Kenali Diri

My photo
Johor Bahru, Johor, Malaysia
SYAFIQ ZULAKIFLI adalah graduan Universiti Al-Azhar, Kaherah,Mesir. Berasal dari negeri Johor Darul Takzim. B.A (Hons)Syariah, Al-Azhar (2009) Editor PTS Publication & Distributor Sdn Bhd(2010) Eksekutif Penyelidikan Editorial TVAlhijrah(2012)Penerbit Rancangan IKIMfm (Mulai 1 Mac 2012) Sebarang pertanyaan emelkan ke syafiqzulakifli @ gmail.com atau hubungi +6017 7346 946

Tuesday, March 31, 2009

Surat Untuk Dua Insan


Assalamualaikum w.r.b.


Kehadapan Saudara Khusaini dan Saudari Hafsah yang dihormati, moga-moga kalian berdua berada di dalam keadaan sihat hendaknya.


Setelah dua tahun saya bersama kalian, kini tiba masanya erti dan makna ‘perpisahan’ itu bakal berlaku. Terima kasih kerana menjalankan tanggungjawab dan amanah sebagai seorang Badan Pengurus dan HEWI yang saya kira amat besar pengorbanan tersebut.

Saudara Khusaini yang disayangi,

Sudah terang lagi bersuluh, saudara sanggup meninggalkan Dewan Perwakilan Mahasiswa Shoubra semata-mata menghidupkan dan membangunkan PMRAM. Pada saya, itu adalah sebuah pengorbanan yang teramat besar yang saudara telah korbankan.

Kenangan yang dicipta selama dua tahun itu tidak akan saya lupakan. Kadang-kadang kita pernah menangis kerana dicemuh oleh ahli, kadang-kadang kita terharu kerana menghargai sumbangan ahli dan kadang-kadang kita ketawa kerana ingin menyelesaikan masalah peribadi.

Itu semua adalah perjalanan yang saya kira tidak akan bermatian. Bukankah saudara ingat detik-detik yang tidak pernah boleh dipadam selama kita bersama-sama menggerakkan PMRAM selama ini.

Jika saya mengulas satu persatu kenangan itu, barangkali akan melimpah besar airmata saya kerana terlalu merindukan masa-masa yang lalu.

Saudara Khusaini yang disayangi,

Kita akan dipisahkan dengan satu tempoh dan waktu yang panjang. Dan, entah bila kita akan bersua lagi. Doakanlah perjalanan PMRAM dan kami di sini. Terima kasih kerana menunggu sehingga tamatnya Muktamar Sanawi PMRAM kali ke-76 pada hari Khamis yang lalu. Saya kira Saudara dan Saudari Hafsah lah di antara dua insan yang terlalu berkorban masa walaupun sudah ‘dipaksa-paksa’ untuk pulang ke Malaysia kerana sudah tamat pengajian di Mesir.

Terima kasih sekali lagi di atas pengorbanan tersebut. Barangkali persidangan muktamar yang lalu adalah persidangan terbaik kerana semua 30 orang kepimpinan kita masih kukuh berada di atas pentas pengadilan.

Saudara Khusaini yang disayangi,

Maafkan segala kesilapan yang pernah saya lakukan terhadap saudara. Halalkanlah segala makan-minum yang saudara belanja saya dan rakan-rakan selama ini. Dan, saya pasti ada insan yang akan ‘menangis’ tatkala saudara pulang hari Sabtu nanti.

Biarlah saya simpan nama insan tersebut. Tetapi yang boleh saya ‘lakarkan’ adalah seorang insan yang punya ‘motor’ seperti saudara. Berulang-alik membaiki motorsikal dengan saudara. Dan, bermacam-macam lagi kateria insan tersebut yang sinonim dengan saudara.
Terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan.

Ustazah Hafsah yang dihormati,

Pertama, izinkan saya memohon ampun dan maaf sepanjang saya bertugas dengan ustazah sebelum ini. Saya pernah diamanahkan sebagai Setiausaha Agung PMRAM dan ustazah sebagai Setiausaha HEWI PMRAM. Banyak amanah yang saya tidak dapat selesaikan, saya mohon ampun dan maaf.

Sepanjang penglibatan saya dan kerja yang saya lakukan bersama ustazah, harapnya diampunkan segala kekurangan. Saya adalah insan kerdil yang terlalu banyak kekurangan. Kadang-kadang apabila diketuk barulah insan ini tersedar daripada kealpaan.

Ustazah Hafsah yang dihormati,

Ustazah amat berpotensi menjadi seorang serikandi yang menggegarkan umat di Malaysia. Ustazah amat berkelayakan menjadi pemidato wanita yang disegani. Saya bersama rakan-rakan mendoakan agar ustazah akan sentiasa menjadi pemimpin yang dihormati oleh masyarakat khususnya di Malaysia nanti.

Moga kita dipertemukan lagi di dalam acuan arena yang sama apabila pulang nanti.

Salam Perpisahan
Syafiq Zulakifli

Akan datang... Surat Untuk Adlan Mokhtaruddin

Sunday, March 29, 2009

PMRAM 2009 : Gabungan Badan Pengurus Yang Mantap!

Pentadbiran 2008 akan diteruskan oleh generasi mendatang

KAHERAH : Pentadbiran PMRAM yang diketuai oleh Saudara Abdul Mu'izz Muhammad, merupakan satu gabungan pentadbiran yang mantap dan berkualiti.

"Bidang tugas bagi sesuatu lajnah dan badan disusun dengan sebaiknya demi memastikan tugas yang dipikul mampu digalas dengan sebaiknya."

Beliau berkata demikian, sejurus selepas Mesyuarat Badan Pengurus kali Pertama PMRAM yang diadakan di Asrama Pelajar Pulau Pinang, Kaherah pada hari ini.

Beliau yang dilantik sebagai Presiden PMRAM 2009, merupakan Presiden yang ke-50 menurut catatan sejarah PMRAM yang bermula semenjak 79 tahun yang lalu.

Tema "Julang Thaqafah Bakti Dicurah" akan diteruskan pada sesi pentadbiran 2009 dengan menekankan beberapa aspek termasuk pemantapan kerohanian dan muzakarah berkelompok di setiap BKAN dan DPM. Selain itu, usaha yang berterusan diperlukan bagi melipatgandakan thaqafah serta acuan ilmu dan peningkatan nilai prestasi akademik bagi mahasiswa keseluruhannya.

PRESIDEN
ABDUL MU`IZZ MUHAMMAD

TIM. PRESIDEN (LAJNAH PERANCANG & PANITIA)
SHAHRIZAN MOHD HAZIME

NAIB PRESIDEN I ( LAJNAH DAKWAH & PEMBANGUNAN INSAN )
MOHD AZRUL ISMAIL

NAIB PRESIDEN II (LAJNAH MUHAFAZAH)
NIK ROSDI NIK JUSOH

NAIB PRESIDEN III (LAJNAH KEBAJIKAN DAN KEMANUSIAAN )
MUHAMAD ZUHAILI SAIMAN

SETIAUSAHA AGUNG
MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN

TIMBALAN SETIAUSAHA AGUNG
MUHAMMAD ABDUL MALIK ABDUL KARIM

NAIB SETIAUSAHA AGUNG (LAJNAH PENDAFTARAN)
AMALUDDIN ARSHAD

BENDAHARI KEHORMAT
MEOR MOHAMMAD KHAIRUL ANUAR BIN KHAIRUDDIN

BADAN PENDIDIKAN & KOMUNIKASI BAHASA
MOHD YAZID PARDI

BADAN PENGETAHUAN & PENYELIDIKAN
MOHD FARKHAN MD ZAIN

BADAN PENERANGAN & PENERBITAN
AHMAD TAUFIQ MOHD DAHLAN

BADAN EKONOMI
MOHAMAD AZLAN ALIAS

BADAN SAMBUTAN & REHLAH
MUHAMMAD LABIB ABD JALIL

BADAN KEBUDAYAAN,KESENIAN & SUKAN
JAMAL NAJMUDDIN SULAIMAN

Saturday, March 28, 2009

Saya Terlalu Kecewa - Mantan SUA PMRAM


Saya Terlalu Kecewa – Mantan Setiausaha Agung PMRAM

KAHERAH : “Saya terlalu kecewa dengan tuduhan yang dilemparkan.” Demikian dinyatakan oleh Saudara Syafiq Zulakifli, mantan Setiausaha Agung PMRAM yang menolak dakwaan Wakil Kelab Umno Luar Negara, Wan Md Hazlin Agyl Wan Hassan yang mendakwa PMRAM mengancam minda mahasiswa supaya menentang kerajaan.

“Isu ini adalah isu lapuk. Sudah berpuluh-puluh tahun nama PMRAM dilabel sebagai pro-pembangkang. Kita yakin dan percaya tindakan tersebut adalah fitnah terbesar yang masih dijaja-jaja di dalam Perhimpunan Agong UMNO. Setiap kali Perhimpunan Agong UMNO dijalankan, nama PMRAM mesti dibangkitkan.”

Beliau juga menolak dakwaan kononnya pegawai-pegawai di Mesir tertekan dengan PMRAM kerana menyekat pelajar tinggal di asrama.

“Kita tidak ada kuasa untuk melarang mana-mana pelajar untuk tinggal di asrama. Pelajar memohon dengan pegawai atau Yang Dipertua Badan Kebajikan Anak Negeri sekiranya ingin tinggal.”

“Malah, kita kecewa dengan tindakan sesetengah pihak yang melarang wakil kepimpinan PMRAM tinggal di Asrama Rumah Melayu Abbasiah (ARMA) yang merupakan salah satu tempat penginapan pelajar yang dahulunya milik PMRAM.”

“Selepas Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia menukar bangunan asrama tersebut kepada Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah pada tahun 2004, semakin sukar mahasiswa ingin memohon menduduki asrama tersebut. Pejabat PMRAM yang sepatutnya diberikan kepada PMRAM di dalam bangunan tersebut pun, tidak dilayan sehingga kini.”

Beliau berkata, bangunan ARMA yang terletak di Kaherah adalah hasil usaha dan keringat orang-orang lama di dalam Persekutuan Melayu Mesir (PMM) yang diterima daripada Jamal Abdul Nasir, Presiden Mesir pada waktu itu.

“PMRAM pada waktu itu menghantar 65 orang sukarelawan membantu kerajaan Mesir menentang musuh di dalam peperangan tiga serangkai. Selepas itu, dalam tahun 1956 PMRAM telah dihadiahkan sebidang tanah oleh Presiden Mesir. Namun, wakil PMRAM tidak boleh tinggal di asrama tersebut sehingga ke hari ini.”

Jelasnya lagi, usaha untuk mengharamkan PMRAM sudah lama berlaku. Namun, nusrah serta bantuan daripada Allah SWT adalah kekuatan pada PMRAM sehingga ke hari ini.

"Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) dan Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK) tidak pernah bermasalah dengan PMRAM tetapi mengapa Nadi UMNO terlalu tertekan dengan PMRAM."


Friday, March 27, 2009

Nama PMRAM di Perhimpunan Agong UMNO


Nama PMRAM di Perhimpunan Agong UMNO

“BERUNTUNGLAH bagi orang-orang yang mempromosikan namanya.” Kata-kata hikmah Syafiq Zulakifli.

TAHNIAH kepada Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM). Sebagai mantan Setiausaha Agung PMRAM saya berbangga kerana setiap kali Perhimpunan Agung UMNO, nama PMRAM akan meniti di bibir perwakilan yang hadir di dalam perhimpunan tersebut.

Apabila setiap kali isu yang sama dibangkitkan, saya jelek dan muak mendengar. Saya anggap begini. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.

Mari baca keratan ini.

“Sementara itu, seorang perwakilan kelab Umno luar negara petang ini menggesa persatuan mahasiswa Malaysia di Mesir diharamkan dengan dakwaan ia menyebarkan ideologi pembangkang. Wan Md Hazlin Agyl Wan Hassan juga menggesa biasiswa pemimpin Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) ditarik balik. "PMRAM perlu diharamkan, biasiswa pelajar yang menyertai PMRAM perlu ditarik balik," katanya. "Apabila pelajar kita tiba sahaja (di Mesir), PMRAM lebih dahulu menyambut mereka di lapangan terbang. "Mereka ini, pegawai- pegawai kita pun takut. "Malah, kami sendiri tidak mendapat tempat apabila asrama dikuasai pembangkang," katanya, yang sedang menuntut sebuah universiti di Southampton, Britain.”

Muktamar Sanawi PMRAM : Suatu Coretan

Jabatan Setiausaha Agung

Majlis Presiden di kanan dewan

Kepimpinan PMRAM 2008

Persidangan yang indah

Wajah-wajah terakhir

Seorang Setiausaha Agung

Oleh : Syafiq Zulakifli

KETIKA kaki melangkah masuk buat kali terakhir ke dalam dewan persidangan, hati saya tiba-tiba menjadi pilu dan sebak. Entah mengapa barangkali ini adalah kali terakhir dewan ini bakal saya pijak sebagai seorang pemimpin di dalam pentadbiran PMRAM.

Lantas, tatkala suara dewan bergema dengan nasyid Asmaul-Husna pada awal persidangan, airmata saya tidak henti-henti turun membasahi lantai dewan ini. Perkara ini tidak berlaku tatkala persidangan dua tahun yang lalu.

Dengan gamitan perasaan yang serba tidak menentu itu saya gagahkan diri untuk berdiri. Gema Lagu ‘Untukmu PMRAM’ terus menjadikan perasaan saya tiba-tiba hilang tanpa arah. Mujurlah saya tidak rebah di tengah-tengah dewan tersebut.

Suasana dewan yang hening pada awal-awal pagi membuatkan saya belum bersedia meninggalkan lapangan tugas di dalam pentadbiran PMRAM. Apapun, suratan dan penentuan itu saya reda. Saya terima dengan hati yang terbuka di atas apa yang berlaku.

Tatkala persidangan bermula, ada beberapa ketika soalan ahli yang dilontarkan mengundang sebak kepada diri saya. Entah di mana silap, saya tidak ketahui. Saya beranggapan bahawa setiap soalan yang dilontarkan adalah suatu lambang amanah yang tidak terlaksana.

Barangkali soalan-soalan emas yang kekadang dibangkitkan oleh setiap perwakilan membuat hati yang benar-benar kuat ini luluh juga akhirnya.

Saya simpan kekuatan itu sehingga akhir persidangan.

Teman-teman Badan Pengurus berulang kali mengingatkan agar saya mampu mengawal emosi ketika menyampaikan ucapan terakhir di dalam persidangan tersebut.

Mujurlah saya menulis ‘teks’ untuk berbicara ketika menyampaikan ucapan terakhir. Dan, barangkali jika saya melontarkan apa yang sedang membuku di hati, mungkin dewan akan basah dengan airmata saya. Alhamdulillah (selamat saya!)

Apapun, PMRAM telah banyak mendewasakan saya mengenal erti hidup dalam susah. Hidup sebagai orang miskin yang papa. Hidup sebagai anak tiri yang tidak dipedulikan oleh orang lain.

Semua itu saya rasai.

Terima kasih buat teman-teman Badan Pengurus yang sentiasa memahami diri ini. Kalian adalah sumber kekuatan saya sepanjang hidup ini. Terima kasih kepada kedua-dua orang Presiden yang menjadi nadi hidup saya. Ustaz Hairul Nizam Mat Husain dan Ustaz Khairul Anuar Ismail. Maaf, jika saya tidak mampu menjadi seorang Setiausaha Agung PMRAM yang baik.

Wednesday, March 25, 2009

Penampilan : Mengapa Penting?


PANDANGAN pertama apabila anda melihat seseorang adalah melalui penampilan diri, gaya berjalan, pakaian yang dipakai, mimik muka, cara bercakap dan sebagainya. Ini dinamakan 'first impression'.

Oleh yang demikian, sama ada anda seorang ahli, rakyat biasa, pemimpin, atau apa sahaja status yang anda ada, seharusnya penampilan adalah penting.

Letaklah muka anda hitam macam mana sekalipun, tetapi sekiranya anda faham erti dan makna sebuah penampilan dan kreadibiliti; ini menunjukkan anda sudah berada dilorongnya.

Mahasiswa Al-Azhar selalu dilabel sebagai seorang yang 'selekeh' apabila menghadapi temuduga di Malaysia. Saya akui akan fakta tersebut. Malah saya tidak pernah menafikan akan perkara itu. Tetapi bukan semua insan yang bersikap sedemikian. Dan saya juga tidak pernah menemuduga pelajar lepasan Al-Azhar.

Namun, segala tindak tanduk itu perlu dilatih dan diamalkan ketika sedang kita berada di dalam pentadbiran.

Justeru, fenomena yang berlaku hari ini adalah 'ikut suka aku'. Rata-rata memilih untuk memakai apa sahaja pakaian di dalam majlis-majlis rasmi sedang pakaian juga merupakan salah satu aspek penampilan yang harus ditekankan.

Tuesday, March 24, 2009

Gambar, PMRAM dan Pendaftaran

Dari kiri : Ustaz Adlan (bakal Presiden), Ustaz Hairul Nizam (Presiden 2006-07), Ustaz Abdul Mu'izz (Presiden 2009), Ustaz Khairul Anuar (Presiden 2008)

ENTAH mengapa gambar ini menjadi pilihan saya untuk ditafsirkan. Barangkali sudah jodoh. Tiga orang presiden PMRAM duduk di dalam satu tempat yang sama. Dan, tidak disangka ada sesuatu yang menjadi misteri sehingga hari ini.

Apa kena-mengena dengan Ustaz Adlan yang duduk di kiri (gambar)? Adakah beliau bakal Presiden 2010? Jika ingin diulas tentang tokoh yang seorang ini, sememangnya panjang berjela. Nanti saya khabarkan.

Pada hemat saya, setiap insan mempunyai kelebihan dan kekuatan masing-masing. Zaman pemerintahan Ustaz Hairul, gelombang mahasiswa yang masih mempunyai kekuatan untuk berkorban mati-matian memperjuangkan nasib mahasiswa. Lihat sahaja apa yang berlaku pada hari 'hak anak-anak Selangor' di Mesir pada tahun 2006 yang lalu.

Saya sebagai seorang mahasiswa tahun pertama pada waktu itu pun terkesan dengan semangat membela nasib keluarga sendiri (Selangor).

Silih berganti masa dan waktu. Ada yang meningkat, ada yang menurun. Semuanya adalah satu jalan ke arah perubahan minda mahasiswa.

Walaupun demikian, PMRAM harus dipandu dengan sebaiknya. PMRAM adalah nadi kekuatan yang diakui oleh pihak KBMK dan JPMK. Namun, atas satu prinsip bahawa "PMRAM tidak mahu berdaftar dengan Kedutaan" menjadi bualan sehingga hari ini.

Secara peribadi, menjadi kewarasan kepada ahli pada tahun 2006 menolak usul muktamar untuk mendaftarkan PMRAM di bawah KBMK. Rasionalnya adalah seperti berikut:-

Pertama : PMRAM adalah persatuan dominan di Mesir kerana mengetuai seluruh Badan Kebajikan Anak Negeri dan Dewan Perwakilan Mahasiswa. Oleh yang demikian, PMRAM mempunyai kelebihan yang tidak diketahui oleh pihak lain. (maklumat ini Kementerian Pengajian Tinggi sememangnya lebih maklum!)

Kedua : Apabila PMRAM berdaftar, muncul salah tanggap negatif daripada Nadi UMNO, ABIM, dan lain-lain persatuan di Mesir yang berkemungkinan menjejaskan pentadbiran di KBMK dan JPMK.

Ketiga : PMRAM akan menjadi anak kesayangan KBMK dan JPMK apabila berdaftar secara rasmi. Lenakah persatuan-persatuan lain nanti?

Justeru, adalah wajar sehingga hari ini PMRAM masih lagi tidak berdaftar dengan KBMK. Walaupun demikian pada hemat saya, isu pendaftaran bukanlah isu yang besar harus dibangkitkan tetapi bagaimana persatuan di Mesir dapat mengembalikan semula amanah kepada semua mahasiswa untuk tekun memiliki ilmu dan mengendong segala kekuatan jasmani dan rohani untuk pulang ke Malaysia nanti.

Monday, March 23, 2009

Surat Untuk Badan Pengurus (3)

Teman Badan Pengurus tahun 2007

Kehadapan sahabat Badan Pengurus yang berbahagia,

Sesungguhnya adalah menjadi tidak adil ketika saya menyatakan bahawa saya 'rela' meninggalkan PMRAM di dalam keadaan PMRAM masih memerlukan tenaga saya. Sebab itu, luka lara itu saya simpan sehingga tarikh keramat ini.

Hari ini (23 Mac 2009), merakamkan tarikh keramat bahawa saya bakal meninggalkan dunia bersama kalian hanya beberapa hari sahaja. Jika dihitung tidak sampai daripada seminggu daripada hari ini.

Namun, perancangan Tuhan saya galas dengan sebaiknya. Bermula dengan 'sebak' saya bertemu dengan calon kepimpinan PMRAM awal Mac yang lalu, kemudian disusuli dengan tangisan adik saya di dalam program Kolokium Fikir, kemudian penyaksian terhadap suara rindu di dalam jiwa daripada abang kita di dalam perjumpaan terakhir pada hari Jumaat lalu, semuanya menyatakan ada rindu yang masih berputik.

Terakhir kali, kita sama-sama menyaksikan bahawa PMRAM yang digalas ini tidak mampu dibeban lagi oleh seorang 'abang senior' kita yang mempertahankan PMRAM semenjak 79 tahun lamanya.

Pada 11 April ini, kita akan menyambut ulang tahun PMRAM yang ke 79, namun apakah nanti kejayaan dan senyuman mulia yang kita akan ukir atau sebaliknya menjadi tekanan buat diri.

Badan Pengurus yang dikasihi,

Pelbagai ragam yang boleh dikongsi dan pelbagai ceritera yang saya tidak dapat luahkan semenjak kali pertama menjejaki kampus PMRAM. Bermula 15 Mac 2006 sehingga 25 Mac 2009 merupakan satu tempoh masa yang panjang saya menjiwai PMRAM. Justeru, adalah menjadi tidak waras jika saya menyatakan bahawa amat tidak menyayangi dan menghargai jasa yang PMRAM telah beri pinjam pada saya selama ini.

Badan Pengurus yang berbahagia,

Kita akan duduk di dalam arena berbeza. Kalian akan berada di puncak, sedang saya akan duduk di bawah. Lakukanlah tugas kalian dengan sebaiknya. Saya mendoakan agar kalian akan sentiasa mengingati setiap tanggungjawab dan amanah yang terpundak itu dengan sebaiknya.

Untuk seorang teman saya (bakal calon Setiausaha Agung), ada sesuatu yang saya perlu nyatakan. Namun, belum tiba saat dan waktunya untuk perkara itu diluahkan. Andai sudah menjadi pilihan, selepas sahaja muktamar bersidang saya akan lampirkan di atas nama surat-surat untukmu...itu.

Akhir kalam... saya mahu terbang jauh buat selamanya. :(

Wassalam.

Yang merindui kalian,
Tarbus Merah

Sunday, March 22, 2009

Kehilangan

Penulis di dalam satu program anjuran PMRAM baru-baru ini

Malam perginya seorang pejuang Islam di Malaysia, saya pula menimpa musibah yang sama. Sebuah telefon bimbit Sony Ericsson Z610i pula menjadi mangsa kehilangan.

Entah mengapa, kehilangan telefon bimbit ini memberi kesan yang mendalam terhadap jiwa. Pertama, telefon bimbit ini baru sahaja diterbangkan dengan pesawat Egypt Air oleh Saudara Akhmal Ali bulan November yang lalu. Namun, hanya beberapa bulan sahaja telefon tersebut sempat memesrai diri saya.

Justeru, mulai hari Sabtu (21 Mac 2009) saya mengumumkan bertukar dan berpindah ke nombor telefon baru dengan telefon bimbit yang baharu.

Hubungi saya : +2011-4689378 (panggilan Etisalat)

Gugurnya Sebutir Bintang

BARANGKALI istilah dan perkataan yang paling tepat disebut adalah 'syahidnya seorang pejuang Islam'.

Haji Khairul Azhar Kamaruddin (Hj Khir) merupakan salah seorang mantan penasihat PMRAM. Ketika saya menduduki kerusi pentadbiran PMRAM pada 2006, beliaulah yang mengetuai 'usrah mingguan' kepimpinan.

Kehilangan beliau amat memberi kesan yang mendalam khusus kepada mahasiswa dan mahasiswi yang mengenali beliau.

Saya masih terkenang lagi akan segala macam peristiwa yang berlaku semasa bersama beliau. Pertama, beliau di antara penasihat PMRAM yang tidak pernah meninggalkan sofa pejabat untuk tidur pada waktu malam.

Setiap hari pastinya beliau akan mengisi ruang sofa pejabat untuk tidur. Di atas meja pula letaknya 'tiga keping' gambar anak Allahyarham. Pada waktu itu, isteri Allahyarham sudah menamatkan pengajian di Mesir sedang beliau terus thabat menghabiskan pengajiannya.

Hj Khir bukanlah satu nama yang asing bagi penuntut Negeri Sembilan di Mesir. Sumbangan terhadap Islam diterjemahkan apabila beliau pulang ke tanah air sehingga menakhodai kawasan Tampin.

Berkat keikhlasan yang ditunjukkan beliau sebagai seorang mujahid sejati tidak akan dilupakan oleh semua insan yang mengenali beliau.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada hari Khamis malam Jumaat jam 11.20 malam waktu Malaysia di Hospital Seremban kerana demam denggi.

Al-Fatihah.


Thursday, March 19, 2009

Surat Kemaafan

Penulis yang memakai songkok


“Kusangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari.”

Setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Begitulah kita. Barangkali kita dipertemukan secara tiba-tiba. Dan, semua itu kehendak Yang Maha Esa. Kita merancang, Allah juga merancang, namun perancangan Allah adalah sebenar-benarnya.

Demi sesungguhnya, tatkala mulut ini berbicara,barangkali aku bukanlah insan yang cukup sempurna. Aku tahu, akulah insan yang bersalah. Yang menjadi penyebab sesuatu itu berlaku. Yang menjadikan api marak itu membakar keseluruhan ceritera.

Faridun (bukan nama sebenar) yang dikasihi,

Dalam kalbu yang dingin ini, aku sendiri masih mencari damai sebuah pertemuan. Manis sebuah persahabatan. Makna sebuah keikhlasan.

Dan jika ini terakhir kali, hiasilah pertemuan itu dengan kemanisan. Dan, berikanlah perpisahan itu suatu perpisahan yang tidak pernah menggambarkan kedukaan.

Aku merayu padamu, andai ini yang kau beri, akan ku terima seadanya. Cukuplah sengsara yang berkaca. Usah lagi memberi hampa lara dalam hidup ini.

Moga kita bersua lagi. Terima kasih kerana melayani karenahku. Barangkali aku tidak layak menemanimu tatkala ada duka yang mengundang diri. Barangkali aku adalah insan yang pertama menyakiti hatimu itu. Oleh itu, dengan nama Tuhan Yang Maha Pengampun, aku mengharapkan keikhlasanmu itu memberi maaf padaku.

Barangkali, kesilapan itu banyak mengundang penderitaan padaku sendiri. Mungkin caraku langsung tidak mengena dengan kehendak hatimu. Aku tersilap langkah di dalam bertindak.

Tuhan...kembalikanlah Faridun (bukan nama sebenar) seperti dulu...

Yang mengerti makna sebuah persahabatan. Yang mengerti kasih seorang insan. Yang mampu tersenyum di kala duka. Yang mampu gembira di kala sengsara menggigit benih-benih diri seorang hamba.

Namun, jika perpisahan ini yang menjadi pilihanmu, akan ku terima segalanya. Moga ada peluang kita menikmati kemanisan hidup selepas ini. Dan, aku barangkali tidaklah seperti hari ini. Yang mampu membuat insan tersenyum dalam hidup. Yang mampu memberi erti dalam makna hidup.

Maafkan daku yang terakhir kali.

Salam Kerinduan yang berpanjangan

Yang masih menyayangi…
Syafiq Zulakifli

Tambahan :
Surat Kemaafan ini saya tulis suatu ketika dahulu. Pada waktu itu, sedang rimas dibelai kekusutan diri. Oleh yang demikian, sukalah dinyatakan bahawa, surat kemaafan ini tiada kena-mengena yang hidup ataupun yang mati. Ini adalah satu catatan yang saya ingin perkenalkan kepada saudara pembaca; bagaimana menulis warkah atau surat.

Artikel akan datang :

1) Surat Untuk Axxxx (nama sebenar)


Wednesday, March 18, 2009

Bagaimana Menterjemahkan Islam Di Dalam Karya Sastera

Meja pentadbiran yang akan bertukar milik

Bagaimana Menterjemahkan Islam Di Dalam Karya Sastera
Oleh : Syafiq bin Zulakifli


Lihat ayat di bawah :

Ustaz Mujtaba terus bersemangat, “Ada lagi kesesatan kaum pluralis ini. Kita semak pula faham keempat. Menurut mereka semua agama adalah satu komponen hakikat. Ertinya, hakikat yang benar dan utuh itu sedikit terpecah ke dalam agama Islam, sedikit yang lain terpecah ke dalam agama Kristian dan yang lain pula terdapat dalam agama Hindu misalnya. Jadi tak ada agama yang sempurna. Yang ada hanya hakikat dan kebenaran yang beragam-ragam di sana sini. Jadi pada mereka semua agama sama… ini membuktikan pluralis seperti bapa Zehra dengan sedar menjadikan pluralism itu satu agama baru, yang diciptakan manusia, gabung semua, percayakan semua…”

“Dahsyat!” kata saya hilang bicara.

(Petikan Novel Tuhan Manusia karya Faisal Tehrani)

Ramai orang beranggapan bahawa Islam itu adalah sebuah fakta. Dan, barangkali yang beranggapan bahawa Islam itu adalah sebuah praktikal tidak sampai 50 peratus. Tahukah anda bahawa seni sastera Islam jarang-jarang dibangkitkan oleh generasi hari ini? Dan barangkali langsung ilmu Islam ini diadun secara mentah di dalam ilmu yang bersifat fakta semata-mata.

Terbaharu, Faisal Tehrani seorang penulis prolifik yang menempa nama sehingga dianugerahkan Anugerah Seni Negara 2006 di dalam bidang penghasilan penulisan drama pentas.

Bakat dan disiplin beliau harus dicontohi.

Berbalik kepada topik perbincangan asal. Siapa yang menyangka bahawa kekuatan karya sastera Islam adalah pada intinya. Nilai wacana yang dihimpunkan di dalam karya tersebut memberi kesan mendalam. Tidak hairanlah bahawa Dr. Asri Zainal Abidin (MAZA) terkesan ketika mentelaah Ketupat Cinta yang disiarkan di Akhbar Metro pada tahun yang lalu sehingga mendakwa bahawa (konon-kononnya) Faisal membawa ajaran Syiah di dalam karyanya.

Al-kisah, sastera Islam adalah sesuatu yang unik. Makanya, insan yang punya wawasan untuk terjun ke dalam medan ini seharusnya berfikir secara masak kerana dunia penulisan adalah sebuah dunia gelombang yang baharu dan berakal.

MUKTAMAR SANAWI PMRAM KALI KE-76 : Siapa Yang Akan Kekal

Setahun yang lalu... PMRAM ke arah minda pro-aktif

CULAAN yang dibuat daripada majoriti pengunjung blog saya rata-rata kurang tepat. Pertama, saya beranggapan; ini blog saya dan semestinya peminat lahir daripada pengunjung blog saya. Makanya, adalah menjadi kesalahan jika saya meletakkan bahawa majoriti yang memilih calon-calon untuk kekal di dalam pentadbiran PMRAM akan kekal seperti kehendak ahli.

Oleh yang demikian, usah marah sekiranya ada di antara kepimpinan kalian (yang menjadi favourive) tidak terpilih untuk menduduki kerusi pentadbiran pada masa mendatang.

Apabila secara rasmi saya membuka undian ke atas pengunjung blog untuk memilih calon badan pengurus yang kekal mentadbir PMRAM, keputusannya adalah seperti berikut :

Ustaz Hanafi Zulkapli (26%)
Ustaz Syafiq Zulakifli (19%)
Ustaz Adlan Mokhtaruddin (15%)
Ustaz Shahrizan Mohd Hazime (13%)
Ustaz Abdul Malik Abdul Karim (10%)

Ini adalah lima orang di antara calon yang layak kekal mengikut majoriti kehendak pelawat blog saya ini. Tetapi, adalah lebih adil saya memaklumkan bahawa ini bukanlah lima orang calon kepimpinan PMRAM yang akan kekal.

Pertama : Semestinya saya akan terkeluar daripada carta ini kerana saya sudah 'senioriti' dan tidak layak memegang kepimpinan PMRAM lagi.

Kedua : PMRAM memerlukan kepimpinan baharu sebagai pelapis untuk mengetuai pentadbiran PMRAM pada sesi 2009.

Ketiga : Saya harus menjalankan tanggungjawab saya yang lebih besar daripada mengetuai PMRAM kerana negara memerlukan modal insan yang cemerlang pada masa kini.

Keempat : Saya perlu melengkapkan moral insaniah agar masyarakat kelak menerima saya sebagai seorang lepasan Al-Azhar yang punya wawasan baharu.


Monday, March 16, 2009

Motivasi : Membentuk Mahasiswa Pro-Aktif

Penulis di dalam forum penulisan anjuran PMRAM

DI DALAM bengkel-bengkel penulisan yang saya turut serta bersama mahasiswa di Mesir, berulang-ulang saya menyatakan bahawa untuk menjadi seorang manusia luar biasa, ia memerlukan usaha yang biasa dengan disorot sikap yang luar biasa.

Seseorang tidak mungkin berjaya untuk menulis dengan cemerlang dan baik sekiranya latihan dan sikap sebagai seorang penulis tidak berubah. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab yang besar bagi seorang penulis untuk memastikan bakat yang sedia ada itu didorong dengan disiplin dan semangat yang luar biasa.

Faisal Tehrani misalnya, tidak akan berjaya menyiapkan lebih daripada sepuluh buah novel di dalam masa kurang sepuluh tahun tanpa usaha gigih daripada dirinya sendiri. Oleh yang demikian, bagi menggerakkan minda sebagai seorang mahasiswa yang pro-aktif adalah dengan pelbagaikan bahan bacaan.

Motivasi Diri :

1. Seorang mahasiswa perlu memahami metod pembelajaran sendiri secara mendalam. Ini adalah suatu kewajipan. Misalnya, anda seorang mahasiswa berpendidikan pengajian Islam, adalah menjadi tanggungjawab anda memahami sedalam mungkin ilmu pendidikan tersebut.

2. Bagi menjadi manusia luar biasa, adalah menjadi satu kelebihan pada diri anda sekiranya ada sesuatu ilmu baharu yang anda mampu untuk menguasainya.

Salam Motivasi.



Friday, March 13, 2009

Puisi Maulidur Rasul

JIKALAU MUHAMMAD MASIH ADA

Dalam dekad yang panjang
suara langit berbicara
mengejut insan yang mati;
di dunia yang lapar
dan dahaga dengan tangisan
dan airmata.

Muhammad seindah kalam berbicara
mencerakinkan malang insan
yang leka dengan buana kontang kejahilan
demi menyubur sebilah falsafah makna
yang terukir dalam ruhi seorang Muhammad.

Kalau Muhammad masih ada
belum tentu kami belajar makna airmata.

Zaqaziq
7.20 pagi

Sunday, March 08, 2009

PPSMI : Bahasa Melayu Yang Disayangi

Foto ihsan (blog Faisal Tehrani)

PPSMI : Bahasa Melayu Yang Disayangi

Saya pilu melihat perkembangan negara pada hari ini. Lebih memilukan apabila saya melihat nasib bahasa saya sedang diperjuangkan habis-habisan. Saya merenung sejenak. Kalaulah saya berada di tempat mereka, tentu saya menangis teresak-esak memikirkan bahasa saya ditindas sedemikian rupa.

Semalam, saya berdiskusi dengan mahasiswa Malaysia yang sedang menuntut di negara Jepun. Beliau sedang menuntut di dalam bidang kejuruteraan di sana. Namun, satu keanehan yang wujud, di sana katanya pembelajaran di peringkat diploma dan ijazah sarjana muda dipelajari di dalam bahasa Jepun. Malah katanya, hampir ‘tiada’ pengajaran di dalam bahasa Inggeris.

Mengapa orang Jepun sanggup memartabatkan dan mengagungkan bahasa mereka?

Sebagai Setiausaha Agung, Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir saya amat terharu dengan keadaan yang sedang berlaku di negara kita. Pak Samad (A. Samad Said), Abang Faisal Tehrani, Puan Ainon, di antara pejuang bahasa yang telah menumpahkan keringat mereka untuk mendaulatkan bahasa Melayu di negara kita.

Saya tidak pasti, apakah saya mampu hidup selesa di dalam keadaan negara yang terlampau huru-hara. Jauh di sudut hati, lebih baik saya mendalami lagi ilmu agama di Mesir ataupun mencari ‘kedamaian’ di negara Barat untuk menggali khazanah Islam. Banyak perancangan yang sedang tersusun menuju semangat seorang mahasiswa tahun akhir ini.

Mahu sambung Ijazah Sarjana? Mungkin!


Calon Presiden PMRAM Terbit Buku


SEJUJURNYA saya amat cemburu apabila seorang teman telah berjaya menerbitkan sebuah buku ilmiah berjudul “KHILAF : PRINSIP DAN DISIPLIN”. Penulis yang dimaksudkan adalah Saudara Abdul Mu’izz bin Muhammad, calon Presiden PMRAM 2009.

Pertama, tahniah kepada Ustaz Abdul Mu’izz yang bertungkus lumus hampir tiga tahun demi memastikan karya ini dapat disempurnakan dengan jayanya.

Secara peribadi, saya tidak bercadang berbicara tentang isi kandungan karya ini. Tetapi, sekurang-kurangnya saya berbangga kerana teman yang seorang ini sudah terjun ke dalam dunia penulisan.

Baru-baru ini, ketika saya dijemput mengisi slot bagi program Kem Latihan Penulis anjuran Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir, berkali-kali saya menyatakan kepada penulis bahawa, ciptalah sesuatu yang luar biasa.

Ramai bertanya, mengapa saya terjun ke dalam dunia sastera? Saya beranggapan begini. Kekosongan tempat sedang berlaku apabila ‘tiada insan’ yang ingin mengisi dunia sastera Islam. Orang-orang agama (pendakwah) selalu menyampaikan ceramah secara ilmiah. Tetapi bagaimana Islam disampaikan menerusi karya sastera.

Barangkali kita perlu ketahui, drama dan filem Islam pada hari ini sudah sampai ke tahap yang perlu diubah suai. Kini ramai bertelagah, apabila seorang penulis skrip menulis drama Islam tanpa ada rasa tanggungjawab mereka cuba mencipta dialog-dialog tanpa sempadan. Isu masalah sosial direka-reka sehingga penonton terpengaruh dengan adegan-adegan mengarut.

Pemikiran ini seharusnya difikirkan demi memastikan karya Islam yang ditulis oleh penulis Islam akan terus mekar di dalam dunia seni pada hari ini.

Sebagai contoh, Faisal Tehrani di antara penulis yang berlatar belakang pengajian Islam terjun ke dalam dunia sastera dan membawa acuan sastera Islam secara baik dan cemerlang. Saya tidak bercadang menghuraikan karya-karya beliau. Tetapi, sebagai seorang penulis, saya membaca karya beliau kerana sarat dengan wacana (ilmu) dan pemahaman sastera Islam yang jelas.

Saturday, March 07, 2009

Surat-Surat Untuk Badan Pengurus (2)



Surat-Surat Untuk Badan Pengurus (2)

Assalamualaikum w.r.b.

Kehadapan Badan Pengurus yang saya segani, semoga kalian berada di dalam keadaan sihat hendaknya. Saya menulis warkah ini kerana timbul rasa tanggungjawab di dalam diri. Barangkali kalian perlu tahu, saya ‘cemburu’ melihat kalian masih berada di dalam kepimpinan Badan Pengurus PMRAM. Saya ‘cemburu’ melihat kalian masih punya masa untuk belajar dunia pengurusan dan kepimpinan. Semua itu saya cemburu.
Badan pengurus yang saya hormati,

Ini bukanlah bermakna ‘saya teringin’ untuk kekal di dalam pentadbiran. Tetapi sekurang-kurangnya saya ‘cemburu’ kerana kalian duduk di dalam dunia ‘pendidikan’ yang saya tidak akan kecapi lagi selepas ini.

Kalian perlu tahu, saya meminjam segala macam ‘thaqafah’ daripada kalian. Saya pinjam ilmu kalian yang amat bernilai itu. Malah,setiap kali ‘usrah mingguan’ kita, saya ‘cemburu’ melihat kalian ralit membicarakan isu-isu Islam sedang saya yang ‘polos’ dan tidak bernyawa tiada apa yang mampu saya berikan. Tetapi saya faham, kita punya kelebihan masing-masing.

Badan pengurus yang saya hormati,

Setiap kali saya melihat wajah kalian, pastinya rasa ‘pilu’ di dalam hati. Saya melihat kalian bakal menggalas lagi tanggungjawab yang ‘amat berat’ ini. Saya sudah alami liku-liku keperitan menghadapi cabaran dan rintangan yang amat dahsyat. Saya sudah menghirup bau kehamisan yang tidak mampu ditanggung oleh deria yang lima. Tetapi, itu semua bukan bermakna saya merasakan bahawa dunia kepimpinan PMRAM amat pahit. Tetapi, saya mahu kalian rasa bahawa saya rasa akrab terhadap dunia PMRAM.


Badan pengurus yang saya hormati,

Barangkali ada yang terperanjat bahawa dunia kepimpinan saya adalah ‘songsang’. Saya bermula dengan kepimpinan di Asrama Rumah Melayu Abbasiah (ARMA) apabila saya dilantik sebagai Pengarah Bazar Asean Food anjuran JKP-JPMK pada tahun 2005. Dan, saya tidak ketahui bagaimana saya ditempatkan pula bersama kalian selama tiga tahun ini.

Apapun, dunia kepimpinan yang saya alami di Mesir adalah sebuah pengalaman yang amat berharga. Ada lagi beberapa coretan yang saya perlu khabarkan buat kalian selepas ini.

Badan Pengurus yang saya sayangi,

Doakanlah saya menuju ke suatu tempat yang saya tidak ketahui ke mana arah saya selepas ini. Apa yang lebih utama, ada suatu rasa tanggungjawab yang perlu saya maklumkan pada kalian. Saya ‘terasa’ apabila mahasiswa kita dicemuh dengan pelbagai salah tanggap berkenaan sistem akademik dan pendidikan. Justeru, lakukanlah yang terbaik demi memastikan ‘sifar kegagalan’ dan mahasiswa kita mampu mentadbir dengan sebuah pentadbiran yang cemerlang.

Siru ala..barakatillah

Monday, March 02, 2009

Surat-Surat Untuk Ustaz Hairul

Membilang Hari Dan Waktu

“SUKA atau tidak, awak harus berundur!” Ini bukanlah kalam yang dituturkan oleh kepimpinan PMRAM kepada saya. Ini hanya sebuah analogi yang terpaksa dihadapi oleh saya sebagai seorang abang senior di dalam PMRAM yang ‘sudah tahu’ akan meninggalkan dunia PMRAM beberapa hari lagi.

Ada beberapa teman di dalam kepimpinan PMRAM yang menjadi pilihan saya untuk saya ‘promosi’kan. Ini bermula dengan kepimpinan PMRAM sesi 2006, 2007 dan 2008.

Surat-Surat Untuk Ustaz Hairul Nizam

Ustaz,
Saya tidak ingat, bilakah hari pertama saya mengenali ustaz. Saya juga tidak ingat bilakah ketikanya kita bersua melafazkan kalam pertama pertemuan. Tetapi, yang saya tahu bahawa kita bertemu di dalam satu tiang yang sama.

“Selamat Datang ke dunia Badan Pengurus PMRAM.”

Barangkali itulah kalam kepimpinan awal yang saya boleh ingat. Yang lain, saya letak ke tepi. Saya bangga menjadi anak didik ustaz. Saya bangga kerana saya dilatih di bawah pentadbiran ustaz. Tahukah ustaz betapa saya berbangga mendapat seorang ‘abang’ yang memahami keperitan menjawat jawatan sebagai seorang badan pengurus. Saya tahu, saya tidak mampu. Saya tahu saya tidak layak. Tetapi atas dasar amanah, saya galas beban tersebut dengan ikhlas.

Barangkali tidak ada yang lebih bernilai selain kenangan saya bersama ustaz. Saya tidak mahu bercerita bagaimana sebaknya saya melihat ustaz terlantar di atas katil hospital menjalani pembedahan ketika itu. Dan, barangkali waktu itu saya tidak mampu melihat ustaz menghadapi ‘penderitaan’ selepas menjalani pembedahan. Ustaz tidak dibenarkan bergerak dan tidak dibenarkan melakukan apa-apa selain daripada baring di atas katil. Saya tidak tahu bagaimana saya mahu gambarkan penderitaan itu. Sebab itu saya gagahkan diri menunggu di hospital selama lima hari ustaz terlantar di atas katil hospital.



Ustaz yang saya hormati,
Mahasiswa kita berbangga ada insan seperti ustaz. Seorang tokoh dan mahasiswa yang menjadi contoh kepada semua yang berada di bumi Mesir. Saya tidak nafikan, TYT Datuk Duta juga memuja-muji ustaz di atas keterlibatan ustaz di dalam bidang ilmu dan persatuan. Apapun, itulah kelebihan yang ada pada ustaz yang saya hanya mampu ‘pinjam’ buat sementara.

Ustaz,
Kini, saya akan meninggalkan dunia kepimpinan PMRAM. Saya akan beralih arah ke satu dunia yang saya tidak ketahui lagi penghujungnya. Doakan saya bersama PMRAM pada masa mendatang.

Salam Dari Kejauhan…