Langkau ke kandungan utama

Hari Keputeraan Sultan Johor

Sultan Johor lantik Raja Muda
JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Iskandar semalam berkenan mengumumkan pelantikan cucunda baginda, Tunku Ismail Idris Tunku Ibrahim Ismail sebagai Raja Muda Johor, berkuat kuasa serta-merta.

Pemasyhuran putera sulung Tunku Mahkota Johor dan Raja Zarith Sofia itu dibuat Sultan Johor pada majlis Istiadat Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraannya di Istana Besar di sini.

Selepas menganugerahkan darjah dan pingat kebesaran kepada 11 penerima, tanpa menggunakan pembesar suara baginda mengisytiharkan cucunya sebagai Raja Muda Johor.

"Saya umumkan cucu saya sebagai Raja Muda Johor," katanya.

Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Tunku Abu Bakar Tunku Abdul Rahman, dalam kenyataannya berkata, selepas pelantikan ini, Tunku Ismail akan bergelar Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibrahim, Raja Muda Johor, pada semua majlis istiadat dan urusan rasmi kerajaan, mulai semalam.

Berikutan pelantikan itu, Tunku Ismail menjadi pewaris kedua selepas ayahandanya, Tunku Ibrahim Ismail, ke takhta kesultanan Johor.

Sultan Iskandar menjadi Raja Muda Johor pada 1966 sehingga dilantik menjadi sultan pada 1981 dan gelaran itu kosong sehingga semalam.

Sempena Hari Keputeraan Ke-74 Sultan Johor itu, Raja Muda Johor turut dikurniakan nindanya pingat Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Kedua (DKII).

Tunku Ismail, 22, kini berkhidmat sebagai Pegawai Tentera di Rejimen 61 Calvary, Angkatan Tentera India, selepas menjalani latihan ketenteraan sebagai pegawai kadet di Akademi Ketenteraan India (IMA), Dehradun, mulai Julai 2003.
Raja Muda Johor turut mengikut jejak langkah ninda dan bapanya, meminati sukan berkuda dan bermain polo serta pernah dianugerahkan sebagai penunggang kuda terbaik ketika belajar di akademi itu.

Tunku Ismail dikurniakan Pangkat Pertama Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Seri Paduka Mahkota Johor (SPMJ) pada tahun lalu dan Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Ketiga Setia Mahkota Johor (SMJ) pada 2004.

Turut berangkat ke Istiadat Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Johor ialah Sultanah Johor; Tunku Mahkota Johor, Raja Zarith Sofia; Tunku Bendahara Johor, Tunku Abdul Majid Idris, kerabat diraja, exco dan pegawai kerajaan negeri.
Puteri baginda, Tunku Zabedah Sultan Iskandar mengetuai senarai 175 penerima pingat Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati Pangkat Pertama (DKI) sempena majlis itu.

Mufti Johor, Datuk Nooh Gadot pula menjadi penerima tunggal pingat Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Pertama (SPMJ) yang membawa gelaran Datuk.

Empat yang lain dianugerahkan Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Kedua (DPMJ) juga membawa gelaran Datuk. Mereka ialah Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Datuk Abdul Rahman Abdul Hamid; Pengarah KDRM negeri, Datuk Sarmin Md Hussein; Menantu Sultan Johor, Mizan Datuk Yahya dan Penguasa Kebun Bunga Kerajaan Johor, S Chanthrasothy.

Radin Juariah Radin Sudiro antara empat penerima Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Ketiga selain Nor Aini Juffery, Mahmudin Salim dan Mohd Alies Mohd Ayub.

Pengarah Urusan Perisind Holdings Sdn Bhd, Datuk Ibrahim Endan antara 13 penerima Pingat Kerana Lama dan Baik Dalam Pekerjaan (PLP) selain Pengarah Imigresen Tambak Johor, Kamariah Rahmat.

Dua pegawai Pejabat Kewangan negeri, Razman A Rashid dan Mohamad Ali Ibrahim pula antara 132 penerima Pingat Ibrahim Sultan Pangkat Kedua (PIS II).

Seramai 19 penerima pingat Ibrahim Sultan Pangkat Ketiga (PIS III) termasuk kakitangan Majlis Bandaraya Johor Bahru, Zaliha Talib dan Ahmad Othman.
(Sumber : Berita Harian - 9 April 2006)

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

SAMBUNG BELAJAR KE MESIR

NOTA KEMASUKAN SESI 2020/2021 ============================= UPDATE INFO TERKINI Pengalaman yang selalu membuatkan seseorang cinta untuk menimba pelbagai ilmu. Pengalaman melihat kawan-kawan yang berjaya dilahirkan melalui kampus pengajian di bumi Mesir juga merupakan satu pengalaman yang tidak mampu dijual beli. Tinggalkan pengalaman saya yang telah menuntut di Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir pada tahun 2004-2009. Itu adalah suatu pengalaman yang amat-amat bernilai dan berharga.  Keputusan STAM/SPM 2019 telah keluar. Alhamdulillah. Ramailah di antara kita sedang membuat pilihan untuk memilih sama ada menyambung pengajian ke dalam negara atau memilih ke luar negara. Alhamdulillah, kurniaan Allah SWT kepada saya, tahun 2016 lalu saya telah berpeluang menjejakkan kaki ke bumi Mesir melihat sistem pendidikan terbaharu di Mesir. Banyaklah pembaharuan dan kemajuan di Mesir berbanding pengalaman lampau pada tahun 2009 sewaktu berada di bumi Mesir. Kali ini sa

Kubu Kota Kaherah struktur terhebat tamadun Islam

Susunan ZUNAIDAH ZAINON KUBU Kota (Citadel) adalah monumen terhebat dari zaman pertengahan yang telah mencipta panorama menarik di seluruh bandar Kaherah, Mesir sejak 700 tahun lalu. Selain menjadi tarikan pelancong dari seluruh pelosok dunia, binaan Kubu Kota adalah struktur terhebat dalam sejarah keagungan tamadun Islam. Gabenor Hatim Ibn Hartama dipercayai membina astaka Dome of the Wind pada tahun 810. Kemudiannya, pada 1176, Salah ad-Din (turut dikenali sebagai Saladin) iaitu pemerintah Abbasiah (1171-1193) menukar fungsinya daripada kawasan peranginan kepada kubu pertahanan dan melindungi kawasan tersebut daripada serangan tentera Kristian dalam Perang Salib. Menurut cerita legenda, Salah ad-Din memilih lokasi tersebut untuk mendapatkan udara segar. Ini disebabkan kebanyakan daging yang disalai telah menimbulkan bau yang kurang enak di seluruh bandar kecuali kawasan di sekitar kubu kota. Bagaimanapun, lokasi tersebut amat strategik dan mampu berfungsi sebagai benteng pertahanan.

Perintis Diploma Pengurusan Dakwah

 Di antara mahasiswa Diploma Pengurusan Dakwah yang telah menuntut di Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI)