Kenali Diri

My photo
Johor Bahru, Johor, Malaysia
SYAFIQ ZULAKIFLI adalah graduan Universiti Al-Azhar, Kaherah,Mesir. Berasal dari negeri Johor Darul Takzim. B.A (Hons)Syariah, Al-Azhar (2009) Editor PTS Publication & Distributor Sdn Bhd(2010) Eksekutif Penyelidikan Editorial TVAlhijrah(2012)Penerbit Rancangan IKIMfm (Mulai 1 Mac 2012) Sebarang pertanyaan emelkan ke syafiqzulakifli @ gmail.com atau hubungi +6017 7346 946

Thursday, January 05, 2017

Rancangan Realiti TV Agama : Bukan Sekadar Melepas Batok di Tangga

Rancangan Realiti TV Agama : Bukan Sekadar Melepas Batok di Tangga
Oleh SYAFIQ ZULAKIFLI

Akhir-akhir ini muncul pelbagai rancangan realiti televisyen (TV) berbentuk dakwah di Malaysia. Sedari maklum, penerbitan rancangan tersebut adalah sebagai medium alternatif kepada hedonisme rancangan yang telah dipamerkan oleh stesen penyiaran di negara kita pada hari ni.

Perkembangan ini segar di mata masyarakat sebagai satu peluang mereka mendalami ilmu-ilmu agama melalui pelbagai konsep. Kemunculan rancangan realiti seperti Imam Muda, Ustazah Pilihan dan Pencetus Ummah di Astro Oasis, Adik-Adikku (RTM), Solehah (Alhijrah) memberikan kefahaman kepada generasi muda pada hari ini betapa dakwah itu diperluaskan dengan pelbagai pendekatan. Dakwah itu merentasi kumpulan kecil bermula kanak-kanak, remaja, belia dan dewasa.

Malah, para ibu bapa juga teringin benar menggilap bakat anak-anak mereka ke dalam pentas berprestij itu sehingga dijulang sebagai juara dan mampu menjadi sebahagian daripada komuniti daie di Malaysia. Ciri-ciri ini menjadi pemangkin generasi baharu agar terus bersaing berada di khalayak dan mengisi kekosongan dakwah yang muncul di tengah-tengah kejahilan umat.

Namun, jelas akhir-akhir ini rancangan realiti agama tersebut sedang memperjudikan satu kelompok yang amat penting. Mereka adalah para ‘ustaz dan ustazah segera’ yang sedang dilahirkan. Mereka mendalami pengajian sekadar sepuluh minggu kemudian keluar sebagai pemenang; lalu mengaku faqih dalam bidang pengajian Islam, malah menjadikan hujah bahawa sudah memegang trofi ‘ijazah’nya itu.

Bukan itu sahaja, kumpulan ini bakal bergelar pendakwah selebriti yang setaraf artis dan mampu menjadi duta produk; mengelilingi Malaysia untuk memperkatakan itu dan ini. Malah tidak keberatan jika dikatakan kumpulan ini menumpang atas kemenangan itu dengan sanggup meletakkan harga dan jatidiri mengenakan bayaran berganda-ganda untuk memenuhi jemputan tetamunya.

Apakah acuan program rancangan realiti TV agama ini yang sebenar? Apakah sekadar meniru program yang berlangsung lalu dijemput mereka yang berkelulusan agama untuk menghadiri ujibakat – kemudian memfesyenkan mereka sebagai seorang ustaz yang mampu menyanyi, melawak, dan berlakon.

Amat malang bagi rancangan dakwah yang tidak mempunyai satu mazhab istimewa; mampu berdikari sebagai metod penyiaran agama yang dicari. Bukankah kita pernah melahirkan rancangan realiti yang mengajar para duat untuk turun ke lapangan, mendekati  golongan sasar, menguji kefahaman tentang hukum-hakam, kemudian melancarkan bacaan al-Quran dan al-Hadith mereka sewaktu diuji.

Namun, sebaliknya akhir-akhir ini apabila mereka diminta untuk berlakon di dalam pentas realiti, tonggang-langgang ayat suci dan hadith tidak dipeduli. Apakah ini kita sedang melahirkan bakat baharu Islamik?

Apa sebenarnya yang di cari di dalam sebuah rancangan realiti agama? Apakah hanya sekadar melepaskan batok di tangga – atau kita tiada formula yang tepat membentuk acuan sendiri? Kita amat risau tentang bakat yang akan dilahirkan nanti hanyalah pembawa jenama sahaja tetapi kosong semata-mata.

Rancangan realiti agama perlu disemak semula supaya kita tidak terikut-ikut dengan rancangan yang sedia ada sehinggakan mereka ini sanggup dikritik oleh artis di hadapan mata sendiri.  Di mana maruah para peserta kita sebenar?

Sewajarnya kita berbangga untuk melahirkan bakat-bakat baharu pencetus generasi dakwah terkini dan kontemporari. Tetapi, dalam hal yang lain, kita sedang menangisi satu lagi waktu melihat golongan agamawan sedang ditindas dengan cacamerba sebuah rancangan realiti.
----
Tulisan ini ditulis pada November 2015. Oleh kerana bagi menjaga sensitiviti pihak-pihak tertentu pada waktu itu, saya tidak menyiarkan kepada mana-mana pihak. Oleh kerana ini sebuah catatan saya siarkan sekadar nota dan coretan sahaja.