Langkau ke kandungan utama

Jadi usahawan untuk kurangkan pengangguran

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

HARI ini, boleh dikatakan apa sahaja yang tidak mustahil mampu menjadi kenyataan. Namun, adakah ia selari dengan cita-cita dan matlamat asal kita? Begitulah antara persoalan yang terbit daripada minda bakal graduan universiti.

Dalam menghadapi persaingan sengit dunia pekerjaan dan lambakan siswazah menganggur saban tahun, segala kemungkinan yang tidak pernah terfikir semasa belajar boleh menjadi arah tujuan yang mendorong kepada kehidupan lebih baik. Tidak kurang juga, ada segelintir pelajar sudah menanam azam untuk menceburkan dalam bidang perniagaan dan keusahawanan apabila menamatkan pengajian di universiti.

Pengalaman yang dilalui oleh bekas penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang Pengurusan Kualiti Makanan, Siti Noraini Md. Isa, wajar dijadikan contoh kepada bakal graduan universiti.

Beliau yang tamat pengajian peringkat ijazah sarjana muda pada 2003 tidak menoleh ke belakang apabila mengambil keputusan membabitkan diri dalam dunia perniagaan.

“Minat dalam bisnes tidak datang pada peringkat awal. Saya juga seperti pelajar-pelajar lain yang mengimpikan kerjaya sama ada di sektor kerajaan atau swasta. Arah dan matlamat hidup saya berubah selepas hasil kajian saya mengenai penghasilan Nata De Pine berasaskan nanas memenangi tempat ketiga dalam pertandingan produk inovatif antara universiti.

“Pada masa itu, pertandingan tersebut diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia pada 2004,” cerita usahawan muda berusia 28 tahun ini.

Pengiktirafan

Lebih membanggakan, hasil kajian produk tersebut turut memenangi pingat emas di Pameran Teknik Baru Inovasi dan Produk Antarabangsa kali ke-33 di Geneva. Dengan kejayaan berganda yang diperolehnya, Siti Noraini membuat keputusan untuk tidak mensia-siakan pengiktirafan yang diterimanya.

Selepas tamat pengajian, beliau mengambil keputusan membuka kilang memproses Nata De Coco dengan menggunakan kelapa kerana ia lebih murah dan mudah didapati.

Sebagai permulaan, beliau mendapat pinjaman modal sebanyak RM50,000 daripada Bank Pertanian Malaysia di bawah Skim Usahawan Tani Komersil Siswazah (SUTKS) untuk membeli peralatan dan mesin memproses.

Selain itu, ia juga digunakan untuk membuka kilang GMS Food Industry yang terletak di Plot No.15 & 16, Jalan IKS N/2, Taman IKS Nyalas, Pondok Batang, Jasin, Melaka. (Talian 013- 6130081, faks: 06-5228450)

Malah pembabitannya dalam bidang keusahawanan juga adalah hasil dorongan suami tercinta, Noor Azlan Sibut, 33, yang mempunyai pengalaman lima tahun dalam pembuatan dan pemasaran Nata De Coco.

“Dengan pengetahuan yang saya miliki di universiti dan kajian saintifik yang dilakukan serta pengalaman suami sendiri, maka tercetuslah idea untuk membuka kilang perusahaan pengeluaran makanan tersebut. Gabungan kedua-dua kepakaran inilah yang menjadi resipi kejayaan kami selama ini,” ujar Siti Noraini.

Memikul tanggungjawab sebagai seorang usahawan bukanlah suatu perkara yang boleh dipandang ringan. Bidang perniagaan dan keusahawanan adalah sektor yang berisiko tinggi andai tidak bijak menguruskannya dengan baik. Bagaimanapun, bagi Siti Noraini, apabila beliau menetapkan matlamatnya, apa jua cabaran harus dihadapi dengan tabah.

“Apabila bercakap tentang risiko, kita tidak boleh lari daripadanya. Bagi saya semua itu adalah dugaan dari Allah s.w.t. Untuk berjaya tidak ada jalan yang singkat. Semakin banyak ujian, semakin bernilai sebuah kejayaan,” katanya optimis.

Beliau menyifatkan terdapat beberapa masalah yang mengongkong siswazah untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan. Antaranya ialah takut berhadapan dengan risiko, tiada kepakaran dalam bidang pemasaran dan takut menghadapi persaingan.

Selain itu, mereka juga kurang pendedahan dan pengetahuan dalam menguruskan perniagaan termasuklah pengurusan akaun dan strategi pemasaran.

Memandangkan saban tahun semakin ramai graduan yang menamatkan pengajian dari universiti dalam pelbagai bidang dan masalah pengangguran siswazah yang masih belum surut, Siti Noraini berpendapat, keputusan membabitkan diri dalam perniagaan sebagai langkah terbaik yang boleh mengurangkan kadar pengangguran.

“Saya akui, wujudnya masalah-masalah yang menghalang mereka terutamanya dari segi modal dan pandangan masyarakat yang sedikit sebanyak membantutkan usaha siswazah untuk membuka bisnes sendiri.

Jika diteliti dengan baik, siswazah mampu memiliki perniagaannya sendiri secara tidak langsung berupaya menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada para penganggur,” katanya.

Beliau turut menasihati siswazah yang bakal bergelar usahawan agar tidak mudah mengalah dan putus asa. Tegasnya, kejayaan tidak akan dicapai tanpa tidak diuji dengan kegagalan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

SAMBUNG BELAJAR KE MESIR

NOTA KEMASUKAN SESI 2020/2021 ============================= UPDATE INFO TERKINI Pengalaman yang selalu membuatkan seseorang cinta untuk menimba pelbagai ilmu. Pengalaman melihat kawan-kawan yang berjaya dilahirkan melalui kampus pengajian di bumi Mesir juga merupakan satu pengalaman yang tidak mampu dijual beli. Tinggalkan pengalaman saya yang telah menuntut di Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir pada tahun 2004-2009. Itu adalah suatu pengalaman yang amat-amat bernilai dan berharga.  Keputusan STAM/SPM 2019 telah keluar. Alhamdulillah. Ramailah di antara kita sedang membuat pilihan untuk memilih sama ada menyambung pengajian ke dalam negara atau memilih ke luar negara. Alhamdulillah, kurniaan Allah SWT kepada saya, tahun 2016 lalu saya telah berpeluang menjejakkan kaki ke bumi Mesir melihat sistem pendidikan terbaharu di Mesir. Banyaklah pembaharuan dan kemajuan di Mesir berbanding pengalaman lampau pada tahun 2009 sewaktu berada di bumi Mesir. Kali ini sa

Kubu Kota Kaherah struktur terhebat tamadun Islam

Susunan ZUNAIDAH ZAINON KUBU Kota (Citadel) adalah monumen terhebat dari zaman pertengahan yang telah mencipta panorama menarik di seluruh bandar Kaherah, Mesir sejak 700 tahun lalu. Selain menjadi tarikan pelancong dari seluruh pelosok dunia, binaan Kubu Kota adalah struktur terhebat dalam sejarah keagungan tamadun Islam. Gabenor Hatim Ibn Hartama dipercayai membina astaka Dome of the Wind pada tahun 810. Kemudiannya, pada 1176, Salah ad-Din (turut dikenali sebagai Saladin) iaitu pemerintah Abbasiah (1171-1193) menukar fungsinya daripada kawasan peranginan kepada kubu pertahanan dan melindungi kawasan tersebut daripada serangan tentera Kristian dalam Perang Salib. Menurut cerita legenda, Salah ad-Din memilih lokasi tersebut untuk mendapatkan udara segar. Ini disebabkan kebanyakan daging yang disalai telah menimbulkan bau yang kurang enak di seluruh bandar kecuali kawasan di sekitar kubu kota. Bagaimanapun, lokasi tersebut amat strategik dan mampu berfungsi sebagai benteng pertahanan.

Perintis Diploma Pengurusan Dakwah

 Di antara mahasiswa Diploma Pengurusan Dakwah yang telah menuntut di Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI)