1 Mac 2012 - Khamis
"Kami bangga kerana kami ada calon seperti awak." Saya menjerat leher sendiri.
Ini destinasi perjalanan baru. Ini destinasi kehidupan baru. Saya berbangga kerana menempuhi segala perjalanan sepanjang menjadi insan terpilih di TVAlhijrah, enam belas bulan lalu. Mungkin terlalu singkat catatan yang mampu saya rakamkan. Tetapi, inilah sebuah perjalanan dan kelahiran yang dijanjikan Tuhan.
Terima kasih kepada TVAlhijrah yang mendewasakan. Terima kasih kepada Cik Ainur Mahdiyah Zahra Abdullah yang mengenalkan saya dengan dunia penerbitan. Terima kasih kepada Abang Syirfan Indra Mitra Surya yang percaya malah memberi kepercayaan seratus peratus di atas setiap tugasan saya.
Terima kasih juga kepada Encik Zainal Rashid Ahmad, yang menakhoda perjalanan saya sebagai seorang pemula anak seni penyiaran. Jasa kalian, hanya Allah yang akan membalas.
Saya insan yang mempunyai kelemahan dari segenap sudut. Percaya atau tidak, saya dibatasi dengan pelbagai gejolak dalam jiwa. Tetapi, setiap satu perjalanan itu saya pasti ada hikmahnya.
Sepuluh tahun yang lalu, saya membesar dalam alam yang serba tidak tahu tetapi dalam sela masa yang sama, saya tahu. Saya ketahuan apa yang akan berlaku sepuluh tahun mendatang.
Hasilnya, selepas sepuluh tahun berpijak dalam bumi angan-angan, rezeki menyebelahi saya. Angan-angan itu kini menjadi sebuah catatan hakiki dan perjalanan yang realiti.
Allah menempatkan kasih sayangNya untuk saya meneruskan langkah. Allah mengizinkan saya memenuhi kerusi kosong Al-Azhar itu.
Niat saya, moga-moga saya mampu istiqamah bermandi di kolam renang baru. Itu niat yang terkejap dalam sanubari. Saya sayangkan sebuah institusi penyiaran kerana Islam. Saya sayangkan sebuah institusi penyiaran kerana mahukan saham di akhirat kelak. Itu niat asal saya. Namun sebagai manusia biasa, saya digoda oleh syaitan kelas pertama.
Allah, maafkan hamba yang telah menjejakkan kaki ke rumah-Mu kala musim haji yang lalu. Allah, maafkan hamba yang telah berniat menjadi insan soleh.
Izinkan saya menjadi seorang hamba yang hilang nilai kemanusiaan...diganti dengan sinar kegemilangan insan.
Seawal usia saya kini yang menjejakkan kaki dua puluh tujuh ini, terasa amat muda untuk mengatakan saya hebat. Apa yang lebih utama, Allah mengetahui setiap langkah saya ke hadapan.
TVAlhijrah
Oktober 2010 hingga Februari 2012
Ulasan
Wassalam...