Langkau ke kandungan utama

Cerpen Pertama Saya


Kepulangan
Oleh : Syafiq bin Zulakifli

Satu

Dilla,

Hari ini Laut China Selatan bergelora lagi. Habis satu rumah disimbahinya. Semalam ibulah yang membersihkannya sehingga lewat malam. Hampir sebulan kampung kita dilanda banjir. Dulu, jika kau ada, mahu juga kau menolong. Tapi, kini kau dah jauh. Meninggalkan ibu yang entah bila akan menjelma kembali. Ibu rindu. Pulanglah.

Sepucuk surat lagi singgah di rumah Dilla. Masuk hari ini sudah dua puluh tiga kali warkah dari Mak Eton bertamu tetapi dihiraukan jua oleh Dilla, anak kesayangan Mak Eton. Dilla, anak sulung Mak Eton yang sudah enam tahun menetap di bandar metropolitan ini selepas menamatkan pengajiannya di Universiti Islam Antarabangsa, Gombak. Selepas bergelar mahasiswi dan mendirikan rumahtangga bersama Amir, tidak pernah sekalipun dia menjejakkan kaki di Kg. Parit Asam Kumbang, tempat kelahirannya.

Mungkin marahnya masih lagi membakar bak rumah yang masih tidak padam apinya. Peristiwa sembilan tahun lalu, acapkali berlegar merentasi pemikirannya. Ingin dilupakan saja, namun tidak menghilang. Tatkala surat bersetem bunga padi, daripada Kuala Terengganu inilah, hatinya bergalau.

“Entah bilalah, orang tua ni nak berhenti menghantar surat.”

Itulah kalimah yang sering dilafazkan tatkala membaca warkah dari kampung. Tidak pernah walau sekali surat ibunya itu disimpan. Malah plastik hitamlah yang akan jadi sasaran. Biarpun begitu, Mak Eton tetap berutus surat untuk anaknya yang tersayang.

“Dilla, kenapa ni.”

Amir keluar dari kamar. Tidak cendera tidur. Mendengar rungutan dari seorang isteri. Amir sudah lali dengan perangainya. Marah. Berang. Itulah Dilla. Tidak pernah senyum walau sesaat cuma. Biarpun begitu, tetapi Amir tetap bersabar.

“Abang, kita pindah rumah la. Dilla dah bosan la tinggal sini.”

Amir mendengarkan sahaja bebelan Dilla itu. Tidak pernah dihiraukannya. Sudah berkali– kali Dilla menyuruhnya untuk mencari rumah yang baru. Tetapi Amir tahu akan muslihat itu. Dilla tidak mahu lagi surat dari ibunya itu bertamu lagi di rumah mereka.

“Dilla, dia seorang ibu. Ibu yang telah melahirkan kau,” Amir berkata lembut.

“Ibu yang telah menjual anaknya? Ibu yang memaksa Dilla kahwin? Itu namanya ibu?” Dilla tiba-tiba menyinga.

“Dilla, bukan ibu yang bersalah.”

Amir menenangkan Dilla yang macam cacing kepanasan. Mahu sahaja ditampar perempuan ini, tetapi takut lain pula yang terjadi.

Dua

Semenjak Pak Wan meninggal dunia semasa Dilla dibangku sekolah, Mak Etonlah yang menjaga Dilla dan Din. Din sekarang belajar lagi di Kolej Universiti Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu. Din selalu ke Kuala Lumpur bertemu dengan Dilla. Mak Eton saja yang tidak sempat bertamu ke bandar itu. Mungkin sudah berusia. Tidak larat mahu ke mana – mana. Din sajalah yang akan pulang ke rumah tatkala cuti semester di kolej. Itupun tidak sekerap dulu.

Mak Eton masih terngiang –ngiang lagi saat manis bersama- sama dengan anak –anak sebelum ini. Awal – awal pagi, Mak Eton sudah menyiapkan sarapan untuk mereka sebelum ke sekolah. Duit syiling lima puluh sen sahaja yang Mak Eton mampu beri kepada Dilla dan Din sebagai duit saku harian mereka. Kesusahan hidup menyebabkan Mak Eton kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Mujurlah Dilla sekarang sudah hidup senang. Amir yang mengubah segalanya.

Kisah silam yang amat tragis itu masih tersemat di dalam saku ingatan Mak Eton. Bukan Mak Eton yang memaksa Dilla kahwin. Mak Cik Limah yang beria – ia sangat mahukan Dilla kahwin cepat. Amir telah berjanji kepada Mak Cik Limah. Amir akan menghadiahkan sebuah kereta Proton Perdana jika Mak Cik Limah dapat menambat hati Mak Eton untuk Amir dijodohkan dengan Dilla. Amir yang mahukan sangat si Dilla. Cerita rahsia ini hanya disimpan oleh Amir, Mak Eton dan juga Mak Cik Limah.

Mak Cik Limah kini sudah lebih lima tahun bergaya dengan kereta Proton Perdana pemberian Amir itu. Kekadang diajak juga Mak Eton untuk menumpangnya, tetapi tidak pernah walau sekali Mak Eton ingin menaikinya. Bila ternampak kereta Proton Perdana itu tersadai di garaj rumah Mak Cik Limah itu, perasaan Mak Eton mula menghantuk tirai rasa hati yang entah bila akan memaafkan Mak Cik Limah, jiran yang tidak boleh diharap.

Kekadang, Mak Eton menyesal akan peristiwa itu. Setiap pagi, manik-manik jernih mengalir dari tubir matanya mengenangkan kisah yang lalu. Entah bila Dilla akan memaafkan ibunya dan pulang ke kampung halamannya.

Tiga


Mak Eton membuang pandangan ke celah-celah tingkap. Dilihatnya sebuah kereta besar berwarna merah meluru masuk memenuhi ruang legar garajnya. Cepat – cepat Mak Eton membuka daun pintu tanda menerima kunjungan.

“Assalamualaikum ibu.” Amir yang kelihatan segak berpakaian kemas memberi salam tanda penghormatan.

“Oh Amir, masuk nak.” suara lembut Mak Eton jelas kelihatan.

Amir bergegas masuk sambil memegang erat sebuah beg plastik yang berisi, di tangan kanannya lalu mendakap kemas pelukan ibu mentua yang sudah lama tidak dirasakan. Ditanggalnya sepatu hitam berkulit Crocodile pembelian Dilla, lewat dua bulan yang lalu semasa meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke dua puluh sembilan.

“ Ibu, ini sahaja yang Amir bawa untuk ibu.” Sebuah bungkusan berisi kain sutera dihulurkan.

“ Amir, kau tak payahlah susah –susah membawa apa –apa untuk ibu. Ibu tak harapkan apa –apa dari engkau. Cuma satu yang ibu pinta, kau suruhlah Dilla pulang ke sini menjengguk ibu. Ibu rindu sangat padanya.” Keluhan Mak Eton memenuhi ruang tamu rumah yang hampir usang itu.

“ Amir faham ibu.”

Perbualan Mak Eton dan Amir sungguh rancak pada hari itu. Macam –macam peristiwa dibualkan. Amir memahami perasaan seorang ibu yang inginkan Dilla kembali kepadanya. Sudah puas dipujuk isterinya itu, tetapi masih belum menemui jalan penyelesaian.

“ Ibu, insyaAllah Amir akan pulang lagi jika ada kesempatan. Ibu jagalah diri. Jangan memikirkan sangat anak ibu itu. Dia tu kepala batu.”

Amir meninggalkan halaman kawasan rumah Mak Eton itu. Lambaian tangan Amir dari jauh menandakan kunjungan Amir tadi berakhir sudah. Sebelum kaki melangkah masuk, manik – manik jernih berlinangan di pipinya. Sayang Mak Eton pada menantunya itu bagaikan Dilla sebagai pengganti. Mak Eton senantiasa berdoa agar dibukakan pintu hati Dilla untuk pulang ke teratak usang ini.

Empat

Dilla sedang mengemas ruang taman di halaman rumahnya. Disiramnya air untuk memberikan oksigen kepada pokok bunga di taman kesayangannya itu. Setiap hari dijaganya taman itu supaya tidak hilang serinya.

“ Assalamualaikum, Kak Dilla!” Dilla tersentak dengan salam yang diberikan oleh Din.

“ Din. Terkejut akak. Ingatkan siapa tadi. Kenapa tak bagitahu Din nak datang?”

Din meluru masuk ke rumah kakaknya itu. Dicampakkannya beg birunya itu ke dalam bilik di aras dua dan terus menukar pakaian. Sejurus itu, dia ke ruang tamu menemani Kak Dilla yang keseorangan.

“ Akak tak nak balik kampung. Ibu asyik bercerita tentang akak. Tiap – tiap hari nama akak disebut.” Din memulakan bicara lembut seraya memikirkan ayat – ayat yang sesuai untuk dituturkan kepada kakaknya itu.

“Din!!! Jangan sebut lagi tentang ibu.”

“Ibu mana tak sayangkan anaknya. Dah bertahun akak tidak menjejakkan kaki ke kampung. Akak tak sayangkan ibu?”

“Din!!! Cukup. Akak tak mahu ingat lagi peristiwa lalu.”

Kata –kata Din seolah – olah tidak berguna. Harap umpan yang digunakan hari ini mengena, tetapi tekniknya tadi benar – benar tak menjadi. Sedih rasanya. Di dalam hatinya amat terusik. Bilakah Kak Dilla akan berubah.

Din tidak lagi bercerita tentang ibunya. Biarlah Kak Dilla mencari dan memikirkan jalan yang sebaiknya. Akak pun dah tahu tentang balasan mendurhakai ibu. Kecil – kecil dulu, kami diajar oleh arwah ayah agar mentaati kedua ibu bapa. Teringat lagi kata – kata ayah. Jika ayah masih ada, mesti diterajangnya Kak Dilla. Dulu, pernah juga Din dan Kak Dilla disebat ayah angkara tidak pergi mengaji. Mulut Mak Cik Limahlah semuanya membuka pekong.

“ Kring! Kring!” Telefon rumah Dilla berdering tanda perlu diangkat.

“Assalamualaikum. Dilla sedang bercakap.”

“Kami daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu. Adakah puan ini suami kepada Encik Amir bin Arif Zailani? Encik Amir terlibat dengan kemalangan langgar lari, tiga kilometer daripada Kg. Parit Asam Kumbang.”

Hati isteri mana tidak bergalau. Dilla segera memecut pacuan empat rodanya terus ke Hospital Tengku Ampuan Afzan bersama Din. Di dalam fikirannya, tanda tanya misteri masih timbul. Mengapa suaminya ke kampungnya itu? Pelik. Sedangkan padi tadi, dia yang meminyak kemas rambut suaminya. Bukan apa, cuma mengikut saranan Rasulullah.

Lima


Empat jam berada di dalam perjalanan sungguh memenatkan. Dilla berlari – lari anak terus ke wad kecemasan. Dicari suaminya yang entah di mana tidak diketahuinya. Seorang petugas di hospital itu ditanya tanda pencariannya sendiri tadi tidak berhasil.

“Pesakit bernama Amir bin Arif Zailani ada di sini?” Tercungap –cungap bibir Dilla menuturkannya.

“Tingkat tiga bilik kecemasan Unit Rawatan Rapi.” Jawab seorang pegawai kesihatan di meja pertanyaan ringkas.

Setapak demi setapak kemas tersusun. Langkah longlai Dilla dipercepatkan. Semasa tiba di tingkat tiga ini, tajam mata Dilla merenung sekujur tubuh sedang terbaring di dalam sebuah bilik Unit Rawatan Rapi (ICU). Dicelah –celah tingkap berkaca itu, dilihat wajah suaminya itu. Hatinya memujuk sabar. Seraya itu, Dilla meminta izin untuk memasuki bilik bercermin kaca itu tadi. Kakinya dilangkah perlahan agar bunyi bising tidak kedengaran.

Seusai itu, dirapatkan mulutnya ke telinga suaminya itu yang separuh sedar. Mulut suaminya itu dilihat seolah –olah ingin meluahkan sesuatu. Dipegang erat tangannya lalu dikucupnya bagai seorang pengantin yang baru mendirikan mahligai kebahagiaan.

“Dilla, abang minta maaf kerana tidak dapat bermanja dengan Dilla lagi. Abang tidak berdaya lagi Dilla. Dilla, pulanglah pada ibumu. Abang berdosa kepada Dilla dan ibu. Abang yang telah menyebabkan ibu dan Dilla bersengketa.”

Wajah pucat suaminya itu jelas kelihatan. Dilla cuba memahami setiap satu kalimah yang menyusun ditubir bibir suaminya itu.

“Dilla, abanglah yang menyuruh Mak Cik Limah mendesak ibu mengahwinkan Dilla dengan abang. Abang sayangkan Dilla. Maafkan ibu Dilla. Ibu tidak bersalah.” Suara lemah Amir itu memberikan seribu persoalan kepada Dilla.

“ Mak Cik Limah!” Dilla mengeraskan suara sambil kening lebatnya terhincut sedikit.

“Ya.” Amir menundukkan kepalanya membenarkan perkara itu.

Bingung. Tiba – tiba berderaian airmata memenuhi kesunyian di kamar wad kecemasan itu. Dicari ibunya kalau – kalau ada disitu. Samar. Kabur penglihatan Dilla buat seketika. Mukanya dipaling ke arah kerusi oren hospital itu. Wajah Mak Eton dipandangnya tajam. Jelas terbayang insan bernama ibu di situ.

“Ibu!!! Maafkan Dilla…”

Teriakan Dilla itu menggegarkan segenap ruang kawasan hospital itu. Bagaikan sebuah khayalan dan mimpi. Ketulusan hati dan penyesalan diri jelas terbayang di wajah anak perempuan Mak Eton itu. Dikucupnya Dilla itu seperti baru melahirkan anak yang baru. Seusai itu, seorang pegawai berbaju putih yang sedang menggantungkan stetaskop dilehernya keluar dari kamar suaminya itu. Digelengkan kepala ke kiri dan ke kanan tanda perpisahan telah berlaku.

“Abang!!!”


:: cerpen pertama yang telah saya hasilkan lebih empat bulan yang lalu:: Kelakar dan Perlu Diperbaiki

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

SAMBUNG BELAJAR KE MESIR

NOTA KEMASUKAN SESI 2020/2021 ============================= UPDATE INFO TERKINI Pengalaman yang selalu membuatkan seseorang cinta untuk menimba pelbagai ilmu. Pengalaman melihat kawan-kawan yang berjaya dilahirkan melalui kampus pengajian di bumi Mesir juga merupakan satu pengalaman yang tidak mampu dijual beli. Tinggalkan pengalaman saya yang telah menuntut di Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir pada tahun 2004-2009. Itu adalah suatu pengalaman yang amat-amat bernilai dan berharga.  Keputusan STAM/SPM 2019 telah keluar. Alhamdulillah. Ramailah di antara kita sedang membuat pilihan untuk memilih sama ada menyambung pengajian ke dalam negara atau memilih ke luar negara. Alhamdulillah, kurniaan Allah SWT kepada saya, tahun 2016 lalu saya telah berpeluang menjejakkan kaki ke bumi Mesir melihat sistem pendidikan terbaharu di Mesir. Banyaklah pembaharuan dan kemajuan di Mesir berbanding pengalaman lampau pada tahun 2009 sewaktu berada di bumi Mesir. Kali ini sa

Kubu Kota Kaherah struktur terhebat tamadun Islam

Susunan ZUNAIDAH ZAINON KUBU Kota (Citadel) adalah monumen terhebat dari zaman pertengahan yang telah mencipta panorama menarik di seluruh bandar Kaherah, Mesir sejak 700 tahun lalu. Selain menjadi tarikan pelancong dari seluruh pelosok dunia, binaan Kubu Kota adalah struktur terhebat dalam sejarah keagungan tamadun Islam. Gabenor Hatim Ibn Hartama dipercayai membina astaka Dome of the Wind pada tahun 810. Kemudiannya, pada 1176, Salah ad-Din (turut dikenali sebagai Saladin) iaitu pemerintah Abbasiah (1171-1193) menukar fungsinya daripada kawasan peranginan kepada kubu pertahanan dan melindungi kawasan tersebut daripada serangan tentera Kristian dalam Perang Salib. Menurut cerita legenda, Salah ad-Din memilih lokasi tersebut untuk mendapatkan udara segar. Ini disebabkan kebanyakan daging yang disalai telah menimbulkan bau yang kurang enak di seluruh bandar kecuali kawasan di sekitar kubu kota. Bagaimanapun, lokasi tersebut amat strategik dan mampu berfungsi sebagai benteng pertahanan.

Perintis Diploma Pengurusan Dakwah

 Di antara mahasiswa Diploma Pengurusan Dakwah yang telah menuntut di Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI)