Langkau ke kandungan utama

Proses Penciptaan

Oleh : Syafiq Zulakifli

MENULIS ceirta berkenaan proses penciptaan merupakan sesuatu yang amat payah. Bagi saya, ianya sukar untuk ditafsirkan dan difahami dengan sebaiknya. Sebagai seorang pengarang 'puisi' (baca : bukan pengarang cerita kartun) momentum untuk saya melakarkan setiap bait adalah sungguh terhad.

Di mana kekuatan saya? Tentunya pada pengalaman mengejar Nabi Musa di Jabal Musa hampir tiga tahun yang lalu. Wah! Mengejar Nabi Musa. Semacam saya pula yang terus mendakap Nabi Musa tatkala itu.

Justeru, puisi "Sejarah Nabi Musa" yang saya cipta lewat kengerian mengenal pengorbanan tekad Nabi Musa sebagai pesuruh Allah menyelami perit-jerih perjuangan sebagai seorang nabi yang ditugaskan Allah untuk menyebarkan dakwah kepada seluruh kaumnya. Maka dengan jelas, proses penciptaan karya ini tercipta. Hasilnya, pada 11 Mei 2008, Berita Minggu telah memilih karya ini untuk diterbitkan.

SEJARAH NABI MUSA

Lurah terapung damai
menyinari langit Subuh Saint Catherine
hingga tiba waktu menyaksikan
kudrat Tuhan bersatu di bawah cahaya kedamaian
yang tersusun kemas dalam catatan-Nya.

Dataran Sinai mencoretkan sejarah dalam-dalam
saat Musa berbicara dengan Tuhan
sebidang keemasan iman terjual oleh firman-Nya
dan sepelaung ketakwaan bermandi dalam sujud
yang panjang.

Siang malam munajatmu tak terhenti mengharap
keringat basah mencerakinkan malang Firaun
berpaut pada Tuhan yang Maha Esa.

Kedamaian tidak pernah ghaib dengan
sorotan sirah bersahut Asmaul Husna
hingga meniti lurah-lurah keinsafan
dan mendayung nur pengharapan
pada sebuah Hamam yang kudus.

Sudah puas kau menanggung beban
tika menyaksikan umatmu bergelora dendam
hingga genaplah dalil Tuhan
Yang Maha Mendamaikan mencoretkan
sebuah sejarah dalam al-Quran.

SYAFIQ ZULAKIFLI
Kaherah, Mesir.

(c) Berita Minggu, 11 Mei 2008



Puisi kedua saya adalah "Peringatan Kecil Dari Tuhan" yang disiarkan di Mingguan Malaysia.

Terkesan dan terdesak dengan Taufan Nargis yang sedang bergolak di Myanmar, maka saya terangsang untuk menulis satu puisi khusus untuk menggambarkan betapa Allah murka pada bumi Asia Tenggara. Sebabnya, tentunya kita akan dapat menyorot apa yang saya pamerkan di dalam puisi ini. Tentunya ini adalah satu puisi paling baharu yang saya tulis lewat beberapa hari yang sudah.

Apakah yang kita dapat rumuskan daripada kejadian Taufan Nargis di Myanmar? Apakah hanya kita berpeluk tubuh? Atau sedang kita elok dibuai perasan yang melampau.

Saya tidak pandai berhujah bicara. Langsung, saya menulis puisi ini kerana orang-orang Myanmar.

PERINGATAN KECIL DARI TUHAN
(untuk mangsa-mangsa Taufan Nargis, Myanmar)

Derita malang ini
merakam dunia yang degil
saat tenat menanggung beban
insan, haiwan dan ternakan
yang sombong pada Tuhan.

Meskipun telah kau soroti peristiwa lama
saat Aceh lakar cerita derita
tsunami mencurahkan seuncang kehidupan
dan Bangkahulu mentalkinkan segugus marah bumi
mengumpan dalam diam.

Sudah puas aku bekalkan;
khasiat satu peringatan
keramat satu perdamaian
zulmat satu penindasan
tanpa dendam persengketaan
kepadamu.

Nargis yang membakar ini
adalah ladang merah buat kami
yang mengerti segeluk panah
keparahan diri.

Tuhan Maha Mengerti
setiap hakikat ketulusan hati
manusiawi dan insani
agar bersatu di bawah cahaya keimanan
aman dan damai.

– SYAFIQ ZULAKIFLI
MUSTAFA NUHAS,
KAHERAH

(c) Mingguan Malaysia, 11 Mei 2008


Ulasan

Fahd Razy berkata…
Saya suka puisi tentang Nargis itu! Membekas sekali.
Tarbus Merah berkata…
Terima kasih Fahd. Saya pun masih belajar mengali ilmu puisi
Noorji berkata…
salam.saya suka baca cerpen-cerpen dan puisi.saya ada terbaca karya saudara di berita minggu dan saya suka akannya.lebih-lebih lagi apabila saya mengetahui pengarangnya kerana saya sangka saudara adalah orang yang saya kenali sewaktu di tadika dahulu.tapi tuhan sahaja yang tahu.walau apa pun, teruskan usaha saudara dalam penulisan.saya juga suka menulis, tetapi tidak sehebat saudara,hanya untuk tatapan sendiri.

Catatan popular daripada blog ini

Kubu Kota Kaherah struktur terhebat tamadun Islam

Susunan ZUNAIDAH ZAINON KUBU Kota (Citadel) adalah monumen terhebat dari zaman pertengahan yang telah mencipta panorama menarik di seluruh bandar Kaherah, Mesir sejak 700 tahun lalu. Selain menjadi tarikan pelancong dari seluruh pelosok dunia, binaan Kubu Kota adalah struktur terhebat dalam sejarah keagungan tamadun Islam. Gabenor Hatim Ibn Hartama dipercayai membina astaka Dome of the Wind pada tahun 810. Kemudiannya, pada 1176, Salah ad-Din (turut dikenali sebagai Saladin) iaitu pemerintah Abbasiah (1171-1193) menukar fungsinya daripada kawasan peranginan kepada kubu pertahanan dan melindungi kawasan tersebut daripada serangan tentera Kristian dalam Perang Salib. Menurut cerita legenda, Salah ad-Din memilih lokasi tersebut untuk mendapatkan udara segar. Ini disebabkan kebanyakan daging yang disalai telah menimbulkan bau yang kurang enak di seluruh bandar kecuali kawasan di sekitar kubu kota. Bagaimanapun, lokasi tersebut amat strategik dan mampu berfungsi sebagai benteng pertahanan.

SAMBUNG BELAJAR KE MESIR

NOTA KEMASUKAN SESI 2020/2021 ============================= UPDATE INFO TERKINI Pengalaman yang selalu membuatkan seseorang cinta untuk menimba pelbagai ilmu. Pengalaman melihat kawan-kawan yang berjaya dilahirkan melalui kampus pengajian di bumi Mesir juga merupakan satu pengalaman yang tidak mampu dijual beli. Tinggalkan pengalaman saya yang telah menuntut di Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir pada tahun 2004-2009. Itu adalah suatu pengalaman yang amat-amat bernilai dan berharga.  Keputusan STAM/SPM 2019 telah keluar. Alhamdulillah. Ramailah di antara kita sedang membuat pilihan untuk memilih sama ada menyambung pengajian ke dalam negara atau memilih ke luar negara. Alhamdulillah, kurniaan Allah SWT kepada saya, tahun 2016 lalu saya telah berpeluang menjejakkan kaki ke bumi Mesir melihat sistem pendidikan terbaharu di Mesir. Banyaklah pembaharuan dan kemajuan di Mesir berbanding pengalaman lampau pada tahun 2009 sewaktu berada di bumi Mesir. Kali ini sa

Perintis Diploma Pengurusan Dakwah

 Di antara mahasiswa Diploma Pengurusan Dakwah yang telah menuntut di Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI)