepada Mana Sinaka seorang pensyarah di Singapura telah menghasilkan beberapa buah buku baharu tentang teori sastera. Ini termasuk dalam Teori Persuratan Baharu yang menjadikan pengarang hanya berselimut di dalam teori mereka sendiri.
Seorang sasterawan negara, Allahyarham Dr. S. Othman Kelantan pernah menafikan bahawa teori kesusasteraan tidak memberikan apa-apa kepada pengarang. Malah bagi sesetengah sasterawan Melayu, seharusnya karya itu ditulis oleh pengarang atas kehendak diri bukan atas landasan teori semata-mata.
Setelah meneliti karya Siti Fatimah Ibrahim, saya berkeyakinan penuh bahawa tiada satu teori yang dipilih oleh beliau sebelum menghasilkan karya ini. Melihat daripada perkembangan plot yang kurang kemas saya menyeru agar pengarang terus membaca karya penulis mapan tanah air sebelum mengarang karya-karya seterusnya.
Penulisan yang bermutu lahir daripada pembacaan yang bermutu. Oleh yang demikian, novel-novel popular yang melantai kepada dunia sastera dan penulisan hari ini harus ditinggalkan oleh pengarang sekiranya mereka mahukan karya mereka diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Dalam muka surat yang ke-37, sebuah karya puisi dihasilkan oleh Saudara Muhammad Saleh Maskob. Judul yang tidak diberikan kepada karya ini menjadikan pembaca tidak mengetahui apakah gagasan yang ingin disampaikan.
Tetapi, sekaligus ketika kita menghayati puisi ini, kita memilih tema ‘ketuhanan’ telah dipilih bagi menyelesaikan makna dalm karya ini.
Semakin waktu berputar,
semakin itulah hatiku penuh dengan noda.
Walau tahu akan dosanya, diri ini tetap melakukannya.
Semakin kuat denyutan jantung ini, semakin aku lupa akan dirimu.
Penulisan puisi sebenarnya lebih sukar daripada cerpen. Puisi adalah pemilihan kata-kata terbaik yang puitis nilainya. Oleh yang demikian, pemilihan diksi yang silap hanya akan menjejaskan karya. Karya ini dilihat oleh pengkritik sebagai karya yang dihasilkan tanpa melalui teori penulisan puisi.
Menulis puisi perlu dibumbui dengan makna sebuah lapis ayat yang berirama. Karya puisi memerlukan warna yang berbunga. Walaupun demikian, saya mengakui bahawa puisi ini sesuai dipentaskan di khalayak kerana mempunyai makna jelas dan tepat kepada pendengar.
Walaupun demikian, unsur gaya bahasa seperti hiperbola, personifikasi, metafora tidak dilambangkan dalam puisi ini.
Penulis harus menyedari bahawa menulis karya puisi bukan menulis cerita pendek yang dipotong-potong sahaja.
Ulasan
Bagus ulasan tentang 'kritikan sastera' ini. Sekurang-kurangnya Syafiq benar-benar memahami teori penciptaan sesebuah karya.
Selamat berkarya.
Saya hanya seorang insan yang masih belajar merangkak.