Mama,
Adik tidak ada bakat menyanyi. Adik tidak ada bakat berlakon. Adik tidak ada bakat melukis. Adik juga tak ada bakat untuk membentuk kad istimewa sempena hari ibu. Tetapi, Allah pinjamkan adik bakat menulis puisi. Puisi yang orang kata sajak. Tapi sajak itu sebenarnya puisi. Walaupun puisi dan sajak mempunyai makna amat luas, masing-masing punya peranan tersendiri.
Sebenarnya kali pertama adik menulis puisi semasa tingkatan satu lagi. Puisi yang adik cipta buat insan yang teristimewa. Ya. Untuk Abdul Hai Zulakifli. Entah, di mana hilangnya adik tak jumpa sampai hari ini.
Mama,
Kalaulah mama tahu betapa rindu ini terlalu mekar, takkan adik tinggalkan mama berjauhan. Namun, atas ketetapan Allah, kita berpisah buat sementara. Pasti esok lusa kita akan berjumpa. Tapi bila? Moga-moga masanya sudah hampir. Ya. Terlalu hampir.
Mama,
Sempena Hari Ibu yang jatuh pada hari ini, adik sampaikan sebuah 'puisi'. Moga-moga ia mengubat rindu yang sudah lama tertahan.
Kaulah ibu,
yang mendidikku sehingga dewasa
mengajar aku menghadap Tuhan yang Esa
membekalkan dengan wangian syurga.
Kaulah ibu,
tak pernah rasa gundah gulana
tak pernah rasa kecewa
walau dipagari cabaran melanda.
Kaulah ibu,
menangis kerana sebuah rindu
merindui anakmu yang jauh
walau kasihmu tak pernah putus.
Kaulah ibu,
yang akan menjadi teman
dalam jannah firdausiku.
Ulasan