Kenali Diri

My photo
Johor Bahru, Johor, Malaysia
SYAFIQ ZULAKIFLI adalah graduan Universiti Al-Azhar, Kaherah,Mesir. Berasal dari negeri Johor Darul Takzim. B.A (Hons)Syariah, Al-Azhar (2009) Editor PTS Publication & Distributor Sdn Bhd(2010) Eksekutif Penyelidikan Editorial TVAlhijrah(2012)Penerbit Rancangan IKIMfm (Mulai 1 Mac 2012) Sebarang pertanyaan emelkan ke syafiqzulakifli @ gmail.com atau hubungi +6017 7346 946

Wednesday, September 30, 2009

Perhubungan

SAYA tidak lagi menggunakan nombor MAXIS yang lama iaitu 012-735 1860 tetapi menggunakan nombor yang baharu.

Terima kasih.

Persidangan Antarabangsa Bahasa Melayu Bahasa Dunia

Majlis Makan Malam di Kediaman Menteri Besar Johor

Malam pertama persidangan

Penulis di luar dewan persidangan


BERITA ini tidak wujud dalam mana-mana artikel ataupun akhbar tempatan. Ini adalah berita daripada saya sebagai seorang wartawan bebas.

UMNO dikritik pejuang bahasa

JOHOR BAHRU, 30 Sept - Pejuang bahasa dan Mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Hassan Ahmad mengkritik UMNO dan pemerintah kerana tidak menjaga martabat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

"Sepatutnya persidangan ini dihadiri oleh pemimpin-pemimpin UMNO. Panggil Hishamuddin, panggil UMNO, dan Wanita UMNO. Puteri UMNO pula hanya jadi jurusolek agaknya dalam UMNO."

Beliau berkata demikian di Dewan Utama 301, Pusat Konvensyen Antarabangsa PERSADA Johor, Johor Bahru sempena dengan Persidangan Antarabangsa Bahasa Melayu Bahasa Dunia yang diadakan di sini.

Seorang lagi tokoh bahasa, Prof. Emeritus Dato' Dr. Nik Safiah Karim pula menyatakan bahawa kerajaan hanya melepaskan batuk di tangga terhadap isu PPSMI yang telah diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini.

"Langkah membuat pengumuman ini pada hemat saya masih bersifat melepaskan batuk di tangga kerana dasar PPSMI masih diteruskan di peringkat universiti dan prauniversiti."

Beliau menyampaikan ucap utama kedua yang berjudul "Bahasa Melayu Bahasa Dunia" dalam persidangan tersebut yang dihadiri kira-kira 300 orang peserta.

Seorang lagi Senator Dewan Negara, YB Dato' Dr Firdaus Abdullah menyindir kerajaan dan UMNO dalam tulisannya yang berjudul "Dewan Bahasa dan Pustaka Sebagai Ejen Diplomasi Budaya" dengan katanya;

"Ada kawan-kawan yang mencadangkan supaya saya menulis karangan yang lebih panjang atau satu buku dengan tajuk "Seribu Hari di DBP" untuk merakamkan segala suka duka pengalaman dan pengamatan selama tiga tahun menjadi Ketua Pengarah DBP itu. Seiring dengan itu saya diingatkan supaya jangan sampai kena "saman" oleh pihak-pihak yang mungkin merasa tersinggung kerana kritikan-kritikan pedas atau kerana pendedahan pekung pihak-pihak tertentu."

TAMAT

Tambahan :

1. Sepanjang saya menghadiri persidangan ini, tokoh-tokoh bahasa lebih berani mengkritik kerajaan dan UMNO walaupun program ini anjuran Kerajaan Negeri Johor Darul UMNO.

2. Ketua Pengarah DBP telah berusaha keras memastikan bahasa Melayu dijaga dengan sebaiknya tetapi ditindas oleh menteri.

3. Sebahagian besar peserta yang saya temui tidak bersetuju dengan UMNO malah menolak UMNO pada hari ini. Kata mereka, "dulu saya orang UMNO, tapi sekarang tidak!"

4. Datuk Hassan Ahmad berkata, "kita lihat apa yang akan berlaku di Bagan Pinang."

5. Tokoh bahasa dan pejuang bahasa berani mempertahankan dasar PPSMI sehingga kerajaan tidak lena tidur.

6. Jika Faizal Sabhon masih menyokong UMNO sedang orang UMNO di Malaysia tidak mahu duduk dalam UMNO, saya fikir benarlah kata Dr Hasan Ali, bahawa beliau adalah 'spesies terakhir'.


Tuesday, September 29, 2009

Seminar

Saya sedang menghadiri 'Persidangan Antarabangsa Bahasa Melayu Bahasa Dunia' yang diadakan di Persada Johor, Johor Bahru. Program yang bersifat antarabangsa ini dihadiri oleh sebahagian besar tokoh-tokoh bahasa di dalam dan di luar negeri.

Turut bersama dalam program ini adalah Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Pensyarah di dalam dan di luar negara, pemakalah dan yang paling setia adalah Pengarah Yayasan Warisan Johor, Tuan Haji Jama Johan.

Insya-Allah, laporan dan ceritera di dalam persidangan akan saya laporkan selepas persidangan berakhir.

Tambahan :
Program terlalu padat dan kemudahan internet tiada.

Sunday, September 27, 2009

CERPEN SATIRA TERBAIK!


Dalam diam-diam saya ada seorang 'mentee'. Karya satira yang paling terbaik! Tahniah diucapkan kepada saudara. Dalam karya sastera yang berbentuk satira, semua pihak bebas mengarang walaupun ada 'lubang hidung' yang terkena. Dalam peruntukkan Akta Hak Cipta 1987; Seksyen 14(1) dan 15 menyatakan bahawa karya adalah sebuah hak eksklusif!






CERPEN

BADAI ISMAN
Karya : Saudara Muhammad Alhidayat Khalid
Blog : http://salhidayat2u.blogspot.com

"Woi budak ISMAN!!"

"Kau orang nampak tak ni??"

"Nak kena seorang satu??"

"Tak reti bahasa ke apa yang Ustaz Khidir cakap??"

Bentak si Najib kepada dua orang mahasiswa sambil penunjukkan penumbuknya.Cuak budak-budak ISMAN dibuatnya.Sejak akhir-akhir Najib berasa jengkel dan meluat apabila mendengar nama ISMAN.Bagi dia yang terkenal tenang orangnya tiba-tiba boleh meningkat secara mendadak meter api kemarahannya apabila mendengar nama ISMAN.

"Sabar Us Najib…sabar…" "Sabar tu kan separuh daripada iman…"

Pujuk Ustaz Khidir cuba menenangkan keadaan Najib yang diselaputi api kemarahan.Siapa yang tidak kenal Najib,mahasiswa tahun 3 yang apabila api kemarahan dan panas barannya datang akan tidak mampulah dikawal lagi.

"Kalau aku nampak lagi kau orang dekat sini siap aku kerjakan!!"

Marah betul Najib petang itu.Mana tidaknya,sudahla ikut jalan belakang,datang pula dengan muka tidak tahu malu hendak 'survey-survey' dewan.Bisikan hati Najib menghasut.

Bukan budak-budak ISMAN itu tidak tahu yang pada hari itu Persatuan Anak Negeri Johor Mesir sedang membuat persiapan di dewan untuk acara Hari Terbuka Aidilfitri anak-anak Johor di Mesir.Boleh pula terkeseng-keseng datang menyelinap masuk.Yang makin menaikkan kemarahan Najib bila budak-budak ISMAN ni datang secara sembunyi-sembunyi,tidak dimaklumkan kepada YDP atau ajkt yang berada disitu.

Sudahlah program Iftar Ramadhan yang dinjurkan oleh Persekutuan Mahasiswa Islam Mesir haritu cuba digagalkan oleh mereka.Persatuan anak negeri yang lain pun goyah dengan kerenah mereka,kali ini Persatuan Anak Negeri Johor pula ingin dibadai.Bentak hati Najib.


*******************************


"Assalamualaikum Ustaz Khidir"

Sapa si Mujahid Al-Ansar kepada Yang DiPertua PKAJM.

"Walaikumussalam….Ada apa-apa yang boleh ana bantu ke akhi??"

Ana-anta adalah kata ganti nama bagi 'saya-awak'.Bahasa Arab.Ianya selalu dikgunakan oleh bangsa Arab sendiri.Mahasiswa-mahasiswa Timur Tengah juga tidak mahu ketinggalan mempraktikan kalimah Arab ini.

"Ini ada kad jemputan untuk menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri ISMAN"

Senyum si Mujahid Al-Ansar sambil menghulurkan kad jemputan Hari Raya

Kepada Ustaz Khidir.

"Eh? Buat di Dewan Rumah Johor Rabi'atul Adawiyah?"

"Ye Ustaz..jemput lah dating ustaz..dari pukul 10 pagi hingga 3 petang"

"Tak..tak,maksud ana,ana tidak tahu pun tentang penggunaan dewan di Rumah Johor ni?

Terkejut Ustaz Khidir apabila melihat kad jemputan yang tertera ;-"Dewan Rumah Johor Rabi'atul Adawiyah –Bertarikh 5 Syawal 1430".Sedangkan pada tarikh itu Persatuan Anak Negeri Johor akan mengadakan Majlis Hari Raya di rumah Johor lama di Arbedeen.

"Tapi Ustaz,kami dah dapat keizinan menggunakan dewan itu dari Warden Rumah Negeri Johor.."

Jelas Mujahid Al-Ansar menerangkan duduk sebenar kekeliruan keadan itu.

"Tapi anta tahu tak prosedur-prosedur antara persatuan??"

Ustaz Khidir meminta penjelasan.

"Err…tapi ustaz…saya hanya menjalankan tugas untuk mengedarkan kad jemputan ini sahaja..malah kami sudah mendapat keizinan ini dari warden Johor semenjak dua minggu yang lalu..yang lain-lain sudah pun diuruskan oleh pelaksana yang diamanahkan.."

"Dua minggu?? Amanah???"


********************************


Malam itu Ustaz Khidir betul-betul tidak boleh melelapkan mata.Jiwa kepimpinannya berkeceramuk.Tercabar dia dengan tindakan puak-puak ISMAN.Keharmonian persatuan mahasiswa Johor yang telah lama bermukim di muka bumi mesir ini cuba digoyahkan.Bacaan politiknya selama ini yang ISMAN tidak akan dapat menembusi fikrah mahasiswa Johor ternyata meleset.Kali ini Persatuan Anak Johor Mesir cuba diuji.

Jelas-jelas warden tidak meminta pandangan atau memaklumkan sebarang perkara kepadanya.Padahal sudah beberapa pertemuan dalam dua minggu ini diadakan untuk membincangkan tentang majlis sambutan Aidilfitri.Tetapi tidak sekali pun pegawai Johor itu memaklumkan kepadanya.

"Ana tidak tahulah apalah situasi yang sedang anta rasakan sekarang ini.."

Terngiang-ngiang kata-kata Ustaz Syed Ahmad ,Yang DiPertua Persatuan Mahasiswa Islam Selangor Mesir.Dia lebih berpengalaman menghadapi kerenah ISMAN terhadap mahasiswa Selangor yang cuba ditarik kedalam ISMAN.Mahasiswa-mahasiswa Selangor yang baru adalah sasaran utama mereka sekarang ini.

"Jikalau pun mahasiswa Johor tidak tergoyah fikrah mereka terhadap ISMAN pun tetapi inilah peluang mereka sekurang-kurangnya memperkenalkan Ideologi mereka.."

Tambah Ustaz Sulaiman ,mantan Pengerusi Majlis Perwakilan Mahasiswa Dumietta makin merunsingkan fikiran Ustaz Khidir.

"Ya Allah…teguhkanlah kesatuan ini ya Rabb…jika kami telah melakukan kemaksiatan maka gantikanlah kami dengan mereka-mereka yang lebih baik dari kami."

Rintih Ustaz Khidir didalam doa selepas melakukan solat hajatnya.Dia meneruskan solat Taubat setelah dimulai dengan Tahajud dan diakhiri dengan tiga rakaat Witir.Dia melakukan qiamullail ringkas di sepertiga malam itu.Memohon petunjuk dan keampunan dari Sang Penguasa.

Sambil berwirid menunggu azan subuh,telefon bimbitnya berbunyi menunjukkan ada mesej baru yang masuk.

"Salam Us Khidir,sesungguhnya Allah bersama-sama orang-orang yang benar"

Ringkas pesanan ringkas yang diterimanya dari Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Mesir.Dia telah meminta pandangan dari semua sahabat perjuangan ketika didalam mesyuarat 'ruassak' tergempar siang tadi.Bertalu-talu sokongan dan dokongan yang diterimanya tadi.Membincangkan tindakan-tindakan ISMAN yang melampau-lampau terhadap Persatuan Mahasiswa Islam Mesir dan Persatuan Anak Negeri yang bernaung dibawahnya.


************************************



"Mereka ini tidak tahu malu ke??? Guna jalan belakang?!"

Bentak Najib lagi melayan baranya.

"Sabar..mereka hendak buat kebaikkan sebenarnya..tapi mereka tidak tahu cara.."

Ustaz Khidir cuba mententeramkan Najib.

"Arhhh….! Matlamat tidak pernah menghalalkan cara Ustaz Khidir..!"

Bentak Najib lagi….

"Sabar Najib…Sabar…"

"Nama sahaja Islamik! Tapi perangai tidak islamik langsung!" "Ikatan Saudara Mukminin Nasional konon!"

Najib terus membentak sambil memulas-mulas penumbuknya.Dia seakan tidak dapat menahan sabarnya lagi.

"Mentang-mentanglah dia berdaftar dibawah Jabatan Penuntut Mahasiswa Malaysia dia ingat dia boleh buat sesuka hati??"

Geram si Najib.

"Persatuan kita ada pendirian,mereka telah pun mendapat keizinan dari pegawai PANJM.." "Ana telah menjelaskan pendirian kita ketika perjumpaan dengan warden tadi,pendirian kita jelas,kita tidak ada apa-apa hubungan dengan persatuan mereka,pada masa yang sama kita ada Majlis Hari Raya di Rumah Johor Lama Arbedeen dan ana tidak membenarkan semua ahli kita mengikuti program meraka."

Jelas Ustaz Khidir bersama-sama ahli jawatankuasa tadbir PANJM.

"Selepas ini,kita perlu menyusun segala aktiviti dan program kita dengan lebih baik,supaya anak-anak Johor yang bermukim disini tidak mudah terpedaya dengan anasir-anasir yang melabelkan gerakan mereka sebagai gerakan Islam,tetapi mereka tidak mengamalkan ajaran Islam yang sebenar."

"Ingatlah wahai sabahat-sahabat,ingtalah kamu wahai para pemimpin,sesungguhnya kesatuan yang kita bawa ini adalah kesatuan yang bertunjangkan Al-Quran dan As-Sunnah "

"Selagi kesatuan ini bertapak diatas kedudukan syariat yang Allah redhai,maka selagi itulah kita wajib menjaganya.Janganlah kita yang meruntuhkannya.Janganlah kita yang cuba menggoyahkan kesatuan ini."

"Wahai para pemimpin,ingatlah kata-kata Imam Saydina Ali: Sesungguhnya kesatuan Islam yang terbina yang tidak mempunyai perancangan akan dikalahkan oleh kesatuan batil yang mempunyai peracangan yang teliti"

Ustaz Khidir mengingatkan ahlijawatankuasa tadbir yang lain dan mengakhiri perjumpaannya….



Saturday, September 26, 2009

Ego Semakin Tinggi Apabila Jadi Editor

Puan Ainon menulis;

Tuan Syafiq,
Apabila kita menjadi penerbit (editor adalah penerbit), ego kita pun cepat naik, sebab kita mempunyai kuasa menolak karya orang. Justeru banyak penulis akan sangat berusaha mengambil hati kita, dengan harapan kita akan menerbitkan karya mereka....

Walaupun saya bukan Badan Penerangan dan Penerbitan PMRAM, tetapi saya ketahui bagaimana tertekannya pihak editor di dalam PMRAM apabila karya yang dihantar tidak mencapai standart. Pihak penulis memaksa-maksa wakil PMRAM meluluskan juga karya mereka sedangkan karya mereka itu belum mencapai tahap yang memuaskan!


2
Saya berpengalaman menghantar karya kepada penerbit (editor). Oleh kerana saya sudah biasa menerima penolakkan karya saya, barangkali hidup sebagai editor ini banyak cabarannya. Teman-teman yang rapat juga ketahui bagaimana banyaknya karya saya ditolak oleh editor lantas tidak menerbitkannya.

Ada juga karya yang saya kritik Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia masih lagi belum terbit sehingga hari ini! Adakah Encik Utusan Malaysia takut?



Apabila Jadi Editor...

Apabila saya jadi editor;

1. Peluang membaca buku lebih luas.

2. Masa yang diperuntukkan untuk buku lebih banyak.

3. Ruang dan peluang untuk saya jadi penulis lebih cerah sama ada genre fiksyen atau bukan fiksyen.

4. Peluang saya bersama-sama penulis mapan lebih besar.

5. Semangat menjadi penulis lebih segar.

6. Pelbagai seni kepengarangan dapat saya belajar.

Sedang Membaca

SAYA kini sedang mengulati buku Obama : Antara Islam, Israel dan Amerika yang merupakan karya terjemahan daripada Indonesia. Buku ini diterbitkan oleh PTS Millenia yang lebih mengugahkan bahasa Melayunya.

Walaupun sebenarnya buku ini saya boleh dapatkan sahaja di pejabat PTS nanti, tetapi saya gagahkan diri juga untuk membeli dengan wang saya.

2
Apa ada dengan editor?

Sebagai seorang editor, pastinya saya akan membaca patah perkataan demi perkataan buku yang bakal saya semak sebelum diterbitkan. Barangkali teman-teman di PTS Islamika juga akan mengajak sama-sama berbincang sebelum karya PTS Islamika diterbitkan. Saya mendapat maklum bahawa Saudara Hariri Daud (mantan Presiden MPP USIM), salah seorang editor PTS akan keluar daripada PTS kerana menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana dan menerima tawaran sebagai tutor. Tahniah kepada beliau.

Sebelum meninggalkan Mesir, apabila saya berpeluang bercakap dengan Encik Puzi bin Dahaman selaku Kuasa Usaha Sementara KBMK; saya memaklumkan kepada beliau bahawa saya akan terlibat dengan dunia editor.

Jawabnya ringkas, "yang penting kita masih lagi duduk dengan buku."

Ada Apa Dengan ISMA

Apabila kenyataan rasmi dari Yang Dipertua Badan Kebajikan Pelajar Johor di Mesir telah keluar, kita harus terima. Apa yang terjadi dalam pentadbiran BKPJM?

Laporan yang saya terima, ramai anak-anak Johor di Mesir tidak bersetuju dengan program ISMA di bangunan Asrama Pelajar Johor Mesir.

ISMA, lepas ni mana lagi rumah yang mahu diratah?

http://ydpbkpjm.blogspot.com/2009/09/kenyataan-rasmi-ydp-bkpjm-berkaitan.html

Tambahan :
ISMA adalah Ikatan Muslimin Malaysia Cawangan Mesir.

Raya Sakan dan Editor

Baju merah (kenalan Faiz Esa) yang kini menuntut di SMKA Kajang.

Bersama Penghulu Mukim Serkat

Solat Jumaat di Masjid Dato' Nooh Gadot

Di rumah saya

Dua hari sahaja saya menghabiskan 'kemaruk' berhari raya sebanyak 17 buah rumah. Jika diceritakan kepenatan, pastinya memang wujud kepenatan itu. Tetapi, demi meraikan kawan-kawan saya menuruti perjalanan yang amat panjang itu.

Khamis-Jumaat, puas berjalan dan merantau bersama teman-teman. Khamis, bersama teman dari SMA Kerajaan Johor, Kluang. Jumaat- bersama teman dari Universiti Al-Azhar. Malam; saya keluar dan meraikan aidilfitri dengan teman sekolah rendah selepas berpisah hampir 11 tahun yang lalu.

Hari Raya kali ini lebih bermakna kerana Aidilfitri ini disambut dalam keadaan dan suasana saya telah menamatkan pengajian. Ramai juga bertanya, "mahu sambung belajar?" Saya belum lagi membuat keputusan.

Paling menyeronokkan dialog begini, "Kau ambil nombor telefon ini, hubungi dia. Insya-Allah dia akan masukkan kau dimana-mana universiti dengan biasiswa. Insya-Allah, kita akan terus hubungi Menteri Pengajian Tinggi, YB Dato' Seri Khaled Nordin."

Buat masa ini fikir saya adalah kerjaya yang perlu saya hadapi sebagai seorang editor walaupun teman-teman di Malaysia tidak bersetuju saya terjun ke dalam bidang ini.

"Belajar jauh-jauh, jadi editor?"

Anda fikir editor ini satu tugas yang tidak murni? Biarlah kita bekerja dan bertugas sesuai dengan perjalanan kita sebagai seorang graduan. Ada juga yang mengatakan bahawa saya sepatutnya lebih baik 'mengaji' di Malaysia kerana di sini lebih cepat (3 tahun) dan boleh terus bekerjaya.

Apa juga pandangan anda, terima kasih saya ucapkan.

2
Hari Jumaat- saya masuk kampung. Sudah lama saya tidak masuk kampung. Malah, saya tidak dapat merasai suasana hari raya di kampung. Alhamdulillah, saya ke Kampung Serkat, Pontian, Johor.

Mahasiswa Al-Azhar Johor pernah mengadakan program bakti siswa di sana. Oleh itu, kesempatan yang ada ini sempena bulan Syawal, saya dan teman-teman mengambil peluang turun ke kampung untuk bersama dengan masyarakat dan orang kampung di sana.

Banyak perkara yang saya dengar dari orang kampung. Itu dan ini. Semuanya tentang kampung. Amat mengasyikkan.


Friday, September 25, 2009

Buku PERCUMA!!

Ramai teman-teman di Malaysia yang sudah tahu saya akan bertugas di salah satu syarikat penerbit Melayu terbesar di Malaysia.

Ramai juga berbasa-basi. "Buku boleh bagi percuma?"

Mereka fikir saya adalah pengurus besar yang mengedarkan buku secara percuma. Jika begitu boleh saja saya buka kedai buku percuma.

Di Mesir, banyak penerbit yang menghadiahkan buku-buku kecil secara percuma sempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kaherah, Mesir. Buku-buku tersebut semata-mata memperkenalkan kepada pembaca bahawa syarikat buku tersebut sebenarnya wujud di pasaran.

Oleh itu, ramai yang berpusu-pusu mencari buku syarikat tersebut.

Tambahan :
Terima kasih kerana membeli buku PTS. Dasar PTS adalah semata-mata memandaikan bangsa dan orang-orang Melayu kita yang dilihat malas-malas membaca. :)

A Samad Said

Tuesday, September 22, 2009

Hari Raya Aidilfitri

Hari Raya Kedua

Presiden PMRAM 2009 amat 'pelik' saya memakai baju yang berspan ini.
Tahun ini saya pakai lagi Tuan!

Pemandangan daripada Jurong West Street 64

Bersama Ammu Amni


HARI RAYA PERTAMA dan HARI RAYA KEDUA saya berada di Singapura. Biasanya apabila hari raya menjelang; saya akan pulang ke halaman kampung sebelah bonda. (Kampung ke eh?)

Seperti tahun-tahun sudah, hari raya pertama adalah hari 'perkumpulan' saudara mara di Singapura.

Barangkali tahun ini lebih meriah dengan kehadiran saya. (Baca : Perasan la tu) Kalau ditanyakan pada saya; apa beza raya di Singapura dan Malaysia. Jawab saya, banyak bezanya. Jika teman mahu merayakannya...Jom ke Singapura. :)


Monday, September 21, 2009

Letupan KESAL!!!

HARI INI saya hendak berbicara soal KESAL. Entah dari planet mana timbul manusia ini saya pun tidak mengerti. Oleh kerana pelbagai perkara timbul sehingga orang Mesir minta jawapan, saya akan buat penjelasan.Tahukah anda bermula dengan nama BORING, dia telah berubah kepada KESAL. Pelik bukan?

Apabila orang menulis di dalam shout-box bukan bermakna kita tidak harus menjawabnya. Oleh kerana KESAL mencabar saya untuk memperkenalkan Encik KESAL, saya akan mengulas satu-persatu.

Mari kita ikuti perbualan SENGAL daripada Encik KESAL.

kesal: usah bercakap soal akhlak kalau diri sendiri pun tidak punya akhlak seorang azhari. Baru saya tahu awak rupanya insan yg tidak berakhlak yang dimaksudkan Syeikh Nuruddin dlm kuliah di Kedah baru2 ini

Ini message pertama. Anda fikir Encik KESAL mahukan apa? Jika anda masuk rumah orang tiba-tiba soalan ini timbul, apakah yang anda fikir?

kesal: mmg dasar tak boleh menerima nasihat. sudahlah melukakan hati seorang Syeikh yang kita sanjungi ilmunya, inikan pula tidak rasa bersalah langsung. Terang2 Syeikh sebut bekas SU PMRAM yang tak beradab

Bila masa Syeikh sebut tu...di mana? Di dalam program kah?

kesal: sebab kuliah Syeikh tu dipancar live ke seluruh dunia, entah berapa ribu orang dah tngok kuliah tu

Apabila message ini timbul, saya fikir syeikh sebut di dalam kelas pengajian di Mesir. Tapi tiada pun saya dengarinya.

kesal: buat hairul, kesalahan us syafiq tu dia lakukan di airport waktu syeikh nak balik ke Malaysia. siapalah saya ni nak tegur beliau secara peribadi, sedangkan tegur secara terbuka ni pun tak diendahkan

Tiba-tiba Encik KESAL katakan kesalahan dilakukan di airport. Pelik tak?

Perbahasan saya :-

1. Encik Kesal sebenarnya adalah seorang peminat setia saya. Membaca blog saya setiap hari. Terima kasih banyak-banyak.

2. Jika Encik Kesal katakan kesalahan saya timbul di airport, tentunya Encik Kesal berada di bumi Malaysia kerana Encik Kesal nampak saya berada di dalam cabin krew dan perjalanan ke dalam kapal terbang. Ya. Saya ada terserempak dengan Syeikh di dalam perjalanan menuju ke kapal terbang. Maksudnya saya bertemu Syeikh di kawasan dalam lapangan terbang. Tetapi masalah saya adalah, Encik Kesal sekarang bukan di Malaysia tetapi Encik Kesal di Mesir. Bagaimana Encik Kesal nampak kesalahan itu?

Adakah Encik Kesal mencari kesalahan orang atau apa sebenarnya yang Encik Kesal mahukan dalam hidup?

3. Kalaulah benar Encik Kesal sememangnya hidup di dalam mencari kesalahan orang, bukankah lebih baik Encik Kesal tidak hidup di dunia ini?

4. Fikir saya, ada juga mahasiswa Universiti Al-Azhar yang hidupnya saling dengki-mendengki. Jika benar wujud, saya mahu khabarkan pada seluruh dunia bahawa jika ini akhlak mahasiswa kita di bumi Mesir, kita harus fikirkan sesuatu untuk mengubahnya.

5. Encik Kesal yang saya amat pelik dengan sikap anda, berubahlah selagi belum terlewat. Jika anda masih tidak lena tidur, boleh saja sms saya dan e-mel kepada saya. Saya akan menjawab setiap persoalan anda itu.

Tambahan :
Saya akan bertanya sendiri dengan Saudara Faiz jika benar apa yang dinyatakan oleh Encik Kesal.

PTS Islamika

PTS Publications Sdn. Bhd. menerbitkan buku-buku berilmu bertujuan memandaikan bangsa. Oleh itu salah satu daripada anak-anak syarikat PTS adalah PTS Islamika.

PTS Islamika yang diketuai oleh pengurusnya En Faris Hasbullah membangunkan judul-judul berkualiti sesuai dengan minat pembaca umum khusus di Malaysia. PTS Islamika adalah satu daripada anak-anak syarikat yang berada di bawah PTS Publications Sdn. Bhd.

Kami di PTS mengalu-alukan tuan-tuan dan puan-puan menjadi pengarang untuk buku-buku agama yang lebih evergreen dan santai sifatnya.

Tambahan :

Saya akan bertugas di PTS Fortuna yang menguruskan penerbitan sastera jantan dan produk-produk novel sastera yang lebih serius sifatnya.

Saturday, September 19, 2009

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI


Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir Batin terutama kepada Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM), semua kepimpinan Badan Pengurus PMRAM, HEWI PMRAM, Penasihat PMRAM dan ahli-ahli PMRAM.

Jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada kalian sepanjang saya berada di bumi Mesir dan bersama-sama kalian sebelum ini.

Maafkan kesilapan dan kesalahan sepanjang kita bersama. Moga Syawal ini akan menjadikan kita lebih bekerja kuat demi melaksanakan tanggungjawab kita hendaknya.

Salam Aidilfitri, Maaf Zahir Batin.

1 Syawal - Saya berhari raya di kampung halaman di Singapura. Kampung kah?

Friday, September 18, 2009

Penghargaan


Saya petik daripada blog Puan Ainon Mohd, Sifu-PTS. Saya terharu apabila bakat saya dinilai dengan sebaiknya. Insya-Allah bertugas demi memaidaikan bangsa dan agama.

Blog Sifu PTS http://universitipts.com


INFO DIRI : Malaysia Begini?

HAMPIR seminggu saya berada di tanah air. Entah percaya atau tidak, inilah dunia realiti kata seorang rakan. Sehingga catatan ini ditulis, rindu untuk ke Mesir masih belum berputik. Barangkali, saya juga lebih selesa melihat pelbagai aktiviti yang sedang bergentayangan di Malaysia.

2
Hari Ahad lepas, kurang dua puluh empat jam saya turun dari KLIA, saya telah merantau ke Jalan Tuanku Abdul Rahman dan SOGO. Ya Allah! Semacam lipas kudung. Pertama, saya amat kurang senang dengan cuaca panas di Malaysia yang menyebabkan saya tidak dapat bernafas dengan sempurna. Bagi saya, ini perbezaaan ketara di antara dua buah negara. Di Mesir pun, kalau musim panas, tidak seteruk Malaysia yang lebih sesak nafas untuk menghirup udaranya. Entah! Apa bala pun saya tidak tahu.

3
Seminggu ini saya berada di Johor Bahru negeri peribadi saya. Negeri yang telah melahirkan saya. Saya hanya berkesempatan dua atau tiga minggu sahaja di Johor kerana awal Oktober saya akan bergerak ke Kuala Lumpur dan menetap di sana kerana bertugas. Ya! Bertugas sebagai editor. Walaupun surat tawaran belum berada di hadapan mata, tetapi daripada sesi temuduga yang berlangsung, En Fauzul Naim Ishak dan En Ikram Wazir yang berada di dalam sesi 'temubual' telah memberikan green-light kepada saya.

Saya akan ditempatkan di bahagian PTS Fortuna iaitu salah satu anak syarikat di PTS Publication Sdn. Bhd. Sebenarnya, semenjak tahun 2006 lagi saya sudah mula mengkaji PTS. Bermula dengan teori Mazhab Surah Yusof yang diamalkan oleh PTS sehingga saya dapat bertemu sendiri dengan Pengerusi Kumpulan Syarikat PTS, Puan Ainon Mohd pada tahun 2007.

Sebenarnya, Puan Ainon Mohd selaku Chairman PTS adalah orang yang membawa masuk saya ke dalam industri ini. Setiap tahun, saya melihat dari jauh bagaimana PTS berkembang pesat. Apabila Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang diadakan setiap tahun, saya juga sebagai pemerhati sahaja. Tetapi, apabila saya sendiri sudah berada di dalam dunia penerbitan, barangkali saya sendiri sudah dapat merasai kegembiraan bersama penulis-penulis terkenal di seluruh Malaysia. Insya-Allah, selepas ini ramai penulis yang saya akan berkenalan dengan mereka. Moga diizinkan Tuhan.

3
Pada awal kehidupan saya di Kuala Lumpur, saya tidak dapat menerima hakikat warga dan anak muda-mudi di sini. Ikutkan hati mahu sahaja sound direct kerana akhlak mereka tidak ubah seperti macam binatang tidak malu ke sana sini berkepit-kepit dan pegang-pigung tanpa segan silu. Fikir saya, oh...begini ya Malaysia. Beginilah 1Malaysia. Beginilah 1Najib. Beginilah 1UMNO.

4
Masjid Johor Bahru dikuasai oleh teman-teman saya yang menuntut di Al-Azhar, Mesir. Imam tarawih yang mengisi malam-malam Ramadan diisi oleh teman saya. Inilah dunia realiti. Mahasiswa Al-Azhar akan berada di khalayak dan terjun ke dalam industri agama. Ya siapa lagi. Walaupun saya minor bahasa dan sastera (konon-konon), tetapi major saya adalah Syariah dan Pengajian Islam. Tentu soalan-soalan daripada teman-teman dan kaum keluarga menjadikan kita semestinya mengisi keperluan untuk sama-sama mendalami ilmu dengan sebaiknya. Yang berada di Mesir, usah lalai dalam menghadapi ujian belajar. Ya! Mesti kuatkan azam dan jangan malas!

5
Oleh sebab saya akan ditempatkan di PTS Fortuna yang akan mengulati karya sastera jantan, banyak harapan daripada Pengurus Besar bagi saya memperbaharui dan memperkembangkan PTS Fortuna. Beliau inginkan karya-karya masyarakat yang lebih evergreen. Saya mengesyorkan kepada semua pembaca untuk menjadi pengarang yang prolifik kerana dengan mengarang kita juga banyak belajar sebenarnya.

6
Sebagai seorang graduan, saya fikir ilmu dan kemahiran membaca tidak harus ditinggalkan. Dunia membaca tidak boleh berakhir! Ya. Membaca jambatan ilmu. Pasti!


Wednesday, September 16, 2009

PUISI DI MINGGUAN MALAYSIA

Hari Ahad yang lepas, karya saya terbit di Mingguan Malaysia. Alhamdulillah rezeki pulang ke Malaysia. Ini adalah karya terakhir yang saya karang di bumi Mesir.

PERJALANAN HAMBA

Ratusan malaikat beratur
membahagikan jasad dan roh
satu demi satu berulang-alik
membeli sebuah sejadah cinta
yang terjual di langit dunia.

Betapa mendung awan berfirman
'bacalah dengan nama Tuhanmu'
yang Maha Menjadikan
umat bermadah di loh mahfuz
mencari sebuah keakraban batini
dalam diri hingga
meresap ke sanubari.

Sedang usia tertewaskan
dengan dekah meleret tiung kejahilan
anak-anak menjadi kakaktua
di hutan rimba
mercup terdampar berbicara dengan haiwan liar
sesekali melintas
di antara sungai dan denai
juga antara lopak-lopak kefakiran
dalam kalbu kedurjanaan.

Seloka tayangan beraksi
berhari-hari lamanya
mewarnai pentas tradisi
sakaratulmaut dan pengakhiran insan
mentafsirkan sebuah perjalanan hamba
antara syurga dan neraka.

SYAFIQ ZULAKIFLI
Kaherah, Mesir.

(c) Mingguan Malaysia, 13 September 2009

Yang Jauh Lagi Dikenang...





Yang pergi tetap pergi. Yang tinggal akan jadi pengganti. Terima kasih kepada PMRAM yang mendidik dan semua Badan Pengurus PMRAM yang sentiasa berada di sisi sehingga saya menjejakkan kaki pulang ke Malaysia.

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin buat semua teman-teman, sahabat handai dan mereka yang mengenali diri.

Moga kita akan bersua lagi pada masa mendatang.

Monday, September 14, 2009

Memahami Dunia Penerbitan


DALAM pertemuan penting dengan Pengurus Besar (Editorial) sebuah syarikat semalam, saya telah mengumpul banyak maklumat yang baru. Input dan panduan yang diberikan oleh Tuan Pengurus Besar menarik minat saya untuk didengari malah memberi satu peluang dan ruang untuk saya mengenali lebih rapat sektor penerbitan buku pada hari ini.

2
Saya mengucapkan terima kasih kepada mana-mana pihak yang mempercayai bakat saya. Ya. Saya mempunyai satu jiwa bahawa semua orang mampu menggapai cita-cita dan usaha. Usaha bukan datang daripada luar tetapi lahir daripada jiwa dan peribadi sendiri.

Semua orang mempunyai cita-cita, visi dan matlamat yang ingin dicapai dalam hidup. Oleh itu, sebagai seorang pemikir yang mempunyai cita-cita, visi dan matlamat, perkara itu yang sedang disusun bagi mengisi kekosongan orang luar mendapatkan kepercayaan daripada saya.

3
Matlamat dan cita-cita bukan diperoleh dalam tempoh masa sehari. Malah, cita-cita juga bukan boleh dipaksa-paksa. Apabila ditanya oleh Tuan Pengurus Besar, sektor mana yang menjadi pilihan sama ada fiksyen atau non-fiksyen, saya lebih percaya dengan bakat yang ada pada diri. Saya lebih berminat terjun ke dalam dunia fiksyen yang mencabar. Dunia fiksyen yang sedang berkembang maju di samping ada perkara baharu yang harus diterokai.

4
Apabila saya ditempatkan di bahagian PTS Fortuna, salah satu anak syarikat yang bernaung di bawah PTS Publications Sdn. Bhd. pelbagai perkara yang saya fikirkan. Saya juga sedang menyusun cita-cita dan matlamat agar PTS Fortuna mempunyai suatu ruang untuk berkembang dengan genre baharu yang bukan sahaja bergerak di dalam dunia fiksyen sains, thriller dan sebagainya tetapi ada lagi ruang yang lebih penting daripada itu.

Saya sedang belajar dan belajar.

CERPEN DI AKHBAR


Karya cerpen ini saya menulis setahun yang lalu. Alhamdulillah, terbit juga di Berita Harian pada 12 September 2009 yang lalu bersempena tarikh saya pulang.

Tajuk yang amat sinonim, 'Ramadan Terakhir di Kaherah'.

Terima kasih kepada editor. Insya-Allah, selepas ini banyak lagi karya kreatif yang saya akan hasilkan.


Sunday, September 13, 2009

Pertemuan Penting

ESOK, Isnin bersamaan 14 September 2009 adalah pertemuan penting saya di Wangsa Melawati, Kuala Lumpur. Insya-Allah, banyak ilmu yang saya akan kongsikan selepas pertemuan itu nanti.

Tengahari tadi, berbual dengan Tuan Abdul Latip Talib seorang pengarang prolifik yang menulis karya novel sejarah Islam seperti Tariq, Salehudin, Bilal dan lain-lain melalui YM. Saya tidak dapat menunaikan permintaannya untuk berbuka puasa di Kuala Lumpur pada hari esok kerana saya akan pulang ke Johor.

Seorang penyair muda Saudara Amran juga saya tidak dapat menunaikan permintaan bertemu. Insya-Allah, pertemuan penting dengan beberapa pengarang, penyair dan seorang wartawan bebas saya akan laksanakan selepas 1 Oktober nanti.

Kuala Lumpur

Saturday, September 12, 2009

Pertama Dari Bumi Malaysia

KLIA


Kaherah

Setiausaha Agung PMRAM, kali terakhir buka bersama

SAYA sekarang berada di Hote Tunes yang terletak di LCCT, KLIA. Malam tadi turun daripada pesawat MS968, Egypt Air jam 10.00 malam dan dapat keluar selepas menunggu bagasi 1 jam selepas itu. Penat dan letih tetapi saya gagahkan diri untuk mencatat sesuatu di dalam blog ini.

Terima kasih kepada Badan Pengurus PMRAM yang menghantar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah semalam. Sedih sebenarnya jiwa ini tetapi hanya Tuhan sahaja yang tahu. Saya mula terasa sebak selepas lapan jam penerbangan. Tadi, semasa perjalanan KLIA ke hotel, jiwa saya berkata, 'aku mahu pulang semula!'

2
Semasa saya di Mumbai, pesanan ringkas pertama saya terima daripada teman di Malaysia dan memaklumkan bahawa Cerpen 'Ramadan Terakhir Di Kaherah' terbit di akhbar pada hari ini. Ya. Saya telah tiba di Malaysia dan melihat sendiri wajah saya yang comel itu terpampang di akhbar pada hari Sabtu, 12 September 2009.

Esok, saya akan check-out hotel pada jam 10.00 pagi dan akan berpindah ke hotel lain di bandar Kuala Lumpur. Isnin pula saya berada di Gombak dan Wangsa Melawati.

Insya-Allah, perhubungan saya akan kembali sediakala pada hari Selasa selepas saya pulang ke negeri Johor. (Baca : mahu lihat kereta depan mata)

Tambahan :
Gambar yang lain akan dimuatkan selepas pulang ke Johor. Insya-Allah.

Friday, September 11, 2009

Catatan Terakhir Dari Bumi Kaherah

ENTAH betul atau tidak ini catatan terakhir dari bumi Kaherah, saya simpan ke tepi.

Segala-galanya telah ditetapkan. Tuhan Yang Maha Menyaksikan setiap sesuatu ketetapan ini memberikan peluang untuk kita sebagai hamba-Nya bersyukur di atas setiap pemberian-Nya. Begitu juga dengan saya; seorang mahasiswa yang diberikan peluang menyaksikan langit Kaherah dan bumi tandus Mesir ini bersyukur kerana diberi peluang dan kesempatan yang berganda.

2

Catatan ini barangkali tidak dapat membayangkan betapa rindu itu mula berputik terhadap Kaherah kerana saya masih di sini. Masih mampu menghidu bau 'tokmiah dan ful', masih mampu menghirup nafas 'tandas awam' di lantai dan dinding jalanan dan masih mampu menyedut segelas air tamar hind dan air asob di kedai berhampiran.

Pengalaman amat benar mematangkan. Tetapi sejauhmana pengalaman itu memberikan kesedaran kepada kita bahawa hidup ini adalah sementara dan kita akan pulang kepada-Nya suatu masa nanti.

3

Untuk catatan terakhir ini, saya ingin memohon ampun dan maaf kepada bumi Kaherah kerana tidak dapat menjalankan tanggungjawab dengan sebaiknya. Mohon ampun juga kerana tidak dapat bersama Kaherah lebih lama kerana mempunyai tanggungjawab yang besar di Malaysia kelak. Moga kita dipertemukan satu masa nanti. Insya-Allah.

4

Saya akan mula meninggalkan Kaherah pada jam 03.50 pagi (Sabtu, 12 September 2009) dengan pesawat Egypt Air.

Tuesday, September 08, 2009

Selamat Tinggal PMRAM dan Mesir


BERAT mata memandang, berat lagi bahu memikul. Begitulah ketetapan dan suratan yang telah ditentukan Tuhan. Lebih kurang 100 jam lagi saya akan meninggalkan kota bersejarah ini. Ya. Kaherah. Tempat berhimpun siswa dan siswi bagi meneruskan kesinambungan dan perintis ulama zaman silam bagi membuktikan bahawa pengajian dan kekuatan keilmuan dalam jatidiri seorang hamba adalah roh utama dalam jiwa.

Perjalanan yang melangkaui hampir lima tahun ini merupakan pengalaman berharga. Suka duka dan gelak ketawa saya bersama rakan-rakan dalam PMRAM adalah rencah kehidupan sebagai seorang mahasiswa.

Kritikan dan teguran saya kepada mana-mana pihak sama ada KBMK dan JPMK sebenarnya adalah semata-mata bagi menyedarkan insan yang sedang tertidur. Dalam penulisan-penulisan yang lepas saya banyak mengkritik golongan yang 'tertutup' sifatnya termasuk akhawat kita yang masih terbelenggu dengan gelombang suara-suara lama. Akhirnya mereka membuka minda dan mentafsirkan kalam saya. Terima kasih.

Sejujur mana juga yang anda tafsirkan, sebenarnya anda adalah sebahagian daripada hidup saya. Saya melihat dari jauh perkembangan minda golongan azhari yang semakin hari semakin bercambah keterbukaannya di samping kekuatan spiritual mandiri individu.

Walaupun saya masih belum selesa melihat perkara ini berada maju di tengah-tengah khalayak di samping melihat perpaduan di dalam segenap dunia mahasiswa tetapi sekurang-kurangnya saya sudah mula meninjau perkembangan dan perjalanan roh seorang pelajar Al-Azhar yang ingin mara ke hadapan.

Biar apa juga yang dilemparkan, saya adalah sebahagian daripada mahasiswanya. Yang mengetahui susur galur kesusahan menghadap dunia permukiman di tanah gersang ini.

Saya terlalu berterima kasih kepada Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang telah mengizinkan saya meneruskan pengajian ke sini. Ya. Mengikut catatan diari kehidupan saya, susur galur hidup sudah sampai ke puncaknya.

Seharusnya saya mengucapkan terima kasih kepada PMRAM yang membesarkan dengan warna seorang mahasiswa liberal pada awalnya. Akhirnya saya mampu tunduk mengaku bahawa saya adalah hamba Tuhan seperti kalian yang memerlukan bimbingan dan sokongan.

Terima kasih kepada guru-guru saya yang mengajar erti kedewasaan dan mendidik bahawa kita perlu berfikiran di luar kotak. Semua itu sudah saya alami. Apa yang lebih utama, ada satu medan yang bakal ditempuhi selepas ini dan pastinya ujian lebih besar akan dihadapi.

Yang paling teristimewa adalah saudara saya, Adlan yang banyak memberi. Teman-teman yang lain Ustaz Malik yang banyak berkongsi rahsia peribadi, Ustaz Nik yang mengisi kekosongan saya sepanjang saya berada di rumah Badan Pengurus ini. Juga, Ustaz Mu'izz selaku teladan utama bagi saya berhujah dengannya pada saat ini.

Ustaz Shahrizan yang membonceng saya ke mesyuarat perancang setiap kali. Ustaz Azrul yang mampu menutup mata ketakutan kala melihat dokumentari yang menyeramkan. Ustaz Zuhaili yang paling bermakna dalam diri kerana hilai tawa suatu ketika dulu terpaksa saya simpan buat sekian kali. Juga, Ustaz Azlan Alias yang mengisi ruang berteman dalam saat nafas terakhir ini.

Siapa lagi?

Ustaz Hairul Nizam Mat Husain seorang tokoh yang saya kagumi sehingga hari ini. Banyak memberikan jasa, menyumbangkan rindu dan melafazkan kasih sayang sebagai seorang abang yang tahu bahawa adik-adiknya perlu dibekalkan dengan wacana keintelektualan Islam. Yang terlalu mengharapkan bahawa saya menjadi sebahagian daripada pengisi kemenangan Islam.

Siapalah saya yang tidak mampu melafazkan ucapan terima kasih yang berpanjangan kepada semua pihak yang mengenali ataupun tidak sepanjang berada di bumi Mesir ini. Buat yang terasa hati dengan penulisan saya sebelum-sebelum ini, mohon diampunkan.

Buat adik-adik Matrikulasi Al-Azhar yang barangkali belum meredhai penulisan saya tatkala isu matrikulasi dibahaskan sehingga pelbagai teguran yang saya terima atas dasar mereka melihat bahawa dunia Al-Azhar perlu diwarnai oleh sejuta umat yang dahagakan ilmu.

Semuanya adalah tona kehidupan yang bagi saya adalah sebahagian daripada cabarang sebagai seorang penulis dan pendaie. Barangkali saya juga akan terpenjara selepas ini di Malaysia dengan penulisan saya yang lebih mesra dan memahami jiwa sebagai seorang pembaca.

Ucapan yang berterusan ini juga disandarkan buat semua Hal Ehwal Wanita Islam PMRAM yang telah banyak saya dera. Pekikan saya terhadap wanita Islam hari ini yang mati-mati saya pertahankan semata-mata bagi mengembalikan roh wanita sebagai sebahagian daripada pejuang Islam.

Maafkan juga kerana saya terlalu mengharapkan yang lengkap daripada kalian sedangkan kalian hanya sebatang pensel kecil yang perlu diasah setiap hari.

Siapa lagi yang perlu saya ucapkan, saya tidak dapat mengingati saat ini.

Apa yang lebih utama adalah Saudara Mohd Faizal Sabhon aka ezo yang puas melayan karenah saya sebagai seorang penulis yang hanya mendatangkan konflik dan perselisihan faham. Buat terakhirnya, 'Faizal, aku tak kan masuk UMNO sebagaimana yang kau harapkan!'.

Kaherah.

Monday, September 07, 2009

Surat-Surat Terakhir Dari Kaherah

KEHADAPAN Saudara dan Saudari Pembaca Yang Budiman,
Didoakan semoga saudara dan saudari berada di dalam keadaan sihat hendaknya.
Saya menulis tinta warkah ini empat hari sebelum saya berlepas pulang ke Malaysia. Banyak suka duka dan kenangan manis sepanjang saya berada di bumi Mesir ini terpaksa ditinggalkan. Itu adalah suatu kepastian dan ketetapan yang telah direncanakan.
Saya berdoa agar saudara dan saudari yang masih berada di bumi Mesir meneruskan pengajian dengan tekun dan bekerja keras. Ingatlah bahawa dunia Mesir sebenarnya hanya sementara sahaja. Pejam celik beberapa kali, saudara dan saudari akan merasakan bahawa waktu berlalu terlalu pantas.
Ada satu perkara yang ingin saya sampaikan kepada saudara dan saudari. Barangkali ini suatu amanah atau satu perkara yang perlu difikirkan bersama.
Ke mana saudara/ri akan melabelkan diri saudara/ri sebagai seorang graduan Al-Azhar? Adakah hanya pada Ijazah Sarjana Muda yang dikeluarkan oleh Al-Azhar sahaja? Barangkali tidak bukan?
Saudara/ri akan mengendong sejuta ilmu yang penuh di dada buat bekalan rakyat dan ummah. Barangkali saudara/ri ramai yang telah menyedari hakikat ini tetapi sejauhmana saudara/ri mempraktikkannya?
Kita sudah ketandusan modal insan untuk mengisi kemenangan Islam. Barangkali apabila soalan ini dilemparkan kepada saudara/ri yang ingin mengisi kemenangan Islam, saudara/ri akan lari dan mengatakan, "saya tidak sanggup."
Bukankah saudara/ri sudah tahu bahawa kemenangan Islam itu sudah hampir. Kemenangan pentadbir yang ingin mengibarkan bendera Islam di mercu keadilan Malaysia sudah terbit. Tetapi berapa ramai di antara saudara/ri masih terkinja-kinja membawa lari keris ke mana-mana hingga terhunus anak-anak liberal pada hari ini.
Saudara/ri masing-masing punya pendirian bahawa tidak akan wujud Islam tanpa jemaah. Ya, tetapi mengapa hari ini saudara/ri masih lagi hidup dalam perpecahan jemaah. Hidup dalam pentas pertarungan semata-mata bagi mendapatkan obor Islam.
Bukankah saudara/ri lebih molek bersama-sama menggerakkan jemaah atas nama perpaduan dan persaudaraan?
Inilah wasiat terakhir yang ingin saya bawakan untuk saudara/ri yang mahu melihat kita pancangkan obor dan bendera jihad kita. Yang pasti saudara/ri akan menangis suatu masa nanti kerana melihat Islam sudah menang sedang saudara/ri bukanlah diantara anggota yang mengisi kemenangan itu.
Percayalah, kita adalah saudara.

Sunday, September 06, 2009

Syawal...

Syawal tahun ini lebih bermakna kerana kedua orang tua di sisi....


Kenangan

Dua hari selepas menjejakkan kaki ke bumi Mesir
(Program Majlis Pengetahuan dan Silaturrahim PMRAM di Dewan Andalus, ACC)
SIAPA menyangka setelah hampir lima tahun berada di bumi Mesir, saya akan meninggalkan kota bersejarah kurang dari seminggu. Pengalaman yang dirasakan, kenangan yang mengajar saya tabah dan cekal mengharungi cabaran sebagai seorang mahasiswa Al-Azhar, semuanya bakal menjadi memori dalam kamus peribadi.
Benarlah, yang pergi tetap pergi. Biarpun pergi itu suatu kepastian yang penting pengganti tetap ada di sisi.
Kita merancang, Allah Maha Perancang akan tiap sesuatu ketetapan. Saya mengucapkan rasa syukur kerana dapat menamatkan pengajian di bumi Mesir ini. Walaupun saya pernah rasa kecewa, pernah rasa gundah gulana, semuanya adalah asam garam dalam pendidikan.
Tarbiah yang dididik oleh PMRAM semenjak tahun 1 lagi bakal mewarnai kehidupan saya pada masa akan datang.
Terima kasih kepada semua yang terlalu memberi.

Saturday, September 05, 2009

Kepimpinan PMRAM : Ke Mana Mereka Selepas Belajar?

Kepimpinan PMRAM 2008

GENERASI awal seperti kepimpinan saya tahun 2006, 2007 dan 2008 sudah ada yang bekerjaya. Mereka menempatkan diri mereka di pelbagai sektor. Ada yang di bawah pentadbiran kerajaan dan swasta. Masing-masing membawa hala tuju masing-masing di dalam perancangan memacu pertumbuhan modal insan negara dan hidup di dalam alam masing-masing.
Seringkali, kepimpinan PMRAM akan menjadi makanan malahan bicara sesetengah pihak, "Ke mana mereka akan pergi selepas tamat belajar", "Adakah ruang untuk mereka berkhidmat dengan kerajaan", dan bermacam-macam situasi yang menjadi perbahasan.
Malah, daripada sumber yang diperoleh, apabila kepimpinan PMRAM berada di dalam sektor kerajaan, ada sesetengah pihak menjadikan isu besar. Ini dan itu. Ada yang beranggapan kepimpinan PMRAM 'haram' berada di dalam sektor kerajaan kerana mereka bukan menolak kerajaan, tetapi mempersendakan pihak pemerintah ketika berada di Mesir.
Bagi saya tanggapan negatif itu hanya akan memendekkan akal mereka.
Sejujurnya, teman-teman saya yang sudah pulang mempunyai kerjaya masing-masing. Di bawah ini disenaraikan sebahagian sektor yang diisi oleh teman-teman saya.
1. Mohamad Hud Salleh Huddin - Bank Negara Malaysia (kepimpinan tahun 2006, 2007)
2. Mohd Nazim Md Noor - Pensyarah di Institut Pengajian Tinggi Islam Perlis juga sebagai usahawan di Al-Hira Learning (kepimpinan tahun 2006, 2007)
3. Abdul Fatah Jaafar - Pegawai di pejabat kerajaan negeri Kelantan Darul Naim (kepimpinan tahun 2005, 2006)
4. Nabil Ahmad - Pegawai Hal Ehwal Islam di JAKIM, pengacara rancangan Jemputan Umrah Astro dan perantara Forum Perdana Ehwal Islam RTM (kepimpinan tahun 2004,2005, 2006)
5. Mohd Fadzlah Abd Rashid - Penolong Pegawai di Darul Quran, JAKIM (kepimpinan tahun 2006, 2007)
6. Mohd Hafiz Mansor - Pegawai Hal Ehwal Islam di Jabatan Mufti Johor (kepimpinan tahun 2004,2005,2006)
Bagi saya, ke mana mereka dihantar dan berkhidmat mereka adalah aset penting negara. Tahniah.
Saya, ke mana?

Friday, September 04, 2009

Persidangan Pertama


SAYA berdoa kepada Ilahi semoga Persidangan Antarabangsa Bahasa Melayu Bahasa Dunia ini akan dapat diikuti dengan jayanya.
Banyak perkara yang boleh dibincangkan secara masak bagi memastikan Bahasa Melayu dibawa ke mercu antarabangsa. Saya fikir, mengapa persidangan OIC, persidangan PBB dan apa sahaja persidangan antarabangsa, bahasa Melayu tidak mampu dijadikan bahasa utama.
Oleh kerana bahasa Melayu mudah difahami kerana menggunakan patah kata bahasa Inggeris, saya amat mengesyorkan perkara ini diambil berat dalam persidangan ini.
Tambahan :
Barangkali teman saya dalam persidangan itu nanti adalah kawan-kawan dari Persatuan Penulis Johor (PPJ).

Dewan Bahasa dan Pustaka


SEMENJAK tahun 2006, saya sudah merancang menjawat jawatan sebagai Pegawai Perancang Bahasa (S41) di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Sebagai seorang Pengerusi Persatuan Bahasa Melayu di sekolah suatu ketika dahulu, saya amat berminat mengurus orang Melayu agar mereka mengetahui bahawa bahasa jiwa bangsa. Kerana, dengan bahasa orang faham tugas dan tanggungjawab memperkasa bangsa dan agama.

Setiap tahun, bermula pada tahun 2007, 2008 dan 2009 saya mengkaji jawatan kosong yang wujud di Dewan Bahasa dan Pustaka.

Boleh dikatakan bahawa setiap tahun jawatan itu wujud dan perlu diisi. Tetapi akhir-akhir ini, iklan kekosongan jawatan itu tidak wujud.

Anda terfikirkah apa yang saya fikir?

Pertama, pernah saya terfikir jika saya ditempatkan di Bahagian Majalah DBP, saya akan fikirkan bagaimana Dewan Agama dan Falsafah dikembalikan semula maruahnya.

Kedua, jika saya ditempatkan di Bahagian Bahasa, saya akan memikirkan bagaimana perkataan bahasa Arab yang disadur ke dalam bahasa Melayu ditukarkan mengikut standartnya.

Ketiga, jika saya ditempatkan di Bahagian Penerbitan, saya akan memikirkan bagaimana DAWAMA perlu bekerja keras terjun ke dalam kedai-kedai buku seluruh negara.

DAWAMA adalah salah satu anak syarikat di DBP yang menguruskan bahagian penerbitan dan pemasaran buku.

Keempat, jika saya ditempatkan di Bahagian Sastera, saya akan memikirkan bagaimana semua sekolah perlu diadakan program 'Kembara Sastera Islam'.

Semua itu telah saya fikir. Tetapi, apabila yang saya fikir itu masih samar-samar, saya terpaksa kaburkan pemikiran saya.

Wednesday, September 02, 2009

Wajah-Wajah Ramadan di Mesir

Majlis berbuka puasa di Asrama Pelajar Johor

Presiden PMRAM pun ada?

Orang kanan Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah bersama
Pegawai Kebajikan Pelajar Johor di Mesir.

Menerima jemputan daripada pihak luar

Sedang berfikir...nak makan ke...tidak!!

SELEPAS hampir dua belas (12) hari berpuasa di bumi Mesir, banyak sesi pengambaran yang dirakam. Ada di luar rumah, di dalam kawasan tempat tinggal dan ada di tempat awam serta di dalam majlis keraian.

Berbuka puasa di rumah-rumah tetamu adalah salah satu daripada senario yang berlaku di bumi Mesir. Barangkali menerima undangan lebih banyak daripada memasak di rumah. Oleh sebab itu, bulan Ramadan dikatakan bulan paling menjimatkan.

Pelbagai makanan disajikan oleh tuan rumah semata-mata mendapat keberkatan pada bulan yang mulia ini. Suasana Ramadan kali ini adalah ramadan terakhir untuk saya. Kenangan yang mengajar saya tentang kepentingan Ramadan ini hanya bakal tinggal kenangan.

Di bawah ini, saya lampirkan sebuah cerpen yang sudah setahun saya karangkan dan pernah diterbitkan di dalam blog saya ini. Mana-mana pihak yang ingin menyalin dan memuat turun hendaklah mendapat keizinan daripada saya.

CERPEN
RAMADAN TERAKHIR DI KAHERAH
Oleh Syafiq Zulakifli

SATU


“INI Ramadan terakhir kita!”

Empat ratus orang mahasiswa berkumpul di hadapan Pusat Konvensyen Antarabangsa Al-Azhar Kaherah. Masing-masing menyarung ‘abaya’ hitam yang disulam khas sempena Majlis Konvokesyen Graduan Mahasiswa Universiti Al-Azhar. Siapa yang tidak kenal pada Al-Azhar; universiti yang telah mencetak hampir berjuta-juta mahasiswa di bumi peradaban Islam ini.

Kota sejarah yang terus sarat dengan ulama dan pemikir Islam terulung di dunia. Rata-rata mengakui bahawa Mesir merupakan kubu kuat pemerintahan dan pentadbiran jejak-jejak sirah Islam yang masyhur. Mengikut catatan sejarah silam, Khalifah Aziz Billah telah menubuhkan universiti Islam pertama di dunia iaitu Al-Azhar.

Persiapan dan kelengkapan aturcara konvokesyen mahasiswa graduan Al-Azhar yang akan berlangsung sebentar lagi telah pun tersusun rapi. Tidak mungkin program besar sebegini berjaya tanpa bantuan tenaga daripada ahli Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM); salah sebuah persatuan tertua di bumi Mesir ini. PMRAM yang sudah bertapak di bumi Mesir selama hampir lapan puluh tahun ini tidak pernah culas di dalam menjalankan tanggungjawab sebagai sebuah persatuan yang menjaga kebajikan kepada semua mahasiswa di bumi Mesir.

Graduan dan graduanita sudah berpusu-pusu masuk ke dalam ruang dewan besar program. Walaupun tidak ditemani oleh kedua ibu-bapa, nikmat yang dikecapi bakal mewarnai dunia seorang wira dan wirawati sebagai seorang mahasiswa. Menjulang segulung sijil bernama ijazah sarjana muda sudah menjadi harapan semenjak mereka menjejakkan kaki ke bumi bertuah ini.

“Ini Ramadan terakhir kita di sini. Dunia permusafiran kita akan berakhir tidak lama lagi.” Aku memulakan bicara selepas mendapatkan kerusi di dalam dewan tersebut.

“Alangkah bertuahnya adik-adik kita masih mempunyai peluang menjamah hidangan ilmu yang disediakan oleh ulama-ulama di Masjid Al-Azhar. Mereka masih punya masa berbaki yang banyak sedang kita bakal mengucapkan selamat tinggal kepada dunia Mesir tidak lama lagi.”

Nuaim yang berada di sebelah membalas.

Masing-masing mempunyai pandangan tersendiri tentang Al-Azhar. Aku saling bertukar-tukar pandangan terhadap dunia permukiman di Kota Kaherah yang akan berakhir tidak lama lagi. Barangkali airmata syahdu jikalau ditangiskan hanya menjadi airmata kering yang tidak bernyawa. Usah dikatakan peluang berguru dengan syeikh sudah tamat; malah keperluan untuk mengisi ruang menghafaz al-Quran juga sedikit sebanyak menjejaskan keadaan.

Rata-rata mengakui bahawa peluang di negara sendiri amat tipis untuk mendalami ilmu-ilmu Islam secara lebih dekat. Malah, untuk mendapatkan fatwa secara langsung daripada Darul Ifta’; sebuah pusat fatwa terkemuka di Mesir juga bakal tergantung. Dunia akan terus berubah. Rutin harian juga bakal diwarnai dengan polemik kehidupan yang berbeza di Malaysia. Tanggungjawab yang bakal digalas juga akan lebih mencabar.

Ramadan ini sungguh asing bagi diriku. Tiada yang lebih istimewa daripada meneguk segelas rasa syukur duduk menetap di bumi asing. Siapa yang menyangka hidangan percuma di masjid-masjid sekitar Mesir menjadi hidangan harian untuk semua penduduk dan mahasiswa perantauan di kota bersejarah ini. Malah, sebagai anak perantauan mengisi waktu iftar di masjid-masjid sudah menjadi rutin biasa. Wang saku boleh disimpan untuk keperluan akan datang. Jimat.

Senja terakhir Ramadan, aku mengambil peluang berbuka di masjid berdekatan. Harapnya nanti Ramadan ini bakal disinari dengan cahaya gemerlapan bersama warga Arab Mesir.

“Kamu orang muda berasal daripada mana?”

“Malaysia.”

“Kamu sebaik-baik manusia di muka bumi ini.”

Orang arab Mesir amat bermurah hati dengan segala pujian. Malah setiap tutur bicaranya dan kalam-kalam pujian dengan nama-nama Allah pasti akan meniti di bibir mereka. Sungguh Ramadan ini terasa kelainannya. Nikmat yang dikecapi, pengalaman yang dirasai, bakal menjadi hidangan sunyi pastinya selepas ini.

“Aku berbangga melihat kamu wahai anak. Sungguh cekal hatimu menuntut ilmu di sini.” Lelaki muda berdagu pandak itu mula menegur.

“Aku berhijrah ke sini kerana inginkan ilmu. Di sini imam mazhabku disemadikan.”

“As-Syafie?”

“Ya.”

“Aku mahu mendalami ilmu Tuhan ini dengan sebaik-baiknya. Tetapi, masaku dan kehidupanku sungguh terbatas. Aku akan meninggalkan kota ini tidak lama lagi. Ini Ramadan terakhir aku.”
Lelaki muda itu sedikit terperanjat.

“Kamu sudah lama di sini?”

Aku mengangguk tanda membenarkan percakapannya.

“Hampir empat tahun aku di sini. Aku melayari dunia pendidikan Islam yang paling gemilang. Aku ingin menjadi seorang ulama. Aku memahami bahawa tanggungjawabku untuk menjadi seorang pendakwah dan ulama adalah satu kewajipan yang amat besar. Tetapi aku takut akan segalanya.”

“Golongan yang tidak takut kepada Allah tidak boleh dianggap sebagai ulama. Barangkali orang muda sepertimu akan mencapai kejayaan insya-Allah. Aku mendoakan agar engkau bersama golongan orang-orang yang dipelihara Tuhan.” Lelaki itu cuba menerangkan.

“Wahai orang muda, aku harap engkau tidak tertipu dengan ilmu yang engkau ada hari ini.”

“Tertipu?”

“Orang yang berilmu boleh terpedaya dengan ilmunya. Bukankah engkau tidak mengetahui, dunia kini sering berkejar-kejaran. Barangkali mereka yang hebat menyampaikan itu, merekalah paling berilmu. Wahai anak muda, Imam Ghazali pernah menyatakan antara golongan yang terpedaya ialah ahli fekah yang menguasai ilmu ketaatan tetapi tidak mengamalkannya. Sebahagian daripada mereka menguasai ilmu sehingga mereka mengenali perkara yang maksiat, tetapi mereka tidak menjauhinya.”

Aku kaget melihat lelaki muda itu. Barangkali sepanjang permukimanku di sini, inilah kali pertama dan mungkin kali terakhir aku mampu mendengar kata-kata ini diperdengarkan di cuping telingaku.

Tiba-tiba aku teringatkan Ahmed Yassin. Seorang teman sekuliah. Dia berasal daripada bumi Iskandariah. Sebuah kota besar di utara negara Mesir. Pernah juga dia menasihatkan aku agar tidak terpedaya dengan segala ilmu yang telah tertanam di dalam diri seorang penuntut ilmu.
Aku memandang lelaki itu berulang-ulang kali. Tentunya ada maksud yang tersirat di sebalik kata-katanya itu sebentar tadi.

DUA


“Bulan Ramadan merupakan masa untuk umat Islam berfikir dan merenung diri sendiri, bersolat, membuat kebajikan dan meluangkan masa dengan keluarga serta sahabat handai. Diharapkan dengan berpuasa dari fajar hingga senja umat Islam akan dapat mempertingkatkan disiplin diri dan menjadi pemurah dengan mengingati kesusahan hidup sebahagian manusia yang miskin dan papa.” Imam Masjid Al-Azhar menasihatkan melalui tazkirahnya pada malam Ramadan terakhir itu.

Lazimnya, semua masjid di sini tidak mengadakan solat tarawih sebanyak dua puluh rakaat. Selepas empat rakaat tarawih, imam akan menyampaikan tazkirah bagi mengingatkan manusia tentang keperluan Ramadan dan hak-hak Ramadan.

Imam mengingatkan lagi bahawa, Islam bukan sesuatu yang mudah meletakkan nilai Ramadan. Malah, nilai ketakwaan merupakan dasar utama kejayaan sesebuah Ramadan dan pengertian puasa itu sendiri. Ramadan bukan sekadar mengosongkan perut daripada makan dan minum. Tetapi, lebih daripada itu Ramadan adalah bulan yang mengajar manusia sebagai hamba mengenal hakikat ketakwaan terhadap Tuhan sebagai pencipta.

“Sesiapa yang melakukan solat malam pada Ramadan kerana keimanan kepada Allah Taala dan mengharapkan keredaan dan keampunan Allah Taala, maka diampunkan segala dosanya yang lalu.” Imam menyandarkan beberapa hadis berhubung dengan Ramadan.

Aku mengumpul kekuatan pada akhir Ramadan. Takut-takut ini Ramadan yang terakhir di dalam kamus peribadi. Biarpun ini Ramadan terakhir di dataran Wadi Nil, aku lebih rela dan sanggup mengharungi makna yang tersirat di sebalik Ramadan dengan sebaiknya. Islam bukan mengajar menghayati makna Ramadan mengikut tempat, malah jika teman-temanku mengakrabi kekuatan Ramadan pastinya malamnya tidak akan renggang dengan solat-solat sunat yang memberikan ganjaran yang besar kepada pelaksananya.

Usai menyelesaikan kewajipan, aku segera pulang bersama teman-teman ke asrama tempat kami menginap. Beberapa teman-teman mempelawa singgah ke kedai makan dengan alasan ‘moreh’ katanya.

Kaherah menjanjikan malam Ramadan yang amat berlainan. Warganya berpusu-pusu mengisi peluang untuk menjamah makanan. Barangkali juga aku boleh sandarkan bahawa pesta bulan bagi mereka adalah bulan Ramadan. Jikalau di negara sendiri, pesta lelong baju dan pesta pakaian hari raya menjadi santapan muda-mudi, orang dewasa dan warga tua tetapi sungguh berlainan di sini.

Kota yang lebih menjanjikan kesetiaan, kemakmuran dan permuafakatan sesama ahli keluarga dengan berkumpul beramai-ramai di ruang-ruang legar kedai makan. Tentu juga kedai makan seperti As-Syabrawi, Abu Mazen dan El-Mo’men sungguh laku pada malam-malam Ramadan. Gerai-gerai tidak akan ditutup selagi azan Subuh tidak dilaungkan.

TIGA

“Tuk. Tuk. Tuk. Tuk. Tuk.” Siapa yang mampu memejamkan mata tatkala bunyi cemeti kecil dipukul di atas tin kosong bersaiz besar itu mula bersuara. Lazimnya, ketika jam menunjukkan tepat dua pagi, bunyi itu mula bergema. Warga kota akan dikejutkan untuk bersahur. Juga, dalam musim panas sebegini keadaan pula memaksa mata berdiri gagah sehingga ke waktu Subuh. Tentu, waktu sahur terakhir ini kudrat yang ada tidak sama dengan kekuatan pada awal Ramadan.

Teman-teman serumah bergilir-gilir menunaikan tanggungjawab memasak. Barangkali, aku juga tidak ketinggalan melunaskan tugasan. Jika bukan aku yang menggalas beban memasak, pastinya peluang menunaikan qiamullail akan dilaksanakan.

Allah berfirman, dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah sembahyang tahajud padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.

Qiamullail adalah kekuatan yang paling utama di dalam madrasah Ramadan. Ibnu Qudamah menyebut dalam kitabnya Mukhtasar Minhaj al-Qasidin bahawa qiamullail amat sukar untuk dilaksanakan kecuali siapa yang diberi taufik oleh Allah Taala untuk melaksanakannya. Namun, sebagai penguat zahir dan batin diri, aku berdoa moga-moga kekuatan yang masih berpuput tidak akan hilang dengan semangat yang tidak tetap, niat yang tidak kuat dan azam yang tidak kental.

EMPAT

Orang-orang dapur sudah memulakan rewang. Ada yang ditugaskan memotong bawang, mengupas kentang, memotong daging dan ayam. Semuanya atas dasar satu kesaksamaan; menyambut lebaran di perantauan yang tidak akan serupa menyambutnya di negara sendiri. Tiga tahun lalu, tatkala menyambut lebaran aku ditugaskan untuk menjadi penyambut tetamu. Namun, kini sebagai abang senior tugas itu dipundakkan kepada adik-adik baharu.

Suasana malam lebaran itu masih serupa dan sama dengan suasana sebelum ini. Kerjasama, bantuan dan semangat berpasukan teman-teman seangkatan tidak pernah luntur. Kami memahami tanggungjawab masing-masing. Yang Dipertua persatuan awal-awal lagi telah mengingatkan kami bahawa perpaduan dan kerjasama berpasukan itu dituntut di dalam Islam. Allah mengingatkan hambanya, bertolong-tolonglah kamu dalam perkara kebaikan dan takwa serta janganlah kamu bertolong-tolongan di dalam perkara dosa dan permusuhan.

Hari ini, kehidupan bekerjasama dan saling membantu kami rasai. Sejarah membuktikan bahawa ketika Perang Badar berlaku, umat Islam hanya mempunyai tiga ratus tiga belas orang berbanding musuh seramai seribu orang. Namun, atas dasar dan sikap tolong-menolong dan kefahaman mereka terhadap perintah Allah, maka kemenangan telah berpihak kepada umat Islam. Pengalaman sirah ini sedikit sebanyak memberikan kesan kepada kami selaku mahasiswa Islam di perantauan.

Azan Maghrib berkumandang di udara. Gerombolan mahasiswa berpusu-pusu ke surau menjamah sebiji kurma dan terus menunaikan solat Maghrib. Usai menunaikan solat, takbir Syawal bergema di dalam dewan asrama. Laungan takbir, Allahu Akbar terus berulang-ulang mengingatkan kebesaran Allah.

Tatkala itu, airmata menjadi pinjaman sementara kepada seluruh mahasiswa. Terkenang yang jauh, merindui keluarga dan sahabat handai di negara sendiri sudah mengakrabi diri. Kini, tugas menggalas amanah dan tanggungjawab yang besar menjadi seorang murabbi kepada bangsa, agama, masyarakat dan negara merupakan keperluan yang utama. Dan, amanah itu bakal digalas selepas ini.

“Kita sudah tiba di akhir Ramadan.” Nuaim mengingatkan.