Langkau ke kandungan utama

Ke mana bahasa Melayu?


Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) yang pada asalnya dinamakan BBSN. Barangkali terlampau menghidu mulut menteri, semua pihak harus akur. Oktober ini...

RENCANA
Mingguan Malaysia, 4 Oktober 2009

Ke mana bahasa Melayu?

Persidangan Antarabangsa Bahasa Melayu Bahasa Dunia yang berlangsung di Johor Bahru, baru-baru ini menuntut perhatian besar. Resolusi persidangan tersebut antara lain mendesak kerajaan memberi kuasa penguatkuasaan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi memartabatkan bahasa Melayu. Desakan ini bukan perkara baru kerana ia sudah kerap disuarakan. Pada Awang, selagi DBP tidak mempunyai kuasa tersebut, agensi itu dilihat umpama harimau tidak bertaring.

Sedangkan gejala pencemaran dan penyalahgunaan bahasa semakin berleluasa terutama pada papan tanda dan paparan iklan premis perniagaan. Begitu juga dengan penggunaan bahasa rojak secara keterlaluan di televisyen dan radio. Itu belum mengambil kira kegagalan banyak pihak termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mengutamakan bahasa kebangsaan dalam urusan mereka di dalam negara.

Hari ini, jika ada bahasa lain lebih besar saiz paparannya daripada bahasa Melayu, ia tidak lagi dipersoalkan. Malah semakin banyak info produk barangan pengguna biarpun yang dikeluarkan di dalam negara, tidak lagi menggunakan bahasa kebangsaan.

Siapakah yang perlu bertanggungjawab memantau dan memperbetulkan semua ini kalau bukan DBP. Tetapi jika agensi itu tidak diberi kuasa, ia tidak membawa apa-apa makna.

Sementara menanti perubahan serius yang dilakukan oleh kerajaan berhubung hal ini (itu pun jika ada kemahuan politik yang tinggi), Awang amat berharap DBP lebih agresif dan proaktif dalam memainkan peranannya mengembangkan bahasa.

Agensi itu dilihat oleh banyak pihak sebagai lesu. ''Bangunannya lebih gah daripada keberanian dan pencapaiannya untuk melonjak martabat bahasa," kata seorang tokoh akademik. Apa yang beliau cuba sampaikan, DBP tidak lagi lantang memperjuangkan soal bahasa. Kritikan itu mungkin tidak adil dan boleh diperdebatkan. Usaha memartabatkan apatah lagi menyelamatkan bahasa Melayu bukan semata-mata tugas DBP malah semua pihak termasuk pemimpin kerajaan, pembangkang dan sektor swasta.

Awang juga tertanya-tanya ke mana perginya para pejuang bahasa yang sanggup berdemonstrasi dan berterusan membantah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dalam kaitan mempertahankan kedudukan bahasa Melayu secara keseluruhannya.

Selepas PPSMI dimansuhkan, apakah kepada mereka, perjuangan memartabatkan bahasa Melayu sudah selesai? Apakah juga masa depan bahasa Melayu hanya berkaitan pengajaran kedua-dua subjek itu dalam bahasa kebangsaan sahaja?

Sepatutnya kelompok itu yang menjadi benteng hadapan, meneruskan momentum mereka dengan mewujudkan gelombang kesedaran mengenainya.

Ini termasuk menegur Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), menteri-menteri dan pemimpin parti-parti politik terhadap apa sahaja perkara berkaitan kepentingan bahasa. Awang teruja mahu melihat para pejuang dan badan pertubuhan kerajaan (NGO) turun di jalanan atau menyerbu ke mana-mana kementerian, agensi mahupun pejabat swasta membuat bantahan jika perlu.

Sesungguhnya terlalu banyak yang perlu dilakukan bagi memartabatkan bahasa Melayu terutama bagi menjadikannya bahasa komersial yang lebih meluas. Dalam usaha ini tiada siapa boleh berputus asa apatah lagi bagi mencapai matlamat murni mempertahankan bahasa Melayu yang kedudukannya sudah termaktub dalam perlembagaan negara.

Untuk apa kita memperakukan bahasa Melayu mampu berkembang sebagai bahasa dunia, kalau di peringkat dalam negara sendiri kita sudah tidak menampakkan keyakinan. Banyak lagi petunjuk yang membimbangkan di sekeliling kita. Bukankah kita sendiri yang mewujudkan persekitaran yang akhirnya membunuh bahasa Melayu?

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ZIKRAYAT EPISOD 6

ZIKRAYAT EPISOD 6 (Zikrayat ialah sebuah program menceritakan insan penting sepanjang kerjaya saya di Kuala Lumpur) Nama penyampai dan penerbit radio IKIM Faiz Hj Othman amat sinonim kepada pendengar radio. Faiz lebih muda daripada saya. Tetapi beliau berkhidmat setahun lebih awal daripada saya di IKIM. Antara insan yang paling banyak menyimpan rahsia sepanjang hampir 6-7 tahun saya di IKIM. Apa sahaja perjalanan hidup saya di Kuala Lumpur memang boleh dikatakan beliau amat tahu. Faiz anak kelahiran Kelantan. Mendapat pendidikan di Universiti Utara Malaysia, kini tinggal di Hulu Langat, Selangor. Beliau juga merupakan orang pertama yang ketahui saya tidak menyambung perkhidmatan (saya tidak mahu tandatangan surat sambung) Pada pagi Anugerah Nasyid 2019, dalam kekalutan itulah saya memaklumkan bahawa saya sudah bawa semua barang ke Johor Bahru. Terperanjat beliau. Saya beritahu, saya perlu ke Mekah dan buat istikharah terakhir sebelum buat keputusan balik ke negeri asal...

Pelajar Perubatan Mesir Tidak Tahu Menulis E-mel

DI DALAM kauntung e-mel saya ada bermacam-macam e-mel yang masuk. Ada yang memohon kerja, ada yang minta duit, ada yang mohon itu dan ini. Saya meletakkan harapan yang tinggi kepada semua mahasiswa perubatan kita kerana mereka ada kelulusan pendidikan sama ada memperoleh 8A-10A ketika di peringkat SPM. Saya juga berkeyakinan bahawa mereka mendapat A1 untuk matapelajaran di dalam Bahasa Melayu. Tetapi, apabila saya mendapat e-mel sebegini daripada seorang pelajar Perubatan Mesir, harapan saya itu sudah luntur. salam us syafiq name sy siti markonah bt marpitun tahun 3 univ kaherah (jawatan beliau) hajatnye nk jual buku2 terbitan PTS kat mesir ni ade kemungkinan x??? tp ni bru dlm peringkat proposal oleh individu.iAllah,kalo boleh dibuat, sy akan maklumkan pd ktue saye utk dibincangkan dgn lebih lanjut.pastu,buleh x us tolong find out mcm mane proses die seperti penghantaran,diskaun utk pemborong,untung bersih,etc...harap sgt us boleh tolong sbb buku2 terbitan PTS dpt smbutan yg amat men...

HALA TUJU SELEPAS SIJIL TINGGI AGAMA MALAYSIA (STAM)

Oleh, Syafiq bin Zulakifli Pendahuluan Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang berkuatkuasa selaras seluruh negara, telah beroperasi mulai tahun 2000. Dalam jangka masa enam tahun, hampir 7,000 graduan sijil ini diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia dibawah seliaan Kementerian Pelajaran Malaysia (dahulu dikenali sebagai Kementerian Pendidikan Malaysia) dan Maahad Buuth Al-Azhar, Kaherah, Mesir. Oleh hal yang demikian, sebilangan besar pelajar-pelajar lepasan STAM akan memilih untuk melanjutkan pengajian mereka di beberapa institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta yang menerima sijil tersebut. Pengeluaran sijil yang diiktiraf setaraf dengan Pendidikan Maahad Buuth Al-Azhar Kaherah, Mesir, maka ada dikalangan pemegang sijil tersebut memilih melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar. (maklumat lanjut, sila hubingi penulis di nur_azhari(add)yahoo.com)