Kenali Diri

My photo
Johor Bahru, Johor, Malaysia
SYAFIQ ZULAKIFLI adalah graduan Universiti Al-Azhar, Kaherah,Mesir. Berasal dari negeri Johor Darul Takzim. B.A (Hons)Syariah, Al-Azhar (2009) Editor PTS Publication & Distributor Sdn Bhd(2010) Eksekutif Penyelidikan Editorial TVAlhijrah(2012)Penerbit Rancangan IKIMfm (Mulai 1 Mac 2012) Sebarang pertanyaan emelkan ke syafiqzulakifli @ gmail.com atau hubungi +6017 7346 946

Tuesday, April 09, 2013

CERPEN : LAMBAIAN TERAKHIR

DALAM SEJARAH PENULISAN, tentu ada masam dan manisnya. Ini adalah cerpen saya yang PALING HODOH malah dikritik oleh guru saya dengan kritikan yang memang menusuk ke dalam jiwa. Tetapi, kritikan tersebutlah membuatkan saya berdiri waktu ini dan mampu menulis seperti hari ini.

Karya ini ditulis pada Julai 2007.


LAMBAIAN TERAKHIR
Oleh : Syafiq Zulakifli

RAMLI anak bongsu. Kakaknya Zainab, baru berumah tangga dua bulan lepas. Sunyi. Itulah yang difikirkan Ramli semenjak ketiadaan Kak Zainab dirumahnya lagi. Sebelum ini, Kak Zainab yang masak, tolong ibu di dapur, mengemas rumah dan bermacam-macam lagi tanggungjawab yang dilaksanakan. Tapi sekarang, bebanan itu Ramli pula yang menanggungnya. Dia pasrah. Kadang-kadang dia fikir jiwanya kosong dan suram. Dulu, Kak Zainablah tempat dia meluahkan segala masalah. Tapi, sekarang Kak Zainab sudah jauh. Dia sudah tinggal dengan suaminya, Amir.

Semenjak itulah, Ramli duduk bersendirian di rumah. Ayahnya sudah lama meninggal dunia. Ibunya pula sibuk menjahit baju di rumah Mak Cik Esah. Dia pernah dengar Mak Cik Esah kata, ibunya orang susah. Tak ada duit. Jadi, dia kena tolong Mak Cik Esah jahit baju. Ada juga wang poket bulanan. Tapi semua itu, Mak Cik Esah yang ceritakan padanya. Dia tak tahu ibunya susah. Biasanya, bila Ramli minta sesuatu, ibunya akan tunaikan. Ramli kehairanan. Masa kat sekolah, Ramli pernah tanya cikgu, orang susah macam mana? Cikgu tidak cakap apa-apa. Cikgu kata, Ramli kecil lagi. Ramli tak tahu apa-apa.

Minggu depan, cuti sekolah bermula. Ramli kata dengan ibu, Ramli nak tolong ibu. Tapi ibu tak bagi. Dia suruh Ramli jaga rumah dan buat kerja sekolah yang cikgu beri. Ramli tak pernah betah kata ibunya. Dia buat apa saja yang ibunya minta. Kadang-kadang ibu suruh Ramli ke kedai membeli barang-barang dapur. Ramli turutkan saja kemahuan ibu. Ramli ingat pesan Imam Yasin di surau, jangan sesekali menderhakai kedua ibu bapa. Bantu mereka dan doakan mereka selagi mereka masih ada di dunia ini. Pernah Imam Yasin ajarkan Ramli doa untuk kedua ibu bapa dua tahun lepas.

“Wahai Tuhanku, ampunilah dosa kedua ibu bapaku dan rahmatilah kedua-dua mereka sepertimana mereka telah mendidikku semenjak kecil lagi.”

 Doa itu Ramli hafal dan baca setiap kali selepas solat. Dia tidak pernah lupa doa itu. Imam Yasin banyak ajar dia ilmu agama. Tiap-tiap hari selepas maghrib, Ramli baca al-Quran dengan Imam Yasin. Dia ajar kat surau. Kalau Ramli baca salah, Imam Yasin akan menegurnya.

Malam itu selepas maghrib, Ramli tidak baca al-Quran. Satu kampung jadi gempar. Ramli dengar ramai orang menjerit, Terbakar! Terbakar! Ramli ikut saja Imam Yasin pulang. Ramli nampak orang lari lintang- pukang. Tiba-tiba Ramli teringat pada ibunya di rumah.

“Imam, Ramli nak pulang dulu. Ibu ada kat rumah.” Ramli minta izin meninggalkan Imam Yasin disisinya.

“Hati-hati ye nak!”

Waktu itu, Ramli lari pecut pulang ke rumah. Sesekali ada lopak yang dipijaknya. Fikirnya untuk tiba ke rumah dengan segera lebih utama.

“Ibu! Ibu!”

Jeritan Ramli itu ibu dengar dari jauh. Ramli yang sedang termengah-mengah cerita dengan ibu, ada rumah terbakar.

“Rumah siapa?” Ringkas ibu bertanya.

“Tak tahu.”

Malam itu satu kampung gempar. Macam – macam berita yang Ramli dengar. Ada yang kata, rumah Mak Cik Esah. Tapi Ramli tidak ambil endah. Takut-takut dituduh sibuk saja. Pagi esok, ibu kejut Ramli awal-awal. Ibu menangis teresak-esak. Ramli tengok ibu muram.

Betul kata orang ramai. Rumah Mak Cik Esah terbakar. Ibu mungkin menangis kerana rezekinya telah berakhir. Tapi, Ramli tak pernah mengeluh. Ramli tahu tersenyum saja. Bila Ramli lihat ibu nangis, Ramli pun turut nangis. Ibu usap kepala Ramli. Waktu itu, ibu sedih sangat. Ramli tidak tahu berbuat apa.

“Ayah kau sudah tiada. Rumah Mak Cik Esah pula, hangus dijilat api. Rezeki kita bertambah kurang.” Ibu sedikit mengeluh.

“Ibu nak Ramli terus belajar. Jangan abaikan pelajaran. Tentang duit, pandai-pandailah ibu mencari nanti. Jangan malas belajar. Ramli kena jadi anak yang berjaya. Nanti sudah besar, Ramli tolong keluarga pula. Kalau Ramli rajin, nanti Ramli masuk universiti.” Ibu sempat berikan nasihat pada Ramli ketika dia di pangkuan ibunya.

“Ramli tahu ibu. Ramli janji. Ramli nak belajar betul-betul. Nanti dah besar, Ramli tolong ibu. Ramli akan jadi macam kakak. Tolong ibu tiap-tiap bulan.”

Ramli lihat ibu nangis lagi. Ada manik jernih turun ke pipi ibu. Ramli kesat airmata ibu. Ramli tahu mungkin inilah kesengsaraan dan penderitaan. Tapi Ramli sudah tekad dan azam untuk belajar bersungguh-sungguh. Kata-kata ibu dan nasihatnya, Ramli simpan dalam hati. Dia letak betul-betul dalam kalbu. Takut-takut amanah itu tidak dapat dilaksanakan.

Masa cuti sekolah, Ramli suka main-main di halaman rumah. Dia selalu main galah panjang dan teng – teng dengan Wani dan Karim. Kadang- kadang Karim bawa guli. Wani dan Karim selalu panggil Ramli buncit. Ramli bukan budak gemuk. Tapi, ibu kata arwah ayah memang macam Ramli, sedikit tembam. Ramli tidak pernah ambil hati. Kalau hujan turun, Ramli tidak main. Ramli akan duduk saja di rumah. Waktu cuti beginilah, Kak Zainab akan pulang ke kampung. Selalunya, Kak Zainab tidak akan lupa bawakan Ramli gula-gula getah. Ramli memang suka makan gula-gula getah. Tapi, Ramli banyak kali kena marah dengan ibu kerana makan bersepah. Bila ibu kemas rumah, pastinya gula getah akan tersangkut pada penyapu lidi.

“Sebulan dua ni, tak ada masalah. Duit ibu ada lagi. Duit yang kau kirimkan minggu lepas pun, masih tidak terusik. Kau jangan risau. Kalau ibu tak ada duit nanti, ibu beritahu lah” Ramli curi-curi dengar perbualan ibu dengan Kak Zainab.

Minggu ini, Kak Zainab dan Abang Amir lama menetap di kampung. Peluang Ramli bermanja makin bertambah. Selepas solat Isyak, Kak Zainab akan bantu Ramli buatkan kerja sekolahnya. Kak Zainab pakar di dalam bidang Matematik. Di sekolah, Kak Zainab guru Matematik dan Sains. Abang Amir pula mengajar Bahasa Inggeris. Dulu, Abang Amir belajar di United Kingdom. Dia menutut di dalam jurusan Bahasa Inggeris dan Kesusasteraan. Ramli memang bercita-cita tinggi untuk jadi seperti Abang Amir. Berjaya hingga belajar ke luar negara.

“Orang yang berusaha, pasti akan berjaya. Jangan sesekali kita lalai di dalam pelajaran. Kalau hari ini, ibu bapa kita susah. Tidak semestinya kita juga akan susah nanti. Kita boleh miliki kejayaan seperti orang-orang lain juga. Asalkan punya azam dan semangat yang kuat untuk berjaya.” Abang Amir selalu jadi pakar motivasi untuk Ramli.

“Jangan suka sakiti hati orang lain. Kita belajar rajin-rajin. Usaha kenalah lebih. Jangan diikutkan saja perangai budak-budak sekarang. Macam-macam yang abang lihat. Ada yang suka lepak selepas pulang dari sekolah. Ada pula yang menghisap rokok.”

Ramli tunduk menekur ke bumi. Mungkin nasihat itu mencengkam sanubari. Ramli terima bulat-bulat. Ramli memang gemar dengar nasihat Abang Amir.

Subuh yang hening selepas waktu Syuruk, Kak Zainab dan Abang Amir sudah mengangkat beg ke dalam keretanya. Mereka perlu pulang awal kerana esok sekolah akan bermula. Ada tugas lain yang perlu diselesaikan sebelum sesi persekolahan bermula. Sebelum itu, ibu sempat hidangkan nasi lemak dan sambal sotong sebagai sarapan pagi. Ada juga kuih donat dan karipap yang sempat ibu ulikan untuk menjamu anak-anak.  

“Adik kau suka sangat nasi lemak ni. Kalau seminggu tidak jumpa, ditanya saja.” Ibu mencelah seketika.

Selepas bersarapan, Kak Zainab dan Abang Amir minta izin untuk meninggalkan kampung. Ada sedikit muram di hati. Tapi, senyuman Ramli membuatkan segala-galanya hilang seketika.

“Nanti, sudah sampai Kuala Lumpur, telefon ye. Nanti risau pula ibu kat sini.”

“Insya-Allah. Ibu jaga Ramli baik-baik tau. Kalau cuti sekolah, Nab akan balik lagi.”

Perbualan itu berakhir dengan lambaian terakhir mereka. Usai perjalanan kakak bermula, ibu masuk ke dapur, mengemas sisa-sisa makanan yang belum lagi diselesaikan tadi. Ramli sambung tidur di bilik. Letih katanya.

“Assalamualaikum.” Ada suara daripada tangga rumah bertamu.

Ibu segera ke ruang tamu. Dua orang lelaki kemas berpakaian rasmi polis datang.

“Ini rumah keluarga kepada Zainab binte Hussain?”

“Ya. Saya.”

“Anak makcik terlibat dengan satu kemalangan di Jalan Pekan, lima kilometer dari sini.”

Ibu sedikit tergamam. Tanpa bersuara, ibu kejutkan Ramli. Ramli yang sedang lena tidur bingkas bangun. Ramli tak tahu apa-apa ketika itu. Dia ikutkan saja haluan ibunya. Ketika tiba di hospital, Ramli nampak wajah Kak Zainab berlumuran darah. Ibu sudah meraung-raung nangis. Ramli ikut sama nangis.

Ketika itu, ibu peluk Ramli kuat-kuat. Ibu kata, kakak sudah tiada. Abang Amir pula menghembuskan nafas terakhir di tempat kejadian. Ramli mula tahu erti sedih. Dia mula membisu ketika itu. Tiada sebutir huruf terlintas dari mulutnya.

Airmatanya mula mengalir. Dia teringat pada Kak Zainab. Dia teringat pada arwah ayahnya.

“Semuanya sudah berakhir.” Bisik hatinya.

    








 


Menulis Blog Itu Menulis

Apabila penulisan itu diterjemahkan sebagai satu bahan penulisan; maka akan lahirlah tulisan yang dinamakan  catatan dan kepengarangan. Justeru, saya mengandaikan jika satu waktu saya mempunyai buku, maka buku apakah yang akan menjadi pilihan saya menulisnya?

Dalam suku tahun kedua ini - di samping Malaysia dengan pergolakan politiknya, saya pula akan menghasilkan beberapa buah buku. Antara buku yang dijangka akan dipaksa untuk siap adalah :

1. Kumpulan Cerpen Remaja
Saya namakan karya ini adalah cerpen remaja kerana saya fikir karya ini semuanya adalah sasaran kepada remaja.

Antara karya yang akan dimuatkan dalam kumpulan ini adalah :

1. Hadiah Untuk Ustaz
2. Warkah Dari Medan Seni
3. Tuan, Ini Untuk Kamu
4. Rahsia Sebuah Merdeka
5. Kalau Umi Ada Di Sisi
6. Bukan Yatim Gaza
7. Ramadan Terakhir di Kaherah

.... saya lupa beberapa karya lagi ....

2. Kumpulan Puisi
Saya sedang mencari, mengutip dan menyusun beberapa karya yang memang hasil penulisan karya saya juga yang terbit di media massa.

3. Travelog : Catatan Seorang Wartawan 
Catatan sepanjang berada di bumi Mesir, Mekah, Madinah, Palestin

Doakan saja. Mahu mencari misi yang hilang...




Suku Tahun Kedua 2013

IZINKAN SAYA MEMULAKAN BICARA INI. Suku tahun kedua untuk tahun kedua ini adalah bulan pilihanraya. Ya, catatan ini juga secara rasmi selepas seminggu Parlimen dibubarkan.

Saya telah mencoret sesuatu pada hujung minggu lalu dengan beberapa komentar daripada teman-teman pembaca Facebook. Oleh sebab saya fikir wajar saya menulis di blog, perkara yang sama saya terjemahkan ke sini.


Pilihanraya oh Pilihanraya

GENDANG sudah dipalu. Tarikh keramat yang pasti ditunggu. Apakah negara bakal berhadapan dengan perubahan besar tatkala kebangkitan politik yang diberi nama Arab Spring akan beralih ke salah satu benua Asia iaitu Malaysia.

Kepastian ini mungkin terlalu awal untuk ditelah dan diperhalusi. Alhamdulillah, sejak pilihanraya umum ke-12 lalu, tatkala saya masih lagi bergelar mahasiswa Universiti Al Azhar, Mesir - teruja untuk bersama-sama pilihanraya ini memang ada. 

PRU ke-12 pada Mac 2008 memberi tamparan hebat kepada Barisan Nasional apabila terpaksa menerima hakikat meninggalkan lima buah negeri dan diserahkan kepada pembangkang. Namun, biarlah atas dasar sebab apa-apapun lima tahun lalu telah mengajar rakyat sama ada memilih atau terpaksa memilih.

Mari kita melihat lima tahun mendatang. Ya, lima tahun yang akan dicorakkan. Almaklum, saya turut berada di dalam dunia media penyiaran tatkala pilihanraya yang akan berlangsung kurang daripada 60 hari ini. Dalam perhitungan ini, pasti kita tidak menolak bahawa lima tahun mendatang ini adalah saat getir kerana harapan menuju wawasan 2020 sudah hampir. 

Apa lagi yang ingin dibanggakan dengan sebuah negara bernama Malaysia ketika negara bergelumang dengan krisis ekonomi dan percaturan pemimpin yang terlibat dengan rasuah masih berpanjangan.

Kita mahu melihat negara dipimpin oleh pembawa obor kegemilangan Islam. Biarpun ada teman saya yang menolak demokrasi, biarkanlah mereka. Mereka masih mentah di dalam dunia politik. Mereka tidak faham mengapa kita perlu mentadbir dengan acuan sebenar kerajaan.

Pilihanraya oh pilihanraya adalah satu daripada sistem yang akan tetap berlangsung. Namun, lebih daripada itu perkara yang lebih utama adalah kita mencorakkan lima tahun mendatang dengan pemikiran dan pembaharuan rakyat. 

Saya tidak fikir Malaysia akan huru hara jika diperintah oleh sesiapapun hatta pembangkang. Kita ada undang-undang. Tetapi yang paking utama adalah kita diberi peluang untuk memilih dan buatlah keputusan dengan bijak.

Mentadbir tidak sama dengan memimpin. Untuk apa kita mentadbir jika amanah yang dipersiakan. 

Pilihanraya adalah medan kita bergusti...


Selamat Membaca...