Langkau ke kandungan utama

Bukan Sekadar Biasa


Oleh : tarbus_merah

Minggu ini adalah minggu yang paling menarik. Banyak ragam dan rencam di bumi Mesir. Semuanya saya tempuhi. Ianya merupakan sebuah pengalaman yang amat berharga. Seronok tapi letih.


Tiga hari selepas saya berada di Hospital Rabaah, saya terpaksa berkejar ke Mansurah. Kes kematian seorang pelajar tahun tiga, Fakulti Usuluddin, Syukbah Tafsir, Universiti Al-Azhar, Cawangan Mansurah. Ianya amat menyedihkan.


Malam jadi siang. Sememangnya mengharukan. Kepenatan melampau. SMS bertalu dikirim kepada saya yang ingin mendapat kepastian. Namun, kiriman itu berbalas sekadar mampu sahaja.


Hari yang paling mendebarkan. Peristiwa hitam yang menimpa ke atas roh Allahyarham Mohammad bin Ishak amatlah memilukan. Beliau ditikam oleh rakan senegara. Namun, sehingga kini motif kejadian masih di dalam siasatan.

Hari Khamis lalu, banyak mengajar saya erti kesabaran dan berlatih untuk turun ke padang bersama orang awam. Seawal pagi, destinasi melangkah pergi ke Qismu Thani, kawasan lembah ketakutan menanti tiang-tiang besi bergeriji. Tewas. Tiada di sana.


Berlari laju terus saya ke Niabah, berhadapan Sungai Nil, Mansurah. Mahkamah tempat berkumpul pesalah. Ketika itu, tekad membulat kasar untuk naik ke tingkat lapan. Bertemu dengan pegawai-pegawai kedutaan. Seraya itu, bertentang mata dengan Datuk Duta yang baru tiba dari Malaysia.


Menakutkan. Ya! Saya memang seorang yang penakut. Kawasan sunyi seperti di mahkamah dan balai polis adalah tempat-tempat yang menakutkan. Namun, itu semua saya tolak ke tepi. Tengahari itu, saya membantu seorang sahabat Dewan Perwakilan Mahasiswa Mansurah (DPMM) untuk ke university. Bertemu dengan polis kuliah untuk mendapatkan pengesahan. Tewas buat kali yang kedua.


“Jenazah perlu dikeluarkan segera.”


Mesir. Dasarnya belum maju dan canggih. Namun, polis perlukan pemerhatian yang mendalam. Penyiasatan yang betul-betul berpadu. Itulah kerjaya yang paling dibenci oleh saya.


Usai itu, saya bergegas pula ke perkarangan masjid untuk Solat Jamak Zuhur dan Asar. Orang ramai berkumpul. Semuanya yakin bahawa solat jenazah akan disempurnakan selepas Asar. Meleset. Memang meleset. Ianya sebuah penantian mendukacitakan.


Selepas itu, saya ke Niabah semula. Saat inilah paling menggerunkan. Dada tercungap-cungap meronta. Menatap wajah suspek daripada jauh. Takut-takut dikejarnya saya lantas saya akan jadi mangsa keduanya. Memang betul saya penakut.


Belum lagi selesai. Pegawai kedutaan semacam kusut ketika itu. Buntu. Belum ada jalan kesudahan. Mereka cuba meleraikan kekusutan. Akhirnya, tampak penyelesaian.


Lewat Azan Asar, kediaman mangsa dikerumuni. Saat ini, semua menanti dengan penuh debar. Menyaksikan kemelut hitam yang berlaku kelmarin. Suspek dibawa ke tempat kejadian. Lakonan semula dipertontonkan. Aduh! Sedih benar rasanya ketika itu. Rakan-rakan berkumpul untuk melihat dari dekat.


Cukup. Ianya memang meletihkan. Hati saya menggelamun panjang. Sedih terkenangkan kejadian yang mimpi dalam sedar. Sebelum Maghrib, saya sempat berkunjung ke markaz ikwah dan akhawat di Mansurah.


Usai Maghrib, kami sendiri masuk ke rumah mangsa. Lihat dengan akal. Tafsir dengan minda. Bagaimana semua itu berlaku. Ya! Saya memang gemar menyelidik. Menyaksikan dengan penuh rasa angkuh demi kepuashatian menyentak dalam nubari.


Aduh! Sakit yang amat memilukan. Ya Allah! Kau ampunkanlah dosa-dosa hamba-hamba-Mu. Parah! Ianya amat parah. Malam itu kepenatan melambung. Beralaskan permaidani sahaja, mata ini terpejam seketika.


“Bangun! Kita pulang Kaherah. Jenazah akan bertolak.”


Jam di tangan menunjukkan 2.30 pagi. Kami bergegas ke Hospital Dauli Mansurah. Hati dirundum resah berpanjangan. Selesai. Semuanya selesai selepas 10 minit saya berada di perkarangan hospital.


Kaki melangkah ke bilik mayat. Mengeluarkan jenazah yang akan dibawa ke Kaherah dan terus diterbangkan ke Malaysia lewat malam nanti. Memang memilukan. Alhamdulillah, semua selesai dengan keadaan yang sempurna.

Syukur, saya pulang ke Kaherah bersama rombongan jenazah. Jenazah akan disembahyangkan di Dataran Hayyu Asyir pada jam 11.00 pagi. Semua berkumpul ketika itu. Menyaksikan saat dan detik terakhir sebelum diangkat pulang ke kampung halaman di Kuala Terengganu.


Alhamdulillah, semuanya sebuah episod yang telah berakhir. Moga Allah senantiasa bersama orang-orang yang syahid.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

SAMBUNG BELAJAR KE MESIR

NOTA KEMASUKAN SESI 2020/2021 ============================= UPDATE INFO TERKINI Pengalaman yang selalu membuatkan seseorang cinta untuk menimba pelbagai ilmu. Pengalaman melihat kawan-kawan yang berjaya dilahirkan melalui kampus pengajian di bumi Mesir juga merupakan satu pengalaman yang tidak mampu dijual beli. Tinggalkan pengalaman saya yang telah menuntut di Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir pada tahun 2004-2009. Itu adalah suatu pengalaman yang amat-amat bernilai dan berharga.  Keputusan STAM/SPM 2019 telah keluar. Alhamdulillah. Ramailah di antara kita sedang membuat pilihan untuk memilih sama ada menyambung pengajian ke dalam negara atau memilih ke luar negara. Alhamdulillah, kurniaan Allah SWT kepada saya, tahun 2016 lalu saya telah berpeluang menjejakkan kaki ke bumi Mesir melihat sistem pendidikan terbaharu di Mesir. Banyaklah pembaharuan dan kemajuan di Mesir berbanding pengalaman lampau pada tahun 2009 sewaktu berada di bumi Mesir. Kali ini sa

Kubu Kota Kaherah struktur terhebat tamadun Islam

Susunan ZUNAIDAH ZAINON KUBU Kota (Citadel) adalah monumen terhebat dari zaman pertengahan yang telah mencipta panorama menarik di seluruh bandar Kaherah, Mesir sejak 700 tahun lalu. Selain menjadi tarikan pelancong dari seluruh pelosok dunia, binaan Kubu Kota adalah struktur terhebat dalam sejarah keagungan tamadun Islam. Gabenor Hatim Ibn Hartama dipercayai membina astaka Dome of the Wind pada tahun 810. Kemudiannya, pada 1176, Salah ad-Din (turut dikenali sebagai Saladin) iaitu pemerintah Abbasiah (1171-1193) menukar fungsinya daripada kawasan peranginan kepada kubu pertahanan dan melindungi kawasan tersebut daripada serangan tentera Kristian dalam Perang Salib. Menurut cerita legenda, Salah ad-Din memilih lokasi tersebut untuk mendapatkan udara segar. Ini disebabkan kebanyakan daging yang disalai telah menimbulkan bau yang kurang enak di seluruh bandar kecuali kawasan di sekitar kubu kota. Bagaimanapun, lokasi tersebut amat strategik dan mampu berfungsi sebagai benteng pertahanan.

Perintis Diploma Pengurusan Dakwah

 Di antara mahasiswa Diploma Pengurusan Dakwah yang telah menuntut di Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI)