Kenali Diri

My photo
Johor Bahru, Johor, Malaysia
SYAFIQ ZULAKIFLI adalah graduan Universiti Al-Azhar, Kaherah,Mesir. Berasal dari negeri Johor Darul Takzim. B.A (Hons)Syariah, Al-Azhar (2009) Editor PTS Publication & Distributor Sdn Bhd(2010) Eksekutif Penyelidikan Editorial TVAlhijrah(2012)Penerbit Rancangan IKIMfm (Mulai 1 Mac 2012) Sebarang pertanyaan emelkan ke syafiqzulakifli @ gmail.com atau hubungi +6017 7346 946

Tuesday, November 28, 2006

Jadi usahawan untuk kurangkan pengangguran

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

HARI ini, boleh dikatakan apa sahaja yang tidak mustahil mampu menjadi kenyataan. Namun, adakah ia selari dengan cita-cita dan matlamat asal kita? Begitulah antara persoalan yang terbit daripada minda bakal graduan universiti.

Dalam menghadapi persaingan sengit dunia pekerjaan dan lambakan siswazah menganggur saban tahun, segala kemungkinan yang tidak pernah terfikir semasa belajar boleh menjadi arah tujuan yang mendorong kepada kehidupan lebih baik. Tidak kurang juga, ada segelintir pelajar sudah menanam azam untuk menceburkan dalam bidang perniagaan dan keusahawanan apabila menamatkan pengajian di universiti.

Pengalaman yang dilalui oleh bekas penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang Pengurusan Kualiti Makanan, Siti Noraini Md. Isa, wajar dijadikan contoh kepada bakal graduan universiti.

Beliau yang tamat pengajian peringkat ijazah sarjana muda pada 2003 tidak menoleh ke belakang apabila mengambil keputusan membabitkan diri dalam dunia perniagaan.

“Minat dalam bisnes tidak datang pada peringkat awal. Saya juga seperti pelajar-pelajar lain yang mengimpikan kerjaya sama ada di sektor kerajaan atau swasta. Arah dan matlamat hidup saya berubah selepas hasil kajian saya mengenai penghasilan Nata De Pine berasaskan nanas memenangi tempat ketiga dalam pertandingan produk inovatif antara universiti.

“Pada masa itu, pertandingan tersebut diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia pada 2004,” cerita usahawan muda berusia 28 tahun ini.

Pengiktirafan

Lebih membanggakan, hasil kajian produk tersebut turut memenangi pingat emas di Pameran Teknik Baru Inovasi dan Produk Antarabangsa kali ke-33 di Geneva. Dengan kejayaan berganda yang diperolehnya, Siti Noraini membuat keputusan untuk tidak mensia-siakan pengiktirafan yang diterimanya.

Selepas tamat pengajian, beliau mengambil keputusan membuka kilang memproses Nata De Coco dengan menggunakan kelapa kerana ia lebih murah dan mudah didapati.

Sebagai permulaan, beliau mendapat pinjaman modal sebanyak RM50,000 daripada Bank Pertanian Malaysia di bawah Skim Usahawan Tani Komersil Siswazah (SUTKS) untuk membeli peralatan dan mesin memproses.

Selain itu, ia juga digunakan untuk membuka kilang GMS Food Industry yang terletak di Plot No.15 & 16, Jalan IKS N/2, Taman IKS Nyalas, Pondok Batang, Jasin, Melaka. (Talian 013- 6130081, faks: 06-5228450)

Malah pembabitannya dalam bidang keusahawanan juga adalah hasil dorongan suami tercinta, Noor Azlan Sibut, 33, yang mempunyai pengalaman lima tahun dalam pembuatan dan pemasaran Nata De Coco.

“Dengan pengetahuan yang saya miliki di universiti dan kajian saintifik yang dilakukan serta pengalaman suami sendiri, maka tercetuslah idea untuk membuka kilang perusahaan pengeluaran makanan tersebut. Gabungan kedua-dua kepakaran inilah yang menjadi resipi kejayaan kami selama ini,” ujar Siti Noraini.

Memikul tanggungjawab sebagai seorang usahawan bukanlah suatu perkara yang boleh dipandang ringan. Bidang perniagaan dan keusahawanan adalah sektor yang berisiko tinggi andai tidak bijak menguruskannya dengan baik. Bagaimanapun, bagi Siti Noraini, apabila beliau menetapkan matlamatnya, apa jua cabaran harus dihadapi dengan tabah.

“Apabila bercakap tentang risiko, kita tidak boleh lari daripadanya. Bagi saya semua itu adalah dugaan dari Allah s.w.t. Untuk berjaya tidak ada jalan yang singkat. Semakin banyak ujian, semakin bernilai sebuah kejayaan,” katanya optimis.

Beliau menyifatkan terdapat beberapa masalah yang mengongkong siswazah untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan. Antaranya ialah takut berhadapan dengan risiko, tiada kepakaran dalam bidang pemasaran dan takut menghadapi persaingan.

Selain itu, mereka juga kurang pendedahan dan pengetahuan dalam menguruskan perniagaan termasuklah pengurusan akaun dan strategi pemasaran.

Memandangkan saban tahun semakin ramai graduan yang menamatkan pengajian dari universiti dalam pelbagai bidang dan masalah pengangguran siswazah yang masih belum surut, Siti Noraini berpendapat, keputusan membabitkan diri dalam perniagaan sebagai langkah terbaik yang boleh mengurangkan kadar pengangguran.

“Saya akui, wujudnya masalah-masalah yang menghalang mereka terutamanya dari segi modal dan pandangan masyarakat yang sedikit sebanyak membantutkan usaha siswazah untuk membuka bisnes sendiri.

Jika diteliti dengan baik, siswazah mampu memiliki perniagaannya sendiri secara tidak langsung berupaya menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada para penganggur,” katanya.

Beliau turut menasihati siswazah yang bakal bergelar usahawan agar tidak mudah mengalah dan putus asa. Tegasnya, kejayaan tidak akan dicapai tanpa tidak diuji dengan kegagalan.

Sunday, November 26, 2006

Bersatu Pelihara Islam

Dimanakah fungsi mahasiswa Al-Azhar?

SEJAK kejatuhan Khalifah Uthmaniah secara rasminya pada tahun 1924, sehingga kini, sudah hampir 82 tahun, umat Islam kehilangan arah. Bagaikan hilang tempat berpaut, begitulah ungkapan yang sesuai untuk digambarkan keadaan umat Islam selepas keruntuhan sistem kekhalifahan terakhir umat Islam, sejak dari zaman Rasulullah s.a.w.

Kecelaruan dan huru-hara dalam dunia Islam bertambah jelas, apabila pada tahun 1948, Baitulmaqdis berjaya di tawan oleh rejim Zionis. Kejatuhan Palestin itu sebagai satu tanda besar, betapa gentingnya situasi umat Islam dari sudut kekuatan dan kesatuan matlamat pada hari ini.

Kejatuhan Baitulmaqdis, sebenarnya adalah simbolik kepada kekalahan umat Islam. Jika dulu, tentera salib terpaksa berputih mata, apabila Sultan Salahuddin al- Ayubi berjaya menawan kembali Baitulmaqdis.

Tetapi kali ini, pada hari ini dan saat ini, giliran umat Islam pula berputih mata lantaran kegagalan umat Islam sendiri mempertahankan Baitulmaqdis daripada dirampas kembali oleh Yahudi dan Nasrani.

Mungkin ramai yang tidak tahu, ketika tentera rejim Zionis berjaya menawan Baitulmaqdis, mereka menari di sekelilingnya. Mereka menari sambil menyanyikan lagu, bermaksud Agama Muhammad sudah mati. Tentera Muhammad sudah tiada. Umat Islam sudah tidak ada laki-laki yang berani mempertahankan masjid mereka. Agama Muhammad sudah mati.

Itulah yang didendangkan oleh golongan itu, sebaik Al-Aqsa berada dalam genggaman mereka. Itulah yang dijeritkan oleh mereka kepada umat Islam yang dianggap bacul, kerana tidak mampu lagi mempertahankan hak mereka.

Tapi, salahkah golongan Yahudi mengambil kesempatan? Salahkah mereka bertindak sedemikian kerana keadaan umat Islam yang daif dan lemah pada zaman ini? Jika lemah dari segi ekonomi sahaja, mungkin itu boleh diusahakan. Tetapi lebih malang lagi apabila umat Islam hari ini lemah iman, yang sebenarnya menjadi punca kepada apa jua kekuatan untuk kejayaan dan kebaikan dalam kehidupan di dunia ini.

Umat Islam perlu berhenti menyalahkan orang lain sepanjang hidup mereka. Umat Islam hari ini, tidak boleh hanya membantah melalui demonstrasi, seminar, kertas kerja, berbual sambil makan-makan dan perkara yang seumpamanya.

Umat Islam juga perlu berhenti berbalah tentang kereta Mercedes, sembahyang imam kerajaan atau imam parti politik, atau Hizbullah itu Syiah. Ataupun menimbulkan persoalan perbezaan pendapat seperti wujudnya azab kubur atau tidak, yang sebenarnya tidak mendatangkan faedah bagi membangkitkan kembali ketamadunan Islam.

Sikap suka menyalahkan orang lain, mempertikaikan orang lain, atau berbalah mengenai hal-hal syariat, tidak akan mendatangkan apa-apa kebaikan melainkan bakal mengundang perpecahan yang lebih parah.

Umat Islam perlu melihat dari akar umbi.

Mengapa umat Islam kini berpecah belah? Faktor kekurangan ilmu yang membawa kepada permusuhan dan bersikap asyhobiah merupakan salah satu faktor utama umat Islam berpecah belah. Kita saling tuduh menuduh antara satu sama lain bersikap asyhobiah, sedangkan tanpa disedari, masing-masing sebenarnya mengamalkan sikap asyhobiah.

Hari ini, untuk membina kekuatan, umat Islam perlu bersatu di bawah satu panji-panji dan kalimah. Seperti mana Nabi s.a.w. diizinkan Allah s.w.t. untuk menyatupadukan hati kaum Auz dan Kharaj, seterusnya kaum Muhajirin dan Ansar melalui strateginya, itulah yang perlu dilakukan oleh umat Islam hari ini.

Tetapi, persoalannya siapakah yang perlu membangkitkan suara-suara perpaduan seperti ini? Siapakah hero dari kalangan kaum Muslimin yang dapat menyatukan kembali umat Islam di serata dunia?

Mungkin ramai yang memberi jawapan, akan bangkit seorang pembaharu agama berdasarkan hadis berkenaan kemunculan Imam Mahdi. Benar atau tidak hadis berkenaan, usah dipersoalkan tetapi soalnya, apakah umat Islam hanya perlu berpeluk tubuh dan menanti kedatangan penyelamat serta hanya bersikap berserah diri?

Bukankah di dalam al-Quran memerintahkan supaya umat Islam berusaha? Bahkan, Saidina Umar al-Khattab sendiri mengatakan bahawa rezeki tidak akan turun dari langit. Selepas berusaha, al-Quran juga memerintahkan umat Islam agar membuat keputusan, dan seterusnya bertawakal kepada Allah s.w.t. di atas apa yang telah diputuskan.

Umat Islam hari ini perlu ada perancangan. Sekiranya ada musuh-musuh Barat, sedang merancang untuk membenam kebenaran Islam, maka menjadi tanggungjawab umat Islam pula untuk merancang dan merencanakan agar usaha musuh Islam itu tidak berjaya.

Umat Islam tidak boleh hanya duduk berpeluk tubuh dan menunggu kedatangan seorang penyelamat seperti sikap seorang yang pemalas.

Dalam Islam, secara prinsipnya, manusia itu perlu berusaha dan merencana. Tetapi, dalam hal-hal kejayaan atau kegagalan, bukanlah urusan mutlak di tangan manusia. Kejayaan dan kegagalan adalah hak Allah s.w.t. Dan umat Islam perlu berusaha supaya Allah s.w.t. berkehendak memberikan kejayaan kepada kita.

Dalam zaman ini, umat Islam perlukan seorang hero baru. Semangat dan perjuangan perlu dimulakan pada saat dan hari ini. Umat Islam hari ini, terutama di kalangan pemuda tidak boleh bersikap leka dan lalai, yang akhirnya akan menyebabkan kemusnahan akidah dan jati diri umat Islam pada generasi akan datang.

Jelas, umat Islam kini dalam keadaan yang agak kritikal. Ini dapat dilihat dari pelbagai sudut.

Umat Islam pada generasi ini mempunyai tanggungjawab yang besar untuk mengembalikan kebenaran Islam dan menentang fitnah-fitnah musuh Islam.

Semangat memperjuangkan kebebasan Al-Aqsa kali kedua, telah bermula sejak zaman imam Al-Ghazali lagi.

Semangat itu diturunkan dari generasi ke generasi, sehinggalah disempurnakan oleh Salahuddin al-Ayubi yang berjaya mengambil kembali pemerintahan Baitulmaqdis dan memerintah dengan adil dan saksama.

Usaha untuk membangkitkan semangat dakwah Islamiah dan perpaduan menjadi tugas umat Islam hari ini.

Hari ini, umat Islam ditindas dan Islam difitnah dan umat Islam perlu sedar perkara ini bukanlah satu mimpi tetapi ia adalah realiti yang memeritkan.

Jika dulu, umat Islam berjuang menentang kezaliman tentera Salib ketika menguasai Baitulmaqdis, umat Islam hari ini pula wajib berjuang untuk menentang fitnah serta membebaskan Al- Aqsa daripada kekejaman Yahudi Zionis yang kini sedang bermaharajalela tanpa sebarang tentangan.

Seperti mana semangat membebaskan Baitulmaqdis daripada cengkaman tentera Salib telah pun bermula ketika zaman Salahuddin al-Ayubi sendiri masih belum lahir, hari ini umat Islam perlu melakukan perkara yang sama dan itulah tanggungjawab golongan Muslimin generasi ini.


Oleh: WAN MOHD. HAFIZ WAN HAMZAH Sumber petikan akhbar dari Utusan Malaysia

Saturday, November 18, 2006

Larangan guna nada dering surah al-Quran

LUCKNOW 18 Nov. – Ulama-ulama sebuah sekolah agama utama di India meminta orang ramai tidak menggunakan surah-surah al-Quran sebagai nada dering telefon bimbit mereka kerana ia bukan amalan Islam.

Para ulama di Dar-ul Ulom, yang terletak di bandar Deoband, utara India, mengeluarkan fatwa melarang penggunaan surah-surah al-Quran atau azan sebagai nada dering kerana bertentangan dengan undang-undang Islam. Surah-surah al-Quran “bukan untuk hiburan”, kata pegawai sekolah agama itu, Mohammed Asumin Qazmi.

“Sesiapa yang terus menggunakannya mesti dipulaukan oleh masyarakat,” kata Mohammed Asumin dari Saharanpur, 450 kilometer di barat laut Lucknow. Ulama tertinggi Lucknow, Mufto Badru-Hasan berkata, beliau menyokong larangan ke atas nada dering. “Seseorang perlu mendengar surah al-Quran yang lengkap dengan fikiran yang bersih dan senyap.

“Jika ia digunakan sebagai nada dering, seseorang akan menjawab telefonnya, menyebabkan bacaan itu separuh jalan. Ini tindakan yang tidak Islam,” jelasnya. Penggunaan bacaan ayat-ayat al-Quran sebagai nada dering atau seruan azan amat popular di kalangan penduduk Islam di Uttar Pradesh. Seorang eksekutif syarikat telefon bimbit, Mukesh Sinha berkata, ia merupakan amalan biasa di kalangan penduduk Islam berumur dalam lingkungan 40-an dan 50-an.

Kebanyakan pengguna beranggapan penggunaan nada dering itu mengingatkan mereka kepada agama. Seorang pengurus bank, Faiz Siddaqui menggunakan surah al-Quran sebagai nada dering berkata: “Apabila telefon saya berdering, saya mendengar surah yang menekankan kepada bekerja keras dan jujur dan saya berasa sangat dekat dengan agama saya.”
– AP

Gambar-Gambar Kenangan di Malaysia

Minat pada Jeruk? Berani makanlah...
Nikmatinya di Pulau Pinang

Di gerai nenek saudara saya di Taman Pauh, Pulau Pinang


Lawatan ke Angkasapuri, Kuala Lumpur

Gambar selepas sesi uji bakat di Auditorium 1, Angkasapuri

Wisma TV, Angkasapuri

Bakti Siswa Al-Azhar


Program Bakti Siswa Al-Azhar

Sunday, November 12, 2006

Apabila Saya Jadi Ketua Editor

Editor apakah yang sesuai bagi saya?
Al-Islam, Majalah I, Dewan Agama dan Falsafah?


Apabila saya jadi ketua editor, saya akan pastikan bahawa setiap laras bahasa di dalam penulisan adalah betul. Saya tidak mahu dimarahi oleh Dewan Bahasa dan Pustaka kerana tidak menggunakan bahasa dengan laras bahasa yang sempurna. Saya faham, bahasa merupakan jiwa bangsa. Namun, berapa ramai yang menyedarinya?

Apabila saya jadi ketua editor, saya mahukan penulis – penulis saya patuhi setiap arahan. Menghasilkan suatu kerja dengan rela bukan kerana dipaksa. Saya faham, menulis bukan sesuatu yang mudah. Kekadang diri terkongkong dengan anasir- anasir luar yang tidak memahami akan setiap keadaan yang berlaku. Namun, apa yang lebih utama adalah niat kita sebagai seorang penulis.

Apabila saya jadi ketua editor, saya tidak akan menerbitkan artikel atau sebagai fakta yang tidak jelas dan kadang – kadang membingungkan. Lihatlah beberapa artikel yang terbit pada ketika ini, beberapa elemen yang tidak di ambil perhatian adalah pemahaman terhadap isi dan jalan cerita. Ada yang beranggapan isu – isu yang palsu boleh mendatangkan kepada kemajuan dan keberjayaan sesebuah artikel. Tetapi tidak bagi saya.

Apabila saya jadi ketua editor, saya mahukan ramai penulis yang faham mengapa mereka menulis dan apa tujuan mereka menulis. Mengapa? Kerana menulis membuka minda dan mencerna pemikiran.

Pelajar Agama Malas Membaca?

Klik DBP - Berapa ramai yang membacanya?

KAHERAH- Fenomena Mawi atau lebih dikenali sebagai TsuMawi merupakan suatu fenomena yang ditakuti oleh masyarakat hari ini. Baru – baru ini di dalam satu persidangan di Malaysia, ada pihak yang gerun terhadap realiti yang berlaku lantas menghujumkan fatwa bahawa fenomena Mawi mempengaruhi unsur kemerosotan pembacaan buku di kalangan para pelajar dan mahasiswa di universiti.

Perkara yang negatif ini seharusnya dipandang serius. Satu kajian yang dilakukan mendapati bahawa ramai pelajar dan mahasiswa terus sibuk membeli majalah hiburan yang menceritakan Mawi sebagai isu utama dan beberapa orang artis tempatan yang dikatakan amat laris di dalam pasaran pada hari ini. Kebimbangan ini sewajarnya dipandang serius oleh individu tertentu agar perkara negatif ini dapat dijauhkan.

Sahabat sekalian,

Di atas tadi saya coretkan fenomena yang berlaku di Malaysia yang dianggap terlalu meruncing akan permasalahan ini. Namun, disebalik unsur dan perkara negatif yang terjadi, ada perkara yang lebih ditakuti berlaku. Apakah dia?

Isu dan fenomena azhari malas membaca kitab. Perkara ini saya kutip daripada beberapa individu yang dianggap sebagai perisik terhadap masalah – masalah terkini yang saya utarakan. Perkara dan masalah ini dikatakan benar – benar berlaku dan amat parah sekiranya ia tidak diubati. Permasalahan yang berlaku ini memberikan impak yang negatif kepada golongan agamawan terutamanya azhari sekiranya masalah ini terus menular.

Isu yang saya bangkitkan bukanlah untuk menuding jari kepada sesiapa. Namun, sebagai penuntut di bumi Al-Azhar tidak menjadi kesalahan sekiranya saya berkata sedemikian kerana saya berada di tempat kalian. Seandainya sahabat rasa tamparan hebat daripada keratan ilmiah ini, namun saya lebih lagi daripada itu. Justeru, untuk menjadikan permasalahan ini boleh diselesaikan dengan mudah, koreksi diri dan peribadi adalah menjadi landasan utama bagi mencapai keberjayaan sebagai seorang azhari dan pendaie yang mampu menyampaikan sedikit ilmu untuk digunakan oleh masyarakat pada hari ini.