Langkau ke kandungan utama

NILAI KEPENGARANGAN DI BUMI ANBIYA

Gambar sewaktu mengunjungi Metro Makkah musim Haji 1435H

Oleh SYAFIQ ZULAKIFLI

Menjejaki usia sedekad menempuh gerbang penulisan mungkin terlalu lewat bagi seorang pengarang yang sudah melepasi angka tiga puluh. Namun, berkat kesabaran dan peraturan daripada-Nya maka telah dipinjamkan Allah SWT untuk saya menjadi sebahagian daripada para penuntut ilmu yang dahagakan tulisan-tulisan yang cemerlang untuk dihayati. 

Sedari maklum, tahun pertama di Universiti Al-Azhar di Kaherah kira-kira sepuluh tahun yang lalu telah membuka ruang mengenali dunia kesusasteraan dan kepengarangan. Tentu sahaja berbekalkan peluang yang diberikan melalui Kem Latihan Penulis (KELAP) Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) saya mengorak langkah ke hadapan. 

Bermula daripada ruang keilmuan, saya berkenalan dengan nama seperti Nisah Hj Haron, Faisal Tehrani, Abdul Latip Talib, Zainal Rashid Ahmad, Serunai Faqir di samping sasterawan yang lebih matang daripada saya. 

Lalu, pengalaman menyertai kem itulah, setiap kali pulang bercuti ke Malaysia saya akan ke Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan untuk mendapatkan majalah Tunas Cipta.

Tidak membuat keputusan yang terburu-buru untuk merapatkan diri dalam bidang kepengarangan, saya memilih e-sastera.com sebagai pilihan. Waktu itulah saya mula berkenalan dengan Ahmad Fadhlil Pakarul Razy (Fahd Razy) yang semahu-mahunya waktu itu di Dublin, Ireland melamar saya untuk menjadi sebahagian komuniti e-sastera. 

Tanpa terhalang, dengan niat yang tekad saya meneruskan pengembaraan ilmu penulisan yang dianjurkan di Malaysia tatkala cuti musim panas bersama-sama Grup Karyawan Luar Negara (GKLN). Itulah satu-satunya bengkel yang dianjurkan Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia yang melancarkan lagi giat saya terhadap penulisan. Pada waktu itu, bengkel tersebut diadakan di Hotel Mandarin Court, Kuala Lumpur.

Kesungguhan meladeni ilmu yang dibimbing oleh Puan Zaharah Nawawi, Puan Nisah Haron, Puan Salmiah Ismail dan Dr Faisal Tehrani membuatkan saya lebih mengakrabi kesusasteraan. 

Lantas dengan peluang inilah saya menyertai Sayembara Penulisan Cerpen Jawi anjuran Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) sempena Kemerdekaan Negara Malaysia yang ke-50. Tidaklah menyangka dengan sayembara ini saya memperoleh hadiah saguhati dan membawa pulang cek RM500. 

Sesekali apabila teringatkan kenangan terdewasa dengan semangat yang didorong oleh sahabat di GKLN, menjadikan saya berhenti sejenak terfikir - inilah ukhuwah maya yang tidak disedari. Saya langsung tidak mengenali Fahd Razy, Adibah Abdullah, Ainna Suhaimi, Rebecca Ilham (sekadar menyebut beberapa nama) kerana masing-masing berlari di negara pendidikan sendiri. Tetapi yahoogroups sahaja yang telah mempersatukan hati-hati kami untuk meneruskan perjuangan pengarangan ini. 

Saya tidak henti menoleh ke belakang malah membuat keputusan menggali lagi ilmu bahasa. Waktu itulah saya berkenalan dengan Puan Ainon Mohd, Prof Dr Abdullah Hassan, Sasterawan Negara Datuk A Samad Said, Mana Sikana dan nama-nama besar yang lain.  Saya masih teringat lagi sempat bertemu mata dengan Allahyarham Azizi Hj Abdullah dan Allahyarham SN S. Othman Kelantan. Pertemuan kami berlaku sewaktu saya menyertai Seminar Penulisan Cereka anjuran ASWARA.  Dengan kehadiran saya di dalam seminar tersebut, saya dimatangkan dengan wacana sastera. Saya diilmukan dengan Gagasan Persuratan Baharu dan macam-macam lagi. 

Selepas beberapa kali ke program kesusasteraan dan wacana menjadi keghairahan saya memuncak untuk mengirimkan kepada pihak majalah dan akhbar. Apabila pulang kembali ke Mesir, saya mengambil peluang memperbanyakkan karya dan mengirim kepada editor untuk disiarkan. Saya menjadikan majalah Tunas Cipta, Akhbar Mingguan Malaysia dan Berita Minggu sebagai ruang mempromosi karya saya. 

Alhamdulillah, beberapa kali editor Tunas Cipta mengizinkan saya popular seketika tatkala cerpen dan puisi saya diterbitkan. 

Saat merindukan rakan-rakan kesusasteraanlah, saya akan mengarang. Saya menjenguk kalau-kalau saya tertinggal di belakang. Namun, saya amat cemburu kepada kawan-kawan yang sudah menempa nama di pentas sastera termasuklah Fahd Razy, Rebecca Ilham, Muzaf Ahmad, dan rakan-rakan seangkatan yang lain. 

Wajar disandarkan juga, karya-karya Fahd Razy menjadi satu cerminan saya pada ketika itu kerana beliau lebih akrab dan dekat dengan rakan seusia saya. Malah, setiap kali karya beliau terbit di media arus perdana dan sesekali memenangi sayembara, saya curi-curi untuk menggali kekuatan karya beliau.

Kecemburuan itulah menjadikan saya untuk menulis dengan lebih matang. Tahun 2013 membawa rezeki berganda kepada saya tatkala karya 'Bukan Yatim Gaza' memenangi dua hadiah sastera iaitu Hadiah Sastera Darul Takzim IX dan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2012. 

Selepas pulang dari Universiti Al-Azhar di Mesir, kepengarangan saya nampak tumpul kerana tugas dan tanggungjawab di dalam bidang penyiaran perlu dilunaskan. Sebagai orang media dan bertugas di televisyen dan radio, saya tidak mengehadkan peluang mengarang itu. 

Malah, beberapa kali juga saya menulis rencana untuk disiarkan di majalah berkenaan perjalanan saya sebagai seorang wartawan merentasi pengalaman ke bumi Gaza, Jordan dan Arab Saudi. Oleh kerana tugas dan tanggungjawab penulisan tidak ada dipersiakan, saya diberi amanah oleh IKIMfm untuk menjadi salah seorang kolumnis di dalam Berita Harian setiap hari Selasa di dalam ruangan agama.
Dari hari ke hari, penulisan saya dibantu dengan rakan-rakan di GKLN. Pelbagai wahana perbincangan yang dapat diperoleh sama ada melalui Whatapps atau Facebook.
Saya gemar sikap yang ditunjukkan oleh GKLN - dengan sengaja mereka mempromosikan karya kawan-kawan yang terbit. Ini lebih mematangkan dan memberi rangsangan kepada teman-teman yang lain untuk berlumba-lumba menembusi tembok media. Malah, saban minggu dan bulan, karya penulis-penulis GKLN akan diuar-uarkan sekiranya ada di kalangan kami yang masih berada di luar negara. Itulah nilai ukhuwah dan persahabatan yang tidak akan cedera walau sedikitpun.

Berbekalkan semangat dan dorongan, pada 2015 menampakkan hasil luar biasa apabila karya saya menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) buat kali pertama menerusi puisi "Dari Mimbar Shinjuku" 

Sedari itu, tahun 2015 memberi peluang saya menghimpunkan karya saya melalui kumpulan cerpen berjudul 'Doa Dari Arafah' dan kumpulan puisi berjudul 'Nur di Kota Kaherah' terbitan Karyawan Publishing House (milik GKLN) yang kini sudah dijenamakan melalui Kata Pilar Books.

Inilah sebahagian pengalaman yang mendewasakan. Tidak terlewat saya menyelitkan rakan-rakan kesusasteraan melalui gerakan GKLN, bermula daripada pengasasnya Dr Fahd Razy, Saudara Rasydan Fitri, Dr Khairil Idham Ismail, Zaim Yusoff, Muzaf Ahmad, Hisyam Ahmad yang selalu memberikan warna dalam perjalanan saya seorang penulis muda lepasan Timur Tengah. 

Saya juga terhutang budi kepada editor DBP, Puan Khatijah Ismail yang sudi menerbitkan Antologi Cerpen Remaja DBP berjudul ‘Biasan Prisma’ yang boleh dibeli di pasaran. Moga-moga dibalas oleh Allah SWT dengan pahala berganda. 

Akhirnya semoga tulisan ini akan lebih memberikan peluang saya menulis karya-karya agung seperti Hamka menulis 'Di Bawah Lindungan Kaabah', SN Abdullah Hussain mengarang 'Imam' dan ramai lagi. 

Moga kita akan menjadi seperti ulama terdahulu yang menjadikan dunia kepengarangan sebagai amal jariah berterusan dan dimanfaatkan oleh generasi terkemudian. Saya amat berbangga menjadi sebahagian penulis yang hadir melalui jalur pengajian Universiti Al-Azhar, Kaherah yang merupakan universiti tertua ini.


Tanpa sedar, saya menulis tulisan ini di dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kaherah. Sungguh ia suatu yang luar biasa. 

(Artikel ini telah diterbitkan di Majalah Tunas Cipta)

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kubu Kota Kaherah struktur terhebat tamadun Islam

Susunan ZUNAIDAH ZAINON KUBU Kota (Citadel) adalah monumen terhebat dari zaman pertengahan yang telah mencipta panorama menarik di seluruh bandar Kaherah, Mesir sejak 700 tahun lalu. Selain menjadi tarikan pelancong dari seluruh pelosok dunia, binaan Kubu Kota adalah struktur terhebat dalam sejarah keagungan tamadun Islam. Gabenor Hatim Ibn Hartama dipercayai membina astaka Dome of the Wind pada tahun 810. Kemudiannya, pada 1176, Salah ad-Din (turut dikenali sebagai Saladin) iaitu pemerintah Abbasiah (1171-1193) menukar fungsinya daripada kawasan peranginan kepada kubu pertahanan dan melindungi kawasan tersebut daripada serangan tentera Kristian dalam Perang Salib. Menurut cerita legenda, Salah ad-Din memilih lokasi tersebut untuk mendapatkan udara segar. Ini disebabkan kebanyakan daging yang disalai telah menimbulkan bau yang kurang enak di seluruh bandar kecuali kawasan di sekitar kubu kota. Bagaimanapun, lokasi tersebut amat strategik dan mampu berfungsi sebagai benteng pertahanan.

SAMBUNG BELAJAR KE MESIR

NOTA KEMASUKAN SESI 2020/2021 ============================= UPDATE INFO TERKINI Pengalaman yang selalu membuatkan seseorang cinta untuk menimba pelbagai ilmu. Pengalaman melihat kawan-kawan yang berjaya dilahirkan melalui kampus pengajian di bumi Mesir juga merupakan satu pengalaman yang tidak mampu dijual beli. Tinggalkan pengalaman saya yang telah menuntut di Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir pada tahun 2004-2009. Itu adalah suatu pengalaman yang amat-amat bernilai dan berharga.  Keputusan STAM/SPM 2019 telah keluar. Alhamdulillah. Ramailah di antara kita sedang membuat pilihan untuk memilih sama ada menyambung pengajian ke dalam negara atau memilih ke luar negara. Alhamdulillah, kurniaan Allah SWT kepada saya, tahun 2016 lalu saya telah berpeluang menjejakkan kaki ke bumi Mesir melihat sistem pendidikan terbaharu di Mesir. Banyaklah pembaharuan dan kemajuan di Mesir berbanding pengalaman lampau pada tahun 2009 sewaktu berada di bumi Mesir. Kali ini sa

Perintis Diploma Pengurusan Dakwah

 Di antara mahasiswa Diploma Pengurusan Dakwah yang telah menuntut di Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI)