Oleh Syafiq Zulakifli
Perjalanan sirah melalui rancangan Ibrah
yang dikongsikan bersama-sama oleh Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman tiba pada
saat perjalanan kaum Nabi Musa a.s. diperintahkan untuk masuk ke bumi Palestin.
Dalam penghujung perjalanan kisah Nabi
Musa a.s. untuk terus berdakwah kepada kaumnya, karenah yang ditunjukkan oleh
Bani Israel makin bertambah. Malah dengan segala bentuk helah dan cubaan untuk
mempersendakan Nabi Musa a.s. akhirnya Allah Taala masuk campur pada penghujung
perjalanan kisah ini.
Firman Allah Taala dalam Surah Al-Maidah
ayat 12 yang bermaksud, “Dan demi sesungguhnya! Allah telah mengambil
perjanjian setia Bani Israel (supaya mereka menjunjung perintahNya dan menjauhi
laranganNya), dan Kami telah utuskan dari kalangan mereka dua belas ketua
(untuk memimpin golongan masing-masing); dan Allah berfirman (kepada mereka):
"Bahawa Aku adalah beserta kamu (memerhati segala-galanya). Demi
sesungguhnya jika kamu dirikan sembahyang, serta kamu tunaikan zakat, dan kamu
beriman dengan segala Rasul serta menolong bantu mereka (dalam menegakkan agama
Allah), dan kamu pinjamkan Allah (dengan sedekah dan berbuat baik pada
jalanNya) secara pinjaman yang baik (bukan kerana riak dan mencari keuntungan dunia),
sudah tentu Aku akan ampunkan dosa-dosa kamu, dan Aku akan masukkan kamu ke
dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Oleh itu, sesiapa yang
kufur ingkar di antara kamu sesudah yang demikian, maka sesungguhnya sesatlah
ia dari jalan yang betul."
Janji Allah Taala di dalam ayat di atas
kepada golongan Bani Israel untuk terus beriman kepada Allah adalah satu
daripada nikmat yang tidak dihiraukan oleh mereka. Walaubagaimanapun, Nabi Musa
a.s. terus melaksanakan perintah dakwahnya dan melakukan pelbagai perancangan
untuk memastikan kaumnya setia mengikut ajarannya.
Firman Allah Taala, (Nabi Musa berkata
lagi): "Wahai kaumku, masuklah ke Tanah Suci (Palestin) yang telah
diperintahkan oleh Allah untuk kamu (memasukinya); dan janganlah kamu berbalik
undur ke belakang, (kalau kamu undur) maka kamu kelak menjadi orang-orang yang
rugi (di dunia dan di akhirat)". (Surah Al-Maidah ayat 21)
Perintah Nabi Musa a.s kepada
pengikutnya untuk masuk ke Tanah Suci Palestin merupakan perintah Allah Taala.
Justeru, Nabi Musa a.s tidak melakukan tindakan dengan semberono malah
melakukan perancangan rapi bagi memastikan kaumnya tidak merasakan dukacita di
atas setiap arahan Ilahi.
Melihat daripada hal demikian, amat
bertepatanlah kita mengenang peristiwa Hijrah Rasulullah s.a.w yang dilihat
kebetulan perkara yang hampir sama dilakukan oleh baginda Nabi Muhammad untuk
menguruskan pengikutnya masuk ke bumi Yathrib (sekarang dikenali dengan bandar
Madinah Al-Munawarah) setelah melihat kekusutan dan kelemahan ummah sewaktu
berada di Mekah.
Nabi Muhammad s.a.w menyusun strategi
dan perancangan yang rapi bagi memastikan perjalanan ke bumi Yathrib melalui
penghijrahan yang dilakukan bukanlah sia-sia.
Hal keadaan ini juga berlaku kepada
pemimpin 12 kaum Nabi Musa a.s. yang disebut ‘Naqib’. Apabila Allah Taala telah
memberikan jaminan kepada mereka yang berbaiah serta membantu Nabi Musa a.s.,
mereka akan mendapat ganjaran sekiranya mereka tidak berasa takut untuk masuk
ke bumi Palestin seperti yang telah diperintahkan.
Dalam ayat yang ke-20, Surah Al-Maidah,
Allah Taala menjelaskan, “Dan (ingatkanlah mereka wahai Muhammad), ketika Nabi
Musa berkata kepada kaumnya: "Wahai kaumku! Kenanglah nikmat Allah (Yang
diberikan) kepada kamu ketika Dia menjadikan dalam kalangan kamu beberapa orang
Nabi, dan Dia menjadikan kamu bebas merdeka (setelah kamu diperhamba oleh
Firaun dan orang-orangnya), dan Dia memberikan kepada kamu barang yang tidak
pernah diberikan kepada seseorang pun dari umat-umat (yang ada pada masa itu)”.
Memperhalusi kata-kata Allah Taala
melalui kalimah ‘Wahai kaumku! Kenanglah nikmat Allah” menjadikan pengikut Nabi
Musa a.s. merenung dengan lebih mendalam hal tersebut. Mereka melihat bahawa
hanya Allah jualah yang berhak memberikan segala pembalasan kepada mereka yang
terus setia beriman kepada Allah Taala,
Malah Allah Taala telah menjanjikan
jaminan untuk memperoleh keampunan daripada-Nya, kemenangan dan balasan syurga.
Mereka menjawab: "Wahai Musa
bahawasanya di negeri itu ada kaum yang gagah perkasa, dan sesungguhnya kami
tidak akan memasukinya sehingga mereka keluar daripadanya; kemudian jika mereka
keluar daripadanya, maka sesungguhnya kami akan masuk (ke negeri itu)".
(Surah Al-Maidah ayat 22)
Buya Hamka di dalam Tafsir Azhar
menyatakan bahawa seramai sepuluh orang
daripada 12 orang golongan Hawariyyun itu tidak mahu meneruskan perjalanan
untuk masuk ke dalam bumi Palestin seperti yang telah diarahkan Nabi Musa a.s.
Maka, “Berkatalah dua lelaki di antara
orang-orang yang takut (menyalahi perintah tuhan), lagi yang telah diberi
nikmat (taufik) oleh Allah kepada keduanya: "Seranglah mereka melalui
pintu itu, kerana apabila kamu memasukinya maka sudah tentu kamulah orang-orang
yang menang; dan kepada Allah jualah hendaklah kamu berserah (setelah kamu bertindak
menyerang), jika benar kamu orang-orang yang beriman." (Surah Al-Maidah
23)
Melihat hal keadaan ini, Nabi Musa a.s.
merayu kepada Allah Taala supaya tinggalkanlah segala nikmat kepada mereka yang
tidak mahu terus mengikut dakwah Nabi Musa a.s.
Seperti yang dimaklumi bahawa, Allah
Taala memberikan pelbagai anugerah dan keistimewaan Nabi Musa a.s. sebagai
seorang Nabi. Antaranya, Nabi Musa a.s. diberikan kitab Taurat, malah di
Semenanjung Sinai didatangkan peristiwa patung
anak lembu (Samiri) malah mereka diberikan Manna dan Salwa, tetapi mereka tetap dengan karenah.
Malah Nabi Musa a.s. terus menyatakan
kepada kaumnya, “Kamu diberikan Nabi-Nabi yang banyak tetapi kamu semua buat tidak
tahu dan tidak mengerti akan setiap janji-janji Allah.”
Dalam perjalanan akhir ini, akhirnya
Nabi Musa a.s. pun merayu kepada Allah untuk memisahkannya dengan mereka yang
mengingkari perintahnya.
Firman Allah dalam Surah Al-Maidah ayat
25, Nabi Musa (merayu kepada Allah), katanya: "Wahai Tuhan! Sesungguhnya
aku tidak dapat menguasai selain daripada diriku sendiri dan saudaraku (Harun);
oleh itu pisahkanlah antara kami dengan kaum yang fasik itu".
Justeru permintaan Nabi Musa a.s. itu
dijawab oleh Allah Taala melalui perhitungannya menyesatkan mereka selama 40
tahun di dalam kawasan Semenanjung Sinai supaya mereka menyedari setiap
tindakan mereka akan diberikan balasan jua oleh Allah.
Allah berfirman: "Sesungguhnya
negeri itu diharamkan kepada mereka memasukinya - selama empat puluh tahun,
mereka akan merayau-rayau dengan bingungnya (di sepanjang masa yang tersebut)
di padang pasir (Sinai); maka janganlah engkau berdukacita terhadap kaum yang
fasik itu". (Surah Al-Maidah ayat 26)
>>
Penulis adalah penyampai dan Penerbit Rancangan Radio IKIMfm
Ulasan