Pemenang tiga anugerah utama DBP banyak ketengah isu babitkan ummah
KATA-KATA pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid, supaya pelajarnya jangan semua menjadi ustaz atau ustazah bukan menafikan kepentingan tugas guru agama, tetapi sebagai cabaran supaya Islam dapat dikembangkan dalam bidang lain.
Itulah dirasakan penulis karya sastera Islam, Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali dengan nama pena Faisal Tehrani, yang menganggap kata-kata gurunya sebagai cabaran kerana pandangan umum untuk menyebarkan Islam ialah seseorang perlu berada dalam aliran Islam juga.
"Kini saya faham kenapa beliau berharap supaya kami pelajarnya tidak semua menjadi ustaz dan ustazah saja. Malah, saya bersyukur kerana ramai juga rakan yang tidak berada dalam aliran agama, tetapi masih boleh mengembangkan syiar Islam," katanya.
Justeru katanya, daripada bidang syariah politik, beliau melanjutkan pengajian sarjana dalam jurusan sastera di Universiti Sains Malaysia (USM) dan kini bergiat sepenuh masa sebagai pengarang yang cenderung menghasilkan karya sastera Islam.
Sebenarnya menurut anak kelahiran Kuala Lumpur itu, minat menghasilkan penulisan kreatif bermula sejak di bangku sekolah, tetapi semangat untuk menghasilkan karya lebih rancak selepas mengikuti program anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka.
Bermula dengan Cinta Hari-hari Rusuhan pada 2000, kini beliau sudah menghasilkan 12 novel dan sembilan daripadanya mengandungi unsur Islam yang jelas seperti 1515, Angin Madinah, Bila Tuhan Berbicara, Tuhan Manusia dan Nama Beta Sultan Alauddin.
Di sebalik tajuk novel yang agak berani itu, pemenang tiga anugerah utama Hadiah Sayembara Mengarang Jubli Emas Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang berlangsung Februari lalu, banyak mengetengahkan isu membabitkan ummah.
Faisal berkata, kebanyakan isu diketengahkan adalah konflik atau dilema yang sedang melanda masyarakat Islam di negara ini, juga peristiwa berlaku di luar negara yang sewajarnya menjadi perhatian.
Novel Tuhan Manusia contohnya, menampilkan watak Ali, seorang remaja yang berhadapan dengan dilema apabila abangnya mengambil keputusan keluar daripada Islam selain terpaksa memahami golongan dikenali sebagai penggerak Islam liberal.
Katanya, isu murtad menimbulkan pelbagai reaksi dalam masyarakat dan hasratnya mengangkat persoalan itu bertujuan memberi penjelasan dan menyedarkan pembaca supaya mereka tahu bagaimana hendak berhadapan realiti kehidupan masa kini.
Begitu juga novel Bila Tuhan Berbicara yang diilhamkan daripada episod dalam surah al-Kahf mengenai pemuda yang terperangkap dalam gua, tetapi dikisahkan dalam bentuk futuristik dalam perbincangan separuh ringan.
"Ia kisah tiga watak berbeza, tetapi terpaksa menerima satu sama lain dalam usaha mereka mengatasi masalah dihadapi. Mesej dalam kisah mereka ialah bagaimana berhadapan dengan cabaran dan membina semula tamadun yang hilang.
"Umumnya, ia mengisahkan hari kebangkitan, tetapi saya mudahkan dengan kisah kerana itulah pendekatan saya. Penyampaian novel sastera Islam tidak sama dengan membaca khutbah, tetapi yang membaca akan dapat mesej hendak disampaikan," katanya.
Menyifatkan dirinya sebagai seorang yang sederhana, Faisal sentiasa terbuka kepada kritikan, tetapi katanya, biarlah kritikan itu berasas dan bertujuan untuk meningkatkan kemampuan dirinya menghasilkan karya lebih bagus.
Pernah katanya, karya beliau terpengaruh dengan gaya tulisan Barat dan ini menimbulkan rasa kurang senang di kalangan pembaca setia novelnya hingga mendorong mereka meluahkan ketidakselesaan itu dan mengembalikannya ke landasan yang betul.
Baginya, keprihatinan pembaca membuktikan mereka dapat menerima gaya penulisan serta cara beliau membicarakan sesuatu isu dan segala teguran diterima banyak membantunya memahami kehendak peminat karya sastera Islam.
Lebih membuatkan beliau teruja ialah hasil karangannya bukan saja dibaca peminat novel Melayu daripada pelbagai lapisan serta latar belakang, tetapi turut mendapat tempat di hati peminat bukan Melayu.
Malah, hatinya terus berbunga gembira kerana kisah dipaparkan beliau berjaya meninggalkan kesan kepada pembaca novel hingga ada yang melahirkan hasrat berjihad selepas membaca kisah peperangan membabitkan Palestin dalam novel 1511 Combat.
"Saya juga sebenarnya tidak percaya mereka akan terkesan dengan kisah daripada novel karangan saya, tetapi itulah yang berlaku. Pada pesta buku lalu, ada pembaca wanita datang kepada saya beritahu selepas membaca 1511 Combat, dia rasa macam hendak pergi berjihad ke Palestin.
"Saya sebenarnya menggigil masa dia datang nak minta autograf sebab pakaian dia memang seksi, nampak pusat dan BCG. Tetapi apabila dia berkata begitu, saya fikir, sekurang-kurangnya saya berjaya menimbulkan rasa prihatin dia terhadap nasib saudara di Palestin sana.
"Begitu juga apabila ada pelajar sekolah berbangsa Cina yang datang hendak beli novel, saya beritahu ini novel mengenai Islam. Saya ingat dia tak beli, tetapi emak dia kata, tidak mengapa sebab mereka tahu kerana mereka sudah ada novel saya sebelum ini," katanya.
Faisal berkata, beliau bersyukur kerana usahanya menimbulkan kesedaran mengenai pembangunan umat Islam melalui karya sastera mendapat reaksi positif daripada peminat novel yang rajin menghantar emel serta menampalkan mesej dalam laman blog miliknya.
Katanya, beliau percaya hasil karya baik dari sudut penulisan kreatif, lirik lagu atau skrip drama, jika dimuatkan dengan nilai berunsur ketuhanan dan mengajak kepada kebaikan akan membawa kesan positif.
Sebagai pengarang yang turut bertanggungjawab menggalas misi mengembangkan syiar agama, beliau memang meletakkan harapan tinggi supaya mesej disampaikan dapat membawa perubahan dalam hidup pembaca.
Bagaimanapun, beliau sedar tidak ada apa yang boleh dilakukan jika usaha menyampaikan mesej baik itu tidak diterima pihak lain.
"Memang harapan saya besar. Ketika Adibah Noor menyanyikan lagu Kau Teristimewa, harapan dia tidak akan ada lagi kes adik Nurul Huda, tetapi baru-baru ini kita dikejutkan dengan tragedi menimpa adik Nurin Jazlina Jazimin.
"Saya mencuba, tetapi saya tidak dapat atasi jika perkara yang tidak kita ingini terus berlaku. Secara peribadi, karya sastera Islam tidak bertanggungjawab untuk mengubah, tetapi ada terselit harapan untuk melihat berlaku perubahan," katanya.
Beliau berkata, pengarang sepertinya dan yang sealiran dengannya mengambil peranan mengangkat masalah ummah melalui kemahiran dianugerahkan sebagai tanggungjawab menyampaikan walaupun satu ayat seperti disunnahkan Rasulullah SAW.
Justeru katanya, kepada mereka yang berminat menghasilkan karya sastera Islam supaya menampilkan identiti serta cara olahan tersendiri dan mengambil isu ummah yang belum diketengahkan supaya ilmu akan terus bercambah.
Ulasan